Sunday, June 28, 2009

AGAMA : AHAD 28 JUN 2009

Ulul Albab: Ta 3 panduan umat kukuh persaudaraan
JIKAdalam bahasa Melayu kita mengenal konsep 3 Ta yang boleh mengelirukankehidupan seorang lelaki sehingga dia boleh berjaya mahupun binasadengannya, dalam bahasa Arab - setidak-tidaknya untuk penyesuaiandengan bahasa Melayu, boleh diperkenalkan konsep Ta 3 yang akan membawakesejahteraan kepada umat manusia.

Persoalan Agama: Poligami bukan sekadar mampu kewangan
SEJAKakhir ini, pelbagai kisah mengenai poligami membabitkan artis sertatuntutan fasakh dilaporkan media. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudahberkahwin dan buat masa ini tidak terlintas untuk berpoligami keranamenyedari tanggungjawab serta kemampuan diri terbatas. Namun, ramairakan di pejabat, sebaliknya memperlekeh isu poligami ini.Persoalannya, apakah hukum poligami? Siapa yang layak berpoligami?Bagaimana adab untuk si suami memaklumkan isterinya dan apakah yangharus dilakukan isteri jika suami mahu berkahwin lagi.

Persoalan Agama: Anak tak sah taraf dibintikan Abdullah ketika akad nikah
SAYAbakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini, Insya-Allah. Saya ingintahu dengan jelas kedudukan atau prosedur yang bakal saya hadapiberikutan status saya sebagai anak tidak sah taraf. Apakah akad nikahyang dilafazkan wali hakim dan benarkah ada perbezaan akad yang bakaldilafazkan terhadap anak yang tidak sah taraf? Saya perlu dibintikandengan siapa? Saya perlu jawapan ustaz demi persiapan yang perlu dibuatdan pada masa sama, menjaga maruah ibu dan keluarga bakal suami.

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara clergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai Daulah Islamiyyah' (Islamic State). Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatollah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-'Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinisme: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi SAW ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi SAW begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Pembentukan

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya. Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi'I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.

Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah. Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'daulat islamiyyah' atau negara Islam!

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Ulul Albab: Ta 3 panduan umat kukuh persaudaraan

Ulul Albab: Ta 3 panduan umat kukuh persaudaraan

Oleh Abdurrahman Haqqi

GOTONG-ROYONG tanda masyarakat muafakat jadi amalan sepanjang masa.

Ta'aruf, ta'awun dan tawasau tingkat takwa agar peroleh kehidupan mulia dunia, akhirat

JIKA dalam bahasa Melayu kita mengenal konsep 3 Ta yang boleh mengelirukan kehidupan seorang lelaki sehingga dia boleh berjaya mahupun binasa dengannya, dalam bahasa Arab - setidak-tidaknya untuk penyesuaian dengan bahasa Melayu, boleh diperkenalkan konsep Ta 3 yang akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Konsep 3 Ta dalam bahasa Melayu merujuk kepada 'harta, takhta dan wanita' manakala Ta 3 yang dalam bahasa Arab adalah ta'aruf (saling mengenal), tawasau (menasihati) dan ta'awun (tolong-menolong).

Ta 3 ialah asas perhubungan umat manusia sejagat yang digariskan al-Quran secara nyata. Ia panduan Ilahi yang kekal, tidak putus walau apa pun terjadi. Konsep Ta 3 ialah manusia dicipta untuk saling mengenal (ta'aruf). Apabila saling mengenal, mereka diperintahkan untuk tolong-menolong (ta'awun). Selepas itu mereka perlu mekanisme yang boleh meneruskannya yakni saling menasihati (tawasau).

Bagi ta'aruf, Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami sudah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan (beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujarat: 13).

Bagi ta'awun, al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." (Surah al-Maidah: 2)

Bagi tawasau, Allah SWT berfirman maksudnya: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran." (Surah al-'Ashr: 1-3).

Cuba kita bayangkan jika manusia dicipta, kemudian tidak saling mengenal, apa yang akan terjadi? Begitu pula jika sudah kenal, tapi tidak wujud tolong-menolong. Walaupun sudah terjalin hubungan tolong menolong, tapi saling nasihat menasihati tidak menjelma, apa yang akan diperoleh? Hanya hampa dan kepincangan yang bakal dikecapi.

Ibadat yang dengannya tujuan manusia diciptakan seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku" (Surah al-Dzariat: 5) menjelma dalam 'Ta 3'. Ta'aruf, tawasau dan ta'awun juga ialah ibadat.

Seperti kita perhatikan dalam ketiga-tiga ayat di atas, Ta 3 dikaitkan dengan ketakwaan.

Ta'aruf dengan "sesungguhnya semulia-mulia kamu pada sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu." Ta'awun dikaitkan dengan "dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." Tawasau pula dikaitkan dengan manusia yang tidak merugikan dan manusia yang sedemikian ialah orang yang bertakwa.

Sifat tolong-menolong adalah jambatan saling mengenal dan menasihati. Pengertian saling menolong sangat luas, bahkan sampai ke tahap manusia tidak memahaminya.

Ketika Rasulullah SAW bersabda di depan sahabat yang bermaksud:

"Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi," mereka hairan lantas berkata: "Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kamu yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?" Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: "Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya."

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita, akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi maksudnya: "Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya." (Hadis riwayat Ahmad)." Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah bersabda maksudnya: "Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia).

Jika saling menolong diamalkan meluas di kalangan umat, ia tanda keberkatan hidup. Dalam hadis Baginda bersabda maksudnya: "Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum, maka dijadikan pemimpin mereka kalangan orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum dan mahkamah. Allah SWT juga jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan. Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi satu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang dungu yang menangani hukum dan mahkamah manakala harta berada di tangan orang kikir." (Hadis riwayat al-Dailami).

Ketiga-tiga aspek kehidupan masyarakat yang disentuh hadis di atas berhubungan erat dengan tolong-menolong untuk mewujudkan pemimpin dan ulama ulung serta dermawan yang ikhlas.

Jika sifat tolong-menolong juga tidak boleh direalisasikan, tiga perkara yang akan memporak-perandakan sendi kehidupan bermasyarakat seperti sabda Baginda maksudnya: "Ada tiga perkara tergolong musibah yang membinasakan iaitu seorang penguasa apabila kamu berbuat baik kepadanya, dia tidak mensyukuri kamu, apabila kamu berbuat kesalahan dia tidak mengampuni; seorang jiran, apabila melihat kebaikan kamu dia pendam (diamkan saja) tapi apabila melihat keburukan kamu dia sebarkan; seorang isteri apabila berkumpul dia mengganggu kamu (dengan ucapan dan perbuatan yang menyakiti) dan apabila kamu pergi, dia akan mengkhianati kamu." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Dalam sejarah awal Islam, contoh saling menolong di kalangan umat Islam banyak kita temui. Ketika putus hubungan kerabat antara Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya Abu Lahab, dan saudaranya Amru Hisyam (Abu Jahal), iaitu ketika orang Muhajirin sanggup bertempur di medan perang, menentang sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat handai mereka sendiri di medan Perang Badar, ketika itu juga jalinan kekeluargaan terikat begitu erat antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka menjadi saudara dan kaum keluarga yang saling menolong dan membantu. Pada masa sama juga tercantum rasa kasih sayang dan tali kekeluargaan antara orang Muslim Arab dengan Muslim berbangsa lain terjalin hubungan kasih mesra dan setia antara mereka. Semua ini berkat ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Tujuan akhir berjemaah daripada ajaran tolong-menolong adalah penyebaran secara berleluasa amar makruf nahi mungkar yang menjadi mercu tanda kebaikan umat Islam seperti firman Allah SWT maksudnya:

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah SWT." (Surah Ali Imran: 110). Jika tidak ada ta'aruf, ta'awun dan tawasau, bolehkah ayat ini dapat direalisasikan?

Persoalan Agama: Poligami bukan sekadar mampu kewangan

Persoalan Agama: Poligami bukan sekadar mampu kewangan


Islam menetap lima hukum perkahwinan untuk menjaga hak isteri, institusi keluarga

SEJAK akhir ini, pelbagai kisah mengenai poligami membabitkan artis serta tuntutan fasakh dilaporkan media. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berkahwin dan buat masa ini tidak terlintas untuk berpoligami kerana menyedari tanggungjawab serta kemampuan diri terbatas. Namun, ramai rakan di pejabat, sebaliknya memperlekeh isu poligami ini. Persoalannya, apakah hukum poligami? Siapa yang layak berpoligami? Bagaimana adab untuk si suami memaklumkan isterinya dan apakah yang harus dilakukan isteri jika suami mahu berkahwin lagi.

Zulkifli S,
Klang.



MENJAWAB soalan yang pertama mengenai hukum, ada baiknya jika dikemukakan sejarah poligami dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam ayat ketiga surah al-Nisak, maksudnya: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwin dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak berlaku adil (antara isteri kamu) maka (berkahwin) seorang saja, atau (pakai) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Menurut pentafsir, contohnya dalam kitab al-Tafsir al-Muyassar, ayat ini diturunkan bagi memberikan kelonggaran kepada penjaga (wali) anak yatim untuk mengahwini gadis lain jika dibimbangi timbul masalah kerana mengahwini gadis yang juga anak yatim di bawah jagaan mereka. Ia termasuk masalah mahar yang sepatutnya diberikan kepada anak yatim itu.

Menurut Ibn Kasir dalam tafsirnya, menyatakan tradisi masyarakat Arab pada zaman dulu untuk menikahi gadis yang kematian ayah yang kaya bertujuan membolot harta yang ditinggalkan. Tambahan pula jika gadis itu cantik memikat. Ia antara riwayat daripada Aisyah RA seperti yang diriwayatkan al-Bukhari dalam sahihnya.

Poligami ini pada dasarnya dibenarkan Islam mengambil kira perkara tertentu, contohnya isteri mengalami penyakit menyebabkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan seksual suami.

Apabila perkahwinan yang tujuannya memberikan keseronokan syahwat secara halal tidak lagi berperanan, Islam membenarkan perkahwinan dengan isteri kedua untuk menyelamatkan keadaan itu.

Apabila kita mengkaji sirah Nabi, perkahwinan Baginda secara poligami dengan sembilan isteri pada suatu masa sebenarnya mempunyai pelbagai hikmah antaranya, ia pembelaan kepada mereka termasuk isteri bernama Saudah, Ummu Habibah dan Ummu Salamah.

Isteri lain pula dikahwini untuk menjadi hukum yang akan dipegang umat Islam berkaitan perkahwinan dengan isteri anak angkat seperti berlaku pada Zainab.

Ada juga perkahwinan Baginda dengan golongan Yahudi seperti Safiyyah bertujuan sebagai dakwah. Amalan Nabi ini akhirnya menjadi ikutan sahabat yang datang selepas itu, hampir semua mengamalkan poligami seperti Nabi SAW.

Namun, harus diingat poligami yang dibenarkan menuruti ketetapan syarat. Syarat ini diletakkan sebagai dasar bagi mengelakkan kezaliman kepada wanita, khasnya pada zaman mutakhir ini apabila poligami menjadi faktor utama pengabaian tanggungjawab kepada isteri dan anak.

Antara syarat diletakkan fuqaha terhadap suami yang ingin mengamalkan poligami ialah:
Mampu adil dengan isteri seperti firman Allah SWT dalam ayat ketiga surah al-Nisak.
Mampu menghadapi ujian kehidupan poligami kerana suami harus bijak mengendalikan permasalahan semua isteri tanpa mengabaikan hak Allah ke atas mereka.
Mampu memenuhi keperluan isteri. Jika lelaki beristeri lebih gagal memenuhi tuntutan seksual isteri, dibimbangi isteri terbabit maksiat.
Mampu memberi nafkah kepada isteri tanpa berlaku zalim dalam pembahagian itu.


(Untuk maklumat lanjut rujuk Kitab Ensiklopedia Fiqh karangan Ab Malik Kamal Sayyid Ibrahim cetakan Pustaka Ibn Kasir, Jakarta).

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami sekalipun hukum poligami pada asalnya harus, ia bertukar kepada hukum lain seperti berikut :
Wajib – Jika dibimbangi seseorang lelaki terjerumus melakukan maksiat.
Sunat – Sekiranya dengan perkahwinan dapat memberikan perlindungan kepada wanita yang memerlukan perlindungan.
Harus – Dalam keadaan umum, apabila yakin dapat menjaga kepentingan semua isterinya.
Makruh – Apabila perkahwinan disebabkan memenuhi tuntutan syahwat semata-mata tanpa mengadakan kajian dan mesyuarat dengan orang berilmu dan salih.
Haram – Sekiranya perkahwinan dilakukan untuk menganiaya sesuatu pihak sama ada isteri yang sudah sedia dinikahi atau bakal isteri.

Indahnya Islam seperti dikatakan ulama seperti al-Ghazali dalam al-Mustasfa dan Ibnul Qayyim dalam I'lam al-Muwaqqa'in yang mana objektif utama membawa keselamatan kepada umat.

Apa yang menjadi masalah hari ini ialah poligami berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam terhadap kemampuan diri.

Tidak dinafikan lelaki mampu dari sudut kewangan, tapi dia juga harus mampu memberi keutamaan pendidikan dan kefahaman Islam terhadap isteri.

Saya mencadangkan lelaki yang ingin berpoligami mengikuti saranan Nabi iaitu mengutamakan aspek agama di samping kecantikan. Berapa ramai lelaki tertipu dalam perkahwinan kedua dengan memilih isteri jelita, malah ada yang sebaya anak sendiri. Akhirnya perkahwinan itu berakhir dengan cepat kerana isteri mudanya tidak mempunyai kefahaman agama.

Ambil pengajaran daripada amaran Nabi SAW dalam hadis: "Janganlah kamu mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya akan menghancurkannya. Jangan kamu kahwini kerana hartanya kerana harta itu akan menjadikan mereka melampaui batas, tetapi kahwinilah dia kerana agamanya... (Riwayat Ibn Majah).

Menjawab soalan kedua, saya mencadangkan isteri yang menghadapi perkara ini muhasabah diri. Kemungkinan ada sikap kita yang kurang disenangi suami seperti tidak menjaga penampilan diri yang turut membabitkan sikap, kata-kata dan penjagaan rupa. Suami hakikatnya kerap mengadu masalah isteri selekeh dan tidak menggoda.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah kembali kepada Allah SWT dengan melakukan solat sunat hajat, tahajud dan dhuha. Sebagai contoh, Nabi bersabda dalam hadis sahih: "Wahai anak Adam, kerjakanlah olehmu dua rakaat Dhuha, nescaya akan kupenuhi segenap hajatmu pada hari itu."

Wanita juga digalak berpuasa sunat kerana doa orang yang berpuasa diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar."

Ramai ulama contohnya al-Baidhawi mentafsirkan maksud sabar ialah puasa. Terakhir, bermesyuarat dengan suami menerusi pendekatan paling disenangi dengan mempamerkan rasa hormat tanpa memperkecilkan dirinya sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan. Kehadiran orang salih yang dikenali juga mungkin berperanan besar terhadap suami agar memikirkan semula kewajaran tindakannya itu.

Persoalan Agama: Anak tak sah taraf dibintikan Abdullah ketika akad nikah

Persoalan Agama: Anak tak sah taraf dibintikan Abdullah ketika akad nikah


SAYA bakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini, Insya-Allah. Saya ingin tahu dengan jelas kedudukan atau prosedur yang bakal saya hadapi berikutan status saya sebagai anak tidak sah taraf. Apakah akad nikah yang dilafazkan wali hakim dan benarkah ada perbezaan akad yang bakal dilafazkan terhadap anak yang tidak sah taraf? Saya perlu dibintikan dengan siapa? Saya perlu jawapan ustaz demi persiapan yang perlu dibuat dan pada masa sama, menjaga maruah ibu dan keluarga bakal suami.

Gadis Keliru,
Perak.

KES yang menimpa saudari ini amat dikesali. Inilah akibat apabila manusia melakukan sesuatu perkara berdasarkan kepentingan syahwat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisak ayat 176, maksudnya: "Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Apabila manusia melakukan tindakan tanpa mengikuti batasan syariat, berlaku fitnah dan keburukan. Firman Allah SWT lagi dalam ayat surah al-Rum ayat 41:

"Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Antara kemusnahan itu ialah kelahiran anak tanpa bapa yang sah akibat perbuatan aniaya membabitkan rogol dan zina.

Bagaimanapun dalam kes saudari, saudari ialah mangsa salah laku dan tidak wajar dipersalahkan kerana Allah SWT berfirman dalam ayat ke-164, surah al-An'am, maksudnya : "Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itu saja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisih padanya."

Benar apa yang dikatakan saudari iaitu wali yang akan menikahkan saudari adalah wali hakim.

Tiada sebarang perbezaan antara lafaz nikah itu. Cuma pihak wali akan meletakkan binti saudari kepada Abdullah kerana saudari tidak memiliki bapa sah. Saudari perlu menjelaskan keadaan ini kepada wali berkenaan bagi mengelakkan kerumitan berlaku pada hari akad nikah.