Monday, August 24, 2009

AGAMA : ISNIN 24 OGOS 2009


Hak dan adab Ramadan
ALLAHU akbar wa lillahil hamd! Dengan kuasa dan kurnia Yang MahaBerkuasa, yang mana segala puji-pujian kembali hadrat-Nya, sekali lagikita dipertemukan dengan bulan Ramadan. Haniian lakum!


Masjid Selat atas laut
MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya denganpeninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebarandan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.

Rasulullah dituduh ahli sihir
AKHIRNYApuak Quraisy tidak senang duduk dengan penyebaran Islam yang dibawaoleh Nabi Muhammad. Mereka mula gelisah malah tidak kurang kepanasankerana bagaikan terpanggang di atas api.


Ramadan dan masa
DIRAFA'KAN kesyukuran kepada Allah SWT ramadhan menggamit lagi. Bulanyang penuh keberkatan dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat,maghfirah (keampunan) dan gandaan pahala.







Pelaksanaan KPI boleh perkasa pengurusan masjid
MUNGKINKAHsudah sampai masanya Prestasi Petunjuk Utama (KPI) bagi pengurusanmasjid diwujudkan dan prestasi masjid dipantau agensi pada peringkatnegeri atau kebangsaan.

Kebendaan tenggelamkan hikmah puasa
DALAMkhazanah ilmu komunikasi transendental, yang berkaitan komunikasiantara manusia dengan Tuhan. Al-Quran memberikan pengetahuan kepadakita mengenai komunikasi ini yang salah satunya adalah dalam bentuk doayang termuat dalam surah Nuh (ayat 71:5�6) bawah ini.

Ingatan bagi pelupa: Jangan harap pujian
SEORANGhakim berkata: "Seharusnya seseorang yang beramal kepada Allah belajarmengenai adab daripada pengembala kambing. Ketika ditanya, "bagaimana?"Jawabnya, "pengembala itu jika bersolat di tengah-tengah kumpulankambing jagaannya, sekali-kali dia tidak mengharap pujian daripadakambing-kambingnya, begitu juga dengan orang yang melakukan ibadatseharusnya tidak menghiraukan orang melihatnya ataupun tidak."

Rahsia pergerakan dalam solat kepada kesihatan fizikal
SETIAPumat Islam diwajibkan menunaikan ibadat solat manakala yang belummencapai baligh diwajibkan tanggungjawab ke atas ibu bapa mendidik danmengajar anak mengenai solat mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan
NERAKA berasal perkataan Ibrani bermaksud unggun api menjadi tempat seksaanAllah yang dikhususkan untuk golongan ingkar kepada perintah-Nya ketikadi dunia

Hak dan adab Ramadan

Hak dan adab Ramadan


Kita disunatkan berbuka dengan buah kurma sebelum menikmati juadah yang lain. - Gambar hiasan


ALLAHU akbar wa lillahil hamd! Dengan kuasa dan kurnia Yang Maha Berkuasa, yang mana segala puji-pujian kembali hadrat-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan. Haniian lakum!

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua umat Islam yang bersama-sama memasuki gerbang Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

Selain daripada amal ibadah khusus, sudah menjadi suatu adat kita menyambut kedatangan Ramadan dengan mengisi ruang-ruang majlis ta'lim, kuliah dan ceramah dengan peringatan tentang kepentingan hakikat dan kelebihan Ramadan.

Walaupun kita mendengar nas-nas yang sama diulang-ulang oleh para ulama dan pendakwah, sebenarnya proses tazkirah Ramadan atau peringatan-peringatan sempena Ramadan adalah persiapan mental-spiritual yang sangat penting serta menjadi kunci yang menentukan mutu dan kualiti penghayatan Ramadan kita.

Ini kerana memang menjadi prinsip dalam agama kita bahawa bagi setiap amal ibadah kita sebagai hamba, sudut dalaman dan maknawi ibadah itulah yang merupakan maksudnya dan penentu nilainya yang utama.

Inilah yang dapat kita fahami di sebalik pelbagai nas dan kaedah seperti hadis, Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada niatnya dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya… (riwayat Bukhari dan Muslim) serta hadis yang bermaksud "Niat seorang Mukmin itu lebih baik daripada amalannya".

Falsafah yang sama juga dapat diselami di sebalik sepotong hadis Qudsi yang bermaksud, Allah berfirman, "Aku menurut sangkaan (dzan) seseorang hambaKu padaKu".

Oleh itu, walaupun kita sudah saban tahun berpuasa Ramadan, kita tidak harus memandang rendah kepentingan mengingatkan diri kita tentang segala fadilat, kaifiyat dan rahsia Ramadan.

Ia agar kita dapat menghayatinya dengan sebaik-baik niat, azam, pengharapan dan husnu dzan (bersangka baik) yang dengannya, insya-Allah, akan mengangkat tinggi mutu Ramadan kita.

Kita dibekalkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya SAW sekian banyak nas-nas yang mengingatkan kita tentang keistimewaan Ramadan yang sebahagiannya telah kita himbau pada minggu lepas.

Namun, rasanya antara yang paling istimewa dan jelas adalah sepotong hadis yang kaedah penyampaiannya juga menarik. Abu Hurairah r.a meriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban, "Bahawa Nabi SAW telah menaiki mimbar lalu bersabda, "Amin. Amin. Amin". Baginda pun ditanya, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya engkau telah menaiki mimbar lalu mengucapkan Amin. Amin. Amin?"

Sabda Baginda SAW, "Sesungguhnya Jibril a.s telah datang kepadaku dan berkata, "Sesiapa yang berkesempatan bertemu Ramadan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmatNya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

Sesiapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya tetapi tidak melakukan kebajikan kepada keduanya kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'. Sesiapa yang disebut di sisinya namamu tetapi tidak mengucapkan selawat ke atasmu kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk Neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

keampunan

Hadis ini mengingatkan kita bahawa peluang mendapatkan keampunan dan Tuhan di Ramadan begitu istimewa. Sehingga sesiapa yang gagal memanfaatkan peluang tersebut cukuplah kelalaiannya itu untuk memasukkan dirinya ke neraka dan menjauhkannya daripada rahmat Allah.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada tergolong dalam golongan itu.

Walaupun kita menegaskan niat dan adab hati dalam menghayati Ramadan itu lebih utama, sudah tentu kaifiyat dan cara amalinya juga harus benar dan betul, rukun dan syaratnya, wajib dan sunatnya.

Cuma janganlah pula aspek ini yang menjadi sumber pertikaian dan pertengkaran. Samalah seperti amal ibadat dan hukum-hakam kita yang lain, segalanya sudahpun dihuraikan oleh para ulama umat ini yang adil lagi amanah.

Ilmu berkaitannya tersusun rapi dalam kerangka syariat dan fiqh mengikut mazhab-mazhab yang muktabar.

Telah jelas dinyatakan persoalan-persoalan mana yang muktamad dan mengikat serta isu-isu mana yang masih nisbi (relatif) dan khilafiah yang memberi ada ruang untuk kita berbeza pandangan dan cara amalan.

Bila kita boleh dan bagaimana caranya kita berbeza pandangan dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan ukhuwah juga telah jelas digariskan oleh para ulama.

Mengikut pandangan-pandangan yang muktamad dalam mazhab-mazhab yang muktabar termasuklah Mazhab Shafie yang telah dipilih oleh ulama, umarak dan umat rantau ini sejak sekian lama adalah bererti kita bersungguh-sungguh cuba menghayati Ramadan mengikut cara Nabi SAW.

Pandangan muktamad dalam mazhab-mazhab muktabar adalah pandangan-pandangan terpilih oleh generasi demi generasi para ulama terpilih dan terbaik umat ini.

Mempertikaikan kerangka tasawwur Islam bermazhab atas nama dan slogan 'Berpuasa mengikut al-Quran dan sunnah' atau 'Berpuasa mengikut cara Nabi SAW' adalah suatu kecenderungan dan pendekatan yang berbahaya dan boleh menimbulkan perpecahan dalaman Umat yang dibenci oleh Allah SWT.

Jika kita tidak berhati-hati, hari-hari Ramadan kita akan terbazir pada perselisihan pendapat dan pertengkaran yang sepatutnya dapat dielakkan.

Sebaiknya marilah kita menghitung-hitung dan menumpukan kepada sebanyak mungkin hak dan adab Ramadan yang patut kita tunaikan dengan sesempurna mungkin.

Sekadar sebagai tazkirah atau peringatan, berikut disenaraikan secara am dan ringkas, perkara-perkara wajib, sunat dan penyempurnaan puasa bulan Ramadan sebagai amalan khusus bulan ini.

Perkara wajib puasa:

i. Mengetahui permulaan Ramadan.

ii. Berniat pada setiap malam Ramadan

iii. Menahan diri daripada makan dan minum, jimak, mengeluarkan mani atau muntah dengan sengaja pada siang hari.

Perkara sunat puasa:

i. Bersahur.

ii. Melambat-lambatkan sahur.

iii. Menyegerakan berbuka.

iv. Meninggalkan bersugi setelah tergelincir matahari.

v. Membanyakkan sedekah dan meluaskan belanja bagi keluarga serta menggandakan amalan kebajikan yang lain.

vi. Membanyakkan tadarus al-Quran.

vii. Memperbanyakkan iktikaf di dalam masjid.

Selain perkara-perkara asas di atas, kita juga diajar melalui perantaraan para ulama untuk menjaga perkara-perkara yang menyempurnakan puasa kita, moga-moga kita beroleh puasa ahli Khawas iaitu puasa mereka yang soleh dan bertakwa. Antara perkara itu adalah:

i. Menunduk dan memejamkan mata dari perkara yang tidak sepatutnya.

ii. Memelihara lidah daripada perkataan yang haram dan sia-sia.

iii. Memelihara telinga daripada benda-benda yang haram, makruh dan sia-sia.

iv. Menjaga tangan, kaki dan anggotanya yang lain daripada perkara yang haram, makruh dan sia-sia.

v. Menjaga perutnya ketika berbuka daripada benda-benda yang haram atau syubhat.

vi. Tidak terlalu memenuhkan perutnya dengan makanan yang halal apabila berbuka.

vii. Sentiasa merasa khauf (takut) kiranya puasanya tidak diterima Allah SWT dan raja' (harap) agar-agar Allah SWT menerima puasanya.

Begitulah tujuh perkara yang boleh menyempurnakan lagi puasa kita walaupun ada lagi diriwayatkan pelbagai amalan mereka yang lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan seperti menahan diri daripada apa-apa keinginan dan keasyikan duniawi serta mengosongkan diri dari memikirkan selain daripada Allah SWT dan Akhirat sebagai sebahagian daripada puasa Ramadan.

Marilah kita bersama-sama berusaha bersungguh-sungguh memburu rahmat dan keampunan Allah di bulan Ramadan ini dengan memelihara segala hak dan adab-adabnya, semoga Allah SWT memperkenankan dan mengizinkan. Amin Ya Rabbal 'alamin, Ramadan Karim! Kullu 'aam wa antum bi khayr.

(Rujukan utama: buku Tazkirah Ramadan oleh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Sofa Productions, Kuala Lumpur: 2002)

Masjid Selat atas laut

Masjid Selat atas laut




MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan peninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.

Sehubungan itu, masjid-masjid telah didirikan untuk dijadikan tempat belajar ilmu agama seperti fikah, usuluddin, tasauf, tafsir dan mengaji al-Quran.

Masjid-masjid yang kekal hari ini menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

Tidak hanya setakat itu, kerajaan negeri Melaka turut membina masjid-masjid baru dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di samping memenuhi keperluan berikutan pertambahan penduduk di negeri itu sendiri.

Terbaru dan terkini, Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia.

Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.

Daripada jumlag RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta.

Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.

Menurut Pemandu Pelancong, Shaukani Abbas, masjid tersebut penting kerana ia dapat meniup semangat baru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini.

Ini kerana, katanya, masjid berkenaan terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan eksklusif selain perumahan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

Beliau memberitahu, selain untuk tujuan solat, rakyat dan para pelancong juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar masjid.

"Pembinaan masjid tersebut di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Bandar Hilir adalah mercu tanda baru di negeri ini serta menunjukkan usaha kerajaan negeri yang sentiasa meningkatkan syiar Islam.

"Masjid yang dibina di atas permukaan laut berdekatan pulau buatan manusia ini akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pelancongan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.

Jika diteliti, seni bina dan kedudukan Masjid Selat, Melaka, amat menarik. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, masjid berkenaan begitu mirip sebuah masjid terapung yang terdapat di bandar Jeddah, Arab Saudi.

Untuk pengetahuan bersama, masjid tersebut merupakan ilham daripada Ali Rustam yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah satu ketika dahulu.

Jika kita meninjau masjid ini dengan lebih dekat lagi, pastinya seribu ketenangan jiwa tercipta bagi melupakan sebentar segala cengkaman masalah dunia.

Masjid yang didominasi rona putih lambang kesucian, benar-benar jelmaan keindahan dan kehalusan seni bina bagi menarik hamba-hamba-Nya supaya lebih dekat dengan Allah SWT.

Bersujud di dalamnya sambil dihembus angin selat yang bertiup pastinya menjadikan solat tarawih sempena bulan Ramadan ini misalnya adalah terbaik pernah kita laksanakan.

Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.

Rumah Api yang mengeluarkan cahaya amaran kepada perahu-perahu sehinggalah kapal-kapal yang melalui Selat Melaka itu. Memberikan juga panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara.

Kubah Besar Masjid Selat yang mampu dilihat jelas dari jarak jauh dengan warna biru keemasan yang bergabung dengan birunya air laut, mencetuskan satu lagi fenomena perpaduan yang menjadi tunggak Melaka Bersejarah.

Ini kerana ada rekod sejarah yang mengatakan walaupun bangsa-bangsanya terdiri dari Melayu, Cina yang digelar Baba dan Nyonya sehinggalah India dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Chettiar, itulah uniknya Melaka, mereka kesemuanya bersatu atas nama Islam.

Siri lawatan ke Melaka kini tidak akan lengkap jika kita tidak mengunjungi Masjid Selat.

Walaupun mungkin akan lebih dipengaruhi emosi dan nostalgia sejarah dengan keunikan-keunikan Masjid-masjid lain seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan sebagainya.

Rekaan masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini apabila kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan.

Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter.

Masjid Selat begitu lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi segala fungsi dan aktiviti yang mengimarahkan masjid.

Selain Dewan Solat, terdapat Dewan Serba Guna, Perpustakaan, Kelas-kelas Pengajian dan sebagainya.

Namun pandangan mata begitu tertumpu juga kepada keindahan seni buatan mimbar masjid ini. Berasaskan kepada kayu jati, mimbar tersebut diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga.

Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi ruang dan dinding masjid.

Seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih namun dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik baik dan mengurangkan gema.

Untuk kenal lebih dekat, marilah ke Masjid Selat bagi memperhebatkan lagi ibadat dan menyuntik lagi semangat Ramadan tahun ini!

Rasulullah dituduh ahli sihir

Rasulullah dituduh ahli sihir

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

AKHIRNYA puak Quraisy tidak senang duduk dengan penyebaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka mula gelisah malah tidak kurang kepanasan kerana bagaikan terpanggang di atas api.

Ini apabila ada seruan Nabi Muhammad yang menyamakan mereka kini sebagai golongan yang sesat. Satu istilah yang sama sekali tidak dapat diterima apabila segala kepercayaan mereka telah tertumpah kepada patung-patung berhala sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Sesat bagi mereka merupakan satu konotasi yang sangat negatif. Mereka bukannya golongan yang hilang pedoman, bodoh, buntu, teraba-raba dan sebagainya walaupun itu adalah hakikat pahit yang seharusnya diterima.

Lantaran itu kafir Quraisy ini bingkas bangun, bagai tersedar dari lena dan mimpi yang panjang bagi mula mengekang kemaraan Islam, iaitu satu perubahan agama yang dibawa oleh seorang pemuda yang amat mereka kenali.

Menyedari hidup Nabi selama ini begitu dikuat dipengaruhi oleh bapa saudaranya, Abu Talib lalu mereka menemui Abu Talib supaya menghalang anak saudaranya itu daripada meneruskan penyebaran Islam.

Ini kerana jika tidak dihalang lalu dikhuatiri agama nenek moyang itu akan hanya tinggal sebagai runtuhan-runtuhan berdebu ditelan masa dan zaman.

Ibnu Ishaq dalam riwayatnya menulis mengenai beberapa lelaki ternama dari kalangan Quraisy pergi menemui Abu Talib.

Mereka berkata: "Wahai Abu Talib, sesungguhnya anak saudaramu telah mengutuk tuhan-tuhan kita, mengaibkan agama kita, memperbodohkan akal fikiran kita dan menuduh nenek moyang kita selama ini adalah sesat.

"Oleh itu, hendaklah kamu halang dia atau biarkan kami menyelesaikannya masalah ini antara kami dengan dia".

Abu Talib hanya mampu tersenyum terhadap permintaan tersebut malah dengan lembut beliau menolak permintaan mereka dengan baik.

Namun kehampaan itu perlu ditebus dan dicari jalan keluar. Lebih-lebih lagi mengenangkan ketika itu musim haji akan tiba dan dikhuatiri memberikan peluang dan kesempatan kepada Muhammad untuk menyebarkan Islam kepada jemaah yang datang dari seluruh pelosok negeri dan tempat itu.

Bagi tidak membolehkan perkara ini berlaku, kaum Quraisy itu berkumpul dan bermesyuarat untuk mencari jalan yang boleh menghalang Nabi Muhammad mengambil kesempatan dari kebanjiran jemaah yang datang untuk menunaikan haji di kaabah itu.

Mereka mesti mendapatkan jawapan yang terbaik kepada para jemaah yang datang mengenai Muhammad. Ini supaya dakwah yang cuba disampaikan oleh Muhammad itu tidak berjaya mempengaruhi para jemaah tersebut.

Mereka berkumpul di rumah seorang bangsawan terkemuka Quraisy, al Walid bin al Mughirah. Namun sebelum itu al Walid meminta mereka supaya bijak membuat sebarang keputusan.

"Satukanlah pandangan kamu dan jangan berbeza pendapat, kerana nanti kamu akan saling mendustakan antara satu sama lain dan kata-kata kamu itu akan saling bercanggah," kata al Walid.

Mereka kemudiannya mencadangkan supaya Muhammad itu dikatakan seorang pawang.

Al Walid pun terus menjawab; "Tidak, demi Allah dia bukan pawang, kita sendiri pernah melihat bagaimana keadaannya para pawang sedangkan Muhammad tidak ada lagak pawang dan tidak bercakap dengan bahasa pawang".

"Kalau begitu, kita katakan pula Muhammad ini seorang yang gila," kata salah seorang dari mereka.

Cadangan ini juga ditolak oleh al Walid kerana Nabi Muhammad sama sekali tidak kelihatan seperti orang gila.

"Kita telah melihat penyakit gila dan kita tahu benar mengenainya. Dia tidak kelihatan seperti dirasuk, bercelaru fikiran atau tidak tentu arah. Tentu tidak masuk akal sama sekali untuk menuduhnya gila," kata al Walid.

Mereka kemudian mencadangkan supaya Nabi SAW dikatakan seorang penyair apabila sering membacakan ayat-ayat yang dipercayai hasil ciptaannya sendiri.

"Penyair juga tidak dapat diterima. Dia bukan seperti seorang penyair kerana kita sendiri tahu bahawa syair dalam segala aspeknya, baik rijznya, hijznya, qarid, maqbud dan mabsutnya. Bahasa-bahasa (ayat-ayat al-Quran) itu bukan sebuah syair," kata al Walid.

"Pawang bukan, orang gila bukan, penyair juga bukan apa kata kita katakan Muhammad itu seorang tukang sihir," ujar mereka.

Sebagai tukang sihir juga tidak dapat diterima oleh al Walid, dengan alasan Muhammad tidak ada mempunyai perwatakan seperti ahli sihir.

"Kita pernah melihat tukang-tukang sihir dan apa yang mereka lakukan, sedangkan Muhammad itu tidak pernah meniup dan menyimpul tali sihir seperti mereka," katanya.

"Jika semuanya tidak dapat dikaitkan dengan Muhammad, apa yang kita boleh katakan mengenainya?" tanya mereka yang menghadiri perjumpaan itu.

Selaku individu yang berpengaruh dan berpengalaman, lalu al Walid memberikan jawapan yang tersendiri.

"Demi Allah, ucapan Muhammad itu sungguh sedap didengar, akarnya semerbak harum dan rantingnya berbuah lebat.

"Apa sahaja cadangan yang kamu sebutkan ini pasti diketahui bahawa semuanya adalah palsu. Tetapi cadangan yang paling hampir apabila kamu mengatakan bahawa Muhammad itu seorang tukang sihir.

"Ini apabila dia datang dengan kata-kata yang memukau yang dapat mencerai beraikan hubungan antara anak dan ayah, suami dan isteri, seseorang dengan keluarganya dan dengan sihirnya itu menjadikan semua menjadi kacau bilau dan berpecah," kata al Walid.

Mereka mengangguk-anggukan kepada tanda setuju dengan cadangan al Walid itu dan tanpa membuang masa mereka segera melaksanakannya.

Dalam hal ini, bagaimana anda dapat tafsirkan ayat al-Quran dari surah al-Muddaththir. Sebab ayat ini turun dikatakan akibat tindakan yang hendak diambil oleh kaum Quraisy terhadap Nabi.

Firman Allah yang maksud-Nya: Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka (pelbagai tuduhan terhadap al-Quran). Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian) Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali jalan-jalan untuk mencaci al Quran, tetapi ia gagal): Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut: Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong dan angkuh. Serta dia berkata: (al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya): "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia". (al-Muddaththir, ayat 18- 25)

Namun tahukah anda siapakah individu yang begitu mengepalai tindakan untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad itu?

Individu tersebut bukan orang lain tetapi bapa saudara Nabi yang baginda sendiri hormati, iaitu Abu Lahab.

Setiap kali Nabi Muhammad pergi menemui orang ramai semasa tibanya musim haji sama ada di rumah-rumah mereka, di pasar Ukaz, Majannah dan Dzhul Majjaz untuk mengajak mereka kepada agama Allah, Abu Lahab akan mengekor si belakang Nabi.

Sambil berkata: "Jangan ikut cakapnya, jangan percaya, dia seorang ahli sihir, ahli sihir yang keluar dari agama nenek moyangnya dan seorang pembohong!"

tersebar berita

Masyarakat Arab yang datang luar dari Kota Mekah mula memperkatakan mengenai Nabi dan tersebarlah berita di seluruh Tanah Arab, Nabi Muhammad dikatakan seorang ahli sihir yang jahat.

Mereka melakukan serangan kepada Rasulullah dengan cara mereka-reka tohmahan dan fitnah bagi melemahkan baginda.

Ini apabila mereka menghilangkan kemuliaan baginda yang selama ini mereka kagumi dengan mengejek, memperleceh, memperolok-olok, mendusta dan mentertawakan baginda.

Tujuannya untuk memalukan baginda dan umat Islam yang baru memeluk agama itu.

Dalam menghadapi situasi yang mencabar dan sukar seperti ini, Rasulullah tentunya tidak melawannya dengan kekerasan. Namun senjata baginda ialah kesabaran dan membina ketabahan.

Lebih-lebih lagi apabila turunnya ayat-ayat al-Quran yang menyuntikkan semangat dan sesungguhnya Allah sentiasa dekat bersama baginda.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang derhaka, mereka selalu tertawakan golongan yang beriman. Dan apabila golongan yang beriman ini lalu dekat dengan mereka, mereka mengerlingkan mata dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat golongan beriman, mereka berkata; "Sesungguhnya yang memeluk Islam itu adalah sesat!" Pada hal mereka tidak diutuskan untuk menjaga sesat atau tidaknya golongan beriman itu. (al-Mutaffifin: 29 -33)

Ramadan dan masa

Ramadan dan masa


umat islam disaran memanfaatkan masa senggang pada bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan termasuk membaca al-Quran.


DIRAFA'KAN kesyukuran kepada Allah SWT ramadhan menggamit lagi. Bulan yang penuh keberkatan dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat, maghfirah (keampunan) dan gandaan pahala.

Oleh kerana masa begitu pantas berlalu dan kita sentiasa terkejar-kejar dengan masa, di samping banyak membazirnya maka di sini suka diterangkan berkenaan dengan masa mengikut neraca Islam.

Daripada Ibn Abbas r.a berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) alam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Imam Ahmad dalam musnadnya 1/344, al-Tirmizi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam a-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 3/370.

Sheikh Abdullah Ba'lawi berkata: Saudara-saudaraku sesama Muslim sekelian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh walau sesaat pun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singkat berbanding kehidupan di akhirat nanti.

Setiap hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya itu mustahil berlaku tanpa izin Allah SWT. Bahkan pada hembusan nafas anda yang terakhir, pada denyut nadi yang terakhir dan pada degup jantung anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah SWT, sama ada ketika jaga ataupun tidur.

Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan berlalu seminit pun dengan sia-sia. Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.

Setelah meninggalkan dunia fana ini, barulah anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda akan meyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.

Sheikh Abdullah Ba'lawi menambah: Akan diperhatikan kepada setiap manusia di akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan malam terdapat dua puluh empat almari sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu.

Manusia itu akan melihat sendiri setiap jam yang digunakan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, nampaklah almari itu penuh cahaya, sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah SWT nampaklah almari itu dalam keadaan gelap gelita.

Seterusnya jikalau ia mendapati almarinya sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat, maka sekiranya ia dibenarkan memilih untuk mati. Nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya. Namun tiada kematian lagi di alam akhirat.

Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali menjadi manusia gembira, malahan terus bertambah kegembiraan dan sukacitanya itu sepanjang masa (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambahkan amal solehnya).

Sebaliknya manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah SWT, maka itulah manusia yang benar-benar berdukaita serta merasa takut, malahan kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama sekali.

Katanya lagi: Saudaraku sesama muslim yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi anugerah dan rahmat-Nya kepadamu.

Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi anda masih berada di alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan tersesat.

Pilihan yang baik dalam mengamalkan segala sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat selagi masih hidup di dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang sudah anda lalui itu tidak akan kembali lagi.

Ini kerana jika sudah berlalu tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi amal yang soleh bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat.

Oleh itu bersegeralah, jangan menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah SWT kerana ia suatu keburukan tersendiri. Padahal kita semua tahu manusia itu terlalu terganggu oleh bermacam-macam keadaan berbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia tanpa ada manfaat sedikitpun.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramadan dengan melakukan ibadat sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Semoga dengan amalan tersebut melayakkan kita mendapat ketakwaan. Amin.

Pelaksanaan KPI boleh perkasa pengurusan masjid

Pelaksanaan KPI boleh perkasa pengurusan masjid

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

Institusi perlu mesra jemaah, lebih kreatif laksana program dakwah tarik generasi muda

MUNGKINKAH sudah sampai masanya Prestasi Petunjuk Utama (KPI) bagi pengurusan masjid diwujudkan dan prestasi masjid dipantau agensi pada peringkat negeri atau kebangsaan.

Dalam pada itu, pegawai masjid mempunyai tanggungjawab dakwah dengan sasaran menarik seramai mungkin masyarakat ke masjid dan boleh dijadikan panduan pencapaian KPI. Ini bertepatan dengan kehendak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Najib berkata, ia juga bagi memastikan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara. Selaras dengan itu, Ketua Umum Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Dr Muhammad Nawar Ariffin, berkata ini kerana ketamadunan ummah sangat berkait rapat dengan kejayaan institusi masjidnya, langkah fast track ke arah melaksanakan KPI pengurusan masjid mesti dilakukan.

"Malaysia wajar mengangkat idea memperkasa institusi masjid melalui pelaksanaan KPI pengurusan ke peringkat serantau sesuai dengan keserasian umat serumpun yang nanti dapat membina kegemilangan dan kekuatan baru ummah di rantau Melayu ini.

"Jarang kita dengar ada imam atau pegawai masjid mengajak kariahnya mengadakan ekspedisi mendaki gunung atau memancing, sedangkan aktiviti begitu boleh diselitkan pengajian sembahyang musafir, menjadi mukmin yang kuat, bersabar dan mujahadah.

"Program seumpama ini tentu meningkatkan penyertaan generasi muda dan golongan yang meminati kegiatan riadah seumpama itu," katanya ketika membentangkan kertas kerja 'Peranan Masjid Dalam Membangun Ketamadunan Ummah' pada Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Dr Muhammad Nawar berkata, rungutan masyarakat terhadap pegawai masjid sering didengar dan ada pegawai yang angkuh dan sombong, sentiasa memberi larangan itu dan ini kepada pengunjung sehingga masjid takut dihampiri generasi muda.

"Pegawai masjid mesti mesra pelanggan dan jemaah," katanya.

Beliau berkata, jemaah wanita pula sering dipandang serong oleh pegawai masjid, lebih banyak daerah larangan berbanding tempat yang boleh mereka duduk untuk mencari ketenangan dan beribadah.

"Generasi muda yang mahu ke masjid perlu dialu-alukan dan kedatangan mereka adalah peluang untuk berdakwah," katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Nawar berkata, bilangan masjid yang boleh dianggap aktif dan kreatif juga sedikit dan aktivitinya lebih bersifat stereotaip.

"Tiada projektor LCD, tiada alat canggih yang boleh memberi kelainan kepada jemaah," katanya.

Beliau berkata, masjid di Malaysia wajar dibebaskan daripada menjadi tempat pertembungan ideologi politik sehingga mencetuskan rasa benci-membenci, perebutan kuasa dan permusuhan sesama Islam sehingga melarat ke dalam masjid sekali gus menjadikan umat majoriti jumlahnya lebih ramai lemah berbanding nasib kelompok minoriti di negara sendiri.

Sehubungan itu, masjid perlu dipacu dinamikanya. Masjid yang berhenti menjadi dinamik mengundang bala kepada masyarakat sama ada kemurkaan Allah kerana berhenti atau kurang hamba mengabdikan diri kepada-Nya atau bala sunatullah terhadap golongan yang menjauhkan diri daripada melakukan ibadah, majlis ilmu, perpaduan dalam erti berjemaah dan hilangnya tempat pergantungan masyarakat kepada imam dan golongan alim di masjid. Masjid kini yang semakin menampakkan kelemahan dukungan umat mesti disemarakkan dengan kegiatan yang boleh merangsang kekuatan dan pembangunan ummah. Paling penting masjid ialah pengingat kepada ketauhidan Allah.

Masjid jika diperhalusi peranannya, akan terlihat adalah madrasah kepada umat Islam. Di masjid melalui solat berjemaah kita diajar mengenai pematuhan dan menurut pemimpin. Sebelumnya imam yang hendak dipilih untuk mengimamkan solat mesti yang terbaik di kalangan jemaah.

Di masjid juga tempat azan dilaungkan, yang bermaksud memanggil umat Islam menunaikan solat. Dalam kalimah azan itu terkandung seruan dan ajakan menuju kejayaan. Sesungguhnya KPI di kalangan pengurusan dan pegawai masjid wajar diwujudkan bagi memastikan kesinambungan peranan institusi masjid bertambah subur dan dikendalikan petugas yang mampu menarik ramai jemaah dan anak kariah untuk memakmurkan masjid.

Kebendaan tenggelamkan hikmah puasa

Kebendaan tenggelamkan hikmah puasa

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Ibadah pembersihan diri dilupakan kerana sibuk penuhi keperluan nafsu

DALAM khazanah ilmu komunikasi transendental, yang berkaitan komunikasi antara manusia dengan Tuhan. Al-Quran memberikan pengetahuan kepada kita mengenai komunikasi ini yang salah satunya adalah dalam bentuk doa yang termuat dalam surah Nuh (ayat 71:5�6) bawah ini.

Nuh AS berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menyeru kaumku malam dan siang tetapi seruanku itu tidak menambahkan mereka kecuali lari (daripada keimanan)".

Ini terlihat bagaimana Nabi Nuh berkomunikasi kepada Allah secara transenden, seperti juga dalam ayat selanjutnya, Nuh berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu derhaka kepadaku, dan mereka mengikuti orang yang harta dan anaknya tiada menambah kepadanya melainkan kerugian belaka. (Surah Nuh ayat: 21)

Dalam kaitannya dengan komunikasi transendental pada Ramadan, sejauh manakah Ramadan dapat menjadi saluran yang menciptakan komunikasi berkesan antara manusia dengan Rabbnya?

Dalam masyarakat kita ini, kedatangan Ramadan memperlihatkan semangat berbeza dengan bulan lain terutama apabila kecenderungan banyak ditumpukan kepada aspek zahir, kebendaan daripada aspek kerohanian dan dalamannya.

Semangat ini mengalihkan perhatian dan fikiran kita daripada maksud sebenarnya berpuasa kerana fokus umat yang lebih kepada aspek luaran itu.

Jika diteliti secara realitinya umat Islam selama sebulan ini penuh berlumba melakukan pelbagai kebaikan seperti menyediakan juadah makanan dan mengeratkan tali silaturahim dengan jiran tetangga, saudara mara mahupun rakan sekerja dan kalangan pelajar.

Kesibukan lahiriah ini juga diperhebatkan dengan persiapan dalam kehidupan seharian seperti membeli pakaian baru, membuat kuih-muih dan aneka makanan tradisional sehinggalah kepada persiapan menghias dalam dan luaran rumah, menggantikan beberapa perabot, bahkan sehingga membeli kereta atau motosikal baru bagi menyambut kedatangan Syawal.

Jika kita meneliti fenomena ini dapat dikatakan kita lari daripada inti dan hikmah berpuasa yang sepatutnya memperbaharui dan membersihkan jiwa raga dan bukannya kepada penonjolan zahir semata.

Memang antara ciri zaman permodenan ialah melengkapkan diri dengan serba baru dan terkini. Pengertian baru dan kini juga menjuruskan kepada pola hidup yang berteknologi di mana istilah teknik itu sendiri memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan.

Ini amat berkaitan dengan pola hidup materialisme iaitu � suatu pandangan hidup yang memberi tempat sangat tinggi pada kenikmatan lahiriah.

Ini amat berbeza dengan maksud sebenar berpuasa. Justeru itulah seharusnya kedatangan Ramadan ditandai sebagai ibadah pembersihan diri sehingga kehadiran Syawal iaitu Aidilfitri memberikan maksud kita muncul sebagai manusia baru, dengan hati dan akhlak baru, bukan sekadar baju baru, kereta baru, perabot baru atau rumah yang baru.

Jika dilihat dari aspek psikologi humanistik, terdapat tiga tahap atau peringkat kesedaran kepada diri manusia. Pertama, kesedaran di tingkat psikobiologis. Kesedaran ini dipacu oleh pengalaman pancaindera dan tubuh manusia (biologis). Apa yang dimaksudkan di sini ialah kesedaran untuk minum misalnya, dipacu oleh keringnya tekak. Kedua, kesedaran di tingkat psikososial. Kesedaran ini erat kaitannya dengan keperluan sosial: keperluan berhubungan dengan masyarakat atau keperluan menjalin komunikasi sosial. Akhir sekali kesedaran pada tingkat transendental: kesedaran akan ada dan kehadiran Tuhan (suatu aspek yang diabaikan), keperluan untuk beribadah, kesedaran akan adanya Yang Maha Esa, keperluan berkomunikasi secara transendental dengan Sang Kekasih.

Dalam keadaan normal ketiga-tiga tingkat ini akan bergabung menjadi satu dalam diri manusia. Ini bermaksud dalam setiap perilaku manusia selalu mengandungi tiga tingkat kesedaran iaitu:

i. Sebagai saranan menyihatkan tubuh dengan memberi kesempatan pada organ tubuh untuk beristirahat

ii. Sebagai saluran membangun hubungan komunikasi sosial misalnya dengan memperbanyak solat wajib mahupun sunat secara berjemaah dan bertadarus di masjid yang dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dengan seluruh sanak saudara dan jiran tetangga, mengeluarkan zakat, infak dan sedekah bagi sesama umat Islam yang berhak menikmati kebahagiaan

iii. Berlumba meraih pelbagai ganjaran Ramadan yang ditawarkan Allah serta meraih ampunan dan dikabulkan permohonan daripada doa iaitu dengan menggiatkan kegiatan komunikasi transendental.

# Penulis ialah bekas wartawan dan pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

Ingatan bagi pelupa: Jangan harap pujian

Ingatan bagi pelupa: Jangan harap pujian

SEORANG hakim berkata: "Seharusnya seseorang yang beramal kepada Allah belajar mengenai adab daripada pengembala kambing. Ketika ditanya, "bagaimana?" Jawabnya, "pengembala itu jika bersolat di tengah-tengah kumpulan kambing jagaannya, sekali-kali dia tidak mengharap pujian daripada kambing-kambingnya, begitu juga dengan orang yang melakukan ibadat seharusnya tidak menghiraukan orang melihatnya ataupun tidak."

Seorang ahli hukum berkata: Untuk selamat, sesuatu amal itu bergantung kepada empat perkara iaitu:

# Ilmu pengetahuan - sebab amal tanpa ilmu lebih banyak salah daripada benarnya;

# Niat - sebab setiap amal yang dilakukan bergantung kepada niat;

# Sabar - supaya amal dapat dilakukan dengan baik dan sempurna serta tidak terburu-buru.

# Tulus ikhlas - sebab amal ibadat tidak diterima Allah kalau tidak disertai dengan ikhlas.

- Sumber Abullaits Assamar-qandi -Tanbihul Ghafilin.

Rahsia pergerakan dalam solat kepada kesihatan fizikal

Rahsia pergerakan dalam solat kepada kesihatan fizikal

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

SETIAP umat Islam diwajibkan menunaikan ibadat solat manakala yang belum mencapai baligh diwajibkan tanggungjawab ke atas ibu bapa mendidik dan mengajar anak mengenai solat mengikut peraturan yang ditetapkan.

Yang pasti solat adalah ibadat fardu pertama dalam syariat semua anbia sejak Nabi pertama Adam AS sehinggalah peristiwa Israk Mikraj apabila Allah SWT memerintah solat wajib lima waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan ia berkekalan sehingga hari ini yang diamalkan umat Islam di muka bumi ini.

Seperti dalam ajaran Islam, solat adalah tiang agama dan tanpanya umat Islam tempang dari segi akidah tauhid sebagai pembuktian ketaatan kepada Allah.

Namun, suatu yang pasti setiap umat Islam yang menunaikan solat sama ada solat wajib dan sunat, jika dilakukannya dengan penuh khu-syuk, akan dapat rasai ketenangan yang sukar dicari atau dibandingkan dengan gerak kerja lain.

Tidak keterlaluan jika solat sebenarnya mempunyai seni tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Pastinya ada rahsia kerana ketenangan dapat dirasai apabila kita mengerjakan solat dengan betul dan khusyuk.

Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan. Keistimewaan pergerakan solat inilah mencetuskan minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) membuat kajian saintifik untuk melihat hikmahnya dari segi kesan kepada kesihatan kerana ia (solat) suatu aktiviti fizikal unik.

Antara hasil kajian secara saintifik terhadap solat paling menarik ialah kemampuan memulihkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk yang amat ditakuti oleh lelaki. Kajian itu diketuai Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas, Prof Dr Wan Azman Wan Abu Bakar dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kajian itu juga dibuat hasil cetusan pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 supaya melihat dan mengkaji dari sudut saintifik mengenai solat.

Masalah mati pucuk antara penyakit yang menghantui 40 peratus lelaki di seluruh dunia berusia 40 tahun ke atas dan menerusi perubatan moden, kelemahan zakar berfungsi dengan baik hanya dengan pengambilan pil seperti viagra atau ubat tradisional seperti makjum.

Menurut Prof Madya Fatimah, hasil kajian biokejuteraan sains solat yang dilakukan pasukannya penyelidiknya dapat membuktikan masalah mati pucuk boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Katanya, keputusan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan ke atas dua pesakit yang menjalani terapi solat selama sebulan yang didapati tahap kelemahan zakar berjaya dipulihkan dengan memberangsangkan berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, terapi solat itu memerlukan seorang pesakit mengerjakan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan selama setengah jam dan dilakukan tiga kali seminggu.

"Saya dapati pesakit yang menjalani kajian ini berubah dari segi kekuatan zakarnya yang menunjukkan ketegangan semakin baik. Ini kerana setiap pergerakan dalam solat didapati merangsang otot lantai pelvik.

"Jelas, solat sebenarnya bukan sekadar ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam tetapi ia mengandungi rahsia yang besar kepada penjagaan kesihatan badan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memasang alat khas yang berfungsi mengesan tahap ketegangan zakar dan pengaliran darah sewaktu tidur.

Seorang lelaki yang sihat, katanya boleh diukur sejauh mana kekerapan zakarnya tegang terutama ketika malam dan dalam keadaan sedang tidur.

"Lelaki yang sihat akan mengalami ketegangan zakar tiga hingga enam kali ketika tidur selama 10 minit dengan tahap ketegangan mencapai 200 peratus," katanya.

Kajian lain yang masih dijalankan menerusi terapi solat secara saintifik membabitkan komposisi tubuh badan, kolesterol, sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia dan sakit pinggang.

Setakat ini, kajian awal sudah membuktikan bahawa manfaat fizikal seperti komposisi badan seseorang menjadi lebih baik dan mental yang cerdas apabila seseorang itu melakukan amalan solat menepati syarat yang ditetapkan seperti mengerjakan solat lima kali sehari selain solat sunat, mengerjakan solat secara berjemaah, memahami bacaan dalam solat, mengerjakan rukun solat dengan sempurna.

Beberapa keputusan lain juga mendapati solat tarawih dan ibadat puasa didapati dapat merendahkan tahap glukos, kolesterol yang menjadi rintangan pengaliran darah dalam badan. Amalan itu juga mampu meningkatkan kekenyalan dinding otot salur darah dan kadar metabolisma dalam badan. Kajian juga mendapati kadar denyutan jantung adalah paling rendah dalam posisi sujud yang merehatkan jantung.

Prof Madya Fatimah berkata, kajian juga mendapati posisi rukuk dalam solat pada kedudukan sudut 90 darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan pinggang.

"Sebenarnya, tidak boleh dinafikan bahawa amalan solat secara betul memberi banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental kerana pergerakan solat itu sendiri sama sepetti senaman.

Kesimpulannya solat adalah suatu aktiviti fizikal unik yang mampu memelihara kesinambungan sistem fisiologikal manusia meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi. Dengan memahami hikmah dan kebaikan yang dizahirkan daripada pergerakan solat yang sempurna, akan merangsang muslimin dan muslimat dalam menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawaduk.

Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan

Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan

Oleh Muhamad Rozi Hassan

NERAKA berasal perkataan Ibrani bermaksud unggun api menjadi tempat seksaan Allah yang dikhususkan untuk golongan ingkar kepada perintah-Nya ketika di dunia.

Di neraka, orang kafir termasuk golongan yang ingkar perintah Allah diseksa sebagai pembalasan seperti dijanjikan Allah SWT dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman jagalah dirimu, keluargamu daripada api neraka. Bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Sedangkan penjaganya adalah malaikat yang gagah lagi bengis. Mereka tidak menderhaka Allah, mereka melakukan apa saja yang diperintahkan kepadanya." (Surah At-Tahrim: 6)

Api neraka berjuta kali panasnya berbanding api di dunia. Jika api itu jatuh ke bumi, walaupun sebesar hama, hancur lebur dunia ini. Itulah kepanasan api neraka yang tiada tolok bandingnya.

Tujuh nama neraka menanti golongan yang mendustai dan mengingkari perintah Allah SWT. Pembahagian tingkatan neraka menurut Syeikh Dahak Al-Ahbar yang kemudian dipersetujui ahli tafsir dan Usuluddin, antaranya Syeikh Qurthubi dan Imam Al-Ghazali ialah:

# Neraka Jahanam. Tingkat teratas. Neraka ini bermula dari tingkat paling atas sehingga ke terakhir (bawah). Ia seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Katakan kepada orang kafir; nanti kamu akan dikalahkan oleh orang Islam dan dihimpunkan kamu dalam Neraka Jahanam. Di sanalah tempat seburuk-buruknya." (Surah Al-Imran:12)

Begitu juga dalam surah An Nisa, ayat 169, Allah SWT berfirman: "Orang kafir dan orang aniaya, mereka tidak diampunkan Allah dan tidak pula ditunjukkan jalan melainkan ke Neraka Jahanam. Mereka kekal dalam neraka itu selamanya. Yang demikian itu mudah sekali bagi Allah".

# Luza adalah tingkat kedua yang dihuni pendusta agama Allah dan berpaling daripada ajarannya. Firman Allah bermaksud: "Sebab itu Kami beri khabar menakut kamu dengan Neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya melainkan orang celaka, iaitu orang mendustakan agama dan berpaling daripadanya." (surah Al-Lail: 14-16)

# Hathamah ialah neraka tingkat ketiga tempat mereka yang lalai dalam mengerjakan perintah Allah kerana dipengaruhi harta dunia.

# Sair ialah tingkat ke empat neraka dihuni mereka yang makan harta anak yatim. Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak manakala kulitnya tebal seperti Jabal Uhud.

# Saqru ialah neraka tingkat kelima, antara penghuninya ialah orang tidak bersolat, percaya kepada perkara bidaah, tidak memberi makan orang miskin dan tidak percaya kepada Hari Pembalasan.

# Jahim neraka tingkat keenam. Penghuninya melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, mendustai agama Allah dan minum arak.

# Hawiyah ialah neraka paling bawah menempatkan orang memusuhi Nabi. Walaupun neraka ini paling bawah, apinya sangat panas. Firman Allah SWT bermaksud: "Siapa yang ringan timbangan, dia dilemparkan ke Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah? Ia adalah api yang sangat panas. " (surah Al-Qariah: 8-11)