Thursday, August 13, 2009

AGAMA : KHAMIS 13 OGOS 2009


Keperibadian ahli hadis
Imam Al-Syafie


Ahli Perkim digalak amalkan tai chi
ISLAM menggalakkan penganutnya supaya mempunyai kesihatan yang baikserta tubuh badan yang sihat dan tuntutan ini dapat diperoleh melaluibersenam atau bersukan.






Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit
DEMAM,batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari inidisebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawaturut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkitiatau menyebabkan jangkitan. Benar hanya Allah SWT yang menentukansesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaansama ada di dunia atau akhirat.

Mabims tangani gejala ancam akidah ummah
PERTEMUANTahunan Tidak Rasmi Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, RepublikIndonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) yang dijadualkan hari iniakan memberi penekanan kepada usaha menghindari gejala negatif yangboleh merosakkan akidah umat Islam.

Insan bersikap positif anggap bencana ujian tingkat iman, takwa
KEHIDUPANdi dunia hanya sementara, malah dianggap permainan dan hiburan yangtidak berkekalan seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud:"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan sendagurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orangyang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am, ayat32)

Hak Muslim: Mohon surat kuasa tadbir, sijil faraid serentak permudah tuntut harta
SAYAialah anak lelaki sulung daripada lima beradik. Pada Julai lalu, bapameninggal dan kemudian saya ke pejabat tanah untuk memfailkanpermohonan pembahagian harta pusaka. Saya diberitahu supaya memfailkanLA di Mahkamah Tinggi kerana pejabat tanah tidak mempunyai kuasaterhadap aset arwah bapa melebihi RM600,000.

Keperibadian ahli hadis

Keperibadian ahli hadis


makam imam Bukhari yang terletak di Khartank, Samarkand.


Imam Al-Syafie

Nama lengkap Imam al-Syafie adalah Abdullah Muhammad ibn Idris al-Shafi'e. Lahir di Ghazzah, Palestin pada tahun 150H/767M dan wafat pada tahun 204H/820M. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang miskin.

Bapanya wafat ketika Imam al-Shafi'e berumur dua tahun dan ketika berusia sembilan tahun beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Karya imam ulung ini antara lain: al-Risalah, al-Qiyas dan Ikhtilaf al-Hadith. (al-Shurbasi, Ahmad, 1991, al-A'immah al-arba'ah)

Imam al-Syafie selalu menjadikan al-Quran dan hadis nabi sebagai landasan dan sumber hukumnya. Dalam hal ini beliau berkata, "Jika kalian mendapati sunnah nabi, maka ikutilah dan janganlah kalian berpaling dengan mengambil pendapat yang lain."

Imam al-Shafi'e pernah berpesan: "Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia".

Meskipun terkenal sebagai ulama fiqh dalam mazhab al-Shafi'e, keahlian Imam al-Syafi'e dalam ilmu hadis turut terserlah apabila beliau turut meletakkan syarat hadis sahih dan memberikan penjelasan mengenai kesahihan sebuah hadis.

Menurutnya, sebuah hadis dinilai sahih apabila perawinya taat melaksanakan ajaran agama, jujur dalam menyampaikan berita, tidak mengubah susunan kronologi periwayat sanad hadis, memahami erti dan maksud yang terkandung dalam hadis yang diriwayatkannya.

Perlu juga diketahui perubahan lafaz sekiranya terjadi, menghafal redaksi hadis yang diriwayatkan, dabit dari segi ingatan dan tulisan, lafaz dan makna tepat seperti sewaktu menerima dari gurunya dan sekiranya hadis diriwayatkan oleh perawi yang lain maka lafaznya tidak berbeza.

Kriteria kesahihan sanad hadis yang dikemukakan oleh -Imam al-Shafi'e turut menjadi kriteria Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Mereka tidak secara maknawi menetapkan syarat-syarat tersebut tetapi ia dirumuskan oleh para ulama sesudah mereka melalui penelitian terhadap kitab-kitab mereka.

Para ulama mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam kerana ilmu. Bukannya kerana kedudukan, atau latar belakang keturunan mereka. Ketekunan dan usaha gigih yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh di atas meletakkan diri mereka antaranya sebagai perawi dan ulama hadis terulung.

Imam al-Bukhari

Nama beliau ialah Muhammad ibn Ismail ibn al-Mughirah ibn Bardizbah al-Bukhari al-Ju'fi. Beliau memeluk Islam melalui al-Yaman al-Ju'fi dan digelar sebagai al-Imam al-hafiz dan lebih dikenali dengan panggilan al-Bukhari. Beliau lahir di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194H.

Imam al-Bukhari mempunyai karya besar dan agung dalam bidang hadis iaitu kitab beliau yang diberi nama al-Jami' atau disebut juga al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.

Ketinggian nilai kitab ini terserlah apabila beliau sangat teliti ketika memuatkan hadis-hadis sahih di dalamnya. Para ulama menetapkan bahawa kitab karangan beliau merupakan kitab yang paling sahih setelah kitab suci al-Quran.

Kedudukan Sahih al-Bukhari diakui oleh semua ulama sebagaimana kata Ibn Taimiyyah, "Tidak ada kitab di bawah naungan langit ini kitab yang paling sahih setelah al-Quran, kecuali Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim."

Ketakwaan dan kesolehan Imam al-Bukhari merupakan sisi lain yang tidak wajar dilupakan. Berikut diketengahkan pernyataan para ulama tentang ketakwaan dan kesolehan beliau agar dapat dijadikan teladan.

Abu Bakr ibn Munir berkata: "Aku mendengar Abu Abdillah al-Bukhari berkata, "Aku berharap bahawa ketika aku berjumpa Allah, aku tidak dihisab dalam keadaan menanggung dosa ghibah (mengumpat)."

Abdullah ibn Sa'id bin Ja'far berkata: "Aku mendengar para ulama di Basrah mengatakan, "Kami tidak pernah menjumpai di dunia ini orang seperti Muhammad ibn Ismail dalam hal makrifat (keilmuan) dan kesolehan."

Imam al-Bukhari wafat pada 30 Ramadan tahun 256H ketika beliau mencapai usia 62 tahun. Jenazah beliau dimakamkan di Khartank, nama sebuah kampung di kota Samarkand.

Seiring tokoh-tokoh ahli hadis lelaki di atas, jika ditelusuri khazanah sejarah peradaban Islam ketika ilmu-ilmu hadis disampaikan secara sistematik, penglibatan dan sumbangan perawi wanita nyata diperakui sehingga tidak ada lagi dakwaan yang mengatakan bahawa wanita diabaikan dan penglibatan mereka hanya sebagai suatu hal yang sia-sia.

Aisyah Binti Abu Bakr Al-Siddiq

Ummu al-Mukminin Aishah binti Abi Bakr ibn Quhafah r.a merupakan nama yang paling penting dalam periwayatan hadis Rasulullah SAW.

Sahabiyyah ini merupakan seorang perawi hadis dan keunggulannya dalam penyebaran hadis diakui oleh para sahabat Rasulullah SAW. Ribuan hadis diterima secara langsung oleh Aisyah r.a dari Nabi SAW.

Kewibawaan Aisyah sebagai tokoh hadis dan periwayat hadis terserlah apabila isteri kesayangan baginda ini meriwayatkan hadis daripada baginda dan kebanyakannya berkaitan tentang kehidupannya bersama baginda SAW. (2,210 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-Sittah, 5,965 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-tis'ah, 316 hadis riwayatnya termuat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan hadis yang diriwayatkan Aisyah r.a secara bersendirian dari Rasulullah SAW sebanyak 138 hadis).

Aisyah r.a sentiasa bersikap kritis dalam mencari dan mempertahankan kebenaran pada saat wahyu atau sabda baginda disampaikan. Sebagai contoh, dalam kitab Fath al-Bari, Ibn Hajar mengupas kritikan (naqd al-hadith) Aishah terhadap Abu Hurairah mengenai kisah dua orang lelaki dari Bani 'Amir telah datang menemui Aishah dan mengatakan bahawa Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud ketidakberuntungan itu dalam tiga perkara iaitu kuda, perempuan dan rumah.

Aishah mendengar lalu menjernihkan situasi dan pemahaman hadis lantas berkata, "....apa yang telah Abu Hurairah katakan hanyalah merupakan amalan masyarakat jahiliah yang suka melakukan amalan bertenung nasib dari tiga hal tersebut".

Ibn Hajar menjelaskan, kritikan Aishah ke atas Abu Hurairah tidak bermaksud mengingkari riwayat Abu Hurairah. Sebaliknya menerangkan bahawa ia merujuk kepada iktikad atau kepercayaan dalam masyarakat jahiliah. (al-Asqalani, Ahmad ibn Ali ibn Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, Qawluhu Bab Ma Yuzkaru Min Shu'm al-Faras, jil. 6, hlm. 61)

Justeru, amat wajar dan tidak menjadi suatu yang mustahil sekiranya Aisyah r.a menjadi tempat bertanya sebarang kemusykilan hadis dan mediator hadis kebanyakan para sahabat, para kibar tabien r.a dan umat Islam seluruhnya.

Lestari Hadis Tanda Cinta Rasulullah

Sebagai kesimpulan, keperibadian tokoh-tokoh hadis di atas dilihat saling tidak tumpah seperti visualisasi keperibadian Islam yang dianjurkan oleh baginda SAW.

Keahlian dan keilmuan mereka dalam ilmu hadis merupakan hasil dari pemikiran dan pemahaman yang mendalam merentasi pelbagai disiplin ilmu (naqd al-hadith, al-jarh, ruwat al-hadith, 'ilal al-hadith, fiqh, tafsir, tauhid al-tibb, al-syi'r).

Mereka bukan dari sebuah kejumudan pemikiran dan pemahaman terhadap sesuatu nas yang hanya mendepankan pendapat manusia semata-mata sebagai rujukan dan panduan membelakangkan (mengabaikan) dua sumber utama umat Islam iaitu al-Quran dan al-sunnah.

Melihat senario yang berlaku dalam komuniti Muslim Malaysia masa kini, komitmen masyarakat terhadap pengajian al-Quran dan penubuhan institusi-institusi pengajian al-Quran semakin giat dilakukan.

Senario ini tidak salah dan amat dianjurkan, namun apa yang dibimbangi adalah tahap keseriusan komuniti Muslim memberi perhatian atau komitmen dalam pengajian hadis dan perkembangannya seimbang dan seiring dengan al-Quran dirasakan amat kurang berbanding komitmen mereka terhadap pengajian al-Quran.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Aku telah tinggalkan kepada kamu perkara yang sekiranya kamu tetap berpegang teguh kepadanya maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku". (riwayat al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak).

Justeru, perlu perhatian serius dan komitmen tinggi badan kerajaan dan swasta agar memperbanyakkan institusi atau pusat kajian hadis bagi melahirkan generasi al-hadis pencinta Rasulullah SAW seumpama Aisyah r.a, Abu Hurairah r.a, al-Imam al-Syafi'e dan al-Imam al-Bukhari.

Ahli Perkim digalak amalkan tai chi

Ahli Perkim digalak amalkan tai chi




ISLAM menggalakkan penganutnya supaya mempunyai kesihatan yang baik serta tubuh badan yang sihat dan tuntutan ini dapat diperoleh melalui bersenam atau bersukan.

Dengan kesihatan yang baik dan tubuh badan yang cergas, seseorang akan dapat menambahkan keimanan dan ketakwaan dengan pelaksanaan ibadat yang lebih sempurna seperti ibadat sembahyang, puasa dan seumpamanya.

Oleh itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menganjurkan Program Sihat, Cergas dan Ceria di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu.

Ia bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental demi kesihatan yang optimum kepada muslimin dan muslimat di samping merapatkan silaturahim.

Mengamalkan gaya hidup sihat ini dapat membina daya ketahanan dan kekuatan, mengawal kesihatan badan, memberi ketenangan fikiran dan mengelakkan daripada penyakit.

Yusof Zhoo Qiang Abdullah dari Universiti Malaya mengetuai senaman tai chi yang disertai oleh 300 peserta.

Mereka terdiri daripada saudara Muslim, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria Pantai Dalam, Persatuan Penduduk Taman Melati, Lembaga Kebajikan Perempuan Kota Raja Klang, Asrama Darul Falah Perkim, Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isayang berkata, Perkim adalah satu-satunya pertubuhan yang prihatin tentang kesihatan dengan aktiviti senaman kerana kebanyakan aktiviti yang dijalankan di kawasan ini dilakukan oleh bukan muslim.

"Tai chi adalah satu senaman di mana pergerakannya adalah perlahan. Pada masa yang sama, seseorang itu perlu menarik dan menghembus udara secara perlahan.

"Tai chi merupakan amalan yang sihat dan salah satu unsur yang menjurus kepada kemantapan fizikal dan secara tidak langsung meningkatkan kecerdasan mental.

"Islam tidak melarang bersukan atau bermain apa jua jenis permainan asalkan tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang haram.

"Jangan sampai kita melupakan batas-batas yang digariskan oleh Islam, semata-mata inginkan kepuasan dan keseronokan," ujarnya yang pertama kali menyertai senaman tersebut.

Setelah berpeluh, program diserikan dengan ceramah ringkas bertajuk 'Kesihatan Dalam Islam' oleh Dr. Izuddin Hamzah dari Klinik Hamzah, Klang.

Sementara itu, Noor Afizah Zamuri 21, pelajar Kelab Perkim Kuis berkata, program seperti ini dapat mendedahkan masyarakat Islam mengenai senaman tai chi dan mempopularkan senaman ini kepada orang Islam.

"Saya berharap aktivitinya pada masa depan akan dipelbagaikan termasuk joging, senaman berzikir dan sebagainya," katanya.

Noraza Saad, 22, pelajar Kelab Perkim UKM pula berkata, ia dapat menjalinkan interaksi yang baik di antara muslim dan pengunjung yang berlainan agama.

"Saya berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit

Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu memakai topeng muka sambil berdoa dijauhi wabak selesema babi, semalam.

Rasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurna

DEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.

Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.

Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.

Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.

Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.

Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.

Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.

Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya: "Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu).

"Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."

Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah.

"Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.

Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya: "Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."

Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.

Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan

Mabims tangani gejala ancam akidah ummah

Mabims tangani gejala ancam akidah ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PESERTA Malaysia yang mengikuti rombongan Bas Belia Mabims bermesra dengan kanak-kanak Orang Asli di Kuala Pangsoon, Hulu Langat, kelmarin.

Malaysia syor kukuh jati diri Muslim elak salah faham agama

PERTEMUAN Tahunan Tidak Rasmi Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) yang dijadualkan hari ini akan memberi penekanan kepada usaha menghindari gejala negatif yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata fahaman pluralisme, liberalisme yang didukung beberapa kelompok Islam didapati berbahaya terutama apabila menyentuh soal akidah sehingga menyebabkan muncul perasaan fanatik .

Katanya, perjumpaan anggota Mabims akan meletakkan asas perbincangan lebih konkrit bagi memastikan ancaman aspek fahaman umat Islam dapat ditangani secara bersepadu sebelum kesan penyebarannya meningkat ke tahap lebih ekstrem.

"Selain peranan Mabims melaksanakan kerjasama serantau dan membina silaturahim empat negara, perjumpaan tahunan juga diguna untuk membincangkan isu semasa yang memerlukan tumpuan negara anggota.

"Penyebaran fahaman yang bercanggah serta menyentuh akidah membimbangkan kita, terutama membabitkan kelompok yang berasakan mereka di pihak benar," katanya.



Beliau berkata, Malaysia akan mencadangkan pendekatan bersifat dalaman iaitu membina jati diri umat Islam, sementara pendekatan luaran pula ialah melalui sesi memberi penjelasan mengenai fahaman salah itu serta kesannya kepada umat Islam.

Penganjuran seminar serta kursus juga dilihat sebagai kaedah memperbaiki kelompok berkenaan supaya tidak terikat dengan fahaman salah yang akhirnya membawa kepada tindakan atau perbuatan melampau.

Jamil Khir berkata, semua wakil Mabims akan membincangkan perkara itu secara terbuka kerana ia menjadi masalah kepada semua dan tanggungjawab mereka mendedahkan salah silap fahaman yang boleh menggugat ketenangan umat Islam sejagat.

"Ini sudah menjadi budaya Mabims untuk setiap negara menjalinkan kerjasama dalam perkara membabitkan Islam dan perkara mempunyai nilai yang dikongsi bersama. Apa juga rumusan daripada perbincangan adalah demi kebaikan umat Islam semua," katanya.

Katanya, pertemuan itu juga meneruskan kerjasama dibuat secara dekat untuk pembangunan masjid, isu berkaitan penentuan anak bulan menetapkan tarikh Ramadan dan Aidilfitri, zakat dan usaha membangunkan aktiviti agama.

Pertemuan Mabims kali ini di Malaysia, diadakan bersempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-51 yang berlangsung lapan hari bermula 4 Ogos dan berakhir malam tadi.

Anggota Mabims turut menyerikan majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Kedah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Ia juga bersempena sambutan 20 tahun penubuhan Mabims, kesepakatan yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal bersifat politik negara anggota.

Mabims yang diwujudkan pada 1989 mulanya dianggotai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Pada 1994, Singapura secara rasmi menjadi anggota kesepatakan itu.

Penubuhan Mabims bertitik tolak daripada Muktamar Keempat Menteri-menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada 17 hingga 19 Mei 1989.

Pada muktamar itu tiga Menteri Agama Asia hadir iaitu Datuk Dr Mohamad Yusof Mohamed Noor dari Malaysia, Munawir Sjadzali (Indonesia) dan Datuk Seri Utama Dr Awang Mohd Zain Serudin (Brunei).

Tahun ini, sekali lagi Malaysia menjadi tuan rumah pertemuan Mabims yang turut meraikan penubuhannya 20 tahun lalu selama empat hari bermula 10 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sempena ulang tahun ke-20 Mabims, pelbagai program diadakan termasuk Kembara Belia Mabims yang menjelajah sambil berdakwah bermula dari Singapura ke beberapa negeri di Malaysia serta Muzakarah Ulama Mabims.

Hari ini juga diadakan ceramah eksekutif oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertajuk 'Umat Islam dan Cabaran Bagi Negara Islam' sementara malamnya nanti, majlis ulang tahun Mabims ke-20 yang mengimbas kembali sejarah penubuhannya.

Mekanisme kerja Mabims bergerak dalam pelbagai cara melalui pertemuan tahunan peringkat menteri agama, mesyuarat pegawai tinggi (SOM) dan mesyuarat jawatankuasa teknikal. Mekanisme lain bagi mencapai objektif Mabims ialah penganjuran seminar, persidangan, kursus dan lawatan antara negara anggota.

Matlamat Mabims untuk mengangkat kedaulatan umat Islam Asia Tenggara dalam pengembangan ekonomi, sosial dan kebudayaan Islam serta menjadi model kepada umat Islam sejagat yang mengamalkan budaya kerjasama yang berjaya mentadbir, mengatur dan mengurus hal ehwal Islam.

Malaysia sebagai negara anggota berperanan secara aktif dalam setiap program anjuran Mabims dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipertanggungjawabkan menguruskan semua urusan pembabitan negara pada pertemuan Mabims serta melaksanakan persetujuan yang dicapai.

Insan bersikap positif anggap bencana ujian tingkat iman, takwa

Insan bersikap positif anggap bencana ujian tingkat iman, takwa

Oleh Mohd Shukri Hanapi

KEHIDUPAN di dunia hanya sementara, malah dianggap permainan dan hiburan yang tidak berkekalan seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Justeru, kita jangan mudah terpedaya sehingga terus melupakan urusan akhirat.

Kesenangan hidup menyebabkan manusia lalai mengingati Allah. Oleh itu, Allah mengutuskan nabi dan rasul memberi peringatan supaya manusia berwaspada, beramal salih dan segera bertaubat.

Namun, masih ada juga manusia ingkar dan sombong dengan tidak mahu mengikut perintah Allah. Sebagai balasannya, Allah menurunkan bencana sebagai ujian dan dugaan supaya manusia segera insaf.

Allah berfirman maksudnya: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia kerana Allah hendak mereka rasai sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang dilakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Sesungguhnya musibah dan bencana terhadap manusia adalah ujian dan peringatan. Kita perlu bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah.

Anggaplah ujian itu proses memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Sebenarnya pelbagai ujian diturunkan Allah antaranya wabak Influenza A (H1N1). Penyakit ini boleh menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan Virus Influenza jenis A.

Sesuatu yang lebih penting untuk difahami umum ialah penularan penyakit berjangkit ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.

Menjaga kebersihan amat diutamakan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Dalam menghadapi segala ujian atau bencana daripada Allah, kita perlu banyak bersabar dan memohon perlindungan Allah SWT dengan mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah ketika solat jumaat di seluruh negara. Mudah-mudahan rakyat dihindari daripada segala bencana dan wabak berbahaya.

Hak Muslim: Mohon surat kuasa tadbir, sijil faraid serentak permudah tuntut harta

Hak Muslim: Mohon surat kuasa tadbir, sijil faraid serentak permudah tuntut harta

SAYA ialah anak lelaki sulung daripada lima beradik. Pada Julai lalu, bapa meninggal dan kemudian saya ke pejabat tanah untuk memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka. Saya diberitahu supaya memfailkan LA di Mahkamah Tinggi kerana pejabat tanah tidak mempunyai kuasa terhadap aset arwah bapa melebihi RM600,000. Apakah LA? Bagaimanakah proses untuk mendapatkannya? Bilakah pula saya perlu memohon sijil faraid

Halim,
Kuala Trengganu.

Undang-undang yang diguna pakai untuk mentadbir harta pusaka umat Islam ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) bagi harta pusaka RM600,00 ke atas dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) bagi harta kurang RM600,000.

LA ialah singkatan kepada letter of administration atau surat kuasa mentadbir. Permohonan surat ini perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil kerana harta pusaka arwah bapa anda melebihi RM600,000.

Menurut Aturan 30 Akta 97, surat kuasa mentadbir diberikan kepada sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu. Permohonan boleh dibuat anda sebagai anak sulung atau bersama ahli waris lain mengikut persetujuan keluarga seperti diperuntukkan mengikut Aturan 41 Akta 97 yang membenarkan sehingga maksimum empat pentadbir.

Jika ada waris mengalami kecacatan otak dan tidak berupaya menguruskan diri, permohonan pelantikan sahabat wakil (guardian ad-litem) perlu dibuat bersama permohonan surat kuasa mentadbir.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah mendapatkan sijil kematian asal bapa di Pejabat Pendaftaran Negara, membuat salinan kad pengenalan waris yang masih hidup, salinan dokumen berkaitan dengan harta pusaka si mati seperti geran tanah, perjanjian jual beli, kad pendaftaran kenderaan, penyata akaun dan sebarang penyata hutang si mati.

Menurut Aturan 71 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi permohonan surat kuasa harus difailkan bersama dokumen berikut:

# Petisyen untuk surat kuasa mentadbir.

# Senarai aset dan liabiliti si mati.

# Afidavit pengesahan pempetisyen.

# Surat penolakan waris yang tidak menjadi pentadbir.

# Sumpah pentadbiran.

# Notis pelantikan peguam jika diwakili.

Selepas permohonan difailkan, mahkamah menetapkan tarikh pendengaran di hadapan Penolong Kanan Pendaftar dan anda sebagai pemohon perlu hadir pada hari pendengaran itu.

Lebih menjimatkan masa jika permohonan surat kuasa mentadbir dan sijil faraid dibuat serentak, kerana kedua-dua permohonan itu dalam bidang kuasa mahkamah berlainan. Surat kuasa mentadbir di Mahkamah Tinggi Sivil, manakala sijil faraid di Mahkamah Syariah.

Namun, jika isteri si mati berhasrat menuntut harta sepencarian di Mahkamah Syariah, tuntutan perlu diselesaikan dulu sebelum harta pusaka difaraidkan.

Seksyen 35(2) Akta Probet Pentadbiran 1959, memperuntukkan sebelum surat kuasa mentadbir (geran) dikeluarkan, pentadbir dikehendaki mengemukakan dua penjamin yang mempunyai aset melebihi atau menyamai nilai aset si mati dan ia bebas hutang.

Jika tidak, buat pengecualian dengan memfailkan permohonan dalam bentuk saman di kamar bersama afidavit yang menjelaskan alasan kepada mahkamah untuk dikecualikan daripada mengemukakan dua penjamin.

Selepas sijil faraid diperoleh, anda perlu membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka.

Permohonan Pembahagian perlu dibuat dengan memfailkan saman pemula dan afidavit menyokong permohonan itu.

Adalah penting untuk dinyatakan kepada mahkamah cara pembahagian dibuat sama ada persetujuan bersama atau ikut hukum faraid. Selain itu, persetujuan waris lain perlu diperoleh dan persetujuan perlu difailkan dalam bentuk afidavit bersama saman pemula dan afidavit anda tadi.

Jika pembahagian atau penyelesaian secara faraid, sijil faraid mesti diperoleh sebelum membuat permohonan dan dilampirkan dalam permohonan pembahagian.

Selepas permohonan ini difailkan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dalam kamar.

Jika diwakili peguam, kehadiran anda boleh dikecualikan dan hanya peguam hadir pada masa itu. Anda dinasihatkan merujuk peguam bagi melancarkan proses perjalanan kes berkenaan.

Jawapan disediakan Yusmawati Abdullah, Exco Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http:// www.peguamsyarie.org