Friday, November 16, 2007

Cenderahati unik dari Chendrasari


ALLYN Rabiah Siddiq menunjukkan salah satu produk bingkai 3D paling terkini yang terdapat di kedai Chendrasari, Ampang Point, Ampang, Selangor.

DI MANA ada usaha di situ ada kejayaan. Nampak mudah sahaja caranya untuk beroleh kejayaan. Namun sekadar usaha sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan kepada faktor lain antaranya kesabaran, pengorbanan, keyakinan, tidak berputus asa, tawakal, berserah, kreatif dan banyak lagi.

Pun begitu, satu lagi yang sering seseorang usahawan itu terlepas pandang akui Allyn Rabiah Siddiq, 37, ialah aspek kritikan. Ini kerana kata Pengarah Chendrasari Enterprise Sdn. Bhd. itu, prinsipnya yang terbuka dengan segala kritikan pelanggan membolehkan kedai cenderahati yang diusahakan kira-kira tujuh tahun lalu terus bertahan dan semakin dikenali.

Ikuti temu ramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, HALIM KHALID bersama wanita kelahiran Muar, Johor ini di Lot Mo3B, tingkat mezzanine, Pusat Membeli Belah Ampang Point, Ampang, Selangor bagi berkongsi rahsia kejayaannya sehingga memiliki aset lot bangunan tiga tingkat, premis stor dan membuka cabang perniagaan lain.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan puan bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?

ALLYN RABIAH: Perniagaan yang diusahakan sekarang ini bukanlah yang pertama pernah saya ceburi. Saya pernah mencuba perniagaan jualan langsung tetapi semuanya menjadi serius apabila kerjaya sebagai remiser gagal ketika pasaran saham jatuh merudum pada tahun 2000 dulu.

Semenjak itulah saya mula bertapak secara kecil-kecilan menumpang di pejabat suami dan menggunakan wang simpanan sendiri. Pada masa itu, saya belum membuka kedai untuk mempamerkan produk-produk cenderahati yang ditawarkan. Malah pada masa itu saya bermula dengan seorang staf sahaja. Saya lebih banyak membuat sendiri kerja-kerja promosi dan pemasaran.

Alhamdulillah, pertemuan dengan seorang teman lama yang memperkenalkan saya kepada pelanggan dari sebuah bank tempatan yang mahukan cenderahati untuk pelanggan mereka, menjadi pembuka jalan.

Oleh kerana pada masa itu, kami masih baru saya cuba nasib dengan menghantar tender. Siapa sangka saya berjaya menerima tempahan. Kejayaan sulung ini menjadi pemangkin semangat dan titik tolak kepada permulaan Chendrasari Enterprise Sdn. Bhd. untuk terus bertapak dalam dunia perniagaan barangan cenderahati khusus bagi syarikat korporat mahupun persendirian.

Disebabkan ramai yang menceburi bisnes ini, ia menjadikan perniagaan ini mempunyai persaingan hebat. Cuma, kami mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berlainan dengan syarikat cenderahati yang lain.

Salah satunya, produk-produk yang terdapat dan ditawarkan oleh kami tidak memfokus kepada produk tempatan semata-mata. Di Chendrasari, para pelanggan kami boleh mendapatkan produk cenderahati yang diimport dari seluruh dunia seperti dari Indonesia, India, Thailand, China, Dubai, Syria dan beberapa lagi.

Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?

ALLYN RABIAH: Memandangkan kami dalam keluarga memang semuanya terlibat dengan perniagaan, mungkin ini secara tidak langsung mengalir darah berniaga.

Mengapa saya pilih perniagaan membekalkan produk-produk cenderahati? Salah satu sebabnya saya lihat masih kurang bumiputera yang terlibat dalam perniagaan sebegini pada awal-awal dahulu.

Tambah pula apabila berjaya mendapat tender membekalkan barangan cenderahati dalam kuantiti yang banyak, ia sekali gus menyakinkan saya bahawa perniagaan ini boleh pergi jauh dan terus berkembang.

Cuma saya sudah bersedia dengan idea-idea baru, unik dan membawa konsep yang lain daripada syarikat lain.

Alhamdulillah, selepas tujuh tahun saya bersyukur dan berbangga, kerana kini kita telah ada beberapa syarikat seperti yang mengendalikan pengurusan acara, korporat video, katering serta bangunan sendiri.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

ALLYN RABIAH: Apa yang dicapai sekarang ini pun sudah begitu membanggakan dan di luar jangkaan. Dilihat dalam tempoh tujuh tahun dengan apa yang dicapai kini, ia merupakan sesuatu yang boleh menjadi pembakar semangat untuk kami teruskan perjuangan dalam dunia perniagaan.

Apa tidaknya, bisnes yang dipilih ini memang ramai yang menceburinya. Namun alhamdulillah dengan konsep berlainan yang Chendrasari ketengahkan telah membawa kami terus ke hadapan dan mampu bersaing.

Saya juga berterima kasih kepada para pelanggan kami yang sentiasa memberi sokongan dan buah fikiran serta kritikan yang secara tidak langsung menjadikan kami lebih baik dan tambah kreatif.

Saya juga ada menerima tawaran untuk buat francais namun ia semuanya dalam proses perbincangan lagi dan sedang memikirkannya.

Saya bukanlah keberatan namun bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Ini bukan juga bermaksud menolak peluang tetapi apabila kewangan semakin kukuh, saya mungkin tidak teragak-agak untuk menerima tawaran menarik ini.

Selain itu, saya juga sedang merancang mencari peluang-peluang perniagaan yang serupa di negara orang. Ini juga masih terlalu awal untuk diceritakan.

Kami di Chendrasari mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ejen, sama ada untuk sepenuh masa ataupun sambilan.

Penglibatan mereka amatlah digalakkan lebih-lebih lagi, perayaan Hari Natal atau Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. Di samping itu, para ejen ini juga bakal memperoleh banyak kelebihan seperti mendapatkan bekalan produk pada harga yang istimewa dan banyak lagi.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 03-4251 1488 atau datang ke kedai kami di Pusat Membeli Belah Ampang Point, Ampang, Selangor.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

ALLYN RABIAH: Soal cabaran dalam dunia perniagaan memanglah pelbagai, bergantung kepada bentuk perniagaan yang diusahakan. Bagi saya cabaran-cabaran yang dihadapi inilah lebih mematangkan dan menjadikan kita lebih berwaspada dan mahir dalam selok-belok alam perniagaan.

Satu cabaran yang ketara sepanjang saya menguruskan Chendrasari ialah berhadapan dengan pesanan-pesanan yang memerlukan pengesahan segera. Sebab itulah hendak atau tidak hendak, kita kena sentiasa mempunyai stok sesuatu produk itu.

Pun begitu, saya sudah dapat menjangkakan bahawa sesuatu produk itu cepat ditiru oleh syarikat lain, jadi saya tidak simpan ia terlalu lama dan akan cuba menghabiskan mana-mana stok yang ada.

Selain itu, kita juga perlu sentiasa mendapatkan barang-barang eksklusif dari negara-negara luar. Sebab itulah saya kerap ke luar negara.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

ALLYN RABIAH: Apabila tender yang kita hantar diterima dan idea yang dikemukakan disukai pelanggan, terutamanya pelanggan yang terdiri dari syarikat-syarikat korporat yang terkemuka itu merupakan satu kepuasaan kepada saya.

Hakikatnya, bukan mudah untuk memuaskan hati mereka tetapi dengan adanya kesabaran, sentiasa beranggapan pelanggan sentiasa betul, perbincangan dua hala, jujur dan memberikan perkhidmatan terbaik, sudah pasti hasilnya juga menakjubkan dan pelanggan lama-kelamaan berkeyakinan dengan kemampuan kita. Bagi saya, bersikap mengalah dan menurut kehendak pelanggan ada banyak kelebihannya dan ia tidak merugikan sedikitpun perniagaan.

Saya juga gembira apabila hasil kerja dan produk-produk cenderahati yang terdapat di kedai ini mendahului trend semasa dan menjadi ikutan. Ia membuatkan saya lebih berminat untuk mencari idea-idea. Pun begitu, di Chendrasari kami tidak memfokuskan kepada pelanggan besar sahaja bagi yang mempunyai peruntukan yang terhad juga ada ditawarkan produk yang harganya berpatutan.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan puan berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

ALLYN RABIAH: Itu memanglah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Semenjak berkecimpung secara serius dalam bidang perniagaan, kita akan rasai apa yang tersirat di sebalik saranan baginda Rasulullah itu tadi. Pokoknya, perniagaan itu mestilah melalui jalan yang diredai Allah dan bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan.

Ahli sunah larang ithbat tempat bagi Allah

SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?

JAWAPAN:

Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat. (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967