Saturday, June 27, 2009

Mendidik remaja pengurusan kewangan bijak

Mendidik remaja pengurusan kewangan bijak


ANAK-anak perlu diberi pendedahan dan pendidikan mengenai pengurusan kewangan yang berkesan. - Gambar hiasan


MELALUI ruangan ini pada dua minggu lepas, kita telah berkesempatan menyelusuri isu pemberi pinjaman wang persendirian serta punca-punca yang membawa kepada segelintir orang awam untuk tetap mengambil risiko dengan meminjam wang daripada golongan tersebut.

Selain itu, alternatif penyelesaian kepada kemelut ini turut dikupas melalui usaha organisasi iaitu pihak kerajaan dan institusi kewangan. Terdapat pelbagai produk kewangan di pasaran yang membolehkan kita mengurus kewangan secara bijak dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pemberi pinjaman wang persendirian.

Bicara pada kali ini pula memfokuskan kepada kaedah berkesan dalam menyampaikan serta mendidik remaja tentang pengurusan kewangan yang bijak. Diharapkan dengan penumpuan terhadap pendidikan kewangan pada peringkat remaja, ilmu yang diterima dapat diamalkan secara terus menerus sepanjang hayat.

Berbelanja atau Menyimpan?

Golongan remaja kebanyakannya mungkin masih belajar dan belum berkerja tetap, maka secara umumnya masih belum terdedah kepada pelbagai bentuk skim pinjaman atau pelaburan sedia ada.

Tetapi mereka tetap akan dapat memanfaatkan ilmu pengurusan kewangan untuk kehidupan masa kini ataupun dewasa kelak, khasnya dari sudut kelangsungan proses pendidikan mereka.

Dari semasa ke semasa remaja bakal memperoleh wang, sama ada daripada ibu bapa atau penjaga, melalui pekerjaan, bersempena hari perayaan, pemberian biasiswa pelajaran, atau apa jua sumber yang diharapkan halal dan berkat.

Justeru, dengan wang yang ada remaja mempunyai pilihan untuk membelanjakannya atau menyimpannya. Sebagai remaja, sememangnya terdapat kecenderungan untuk membelanjakan wang yang dimiliki demi memenuhi keperluan atau kemahuan diri. Apatah lagi dengan lambakan barangan jualan sama ada di premis membeli belah ataupun di alam maya.

Remaja yang bijak akan memikirkan masa depan pendidikan mereka, kerana dengan pendidikan mampu membawa keluar remaja daripada kancah kejahilan dan kemiskinan kepada tahap kehidupan yang lebih baik.

Maka remaja yang bijak akan berusaha menyimpan wang sedikit sebanyak yang termampu agar dapat menampung kos pendidikan peringkat tinggi mereka pada masa hadapan.

Tambahan pula, unjuran kos pengajian peringkat tinggi dijangka terus meningkat di samping persaingan yang lebih sengit dalam permohonan biasiswa.

Pengurusan Kewangan untuk Remaja

Bagi remaja, pengenalan kepada produk serta sistem kewangan yang ada di pasaran membolehkan mereka memahami manfaat yang ditawarkan serta faedah berbanding antara pelbagai sistem kewangan tersebut.

Sebagai contoh, perbezaan antara sistem kewangan Islam dan sistem kewangan konvensional boleh diperjelas dan ini seterusnya mampu menarik minat remaja untuk mengguna pakai produk kewangan Islam atas sifatnya yang menjurus kepada perjanjian yang lebih adil dan saksama.

Sekiranya remaja berminat mengetahui lebih lanjut berkenaan teknik pengurusan kewangan, terdapat banyak sumber serta pakar yang mampu mengupas topik berkenaan secara lebih mendalam seperti buku-buku atau majalah berkaitan, kakitangan Agensi Keunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Internet dan sebagainya.

Integrasi Sukatan Pelajaran

Pengenalan intisari ilmu pengurusan kewangan terhadap sukatan pelajaran di sekolah merupakan satu kaedah utama yang boleh diterapkan dalam mendidik para pelajar yakni golongan remaja berkenaan pengurusan kewangan yang bijak.

Usaha ini boleh dilaksanakan sama ada melalui pengenalan satu subjek khusus berkenaan pengurusan kewangan individu atau juga boleh diterapkan ke dalam mata pelajaran yang lain seperti kemahiran hidup ataupun matematik.

Pendedahan tentang kaedah pengurusan kewangan terhadap pelajar kolej atau universiti juga adalah amat berguna kerana ramai yang memperoleh biasiswa atau pinjaman pendidikan pada peringkat ini.

Selain itu, para siswazah juga bakal menamatkan pelajaran dan seterusnya bekerja. Apabila mereka mendapat gaji pertama, maka di kala itulah ilmu pengurusan kewangan menjadi semakin penting untuk diamalkan kerana lebih banyak faktor pembolehubah yang perlu diambil kira.

Promosi Melalui Media

Penggunaan media massa juga amat berkesan dalam menyampaikan mesej pengurusan kewangan bijak kepada orang awam. Ia boleh dilaksanakan melalui penggunaan iklan, penyiaran rancangan forum atau temu bual, atau liputan berita.

Liputan media secara meluas buat Minggu Saham Amanah contohnya merupakan satu perkembangan baik dalam mempromosikan Saham Amanah sebagai salah satu instrumen pelaburan kepada segenap masyarakat.

Secara tidak langsung, ibu bapa yang mendapat kesedaran akan turut menyampaikan maklumat yang diterima kepada anak-anak agar bersama-sama berusaha untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak.

Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa sebagai insan yang paling dekat dengan remaja mampu membimbing remaja mempraktikkan pengurusan kewangan secara bijak. Anak-anak tidak seharusnya dilimpahkan dengan kebebasan kewangan tanpa pengawasan ibu bapa terhadap mereka.

Ini kerana anak-anak mungkin cenderung untuk membelanjakan wang yang dimiliki untuk membeli barangan kemahuan diri sekiranya tidak dipupuk dengan kesedaran serta tabiat untuk berjimat dan menyimpan.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membantu anak-anak menguruskan wang mereka seperti membuka akaun simpanan untuk mereka, serta mengawasi apa yang dibeli oleh anak-anak.

Ibu bapa juga perlu berusaha menyimpan sebahagian kewangan mereka untuk tabungan anak-anak khasnya bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ataupun tujuan kecemasan.

Kesimpulan

Setiap individu mempunyai keperluan serta keutamaan masing-masing dalam mengurus kewangan mereka, sama ada muda atau tua, baru bekerja ataupun sudah bersara, golongan fakir mahupun bagi yang mencapai kebebasan kewangan.

Apa yang penting, pengurusan kewangan bijak merupakan amalan yang perlu ada pada setiap daripada kita.

Ini kerana wang itu adalah harta yang dimiliki dan harta itu adalah amanah yang Allah kurniakan kepada kita untuk kita urus dan tadbir dengan sebaik-baiknya.

Dengan wang yang kita miliki itu terkait pelbagai tuntutan ibadah dan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan seperti nafkah, zakat, sedekah, pelunasan hutang dan sebagainya.

No comments: