Tuesday, November 13, 2007

Takwa asas toleransi Islam


Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah.

Sebagai negara yang diiktiraf model negara Islam, Malaysia perlu sentiasa menunjukkan contoh terbaik bukan sahaja dalam aspek pembangunan negara dan insan tetapi merangkumi hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum.

Malah, sikap toleransi yang diamalkan selama ini dikatakan adalah antara faktor kejayaan negara memahat nama di mata dunia dalam tempoh 50 tahun merdeka.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa memelihara perpaduan kaum dengan mengamalkan sikap toleransi.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET menemu bual Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah asas pergaulan sesama makhluk dalam Islam?

DR. MUHAMAD FUAD: Pergaulan sesama manusia dalam Islam adalah berasaskan al-ta’awanun alal-birri wattaqwa iaitu bekerjasama di atas dasar kebaikan dan takwa.

Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyadhus Salihin. Beliau membicarakannya dalam bab khas bertajuk ‘Bab kelebihan bergaul dengan manusia serta menghadiri perjumpaan dan perkumpulan mereka yang baik, majlis zikir bersama mereka, menziarahi mereka yang sakit dan yang meninggal, membantu yang memerlukan, membimbing mereka yang jahil dan selainnya yang mempunyai kebajikan, bagi yang mampu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah mungkar serta menahan diri daripada menyakiti dan bersabar apabila disakiti.

Imam Nawawi menegaskan, itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w serta para anbiya di samping khulafah ar-rasyidin, para sahabat dan ulama selepas mereka termasuk Imam Syafie dan Ahmad.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa...(al-Maidah: 2)

Seorang Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya sebagai khalifah serta hamba Allah, memang perlu bergaul dan bekerjasama sesama manusia.

Kehidupan bermasyarakat tidak dapat diwujudkan tanpa pergaulan dan jalinan serta kerjasama di kalangan anggotanya.

Dalam mentaati Allah sebagai seorang hamba, seseorang itu perlu bergaul sesama manusia termasuk jirannya untuk menunaikan hak-hak sesama insan. Menunaikan hak tersebut adalah pelaksanaan praktikal asas konsep taawun tadi.

Bila disebut toleransi, apakah hadnya?

DR. MUHAMAD FUAD: Toleransi sesama manusia khususnya terhadap kaum dan agama lain adalah sesuatu yang wujud dalam Islam. Allah mencipta manusia daripada pelbagai bangsa dan puak, pada masa yang sama tidak memaksa semua manusia memeluk Islam. Maka toleransi adalah satu hakikat dalam Islam.

Perbezaan agama dan bangsa memberi peluang untuk berkenalan sebagai mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13.

Mempertahankan

Had toleransi adalah seperti yang digariskan oleh asas pergaulan sesama manusia iaitu kerjasama dalam kebaikan dan takwa. Jika keluar daripada garis panduan ini maka tamatlah toleransi dalam pergaulan dan seseorang Muslim hendaklah menghentikan pergaulan berkenaan.

Ketika itu bermulalah kedudukan sebagaimana firman Allah, Untukmu agamamu dan untukku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Mereka bebas melakukan mengikut cara dan kepercayaan mereka tanpa mengganggu dan mengkhianati orang Islam. Jika terhadap pengkhianatan dan permusuhan, maka hendaklah kaum Muslimin mempertahankan cara hidup dan takwa mereka.

Sebagai orang bukan Melayu, apakah isu yang selalu atau boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Hal ini BOLEH berlaku apabila berlaku interaksi antara kedua-dua belah pihak dan ada pihak yang menjadi antagonis. Ia juga berlaku kerana adanya prejudis orang Islam kepada bukan Islam dan sebaliknya.

Prejudis ini adalah pendirian yang diambil sebelum mengetahui hakikat sebenarnya. Contoh, melabel orang Islam sebagai ganas. Demikian juga prejudis mengatakan orang bukan Islam memang menentang Islam.

Antara sebab ia berlaku ialah tidak ada kefahaman dan ketiadaan peluang berinteraksi untuk bertukar-tukar pandangan antara kedua-dua pihak. Jika peluang untuk berinteraksi tidak ada, suasana ke arah mewujudkan kefahaman mungkin tidak dapat diwujudkan.

Di antara isu yang mungkin mencetuskan ketegangan kaum ialah isu yang ada kaitan dengan beberapa hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Tanpa mengambil kira latarbelakang perkara berkenaan, perspektif yang semata-mata berasaskan norma-norma hak asasi dan keadilan sosial boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketegangan.

Contoh, hak bukan Islam menyebar agama mereka kepada orang Islam. Begitu juga soal murtad yang jika tidak ditangani secara berhemah boleh menjejaskan keharmonian kaum. Tidak dinafikan, mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Mereka membakar semangat perkauman dengan mempersoalkan hal seperti hak mewarisi harta dan mengapa anak-anak belum baligh perlu memeluk Islam apabila si bapa memeluk Islam. Mereka mahu kebebasan memilih agama diberi kepada semua tanpa kecuali walaupun seseorang itu dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam.

Adakalanya timbul isu oleh golongan tertentu yang seolah-olah mahu menguji kesabaran orang Islam. Adakah ini disebabkan kurang faham tentang Islam atau memang disengajakan?

DR. MUHAMAD FUAD: Kumpulan yang terlibat selalunya adalah yang memperjuangkan hak asasi manusia atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai agenda tertentu. Tetapi ada juga orang Islam yang berfikiran begitu.

Ada juga orang Islam yang melihat mengapa hanya agama Islam diberi keistimewaan dan dilindungi. Seterusnya mempersoalkan adakah iman orang Islam lemah sehingga mereka terus perlu dilindungi? Pendek kata, mereka memperjuangkan liberalisme dan pluralisme dalam beragama.

Hakikatnya, ia bukanlah soal itu sahaja. Sebaliknya, ia melibatkan Perlembagaan negara iaitu kontrak sosial yang dipersetujui oleh orang Islam atau Melayu dengan bukan Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Orang Melayu sanggup memberi hak tertentu kepada bukan Melayu dan begitu juga orang bukan Melayu.

Memang pada mulanya, mereka kurang faham tetapi adakalanya ia disengajakan atas tiket mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia.

Bagi orang Islam yang terlibat dalam perkara sebegini mungkin mereka tidak berfikir panjang tentang kesannya yang amat besar kepada Islam. Jika ia dibiarkan berterusan bermakna, Islam kena dikorbankan.

Tetapi umat Islam tidak boleh membenarkan hal ini berlaku kerana kita kelak perlu membayar harga yang terlalu besar jika ini berlaku.

Bukan mudah nak memahamkan golongan bukan Islam terutama dalam bab amalan agama. Adakah petua mengatasi masalah ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Orang Islam perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bukan Islam. Ia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi contoh tauladan terbaik kepada manusia.

Masalahnya, kadang-kadang perbuatan orang Islam sendiri yang menimbulkan salah-faham kepada bukan Islam. Contohnya, keruntuhan akhlak orang Islam, sikap suka mengumpat dan bergaduh sesama sendiri. Apabila ini berlaku di manakah yang dikatakan umat Islam itu bersaudara?

Umat Islam juga prejudis kepada bukan Islam. Kalau 20 tahun lalu, orang Cina Muslim yang makan guna chopstick mungkin dilabel ‘murtad’ kerana masyarakat tidak boleh menerima budaya tersebut. Alhamdulillah, keadaan sudah berubah sekarang.

Kalau orang Islam berpendirian begitu bagaimana pula dengan orang bukan Islam. Sudah tentu, prejudis mereka terhadap kita lebih banyak lagi.

Dengan media Barat yang tidak membantu, sudah tentu prejudis terhadap orang Islam semakin bertambah. Saya berpendapat label Islam sebagai pengganas itu akan kekal untuk satu jangka masa yang panjang. Bagaimanapun sebagai Muslim kita hendaklah terus menghayati Islam dalam kehidupan seharian, berinteraksi dengan akhlak yang mulia mengikut ajaran Islam. Dengan demikian insya-Allah, amalan agama kita yang sebenarnya akan lebih difahami.

Bumi semakin tidak selamat?

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

BUMI tidak selamat lagi untuk kehidupan! Ini bukan momokan sang penyair tetapi sudah banyak terbukti hakikatnya di depan mata. Perubahan iklim dunia dengan suhu melampau dan kemusnahan alam di mana-mana menjadikan kehidupan makhluk bumi semakin terancam.

Kadar kepanasan suhu bumi semakin jauh daripada upaya manusia mengawalnya meskipun 70 peratus dari permukaan bumi dilitupi air dan bermacam teknologi moden direka cipta.

Malah kebakaran berlaku di mana-mana pada bila-bila masa. Kejadian banjir, ribut taufan dan ribut salji melanda tanpa mengikut ‘jadual manusia’ lagi.

Pakar peramal iklim dunia pula semakin tidak berupaya untuk mengesan dan berteori terhadap gelagat fenomena alam mutakhir ini, terutama di kawasan yang mengalami perubahan cuaca ekstrem.

Apa lagi untuk mengawal dan mengesan isi khazanah yang sarat terpendam dalam perut bumi daripada memuntahkan lahar dan memusnahkan persekitaran silih berganti di sana sini tanpa belas kasihan.

Adakah ini petanda hayat bumi sudah di penghujung dan Kiamat sudah dekat? Yang jelas elemen keseimbangan ekologi bumi ciptaan Allah s.w.t. untuk melancarkan kelangsungan hidup manusia dan makhluk hidupan lain sudah hilang.

Puncanya adalah angkara kerakusan dan ‘kedajalan’ manusia sendiri sebagai antara makhluk hidupan di muka bumi ini.

Allah s.w.t. menjelaskan ini melalui marfum-Nya; Ingatlah ketika Allah berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (wakil) di muka bumi.’ Mereka (para Malaikat) berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi manusia yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: `Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah 30).

Setiap kejadian alam maya ini dikhususkan untuk memanfaat manusia dan seluruh isi alam. Tetapi manusia yang ditugas untuk memakmurkan bumi sendiri yang menyebabkan kemusnahannya.

Allah s.w.t. telah menjelaskan melalui firman-Nya; Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untuk apa yang di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmati Nya lahir dan batin. Di antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang terang. (Luqman: 20).

Hakikatnya, tiada kejadian dan makhluk yang kekal. Manusia yang sememangnya lemah, haloba dan mudah tunduk pada hawa nafsu, tidak akan dapat melaksanakan amanah Allah bagi memakmurkan bumi.

Sayyid Quthb melalui tafsir Fi Zhilalil Quran berkata; “Mengenai kekuatan alam, sikap manusia yang Muslim ialah berusaha mengenalinya dan bersahabat dengannya (alam), bukan takut dan memusuhi. Sebab kekuatan manusia dan kekuatan alam bersumber dari iradah dan kehendak Allah s.w.t., sentiasa tunduk patuh pada iradah dan kehendak-Nya serta saling membantu dan memerlukan untuk bersama-sama menuju kepada Allah Penciptanya’.

Ini dijelaskan melalui firman-Nya: Tidakkah engkau lihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia jalankan air itu menjadi mata air dalam bumi, kemudian dengan air itu Dia tumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam warnanya, kemudian tumbuhan itu menjadi kering sehingga engkau lihat kuning warnanya kemudian Allah menjadikannya pecah-pecah. Sesungguhnya tentang demikian itu menjadi peringatan bagi orang-orang yang berakal. (az-Zumar: 21)

Jika apa yang tersurat dan tersirat pada Kalam Allah dikaji dan difahami, tidak timbul persoalan adakah planet lain sedia menerima makhluk terutama manusia, bagi kesinambungan hayat penghuni alam jagat setelah bumi tidak selamat lagi.

Namun, kerana manusia diberi kelebihan daripada lain-lain makhluk melalui akal fikiran dan nafsu, menjadi tanggungjawab manusialah membetulkan kesilapan untuk kembali kepada tugas hakiki sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

Jadi bukanlah sesuatu yang aneh apabila Pengarah Strategi Antarabangsa dan Pengurangan Risiko Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Salvano Briceno melalui penyelidikannya, mengatakan manusia punca utama kemusnahan bumi dan akibatnya memberi kesan kepada manusia itu sendiri.

Menurut Briceno, kira-kira 105 juta penduduk bumi terdedah kepada sekurang-kurangnya tiga bahaya akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia sendiri.

Kata beliau, kajian juga mendapati perubahan iklim dan kemusnahan bumi tidak berlaku secara semula jadi melainkan berpunca dari aktiviti manusia.

“Inilah harga yang perlu dibayar oleh manusia akibat perbuatan mereka yang menyebabkan perubahan iklim dan kemusnahan bumi,” tegasnya.

Briceno berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semula jadi dan Pengurangan Risiko pada Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Persidangan dua hari pada 29 dan 30 Oktober anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tinggi British itu menghimpun lebih 30 profesional dalam penyelidikan dan kajian iklim dunia.

Mereka mewakili pelbagai agensi penyelidikan antarabangsa dan rantau Asean berbincang dan berkongsi maklumat serta hasil kajian bagi menangani kesan perubahan iklim dunia.

Pengarah Perubahan Iklim Antarabangsa, Analisis dan Udara United Kingdom, Henry Derwent pula berkata, pengunaan sasaran pengurangan pengeluaran karbon (CERT) adalah salah satu langkah mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang melepaskan karbon dioksida di atmosfera.

“Konsep ini (CERT) dapat meningkatkan penggunaan sumber tenaga tanpa karbon daripada solar dan elektrik,” katanya dalam kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semulajadi dan Pengurangan Risiko.

Isu perubahan iklim bumi kini turut menjadi agenda penting pemimpin dunia kerana ia memberi impak bukan sahaja pada kesihatan dan keselamatan manusia tetapi pada ekonomi dan seluruh ekosistem global.

Namun keberkesanan Protokol Kyoto yang digubal 1997 untuk dikuatkuasa sejak Februari 2005, melalui mekanisme insentif kewangan dan teknologi mesra alam masih jadi tanda tanya, terutama bagi negara miskin dan kurang membangun.

Perlaksanaan Protokol Kyoto ini akan berakhir pada 2012, tetapi sumber kewangan dan teknologi mesra alam yang dicanangkan negara maju lagi kaya tidak pernah mengalir ke negara miskin dan kurang membangun.

Semua sumber dan teknologi menangani pengawalan pelepasan gas kloro floro karbon (CFC) dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pensijilan Certified Emission Reduction (CER) bagi mewujudkan Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) sebaliknya terus dimonopoli dan berlegar di kalangan negara-negara kaya yang maju sahaja.

Itulah yang dibangkitkan para peserta Malaysia dan Asean pada persidangan di PWTC lalu apabila masing-masing mahu peruntukan kewangan direalisasikan, manakala teknologi baru dikembangkan melalui kontrak usahasama antara sesebuah kerajaan dengan kos yang minimum.

Persidangan dua hari di PWTC yang dihadiri lebih 200 peserta itu akan disusuli pertemuan lebih penting dalam Forum Protokol Kyoto pada Persidangan Pihak Terbabit (COP) di Bogor, Bali Indonesia awal Disember ini.

Keseriusan dunia dalam menangani perubahan iklim bumi diteruskan dengan perbincangan peringkat menteri-menteri negara seluruh dunia di Poland (2008) dan Denmark (2009) nanti.

Ini kerana menurut Penasihat Ekonomi Pasukan Strategi Ulasan Stern Antarabangsa dari United Kingdom, Su-Lin Garbett, jika perkara itu tidak ditangani secara serius, seluruh dunia mungkin mengalami kemunduran ekonomi yang menyebabkan kehilangan lebih banyak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, semakin besar risiko perubahan iklim dunia akan lebih besarlah kadar kesusutan ekonomi negara dan dunia.

“Pelaburan dunia bagi menangani perubahan iklim bagi tempoh 10 hingga 20 tahun ini hanya akan memberi impak bagi tempoh 50 tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Ekonomi Terhadap Perubahan Iklim.

Sebab itu tegas Garbett, perkongsian pandangan dan penguatkuasaan undang-undang perlu digembleng oleh semua peringkat dari seluruh dunia.

Bukan Yang Pertama (Siri 132)

Oleh SALINA IBRAHIM

Dingin di ruang menunggu bagaikan tidak terasa. Kesepian yang membelenggu suasana sudah tidak menggigit. Sebaliknya debar dan gementar dalam dada yang lebih menekan. Darah mengepam bagaikan tidak ketahuan alunannnya.

Yasmin Zulaikha tersandar lesu di kerusi. Umar Khalil di sebelahnya menggenggam erat tangan si isteri. Anis kelihatan terlentok di deretan kerusi keras di hadapan mereka. Seorang dua jururawat sesekali keluar masuk entah menguruskan apa di dalam.

Dingin penyaman udara ditokok dengan dingin pagi masih tidak mampu menyamankan hati yang lara.

“Mak akan okey. Dia akan okey...” Umar Khalil berbisik, merenung wajah Yasmin Zulaikha, mengejapkan pautan tangannya.

Yasmin Zulaikha membalas genggaman tangan itu, terasa diri selamat di bawah naungan suami. Pandangan Umar Khalil beralih pula pada tangan isteri, melihat jari-jemari yang masih dimerahi inai. Dia cuba menyelami perasaan yang membelenggu dada isteri.

“Insya-Allah,” Yasmin Zulaikha membalas.

Seorang jururawat melintas di hadapan mereka, mengumbarkan senyuman sebelum bergegas masuk ke bilik rawatan.

Yasmin Zulaikha memicit kepala yang terasa pusing. Ingatannya berpusar balik ke wajah emak yang pucat. Subuh tadi mereka gempar sejenak ketika Anis memaklumkan emak mengadu sakit teramat sangat.

“Anis hendak ke bilik air ambil wuduk. Ternampak emak merangkak keluar dari bilik...” beritahu adiknya itu dalam cemas.

“Mak pening sangat. Nampak gelap semuanya. Mak nak ke bilik air, tapi tak nampak jalan...” Emak sempat mengadu, menceceh dalam suara perlahan tertahan.

Dia dan Anis tolong mewudukkan emak sebelum orang tua itu solat baring di atas katil. Kemudian dia mengadu pening teramat dan mahu tidur sebentar.

“Kita pergi klinik ya mak...” Anis memujuk tetapi orang tua itu menggeleng menandakan keengganan.

Umar Khalil yang kerisauan sedikit memaksa dan akhirnya emak mengalah. Namun doktor di pusat rawatan menyarankan supaya mereka ke hospital saja.

“Saya tengok emak encik ni seperti penat sangat. Lebih elok ke hospital. Kami di klinik biasa ni tak banyak kemudahan...” kata doktor kepada Umar Khalil.

Menyirap

Umar Khalil mengisar tubuh. Yasmin Zulaikha tersentak, bercempera ingatan lalu. Dia membetulkan duduk, menegakkan badan. Mengalih pandangan, tertampan pada Anis yang masih lena-lena ayam.

Umar Khalil menerpa bangun sejurus melihat pintu bilik rawatan terbuka. Seorang doktor lelaki keluar bersama seorang jururawat. Yasmin Zulaikha juga sedikit tergesa tergopoh-gapah menurut.

“Emak encik perlu ditahan di wad. Senang kami memantau keadaan...” doktor separuh umur itu bersuara.

“Buatlah apa yang terbaik doktor,” Yasmin Zulaikha menyampuk.

Umar Khalil mengangguk tanda bersetuju.

“Er, satu lagi... eloklah panggil adik beradik lain datang. Saya tidak bermaksud apa-apa, tapi jika apa-apa berlaku, tidaklah terkilan sangat....” doktor itu sekali lagi berhati-hati mengatur bicara.

Yasmin Zulaikha terasa darah menyirap naik ke wajah. Tetapi dia cuba bertenang. Umar Khalil mengangguk, berjanji akan berbuat sesuatu.

Emak kelihatan sebegitu lesu tidak bermaya ketika diusung dan ditempatkan di wad. Namun dia sudah boleh membuka mata dan cuba tersenyum melihat anak menantu mengelilinginya.

Yasmin Zulaikha memegang tangan emak. Mahu mendengar sesuatu dari mulut emak tersayang.

“Mak rasa mak tak lama lagi...”

“Jangan cakap begitu. Mak hanya penat sangat...” si anak cuba menenangkan.

“Minta maaf sebab menyusahkan Min dengan Umar. Patutnya kamu berdua gembira pergi bercuti tapi sekarang kena jaga mak pula...” orang tua itu masih mahu bersuara dalam letih sedunya.

“Kita biar mak berehat. Nanti kita datang balik...” Umar Khalil memegang bahu isterinya.

Menjelang petang, emak dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana sesak nafas pula. Ketika dijengah ke sana, dia sekadar membuka mata sedikit. Sekadar itu isyarat yang mampu diberikan ketika melihat satu demi satu wajah anak menantu dan cucu-cucu yang bergilir-gilir masuk menemuinya.

Yasmin Zulaikha berwajah muram di sudut. Dalam hati paling dalam, memanjatkan harapan yang bukan sedikit. Dia cuba menanam benih optimis dalam diri. Berkali-kali dia berbisik bahawa emak akan selamat walau dalam situasi apa pun dirinya sekarang.

“Zu baliklah dulu, berehat,” Umar Khalil menyarankan ketika melihat dia tersepuk lemah di kerusi keras di luar unit rawatan rapi.

“Zu okey lagi...” dia membalas.

“Zu nak makan, nak minum apa-apa? Abang boleh pergi beli...” Sekali lagi suami menawarkan khidmat.

“Tak mengapa, Zu pergi sendiri. Abang nak kirim apa-apa?”

Umar Khalil menggeleng. Yasmin Zulaikha beredar keluar ke kafeteria, sementara suaminya masuk semula menjenguk emak di dalam kamar.

Menatap

Sepanjang laluan ke kafeteria terasa sunyi sepi. Senja semakin menyerkup alam. Sudah lebih 10 jam dia berada di hospital ini sejak awal pagi tadi. Selepas emak dimasukkan ke wad pagi tadi, mereka pulang sebentar ke rumah untuk berehat. Tetapi nyata hati tidak tenteram untuk berehat. Umar Khalil bergegas keluar semula dan dia mengambil keputusan mengikut.

Anis datang lewat sedikit bersama Abang Yassin, kakak ipar dan anak-anak saudaranya. Kemudian beberapa orang jiran tetangga akrab termasuk Tok Ketua Alang Karim suami isteri tiba. Mereka hanya sekadar dapat menatap wajah emak tetapi tidak boleh berbual apa-apa dengannya.

Melangkah masuk ke ruang kafeteria yang hanya ada dua tiga orang penghuni, membeli secawan kopi dan sebiji roti ban, dia duduk menyendiri di sudut. Merenung kopi hitam di dalam cawan yang mengeluarkan asap nipis, jelas dia sudah kehilangan selera.

Terasa berat dugaan yang melanda. Tetapi selalu dia bisik-bisikkan dalam diri, ini bukan kali pertama diuji. Sudah berkali-kali dia diuji. Makanya dia harus tabah dan kuat.

“Seorang?” Seorang wanita ramah menegur. Tersentak tetapi segera dia mempersilakan wanita itu duduk.

Hukum alam

“Nama kakak Fatiha. Rasa janggal makan seorang. Kawan berdua, boleh juga berbual-bual. Adik tunggu orang? Kalau tak silap, tadi kakak nampak adik di luar unit rawatan rapi....”

“Tunggu mak saya...” lesu dia membalas. Suara terasa serak sebak tidak semena-mena. Terasa wajah tegang dan gagal lagi menarik senyuman.

Wanita di hadapannya tersenyum juga. Walaupun tawar tetapi jelas terasa ikhlas.

“Sabarlah. Kadangkala kita perlu persiapkan diri untuk hadapi kehilangan. Ini hukum alam. Jangan rasa terlalu terikat, kalau tidak, kita akan terseksa sendiri. Belajar untuk melepaskan kerana lambat atau cepat, kita akan kehilangan juga...” lembut teratur suara wanita itu menuturkan.

Yasmin Zulaikha membetulkan duduk. Dia mengangkat cawan, menghirup sedikit, membiarkan kafein mempengaruhi deria rasanya.

“Kakak pernah kehilangan?” dia menyoal ketika cawan kembali mengambil tempat di dalam piring.

“Hospital ini sudah macam rumah kedua kakak sejak tiga empat tahun kebelakangan ini. Tiga anak kakak seorang demi seorang masuk ke sini. Kata doktor, kerana sakit keturunan. Sudah dua anak kakak meninggal dunia, sekarang anak ketiga menunjukkan tanda penyakit yang sama...”

Yasmin Zulaikha termenung panjang.

(Bersambung)

Perspektif IKIM: Berakhlak agih laba harmonikan niaga

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


REZEKI HALAL: Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Kemuliaan pemimpin firma utama tanggungjawab sosial bina taraf hidup rakyat

PERNIAGAAN adalah amalan ekonomi yang penting dalam menyusun serta membangun sesebuah masyarakat dan negara. Bahkan, keutuhan sesebuah tamadun masyarakat berkait rapat dengan amalan perniagaan dalam masyarakat terbabit.

Nabi SAW mengingat umat Islam mengenai pentingnya amalan perniagaan. Baginda SAW ada bersabda bahawa 90 peratus punca rezeki di dunia adalah daripada amalan perniagaan.

Memahami peringatan Nabi SAW itu, umat Islam perlu memberi tumpuan penting kepada sektor perniagaan. Dalam hubungan itu, Malaysia berhasrat mewujudkan masyarakat peniaga dan perindustrian Bumiputera yang cemerlang dan berjaya.


Dalam usaha ke arah pencapaian itu, kita perlu membangun satu pendekatan dalam amalan perniagaan yang berdaya maju secara berterusan, menghala kepada keharmonian kehidupan masyarakat keseluruhannya semoga tamadun yang dibina akhirnya menepati keredaan Ilahi.

Memantapkan budaya perniagaan semoga usaha gigih golongan berkenaan terus cemerlang dalam suasana globalisasi ekonomi masa kini, pendekatan perniagaan yang unggul perlu diketengahkan iaitu keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial.

Pendekatan ini jika dihayati dengan tepat pasti akan membawa hasil positif bukan saja kepada prestasi perniagaan, sekali gus dapat membangun keadilan sosioekonomi dan tamadun masyarakat.


Pendekatan itu menganjurkan kepada keharmonian antara kepentingan atau hak peniaga menerusi amalan kebajikan masyarakat. Pendekatan itu turut menjadi asas kepada penyusunan dan pembinaan sesebuah tamadun masyarakat manusia.

Dalam teori perniagaan semasa, pendekatan pemegang saham adalah memberi tumpuan kepada kebajikan hasil daripada perniagaan dinikmati semua yang terbabit seperti pemilik modal, pekerja, pemerintah, pelanggan, alam persekitaran dan sebagainya dalam membangun sektor perniagaan.

Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan negara, jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan peniaga dalam usaha kegiatan dalam apa bentuk perlu mendapat ganjaran atau pulangan yang adil kepada peniaga terbabit.

Keuntungan yang berpatutan daripada usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum tabii serta adil. Prinsip ini menghormati individu peniaga, sekali gus menjaga kepentingan keutuhan hidup bermasyarakat.

Keuntungan dalam perniagaan adalah hasil usaha gigih serta berkesan seseorang peniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Ada kala peniaga terpaksa menghadapi kerugian.

Untung dan rugi adalah hukum lumrah. Justeru, memperoleh keuntungan bukan sesuatu yang perlu dipandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan berpatutan diperoleh, ia menggambarkan satu kejayaan mulia dan boleh dibanggakan. Ia kerana pendekatan itu mampu membawa kepada perolehan keuntungan berpanjangan.

Mengakui hukum pulangan sebagai sesuatu yang lumrah akan membina semangat setiap peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka. Dalam pengiraan awal mereka, kerugian perlu sentiasa cuba dijauhi.

Keuntungan akan diperoleh apabila jumlah hasil mengatasi kos. Jika sesuatu perniagaan diurus dan dilaksana secara positif, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan barangan terbabit. Dalam dunia tidak berbatas ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan sengit daripada pengusaha dan peniaga dalam serta luar negara.

Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan, luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan peniaga menguasai saham pasaran barangan itu. Mengikut hukum perniagaan, mutu kegunaan dan harga adalah dua faktor utama menentukan permintaan kepada barangan.

Untuk mencapai kejayaan secara berterusan bagi jangka panjang, strategi penguasaan pasaran untuk sesuatu barangan perlu menjadi strategi organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat memerlukan syarikat terbabit dengan usaha kajian dan penyelidikan berterusan.

Matlamat itu tidak mungkin diperoleh menerusi jalan mudah bahkan, ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan peniaga setiap masa. Usaha positif memerlukan akhlak kepimpinan syarikat yang jitu supaya kejayaan berterusan demi kepentingan bersama peniaga serta kebajikan pengguna.

Menerusi barangan perniagaan bermutu serta harga berpatutan, jumlah besar jualan akan diperoleh dan dapat dipasarkan bukan saja dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa. Kejayaan itu dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat.

Harga berpatutan juga dapat meluaskan faedah kegunaan barangan kepada golongan pengguna berpendapatan rendah. Kebajikan daripada kepenggunaan barangan makin meluas.

Daripada aspek kos kepada syarikat, beberapa bentuk kos perlu ditangani supaya jumlahnya dapat dikurangkan. Kos membabitkan modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran.

Menerusi perancangan dan kepakaran tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk mengurangkan pembaziran, nescaya usaha itu akan menghasilkan penurunan kos termasuk kos sosial seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran.

Kos sosial itu adalah faktor negatif yang turut menjejaskan kemajuan prestasi syarikat dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran sihat, prestasi syarikat akan menurun. Suasana negatif itu jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.

Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos sosial perlu diambil kira dalam pengurusan kos syarikat. Ia menepati semangat pendekatan keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial. Kejayaan mengurangkan kos mengikut perspektif di atas adalah suatu kejayaan memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan. Ia juga menggambarkan usaha mengurangkan kos meliputi amalan akhlak pekerja serta alam persekitarannya.

Berdasarkan logik analisis, jelas keuntungan menerusi pendekatan berakhlak adalah suatu pendekatan berdaya maju yang menjelaskan sifat tanggungjawab tinggi dihayati syarikat dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan itu rata-rata menjadi budaya syarikat swasta yang berjaya beroperasi pada peringkat sejagat.

Prinsip keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial jika dihayati akan menghasilkan budaya perniagaan sihat, mampu memperoleh kejayaan syarikat, sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.

Dengan pengenalan pendekatan perniagaan ini, semangat juang dan amalan tanggungjawab sosial dapat dicetuskan. Membina budaya positif bukan perkara mudah dan dapat dihasil dalam masa singkat terutama dalam budaya di mana kepentingan individu menjadi teras utama.

Memupuk kesedaran kepada golongan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosioekonomi masyarakat jika berhasil adalah satu kejayaan besar.

Pendekatan Islam bercorak syumul yang menyarankan pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial hendaklah difahami dan dihayati. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu garis panduan pendekatan dari awal hingga penghujung kegiatan perniagaan sesebuah syarikat.

Pendekatan ini bukan sekadar untuk mencapai peningkatan keuntungan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi negara saja, bahkan ia hendaklah diyakini sebagai usaha memantap nilai kemanusiaan dalam membina sebuah tamadun yang mulia.

Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan sangat dituntut Islam. Tanpa usaha gigih dan berkesan ke arah pencapaian kecekapan mengendalikan urusan perniagaan, peniaga Muslim mustahil akan dapat berperanan di arus perdana ekonomi negara dan antarabangsa.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Mustahil Islam melumpuhkan kehidupan

Oleh Masmawi Abdullah

MENILAI tahap pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi, sosial, pelajaran apatah lagi bidang sains dan teknologi, masih boleh dianggap lemah. Apakah kelemahan orang Melayu disebabkan oleh agama Islam?

Apakah Rukun Islam yang lima adalah suatu beban yang mengekang dan menghalang kegiatan untuk mengejar kemajuan. Apakah disebabkan adanya hukum haram halal dan pelbagai undang-undang dalam Islam menyekat dan membelenggu kebebasan hidup orang Melayu?

Pendapat seperti ini sekarang sedang meresap perlahan-lahan meracuni pemikiran orang Melayu terutama di kalangan generasi baru. Jelaslah tercetusnya kegelisahan terhadap keteguhan agama Islam itu hanya ekoran daripada penyelewengan pandangan oleh generasi terdahulu.

Kebanyakan orang dulu berpegang teguh bahawa Islam adalah untuk akhirat semata-mata.

Tanggapan seperti inilah yang masih menyeleweng pemikiran dan mengongkong pertumbuhan pemikiran generasi baru yang dibimbing untuk membangun.

Tanggapan itu juga yang akhirnya mencetuskan kekusutan pada pemikiran generasi baru terhadap bagaimana hendak membuat penyesuaian antara dunia dan akhirat kerana apa yang ada dalam tanggapan mereka, tidak mungkin keduanya dapat disatukan. Sebab itulah mengapa mereka berpendapat agama untuk bekalan mati.

Oleh yang demikian, bagaimanakah mereka akan mengetahui bahawa Islam tidak sekali-kali menyekat manusia untuk memburu kemajuan dan al-Quran mempunyai falsafah yang dapat membimbing hidup manusia.

Cabaran generasi hari ini ialah mencungkil serta mendalami isi kandungan al-Quran untuk mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan termasuk sains, ekonomi, politik, undang-undang, sosial, kesihatan dan psikologi.

Dengan itu mereka akan tahu bagaimana hendak menyelaraskan kehidupan di dunia dan pada masa sama bersedia menghadapi kehidupan akhirat. Sekali gus ia dapat menyangkal pendapat bahawa agama hanya untuk beribadat saja.

Islam adalah cara hidup dan sewajarnya umat Islam mempraktikkan ajaran agama dalam kehidupan seharian supaya kejayaan yang dicapai di dunia adalah kejayaan sebenar yang akan membantu mereka di akhirat nanti.

Pendapat mengatakan Islam melumpuh dan melemahkan kehidupan orang Melayu adalah tidak benar. Sebaliknya gejala dan punca besar kemunduran itu berlaku kerana sikap orang Melayu sendiri yang jahil dan menyeleweng daripada kehendak Islam sebenar.

Islam mahukan umatnya berjuang menentang rintangan untuk mencapai kejayaan tetapi tidak dinafikan ada orang Melayu yang tidak sanggup menempuh cabaran menyebabkan mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok berjaya.

Islam juga ‘mewajibkan’ setiap umatnya belajar pelbagai ilmu pengetahuan, malangnya anak Melayu tidak mengutamakan pelajaran serta memandang ringan terhadap persekolahan menyebabkan mereka terbabit dengan perkara tidak mendatangkan manfaat.

Nyatalah bahawa Islam tidak sekali-kali menjadikan kehidupan orang Melayu lemah dan mundur. Jika orang Islam pada zaman khalifah agung boleh mencapai kemajuan, tidak mustahil bagi masyarkat Islam hari ini dengan pelbagai kemudahan serta teknologi yang ada.

Sewajarnya, kelebihan orang Islam dengan al-Quran sebagai panduan hidup yang lengkap mencapai kejayaan serta berani berhadapan cabaran kerana Islam yang syumul sudah menyediakan cara bagaimana untuk menghadapi pelbagai dugaan.

Agama tidak pernah menjadi penghalang sebaliknya Islam menyediakan panduan lengkap untuk umatnya membina keyakinan diri serta berdaya saing dengan bangsa lain untuk mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Ufuk Minda: Bangsa teras kuat pengimbang kemakmuran

Bersama Prof Dr Sidek Baba

SEJARAH pembentukan bangsa Malaysia tidak dapat menafikan kepentingan bangsa Melayu sebagai bangsa teras.

Pembinaan perlembagaan negara tidak saja mengambil kira faktor universal dan setempat, malah memberi peruntukan bagi mengukuhkan bangsa teras supaya menjadi pancang dalam kekuatan bangsa Malaysia.

Konsep bangsa teras tidak harus dilihat dalam perspektif perkauman atau bangsa lain sebagai bangsa kelas kedua atau ketiga.

Corak budaya dan kehidupan yang mengakar sekian lama di bumi Malaysia ini adalah pancaran nilai dan amalan yang memupuk jiwa harmoni serta damai di kalangan warganya.

Bangsa teras adalah penting bagi Malaysia kerana ia menjadi faktor kestabilan dalam konteks bangsa yang berbilang. Ia tidak harus menafikan pembabitan bangsa lain dalam proses bina negara dan merasai kemakmuran secara bersama.

Bangsa teras adalah bangsa yang dirujuk sebagai bangsa pengimbang yang memberi ruang kepada setiap warga negara bergerak maju dan menyumbang terhadap pembangunan negara.

Sejarah subur tradisi Baba dan Nyonya di Melaka memperlihatkan bagaimana kelompok daripada tamadun besar mampu melakukan penyesuaian dengan masyarakat setempat teras tanpa perlu mereka memeluk agama Islam.

Asas ini amat menarik untuk dikaji walaupun gelombang kedua kedatangan orang luar ke Malaysia suatu ketika dulu membawa orientasi yang berbeza daripada tradisi Baba dan Nyonya.

Sejarah membuktikan pendekatan asimilasi dalam beberapa hal berjaya mewujudkan integrasi yang hebat.

Kekuatan masyarakat teras yang dimulakan Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melaka memberikan landasan kekuatan bangsa Melayu sebagai perancang, ahli strategi, pentadbir, ahli perniagaan dan maritim yang berjaya mengundang lebih 84 negara berdagang (Kitab Sejarah Melayu).

Sejarah Tun Perak dan kemajuan Melaka adalah lambang pembebasan tahyul dan fahaman feudal yang menebal dan membawa bangsa Melayu ke cabaran hidup sebenar.

Melaka pada zaman Tun Perak amat dibanggakan kerana bangsa Melayu mampu menjadi teras dan pelabuhan Melaka menjadi pusat pelabuhan masuk yang terkenal.

Ternyata Melaka selepas zamannya terjebak dalam kemelut kepemimpinan yang 'lupa' dikelilingi oleh penasihat yang 'berkepentingan' dan akhirnya Melaka dijajah untuk ratusan tahun.

Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang adalah satira klasik membayangkan kerakusan nafsu pemimpin pada waktu itu melupakan amanah kepemimpinan dan amanah rakyat.

Sejarah boleh mengulangi jejak. Amat penting bangsa teras mempunyai kekuatan sebagai bangsa pembimbing dan bangsa memimpin dengan kualiti kepimpinan dan pengikut yang mantap dan berwibawa.

Bangsa teras adalah bangsa yang memiliki ilmu, keahlian dan kebijaksanaan. Bangsa ini dicontohi dan dihormati orang lain. Ia bukan dihormati semata-mata kerana status-quo atau kenyataan sejarah menyebabkannya demikian. tetapi keupayaan mengurus negara dan sistem menjadikannya dihormati.

Sejak merdeka kuasa politik masih berada di tangan orang Melayu, kemajuan pendidikan berkembang dengan baik, penguasaan ekonomi masih dalam pertikaian dan upaya kepemimpinan memperlihatkan cabaran baru hasil faktor setempat dan dunia.

Keupayaan bangsa teras yang seharusnya mampu menimbulkan rasa hormat orang lain ialah terletak kepada wibawa yang dimiliki. Antara wibawa yang membentuk jalan berfikir dan bertindak bangsa Melayu ialah kekuatan Islam yang menjadi pedoman hidup dan upaya pengurusannya.

Islam yang seharusnya mendasari jalur berfikir orang Melayu tidak saja sifatnya rohaniah tetapi terbentuk dengan tunjangan ilmu yang sifatnya membina jalan tamadun. Asas fardu ain yang sekian lama dikembangkan kepada anak tidak memadai menghadapi cabaran terkini.

Cabaran terkini tidak saja di sekitar persoalan akhlak dan tingkah laku tetapi menuntut upaya intelektual serta saintifik yang tinggi supaya perubahan atau kemajuan yang dibina berada dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak saja melihat kepentingan ilmu Barat dan Timur sebagai faktor berbanding yang menyumbang tetapi dalam masa sama harus memiliki kemampuan mengolah pembangunan modal insan dengan memperkasa sistem pendidikan yang lengkap.

Pendidikan lengkap bakal menemukan kekuatan ilmu konvensional dan gandingan ilmu Islam yang mampu mendukung tamadun.

Dasar pendidikan negara menghantar pelajar terpilih ke luar negara adalah suatu langkah bijak mendedahkan generasi muda terhadap ilmu baru dan kajian terkini bagi membolehkan pelbagai ilmu pengetahuan diambil yang sifatnya menyumbang ke arah perubahan dan pembangunan negara.

Pada masa sama, perlu ada suatu pendekatan supaya modal insan yang terbaik dikenal pasti dan diperkasa bagi latihan pada tahap tinggi supaya kualiti pencapaiannya dapat menyumbang ke arah mengangkat martabat bangsa teras sebagai bangsa yang mampu mengolah zaman dan membimbing perubahan.

Pendekatan ini harus dijadikan keutamaan supaya negara mempunyai tenaga pakar yang mampu menghasilkan penemuan baru yang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.