Wednesday, May 13, 2009

AGAMA : RABU 13 MEI 2009

Image
SMS maksiat kepada Jawi
Mulai sekarang umat Islam yang menjadi warga Wilayah Persekutuan KualaLumpur mesti menyimpan nombor 15888 atas nama Jawi di telefon bimbitmasing-masing. Jika tidak pun sematkan dalam ingatan.

Image

MAIWP majukan dana wakaf
MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku pemegang amanahtunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf tunggal diWilayah Persekutuan menggalas amanah untuk memajukan tanah-tanah wakafdemi manfaat umat Islam.





Wang tak dituntut boleh dimanfaat untuk pembangunan ummah
TERLALUbanyak wang tidak dituntut di bank swasta, Kumpulan Wang SimpananPekerja (KWSP) dan berbagai institusi di negara ini dengan nilainyamelebihi RM1.5 billion. Wang ini kini diserahkan kepada JabatanAkauntan Negara sebagai simpanan dan akhirnya akan menjadi milikKhazanah Malaysia. Dana ini perlu dimanfaatkan dengan berkesan untukpembangunan ummah kerana ia amanah Allah SWT untuk diuruskan.

Manusia tidak berilmu mudah terbabit jenayah
POLISDiraja Malaysia (PDRM) melancarkan ‘perang habis-habisan’ tanpakompromi terhadap penjenayah berikutan peningkatan indeks jenayah diseluruh negara. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi bagimelenyapkan ancaman mereka kerana kehadiran kelompok itu bolehmenjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.

Koleksi artikel 9 tokoh
KUMPULANsembilan artikel membincangkan mengenai Islam dan Kemodenan melaluiperspektif berbeza daripada ilmuan kontemporari Islam hasil bengkelperbincangan ilmiah di Oxford, England, pada 1996.

Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam
KREDIBILITIumat Islam tercalar akibat lemparan pelbagai tohmahan oleh dunia Baratberikutan tragedi serangan 11 September ke atas Pusat Dagangan Dunia(WTC), New York serta Pentagon di Washington.

Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah
PADA22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak kesekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepadaadiknya, “Adik, tengok ’paper’ ni, Kapten Boleh kena penjara tigabulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita samasaja.” Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata,“Iya betullah..Patutlah...” Tersenyum penulis mendengar perbualan anakkecil ini.

SMS maksiat kepada Jawi

SMS maksiat kepada Jawi

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Che Mat Che Ali (kanan) mendail nombor 15888 pada replika telefon bimbit selepas melancarkan Gerbang SMS kerajaan Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Wilayah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Mulai sekarang umat Islam yang menjadi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mesti menyimpan nombor 15888 atas nama Jawi di telefon bimbit masing-masing. Jika tidak pun sematkan dalam ingatan.

Ini kerana pada suatu hari nanti, nombor tersebut boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Benar, mudah bagi anda mengirimkan pesanan aduan anda itu kepada nombor 15888. Aduan tersebut akan terus diterima terutama oleh pihak Penguatkuasa Jawi untuk tindakan seterusnya!

Hasil kemajuan teknologi telah melahirkan perkhidmatan yang dikenali Gerbang SMS Kerajaan Malaysia 15888 Jawi ini.

Tetapi apa yang penting perkhidmatan seperti ini merupakan faedah yang boleh dimanfaatkan kepada umat Islam untuk memberikan kemaslahatan seluruh ummah!

Tidakkah tindakan anda melaporkan kejadian maksiat khalwat bukan sahaja kerana tidak mahu bersekongkol dengan maksiat itu, tetapi juga untuk menjaga imej Islam itu sendiri!

Kita tidak mahu dek kerana perbuatan yang tidak senonoh itu yang boleh menyumbang kepada jenayah zina menjadi cemuhan oleh mereka yang bukan Islam!

Pengenalan kepada perkhidmatan SMS ini dilancarkan oleh Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali di Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyediaan perkhidmatan ini adalah hasil kerjasama Jawi dengan Bahagian E-KL, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. Hadir sama ialah Naib Presiden Eksekutif DAPAT Vista, Azli Paat.

Menurut Che Mat, setakat ini Jawi adalah satu-satunya Jabatan Agama Islam yang memperkenalkan sistem perkhidmatan SMS ini.

"SMS ini bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi termasuk juga mendapatkan borang-borang nikah kahwin yang boleh dihantar ke alamat e-mel masing-masing selepas permintaan dibuat melalui sms 15888 ini," katanya.

Jangan salah guna!

Namun beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan ini kerana perbuatan sedemikian boleh mengundang salah faham dan fitnah.

Katanya, aduan yang diterima melalui SMS ini adalah lengkap kerana nombor telefon pengadu ada tertera dan akan disimpan sebagai rujukan fail.

"Sesiapa yang didapati cuba menyalahgunakan perkhidmatan ini, tindakan terhadap si pengirim boleh diambil," tegas Che Mat.

Che Mat berharap perkhidmatan ini benar-benar dapat membantu Jawi membanteras lebih banyak jenayah syarie yang dilakukan oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan.

"Pengadu tidak perlu bimbang jika ragu-ragu hendak membuat aduan. Andai terserempak tanpa membuang masa, terus SMS kepada pihak Jawi tanpa disedari oleh suspek.

"Cara ini mungkin lebih selamat lebih-lebih lagi melibatkan jenayah yang dilakukan oleh jumlah pelaku yang ramai dan di kawasan yang kurang jaminan aspek keselamatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Jawi berjaya mencapai satu kaedah yang sangat mudah, pantas dan efisien.

Ia boleh diakses tanpa mengira masa dan tempat bagi membanteras pelbagai gejala maksiat di kalangan umat Islam.

"Perkhidmatan seperti ini mesti diambil peluang oleh mereka yang tidak mahu bersekongkol atau bersubahat dari membiarkan maksiat itu berleluasa.

"Apabila kita tidak mampu menanganinya dengan tangan atau kuasa, maka dengan cara ini merupakan kaedah yang mudah dan selamat yang boleh mereka lakukan," katanya.

Beliau juga mengingatkan tanggungjawab pihak Jawi terutama Bahagian Penguat Kuasa kini semakin bertambah dan berat.

"Dari aspek penguatkuasaan terhadap setiap aduan tersebut adakah mereka mempunyai cukup bilangan pegawai dan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran. Apatah lagi melibatkan jenayah khalwat," katanya.

Namun Musa lebih mengharapkan agar perkhidmatan seperti ini tidak menjadi seperti apa yang berlaku pada talian kecemasan 999.

"Ini apabila mereka menggunakan talian itu untuk membuat talian palsu dan sebagainya, jadi tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku kepada perkhidmatan SMS yang ditawarkan oleh Jawi ini," katanya.

Seperkara yang penting juga kata Musa, pengadu mesti menyedari bahawa aduan yang mereka lakukan melalui ini bukan satu aduan yang rasmi.

"Mereka mesti bertanggungjawab untuk mengisi borang 5, borang aduan yang disediakan oleh pihak Jawi bagi memastikan seluruh perjalanan kes ini adalah rasmi dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang lain," katanya.

Si pengadu juga kata Musa mesti berada di tempat kejadian semasa penguatkuasaan dilakukan oleh pihak Jawi.

"Sesetengah kes jenayah syarie sebelum ini terlepas daripada diambil tindakan apabila pengadu hanya membuat aduan tetapi tidak mengisi borang tersebut," katanya.

MAIWP majukan dana wakaf

MAIWP majukan dana wakaf


Hasil Wakaf... Bangunan dua tingkat Tadika An-Nur Bestari dI Jalan Yadi, Klang, Selangor.


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf tunggal di Wilayah Persekutuan menggalas amanah untuk memajukan tanah-tanah wakaf demi manfaat umat Islam.

Apabila tanah-tanah wakaf itu dimajukan, ia mampu menjana ekonomi umat Islam dan juga meringankan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur seperti pembinaan masjid, pusat pendidikan, rumah anak yatim dan warga tua serta pusat perlindungan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd. pada Wacana Pentadbiran Dan Pengurusan Pembangunan Ekonomi Tanah Wakaf Di Wilayah Persekutuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun keluasan tanah wakaf di Wilayah Persekutuan sangat terhad iaitu sekitar 4.4 hektar sahaja, tidak termasuk tanah perkuburan, tanah berkenaan sangat bernilai dan boleh dimajukan untuk projek yang memberikan pulangan tinggi.

Sebagai contoh, kata Anan, tanah wakaf milik MAIWP yang terletak di Jalan Perak, Kuala Lumpur akan dimajukan dengan pembinaan sebuah bangunan pejabat kelas A setinggi 34 tingkat yang akan disewakan.

Kos pembangunan projek tersebut menelan belanja sebanyak RM151 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji dan tempoh pembinaannya selama 46 bulan. Projek ini dimulakan pada Ogos 2007 dan dijangka siap pada April 2011.

MAIWP juga akan memajukan sekeping tanah wakaf yang terletak di Jalan Jelatek dengan membina sebuah Pusat Dialisis kepada pesakit buah pinggang dengan menggunakan peruntukan kerajaan yang akan disalurkan menerusi Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar).

Sementara itu, Tanah Wakaf Am di Lorong Syed Putera Kiri, Sungai Puteh, Kuala Lumpur akan dibangunkan sebuah pangsapuri (servis apartmen).

Di samping itu, MAIWP juga akan memperkenalkan Skim Saham Wakaf yang didefinisikan sebagai berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diberi oleh maukuf oleh pewakaf (wakif) kepada satu tabung amanah yang diuruskan untuk menguruskan wakaf ini (muttawali).

"Dengan cara ini Wakaf Tunai membolehkan maukuf dikumpul daripada bilangan wakif yang ramai untuk mendapatkan dana wang tunai yang besar supaya dapat digunakan ke arah memberi manfaat kepada penerima wakaf yang disasarkan (maukuf alaih)," kata Anan.

Menurutnya, Skim Saham Wakaf MAIWP membolehkan umat Islam daripada pelbagai latar belakang ekonomi untuk mampu melakukan amalan wakaf ini tanpa perlu menunggu mempunyai harta-harta kekal seperti tanah atau bangunan untuk tujuan wakaf.

Bersama YaPEIM: Wang tak dituntut boleh dimanfaat untuk pembangunan ummah

Bersama YaPEIM: Wang tak dituntut boleh dimanfaat untuk pembangunan ummah
Oleh Prof Dr Barjoyai Bardai

TERLALU banyak wang tidak dituntut di bank swasta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan berbagai institusi di negara ini dengan nilainya melebihi RM1.5 billion. Wang ini kini diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara sebagai simpanan dan akhirnya akan menjadi milik Khazanah Malaysia. Dana ini perlu dimanfaatkan dengan berkesan untuk pembangunan ummah kerana ia amanah Allah SWT untuk diuruskan.

Dana ini boleh disalurkan kepada Permodalan Waqaf untuk dimanfaatkan bagi memberikan pinjaman kepada ummah di dalam usaha membangun diri dan ummah. Skim musyarakah mutanaqisah boleh menjadi langkah pertama. Jika kita kaji contoh kes di Halifax, Kanada, komuniti Muslim seramai 200 keluarga berjaya melaksanakan skim musyarakah mutanaqisah (skim pelaburan menurun) ini secara cukup berkesan.

Bila ada salah seorang ahli qariah yang ingin membeli rumah, sebuah tabung akan dikumpul secara Qardul Hassan. Setiap keluarga mungkin mencarum katalah, C$1,000 - C$3,000 (RM3,000-RM9,000). Bakal pemilik rumah kemudian akan menduduki rumah yang dibeli dan membayar sewa kepada dirinya sendiri dan kepada tabung kewangan tadi. Ia akan membayar sewa sebanyak 10 peratus setahun dari kos rumah. Pada setiap bulan bakal pelabur ini akan membeli semula saham pelaburan di dalam rumahnya dari tabung qardul Hassan di atas.

Di dalam tempoh 10-15 tahun, rumah itu menjadi milik keluarganya setelah semua pelaburan ditebus dari tabung qardul hassan. Pelabur di dalam tabung qardul Hassan pula mendapat balik pelaburannya secara beransur-ansur sambil menikmati pulangan di dalam bentuk sewa bulanan.

Apakah tidak mungkin prinsip kewangan di atas diamalkan di dalam perniagaan kita di mana bila ada seorang peniaga memperoleh peluang perniagaan, ia akan mengumpul modal melalui skim Musyarakah Mutanaqisah ini untuk memulakan perniagaannya?

Kita boleh mula dengan menubuhkan satu akaun tabungan yang boleh diurus melalui Permodalan Waqaf untuk mengambil kira kemungkinan peluang yang akan wujud. Bila ada peluang perniagaan yang menarik ditawarkan dana dari tabung ini boleh digunakan serta merta dengan persetujuan semua penabung.

Setiap penyumbang modal akan menjadi pelabur di dalam projek perniagaan rakannya dan rakannya itu akan membeli balik modal pelaburan pada harga premium yang dipersetujui secara beransur ansur. Sementara itu setiap pelabur akan memperoleh keuntungan di dalam bentuk dividen perniagaan rakannya tadi. Mungkin juga usaha ini boleh dikoordinasi oleh Dewan Perniagaan masing-masing yang berfungsi menjaga kepentingan para ahlinya.

Di dalam al-Qur'an, Allah SWT mencabar kita semua untuk memberi pinjaman kepada-Nya. Mengapakah Allah yang mencipta kita dan memiliki segalanya di dunia ini membuat cabaran untuk kita memberikan pinjaman kepada-Nya? Siapakah kita ini untuk memberi pinjaman kepada Pencipta kita? Pastinya kita perlu menyahut cabaran ini bukan kerana kita berasa belas tetapi kerana kita merasa amat merasa malu diejek melalui seruan memberi pinjam ini.

'Qardul Hassanan' Ini disebut sebanyak lapan kali di dalam tujuh surah di dalam al-Quran untuk membayangkan betapa pentingnya konsep ini. Tuntutan qardul hassanan ini disebut seiring dengan tuntutan Solah dan puasa serta usaha berjihad.

Surah Al-Baqarah ayat 245 bermaksud: "Siapakah dia yang sudi meminjami Allah dengan pinjaman yang baik (Qardul Hassanan); supaya dia digandakan untuknya dengan pergandaan yang banyak? Dan Allah menahan dan meluas-lebarkan (menghamparkan) dan kepadanyalah kamu sekalian akan kembali."

Ayat Ini adalah satu tawaran terbuka dengan balasan yang berganda. Allah SWT juga mengingatkan kita bahawa Dialah yang menyempitkan dan melapangkan rezeki kita.

Surah Al-Maidah, ayat 12 sebahagiannya bermaksud, "...kamu pinjami Allah dengan pinjaman yang baik (Qardul Hassanan), maka sesungguhnya akan aku ampuni kejahatan-kejahatan kamu, dan sesungguhnya akan Aku masukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai."

Allah SWT menjanjikan keampunan daripada segala perbuatan jahat yang lalu jika memberikan pinjaman kepada-Nya atas niat baik selain dari balasan syurga.

Semua harta adalah milik Allah SWT. Sebagai pemegang amanah kita perlu mengurus dan melaburkan harta Allah SWT untuk memberi sumbangan faedah yang terbaik kepada ummah.

Jika kita tidak berupaya atau berkesempatan untuk menguruskan harta yang ada di tangan kita, kita perlu serahkan kepada pengurus lain yang lebih berkemampuan untuk menyelesaikan tanggungjawab kita sebagai pemegang amanah

Konsep pelaburan di dalam Islam amat luas meliputi pelaburan - dari jangka pendek sehinggalah ke hari Akhirat. Di samping sumbangan jariah, Allah SWT juga menyeru umat Islam untuk memberikan pinjaman atas niat baik (qardul hasanan). Penggabungan matlamat jangka pendek dan panjang perlu menjadi asas di dalam pelaburan.

Jika kita dapat menggembleng matlamat jangka panjang - pelaburan untuk hari akhirat dengan pelaburan jangka pendek - untuk keuntungan di dunia, pastinya kita akan mendapat barakah dan ganjaran yang besar.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) - sambungan kertas kerja Kongres Ekonomi Islam Ketiga.

Manusia tidak berilmu mudah terbabit jenayah

Manusia tidak berilmu mudah terbabit jenayah
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Masyarakat perlu berusaha, ambil langkah bendung kelakuan bertentangan agama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan 'perang habis-habisan' tanpa kompromi terhadap penjenayah berikutan peningkatan indeks jenayah di seluruh negara. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi bagi melenyapkan ancaman mereka kerana kehadiran kelompok itu boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.

Orang melakukan jenayah sebenarnya boleh dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih daripada ganasnya binatang.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan." (surah al-Kahfi ayat 28).

Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah akan lahir pula selepas itu perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat yang bakal ribut lagi bahang kekejaman dalam bertindak balas seterusnya.

Lanjutan insiden itu juga kita semua pasti dengan segera akan terbayangkan pelbagai gejala tidak sihat terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah SWT bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali mereka mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Perangkaan, indeks jenayah kebangsaan meningkat kepada 12.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2006 iaitu sejumlah 170,481 kes berbanding hanya 151,444 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Jenayah keganasan meningkat 18.01 peratus, harta benda naik 13.87 peratus dan jenayah komersial bertambah 17.98 peratus. Hanya jenayah narkotik mencatatkan penurunan sebanyak 8.07 peratus.

Benarlah, manusia yang tidak berilmu sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri. Golongan ini akan merasa bahagia dengan kematian, kecederaan, kecacatan dan keruntuhan hidup orang lain.

Insiden jenayah menyebabkan negara mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM15.3 bilion pada 2007. Dengan peningkatan berterusan pada tahun lalu dan tahun ini, angka kerugian pastinya terus meningkat.

Kita masih terus berharap agar pihak berkuasa dapat terus mengambil langkah bijak bagi menangani pelbagai kes jenayah yang terus meningkat setiap hari.

Dalam hadis Rasulullah lain riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda bermaksud:" Wahai manusia , sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu."

Justeru, semua anggota masyarakat perlulah sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik dan bijaksana, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (surah an-Nahl, ayat 125).

Penambahan anggota polis sehingga 60,000 anggota dalam masa lima tahun akan datang dan peningkatan kepakaran dalam bidang tertentu seperti sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi siber dan forensik, adalah antara sasaran utama mereka dalam usaha membendung dan seterusnya membasmi pelbagai kes jenayah berlaku di seluruh negara.

Bukan hanya akan lebih bijak dan cekap dalam membendung dan mengurangkan peningkatan kes, tetapi juga dalam masa yang sama menghapuskan punca yang membawa kepada tercetusnya pelbagai kejadian jenayah yang kian parah dalam masyarakat.

Moga ia dapat dibendung, sesuai dengan kekuatan yang ada pada gagasan perkhidmatan pasukan keselamatan negara kita. Gandingan tenaga dari seluruh rakyat pula amat ditagih kerana seorang warga yang terpuji adalah sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik untuk menyumbang jasa kepada keharmonian tanah air sendiri.

Iqra: Koleksi artikel 9 tokoh

Iqra: Koleksi artikel 9 tokoh


Judul: Islam dan Kemodenan - Pandangan Intelektual Islam
Suntingan: John Copper, Ronald Nettler dan Mohamed Mahmoud
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar.


KUMPULAN sembilan artikel membincangkan mengenai Islam dan Kemodenan melalui perspektif berbeza daripada ilmuan kontemporari Islam hasil bengkel perbincangan ilmiah di Oxford, England, pada 1996.

Perbincangan membabitkan sembilan ilmuan termasuk Javed Majeed, John Cooper, Nadia Abu-Zahra, Mohamed Mahmud dan Abdou Filali-Ansari itu cuba melihat idea di kalangan cerdik pandai Islam pada abad ke 20. Secara keseluruhan pandangan mereka menurut penulis berkenaan mendahului pemikiran tokoh kemodenan terawal dan berpengaruh seperti Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Tokoh pemikir seperti Shaikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, di Syria; Husayn Ahmad Amin (Mesir); Mahmud Muhammad Taha (Sudan), Sir Sayyid Ahmad Khan dan Altaf Hussain Hali (India) dan Mohamed Talbi (kelahiran Tunisia) disentuh secara serius oleh pengkaji Islam berkenaan mengenai sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Tokoh pemikir ini berasal dari pelbagai negara, menganjur dari Afrika Utara sehingga ke India. Walaupun pandangan mereka agak berbeza terhadap pemikiran Islam, namun isu ditonjolkan merapatkan hubungan antara mereka.

Buku ini hasil bengkel, yang membuat penilaian semula terhadap tokoh pemikir dan idea mewakili pemikiran Islam abad ke-20. Koleksi artikel yang dimuat di dalam buku ini turut menekankan keutamaan dalam konteks sejarah untuk memahami al-Quran.

Iqra: Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam

Iqra: Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam


Judul: Islam dan Jihad - Prasangka Atau Kenyataan
Penulis: AG Noorani
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM35.


KREDIBILITI umat Islam tercalar akibat lemparan pelbagai tohmahan oleh dunia Barat berikutan tragedi serangan 11 September ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York serta Pentagon di Washington.

Akibatnya, bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush mengutuk keras sentimen anti-Islam dan anti-Arab yang memuncak di Amerika Syarikat.

Dalam suasana tuduhan melulu ini sewajarnya polemik berkaitannya diperjelaskan bagi mengelak salah faham berlarutan.

Kelahiran buku ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai beberapa konsep asas bagi menangkis sangkaan buruk digembar-gemburkan cendekiawan Eropah sejak dulu terhadap umat Islam.

Buku setebal 125 muka surat ini sarat dengan misi penjelasan dengan mendedahkan muslihat kumpulan tertentu memperalatkan agama sebagai senjata politik.

Banyak teori palsu dikembangkan secara meluas sehingga memberi gambaran salah kononnya politik Islam secara semula jadi bersifat militan dan menghalang penerapan proses demokrasi dalam kebanyakan pemerintahan Islam.

Begitu juga dengan prasangka maksud jihad. Perkataan ini sebenarnya menunjukkan maksud positif yang menyatakan pentingnya kebenaran dalam agama.

Bagaimanapun bagi orang lain, khususnya Barat ia membawa maksud kekejaman agama yang tidak diingini.

Peperangan dimulakan pada dinasti pemerintahan Islam Ummayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah dan Uthamaniyyah bukanlah pelaksanaan jihad serta jenayah dianjurkan pelampau Islam atas Islam.

Penulis membandingkan dengan pemikir Islam progresif yang berusaha menangani persoalan yang tidak dapat dielakkan serta dilontarkan oleh duna moden terhadap Islam.

Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah

Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah
Oleh Musa Awang

Akta sudah 25 tahun wajar dipinda supaya bersesuaian dengan arus pemodenan

PADA 22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepada adiknya, "Adik, tengok 'paper' ni, Kapten Boleh kena penjara tiga bulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita sama saja." Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata, "Iya betullah.. Patutlah..." Tersenyum penulis mendengar perbualan anak kecil ini.

Pada 21 April lalu, pelakon Ako Mustapha dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa serta-merta dan didenda maksimum RM3,000 atas kesalahan berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Muslim, dua tahun lalu.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 36, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, pada 27 Jun 2007 sekitar jam 1.20 pagi di Blok B-2-9, Kondominuim Oakleaf Park, Persiaran Bukit Antarabangsa, Gombak.

Sebelum itu, Ako dikenakan waran tangkap Januari lalu selepas beberapa kali tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah. Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu, Ako mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya.

Daripada perbualan spontan anak itu, rentetan daripada kes Ako Mustapha ini, terlintas di fikiran penulis beberapa perkara yang perlu kita renungkan bersama.

Pertamanya, betapa kuatnya pengaruh karaktor dalam rancangan televisyen kepada anak. Pada masa sama, adakah hukuman jenayah syariah masih relevan dengan keadaan semasa? Adakah hukuman dijatuhkan hakim itu cukup berat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat dan adakah hukuman itu cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Terlintas di fikiran ini, Ako yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam dijatuhkan hukuman, bagaimana pula pasangannya? Adakah dia terlepas begitu saja?

Anak melihat watak rekaan di televisyen sebagai hero mereka. Lebih-lebih lagi jika rancangan itu ditayang berulang-ulang kali. Anak lebih kenal watak Kapten Boleh?, berbanding nama sebenarnya Ako Mustafa. Anak menyanjungnya sebagai seorang kapten serba boleh, yang boleh menyelesaikan setiap masalah. Amatlah malang apabila hero yang menjadi kebanggaan anak melakukan jenayah, mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara.

Sebagai ibu bapa, fikirkan, sama ada wajar atau tidak hukuman denda RM3,000 dan penjara tiga bulan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu. Tambahan pula, Ako beberapa kali tidak menghadirkan diri sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Ako seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah syariah, walaupun publisiti terhadap perjalanan kesnya disiarkan dalam media arus perdana.

Sebagai selebriti yang menjadi pujaan dan perhatian masyarakat, seharusnya dia menjadi idola yang baik. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak hero kepada kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan itu bukan sekadar dakwah kepada Ako saja, malah sebagai pengajaran kepada selebriti lain dan masyarakat keseluruhannya.

Atau, adakah anda berasakan hukuman itu terlalu ringan dengan kesalahan dan kesan dilakukan? Apa pun penilaian anda, hakim bicara sebenarnya menjatuhkan hukuman menurut undang-undang.

Kes Ako ini turut mencetuskan persoalan pada minda penulis, adakah masih relevan hukuman jenayah syariah dengan keadaan semasa? Adakah hukuman yang ada sekarang cukup berat menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat, dan adakah ia cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Penulis berpandangan, adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, pada 24 April lalu kemungkinan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan disambut baik. Ia tepat pada masa dan suasana sekarang.

Kini, hukuman boleh dijatuhkan mahkamah syariah adalah rendah, terutama apabila kebanyakan hukuman dijatuhkan hanya membabitkan denda. Hukuman dikenakan ini adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa diberikan kepada hakim syariah dalam menghukum pesalah jenayah syariah.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) membataskan hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak melangkaui prinsip 5-3-6, iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.

Akta yang sudah 25 tahun tidak mengalami perubahan ini perlu dipinda supaya ia bersesuaian dan mampu membangun dengan arus kemajuan dan pemodenan umat Islam hari ini. Jika 25 tahun lalu, jumlah denda RM5,000 mungkin menggerunkan, tetapi tidak lagi pada masa sekarang. Ia menyebabkan pesalah jenayah syariah lebih rela mengaku salah dan membayar denda daripada dibicarakan.

Jika mahkamah syariah mengenakan denda maksimum sekalipun, ia masih rendah dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Jarang kita dengar pesalah syariah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Jika perbandingan dibuat dengan Mahkamah Majistret Kelas Pertama pun, ternyata kuasa pada mahkamah syariah adalah lebih rendah. Seksyen 85 Akta Mahkamah Rendah 1948 memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama yang boleh membicarakan semua kesalahan dengan hukuman maksimumnya tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda saja.

Sedangkan mahkamah syariah dan mahkamah tinggi syariah sekali pun, hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sila layari http://peguamsyarie.org.