Wednesday, May 20, 2009

AGAMA : RABU 20 MEI 2009

Image
Perkim lahirkan pendakwah mualaf berwibawa
BERDAKWAH adalah tugas semua umat Islam. Ia berdasarkan sabda NabiMuhammad SAW yang antara lain bermaksud, " Sampaikan dariku walau satuayat ".

Image
Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam
BUDAYAatau disebut dalam Islam sebagai tsaqofah turut dititik beratkan dalamagama. Ini kerana Islam bukan agama yang menafikan segala kehendaknaluri manusia, cuma ia perlu disalurkan dengan cara dan jalan yangbetul dan mendapat keredaan Allah SWT.







Syor wujud akaun khas Qardul Hassan bantu sesama ummah
BUDAYAmeminjam sudah diserapkan dalam budaya hidup kita oleh kaum Yahudi yangsememangnya bergantung pada usaha menyewakan wang sebagai cara hidup.Ia sudah membelenggu kehidupan umat islam dan umat lain di dunia sejakberkurun.

Islam tuntut ummah waspada penyebaran penyakit
ALLAHbersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang menganugerahkan pelbagainikmat kepada hamba-Nya dan nikmat itu tidak dapat dihitung sesiapa danantara kurniaan yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan.

Al-Farid bantu cari makna dengan pantas
KAMUSAl-Farid (yang bermakna unik) menggambarkan keunikan pendekatandigunakan bagi menghasilkan kamus ini. Keistimewaan kamus ini ialah iamesra pengguna kerana dapat membantu mencari makna perkataan denganpantas.

Menyingkap petua cinta alam perkahwinan
ADAmengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan, ada pula mengatakanperkahwinan ibarat percaturan dan tidak kurang berpendapat perkahwinanadalah perkongsian hidup dua hati daripada latar belakang berbeza.

Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah
MATApena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang.Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetantulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawabmembangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negaraharam mereka.

Perkim lahirkan pendakwah mualaf berwibawa

Perkim lahirkan pendakwah mualaf berwibawa


ARIFFIN Suhaimi (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pengajian Islam dan Dakwah 2008 kepada Mohammad 'Izzudin Nujipan pada konvokesyen IDIP di Kelantan, baru-baru ini.


BERDAKWAH adalah tugas semua umat Islam. Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang antara lain bermaksud, "Sampaikan dariku walau satu ayat".

Justeru, adalah penting bagi kita melengkapkan para daie dengan ilmu yang mencukupi supaya dapat menyampaikan ilmu agama yang betul serta meningkatkan keyakinan masyarakat kepada ajaran Islam. Lebih-lebih lagi, pendakwah dari kalangan saudara baru atau mualaf.

Sehubungan itu, Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) baru-baru ini meraikan 32 graduan pada majlis penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik 2008.

Majlis dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu diadakan di Dewan Putra IDIP, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Ia turut menghimpunkan 200 orang terdiri daripada Majlis Senit IDIP, pensyarah, ibu-bapa dan mahasiswa IDIP yang terdiri kaum Cina, India, Asli Temiar, Asli Semai, Asli Temuan, Murut, Iban, Sino Kadazan, Dusun, Dusun Lukod, Melanau, Filipina dan Kemboja untuk menghargai kecemerlangan pelajar yang menerima Sijil dan Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Majlis IDIP merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Dalam ucapannya Ariffin berkata, Perkim ingin menjadikan institut itu sebagai pusat pengajian dakwah Islamiah yang bertaraf institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, IDIP juga mengendalikan kursus-kursus tambahan seperti diploma ijazah serta mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berdasarkan kecemerlangan pelajar saudara muslim dari seluruh negara.

"Selepas ini, para pendakwah diharap dapat mengajar dan menyebarkan dakwah Islamiah secara formal kepada saudara muslim dan anggota masyarakat," katanya.

Beliau turut menyampaikan sijil, sijil asas Pengajian Islam Dakwah dan Anugerah Cemerlang kepada mahasiswa IDIP.

Mohammad 'Izzudin Nujipin dari kaum Murut dan Mustaqim Al-Husairie Clair Abdullah dari kaum Melanau masing-masing menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslim.

Nur Atirah Mustafar dari kaum Asli Temuan pula mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslimah berdasarkan kecemerlangan pencapaian kursus Pengajian Islam dan Dakwah.

Pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah untuk saudara muslim ini mengambil masa dua tahun.

Pengajian kursus Sijil Pengajian Islam dan Dakwah pula mengambil masa tiga tahun iaitu enam semester.

Antara subjek dalam pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah adalah al-Quran, Fardu Ain, Akidah, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Perbandingan Agama, Metodologi Dakwah dan Kenegaraan Malaysia.

Majlis diserikan dengan nyanyian kumpulan nasyid Sowwatul Ummah dari IDIP.

Turut hadir ialah Pengarah Dakwah Perkim Abdul Hanif Harun dan Pengetua IDIP, Mohamed Nazir Che Ibrahim.

Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam

Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam


tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) melihat demonstrasi kraf sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan turut mendapat perhatian Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri.


BUDAYA atau disebut dalam Islam sebagai tsaqofah turut dititik beratkan dalam agama. Ini kerana Islam bukan agama yang menafikan segala kehendak naluri manusia, cuma ia perlu disalurkan dengan cara dan jalan yang betul dan mendapat keredaan Allah SWT.

Namun bayangkan jika Islam tidak diturunkan di Kota Mekah. Dapatkah segala budaya jahiliah yang menjadi amalan oleh penduduk Arab di situ sebelum ini dapat dibanteras?

Ini termasuklah budaya membunuh anak perempuan, membenarkan isteri berkahwin dengan lelaki yang lebih bangsawan sehinggalah amalan meminum arak yang memabukkan itu?

Kota Mekah itu sendiri menjadi Kota Budaya Islam pertama di dunia, yang antara lain bersih dari amalan budaya menyembah berhala!

Pada 5 Mei lalu, giliran Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia oleh Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO).

Perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam upacara gilang gemilang di Muzium Kesenian Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Pemilihan Kuala Lumpur adalah pengiktirafan tinggi dunia terhadap negara ini. Bukan sahaja kerana Islam itu merupakan agama rasmi negara, malah sejarah pembangunan fizikal dan mental ibu kota itu sendiri dalam serba serbi keislaman.

Ini ditunjukkan sama ada dari bangunan Pusat Islam yang tersergam di tengah-tengahnya sehinggalah rata-rata muslimah yang menghuni di ibu kota ini menampilkan diri mereka dalam keadaan berbusana Muslim!

Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri dalam ucapannya di majlis perasmian itu.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara Islam contoh yang berjaya memaparkan tahap ketamadunan serta kebudayaan yang tinggi.

"Kuala Lumpur sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada dunia bahawa Islam kaya dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian di samping kemodenan yang dikecapi," katanya.

Sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009, Kuala Lumpur sebenarnya telah berjaya melepasi pelbagai syarat yang ketat bagi membolehkannya terpilih.

Dalam hal ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, Kuala Lumpur berupaya mendepani kota-kota di dunia dalam penonjolan budaya Islam.

"Ini setelah syarat-syarat utama pemilihan telah berjaya dipenuhi. Ia termasuklah sesebuah bandar raya itu mesti mempunyai status sejarah yang unik serta budaya yang kukuh.

"Mempunyai keupayaan universal dan keislaman yang nyata, mempunyai kemudahan penyelidikan saintifik, berkaitan arkeologi dan manuskrip yang boleh dirujuk penyelidik di samping mempunyai kegiatan budaya, kesenian dan warisan yang aktif," katanya.

Status sejarah yang unik apabila Malaysia atau dikenali dahulunya sebagai Tanah Melayu, menjadi destinasi pertama sebagai pusat penyebaran Islam seawal abad ke-11 Masihi bagi rantau Asia Tenggara.

Pada hari ini, Malaysia merupakan negara yang menterjemahkan Islam itu dalam banyak wajah, sehinggakan di celah-celah bangunan moden pencakar langit akan kedengaran azan dilaungkan memenuhi ruang udara dari menara Masjid Jamek Kuala Lumpur, iaitu masjid tertua di bandar raya ini yang dibina pada tahun 1909.

Walaupun ia masjid tertua, namun paling cantik dan paling indah yang boleh ditemui di sini!

Terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia bererti sepanjang tahun ini Kuala Lumpur akan menjadi daya tarikan dunia untuk melihat sendiri wajah-wajah budaya Islam untuk mereka mempelajari banyak perkara.

Justeru itu sebanyak 215 program yang telah dan akan berlangsung disediakan oleh pelbagai pihak bagi menjayakan pemilihan yang sangat berprestij ini.

Sebelum itu, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ISESCO adalah pertubuhan yang fungsinya hampir menyamai seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO-PBB).

Ditubuhkan sejak Mei tahun 1979 oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) iaitu pertubuhan Islam yang paling besar untuk bidang pendidikan, sains dan kebudayaan yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi.

Pemilihan ibu negara Malaysia sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi rantau Asia ini sebenarnya adalah bersama dengan Baku di Republik Azerbaijan telah diputuskan dalam Persidangan Kelima ISESCO di Tripoli Libya pada 21 hingga 23 November lalu.

Pada tahun ini juga, Kairouan di Republik Tunisia turut dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi mewakili rantau Arab manakala rantau atau benua Afrika diwakili N'Djamena di Republik Chad.

Bersama YaPEIM: Syor wujud akaun khas Qardul Hassan bantu sesama ummah

Bersama YaPEIM: Syor wujud akaun khas Qardul Hassan bantu sesama ummah


BUDAYA meminjam sudah diserapkan dalam budaya hidup kita oleh kaum Yahudi yang sememangnya bergantung pada usaha menyewakan wang sebagai cara hidup. Ia sudah membelenggu kehidupan umat islam dan umat lain di dunia sejak berkurun.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kadar purata hutang individu dianggarkan memerlukan dua generasi untuk dilangsaikan.

Dalam Islam, budaya memberi pinjam adalah cara hidup sebenar. Moto hidup kita ialah 'tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima'. Namun prinsip itu sudah terhakis dan hampir dilupakan disebabkan kuatnya pengaruh cara hidup anjuran kaum Yahudi di atas.

Umat Islam perlu membuat perubahan paradigma drastik khususnya dalam budaya kewangan. Umat Islam perlu memupuk budaya memberi pinjam berbanding meminjam sebagai cara hidup.

Tamadun Barat menonjolkan kepentingan meminjam sebagai satu budaya hidup. Pelbagai kaedah peminjaman untuk menggalakkan pengguna meminjam diwujudkan seperti kad kredit dan belian secara ansuran.

Dalam perniagaan pun, budaya berniaga dengan 'modal orang lain' dianggap sebagai satu undang-undang untuk memastikan kejayaan perniagaan. Alasannya ialah kos pinjaman sentiasa lebih rendah daripada harapan keuntungan.

Namun ia sudah berulang kali dibuktikan tidak tepat apabila kemelesetan ekonomi berlaku. Mereka yang meminjam adalah kumpulan yang awal akan tergelincir dan gagal dalam perniagaan.

Budaya memberi pinjam boleh diamalkan tanpa menunggu sehingga kita mempunyai lebihan wang. Ia boleh diasaskan kepada strategi 'memberi pinjam secara sementara simpanan wang kita, sementara menunggu sehingga ia diperlukan atau akan digunakan'.

Sebagai pemegang amanah kita perlu memastikan yang kita mentadbirkan semua harta di tangan termasuk wang ringgit dengan cara paling sempurna. Wang itu tidak boleh dibiarkan menganggur walaupun untuk sesaat.

Misi pokok dalam mengubah paradigma kewangan Islam bertamadun (Hadhari) ialah untuk mewujudkan mekanisma dan institusi kewangan Islam yang membolehkan kaedah 'memberi pinjam' kepada Allah dilaksanakan.

Kita perlu bergegas menyahut seruan untuk memberi pinjaman kepada Allah sama seperti menyahut seruan azan bagi mengejar kejayaan. Setiap kita akan berasa cukup selesa untuk meminjamkan semua wang simpanan kepada Allah asalkan kita dapat menggunakannya sebaik kita memerlukannya.

Strateginya ialah dengan mewujudkan satu jenis akaun melalui sistem bank yang membolehkan kita membuat ambilan melalui cek dan kad melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Kaedah itu boleh digabungkan dengan sistem bank dengan satu keistimewaan iaitu membolehkan pemberi pinjam mengambil deposit dalam bentuk pelaburan atau simpanan tertentu.

Institusi milik ummah seperti yayasan atau koperasi dengan kerjasama bank boleh menubuhkan sebuah akaun khas Qardul Hassan di setiap bank Islam di Malaysia. Ahli akan memasukkan wang ke dalam akaun bersama dengan institusi dengan niat menyahut seruan Allah iaitu memberikan pinjaman dengan niat baik. Sebahagian daripada baki akaun ini akan dikeluarkan oleh institusi untuk dimanfaatkan bagi menjalankan aktiviti ekonomi umat Islam.

Apakah tidak mungkin untuk kita memulakan skim 'memberi pinjam' kepada Allah melalui penubuhan sebuah tabung pinjaman yang dibiayai daripada lebihan hasil perniagaan yang 'belum diperlukan' sementara?

Skim sebegini boleh diwujudkan dengan kerjasama bank atau Amanah Raya Malaysia. Tabung ini kemudian ditawarkan kepada rakan sejawat peniaga yang mempunyai peluang perniagaan baik tetapi tiada cukup modal untuk melaksanakannya.

Untuk menampung risiko kerugian, satu 'Dana Sinking Fund' ditubuhkan daripada 50 peratus dana yang wujud untuk dilaburkan dalam skim pelaburan yang selamat dan menguntungkan seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Permodalan wakaf dan pengurusan hartanah milik ummah boleh menjadi institusi yang berkesan. Permodalan wakaf boleh menjadi institusi khusus untuk mengatasi masalah hartanah terbiar di Malaysia. Kegawatan ekonomi bermula selepas pasaran hartanah memuncak dan berakhir bila pasaran hartanah sudah sampai pada tahap paling rendah.

Pemilik hartanah terpaksa menangguhkan hasrat mereka dan terus memegang hartanah yang akan terbiar untuk beberapa lama sebelum menjual tanah pada tahap pusingan ekonomi sedang memuncak. Memang sudah banyak hartanah yang 'menganggur' disebabkan tidak ada orang sanggup mengerjakannya. Ia belum lagi mengambil kira tanah wakaf yang diserahkan kepada masjid dan Bayt-al-Mal.

Banyak juga pemilik rumah yang membeli rumah sebagai harta simpanan atau sebagai harta spekulatif. Rumusannya ialah kita mempunyai stok tanah, rumah, ruang niaga dan ruang pejabat yang terbiar pada sepanjang masa.

Sebuah institusi awam boleh ditubuh untuk menerima pinjaman hartanah oleh pemilik yang belum memerlukan atau tidak mampu mengurus atau memanfaatkan hartanahnya sendiri. Tanah yang tidak diusahakan juga boleh dipinjamkan kepada institusi untuk diusahakan sebagai tapak projek pertanian.

Bon Qardul Hassan boleh menjadi instrumen berkesan untuk umat Islam melabur jika insentif dapat diberi. Bon ini boleh diguna untuk mewujudkan dana bagi membiayai projek pembangunan ummah seperti sekolah, institusi pendidikan, dana pendidikan atau dana rumah kos rendah.

(Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))

Islam tuntut ummah waspada penyebaran penyakit

Islam tuntut ummah waspada penyebaran penyakit

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan nikmat itu tidak dapat dihitung sesiapa dan antara kurniaan yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya." - (Surah Ibrahim, ayat 34)

Badan yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan ini dengan aman sentosa, manusia dapat melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar dan melakukan ibadah kepada Allah dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mewarnai seri kehidupan Muslim.

Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka hingga tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupannya. Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian daripada detik kehidupan.

Rasulullah SAW memberi peringatan mengenai kesihatan dalam sabda yang bermaksud: "Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." – (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau ditimpa penyakit. Pada ketika itu, barulah mereka menyedari perlunya menjaga diri dan mengekalkan kesihatan supaya aktiviti kehidupan tidak tergendala.

Jika begini kepentingan kesihatan, Islam daripada awal-awal lagi memberi perhatian serius dalam isu kesihatan. Islam menyediakan garis panduan lengkap kepada umatnya dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.

Bab pertama kitab fikah ialah berkaitan kesucian atau taharah di mana Islam mensyariatkan setiap Muslim supaya mengambil wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu. Begitu juga disyariatkan mandi untuk kebersihan diri dan bersugi (bagi menjaga kesihatan gigi).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mandi hari Jumaat itu wajib atas tiap-tiap orang yang baligh kemudian bersiwak (gosok gigi) dan mengenakan sedikit wangian." – (Hadis riwayat Muslim)

Ia bermakna kebersihan dan kesucian diri adalah asas penting ke arah kesihatan jasmani.

Seterusnya, Islam memberi panduan ke arah penjagaan kesihatan yang berterusan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku." – (Hadis riwayat Bukhari)

Di samping itu, Islam juga menggalakkan melakukan aktiviti kecergasan badan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti itu hendaklah disesuaikan peredaran dan keadaan masa kini berdasarkan kemampuan seperti bersenam, berjoging, bermain bola sepak dan mendaki bukit.

Selain itu, Islam mengharamkan beberapa jenis makanan haram yang perlu dijauhi seperti arak, dadah dan bangkai kerana Allah Maha Mengetahui makanan itu membawa lebih banyak kemudaratan kepada manusia berbanding dengan manfaat yang sedikit.

Oleh itu, Allah mengharamkan makanan berkenaan bagi kebaikan dan kesihatan. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." – (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Segala perkara terkandung dalam tegahan itu ialah perkara yang menjadi punca penyebaran penyakit di kalangan orang Islam kerana orang awam selalu mengabaikannya dalam kehidupan seharian.

Islam menggariskan kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat iaitu apabila berlaku satu-satu wabak penyakit yang berjangkit di satu-satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk supaya tidak merebak ke kawasan lebih besar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya." – (Hadis riwayat Bukhari)

Islam menggalakkan umatnya di tempat yang terkena wabak itu supaya terus tinggal di sana kerana menjadi kebiasaan kepada kebanyakan orang untuk menyelamatkan diri dan melarikan diri daripada tempat diserang wabak.

Disebabkan tindakan mementingkan diri itu, ia membawa bala bencana kepada seluruh negara dan umat lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba (Muslim) yang berada dalam satu-satu negeri terkena wabak taun maka hendaklah dia tetap diam di dalamnya, jangan sama sekali dia lari keluar daripadanya, bersabar dan mengharapkan ganjaran Tuhan dan dalam hatinya dia berkeyakinan bahawa dia tidak akan terkena sesuatu kecuali apa yang ditentukan Allah untuknya. Baginya ganjaran pahala sebagaimana pahala orang yang mati syahid." – (Hadis riwayat Bukhari)

Mungkin ada orang yang nekad hendak memasuki negeri ditimpa wabak berjangkit dengan hujah takutkan penyakit adalah tanda kelemahan iman atau lari daripada takdir. Padahal, tindakan dan fahaman seumpama ini salah menurut perspektif Islam.

Pernah dicatat dalam sejarah Islam, Saidina Umar al-Khattab menolak pemergiannya ke negeri Syam tatkala berlakunya wabak taun di sana. Lalu ada orang berkata kepadanya: Adakah tuan hendak lari daripada takdir Tuhan? Ujar Saidina Umar: Kita lari daripada takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.

Jelas daripada kisah di atas bahawa berikhtiar, bertawakal dan berusaha menggunakan sebab itu adalah suatu perkara dituntut Islam. Apa yang dinyatakan dan dilakukan Saidina Umar termasuk dalam pengertian takdir.

Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri daripada penularan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak sepatutnya orang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat." - (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Hendaklah engkau lari daripada pesakit kusta sebagaimana engkau lari daripada seekor singa." - (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Iqra: Al-Farid bantu cari makna dengan pantas

Iqra: Al-Farid bantu cari makna dengan pantas


Judul: Kamus Al-Farid Bahasa Arab-Inggeris-Melayu
Penulis: Dr Mohd Puzhi Usop, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, Norasmazura Muhammad, Marzidah Hashim, Raja Munirah Raja Sulaiman
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM50 (Semenanjung Malaysia) RM52 (Sabah Sarawak)

KAMUS Al-Farid (yang bermakna unik) menggambarkan keunikan pendekatan digunakan bagi menghasilkan kamus ini. Keistimewaan kamus ini ialah ia mesra pengguna kerana dapat membantu mencari makna perkataan dengan pantas.

Pengguna tidak perlu bersusah payah untuk mencari kata dasar (masdar) sesuatu perkataan sebaliknya pengguna hanya perlu merujuk kepada huruf pertama setiap perkataan. Teknik atau pendekatan ini sangat membantu dan menjimatkan waktu.

Kekuatan kamus ini terletak pada penggunaan tiga bahasa, dimulakan dengan bahasa Arab, diterangkan secara sepenuhnya menggunakan tiga bahasa (bahasa Arab-Inggeris-Melayu).

Kerja suruhan yang dilengkapkan pada setiap kata kerja juga menjadikan kamus ini istimewa dan pendekatan itu membantu menambahkan perbendaharaan kata serta memudahkan menggunakan kata kerja kerja dengan tepat.

Perkataan dalam kamus ini merangkumi pilihan perkataan yang penting, relevan dan sering diguna pakai dalam kehidupan seharian. Kamus al-Farid juga memuatkan perkataan digunakan dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan dan J-Qaf.

Kamus al-Farid sesuai untuk rujukan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, tenaga pengajar bahasa Arab serta mereka yang tidak mempunyai asas Bahasa Arab. Ia juga menyediakan kata jamak selain perkataan sama erti dan berlawanan.

Iqra: Menyingkap petua cinta alam perkahwinan

Iqra: Menyingkap petua cinta alam perkahwinan


Judul: Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah
Penulis: Zamri Mohamad, Imran Yusof
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM19.50 (Semenanjung Malaysia) RM21.50 (Sabah Sarawak)

ADA mengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan, ada pula mengatakan perkahwinan ibarat percaturan dan tidak kurang berpendapat perkahwinan adalah perkongsian hidup dua hati daripada latar belakang berbeza.

Apa juga definisi perkahwinan, buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah menyingkap petua cinta alam perkahwinan, pengalaman sebenar, panduan berguna serta amalan doa untuk melalui alam perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat.

Buku ini menjawab persoalan yang selalu bermain di minda pasangan bagaimana untuk menjadi isteri atau suami pujaan, apakah petua untuk membuat kasih sayang terus mekar dan benarkan jika sudah jodoh tidak ke mana.

Ibarat perjalanan ke arah kematangan, buku ini membongkar rahsia cinta dan perhubungan bermula dengan memahami Bahasa Cinta Lelaki, Magnet Cinta: Membuat Orang Tertarik Hati Setiap Masa dan 77 Panduan Melembutkan Hati Lelaki.

Jangan tidak percaya, ada sembilan kesilapan dilakukan lelaki apabila membina perhubungan seperti mengharapkan tuah setiap masa, tidak seimbang dalam kehidupan, terlalu mencari pasangan klon diri dan selebihnya, dapatkan buku ini.

Hakikatnya, kita boleh menjadi Khadijah di hati Rasulullah kerana ramuan kebahagiaan hidup termasuk dalam berumahtangga sudah disajikan melalui penjelasan syarak bagaimana kehidupan perlu dilalui memenuhi fitrah.

Tajuk Rumah Itu Syurga Kita contohnya terus diterapkan hingga ke hari ini melalui pelbagai kempen sedangkan dari dulu lagi ia menjadi antara menu terpenting keluarga. Bagaimanapun, topik itu ditambah dengan elemen lain seperti panduan menyediakan makanan.

Siapa sangka, panduan menyediakan menu keluarga juga boleh menjadi faktor menentukan kebahagiaan pasangan dan semua itu dikembangkan penulis dalam buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah ini.

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah
Oleh Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.

Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan.

Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru.

Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.