Monday, August 10, 2009
AGAMA : ISNIN 10 OGOS 2009
MUNGKIN ada di kalangan kita yang merasakan tidak penting, siapa yangterdahulu dan terkemudian yang memeluk Islam sebaik sahaja NabiMuhammad dilantik menjadi Rasul.
Nisfu Syaaban dan Ramadan
SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, alhamdulillah.
Al-Hidayah 'naung' saudara Muslim India
PERTEMUAN semula dengan Presiden Persatuan Dakwah Islamiah &Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia atau singkatannya, Al-Hidayahbaru-baru ini, mirip seperti program 'jejak kasih'. Apa tidaknya, iaadalah pertemuan selepas lebih lima tahun.
Selangor bagai promosi kesalahan jenayah syariah
TINDAKANKerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolakcadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskanpenjualan arak penghujung tahun lalu amatlah dikesali. Alasan yangdiberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim keranamenghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ituamatlah pelik dan tidak masuk akal. Malah baru-baru ini pula AbdulKhalid berpendapat lebih baik menggunakan konsep kawalan sendiri danenggan mengenakan peraturan kawalan jualan arak walaupun di kawasanmajoriti penduduk Islam.
Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua
MEMIKULtanggungjawab membawa nama negara bukan tugas mudah, namun bagi qariahSharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, peluang mewakili negara buatdua tahun berturut-turut pada Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa,amanah yang akan dilaksanakan sebaik-baiknya.
Tak perlu takut urus jenazah saudara seagama
PENGURUSANjenazah termasuk amalan fardu kifayah tetapi sebagai umat Islamseharusnya kita mengambil berat urusan membabitkan kesejahteraanmasyarakat itu bagi mengelak diri termasuk dalam golongan yang jahil.
Ketawa berlebihan tabiat kaum munafik
SETIAPinsan sering berhadapan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukantindakan mental dan fizikal. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengankedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasikeriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.
Pemuda pertama peluk Islam
MUNGKIN ada di kalangan kita yang merasakan tidak penting, siapa yang terdahulu dan terkemudian yang memeluk Islam sebaik sahaja Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul.
Namun tidak kurang yang menimbulkan persoalan siapa sebenarnya kalangan pemuda yang pertama memeluk Islam selepas Saidatina Siti Khadijah? Adakah anak angkat baginda, Zaid bin Harithah, sepupu baginda Ali bin Abi Talib malah sesetengah mendakwa sahabat baik baginda sendiri, Abu Bakar As Siddiq merupakan pemuda pertama yang memeluk Islam.
Namun persoalan lebih tertumpu kepada Ali. bagaimana seseorang yang dikatakan dalam usia yang masih kanak-kanak malah dikatakan masih belum baligh lagi, iaitu 10 tahun telah berjaya dipengaruhi untuk memeluk Islam?
Lantaran itu satu persatu kita mengenali terlebih Ali dalam kehidupan Rasulullah. Baginda sebenarnya mengambil Ali sebagai anak angkat bagi meringankan beban bapa saudaranya, Abu Talib yang selama ini telah begitu berjasa besar menjaga dan membimbing baginda.
Dalam satu peristiwa, baginda dikatakan mengajak bapa saudara, Abbas bin Abdul Mutalib yang mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih baik untuk mereka sama-sama membantu Abu Talib. "Wahai bapa saudaraku Abbas, abangmu Abu Talib adalah seorang lelaki yang mempunyai ramai anak. Marilah kita berangkat ke rumahnya dan bersama-samalah kita meringankan beban bapa saudara yang memelihara ku sejak kecil itu," kata baginda.
Apabila bertemu dengan Abu Talib, mereka pun menyatakan hasrat untuk membantu. Lalu bapa saudara nabi itu pun berkata: "Tinggalkan Aqil (abang kepada Ali) kepadaku dan bawalah sesiapa pun anak-anak ku yang lain, yang kalian kehendaki".
Lalu Rasulullah membawa pulang Ali manakala Abbas membawa pulang Jaafar untuk dijadikan anak angkat masing-masing. Dikatakan Ali ketika itu dalam usia lingkungan lapan atau 10 tahun.
Malah dikatakan dalam usia itu jugalah Ali memeluk Islam selepas diajak oleh Rasulullah. Dalam hal ini dikatakan tidak timbul soal Ali masih terlalu muda dan tidak tahu menahu mengenai ajakan memeluk Islam itu.
Bagi baginda, Islam itu merupakan satu rahmat besar, jadi tidak mungkin sepupunya terlepas dari menikmati rahmat besar dari Allah itu di tambah lagi Ali merupakan sepupu baginda yang paling rapat dan seorang yang sangat cerdas, cergas dan pintar.
Malah dalam hal ini, Ali sendiri pernah berkata: "Saat itu, Islam belum masuk ke rumah lain kecuali rumah Nabi dan Khadijah. Saya orang ketiga di antara mereka. Saya biasa melihat cahaya wahyu dan kerasulan serta mencium harumnya kenabian," kata Ali. (Nahj al Balaghah, h.182).
Memeluk Islam
Atas dasar Ali seorang yang sangat pintar, dikatakan untuk beliau memeluk Islam itu sebenarnya tidak mudah. Beliau tidak mudah termakan dek kata-kata kecuali selepas akalnya berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan.
Selepas berjaya mengajak Siti Khadijah kepada Islam, Nabi Muhammad dikatakan lebih menuruti kehendak wahyu terutamanya apabila malaikat Jibrail muncul untuk mengajarkan kepada baginda mengenai ibadat solat yang perlu disempurnakan dengan mengambil air sembahyang terlebih dahulu. "Wahai Muhammad, bangkitlah dan berwuduklah untuk melaksanakan solat!," kata Jibrail yang datang dengan membawa air dari syurga untuk digunakan semasa berwuduk.
Malaikat itu mengajar Nabi cara-cara berwuduk, iaitu dengan membasuh muka dan kedua-dua tangan mulai dari siku, mengusapkan kepala dan membasuh kaki. Jibrail juga kemudiannya mengajar untuk bersolat terutama cara bersujud dan rukuk.
Selepas itu dikatakan ibadat solat yang dilakukan oleh baginda dengan jumlah bilangan dua rakaat sahaja dan tanpa diberikan waktu solat yang tertentu.
Tetapi lazim Rasulullah mendirikan solat semasa waktu terbit fajar dan pada tenggelamnya matahari.
Perbuatan solat Nabi ini sentiasa diperhatikan oleh Ali sehinggalah pada suatu hari beliau bertanyakan sendiri kepada sepupunya itu:
"Ya Abu Qasim, apakah yang sedang engkau lakukan ini? Kepada siapa engkau bersujud". Lalu baginda menjawab: "Ini adalah solat yang Allah perintahkan kepadaku untuk dilaksanakan bagi mengucapkan rasa syukur terhadap-Nya yang mencipta dan menghidupkan manusia di muka bumi ini, sebagaimana adanya aku dan engkau sekarang ini.
"Tidakkah kau mahu untuk bersamaku menyembah Tuhan Yang Satu?"
Lalu Nabi juga membacakan ayat-ayat al-Quran bagi menguatkan lagi apa yang baginda katakan tadi.
Ali yang tertarik dengan kata-kata Nabi Muhammad dan ayat-ayat al-Quran itu, tanpa sebarang ragu kemudiannya menerima ajakan Islam dari baginda dan beliau kemudiannya sering mengikuti Nabi bersolat.
Pada saat itu hanya Nabi, Ali dan Khadijah sahaja melaksanakan ibadat solat itu. Dalam satu riwayat lain diceritakan pada satu kisah bagi menunjukkan Ali merupakan pemuda pertama yang memeluk Islam selepas Siti Khadijah. Afif al Kindi menurut riwayat Ibnu Hajar bercerita: "Pada suatu hari di zaman jahiliah, saya pergi ke Mekah bersama dengan tuan rumah saya, iaitu Abbas bin Abdul Mutalib sehingga kami tiba dan berhenti di sisi Kaabah.
"Di situ kelihatan seorang lelaki yang keluar dari sebuah tenda (khemah) diikuti dengan seorang budak lelaki dan seorang wanita lalu berdiri di belakang lelaki tersebut.
Penuh hairan
"Aku melihat dengan penuh hairan budak lelaki dan wanita itu yang melakukan tunduk (rukuk) dan sujud dengan meniru lelaki di hadapan mereka dan lalu aku bertanyakan kepada Abbas mengenai pemandangan ganjil tersebut," kata Afif.
Menurut Abbas, lelaki tersebut merupakan anak saudaranya, Muhammad bin Abdullah, budak lelaki yang bersama dengan mereka itu merupakan sepupu Muhammad, Ali dan wanita itu pula, isteri Muhammad, Siti Khadijah.
"Anak saudara saya itu, mengatakan bahawa Allah telah mengangkatnya menjadi Rasul pada suatu saat nanti bahawa dia akan menguasai takhta dan kemegahan kerajaan Khosru (atau Khusraw, Dinasti Persia Sasanid dan Kaisar (Dinasti atau empayar Rumawi).
"Demi Allah, tidak ada pengikut agama ini di muka bumi ini kecuali ketiga-tiga orang itu," kata Abbas.
Mengenai Zaid bin Harithah yang kala dewasanya merupakan antara pejuang-pejuang Islam yang sangat kental dan hebat mempertahankan Islam. Beliau begitu diketahui oleh umum merupakan anak angkat Nabi yang pernah dibinkan kepada Rasulullah, Zaid bin Muhammad.
Namun selepas kedatangan Islam berserta dengan panduan dan ajarannya, perbuatan untuk menamakan bapa angkat itu dihentikan dan Zaid kembali sebagai Zaid bin Harithah.
Zaid diambil oleh Nabi sebagai anak angkat ketika Nabi belum diangkat sebagai Rasul iaitu ketika baginda pergi ke pasar di Kota Mekah dan di situ baginda ternampak Zaid. Baginda sangat tertarik kepada perwatakan Zaid yang cerdas dan pintar, lalu baginda membeli remaja itu dan diberikan kepada Khadijah untuk dijadikan pembantu wanita itu dalam urusan perniagaan.
Namun, apabila Nabi mengahwini Khadijah, isteri Nabi itu mengembalikan semula Zaid kepada suami sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Namun baginda suami isteri kemudiannya memerdekakan Zaid dan dijadikan anak angkat. Namun dalam setengah riwayat yang lain, Zaid dikatakan merupakan tawanan dalam satu peperangan yang menyebabkan beliau dijual kepada Siti Khadijah namun setelah mendapat kebenaran dari bapa dan keluarga Zaid, anak itu tidak sahaja dimerdekakan malah diambil sebagai anak angkat.
Namun yang pasti, Zaid kemudiannya memeluk Islam dalam kategori golongan yang paling awal, iaitu dalam lingkungan keluarga nabi. Ini termasuk juga anak-anak baginda yang lain, turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.
Walaupun kini seluruh keluarga nabi memeluk Islam, lalu telah timbul keraguan di hati nabi mengenai usaha-usahanya itu.
Ikuti keluaran akan datang bagaimana keraguan Nabi itu akhirnya sebenarnya membuka satu lagi era baru dalam dunia dakwah baginda!
Nisfu Syaaban dan Ramadan
|
|
SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, alhamdulillah.
Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya seperti yang telah kita himbau di minggu lepas, terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang baru kita lalui.
Tidak beberapa hari lagi, kita akan, insya-Allah memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan termasuklah malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.
Jelas kelihatan bagaimana Rejab dan Syaaban dijadikan sebegitu rupa agar berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan termasuklah yang baru kita tempuhi iaitu malam nisfu Syaaban yang mana Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam.
Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar. Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk 'meminang' lailatul qadar.
Di antara kebesaran dan kehebatan sesuatu perkara ialah banyaknya nama dan gelaran baginya. Nisfu Syaaban turut memiliki ciri ini. Ia digelar oleh para pemuka ulama dari kalangan salaf dan khalaf dengan pelbagai nama yang mulia termasuklah Lailah al-Barakah (Malam Keberkatan), Lailah al-Ghufran (Malam Pengampunan) dan Lailah al-'Itq min al Nar (Malam Pembebasan Dari Api Neraka) Lailah al Baraah (Malam Pelepasan).
Semua nama ini bukanlah gelaran kosong kerana memang perkara-perkara inilah yang ditawarkan dan diburu pada malam tersebut.
Merayu bantuan
Nisfu Syaaban adalah antara sebaik-baik malam untuk kita bermesra, mengadu hal dan merayu bantuan dan pertolongan Tuhan. Maka sudah menjadi kebiasaan para solehin umat ini mengikut jejak langkah Penghulu mereka yang telah meninggalkan contoh yang agung dalam memuliakan malam yang penuh mustajab dan berkat ini.
Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abu Talib r.a daripada Nabi SAW bersabda: "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintah-Nya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, "Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah di kalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar". (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya)
Dikeluarkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah maka aku pun keluar mencarinya dan aku menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda, "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah berkata: Aku berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain". Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SAW turun (menurunkan rahmat atau perintah-Nya) ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab".
Al Dar Qutni telah meriwayatkan juga hadis Bakar ibn Sahl daripada Hisyam ibn 'Urwah daripada bapanya, daripada Aisyah r.a: "Malam Nisfu Syaaban adalah malam giliranku bersama Rasulullah SAW. Pada malam itu, Rasulullah SAW bermalam di sisiku. Tatkala tengah malam, aku kehilangan Baginda SAW dari alas tempat tidurku. Demi Allah! Alas kain tempat tidurku itu bukanlah kain bulu yang ditenun dengan sutera, atau kapas". Aisyah ditanya, "kain apakah itu?" Jawab Aisyah, "Ia adalah kain bulu dan isinya daripada bulu unta. Maka aku mencarinya di bilik-bilik isterinya yang lain tetapi aku tidak menemuinya. Lalu aku kembali semula ke bilikku, dan aku mendapati Baginda SAW seperti sehelai baju yang jatuh ke tanah sedang sujud dan Baginda SAW menyebut di dalam sujudnya: "Telah sujud kepada-Mu jasad dan wajahku, telah beriman denganMu kalbuku. Inilah tanganku dan jenayah ke atas diriku yang telah aku lakukan dengannya. Wahai Tuhan Yang Maha Besar yang diharapkan oleh segala yang besar! Ampunilah dosaku yang besar. Telah sujudlah wajahku kepada Allah yang menciptakannya, membentukkan rupa parasnya, memberikan pendengaran dan penglihatannya".
Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidak terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud a.s: "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud kepada-Nya".
Kemudian Baginda SAW mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka".
Aku mendengar Baginda SAW membaca dalam sujudnya: "Aku memohon perlindungan dengan keampunan-Mu dari balasan azab-Mu dan aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab-Mu. Sungguh besar Zat-Mu yang tidak terhitung pujiannya ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu".
Solat tasbih
Itulah suatu gambaran bagaimana Nabi kita SAW begitu menghayati dan memuliakan malam nisfu Syaaban. Sunnah baginda ini telah menyuntik inspirasi kepada para pemuka ulama umat ini untuk turut menghidupkan malam tersebut.
Selain itu, kita juga dianjurkan agar menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan solat tasbih. Menerusi hadis yang panjang itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat tasbih adalah antara 10 perkara yang jika dilakukan akan mengampunkan dosa yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil mahupun besar malah, yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.
Malah baginda SAW turut menyarankan agar kita menunaikan solat tasbih setiap hari, seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali atau setidak-tidaknya seumur hidup sekali.
Menurut Sheikh Soleh al-Jaafari al-Azhari, mantan Imam Besar dan tenaga pengajar di Masjid al-Azhar, malam tersebut juga boleh dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW.
Namun Sheikh Salim al-Sanhuri al-Maliki lebih mengutamakan solat tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya, al-Abbas r.a dan pahalanya yang amat besar.
Adalah amat tidak wajar jika kebiasaan sesetengah umat untuk menghidupkan malam tersebut dengan cara tertentu dijadikan pertikaian termasuk atas alasan cara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Oleh kerana galakan Nabi SAW itu umum sifatnya maka terserahlah kepada umat untuk memilih cara yang paling baik sesuai dengan kemampuan mereka. Tidak peliklah misalannya jika mereka memilih untuk membaca surah yasin pada malam itu kerana surah tersebut adalah yang paling mudah dibaca oleh kebanyakan orang dan pada masa yang sama adalah antara surah yang teristimewa dalam al-Quran.
Alasan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukannya tidak semestinya menunjukkan ke atas pengharaman sesuatu kerana kaedah syariat ada al-Tarku la yuntiju Hukman yang bermaksud bahawa setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW tidak membawa implikasi hukum.
Oleh itu apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidaklah menunjukkan pengharamannya.
Menerusi sekian banyak hadis dan athar yang merakamkan bagaimana Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh yang lain memburu peluang menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berdoa dan beribadat kepada Allah SWT, jelas kepada kita tentang keistimewaan dan kelebihan malam yang penuh berkat ini.
Bagi mereka yang telah ditaufiqkan menghidupkannya pada tahun ini, tahniah kita ucapkan dan semoga amalan mereka ditempatkan ditempat yang mulia di sisi Tuhan, rabbul jalil.
Bagi mereka yang ketinggalan atau tertinggal pada kali ini, wajarlah mereka merasa kesal dan menyesal di atas kelalaian mereka itu. Mungkin sahaja jika kekesalan mereka itu benar-benar jujur dan mendalam ia akan turut melayakkan mereka mendapatkan ganjaran seolah-olah mereka telah pun turut memuliakan malam tersebut.
Semoga kedua-dua kelompok ini akan dikira layak untuk memuliakan malam ini di tahun-tahun mendatang serta dipilih untuk menjadi calon-calon terbaik untuk lailatul qadar dan madrasah Ramadan yang bakal tiba. Amin ya rabbal alamin.
Al-Hidayah 'naung' saudara Muslim India
|
|
PERTEMUAN semula dengan Presiden Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia atau singkatannya, Al-Hidayah baru-baru ini, mirip seperti program 'jejak kasih'. Apa tidaknya, ia adalah pertemuan selepas lebih lima tahun.
Penulis masih ingat kemesraan empunya diri iaitu Abdul Latif Santharan Abdullah dan isterinya, Siti Fatimah Puspalatha Abdullah serta anak-anak mereka, sewaktu menerima kunjungan penulis dan jurugambar di rumah mereka di Kuang, Selangor.
Pada masa itu, anak jati kelahiran Kerling, Selangor ini ditemu bual tentang penghijrahan akidah beliau dan isteri serta serba sedikit portfolio beliau sebagai Presiden Persatuan Al-Hidayah yang ditubuhkan pada 22 April 1999.
Menurut Abdul Latif, 50, yang memeluk Islam kira-kira 24 tahun lalu, idea penubuhan Al-Hidayah mula tercetus ketika beliau mengikuti pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim, Petaling Jaya (IDP) pada tahun 1988.
Katanya, apabila melihat angka kes murtad di kalangan orang India dan Orang Asli yang semakin meningkat setiap tahun, saya cuba membuat kaji selidik dan pemerhatian secara tidak rasmi.
"Mereka ini murtad kerana tidak mendapat bimbingan berterusan dan pendedahan yang secukupnya mengenai ajaran Islam.
"Apatah lagi, dengan kurangnya pendakwah daripada golongan sebangsa yang menjadikan jurang bahasa sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kes-kes murtad yang semakin menjadi-jadi," jelas beliau.
Oleh itu, kata Abdul Latif, dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti kursus-kursus kemantapan akidah, kelas-kelas fardu ain dan tafsir al-Quran serta mengadakan program ziarah ke estet-estet, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan berleluasanya gejala murtad.
Beliau kini memimpin lebih 600 orang ahli saudara Muslim India di seluruh Malaysia.
Pun begitu, jelas penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun 1999 ini, hasrat penubuhan itu tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja. Ini kerana kekurangan pengalaman selain terpaksa melalui pelbagai cabaran semasa.
Sebelum sah secara rasmi sebagai sebuah persatuan, Al-Hidayah kata Abdul Latif bergerak atas tiket badan sukarelawan.
Ia menjelajah ke estet-estet dan mengadakan kelas-kelas dakwah serta mengajar di rumah-rumah demi memperjuangkan syiar Islam.
Tambah menyukarkan, sikap segelintir masyarakat Islam yang lebih bersikap terbuka kepada golongan yang masih berjinak-jinak dengan agama Islam berbanding sikap prejudis terhadap individu yang telah pun berbin atau berbintikan Abdullah.
Namun berkat kesungguhan serta tidak mengenal putus asa hasrat ini terlaksana jua selepas lebih 10 tahun bergerak secara sukarelawan. Kejayaan ini juga kata Abdul Latif, tidak kesampaian tanpa sokongan dan dokongan teman-teman sepengajian pada ketika itu.
Malah, gelaran pendakwah yang diperoleh sebaik menamatkan pengajian sedikit sebanyak mengukuh keyakinan berdakwah kepada golongan yang bukan Islam, terutamanya kaum sebangsa.
"Sebenarnya, saya cuba mengelakkan persepsi masyarakat majmuk di Malaysia yang menganggap masuk Islam sebagai masuk Melayu.
"Lantaran itu, berusaha untuk menjalani hidup dalam suasana budaya yang baru. Padahal, selagi mana apa yang diamalkan itu tidak bertentangan dengan akidah Islamiah dan ajarannya, maka Islam membenarkan," katanya.
Menurut Abdul Latif, Al-Hidayah menggunakan bahasa Tamil sebagai medium atau perantara utama dalam setiap aktiviti persatuan. Namun, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tidak dipinggirkan.
"Ini kerana penguasaan yang dikira masih rendah dalam bahasa Malaysia dan Inggeris, menjadikan penyampaian dakwah itu sedikit tergugat, begitu juga dengan penerimaan serta pemahaman saudara-saudara baru India," akui beliau.
Abdul Latif memeberitahu, Al-Hidayah adalah satu-satunya persatuan saudara Muslim India yang memperjuangkan kebajikan, hal ehwal dan dakwah Islamiah di kalangan orang India, khasnya dan umat Islam, amnya.
Sehingga kini, ia mempunyai cawangan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah. Operasi di Selangor dan Kuala Lumpur pula terletak di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.
"Alhamdulillah sejak berpindah ke lokasi baru ini, kami berjaya menguruskan Sekolah Rendah Agama Islam Tamil yang baru berusia dua bulan. Meskipun masih baru, tetapi sambutan yang diterima, adalah begitu memberangsangkan," jelasnya.
Sekolah itu sedang dalam proses untuk didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kelas ini beroperasi dalam dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang. Setakat ini kami sudah menerima 27 pelajar antara usia enam hingga 14 tahun.
"Seperkara yang menarik di sekolah ini ialah tenaga pengajarnya adalah secara sukarela. Mereka mengajar subjek al-Quran, Bahasa Arab, Akhlak, Tauhid, Bahasa Inggeris, Sirah dan Jawi. Keistimewaan di sekolah ini adalah mengajarkan bahasa Tamil.
"Penguasaan bahasa ini penting, kerana ia adalah satu kelebihan untuk menyampaikan dakwah secara berkesan kepada masyarakat India yang belum memeluk Islam," ujar Abdul Latif yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN).
Tambah beliau, Al-Hidayah semakin bergerak aktif dengan penganjuran pelbagai kelas dakwah yang disampaikan dalam bahasa Tamil serta tidak ketinggalan aktiviti berbentuk kebajikan ahlinya.
"Setiap ahli dikenakan bayaran RM24 untuk tempoh setahun. Selain disediakan kelas-kelas pengajian Islam harian dan bulanan seperti Kelas Bimbingan Fardu Ain dan Kelas Tafsir al-Quran.
"Aktiviti bulanan seperti; Kursus Pemantapan Akidah, Kursus Kefahaman Islam, Kursus Tahsin Ibadah, Kursus Remaja India Muslim Cemerlang dan Program Ziarah Rumah ke Rumah Mualaf, kami turut memberikan kaunseling terutamanya kes-kes murtad di kalangan saudara baru India," jelasnya.
Biasanya, persatuan itu menerima aduan daripada pejabat agama untuk cuba diselesaikan. Cuma perlu ditegaskan di sini, Al-Hidayah tidak menyediakan bantuan kewangan kerana persatuan itu turut berusaha mencari dana sendiri,.
Pada masa yang sama, Abdul Latif turut merencanakan penubuhan sebuah institusi yang dikenali Pusat Tarbiah Al-Hidayah dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.
Beliau yang juga kaunselor di Pejabat Mufti Selangor berkata, pusat itu akan menyediakan pengajian jangka panjang kepada saudara baru India yang berminat mendalami Islam serta bergelar pendakwah. Sekali gus diharap akan melahirkan ustaz dan ustazah pelapis untuk meneruskan syiar Islam di kalangan masyarakat India.
Selangor bagai promosi kesalahan jenayah syariah
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Sering kali istilah sensitiviti digunakan bagi mengelak umat amalkan cara hidup mengikut Islam
TINDAKAN Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak penghujung tahun lalu amatlah dikesali. Alasan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu amatlah pelik dan tidak masuk akal. Malah baru-baru ini pula Abdul Khalid berpendapat lebih baik menggunakan konsep kawalan sendiri dan enggan mengenakan peraturan kawalan jualan arak walaupun di kawasan majoriti penduduk Islam.
Apa yang dicadangkan Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkaitan dengan penjualan arak yang berleluasa itu hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.
Orang bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing. Ini juga menggambarkan keretakan dan keampuhan kerajaan diterajui PKR di negeri itu. Penulis tidak berhasrat menulis isu politik tetapi secara objektifnya hanya menyentuh aspek perundangan dan hukum syarak yang menunjukkan betapa silapnya Menteri Besar Selangor itu.
Apa yang lebih menyedihkan ialah DAP menggesa supaya diambil tindakan terhadap Hassan yang mengutarakan cadangan itu walaupun hakikatnya undang-undang yang diperjuang Hassan adalah undang-undang Syariah yang mendapat perkenan Sultan Selangor.
Seperti dinyatakan di atas, peraturan dicadangkan hanya dilaksanakan terhadap orang Islam dan isu berbilang kaum dan agama tidak harus diketengahkan. Sering kita berlindung di bawah sensitiviti ini bagi mengelak daripada mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Namun, sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan yang dianjurkan Rasulullah SAW.
Demi menjaga sensitiviti ini, kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman yang memabukkan. Bukan minum saja yang menjadi kesalahan, membuat, menjual menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan juga adalah satu kesalahan.
Perkara ini jelas termaktub di dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Termaktub dalam Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
l Seksyen 18 (1) � Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
l Seksyen 18 (2) - Mana-mana orang yang membuat, menjual, menuar-uarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menerusi seksyen ini, pihak berkuasa atau kerajaan mesti berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan arak dan dalam memberikan lesen itu harus diletakkan syarat penjual arak bukan orang Islam. Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan lebih daripada segalanya kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap peruntukan ini.
Secara jelas, tindakan Selangor itu akan mempromosikan kesalahan itu kerana kebanyakan penjual di kedai serbaneka 24 jam umpamanya ialah orang Islam. Mereka menanggung risiko ditangkap dan dituduh atas kesalahan dinyatakan di atas.
Yang peliknya, masyarakat Barat mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti dan kawalan itu dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat. Hal ini dapat diterima oleh masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang Timur ingin menjadi Barat dan orang Barat menggayakan pula budaya Timur.
Di mana salahnya? Orang Barat sebenarnya jelak dengan budaya mabuk yang selalu mengoyak susun atur masyarakat serta merosakkan keamanan dan kedamaian setempat. Pelbagai usaha diambil bagi memberi kaunseling menyedarkan agar menjauhi arak. Pelbagai peraturan digarap bagi mengawal atau membataskan penjualan arak. Semua ini tidak pula mendapat bantahan atau reaksi negatif daripada orang ramai.
Jelaslah DAP telah menunjukkan belangnya di dalam isu ini dan enggan berganjak walaupun hakikatnya undang-undang jenayah syariah sedang berkuat kuasa di Selangor. Adakah Kerajaan Negeri Selangor sendiri menjadi alat untuk mempromosi kesalahan jenayah syariah yang dewan negerinya sendiri meluluskan?
Penulis adalah Peguam Syarie, Peguambela dan Peguamcara.
Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
MEMIKUL tanggungjawab membawa nama negara bukan tugas mudah, namun bagi qariah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, peluang mewakili negara buat dua tahun berturut-turut pada Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa, amanah yang akan dilaksanakan sebaik-baiknya.
Beliau yang ditemui ketika menjalani latihan bersama tenaga pengajar disediakan Urusetia Tilawah al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Hasri, bagaimanapun tidak menafikan perasaan berdebar-debar untuk memperdengarkan bacaannya malam ini.
"Ini kali kedua saya mewakili negara, tekanan terasa kerana ramai mengharap yang terbaik. Pada dasarnya saya stabil serta tenang menghadapi saat malam ini berkat pengalaman tahun lalu. Mudah-mudahan Allah takdirkan yang terbaik buat saya," katanya.
Sharifah Khasif yang juga naib johan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa tahun lalu tidak menafikan saingan dihadapi terutama daripada qariah negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menunjukkan penguasaan dalam pembacaan al-Quran secara berlagu selain memiliki mutu suara yang bagus.
Bagaimanapun katanya, beliau positif dengan usaha dilakukan dan mengambil peluang disediakan penganjur untuk menimba pengalaman daripada tenaga pengajar terdiri daripada bekas qari serta qariah yang pernah mewakili negara Rahmas Abdullah dan Ismawi Duet.
"Saya banyak belajar dengan guru dari Terengganu, Kelantan dan Perak sebelum bertanding pada peringkat kebangsaan lalu dan kini menimba ilmu dari tenaga pengajar disediakan penganjur. Saya gunakan kesempatan ini untuk memperbetulkan wakaf ibtida', cara bagaimana hendak berhenti dan mengambil ayat mula," katanya.
Beliau berkata, cabaran dihadapi ialah memastikan mahraj huruf, tajwid dan fasohah selain menentukan lagu sesuai dibacakan untuk ayat yang diundi pada hari ini kerana walaupun kebanyakan qari serta qariah boleh melagukan bacaan, ada kala ia tidak sesuai dengan kehendak ayat.
Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula Rabu lalu masuk hari keenam. Seramai 47 peserta sudah memperdengarkan bacaan masing-masing.
Malam ini giliran qariah Malaysia memperdengarkan bacaan bersama 10 peserta lain diikuti qari negara, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan yang bakal membacakan ayat dipilihnya malam esok.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 diserikan penganjuran Bazaar Tilawah yang menempatkan 93 gerai menjual serta mempromosikan perkhidmatan disediakan agensi kerajaan, swasta serta usahawan.
Sementara setiap malam diadakan kuiz untuk pengunjung yang hadir di Dewan Merdeka PWTC. Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa turut disokong artis yang mengadakan persembahan sepanjang tilawah yang berlangsung selama lapan hari.
Orang ramai dijemput hadir memenuhi Dewan Merdeka PWTC untuk menghayati bacaan qari dan qariah daripada 43 negara yang mengesahkan penyertaan antaranya Arab Saudi, Sri Lanka, Afghanistan, Yaman dan Croatia.
Tak perlu takut urus jenazah saudara seagama
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Kursus bantu ummah lebih mudah laksana fardu kifayah setiap kali ada kematian
PENGURUSAN jenazah termasuk amalan fardu kifayah tetapi sebagai umat Islam seharusnya kita mengambil berat urusan membabitkan kesejahteraan masyarakat itu bagi mengelak diri termasuk dalam golongan yang jahil.
Nazir Masjid Al Ehsan Kampung Sungai Serai Hulu Langat, Rusli Ahmad, berkata menjadi tanggungjawab setiap umat Islam saling menasihat serta mengingatkan saudara mereka keperluan mempelajari ilmu fardu kifayah.
Katanya, walaupun masjid mempunyai pihak yang dilantik untuk membantu jika berlaku kematian, tindakan awal ahli keluarga serta jiran yang mempunyai ilmu asas mengenai pengurusan jenazah boleh memudahkan urusan itu.
"Apabila ahli keluarga dan saudara mara ada ilmu, urusan menyediakan peralatan untuk memandikan serta mengkafankan jenazah dapat disediakan terlebih dulu. Apabila pihak yang membantu datang, semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat," katanya.
Ketika ditemui pada Kursus Pengurusan Jenazah Sesi 2009 anjuran Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Masjid Al Ehsan, beliau berkata, masyarakat perlu mengubah konsep menyerahkan tugas fardu kifayah kepada orang lain.
Sebaliknya, tugas itu hendaklah dipikul bersama kerana masyarakat yang akan mendapat manfaat apabila semua pihak mengambil berat mengenai keperluan memahami serta melaksanakan amalan fardu kifayah.
Program Kursus Pengurusan Jenazah Sesi 2009 bermula dengan solat Subuh berjemaah, ceramah teori pengurusan jenazah, solat sunat duha dan ceramah oleh pendakwah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Amir Noor Hezam Amir Edaham.
Ceramah amali diselia Nazir Masjid Al Husna Bandar Sunway, Subang, Zainal Kardi. Sesi amali Muslimah mengenai cara pengurusan jenazah daripada proses memandikan hingga mengkafankan diselenggarakan Ketua Muslimah Surau Seksyen 8 Shah Alam, Hafisah Abd Samad.
Zainal berkata, ilmu pengurusan jenazah tidak terhad kepada perkara memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah, tetapi membabitkan perkara yang dianggap remeh seperti keperluan mempercepatkan pengurusan jenazah.
Umpamanya, apabila berlaku kematian, keluarga serta saudara mara perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan jenazah dapat diuruskan dan disempurnakan dengan segera.
"Kita digalakkan segera menyempurnakan jenazah. Jika berlaku kematian waktu petang, seboleh-bolehnya malam itu juga diselesaikan jika ada kemampuan. Ada antara kita yang melewatkan urusan kerana hendak menunggu anak atau ahli keluarga," katanya.
Beliau berkata, bagi urusan jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan sempurna, pengurusan tidak sukar, sebaliknya jenazah yang mengalami kerosakan seperti hangus terbakar atau berpisah anggotanya memerlukan ketelitian.
Selain itu, menguruskan jenazah yang tidak sempurna keadaan fizikalnya juga menguji ketahanan emosi pihak yang menguruskan untuk memandikan serta mengkafankan kerana tidak semua bersedia berhadapan situasi itu.
Sementara itu, Hafisah mengingatkan mereka yang memandikan jenazah supaya berhati-hati kerana mereka memikul tanggungjawab besar menyimpan amanah jika ada, terutama dalam perkara yang boleh mendatangkan aib kepada si mati.
Katanya, apa juga yang berlaku ketika memandikan jenazah tidak sepatutnya diceritakan kepada orang lain dan sewajarnya menjadi rahsia mereka. Malah, tukang mandi dinasihatkan sentiasa melakukan tanggungjawab itu dengan perasaan kasih sayang.
"Kita hendaklah berlemah lembut ketika memandikan serta mengkafankan jenazah serta menghormati mereka. Aurat jenazah perlu dijaga kerana walaupun dia tidak boleh mengadu atau merungut, maruah tetap perlu dijaga.
"Penting diingat jangan ada rasa takut untuk memandikan mayat kerana niat kita adalah untuk membuat kebaikan serta mendapat pahala daripada Allah. Jika selepas melaksanakan tugas itu timbul rasa takut, banyakkan membaca al-Quran kerana itu semua mainan minda," katanya.
Ketawa berlebihan tabiat kaum munafik
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
SETIAP insan sering berhadapan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.
Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.
Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.
Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." � (Surah at-Taubah, ayat 82). Jelas daripada ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.
Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau. Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." � (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah. Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.
Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara. Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.
Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan. Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.