Monday, November 19, 2007

Tajdid Iman: Akhlak nilai kesempurnaan peribadi

Bersama Dr Juanda Jaya

Empat penanda aras kembalikan kecemerlangan, kekuatan umat Islam

JIKA menilai di antara dua insan berlainan imej, anda akan tertanya siapakah antara keduanya yang mewakili nilai Islam sebenar? Sungguh ramai keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik.

Antara seorang yang rajin solat duha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya.


Antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan.

Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri, "Baik tudungkan hati sebelum kepala."

Ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir.


Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan makruf dan membela maruahnya.

Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?

Umar bin al-Khattab pernah dicadangkan dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: "Dia seorang Muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah."

Umar berkata: "Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu.

Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi Muslim.

Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu. Sewajarnya seorang Muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barang siapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi." - (Hadis riwayat Muslim)

Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.

Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?" - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan mengelirukan mengenai imej Islam. Tidak nampak perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim daripada segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka.

Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama.

Islam tidak dihantar ke hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala.

Sedangkan bilangan perkara haram disebut al-Quran dan al-Hadis terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang baru berjinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah.

Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim, seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja.

Malangnya, ramai memilih berurusan dengan bukan Islam disebabkan mereka lebih terkehadapan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat.

Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah seumpama ini berasal daripada sistem akhlak Islam yang sudah diterapkan Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.

Untuk memperoleh kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat dalam hati bahawa apa saja pekerjaan dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama supaya tidak tercemar pada perbuatan seharian.

Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.

INTI PATI

  • Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat daripada segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya.

  • Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu.

  • Setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.

  • Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak

  • Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.
  • Ibadat haji bukti Islam tiada diskriminasi

    Oleh Mohd Shukri Hanapi

    SAAT dan ketika ini, umat Islam sedang berkumpul di Makkah untuk bersiap sedia menunaikan ibadat haji yang difardukan kepada setiap Muslim untuk melaksanakannya apabila berkemampuan, sekali dalam seumur hidup.

    Kewajipan menunaikan ibadat haji diperintahkan Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah (kaabah)." - (Surah Ali-'Imran, ayat 97)

    Kewajipan mengerjakan ibadat haji turut dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang sebenarnya mesti disembah selain Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan." -(Hadis riwayat Muslim)


    Ibadat haji adalah suatu kefarduan yang sangat unik bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima kerana ibadat itu mesti dilakukan di suatu tempat dan masa yang tertentu saja. Umumnya, ibadat haji berperanan menyempurnakan semua ibadat lain yang sudah ditunaikan sebelumnya.

    Berdasarkan perintah Allah dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, ibadat haji dikerjakan hanya di Tanah Suci Makkah, manakala masanya dari 9 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Seseorang Muslim tidak boleh mengerjakan ibadat haji di tempat dan masa yang lain.

    Oleh kerana dilaksanakan di tempat serta masa yang khusus, fardu haji menjadi perhimpunan besar orang Mukmin yang datang daripada seluruh pelosok dunia dengan niat yang satu, melaksanakan perintah Allah.

    Pada masa sama, mereka dapat mengeratkan silaturahim dengan berkenalan sesama mereka seterusnya mengukuhkan semangat persaudaraan Islam seperti dikehendaki Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sebenarnya orang Mukmin itu adalah bersaudara." - (Surah al-Hujurat, ayat 10)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah." - (Surah Ali-'Imran, ayat 103)

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seseorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, tidak boleh menganiayainya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustakannya dan tidak boleh menghinanya." - (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam perhimpunan besar itu, tidak timbul perbezaan antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain, baik dari segi warna kulit, bahasa, bangsa, kedudukan kaum, ketinggian ilmu, harta kekayaan, jawatan, gelaran, politik dan sebagainya.

    Oleh itu, jika seseorang Muslim yang sebelum ini suka menyatakan dirinya lebih baik dan mulia daripada orang lain kerana kedudukan pangkat, berlainan fahaman politik dan keturunan, maka pada saat mengerjakan ibadat haji, ia terpaksa akur kepada perintah Allah.

    Firman Allah yang bermaksud: "Haji itu dalam beberapa bulan yang ditentukan, sesiapa yang telah menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh bercakap kotor, melakukan kejahatan dan bertengkar (atau bermusuh-musuhan) dalam mengerjakan ibadat haji." - (Surah al-Baqarah, ayat 197)

    Berhubung perhimpunan terbesar ini, jelas menunjukkan Islam tidak mengenal perbezaan yang wujud antara sesama Muslim. Tegasnya dalam agama Islam tidak mempunyai unsur diskriminasi. Ukuran kemuliaan seseorang Muslim itu hanyalah bergantung kepada tahap ketakwaan kepada Allah dan beramal salih saja.

    Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

    Tujuan Allah menjadikan manusia dengan pelbagai puak, kabilah dan bangsa di dunia ini, adalah untuk membolehkan mereka saling kenal-mengenali dan saling kasih-mengasihani antara satu sama lain.

    Allah menciptakan manusia dalam keadaan sebegini bukanlah untuk memberi ruang kepada sesuatu bangsa dan puak itu bermegah-megah antara satu sama lain. Bahkan penyatuan umat Islam daripada pelbagai kaum amatlah penting.

    Ibadat haji adalah satu cara praktikal disediakan Islam untuk mengintegrasikan seluruh umat Islam dengan niat yang satu iaitu beribadat kepada Allah dan berusaha mencapai haji mabrur di samping menghayati semangat persaudaraan Islam.

    Syarat sah, hikmah beriktikaf

    Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali

    IKTIKAF dari segi bahasa bererti diam dan duduk berhenti pada sesuatu tempat. Menurut pengertian syarak, iktikaf bermaksud berhenti dalam masjid tempat orang berjemaah dengan niat beribadat kerana Allah.

    Iktikaf juga diertikan berhenti di masjid sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, menunggu atau mengasingkan diri.

    Dari segi istilah, menurut Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya al-Iqna' menyatakan, iktikaf adalah 'menunggu atau berada dalam masjid disertakan dengan niat yang tertentu'. Dengan kata lain, iktikaf ialah menetapi di masjid dan berdiam di dalamnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

    Antara hikmah iktikaf ialah mendorong seseorang supaya hatinya sentiasa mengingati Allah. Amalan itu juga dapat mendidik jiwa dan membersihkan rohani ketika berhadapan dengan Allah. Iktikaf juga dapat menanam dan memupuk perasaan cinta akan masjid dan sentiasa mengingati masjid.

    Di samping itu, amalan ini juga dapat mempereratkan hubungan sesama umat Islam kerana masjid adalah tempat mereka berkenal-kenalan. Imam al-Kasani menyebut, iktikaf penting kerana ia akan mendekatkan diri kepada Allah dengan berada di rumah-Nya, berpaling daripada kepentingan dunia, menerima segala suruhan Allah untuk mencapai rahmat dan keampunan-Nya.

    Sebelum seseorang itu memasuki iktikaf hendaklah ia berniat iktikaf kerana Allah, melakukan ibadat untuk mencapai kecintaan kepada Allah, sentiasa memohon taufik dari Allah untuk melakukan amal soleh yang lain dan menjauhkan dirinya daripada maksiat serta diampunkan dosa.

    Dia hendaklah sentiasa bersyukur atas kurniaan nikmat Allah yang diberikan selama ini. Seseorang yang beriktikaf hendaklah menjauhi sebab yang doanya tidak dimakbulkan Allah seperti makan dan minum daripada sumber haram, tidak ada usaha mengubah diri, meninggalkan perkara yang menyuruh kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Doa juga tidak dimakbulkan jika tidak dilakukan penuh kekhusyukan.

    Iktikaf boleh menjadi wajib jika seseorang itu bernazar atau bersumpah untuk melakukannya. Pada umumnya, iktikaf adalah ibadat sunat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi digalakkan pada akhir Ramadan.

    Hari-hari yang lebih utama ialah pada akhir Ramadan kerana nabi beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan. "Sesungguhnya Nabi beriktikaf pada pada sepuluh yang terakhir daripada Ramadan sehingga akhir hayat baginda" (HR Ahmad dan Tirmizi)

    Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah menyetubuhi mereka (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu sedang melakukan iktikaf dalam masjid." - (Surah al-Baqarah, ayat 187)

    Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa ayat ini sebagai dalil iktikaf perlu dilakukan di masjid. Seandainya sah dilakukan di tempat lain, tentulah tidak diharamkan bersetubuh dalamnya kerana bersetubuh itu perkara yang merosakkan iktikaf secara ijmak ulamak.

    Aishah pernah menyebutkan mengenai disiplin orang yang beriktikaf iaitu mereka tidak boleh keluar daripada lingkungan tempat iktikaf melainkan kerana keperluan terpaksa atau janganlah dia keluar kerana menziarahi pesakit, bersedap-sedap dengan menyentuh dan mencium isteri dan jangan pula menyetubuhi isterinya.

    Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid yang ada jemaah dan disunatkan berpuasa. Beriktikaf perlu dilakukan di masjid yang ada solat Jumaat supaya iktikafnya tidak terganggu dan terbatal apabila dia keluar untuk solat Jumaat kerana keluarnya itu adalah wajib bagi melaksanakan solat Jumaat.

    Masa iktikaf yang diperlukan sekurang-kurangnya sekejap. Ini adalah iktikaf sunat. Apabila seorang Islam lalu ke dalam masjid dengan niat iktikaf atau seseorang yang masuk ke dalam masjid untuk bersembahyang fardu atau bersembahyang sunat dan diniatkan sekali untuk melakukan iktikaf, dia akan mendapat pahala iktikaf selama dia berada dalam masjid.

    Rukun iktikaf ialah tinggal dalam masjid walaupun seketika dan diniatkan beriktikaf. Untuk membolehkan iktikaf itu sah, seseorang hendaklah memenuhi syaratnya iaitu, Islam, mumaiyiz, ditegah bersetubuh dan dilakukan dalam masjid yang mempunyai jemaah dalamnya.

    Golongan Syafi'i berpendapat, sesiapa bernazar beriktikaf di masjid tertentu, tidak wajib menunaikan nazarnya di masjid yang ditentukan itu bahkan dia boleh melakukannya di mana-mana masjid kecuali jika dia bernazar melakukannya di Masjidil Haram di Makkah, Masjid al-Nabawi di Madinah atau Masjid al-Aqsa. Dia wajib menyempurnakan nazarnya di masjid berkenaan.

    Orang beriktikaf disunatkan memenuhi masa iktikaf dengan melakukan ibadat seperti membaca al-Quran, bersolat, berzikir, berdoa dan memperbanyakkan tawaf jika iktikaf itu dilakukan di Masjidil Haram.

    Imam al-Nawawi menyebut, diharuskan orang yang tinggal di masjid untuk beriktikaf sementara menunggu waktu solat dengan niat beriktikaf maka ia akan mendapat pahalanya selagi mana ia tidak keluar masjid. Jika dia keluar masjid hendaklah ia niat semula.