Friday, May 22, 2009

AGAMA : JUMAAT 22 MEI 2009

Semua nabi membawa ajaran Allah yang benar
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah menerangkan perihal Yahudiyang semasa risalah Muhammadiah betapa mereka amat taksub dan memindakalam Allah daripada tempatnya. Di samping itu, Allah menjelaskantindakan mereka membawa kezaliman dan kerosakan iktikad. Selepas ituAllah menjelaskan kesatuan syariat samawi yang saling lengkapmelengkapi samalah seperti istana yang dibina teguh”.

Adab berjimak
Soalan: Apakah pandangan Islam, mengenai hak seorang isteri ke atassuaminya. Ada di antara suami yang gagal menunaikan hak isterinyakhususnya dalam menunaikan jimak, dengan alasan sibuk dengan kerja danaktiviti di luar.

Zakat saham adalah 2.5 peratus
SOALAN: Majikan saya baru-baru ini memberikan saham syarikat sebanyak4,000 unit dengan nilai RM5 seunit kepada semua kakitangan.

Angkatan tentera Quraisy dalam Perang Uhud
SELEPAS ketua-ketua kaum Quraisy mengadakan mesyuarat, persiapan untukmemerangi Nabi Muhammad SAW dan tentera Muslimin telah dilakukan.Setiap keluarga mengutuskan anak-anak lelaki dan hamba-hamba yang masihkuat untuk menyertai peperangan tersebut.






Pengisian, teknik sampai khutbah perlu berkesan pikat jemaah
KHUTBAHJumaat wajar dimanfaatkan sesuai dengan kefarduannya terhadap seluruhumat Islam lelaki yang baligh untuk dijadikan medan muhasabah mingguanyang berkesan.

Ingat mati hindar daripada penyakit bangga diri
BANGGAdiri atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuatseseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain.Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihiorang lain.

Layanan Rasulullah terhadap isteri perlu jadi pedoman suami
SEJAKkebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan perkahwinan dipaparkan mediahingga mengundang polemik dan perdebatan masyarakat. Masalah rumahtangga antara pasangan suami isteri seandainya tidak dileraikan secarabaik dan berhemah menyebabkan berlakunya tuduh menuduh, cabar mencabarhingga akhirnya mahkamah menjadi medan terakhir menyelesaikan kekusutanitu.

Tarbiah kanak-kanak dengan rahmat, lemah-lembut
SIFATrahmat adalah perasaan belas kasihan terhadap sesama makhluk. Rahmatbukan kepada manusia saja bahkan perlu dilaksanakan kepada haiwan danalam. Sebelum Allah memerintahkan manusia supaya bersifat rahmat, Allahterlebih dulu bersifat rahmat.

Semua nabi membawa ajaran Allah yang benar

Semua nabi membawa ajaran Allah yang benar

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah menerangkan perihal Yahudi yang semasa risalah Muhammadiah betapa mereka amat taksub dan meminda kalam Allah daripada tempatnya. Di samping itu, Allah menjelaskan tindakan mereka membawa kezaliman dan kerosakan iktikad. Selepas itu Allah menjelaskan kesatuan syariat samawi yang saling lengkap melengkapi samalah seperti istana yang dibina teguh”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-81:

i. Ibn Kathir berkata, Allah mengkhabarkan bahawa ia mengambil perjanjian setiap nabi yang diutuskannya sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s supaya melaksanakan perintah Allah kepada mereka daripada kitab dan hikmah.

ii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa agama tidak patut dijadikan sebagai wahana permusuhan dan kebencian, seperti perbuatan ahli kitab yang memusuhi Nabi SAW.

Padahal kedatangan baginda adalah mengajak mereka kepada kalimah yang sama. Malangnya segelintir mereka menunjukkan sikap melawan, menjauhkan diri, melakukan tipu daya dan mengingkari.

iii. Al-Maraghi berkata, dialog ini bersifat perlambangan bagi menanam pengertian yang lebih kuat dan jelas ke dalam jiwa manusia.

Ayat ini tidak bererti bahawa dialog tersebut benar-benar terjadi kerana contoh-contoh dialog seperti ini terdapat pada gaya bahasa Arab.

iv. Hamka berkata, ayat ini menjelaskan bahawa nabi-nabi yang terdahulu selalu diperingatkan oleh Allah SWT bahawa akan datang pula seorang rasul yang menjadi penutup segala nabi dan rasul untuk selamanya.

Menurut penafsiran Saad bin Jubair dan Qatadah dan Thawus dan al-Hassan dan al-Suddy, perjanjian di antara nabi-nabi dengan Allah SWT supaya yang setengah membenarkan dan mengakuinya lagi dengan iman.

Janji

Allah SWT memegang janji nabi-nabi terdahulu supaya beriman kepada nabi yang akan datang dan membelanya.

v. Mohamad Quraish Shihab berkata, banyak ulama berpendapat bahawa perjanjian dimaksud adalah yang diambil Allah SWT secara langsung dari para nabi, yakni Allah mengumpul para nabi di satu alam yang kita tidak ketahui. Kemudian mengambil janji mereka untuk percaya kepada Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka menemui baginda maka mereka siap mendukung dan membela baginda.

Ada juga menyatakan perjanjian itu adalah di antara nabi dan disaksikan Allah SWT. Pengikut fahaman pertama menyatakan bahawa Allah SWT telah mengikat janji dengan seluruh nabi agar saling membenarkan dan mempercayai sesama mereka.

Nabi Musa harus percaya kepada Nabi Isa dan menyokongnya serta berpesan hal yang sama kepada umatnya jika menemui Nabi Isa. Demikian juga Nabi Isa kepada Nabi Muhammad SAW.

vi. Ibn Jarir al-Tobari berkata, ingatlah kamu hai Ahli Kitab, ketika Allah mengambil kesetiaan nabi-nabi. Adapun perjanjian itu, mereka berjanji mentaati Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat ke-82:

i. Al-Maraghi berkata, barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menyebar agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.


Mengingkari

Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Rasulullah SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, perbuatan itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.

ii. Hamka berkata, berpaling daripada kesatuan itu adalah fasik iaitu derhaka. Tidak lagi menuruti jalan yang lurus. Fasiklah orang kalau telah dibentuknya suatu agama, lalu didasarkannya kepada nama seorang nabi lalu menyisihkan diri dari golongan yang lain.

Ajaran mereka pun berasal daripada seorang nabi pula, tidak ada maksud hendak menggabungkan semuanya dalam satu ajaran, nabi-nabi bersatu dan umat-umat di belakang mereka berpecah.

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata, setelah Allah menyampaikan janji itu, baik dalam erti mengambil janji untuk percaya dan menyokong Nabi Muhammmad SAW.

iv. Barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menebarkan agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan, serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu, serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.

Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Muhammad SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, maka perbuatan mereka itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.

Iktibar dan fiqh ayat ke-83:

i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, makna patuh dan terpaksa ada enam pendapat:

l Semuanya Islam pada hari perjanjian secara taat dan terpaksa seperti riwayat Mujahid daripada Ibn Abbas dan A’mash daripada Mujahid.

l Orang mukmin sujud secara taat sedangkan orang kafir sujud dalam keadaan terpaksa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Abi Nujaih dan Lais daripada Mujahid.

l Semuanya patuh bahawa Allah pencipta sekalipun sebahagian daripada mereka syirik. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah dan Mansur dari Mujahid.

l Orang mukmin menyerah dalam keadaan taat sedangkan kafir menyerah kepada Islam dalam keadaan takut kepada mata pedang. Inilah pendapat al-Hasan.

l Orang mukmin Islam dengan penuh ketaatan sedangkan orang kafir Islam apabila melihat azab Allah, sedangkan ketika itu tidak boleh memberi manfaat. Inilah pendapat Qatadah.

l Islam keseluruhannya dengan tunduk dan patuh perintahnya secara tabiat kerana tiada seorang pun mampu mencabar kekuasaan Tuhan. Inilah pendapat al-Zajjaj.

ii. Al-Maraghi berkata, agama yang benar ialah agama yang menyuruh berserah diri kepada Allah SWT dan beribadah kepada-Nya dengan ikhlas.

Semua nabi berbuat demikian dan mereka mengambil janji seperti itu daripada umat-umat mereka. Mereka kemudiannya melanggar janji itu ketika seorang nabi yang telah dijanjikan datang kepada mereka dan mengajak mereka kepada Islam, malangnya mereka tetap mendustakannya.

iii. Hamka berkata, matahari dan bulan menyerah kepada Allah. Begitu juga alam cakerawala dengan taat dan suka. Demikian juga sesetengah manusia yang memikirkan maksud Islam sedalam-dalamnya maka masuklah mereka dengan penuh keinsafan.

Semuanya tunduk menyerah kepada Allah SWT sama ada suka atau pun tidak. Maka bahagialah bagi siapa yang insaf akan hal ini sehingga dia tidak berasa keberatan menerima ketentuan Allah SWT.

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ketundukan dan ketaatan apa yang ada di langit dan di bumi menunjukkan kepatuhan hamba-hamba-Nya walaupun mereka diberi pilihan untuk taat atau tidak.

Sekiranya ia terpaksa ini kerana ia tidak diberi pilihan dan harus menerima apa yang ditetapkan-Nya. Alam ini tunduk kepada Allah SWT dengan jelas pada ketepatan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Matahari tidak pernah terbit dari sebelah barat. Hukum-hukum alam bersifat konsisten, kalaupun ia berubah, ia berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya juga.

v. Al-Sonhadji berkata, orang yang di langit dan di bumi telah disebutkan sama ada beriman secara rela atau pun secara terpaksa. Semuanya telah tunduk kepada Allah dengan menganut agama Islam.

Para Ahli Kitab pula masih berdalih mencari agama lain. Akhirnya, mereka akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan.

Sindiran ayat ini jelas menunjukkan betapa besarnya amaran dan ancaman Allah terhadap orang yang menyalahi-Nya di dunia ini.

Alangkah baiknya jika kita menjadi hamba yang mentaati dan mematuhi perintah-Nya dalam semua keadaan untuk melayakkan kita mendapat segala kurniaan nikmat, rahmat dan hidayah Allah. Amin.

Adab berjimak

Adab berjimak

Soalan:

Apakah pandangan Islam, mengenai hak seorang isteri ke atas suaminya. Ada di antara suami yang gagal menunaikan hak isterinya khususnya dalam menunaikan jimak, dengan alasan sibuk dengan kerja dan aktiviti di luar.

Jawapan:

Jimak adalah hak seorang isteri yang wajib ke atas suaminya merupakan pandangan Ibn Qudamah al-hanbaliy, al-Wat’u, wajib atas seorang lelaki. Maksudnya, wajib ke atas seorang suami ‘mendampingi’ isterinya sekiranya dia tidak uzur, ini pandangan Imam Malik.

Dalil yang mewajibkan jimak ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nisa’: 129).

Berdasarkan ayat ini Imam al-Jashsas berkata, si isteri wajib mendapatkan nafkah batin daripada suaminya. Ini kerana ayat di atas adalah menjadi dalil bahawa jangan tinggalkan isteri-isteri kamu dalam keadaan tergantung (tidak menunaikan hak jimak ke atas mereka).

Imam al-Bukhari mengeluarkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash yang bermaksud: Rasulullah SAW telah bersabda: Wahai Abdullah bukankah aku telah memberitahu engkau bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersolat malam (secara berterusan)? Aku menjawab: ya wahai Rasulullah. Baginda berkata: Jangan buat begitu, puasalah engkau dan berbuka, bangun malam untuk solat dan tidur, sesungguhnya jasad engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya mata engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya isteri engkau mempunyai hak ke atas engkau.

Dalam mensyarahkan hadis ini ulama berpendapat: Tidak harus bagi seorang suami hanya mementingkan ibadat sehingga lalai dari menunaikan hak seorang isteri.

Di dalam syariat Islam nikah adalah untuk memelihara kemaslahatan suami dan isteri demi memelihara maruah diri supaya tidak melakukan suatu yang ditegah oleh Allah sehingga melangsaikan keinginan nafsu pada jalan yang haram.

Di dalam athar sahabah, Umar bin al-Khattab r.a telah memutuskan keputusan di dalam qada ke atas Kaab bin Siwar supaya seorang lelaki hendaklah bermalam bersama isterinya setiap empat malam sekali.

Dalam memperhalusi fatwa Umar ini Ibn Qudamah menyatakan: “Sesungguhnya keputusan Umar ini tersebar dan tiada yang membantahnya dan ia dipersetujui oleh ulama (ijmak). (Ibn Qudamah, al-Mughniy, jld:7, hlm: 29).

Maka bagi suami yang bersama dengan isterinya bukan dalam musafir, maka hendaklah menunaikan hak isterinya paling tidak empat hari sekali. Pandangan ini disokong oleh Imam al-Ghazali.

Di dalam menunaikan hak nafsu pada jalan yang halal ini, Islam telah mengajar umatnya supaya memelihara adab-adab berjimak supaya tidak melampaui batasan syarak.

Di antaranya ialah:

1- Melafazkan bismillah, dan mohon perlindungan dari kerterlibatan syaitan dalam jimak.

Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas r.a daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya ada di antara kalian yang ingin mendatangi isterinya (jimak) hendak membaca: Bismillah, Allahumma jannibna al-Syaitan wa jannib al-syaitan maa razaqtana, sekiranya mereka berdua dikurniakan anak maka anak itu tidak akan dimudaratkan oleh syaitan”. (al-Bukhari, Syarah al-‘Asqalaniy, jld:9, hlm: 305).

2. Hampir tidak dipelihara ialah menutup tubuh ketika mengadakan hubungan kelamin.

Baginda Rasulullah SAW ada berpesan, melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu ingin mendatangi isterinya maka hendaklah menutup dan jangan telanjang bulat seperti keldai liar”. (Ibn Majah, jld: 1, hlm: 619).

3. Tidak menyetubuhi isteri di sisi isteri yang lain atau didengari oleh isteri yang lain.

4. Tidak menghadap kiblat, antara adab yang jarang didedahkan ialah tidak menghadap kiblat ketika jimak.

Ini kerana Amru bin Hazam dan athar menghukum perbuatan menghadap kiblat ketika jimak dan bercakap banyak ketika jimak sebagai makruh.

Perkara ini pernah ditegur oleh Rasulullah saw dalam hadis yang bermaksud: “Jangan kamu banyak berbicara ketika berjimak dengan isteri-isteri kamu”. (al-Mughniy, jld:7, hlm: 25).

5. Mencapai kepuasan dalam jimak. Tidak dikira sempurna jimak itu selagi tidak mencapai kepuasan oleh pasangan suami dan isteri.

Kesimpulannya, walaupun jimak adalah ibadat, dalam melakukan ibadat kita mengharapkan agar ia membawa maksud yang positif kepada si pengamalnya.

Justeru, adalah wajar bagi setiap pasangan memelihara adab dan menjaga batasan agar tidak terlalu terikut-ikut dengan kehendak nafsu sehingga melakukan suatu yang bukan dari budaya Islam.

Zakat saham adalah 2.5 peratus

Zakat saham adalah 2.5 peratus

SOALAN:
Majikan saya baru-baru ini memberikan saham syarikat sebanyak 4,000 unit dengan nilai RM5 seunit kepada semua kakitangan.

Namun begitu, saham itu hanya boleh dijual setelah tempoh setahun dan kakitangan hanya dibenarkan memiliki 50 peratus daripada harga jualan. Persoalannya, adakah saya wajib mengeluarkan zakat apabila menjual saham itu nanti?

JAWAPAN:

Saham itu hendaklah dipastikan saham yang mematuhi piawaian syariah. Jika ia tidak tunduk kepada syariah, misalnya menceburi bidang perniagaan yang haram, maka pengembangan daripada pokok saham saudara itu tidaklah boleh dizakatkan. Hanya pokoknya sahajalah yang wajib dikirakan zakatnya.

Dalam kes di atas, ia bermakna saudara mendapat saham yang keseluruhannya bernilai RM20,000. Secara kasarnya, ia memang telah melebihi nisab.

Namun, katakanlah setelah tamat setahun, harga jualan melebihi daripada harga asal. Andaikan ia berharga RM7 seunit, maka saudara sudah memiliki RM28,000.

Oleh kerana majikan hanya membenarkan separuh dimiliki oleh saudara, maka zakat hanya dikenakan 2.5 peratus ke atas nilai RM14,000.

lUntuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau emel kepada hamizul@e-zakat.com.my

Angkatan tentera Quraisy dalam Perang Uhud

Angkatan tentera Quraisy dalam Perang Uhud

SELEPAS ketua-ketua kaum Quraisy mengadakan mesyuarat, persiapan untuk memerangi Nabi Muhammad SAW dan tentera Muslimin telah dilakukan. Setiap keluarga mengutuskan anak-anak lelaki dan hamba-hamba yang masih kuat untuk menyertai peperangan tersebut.

Sebanyak 3,000 tentera dikumpulkan. Sebanyak 200 tentera berkuda dilengkapi dengan pakaian perang, senjata dan makanan serta minuman yang melimpah ruah. Seramai 700 orang pula memiliki senjata yang lengkap manakala selebihnya menaiki unta.

Angkatan tentera kaum Quraisy diketuai oleh Abu Sufyan. Barisan wanita yang terdiri daripada tujuh belas orang diketuai oleh Hindun binti Uthbah iaitu isteri Abu Sufyan.

Tentera Quraisy bersiap sedia dengan kelengkapan perang yang sudah mencukupi, ditambah dengan bilangan tentera lebih daripada tiga ribu orang. Lalu berangkatlah mereka menuju ke Madinah.

Dalam perjalanan itu mereka turut membawa tuhan mereka yang paling besar iaitu berhala Hubal, dengan diiringi perempuan-perempuan penyanyi dan penari.

Tidak ketinggalan juga peralatan-peralatan muzik seperti rebab, seruling dan alat-alat muzik lain yang boleh menghibur dan membangkitkan semangat para tentera dengan nyanyian dan syair-syair yang merangsang. Minuman keras yang banyak turut dibawa bersama.

Sementara kaum Quraisy sibuk bergegas-gegas untuk bertolak dari Mekah ke Madinah, bapa saudara Rasulullah, Abbas bin Abdul Muttalib secara diam-diam mengutus sepucuk surat kepada baginda untuk memberitahu tentang rencana perang kaum Quraisy yang telah mula berangkat ke Mekah dengan sebuah pasukan yang besar, kuat dan lengkap itu.

Setelah mengetahui rancangan orang-orang Quraisy itu, Rasulullah pun bersiap sedia dengan 1,000 tentera untuk berperang dengan mereka.

Walaupun jumlah tersebut terlalu sedikit untuk melawan tentera Quraisy, orang-orang Islam tetap bersemangat waja.

Sebelum peperangan bermula, orang-orang Yahudi telah membuat satu helah. Mereka menghantar Abdullah bin Ubay supaya menawarkan diri untuk membantu orang-orang Islam menentang orang-orang Musyrik. Bagaimanapun tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah SAW.

Segala persiapan Nabi SAW adalah bertepatan dengan firman Allah yang maksud-Nya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya...(al-Anfal: 60)

Pengisian, teknik sampai khutbah perlu berkesan pikat jemaah

Pengisian, teknik sampai khutbah perlu berkesan pikat jemaah
Oleh Abd Rashid Abdul Halim

KHUTBAH Jumaat wajar dimanfaatkan sesuai dengan kefarduannya terhadap seluruh umat Islam lelaki yang baligh untuk dijadikan medan muhasabah mingguan yang berkesan.

Mesej yang disampaikan biar berpijak di bumi nyata, segar, padat dan penuh penghayatan. Peluang dakwah secara lisan itu amat berharga andai diolah dan disampaikan dengan pendekatan serta pengisian mantap.

Dua aspek perlu diberi perhatian jika khutbah Jumaat mahu dimanfaatkan pertama, setiap jemaah perlu hadir awal dan mendengar khutbah sepenuhnya dan keduanya, penyampaian serta pengisian mesti menarik, menyentuh persoalan yang relevan dan semasa.

Umumnya, penyampaian khutbah hari ini kurang memuaskan. Khutbah disampaikan gagal menarik perhatian khalayak pendengar wajib yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Setiap jemaah yang datang ke masjid pada Jumaat fokusnya ialah menunaikan sembahyang, bukan mendengar khutbah. Oleh itu, setiap Jumaat walaupun azan sudah dilaungkan, khutbah mula dibacakan, masjid masih tidak penuh.

Masjid hanya terisi penuh apabila sembahyang mula dilaksanakan. Maknanya, ramai jemaah yang tidak mendengar khutbah sepenuhnya atau langsung tidak mendengar khutbah Jumaat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada Jumaat, maka bersegera kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumaah, ayat 9)

Fardu Jumaat bermula dengan khutbah dan disusuli solat. Semua pekerjaan keduniaan mesti ditinggalkan. Seruan menyegerakan hadir ke masjid sebaik azan dilaungkan jelas menunjukkan setiap hadirin mesti mendengar khutbah Jumaat dan memberikan tumpuan terhadap apa yang disampaikan khatib.

Fokus terhadap khutbah Jumaat penting sehingga setiap jemaah ditegah bercakap. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada temanmu, ketika imam sedang berkhutbah ‘diamlah engkau’, maka sesungguhnya kamu sudah tidak dapat pahala Jumaat.”

Aspek kedua yang perlu diperbaiki untuk memanfaatkan sepenuhnya khutbah Jumaat ialah pengisian dan penyampaiannya. Selama ini khutbah Jumaat menjadi ubat mujarab untuk melelapkan mata. Sebaik khatib memulakan khutbahnya, kelihatan jemaah tersengguk-sengguk melayan tidur malah, ada yang sampai berdengkur. Sedikit benar yang betul-betul memberikan tumpuan terhadap amanat disampaikan khatib.

Demi memartabatkan khutbah Jumaat sebagai wacana berkesan memperbaiki masyarakat Islam, pengisian khutbah Jumaat perlu diperhalusi sebaiknya oleh pihak berkenaan supaya apa disampaikan setiap minggu melalui mimbar benar-benar menyentuh dan menyedarkan sidang Jumaat.

Pengisian khutbah mestilah berasaskan peringatan al-Quran iaitu seruan supaya sentiasa mengingati Allah atau dengan kata lain mengajak masyarakat sentiasa peka terhadap Islam dan menjauhi daripada dipengaruhi bisikan dunia yang melampau.

Persoalan semasa yang berlaku, baik dari segi sosial, ekonomi, moral mesti disentuh dan diberikan cadangan penyelesaian berpaksikan ajaran Islam. Contohnya, persoalan salah laku jenayah, budaya rempit, gejala sosial, rasuah atau politik wang serta budaya terlalu memuja hiburan.

Semua mesti disentuh, dikupas dan diterangkan bagaimana penyelesaiannya berpandukan Islam. Sebelum ini pernah khutbah membicarakan kebaikan memakan ulam dan buah-buahan tempatan, membicarakan pertanian sawah padi sedangkan ia dibaca di tengah bandar besar.

Nabi SAW mengingatkan dalam hadisnya bermaksud: “Berilah khutbah kepada manusia berdasarkan tahap pemikiran mereka.”

Khutbah Jumaat bukan ucapan biasa, sebaliknya ucapan yang penting kerana dari segi feqah, dua khutbah Jumaat itu menggantikan dua rakaat sembahyang Zuhur. Malah, khatib juga disyaratkan dalam keadaan wuduk seperti ketika bersembahyang.

Ini menggambarkan khutbah itu mesti disampaikan dengan penuh penghayatan, hati yang bulat kerana Allah dan bukan sekadar hanya membaca teks khutbah secara sambil lewa. Oleh itu, teknik dan teknikal penyampaian khutbah perlu diperbaiki seperti nada penyampaian.

Mutu pembesar suara yang baik, liputannya pula mestilah memenuhi ruang diduduki jemaah perlu diambil kira sebagai usaha memantapkan media khutbah Jumaat ini dan seterusnya memaksimumkan manfaatnya.

Kegagalan untuk memanfaatkan khutbah Jumaat lama-kelamaan akan memberi kesan kepada kehadiran orang ramai ke masjid pada hari Jumaat. Langkah dicadangkan perlu diperhatikan dan diperhalusi supaya dapat diperbaiki serta dilakukan penambahbaikan segera.

Ingat mati hindar daripada penyakit bangga diri

Ingat mati hindar daripada penyakit bangga diri
Oleh Amran Zakaria

BANGGA diri atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuat seseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain. Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihi orang lain.

Sikap bangga mendedahkan pelakunya kepada akibat buruk di sisi agama. Pengamalnya akan membudayakan takbur iaitu sifat yang jelek di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (Surah Al-Qashash, ayat 76)

Takbur adalah sikap individu yang berasa dirinya lebih tinggi tarafnya dan tidak mahu menghormati orang lain. Penyakit ini juga dikenali sebagai sifat ujub iaitu mengagumi diri sendiri.

Ibnul Mubarak pernah berkata: “Perasaan ujub adalah ketika engkau berasa dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain.”

Imam Al-Ghazali menyatakan: “Perasaan ujub adalah kecintaan seseorang kepada suatu kurnia dan berasa memilikinya sendiri, tanpa mengembalikan keutamaannya kepada Allah.”

Suka dipuji dan memuji diri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sikap riak. Sebenarnya, yang layak dan berhak dipuji hanya Allah. Firman Allah bermaksud: “Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah Al-Fatihah, ayat 2)

Setiap orang mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki orang lain, tetapi milik siapakah semua kelebihan itu. Allah berfirman bermaksud: “Bagi Allah semua kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya.” (Surah Al-Maidah, ayat 120)

Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api. Firman Allah bermaksud: “Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah.” (Surah Saad, ayat 38)

Orang yang terkena penyakit kagum diri dapat dilihat daripada beberapa tanda iaitu selalu memuji dan mengagungkan diri. Pada masa sama, ia melupakan firman Allah bermaksud: “Maka jangan kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) paling mengetahui orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Faktor penyebab sikap kagum diri berpunca pujian yang diberikan secara berlebihan dan tanpa mengindahkan tatacara ditetapkan menyebabkan pujian itu mempengaruhi orang dipuji. Orang yang dipuji berasa mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki orang lain.

Tatacara memuji dalam syariat Islam ada tiga iaitu tidak boleh berlebihan, ditujukan untuk hal yang benar dan tidak menimbulkan fitnah iaitu membuat orang yang dipuji menjadi kagum diri sendiri. Apabila tatacara itu dapat dipenuhi, seseorang boleh memuji orang lain.

Orang yang kagum berasa nikmat yang diterima kerana kepandaiannya bukan kerana pemberian Allah seperti anggapan Qarun. Allah menceritakan dalam al-Quran, Qarun berkata: “Sesungguhnnya aku diberi harta itu hanya kerana ilmu yang ada padaku.” (Surah al-Qashash, ayat 78)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Jika seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kita juga dilarang memuji dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah juga yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” (Surah an-Nisaa, ayat 49)

Umar al-Khattab mengingatkan umat Islam: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Sesiapa yang mendakwa dia orang berilmu, sebenarnya dia jahil. Sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.”

Suatu ketika Rasulullah SAW menemui sahabatnya. Ketika itu sahabat sedang bersandar pada tongkat. Apabila melihat kedatangan Rasulullah SAW, mereka segera berdiri dengan maksud untuk menghormatinya.

Rasulullah SAW yang melihat hal itu bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian berdiri seperti dilakukan bangsa lain dalam menghormati satu sama lainnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Seorang Muslim yang terkena penyakit kagum diri harus segera bertaubat dan berusaha menyembuhkan dirinya daripada penyakit hati itu. Cara dapat dilakukan supaya tidak terkena penyakit kagum ialah selalu ingat hakikat dan kejadian diri.

Mereka juga harus sedar sekali pun diberi jangka hayat panjang, bukan bererti mereka boleh mendabik dada, angkuh dan membanggakan diri dengan nikmat serta kelebihan kurniaan Allah. Mereka tetap mati dan harta yang dibawa ialah amal selama hidup di dunia.

Penghayatan kesedaran seperti ini mendorong seseorang menghindarkan diri daripada penyakit kagum. Mereka yang terkena penyakit itu perlu lebih merendah diri serta selalu mengingati mati.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Layanan Rasulullah terhadap isteri perlu jadi pedoman suami

Layanan Rasulullah terhadap isteri perlu jadi pedoman suami
Oleh Nazri Hussein

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan perkahwinan dipaparkan media hingga mengundang polemik dan perdebatan masyarakat. Masalah rumah tangga antara pasangan suami isteri seandainya tidak dileraikan secara baik dan berhemah menyebabkan berlakunya tuduh menuduh, cabar mencabar hingga akhirnya mahkamah menjadi medan terakhir menyelesaikan kekusutan itu.

Islam sebagai agama syumul menekankan kesejahteraan hidup umatnya, menitikberatkan persoalan rumah tangga menjadi jambatan mengukuh ukhuwah dan jalinan kasih sayang antara suami isteri.

Pentingnya tuntutan perkahwinan sebagai jalan meleraikan tuntutan hawa nafsu serta fitrah semula jadi manusia dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai kaum pemuda, barang siapa antara kamu yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah. Tetapi, jika ada antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya, puasa itu menahan keinginan syahwat.”

Persoalannya hari ini, ramai pasangan yang menempuh gerbang perkahwinan gagal melayarkan bahtera kehidupan bersama tatkala berhadapan kemelut dan gelombang masalah berpunca daripada kejahilan ilmu serta terlalu dikongkong oleh emosi serta perasaan.

Akibatnya, titik perceraian menjadi jalan pemisah meleraikan hubungan cinta dan kasih sayang lama terjalin. Rasulullah SAW menggariskan panduan dan etika khususnya ketika mula-mula memilih jodoh supaya perkahwinan ditempuhi kekal hingga akhir hayat selain mendapat keberkatan Allah.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Berkahwin seseorang lelaki itu terhadap perempuan yang dinikahinya adalah kerana empat perkara: iaitu kerana harta benda, status keturunan, kecantikan paras ruap serta ketaatan kepada agama. Maka, pilihlah perempuan yang beragama nescaya akan berbahagialah hidupmu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Dalam kehidupan masyarakat moden hari ini yang meletakkan nilai material atau kebendaan sebagai perkara utama dalam memilih pasangan, soal budi bahasa serta wadah agama tidak lagi menjadi perkara pokok seperti disarankan Baginda Rasulullah SAW.

Wanita salihah serta memiliki ketaatan kepada perintah agama, bukan lagi menjadi ukuran ketika memilih jodoh. Sebaliknya, soal pangkat dan kerjaya, selain cinta dan paras rupa mengambil tempat pertama dalam ukuran mencari pasangan hidup.

Kajian dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan aspek pemilihan jodoh baru-baru ini mendapati kebanyakan lelaki mengutamakan rupa paras pasangan ingin dinikahi, sementara bagi wanita pula lebih sukakan pasangan hidup mempunyai kerjaya stabil serta kewangan kukuh.

Islam bukan menolak bulat-bulat tuntutan naluri semula jadi manusia memerlukan harta benda, pangkat dan kerjaya, kecantikan dan keelokan rupa pasangan tetapi jangan terlalu menekankan aspek keduniaan hingga meminggirkan amalan agama sebagai bekalan akhirat.

Bagi mereka yang sedang mencari pasangan hidup yang sesuai atau baru saja melabuhkan diri di alam berumahtangga antara aspek wajar diberi perhatian adalah memahami peranan dan tanggungjawab suami isteri.

Selain itu, pasangan wajar menjaga keaiban masing-masing supaya tidak menjadi bahan bualan di luar rumah. Sikap toleransi atau bersedia mengalah seharusnya perlu ada pada setiap pasangan supaya tidak timbul perasaan ego dan sombong dalam diri masing-masing.

Dalam soal berumahtangga, model yang sepatutnya dijadikan ikutan adalah Rasulullah SAW. Baginda sentiasa mengasihi isterinya tidak pernah bermasam muka, memberi layanan baik serta mengungkapkan kata bersopan dan berhemah.

Diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Satu malam beliau terlelap ketika sedang menunggu Rasulullah SAW pulang dari masjid. Apabila tersedar pada tengah malam, beliau mendapati Rasulullah belum pulang. Sebaik saja beliau membuka pintu, didapatinya Rasulullah tidur di depan muka pintu. Saidatina Aisyah mengejutkan Baginda lalu bertanya mengapa Rasulullah tidur di luar rumah. Baginda meminta maaf kepada Aisyah kerana terlewat pulang dan tidak sampai hati mengejutkan Aisyah yang tidur di dalam rumah.”

Begitulah beradabnya layanan Rasulullah SAW terhadap isterinya dalam menjaga hubungan perkahwinan. Kasih sayang dan perasaan cinta bersandarkan sunnah akan menjadikan jalinan hubungan suami isteri kian hebat dan kukuh malah dapat melahirkan zuriat yang soleh yang berkualiti.

Tarbiah kanak-kanak dengan rahmat, lemah-lembut

Tarbiah kanak-kanak dengan rahmat, lemah-lembut

Oleh Mohd Roslan Abdul Ghani

SIFAT rahmat adalah perasaan belas kasihan terhadap sesama makhluk. Rahmat bukan kepada manusia saja bahkan perlu dilaksanakan kepada haiwan dan alam. Sebelum Allah memerintahkan manusia supaya bersifat rahmat, Allah terlebih dulu bersifat rahmat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dia menetapkan atas dirinya memberi rahmat.” (Surah Al-An’am, ayat 12)

Allah menegaskan, untuk mendapat rahmat Allah, seseorang itu hendaklah bertakwa seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)



Selepas Allah sendiri bersifat rahmat, Nabi Muhammad SAW menegaskan orang yang tidak merahmati kanak-kanak, bukan daripada golongan kami dan orang yang paling meraikan kanak-kanak ialah Nabi Muhammad SAW.

Daripada Anas Ibnu Malik pernah berkata, aku tidak pernah melihat orang yang paling merahmati kanak-kanak melebihi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW juga merahmati kanak-kanak dan memerhati keadaan mereka walaupun ketika Nabi sedang menunaikan sembahyang.

Daripada Syaddad Ibnu Al Had, Nabi Muhammad keluar untuk berjumpa dengan kami kerana hendak menunaikan solat Maghrib atau Isyak, Nabi Muhammad ketika itu mendukung cucunda baginda sama ada Hassan atau Husain, Nabi pun ke depan kerana hendak mengimamkan kami, maka Baginda meletakkan cucunda di depan kemudian Baginda bertakbir untuk memulakan sembahyang. Dalam sembahyang, ketika salah satu sujud Rasulullah memanjangkan sujud. Tatkala selesai sembahyang, ada sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau memanjangkan sujud engkau sehingga kami menyangka sudah berlaku sesuatu perkara ke atas engkau, atau kami sangka wahyu turun, maka berkatalah Nabi Muhammad SAW: Semuanya itu tidak berlaku, akan tetapi sebenarnya cucunda aku bermain di atas belakangku ketika aku sujud, maka aku tidak sampai hati untuk bangun dari sujudku melainkan selepas dia selesai.

Pada kejadian lain, Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah, kemudian Nabi turun kerana rahmatnya Baginda kepada kanak-kanak. Daripada Buraidah Ibnu Al Husaib, suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah kepada sahabat Nabi, tiba-tiba cucunda Baginda bernama Hassan dan Husain datang berlari-lari anak, sedang memakai baju panjang warna merah, jatuh bangun jatuh bangun, maka Nabi pun berhentikan khutbah lalu turun dari mimbar mendukung kedua-duanya lalu dinaikkan mereka berdua atas mimbar, kemudian Baginda bersabda benarlah firman Allah yang bermaksud, sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jugalah pahala yang besar. Aku melihat dua orang cucunda aku ini dan aku tidak sabar kalau tidak mendukungnya. Kemudian Baginda menyambung semula khutbah.

Sifat Baginda ini tidak khusus kepada ahli keluarga saja, bahkan boleh dikatakan kepada semua kanak-kanak di Madinah. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang menjadi imam dan aku ingin sekali memanjangkan sembahyang, tiba-tiba dalam sembahyang aku mendengar kanak-kanak menangis, lalu aku pun memendekkan sembahyang kerana aku takut ibunya merasa susah.”

Nabi Muhammad SAW juga sentiasa bergurau dengan kanak-kanak. Daripada Jabir Ibnu Samurah: “Suatu hari aku bersembahyang bersama Rasulullah, selepas selesai Baginda keluar melawat ahli keluarga Baginda, aku pun ikut sama. Tiba-tiba datang sekumpulan kanak-kanak mengerumuni baginda, lalu Nabi Muhammad SAW menggosok pipi kanak-kanak itu seorang demi seorang, adapun aku, maka Nabi juga menyapu pipi aku, maka aku dapati tangan Nabi sejuk lembut dan ada bau wangi semacam baru keluar dari botol minyak wangi.”

Jika seseorang tidak mencium kanak-kanak atau tidak merahmati mereka, Nabi menganggap sebagai tanda keras hati yang mesti diperbaiki. Daripada Aisyah, “Datang seorang Arab Badwi berjumpa Nabi Muhammad SAW, maka lelaki itu bertanya kepada Nabi Muhammad, adakah engkau mencium kanak-kanak? Maka Nabi Muhammad menjawab: Adakah aku mampu menyekat dan menghalang daripada ketentuan Allah yang akan mencabut rahmat daripada hatimu? Nabi Muhammad SAW bersabda lagi: Tidak akan dicabut rahmat melainkan daripada orang yang ada tanda kecelakaan.”

Khalifah Umar Ibnu Al Khattab ada mengkhabarkan, sesiapa yang tidak merahmati kanak-kanak, tidak layak memegang jawatan mengurus hal ehwal masyarakat dan masalah, kerana mereka yang tidak merahmati kanak-kanak akan memutuskan hukuman berdasarkan keras hati dan kepala batu mereka.

Daripada Abu Uthman An Nahdi ada berkata: “Umar ada memberi jawatan kepada seorang lelaki dari Bani Asad mengurus hal ehwal masyarakat, maka lelaki itu pun datang berjumpa Umar hendak mengambil surat pelantikannya, tiba-tiba datanglah beberapa orang anak Umar lalu Umar pun mencium pipi mereka, lelaki itu bertanya kepada Umar, adakah engkau mencium anak-anak kamu? Maka Umar menjawab: Ya, saya menciumnya, kenapa? Umar menyambung lagi, maka engkau kalau begitu sangat kurang merahmati orang ramai, kanak-kanak pun engkau tidak merahmatinya, kembalikan semula surat pelantikan kamu itu, aku tidak akan memberikan kamu apa-apa jawatan pun selepas ini selama-lamanya.”

Perasaan rahmat dan lemah lembut dalam memberikan tarbiah kepada anak amat diperlukan. Cara mentarbiah anak dengan cara ini lebih selamat, lebih teguh pendirian, lebih berjaya dan lebih memberikan kesan kepada anak kecil daripada mentarbiah dengan cara kasar dan keras.

Hati mereka sudah difitrahkan untuk merasa mesra dan manja sementara cara keras dan kasar adalah cara orang lain yang dijajah masuk ke dalam agama kita. Tarbiah dan pendidikan cara kasar adalah cara asing yang tidak dipersetujui oleh Allah, Nabi Muhammad dan agama Islam yang suci.