|
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
![]() PESERTA mengikuti pembentangan kertas kerja oleh panel Forsimas yang berakhir 9 Ogos lalu, di Kuala Lumpur. |
Institusi patut jadi pusat kegiatan ummah, lebih mesra remaja dan pelawat
INSTITUSI masjid berperanan sebagai pusat kemasyarakatan umat Islam. Namun, fungsi itu sebahagiannya kurang diberi penekanan sehingga masjid dilihat sekadar tempat menunaikan ibadat semata-mata.
Atas kesedaran itu, Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung dari 7 Ogos hingga 9 Ogos lalu dan dihadiri 170 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, China dan Kemboja, berasa terpanggil untuk merungkai permasalahan sama ada benar institusi masjid kini tampak lesu.
Kekurangan kehadiran generasi muda antara punca masjid kurang meriah, lebih-lebih lagi kegiatan bukan berbentuk agama agak merosot mungkin menyebabkan mereka terus meminggirkan masjid.
![]() |
"Berapa ramai orang peluk Islam kerana menziarah masjid. Oleh itu, pihak berkuasa agama dan majlis agama negeri perlu mengubah cara berfikir dan memahami institusi masjid adalah untuk semua," katanya.
Sepanjang tiga hari forum anjuran Dewan Pemuda Masjid Malaysia dengan kerjasama Jakim itu menyaksikan pembentangan tujuh kertas kerja. Antaranya oleh tokoh pemikir Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dengan tajuk 'Dinamisme Generasi Muda Dalam Memakmurkan Masjid'; 'Peranan Masjid Dalam Membangun Ketamadunan Ummah' oleh Ketua Umum Pemuda Masjid, Dr Muhammad Nawar Ariffin; 'Peranan Masjid Dalam Menangani Masalah, Sosial, Remaja dan Wanita' oleh Setiausaha Jawatankuasa Masjid Bandaraya, Yahamad Budin dan 'Persepsi Generasi Muda Terhadap Masjid: Suatu Hasil Kajian' oleh Ketua Jabatan Psikologi Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shukran Abd Rahman.
Shukran berkata, remaja memberikan alasan kehadiran mereka tidak diterima dan dipandang serong antara faktor tidak kerap ke masjid sehingga ada yang terus meminggirkannya.
Oleh itu, Dr Muhammad Uthman berkata, masyarakat Islam disaran mengembalikan kegemilangan masjid sesuai dengan peranannya sebagai pusat hakiki pelbagai kegiatan kemasyarakatan.