Tuesday, July 14, 2009

Tajdid Iman: Istighfar amalan kekal nikmat, hindar musibah, hapus dosa

Tajdid Iman: Istighfar amalan kekal nikmat, hindar musibah, hapus dosa

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Ibadah menghidupkan insan jiwa, menggetarkan hati beku oleh maksiat

SESUNGGUHNYA kehidupan paling bernilai bagi seorang insan bermula dari saat dilantunkan taubat, dijatuhkan butir air mata dan diperah segenap perasaan yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya hak milik sesetengah mereka yang berdosa, kotor dan jelik pada pandangan manusia.

Taubat juga amalan nabi dan rasul, orang salih serta pejuang ilmu yang mengamalkan agamanya dengan segenap pengorbanan. Baginda SAW mengajar umatnya sentiasa berasa diri hina di hadapan Allah walaupun selepas berada pada kemuncak amal yang paling ikhlas.

Sehingga tidaklah lahir pada jiwa orang yang beramal itu rasa suci dan hebat berbanding orang lain. Betapa ramainya orang terseleweng selepas melakukan amal salih, iaitu apabila menganggap diri sempurna dan memandang rendah pada orang lain.

Belitan iblis terlalu halus, ia datang tanpa disedari orang beramal. Untuk itu, Baginda SAW mendidik sahabat supaya membiasakan diri melafazkan istighfar selesai saja mengerjakan sembahyang dan amal salih yang mungkin dicemari riak.

Istighfar yang memerlukan istighfar lainnya, begitulah hakikat apabila berada pada kemuncak ilmu dan amal. Semakin tinggi ilmu dan makrifah seorang hamba kepada Allah semakin jatuh hatinya rebah ke tanah, mengaku tidak mampu memikul amanah dan menyesal atas setiap detik berlalu dalam keadaan bermaksiat kepada Allah dan menganiaya manusia.

Alangkah peliknya, hamba yang tidak mengambil berat mengenai istighfar. Mengapa? Apakah kerana amalnya sudah cukup untuk menghapus kejahatannya, atau hatinya sudah mencapai tahap keikhlasan yang murni?

Apakah ilmu yang dimiliki mampu mendekatkan dirinya kepada Allah? Apakah sudah lahir akhlak mulia di mata manusia sehingga kedudukannya bagaikan permata berkilauan di tengah-tengah mereka?

Sedangkan Nabi SAW dan sahabat yang sudah berada pada tahap ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah menyediakan masa, membuat pengakuan taubat pada penghujung malam pada waktu sahur. Tidakkah hamba lalai dan sedikit ilmu itu lebih memerlukan taubat untuk menghidupkan kembali jiwa mereka?

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dalam sembahyang malam dengan lafaz yang bermaksud: "Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kekasih Allah masih menganggap dirinya berdosa, mengapa manusia biasa tidak sudi mengaku hina? Sesungguhnya tangisan taubat umpama air hujan yang menyuburkan tanah, menghasilkan rimbun daun dan lebatnya buah.

Ia menghidupkan jiwa insan yang hampir mati, menggetarkan hati beku oleh maksiat dan membuka jalan bagi mengenali Tuhan. Oleh itu, hanya yang pernah merasai kemanisan taubat memahami hakikat ini.

Mereka tidak pernah jemu membuat pengakuan dalam hati dan lisan setiap kali melakukan suatu perbuatan, mengharap Allah mengampuni apa yang tersilap secara disedari atau tidak. Kemanisan taubat bukan hanya dapat dirasai dalam hati tetapi ia janji Allah bagi mereka yang menepati.

Begitulah khabar daripada al-Quran dan sunnah mengenai keutamaan taubat. Ada tiga kesenangan yang layak dimiliki pencinta taubat. Pertama, dikurniakan kenikmatan berpanjangan. Kemudian terhindar daripada pelbagai musibah dan ketiga, menjadi penghapus dosa.

Adapun dalilnya disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjadi cahaya bagi orang mencari jalan keselamatan.

Nabi Hud menyeru umatnya untuk kembali kepada Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu." (Surah Hud, ayat 3)

Begitu juga Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun menasihati umat supaya bertaubat. Al-Quran merakamkan kenyataan Nabi Nuh dengan janji yang turun daripada Allah yang bermaksud: "Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu." (Surah Nuh ayat, ayat 10-12)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengulas mengenai nikmat dikurniakan Allah kepada orang yang bertaubat, bahawa kenikmatan itu mencakupi jasmani dan rohaninya. Kerana ramai orang yang nampak saja bahagia dengan harta benda tetapi menderita jiwa dan rohaninya.

Sedangkan Allah tidak sesekali menurunkan kesusahan, kecemasan dan penderitaan kepada orang yang mencintai taubat dengan rezeki menggembirakan hati. Oleh itu, sesiapa merasai kesedihan dan suka merungut dengan pemberian Allah hendaklah memperbaharui taubatnya. Boleh jadi tiada keberkatan dalam rezekinya disebabkan dia meninggalkan taubat.

Yang kedua, taubat menjadi benteng melindungi seorang hamba daripada musibah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun." (Surah Al-Anfal, ayat 33)

Sesungguhnya ada dua jenis musibah dalam kehidupan manusia iaitu musibah yang memberi pengajaran semata-mata untuk mempertingkatkan keimanannya kepada Allah, berlaku kepada orang Islam dan musibah berupa azab yang menutup peluang serta merta kepada orang kafir yang dilaknat.

Walau bagaimanapun, musibah tetap menjadi suatu kenyataan menakutkan bagi orang mukmin dan mereka disuruh berlindung kepada Allah daripada sebarang mudarat yang boleh membahayakan iman.

Hakikatnya, musibah paling dahsyat bagi orang mukmin adalah terhalangnya diri daripada merasai kenikmatan bermunajat kepada Allah. Hal ini pernah diungkapkan melalui luahan jiwa seorang pendeta bani Israil seperti mana disebut dalam kitab Shaydul Khatir.

Ibnul Qayyim mengungkapnya: "Pendeta bani Israil itu berkata: Wahai Tuhanku, betapa aku sering melakukan maksiat kepada-Mu, tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpa diriku? Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya: Alangkah besarnya azab Allah kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui hakikatnya. Tidakkah engkau berasa dirimu dihalangi daripada merasai kemanisan beribadat kepada-Nya?"

Untuk itu benteng bagi orang beriman adalah taubat kerana dengan istighfar sesukar apapun musibah yang ditelan ia tidak akan menjejaskan agamanya dan hatinya pun sentiasa diliputi kemanisan iman. Ia adalah janji dan pertolongan Allah kepada pencinta taubat.

Keutamaan taubat yang terakhir, ia menjadi penghapus dosa dan pembuka pintu syurga seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135-136)

Sesungguhnya sesiapa yang mencari kasih sayang Allah, carilah ia dengan taubat, sesiapa yang menjual dunia untuk mendapatkan akhirat janganlah lupakan taubat, kerana walaupun amal soleh berjaya dikumpulkan tidak mustahil dicemari hasutan syaitan.

Tangisilah dirimu, biarkan syaitan berputus asa. Hakikatnya, tangisanmu itu membuat syaitan menangis juga. Seperti mana dia menangis melihat seorang hamba bersujud kepada Allah, sedangkan dia dulu tidak mahu bersujud.

Penulis ialah Mufti Perlis

Taubat perlu dilakukan sepanjang hayat, tidak bertangguh

Taubat perlu dilakukan sepanjang hayat, tidak bertangguh

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mukmin yang sedar akan berhati-hati supaya tidak melakukan kesalahan sama atau ditipu untuk kali keduanya. Sama juga, apabila terlanjur melakukan dosa sewajarnya terus menginsafi kesilapan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya lagi.

Manusia sewajarnya berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.

Antara syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya, orang tidak menunaikan solat mestilah kembali menunaikannya atau yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji itu.

Menyesali dosa yang dilakukan dan setiap kali terkenangkan dosa itu akan menangis kerana takutkan seksaan Allah. Ia bagi yang benar-benar menyesali perbuatan lampau dan ingin bertaubat kembali ke jalan Allah.

Bagi yang sudah mengambil hak orang lain, hendaklah dikembalikan kepada tuannya tetapi jika hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon pelepasan (kemaafan) daripada orang itu.

Hendaklah taubat dilakukan selagi masih ada hayat dan jangan suka bertangguh kerana apabila sudah tiba ajal, saat itu sudah tidak berguna untuk seseorang bertaubat.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari sehingga matahari terbit di barat." (Hadis riwayat Muslim)

Jalin hubungan baik dengan bukan Islam digalak

Jalin hubungan baik dengan bukan Islam digalak

OlehHasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Elak fahaman silap atau penderaan agama demi untuk memperbaiki budaya

APABILA berlaku kecaman terhadap Islam atau salah faham mengenai ajarannya, kita selalu meminta supaya bukan Islam atau pihak yang berpandangan negatif untuk cuba memahami serta mendapatkan maklumat yang betul mengenai Islam.

Namun, adakah kita pernah cuba memahami atau belajar daripada mereka dalam usaha menjalinkan hubungan dengan bukan Islam sebagai cara mengelak berlakunya salah faham atau persepsi negatif terhadap Islam dan umatnya.

Tepuk dada tanya diri, kerana hakikat itu tidak boleh dinafikan kata Imam Persatuan Masyarakat Islam di Greater Oklahoma City, Suhaib Webb pada ceramahnya berjudul` Kita Semua Adalah Anak Adam' anjuran Muslim Professionals Forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti al-Azhar Mesir berkata, adalah bahaya kerana sekarang ia persepsi mengenai Islam boleh dibuat daripada maklumat diperoleh melalui internet.

Justeru katanya, salah satu cara untuk mengubah persepsi serta menjelaskan mengenai Islam ialah melalui gerakan antara agama bukan saja mengajak bukan Islam mengenali Islam, orang Islam juga menjalinkan hubungan baik dengan bukan Islam.

Pada masa sama, umat Islam bukan saja perlu menunjukkan Islam sebenar melalui cara hidup mereka malah, mendalami Islam kerana banyak tanggapan serong dilemparkan terhadap Islam dan penganutnya disebabkan sikap mereka sendiri.

"Seorang rakan saya yang bukan Islam berjaya membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris selama dua minggu. Kemudian dia tanya mana al-Quran yang kedua dan saya tanya kembali kenapa dia bertanyakan al-Quran yang kedua pula.

"Katanya, Muhammad yang disebut dalam al-Quran tidak sama dengan Muslim di luar sana. Dan jangan terkejut juga apabila anda berjumpa dengan bukan Islam yang bukan saja kenal ilmuwan Islam malah tahu karya dihasilkan cendekiawan itu," katanya.

Beliau juga menyelar sikap umat Islam yang dengan mudah suka mengkafirkan atau mengatakan orang lain kafir kerana tiada siapa boleh melabelkan seseorang itu kafir melainkan hakim dengan sebab serta alasan tertentu.

Katanya, dalam al-Quran juga hanya dua kali menyebut 'wahai orang kafir' yang dikaitkan dengan aspek kepercayaan tetapi dalam banyak perkara, Allah menyebut 'wahai orang beriman, wahai manusia atau wahai ahli kitab'.

Berkongsi kisah hidup bersama ibu yang tidak memeluk Islam, Suhaib berkata, adakalanya fahaman bukan Islam mengenai Islam serta ajarannya lebih baik berbanding umat Islam sendiri. Oleh itu, katanya, tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu kafir.

"Jangan jadikan perkataan kafir satu perkataan yang biasa. Saya orang Islam, awak orang kafir. Mereka adalah orang yang tinggal dengan kita dan orang yang berada di sekeliling kita. Emak saya selalu membangunkan untuk solat Subuh dan emak saya tidak memeluk Islam.

"Malah, kalau saya balik lambat dan sudah masuk waktu solat Maghrib, dia yang akan marah. Emak saya bukan Islam tetapi menderma kepada orang Islam. Saya boleh katakan emak saya lebih Islam daripada orang Islam," katanya.

Beliau menyarankan umat Islam berpegang kepada firman Allah yang menyeru manusia berkenal-kenalan supaya mereka boleh memahami serta mempelajari antara satu sama lain kerana cara itu lebih baik.

Suhaib juga mengingatkan umat Islam menjaga hubungan persaudaraan bukan saja sesama umat Islam, juga dengan bukan Islam kerana tanpa semangat bersatu padu itu, umat Islam tidak akan stabil dan iman menjadi lemah.

Beliau mengaitkan apa yang disarankan ajaran Islam supaya umatnya berbuat baik dan itu tidak dihadkan kepada orang Islam saja kerana Allah tidak menghalang umat Islam berbuat baik kepada bukan Islam.

"Nabi Ibrahim bagi salam kepada bapa baginda yang tidak beriman tetapi kita hari ini sibuk memikirkan boleh atau tidak memberi salam kepada bukan Islam. Pemahaman salah terhadap agama Islam itu menyebabkan apa yang kita katakan 'membuli teologi'.

"Remaja di Kuala Lumpur tidak akan mencari saya jika mereka melakukan kesalahan tetapi jika mereka ada masalah, mereka cari orang lain atau rakan sebaya supaya tidak ada rasa takut. Ia kerana mereka takut untuk berjumpa imam disebabkan penderaan terhadap agama itulah," katanya.

Katanya, membuli agama ialah menjadikan orang lain takut kepada ajaran Islam disebabkan sikap tegas tidak bertempat hingga tercipta masalah melampau terhadap agama bukan memperbetulkan salah anggap kepada agama.

Suhaib berkata, 40 peratus rakyat Amerika Syarikat mengatakan mereka takutkan orang Islam dan dapat difahami wujudnya kumpulan itu kerana mereka tidak mengenali Islam serta umatnya atau mengenali Islam daripada pandangan mata kasar saja.

"Apa orang bukan Islam kata mengenai sindrom jihad mendadak (pengebom berani mati) ialah jika semua umat Islam terkena penyakit itu, semua orang bukan Islam akan mati. Bayangkan juga jika mereka terbaca ayat bahawa orang Islam akan lawan hingga orang itu mengucap syahadah.

"Oleh itu, kena faham akidah bukan siapa saya dan siapa yang saya tidak. Kita sibuk fikir sama ada Allah ada tangan atau Allah ketawa tak, tetapi gagal untuk menjadi Muslim sebenarnya. Di Miami, setiap Jumaat orang Islam beri makanan kepada mereka yang tidak berumah termasuk bukan Islam.

"Elakkan fahaman salah atau penderaan terhadap agama Islam kerana Islam tidak datang untuk memusnahkan budaya tetapi memperbaikinya menjadi lebih baik. Jadi, lakukan penilaian semula kerana Nabi Muhammad kata, jangan biarkan mereka jauh, tarik mereka," katanya.

Persepektif Ikim: Tafsiran salah 'Saya yang menurut perintah' harus diperbetul

Persepektif Ikim: Tafsiran salah 'Saya yang menurut perintah' harus diperbetul
Oleh Azrina Sobian

"SAYA yang menurut perintah" adalah amalan yang sebati dipegang dalam sektor awam. Frasa itu difahami dan diamalkan secara menyeluruh, baik pada peringkat jawatan rendah mahupun yang tinggi. Pasti ada sebabnya kenapa frasa itu begitu sinonim dengan penjawat awam.

Bagi penulis sendiri, frasa itu mempunyai tujuan baik iaitu untuk melancarkan kerja dan memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Bagaimanapun, adakah kefahaman penulis turut difahami seluruh penjawat awam? Atau, timbul salah faham sehingga menyebabkan kewujudan frasa itu menimbulkan pelbagai masalah lain?

Penulis berpendapat, wujud salah faham tertentu terhadap penggunaan frasa 'Saya yang menurut perintah'. Salah faham itu akhirnya menimbulkan masalah tertentu yang memberi kesan kepada mutu kerja di kalangan penjawat awam.

Pertamanya, frasa itu menyebabkan ramai penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Setiap arahan dilaksanakan tanpa ada yang berani menyoal kembali arahan itu. Malah, adakala pekerja memilih melaksanakan juga arahan walaupun ada cara lain lebih mudah dan menjimatkan.

Justeru, salah faham terhadap frasa itu boleh mengekang kreativiti dan inovasi kakitangan awam. Perkara ini sebenarnya diakui, jika tidak masakan kerajaan bersungguh-sungguh mengadakan anugerah inovasi yang bertujuan menggalakkan inovasi di kalangan penjawat awam.

Malah, dalam keadaan tertentu, ramai kakitangan awam tidak berani melakukan sesuatu perkara baru, walaupun diakui perkara baru adalah satu bentuk perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan atau rakyat.

Oleh itu, sering kali kita mendengar jawapan: "Saya tidak tahu encik, saya ini menjalankan tugas saja". Ia juga sebenarnya adalah bayangan salah faham terhadap arahan 'Saya yang menurut perintah' tadi.

Oleh kerana menurut tanpa usul periksa, maka ramailah pekerja membuat kerja mengikut rentak ketua semata-mata. Ia akhirnya menutup ruang untuk perkembangan kreativiti dan inovasi. Akhirnya, sektor awam kekal cara kerjanya yang lambat, tidak konsisten dan tidak berani membuat keputusan.

Selain menutup ruang kreativiti dan inovasi, amalan 'Saya yang menurut perintah' juga dikhuatiri boleh menimbulkan penindasan di kalangan kakitangan awam terutama pada peringkat rendah. Amalan itu boleh disalahgunakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri atau mengenakan orang lain.

Sebenarnya, menurut perintah adalah dituntut dalam pandangan Islam seperti wajib menurut perintah pemerintah. Arahan untuk mengikut perintah bukan bertujuan menyeksa umat Islam tetapi demi kesejahteraan dan kelancaran hubungan antara pemerintah dan rakyat. Jika dilaksanakan dengan baik, tuntutan itu akan menguatkan negara.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu." (Hadis riwayat Muslim)

Bagaimanapun, dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Jelas pada pandangan hidup Islam, ada syarat tertentu yang perlu diikuti jika sesuatu perintah ingin dipatuhi. Oleh itu, kenapa wujudnya kepatuhan amalan 'Saya yang menurut perintah' tanpa ada kekecualian? Bukankah kita semua diberi akal fikiran untuk menyatakan pandangan terhadap sesuatu arahan yang tidak munasabah?

Oleh itu, amalan 'Saya yang menurut perintah' yang menidakkan peluang untuk berfikir dan menyatakan pandangan seseorang sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Pada masa ini, pekerja seharusnya diberi peluang melaksanakan kerja mengikut kreativiti masing-masing.

Ia tidaklah bermakna ketua tidak perlu langsung memberikan arahan atau tunjuk ajar. Pekerja perlu dibimbing dan pada masa sama, kebolehan dan bakat mereka melaksanakan kerja perlulah diiktiraf, bukannya semata-mata berpegang kepada amalan 'Saya yang menurut perintah'.

Oleh itu, kewujudan salah faham sebegini harus diperbetulkan dengan segera jika kita ingin menjadikan perkhidmatan awam lebih berkesan.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia