Monday, May 25, 2009

Didik generasi muda tanggungjawab setiap Muslim

Didik generasi muda tanggungjawab setiap Muslim
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Semua pihak perlu serius tangani masalah disiplin pelajar, remaja yang semakin parah

STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 2,562 pelajar ditahan pada 2003 dan 1,429 daripadanya terbabit pelbagai kes jenayah. Pada 2005 peratusan kes jenayah pelajar meningkat iaitu 5,543 berbanding 2004, 5,140 kes.

Rekod Kementerian Pelajaran menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) ponteng pada 2007, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.

Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes (0.43 peratus) tahun lalu dan 19,980 kes (0.37 peratus) pada 2006.



Kesalahan berunsur jenayah seperti mencuri, mencederakan pelajar, bergaduh dan pukul juga antara kes banyak dicatatkan di sekolah iaitu 18,900 (0.35 peratus) tahun lalu dan 18,360 (0.34 peratus) pada 2006. Isu lewat ke sekolah atau tidak pentingkan masa juga agak ketara dengan rekod 18,360 pelajar (0.34 peratus) terbabit tahun lalu dan 15,120 pelajar (0.28 peratus) tahun sebelumnya.

Perlu diinsafi, renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus menjadi isyarat jelas kepada kita indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar berada pada paras berbahaya.

Apa yang berlaku wajar diberi perhatian serius pelbagai pihak bertanggungjawab daripada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan dalam mendepani kemelut yang meruncing dan tidak ketinggalan, umat Islam perlu menginsafi apakah corak pendidikan dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi.

Lantaran itu, mereka mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Umat Islam juga wajib menghisab diri apakah fenomena ini disebabkan mereka melupakan tanggungjawab mendidik generasi muda yang bakal mewarisi takhta kepemimpinan pada masa akan datang.

Oleh itu, tidak wajar kita memandang remeh apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan terkawal. Kita mesti berwaspada serta sentiasa beringat sepanjang masa.

Jangan pula apabila masalah sudah menjadi parah, baru kita mengambil tindakan susulan padahal ia sudah terlambat seperti kata orang tua, sudah terhantuk baru tengadah.

Umat Islam tidak usah menuding jari menyalahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap krisis akhlak dan disiplin pelajar.

Islam menganjurkan umatnya mendidik anak dengan ilmu dunia dan akhirat. Generasi muda terdidik dengan iman, ilmu dan akhlak adalah generasi yang ampuh dan mampu berdepan cabaran zaman penuh pancaroba.

Namun, tugas mendidik bukan mudah, ia mesti dipikul setiap Muslim dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan skop didikan bukan sekadar memberi makan pakai secukupnya, malah mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan sebenar.

Ibu bapa ialah pendidik pertama kepada anak dan tidak dinafikan tanggungjawab mendidik paling besar sebenarnya terhimpun pada bahu mereka untuk mencorakkan jenis pendidikan yang akan mewarnai hati, akhlak, perwatakan serta pemikiran anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari)

Dapat disimpulkan beratnya tanggungjawab terpaksa dipikul ibu bapa. Sebab itu, sebarang kesilapan dilakukan dalam proses mendidik anak atau mengabaikan tanggungjawab itu akan membawa kemudaratan hidup anak dan mereka.

Walaupun tanggungjawab mendidik terletak di bahu ibu bapa, masyarakat sekeliling juga bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Oleh itu, jangan sesekali bersikap tidak ambil peduli mengenai hal orang lain.

Masyarakat Islam sebenarnya ialah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu-membahudan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Lantaran itu, generasi muda perlu didekati dan dididik oleh setiap masyarakat melalui pendekatan terbaik seperti firman Allah bermaksud: "Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Justeru, generasi muda yang hanyut dibawa arus kemungkaran perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin ke arah jalan lurus sesuai sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), dan jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulannya, tanggungjawab mendidik adalah tanggungjawab mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah. Justeru, setiap anggota masyarakat dari pemimpin, rakyat dan seterusnya ibu bapa hendaklah memikul tanggungjawab mendidik generasi pewaris mereka nanti.

Sikap saling mengajar kepada perkara bermanfaat dan tegur menegur terhadap perkara yang silap sewajarnya terhias dalam setiap anggota masyarakat. Dengan itu, barulah masyarakat Islam terhindar daripada sebarang kemelut dan krisis moral yang meruncing.

Ulama pewaris nabi kena berani bongkar, tentang penyelewengan

Ulama pewaris nabi kena berani bongkar, tentang penyelewengan
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

PERTEMBUNGAN antara golongan yang hak dan batil adalah episod yang sentiasa berlaku pada setiap generasi umat Islam. Musuh Islam berusaha untuk menjauhkan umat Islam daripada jalan yang lurus dan diredai Allah.

Namun, pada setiap generasi pasti wujud ulama adil yang tampil membela Islam daripada dicemari pemikiran serta ajaran sesat yang cuba diterapkan dalam minda umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW: "Ilmu ini akan dibawa oleh mereka yang adil dari setiap generasi. Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan dusta golongan yang batil (sesat) dan takwilan golongan jahil." (Hadis Hasan)

Hadis ini memperjelaskan tugas utama ulama yang bertanggungjawab sebagai penyimpan amanah warisan Rasulullah SAW untuk mengekalkan ketulenan ajaran Islam daripada apa juga bentuk pencemaran atau penambahan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama ialah pewaris nabi. Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang sudah mengambilnya (ilmu itu), bererti sudah mengambil bahagian yang sempurna." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Ilmu menjurus daripada al-Quran dan al-Sunnah atau dalam erti kata lain, ilmu berkaitan agama Islam. Muhammad Sirin berkata: "Sesungguhnya ilmu ialah agama. Maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian."

Ilmu akan dibawa oleh mereka yang adil setiap generasi bermaksud setiap generasi umat Islam ada golongan adil (boleh dipercayai dalam ajaran agama) dan bersungguh-sungguh membawa ajaran Islam seperti yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.

Ulama adil ini berusaha melindungi umat Islam daripada penyelewengan dalam agama, amalan syirik, bidaah, khurafat, tahyul dan maksiat. Mereka sentiasa tegar membongkar penyimpangan atau anasir asing yang cuba disebarkan kepada umat Islam.

Adakalanya, ulama ini dihambur dengan pelbagai tohmahan dan cercaan disebabkan ketegasan menjaga ketulenan agama terutama ketika mereka mengkritik amalan yang bukan daripada ajaran Rasulullah tetapi sudah sebati dalam kehidupan masyarakat.

Namun mereka sentiasa bersabar menghadapi segala rintangan sebagai penyambung warisan Nabi SAW dan segala cercaan tidak sedikitpun memudaratkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sentiasa ada sekelompok di kalangan umatku yang berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tiba urusan Allah (hari Kiamat)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rasulullah SAW memperjelaskan ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan ajaran Baginda serta mempertahankan ketulenan Islam iaitu:

l Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas. Segala penyelewengan yang cuba dilakukan kelompok yang melampaui batas dalam urusan agama akan diperangi. Golongan yang menyimpang daripada ajaran Islam sentiasa berusaha menyelewengkan ajaran terkandung dalam al-Quran supaya menyokong doktrin sesat mereka.

l Mereka menafikan (menentang) dakwaan dusta golongan yang sesat. Ulama perlu sentiasa memantau dakwaan dusta golongan sesat yang tersebar di tengah masyarakat bertujuan menjauhkan manusia daripada ajaran Islam sebenarnya yang disampaikan Rasulullah SAW.

Contohnya, dakwaan dusta golongan liberal yang menyatakan ada perkara yang termaktub dalam hukum syarak hanya sesuai untuk dilaksanakan pada zaman silam, bukan untuk zaman moden. Ulama harus bingkas bangun memperjelaskan hikmah di sebalik segala pelaksanaan hukum ditetapkan syarak yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Masyarakat harus disedarkan segala hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah itu wajib dilaksanakan seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat." (Surah al-Nisa', ayat 105)

l Mereka menafikan (menentang) tafsiran golongan jahil. Golongan ini sering melakukan tafsiran ayat al-Quran mahupun hadis Nabi SAW tanpa dasar atau kaedah ilmu yang jelas lalu mereka memalingkan daripada tafsiran sebenar seperti disampaikan Rasulullah SAW dan generasi salaf.

Contohnya, firman Allah bermaksud: "Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-Yakin." (Surah al-Hijr, ayat 99)

Menerusi ayat itu, kelompok batiniah yang jahil meyakini bahawa apabila seseorang sudah mencapai kedudukan dipanggil al-yakin, mereka terlepas daripada bebanan hukum.

Bagi syeikh tarikat, mereka yang diyakini susah mencapai makam itu tidak perlu melakukan ibadah seperti solat, puasa dan zakat serta dibenar melakukan maksiat.

Sedangkan bagi kelompok ahli sunnah wal jamaah, mereka mentafsirkan al-yakin dengan makna kematian. Oleh itu, firman Allah di atas sebenarnya bermaksud kita perlu tetap beribadah kepada Allah sehingga ajal menjemput kita.