Saturday, June 27, 2009

Konflik bawa Deanna kepada Islam

Konflik bawa Deanna kepada Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


AGAMA tidak pernah menjadi satu isu yang besar dalam hidup Deanna Beatty walaupun dibesarkan dalam keluarga Kristian di Colorado, Amerika Syarikat. Iaitu bapanya dibesarkan sebagai penganut Mormon, manakala si ibu memegang aliran Protestan.

Setiap hari Ahad, ibu bapa Deanna akan menghantar dan meninggalkan anak-anak mereka di gereja bagi mengikuti Pengajian Hari Ahad (Sunday School).

"Kami dikehendaki mengikuti kelas agama tetapi mereka sekadar menghantar kemudian pulang semula ke rumah," kata Deanna.

Namun apabila semakin dewasa, perasaan ingin tahu beliau mengenai ketuhanan semakin menebal di hatinya. Persoalan-persoalan seperti benarkah tuhan itu wujud, kalau wujud apa yang Tuhan itu mahukan dari kita sebagai manusia dan pelbagai persoalan lain begitu menghujani kotak pemikirannya.

Merasakan semua jawapan ini ada dalam ajaran Kristian, maka Deanna mula mempelajari kitab Injil dan buku-buku mengenai agama itu dengan lebih mendalam.

"Oleh kerana merasakan saya sudah agak matang dan tahu menilai sesuatu itu maka dengan sendirinya saya mula meragui mengenai Kristian.

"Ini apabila saya menemui pelbagai pelbagai percanggahan terutamanya mengenai Nabi Isa a.s. Adakala Nabi Isa dirujuk sebagai anak Tuhan tetapi ada kala disebut juga sebagai manusia biasa dalam kitab Injil itu," katanya.

Walaupun begitu Deanna masih percaya bahawa Injil tetap benar, tidak ada yang salah mengenai kitab itu.

"Yang tidak kena adalah saya, yang bermasalah adalah saya bukan Kitab itu. Saya yang tidak cukup ilmu untuk memahami apa yang saya baca.

"Sebagai penganutnya, agama itu mengajarkan bahawa Kristian itu sebenarnya agak mistik dan yang lebih penting sesuatu agama itu tidak semestinya mesti masuk akal, logik atau mesti ada penjelasan di sebalik sesuatu itu," katanya.

Deanna sedar tuhan boleh melakukan apa sahaja yang Dia suka kerana Dia tuhan. Maka jika ada perkara yang sukar untuk dipercayai dan diterima akal hanya kerana manusia yang lemah, yang tidak mampu untuk memahami apa kebenaran yang cuba dibawa oleh tuhan.

Oleh itu sebagai pengikut-Nya, kita hanya perlu menerima sahaja tanpa banyak soal.

"Tetapi saya tertarik kepada dua tiga ajaran yang saya temui antaranya umat Kristian sebenarnya dilarang makan daging babi kerana larangan tersebut ada disebut dalam Kristian dan dalam Kitab itu juga tidak menyebut mengenai sebarang sambutan Krismas," katanya.

Apabila Deanna melanjutkan pelajaran ke Universiti Colorado, beliau berkenalan dengan seorang wanita yang sering mengunjungi gereja.

"Buat pertama kali bersama dengannya saya mengunjungi sebuah gereja di situ tetapi dari kunjungan pertama itu sudah membuatkan saya kecewa," katanya.

Sebabnya, pihak gereja telah membahagi para pengunjung kepada kumpulan yang taat dan kumpulan yang dianggap ingkar dengan pihak paderi.

Saat kemudian, Deanna kemudiannya berkenalan dengan seorang lelaki Islam, iaitu orang Islam pertama yang pernah beliau temui selama ini. Ditambah Deanna sendiri tertarik untuk mengenali mereka yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza menyebabkan mereka menjadi rakan baik.

Namun dari perkenalan itu, tentu sahaja membuatkan Deanna mula tertarik mengenali Islam.

"Kenapa umat Islam bersembahyang dengan cara tertentu? Tuhan apa yang disembah dan apa yang mereka pinta kepada tuhan mereka itu, kenapa umat Islam percaya dengan agama mereka sendiri dan pelbagai lagi persoalan yang menerjah masuk.

"Sedangkan dalam Kristian, agama itu tidak mempunyai rukun ibadat yang tertentu. Sebagai penganut agama itu, kita hanya perlu meminta apa sahaja dari Tuhan dan lakukannya atas nama nabi Isa sebagai Anak Tuhan," katanya.

Di samping semua penganut agama itu diminta untuk berterima kasih kepada Nabi Isa yang merelakan dirinya mati disalib semata-mata untuk menebus kesalahan umat manusia yang mewarisi dosa dari Nabi Adam dan Siti Hajar.

"Namun, apa yang saya mahukan hubungan saya dengan tuhan tidak sekadar untuk meminta-minta. Semua ini menyebabkan saya mula membaca terjemahan al-Quran terbitan Pickthall," katanya.

Apabila Deanna membaca kitab itu, beliau terus memberikan reaksi yang berbeza.

Beliau amat terkejut tetapi kagum apabila terdapat banyak persamaan catatan sejarah mengenai Kristian dan Yahudi disebut dalam al-Quran itu.

"Saya tidak pernah menyedari terdapat hubungan yang cukup rapat antara agama Yahudi, Kristian dan Islam. Selama ini, saya fikirkan agama tersebut agama dari timur sebagaimana agama Hindu dan Buddha.

"Tetapi yang paling ketara saya temui tiap kali saya membaca ayat-ayat mengenai Nabi Isa dari al-Quran secara jelas bahawa baginda bukannya seorang tuhan dari tiga tuhan atau Anak Tuhan," katanya.

Lalu Deanna terus menemui Ketua Pengajian Injil di kampusnya dan ahli kumpulan pengajian supaya memberitahunya ayat mana dalam kitab Injil yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan yang datang untuk menebus dosa umat manusia.

"Mereka kemudiannya meminta saya supaya percaya bulat-bulat bahawa Nabi Isa itu sebenarnya tuhan dan tidak perlu bertanyakan lagi soalan seperti itu, tentu sahaja jawapan seperti itu sangat mengecewakan saya," katanya.

Ini membuatkan Deanna terfikir, kalau benar tuhan itu membawakan agama, agama yang dibawa itu mestilah agama yang logik, yang boleh kita fahami.

Beliau tetap bertanyakan Ketua Pengajian Injilnya itu, iaitu seorang yang pernah melakukan melakukan misi-misi memurtadkan umat Islam di Algeria.

"Saya juga bertanyakan apa nasib umat Islam yang tidak menganut Kristian terutama di kemudian hari.

"Ketua itu berkata umat Islam pastinya merupakan penghuni yang akan diseksa di neraka kecuali jika mereka menerima Nabi Isa (sebagai Tuhan) namun lazimnya sukar untuk mereka berbuat demikian kerana mereka mempunyai kepercayaan yang cukup tebal atas nama akidah dan iman yang kukuh terhadap Allah," katanya.

Sukar bagi Deanna menerima jawapan ketuanya itu. Ini kerana baginya beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam itu begitu taat terhadap ajaran serta tunduk dan patuh terhadap Allah, tuhan mereka berbanding umat Kristian.

"Ini membuatkan saya tidak memahami bagaimana mereka yang mematuhi ajaran agama seperti itu hendak dibalas dengan api neraka," katanya.

Deanna juga bertanyakan mengapa al-Quran itu mempunyai banyak persamaan dengan kitab Injil tetapi kitab umat Islam itu ditolak bulat-bulat oleh Kristian.

Menurutnya ketuanya itu, kitab al-Quran itu dibawa oleh syaitan yang bertujuan menyesatkan manusia jadi wajar kitab itu haram di sisi umat Kristian.

"Saya hampir-hampir menangis mendengarkan jawapan itu namun saya terus bertanyakan sama ada dia (ketuanya) itu pernah membaca al-Quran kerana saya hendak bertanya mengenai surah-surah tertentu dari kitab itu," katanya.

Namun Deanna beroleh kejutan daripada jawapan yang diberikan. Ini apabila ketuanya itu memberitahu, beliau hanya selak sahaja kitab al-Quran itu kerana membaca kitab itu membuatkannya sakit perut.

"Tentulah saya terkejut sedangkan dalam tempoh beberapa bulan saya mampu membaca al-Quran itu hingga khatam dan mempelajari mengenai Islam melebihi Ketua Agama saya.

"Saya sedar ketua saya itu tidak membuat satu penilaian yang adil mengenai al-Quran sedangkan dia langsung tidak pernah cuba mengkaji dan membaca kitab itu," jelasnya.

Hal itu menjadi titik tolak kepada Deanna kerana beliau tidak lagi boleh percaya kepada sesiapa dalam pencarian kecuali melakukannya sendiri. Perlahan-lahan beliau mula mengikis kepercayaan bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Perkara ini sebenarnya bukan mudah dilakukan kerana beliau selalu memikirkan kalau silap langkah maka dengan mudah akan dihumban ke dalam api neraka.

"Tetapi kepercayaan saya semakin menebal terhadap Nabi Muhammad bahawa baginda merupakan nabi terakhir dan al-Quran itu sudah semestinya merupakan kata-kata atau kalam dari Allah sendiri," katanya.

Beberapa bulan selepas menemui pemimpin pengajian Kitab Injil itu, Deanna akhirnya memeluk Islam pada 14 Februari 1996.

Tindakan Deanna itu menyebabkan beliau teruk dimarahi oleh ibu bapa dan kaum keluarganya. Namun, beliau tidak mahu menjadikan pengislamannya itu sebagai penghalang hubungan antara seorang anak dengan ibu bapa yang melahir dan membesarkannya.

"Ibu saya sering menangis, malah tangisannya semakin kuat apabila melihat saya mengenakan hijab manakala bapa saya langsung tidak lagi mahu bercakap dengan saya tetapi saya sedar mungkin kerana mereka tidak memahami.

"Saya hanya mampu bersabar kerana suasana emosi begitu kuat berbanding untuk mereka menerima perkara yang logik mengenai agama dan Islam itu sendiri," katanya

No comments: