Saturday, June 27, 2009

Tunai haji bagi yang mampu sahaja

Tunai haji bagi yang mampu sahaja

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah SWT menerangkan kebatilan apa yang menjadi hujah kepada ahli kitab berkenaan dengan ayat terdahulu dan membangkang mereka dengan apa yang ditunjukkan kepada kebenaran kalaulah mereka pencari hidayah dan hakikat yang sebenar yang tidak menyeleweng sama sekali.

"Ayat-ayat yang dibahaskan ini mengarahkan mereka serta menunjuk perkara yang menjadi titik pertemuan bersama dengan bangsa Arab iaitu hubungan dengan Nabi Ibrahim a.s yang mereka bangga dengan menisbahkan kepadanya".

Ayat ke-96

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Mawardi berkata: Maksud Bakkah ada tiga pendapat:

*Masjid al-Haram, inilah pendapat Ibn Shihab dan Damrah bin Rabi'ah.

*Mekah itu sendiri, inilah pendapat Abu Ubaidah.

*Tempat terletaknya Baitullah. Inilah riwayat daripada Malik.

Berkenaan dengan nama Bakkah itu sendiri ada dua pendapat:

*Diambil daripada kesibukan kerana sibuk orang ramai ketika tawaf.

*Dinamakan Bakkah kerana tempat tersebut telah menundukkan leher-leher orang yang takbur apabila mereka melakukan dengan kezaliman pasti dibalas dengan segera.

ii. Al-Maraghi berkata, perkataan barakah mempunyai dua pengertian. Pertama, tumbuh dan bertambah. Kedua, kekal dan berterusan sebagaimana kalimah tabarakallah, Allah yang Maha Kekal.

Barakah dengan erti pertama bermaksud kota Mekah yang dilimpahi pelbagai kebaikan bumi dan terdapat aneka jenis buah-buahan padahal ia hanya sebuah lembah yang tidak subur untuk bercucuk tanam.

Perkataan barakah dengan maksud yang kedua adalah kota Mekah yang menjadikan manusia sentiasa rindu kepadanya sehinggakan orang mahu menziarahinya berkali-kali dengan apa cara sekalipun.

iii. Al-Sonhadji berkata, rumah yang kita jadikan kiblat waktu sembahyang itu ialah rumah yang mula-mula dijadikan oleh Allah tempat manusia beribadat iaitu kaabah namanya.

Ia dijadikan kiblat oleh orang Islam waktu sembahyang, dijadikan tempat ziarah waktu haji dan tawaf (mengelilingi kaabah) dan akan berlipat ganda pahala orang yang beribadat di sana.

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ayat di atas menerangkan bahawa rumah peribadatan pertama untuk manusia adalah kaabah.

Ini memberi isyarat telah ada manusia menjejakkan kaki ke bumi. Manusia memiliki rasa cemas dan harapan. Naluri ini menghiasi manusia sejak kehadirannya di pentas bumi ini, maka sejak itu dia berdoa dan berhubungan dengan Tuhan.

Pakar Psikologi Agama, William James mengatakan, anda tidak menemukan satu tempat di mana manusia dalam masyarakat itu mengadakan hubungan dengan Tuhan yang Maha Kuasa.

Ayat ke-97.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaan-Nya, di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim a.s. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk.

Sebab Nuzul.

Diriwayatkan daripada Umar r.a bahawa beliau berkata: "Aku amat berkeinginan sekali untuk mengirim beberapa utusan ke negeri-negeri ini bagi memerhatikan setiap orang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu mengerjakan haji agar mereka ini dipukul sebagai ganti cukai kepala kerana mereka ini bukan orang Islam, bukan orang Islam".

Golongan Yahudi kerana ia apabila turunnya firman Allah SWT yang bermaksud: Siapa yang mencari selain Islam sebagai agama, nescaya tidak diterima daripadanya." Kemudian mereka berkata: "Kami orang Islam, lantas diperintahkan haji tetapi mereka tidak melakukannya". Kemudian Allah SWT turunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Perkataan istito'ah atau berkemampuan dalam ayat ini ada tiga pendapat:

*Harta benda, iaitu bekalan dan kenderaan. Inilah pendapat Imam al-Syafie.

*Iaitu dengan tubuh badan. Inilah pendapat Imam Malik.

*Dengan harta dan juga tubuh badan. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah.

Berkenaan dengan siapa yang kufur pula, juga terdapat tiga pandangan:

*Siapa yang mengkufurkan dengan fardu haji dan berpendapat tidak wajib. Inilah pandangan Ibn Abbas.

*Siapa yang tidak berpendapat haji satu kebaikan dan meninggalkannya sebagai satu dosa. Inilah pandangan Zaid bin Aslam.

l Golongan Yahudi.

ii. Al-Maraghi berkata, haji diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang berkemampuan. Perintah haji merupakan penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim a.s sehingga ke zaman Nabi Muhammad SAW.

Orang ramai sering menunaikan ibadah haji di Baitullah bagi mengikut jejak Nabi Ibrahim.

Hal ini menjadi mercu tanda yang begitu popular mengenai perhubungan antara Nabi Ibrahim dan Baitullah. Maksud kesanggupan kepada sesuatu ialah kemampuan mencapainya.

iii. Al-Sonhadji berkata, kewajipan haji itu diisyaratkan 'kuasa', dan ini adalah mengikut kedudukan seseorang dan mengikut zamannya.

Ini kerana kehormatan terhadap Baitullah, sebab manusia mengerjakan haji itu semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s hingga zaman Nabi SAW dengan tidak ada putus-putusnya sebagai mengikuti jejak langkah syariat Nabi Ibrahim a.s.

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, makam Ibrahim a.s adalah tempat beliau berdiri membangun kaabah. Makam yang dimaksudkan adalah seluruh arah di mana kaabah itu mengarah.

Oleh kerana itu ramai yang menganggap makam Ibrahim adalah seluruh Masjid al-Haram.

Ada juga yang memahami istilah itu sebagai satu tempat yang ditandai dengan sebuah batu bekas telapak kedua kaki Ibrahim a.s ketika beliau solat di situ.

Kebesaran rumah Allah wajib dimuliakan dan kefarduan haji jelas membuktikan betapa perlunya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh bagi melayakkannya menunaikan perintah Allah serta menjunjung-Nya seperti ibadat haji. Amin.

No comments: