Tuesday, July 7, 2009

AGAMA : SELASA 07 JULAI 2009


"Inilah radio Sasnupatam"
Assalamualaikum. Inilah radio Sasnupatam FM 99.50 Megahertz yangdipancarkan dari Sekolah Sasnupatam, Bandar di daerah Muang, Pattani.


Hadis perinci perintah Allah
Kelengkapanatau kesyumulan al-Quran sesungguhnya terletak kepada kesempurnaannyadalam mengatur persoalan-persoalan umum atau cabang-cabang kecil dalamkehidupan manusia. Al-Quran adalah sumber utama pembentukan hukum Islamdan sebagai sumber syariat yang pertama.

Azdah al-Khaldah mengatur teknik perang
AZDAH binti al-Harith telah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaransebagai seorang perancang taktik peperangan untuk menakutkan angkatantentera Parsi semasa pembukaan negara Iraq.


Ibu bapa jangan tambah masalah
Kes terbaru mayat bayi terendam dalam tong cat di dalam tandas tingkattiga Wisma Bola Sepak Pahang, awal pagi 29 Jun lalu amat menyentuhperasaan. Ramai juga yang kesal dan marah serta bertanya apalah dosabayi itu hingga sanggup diperlakukan sedemikian oleh ibunya sendiri.







Ambil peluang Rejab lunas hutang puasa Ramadan
APABILAmasuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi.Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikankelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiapMuslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta.

Ulama tulen tak tamak kehidupan dunia, tidak sombong ilmu
POLITIKdengan ulama tidak dapat dipisahkan. Sejarah sosial politik ummahmembuktikan kalangan ulama sentiasa aktif dalam dinamik berbangsa danbernegara.

Ganjaran rezeki berganda jika perkukuh silaturahim
IMAMIbnul Atsir berkata: "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitandengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memilikihubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka,menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauhdan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatuperbuatan yang berlawanan dengannya."

Perspektif Ikim: Kemajuan umat Islam bergantung kepada kewibawaan pemimpin
SEJARAHmembuktikan kemajuan yang dicapai negara umat Islam banyak bergantungkepada kewibawaan dan kemampuan kepemimpinan mengendali dan mentadbirsesebuah negara.

"Inilah radio Sasnupatam"

"Inilah radio Sasnupatam"


Pelajar sekolah Pondok Sasnupatam, Abdullah Hassan (kanan) dan Mohd. Ismail mengendalikan stesen radio yang terdapat di sekolah tersebut di Muang, Pattani, Thailand.


Assalamualaikum. Inilah radio Sasnupatam FM 99.50 Megahertz yang dipancarkan dari Sekolah Sasnupatam, Bandar di daerah Muang, Pattani.

"Semoga tuan-tuan dan puan-puan berada dalam lindungan Allah dan mendapat rahmat-Nya sentiasa. Kami di Sasnupatam akan menghiburkan anda dengan lagu-lagu nasyid dan memperdengarkan ceramah-ceramah agama untuk faedah bersama".

Demikian suara pengenalan stesen radio yang dikelolakan oleh tiga orang pelajar Sekolah Agama Rakyat Sasnupatam, dari studio mini sekolah tersebut.

Sekolah agama swasta ini merupakan satu-satunya sekolah di Pattani yang memiliki siaran radio sendiri dan boleh diikuti dalam lingkungan 30 kilometer radius, melalui gelombang 99.50 megahertz.

Siaran ini boleh diikuti selama tiga jam sehari iaitu setiap sejam pada sebelah pagi, petang dan malam. Pada waktu pagi ia ke udara pada pukul 10 hingga 11 pagi, petang pada pukul 2 hingga 3, manakala malam dari pukul 8 hingga 9 malam.

Ia dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Thai oleh tiga orang pelajar kelas tiga thanawi sekolah tersebut iaitu Abdullah Hassan, 20; Mahadi Shafie, 22, dan Wan Ismail, 21.

Bilik konti studio mini itu yang terletak bersebelahan dengan bilik pengetua dilengkapi dengan peralatan canggih sebagaimana studio mini-studio mini lain kendalian petugas-petugas profesional.

Keistimewaan

Inilah keistimewaan Sekolah Sasnupatam ini yang mempunyai dua blok tiga tingkat dengan lebih 2,000 orang pelajar.

Para pelajar mengikuti dua sesi pengajian iaitu agama pada sebelah pagi dan akademik di sebelah petang.

Menurut Abdullah, antara lain siaran radio tersebut bertujuan memberi maklumat terkini berkenaan sekolah berkenaan kepada penduduk-penduduk sekitar, selain memaparkan perkembangan semasa kepada para pelajar.

"Kami juga mengadakan perbincangan agama berhubung isu-isu tertentu yang diselang-seli dengan lagu-lagu nasyid terutama dari kumpulan nasyid popular di Malaysia seperti Raihan, In-Team, Rabbani dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui MEGA di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Abdullah memberitahu, mereka terpaksa memainkan lagu-lagu lama dari kumpulan nasyid berkenaan berulang kali kerana susah untuk mendapatkan album terbaru di pasaran Pattani.

Sehubungan itu, beliau berharap ada pihak-pihak tertentu dari Malaysia yang sudi menghantar album terbaru penyanyi nasyid untuk mereka putarkan melalui siaran radio sekolah berkenaan.

"Album nasyid dari penyanyi nasyid Malaysia memang popular dan mendapat sambutan hangat dari masyarakat Islam di kawasan ini, tetapi kami sudah hendak mendapatkan album tersebut kerana tidak dijual di sini," ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Sasnupatam, Drs. Ahmadkamae Waemusor berkata, pihak pemerintah membenarkan mereka mengadakan siaran radio gelombang pendek tersebut setelah memohon permit daripada Kementerian Penerangan Thailand.

Menurutnya, siaran radio itu banyak memberi maklumat terkini mengenai sekolah berkenaan, selain membincangkan isu-isu semasa dan masalah-masalah agama.

Beliau berkata, ia juga dapat melatih pelajar mengendalikan siaran radio sendiri dan menyebarkan maklumat terkini kepada para pelajar dan penduduk kampung sekitar sekolah yang dapat mengikuti siaran tersebut.

"Waktu di studio hampir pukul 3 petang dan kami akan menghentikan siaran ini sebelum kita bertemu pula di udara pada pukul 8 malam.

"Sehingga itu, selamat belajar dan assalamualaikum," sayup-sayup suara Abdullah mengakhiri siaran radio pada petang itu.

Hadis perinci perintah Allah

Hadis perinci perintah Allah


Seminar tokoh Hadis al-Bukhari anjuran Inhad di Masjid Negeri Selangor, baru-baru ini adalah antara usaha memperkukuhkan pengajian hadis di negara ini.


Kelengkapan atau kesyumulan al-Quran sesungguhnya terletak kepada kesempurnaannya dalam mengatur persoalan-persoalan umum atau cabang-cabang kecil dalam kehidupan manusia. Al-Quran adalah sumber utama pembentukan hukum Islam dan sebagai sumber syariat yang pertama.

Maka apabila terdapat nas mengenai suatu hukum di dalam al-Quran, ia wajib diikuti. Jika sebaliknya, (apabila didapati hukumnya terdapat di dalam hadis) umat Islam hendaklah merujuk kepada hadis (al-Sunnah) yang merupakan sumber kedua syariat Islam.

Keberadaan hadis Rasulullah SAW amat penting dijadikan sandaran dan pegangan kepada umatnya baik melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan baginda SAW. Sunnah diturunkan kepada baginda dengan wahyu, sebagai mana al-Quran diturunkan.

Hadis Rasulullah tidak dibaca dengan lafaznya, sebagaimana al-Quran. Justeru, Hadis dinamakan sebagai al-wahyu ghayr al-matluw (wahyu yang tidak dibaca dengan lafaznya).

Meskipun demikian, hadis mempunyai kedudukan yang amat penting dalam kehidupan umat dan menjadi rujukan utama setelah al-Quran bagi kemurnian ajaran-ajaran Islam dan dalam memberikan penjelasan serta pemahaman terhadap al-Quran.

Ini kerana tanpa hadis Rasulullah SAW, petunjuk yang terkandung di dalam al-Quran tidak akan difahami dan dipraktikkan di dalam kehidupan dengan jayanya.

Menjadi kewajipan umat Islam untuk mentaati dan mengikuti segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr: 7)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (al-Nisa': 80).

Fungsi hadis terhadap al-Quran

Kandungan al-Quran ada yang bersifat umum (ijmali) dan ada yang bersifat terperinci (tafsili). Hal-hal yang bersifat umum, sudah tentu memerlukan penjelasan-penjelasan yang lebih terang dalam penerapannya sebagai petunjuk dan kaedah hidup manusia.

Rasulullah SAW selaku penyampai wahyu Allah melalui lidah, perbuatan dan pengakuan telah diberi tugas dan autoriti untuk menjelaskan kandungan dan menentukan sesuatu hukum di luar al-Quran al-Karim.

Penjelasan baginda tidak hanya bersifat lisan, malah ia termasuk berbentuk amalan praktik melibatkan perihal pelaksanaan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya.

Antara fungsi hadis atau sunnah terhadap al-Quran, adalah sebagaimana berikut:

l Mentaqyidkan yang mutlak, (membataskan hukum yang mutlak).

Firman Allah SWT: Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya... (al-Maidah: 38)

Ayat ini adalah contoh yang baik dalam masalah ini, kerana kata pencuri dalam ayat ini bersifat mutlak. Begitu juga dengan tangan.

Sunnah qawliyah menerangkan yang pertama (iaitu pencuri) dengan membatasi pencuri yang mencuri ¼ dinar dengan sabda baginda SAW iaitu: Tidak dipotong tangan kecuali mencapai ¼ dinar atau lebih. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

l Mentafsilkan yang mujmal (menjelaskan hukum yang datang tidak jelas maksudnya).

Contohnya sunnah qawliyyah menerangkan ayat tentang tayamum.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sapulah mukamu dan tanganmu... (al-Maidah: 6). Maksud tangan di sini adalah telapak tangan.

Hal ini berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: Tayamum itu ialah dengan mengusap wajah dan kedua telapak tangan. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain keduanya dari hadis 'Ammar ibn Yaasir.

Begitu juga dalam Firman Allah SWT: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang akan mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-An'am: 82).

Para sahabat Rasulullah memahami perkataan baginda, iaitu al-zulm secara umum yang mencakupi segala bentuk kezaliman walaupun kecil. Oleh yang demikian ayat ini menjadi berat bagi mereka, sehingga mereka berkata: "Wahai Rasulullah, siapakah di antara kami yang tidak mencampur-adukkan keimanannya dengan kezaliman?".

Rasulullah menjawab: "Bukan begitu yang dimaksudkan, tetapi yang dimaksudkan dengan al-zulm (kezaliman) di sini adalah syirik. Tidakkah kalian mengingati nasihat Luqman kepada anaknya: "Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar". (riwayat al-Bukhari, Muslim, dan lainnya).

l Mentakhsiskan yang am. (Mengkhususkan yang umum).

Contohnya: Dalam pembahagian harta pusaka sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Nisa ayat 11. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Ayat ini menyatakan hukum secara umum iaitu semua usul (ibu, bapa, datuk, nenek) adalah pewaris, manakala semua furu' (anak, cucu dan ke bawah) adalah waris.

Bagaimanapun, sunnah mengkhususkan di mana anak para nabi tidak mewarisi harta peninggalan bapa mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Kami para nabi tidak diwarisi, semua harta peninggalan kami adalah sedekah. (riwayat al-Bukhari)

Begitu juga sunnah mentakhsiskan anak-anak yang menerima pusaka hanya anak-anak yang tidak menjadi pembunuh pewarisnya sendiri seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pembunuh tidak boleh mewarisi (menerima) pusaka". (riwayat al-Imam al-Darimi)

l Menetapkan hukum yang tidak disebutkan oleh al-Quran.

Contohnya: Sebagaimana Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu Yang dilakukan secara fasiq, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama Yang lain dari Allah", kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka Sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-An'am: 145).

Berhubung firman Allah SWT di atas, sunnah menetapkan hukum bagi sesuatu perkara yang tidak disebut dalam ayat ini seperti sabda baginda SAW: Setiap binatang buas yang bertaring dan setiap burung yang berkuku tajam adalah haram.

Terdapat juga hadis lain yang melarang dari hal selain di atas seperti sabda Rasulullah SAW sewaktu peperangan Khaybar: Allah dan Rasul-Nya melarang kalian dari (memakan) himar yang jinak kerana rijs (kotor). (riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Selain itu, sunnah juga datang menetapkan hukum yang tidak dinyatakan dalam al-Quran. Ini termasuklah pengharaman mengahwini wanita bersama dengan ibu saudaranya sama ada sebelah bapa atau ibu.

Sebagai kesimpulan, huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya sunnah dan fungsi-fungsinya dalam syariat Islam. Tidak ada jalan untuk memahami al-Quran dengan pemahaman yang sebenar kecuali dengan diiringi hadis dan Sunnah Rasulullah.

Allah SWT melindungi kita dengan keutamaan bimbingan dan Sunnah Nabi SAW. Tanpa hadis Rasulullah, tatacara pelaksanaan ibadah-ibadah dalam Islam akan terhenti.

Seterusnya mengakibatkan umat Islam tiada arah panduan dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan tidak akan dapat merealisasikan tujuan penciptaan mereka ke dunia iaitu melaksanakan segala perintah Allah.

Al-Imam Al-Suyuti mengatakan, "Sesiapa yang tidak mengakui sunnah atau hadis sahih maka dia akan dikumpulkan pada hari akhirat kelak bersama orang-orang Yahudi dan Nasrani".

Ibu bapa jangan tambah masalah

Ibu bapa jangan tambah masalah

Kes terbaru mayat bayi terendam dalam tong cat di dalam tandas tingkat tiga Wisma Bola Sepak Pahang, awal pagi 29 Jun lalu amat menyentuh perasaan. Ramai juga yang kesal dan marah serta bertanya apalah dosa bayi itu hingga sanggup diperlakukan sedemikian oleh ibunya sendiri.

Noor Aziah Mohd. Awal


Namun, persoalan dalam kejadian itu tidak semudah yang dilihat. Pastinya, si ibu itu tidak keruan dan tenggelam punca hingga tergamak ‘membunuh’ anak sendiri.

Walhal, anak pinak itu adalah antara perhiasan hidup yang amat diidamkan oleh pasangan suami isteri.

Ini sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (al-Kahfi: 46)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.

MEGA: Berdasarkan kes ini, bolehkah disimpulkan sebagai parahnya masalah sosial di kalangan belia kita?

AZIAH: Mengikut statistik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, jumlah belia yang terlibat dalam masalah sosial tidak banyak. Mengikut Indeks Belia Dalam Gejala Sosial kita mencatat markah 87 peratus. Berasaskan indeks Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan > Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), jika markah mencapai melebih 80, negara tersebut berada pada tahap sangat baik. Dari data tersebut, Malaysia adalah negara terbaik dalam Komanwel dari segi pencapaian ini iaitu hanya sejumlah kecil sahaja belianya yang terlibat dengan gejala sosial. Cuma apabila kes-kes melibatkan golongan belia, ia mendapat liputan meluas media massa. Itu yang menjadikan ia seolah-olah kelihatan berada pada tahap yang teruk.

Sebenarnya, dari segi kelakuan, belia kita adalah yang terbaik berbanding belia di negara-negara lain. Namun begitu, soal kenapa kes melibatkan buang bayi, bunuh anak dan melahirkan anak luar nikah berlaku, ini agak merunsingkan.

Dalam kajian saya di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2005 mencatatkan 388 bayi luar nikah. Sebenarnya, ini yang membimbangkan kita terutama ibu bapa Muslim yang mempunyai anak gadis.

Menghukum golongan yang terlibat memang mudah. Namun, apa bantuan yang perlu untuk membantu mereka terutama bayi yang baru dilahirkan?

AZIAH: Saya setuju. Zina itu perbuatan haram dan berdosa besar. Malah al-Quran sudah mengingatkan kita supaya menjauhi perbuatan itu melalui firman Allah yang maksud-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan tercela dan suatu jalan (menuju banyak) kejahatan (dan kerosakan yang lain). (al-Israk: 32)

Di antara akibat zina adalah merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit berbahaya, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan. Saya tidak mahu mempertikaikan tentang itu.

Cuma apabila gadis itu telah mengandung, kita perlu membantu. Mereka juga kena mencari bantuan, lebih-lebih lagi jika mereka adalah mangsa rogol.

Kita ada beberapa agensi dan pertubuhan yang menyediakan bantuan kepada mangsa dan juga anak mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya mempunyai Pusat Perlindungan Wanita iaitu Rumah Persinggahan dan Taman Seri Puteri di Cheras, Selangor.

Demikian juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jemaah Islam Malaysia (JIM) yang mempunyai Rumah Persinggahan Darul Sakinah. Malah pihak swasta juga mempunyai tempat yang sama iaitu Kem Modal Insan Kewaja di Gombak.

Malah, kalau mangsa pergi ke JKM atau NGO yang berkaitan memang mereka akan diberi bantuan. Kadang-kadang bantuan yang dihulurkan itu lebih daripada bidang tugas pegawai yang berkenaan. Sebabnya, mereka kasihan kepada mangsa dan juga bayi yang tidak berdosa itu.

Memang dari segi perundangan, mereka yang berzina ada hukumannya. Cuma, kes-kes yang dilaporkan sahaja akan dihukum. Tetapi jangan salah anggap bahawa dengan tidak menghukum, kita galakkan zina.

Pada masa yang sama, mangsa juga diberi peluang kedua. Sebabnya, kebanyakan yang terlibat dalam kes mengandung luar nikah adalah golongan muda yang perjalanan hidup mereka masih panjang.

Saya tertarik dengan Baitulmal Negeri Sembilan yang menyediakan khidmat kaunselor percuma di stesen bas di Seremban. Sekurang-kurangnya, golongan bermasalah ini boleh mendapatkan nasihat atau meluahkan apa yang terbuku di hati mereka kepada kaunselor berkenaan.

Dalam banyak kes, ibu bapa turut marah-marah sehingga ada yang 'membuang' anak gadis mereka yang mengandung luar nikah. Adakah ini menyelesai atau merumitkan lagi keadaan?

AZIAH: Dalam situasi ini, ibu bapa perlu menjadi tempat 'mendengar' yang paling baik kepada anak-anak atau mangsa. Jangan pula, ibu bapa bertindak keterlaluan memukul sehingga ada yang menghalau anak keluar rumah dan tidak mahu mengaku mangsa sebagai darah daging mereka.

Sebaliknya, ibu bapa juga perlu muhasabah diri, apakah kesilapan mereka sehinggakan anak itu tadi boleh terlibat dalam seks luar nikah. Tentu ada silapnya.

Apabila timbul masalah begini, ibu bapa sepatutnya membantu menyelesaikan bukannya menambah lagi kekusutan yang berlaku. Jika menambah lagi masalah, ia akan menjejaskan lagi emosi anak kita tadi menyebabkan mereka rasa tidak ada lagi kasih sayang dan tempat untuk mengadu.

Adakalanya, tindakan ibu bapa yang terlalu rigid dan mengongkong anak-anak turut menyumbang kepada masalah ini. Anak-anak yang selalu dalam perhatian ibu bapa dan tidak pernah dilepaskan bebas lebih terdedah kepada kejutan budaya.

Anak gadis dari kampung yang tidak pernah terdedah kepada pergaulan lelaki dan perempuan atau memasuki pusat hiburan seperti disko lebih mudah terpedaya dan menjadi mangsa berbanding mereka yang sudah biasa dengan suasana itu.

Hasil kajian mendapati, kebanyakan mangsa yang mengandung luar nikah mengaku mereka melakukan seks untuk suka-suka atau bagi membuktikan kesetiaan kepada teman lelaki.

Sebab itu, saya rasa pendidikan seks kepada anak-anak perlu diajar di sekolah. Ibu bapa juga kena bersikap terbuka dalam hal ini.

Golongan bapa misalnya boleh memberitahu tentang perkembangan jantina lelaki kepada anak-anak lelaki dan ibu pula memberitahu anak perempuan.

Begitu juga di sekolah. Pendidikan seks ini perlu diajar supaya para murid tahu punca dan akibat daripada sesuatu perlakuan seks itu.

Adakalanya akibat terlalu mengongkong, ibu bapa tidak mahu menjelaskan bab seks apabila ditanya oleh anak-anak yang meningkat remaja. Ini kadang-kadang menjadi punca budak lelaki cepat terangsang sehingga terlanjur apabila disentuh oleh pelajar wanita.

Kes ini juga menunjukkan bahawa ada umat Islam memang tidak lagi menjaga tepi kain orang. Adakah tindakan ini betul?

AZIAH: Tindakan begini kurang tepat. Namun ia berlaku kerana masyarakat kita kini semakin individualistik. Tiada lagi semangat kejiranan yang kuat.

Kalau jiran bertanya tentang anak atau suami kita yang agak lama tidak kelihatan, mereka dianggap suka menjaga tepi kain. Tetapi semangat inilah yang menjadi amalan masyarakat dulu-dulu di kampung. Ternyata ia berjaya memelihara kerukunan hidup bermasyarakat di kampung.

Ia bukan sahaja baik tetapi mampu membendung masalah sosial di kalangan penduduk kampung. Sebabnya, apabila nampak anak jiran yang masih bersekolah merokok atau ponteng, perkara itu akan diberitahu kepada ibu bapa berkenaan.

Ibu bapa tersebut pula berterima kasih kerana dimaklumkan tentang hal itu. Tetapi sekarang, ada ibu bapa yang marah apabila dimaklumkan salah laku anak mereka. Malah, ada juga ke tahap mahu menyaman jiran berkenaan atas dakwaan fitnah.

Kita jangan lupa, masa anak-anak di rumah bukan panjang. Sebahagian besarnya, masa mereka habis di luar baik di sekolah atau pun di tempat lain. Kadang-kadang rumah hanya menjadi tempat tidur saja.

Sebab itu, kita sebagai ibu bapa yang 'terpedaya' dengan tingkah laku anak yang nampak baik atau 'pijak semut pun tak mati di rumah'. Walhal, ada ketikanya, tingkah laku mereka jauh berbeza apabila berada di luar rumah.

Ini hakikat yang perlu kita terima. Sebab, kita tidak boleh memerhatikan anak-anak kita 24 jam sehari.

Azdah al-Khaldah mengatur teknik perang

Azdah al-Khaldah mengatur teknik perang

AZDAH binti al-Harith telah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran sebagai seorang perancang taktik peperangan untuk menakutkan angkatan tentera Parsi semasa pembukaan negara Iraq.

Peperangan yang disertai oleh Azdah binti al-Harith adalah Perang Maisan atau Perang Mazar. Maisan merupakan sebuah daerah di selatan negara Iraq yang diperintah oleh Gabenor Empayar Parsi.

Maisan adalah sebuah lembah yang dipenuhi dengan beberapa bandar kecil dan antara Basra dengan Wasit. Mazar merupakan sebuah bandar di mana terletaknya pusat pemerintahan daerah Maisan. Masyarakat tempatan yang mendiami daerah Maisan menganut agama Parsi dan setia pada Maharaja Parsi.

Pada tahun 633 Masihi, Komander Khalid al-Walid telah memimpin satu angkatan tentera untuk bertempur dengan angkatan tentera Parsi yang berkubu di bandar Mazar.

Selepas mengalahkan angkatan tentera Parsi dalam Perang Kazima, angkatan tentera Islam di bawah pimpinan Khalid al-Walid mengambil keputusan untuk berehat selama beberapa bergerak lebih jauh ke pendalaman negara Iraq.

Panglima Maaqal bin Muaqarrin telah diperintahkan oleh Komander Khalid al-Walid untuk memimpin satu pasukan tentera untuk menawan bandar Ubala.

"Komander Khalid, panglima Muthana melaporkan bahawa ada angkatan tentera Parsi yang mula membuat kubu di Mazar. Mereka mungkin sedang merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran untuk melawan kita.

"Mereka mahu membalas dendam atas kekalahan mereka di Kazima," kata Panglima Maaqal. Utusan Panglima Asim dan Panglima Adi keluar menyahut cabaran itu.

Semua mata tertumpu pada pertempuran empat orang panglima tentera yang tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya panglima Asim dapat membunuh panglima Anushjan dan panglima Adi pula dapat membunuh panglima Qabad.

"Allahu Akhbar! Serang dan musnahkan tentera musuh," laung Komander Khalid al-Walid sejurus tiga orang pegawai atasan angkatan tentera Parsi gugur menyembah bumi.

Pertempuran berlaku dengan sengit antara dua angkatan tentera yang inginkan kejayaan di pihak masing-masing. Walaupun kehilangan tonggak pimpinan, angkatan tentera Parsi tidak mahu mengaki kalah dengan begitu mudah.

Bilangan mereka yang lebih banyak dari anggota tentera Islam membuatkan mereka berasa yakin dapat menewaskan angkatan tentera Islam dengan mudah.

Pada masa yang sama, Azdah yang berada di perkhemahan tentera Islam memerhatikan pertempuran yang berlaku di antara tentera Islam dengan tentera Parsi.

Dia dapat melihat bilangan tentera Parsi yang begitu ramai sedang mengasak angkatan tentera Islam yang berjuang mati-matian. Perasaan bimbang menjalar dalam hatinya.

"Saya risau dan takut jika ada pasukan tentera Parsi yang berjaya melepasi pertahanan angkatan tentera Islam lalu menyerang kawasan perkhemahan yang didiami oleh isteri angkatan tentera Islam.

"Tidak ada siapa yang boleh melindungi kami jika berlaku situasi seperti itu. Kesemua angkatan tentera Islam sedang bertempur dengan pihak musuh. Saya harus merancang sesuatu agar kita semua selamat dari pihak musuh," Azdah duduk lalu memikirkan strategi terbaik untuk menakutkan tentera musuh.

"Wahai Muslimah semua! Kaum lelaki kita sedang bertempur sengit dengan pihak musuh, sementara kita semua adalah kaum wanita yang lemah. Kita tidak selamat jika pihak tentera musuh datang menyerang kita kerana tak ada orang untuk melindungi kita semua.

"Saya juga bimbang jika bilangan tentera musuh terlalu ramai menentang pihak tentera Islam sehingga pihak musuh dapat mengalahkan mereka. Jika kita keluar sekarang ke medan pertempuran, kita akan selamat dari apa yang kita takutkan.

"Pihak musuh akan menyangka kita semua merupakan angkatan tentera bantuan kepada tentera Islam yang sedang berperang dan pihak musuh akan melarikan diri kerana takut," Azdah menyatakan apa yang tersirat di hatinya lalu menyusun strategi untuk menakutkan pihak tentera Parsi.

"Kami setuju!," kesemua wanita yang berkumpul di hadapan Azdah menyatakan persetujuan untuk mara ke medan pertempuran.

"Buat bendera dari kain tudung kamu!," arah Azdah yang mula membuat bendera lalu diikuti oleh wanita-wanita lain.

Mereka semua keluar dari kawasan perkhemahan sambil berarak mengibarkan bendera di tangan mereka menuju ke kawasan pertempuran.

Azdah yang memimpin mereka bersyair dengan nada kuat memanggil kemenangan ke atas pihak Islam. Barisan wanita-wanita itu yang begitu ramai menghampiri medan perang membuatkan angkatan tentera Parsi terkejut dan mula berasa takut.

"Angkatan tentera bantuan bagi pihak Islam telah tiba. Kita dalam bahaya sekarang!," jerit salah seorang panglima tentera Parsi apabila melihat ada angkatan baru tiba lalu bergabung dengan angkatan tentera Islam yang sedang berperang dengan mereka.

Tumpuan pihak tentera Parsi mula hilang. Mereka sudah mula kucar-kacir kerana perasaan takut dan bimbang mula menjalar dalam segenap tubuh mereka.

Mereka tidak mungkin dapat menghadapi bilangan tentera yang lebih besar dari mereka. Ada yang mula mencampakkan pedang dan tombak mereka lalu berlari menuju ke arah sungai Tigris untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka tidak mahu mati atau menjadi tawanan pihak tentera Islam.

"Lari ke arah sungai untuk selamatkan nyawa kamu. Kita tak mungkin akan menang dalam peperangan ini," jerit panglima -panglima tentera Parsi yang mula menarik diri dari medan pertempuran.

Peluang keemasan yang muncul di hadapan mata digunakan sepenuhnya oleh angkatan tentera Islam. Mereka mengejar tentera Parsi yang melarikan diri ke arah Sungai Tigris.

Ada antara mereka yang melawan tentera Islam sehingga terpaksa dibunuh dan ramai juga yang menjadi tawanan pihak tentera Islam. Pihak tentera Islam berjaya mengalahkan angkatan tentera Parsi buat kali kedua.

Kebijaksanaan dan strategi Azdah berjaya membuatkan pihak tentera Parsi menjadi takut sehingga mereka menarik diri dari berperang dengan pihak tentera Islam.

Azdah merupakan srikandi Perang Mazar yang berjaya membuatkan pihak tentera Islam memperoleh kemenangan ke atas pihak tentera Parsi.

Ambil peluang Rejab lunas hutang puasa Ramadan

Ambil peluang Rejab lunas hutang puasa Ramadan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Menunaikan qada ibadat wajib lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat

APABILA masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya.

Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga.

Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari.

Firman Allah yang bermaksud: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain." (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat.

Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama. Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita, menunaikan qada' ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu."

Menurut Syeikh Muhammad ibn Soleh al-'Uthaimin, puasa sunat tidak boleh ditunaikan melainkan sudah sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan itu disandarkan melalui hujah berasaskan sabda Rasulullah SAW ketika menyatakan kelebihan puasa enam hari pada Syawal.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim)

Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja.

Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadah puasa Ramadan lalu.

Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah.

Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam.

Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban." (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya.

Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada' ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti.

Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: "Apakan puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu.

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa masih tertanggung di bahunya.

Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan. Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari)

Ulama tulen tak tamak kehidupan dunia, tidak sombong ilmu

Ulama tulen tak tamak kehidupan dunia, tidak sombong ilmu

Oleh Ibrahim Abdullah

POLITIK dengan ulama tidak dapat dipisahkan. Sejarah sosial politik ummah membuktikan kalangan ulama sentiasa aktif dalam dinamik berbangsa dan bernegara.

Namun, tidak dinafikan adanya ulama politik iaitu ulama yang mengikut kehendak parti politik dan pentadbiran. Akibatnya, ulama kerap terjebak stigma politik bercorak negatif dan akhirnya mengurangi kredibiliti ulama itu sendiri.

Ada mendakwa ulama jika sudah terjun ke dunia politik sama halnya dengan pentadbir atau pemerintah. Ini adalah karakter ulama politik mengikut arus politik. Namun, yang harus dibangun dan dibina adalah politik ulama.

Maksudnya, parti politik harus mengikut bimbingan dan arahan ulama yang luas ilmu serta tinggi moral. Ulama juga perlu bersikap aktif dalam merentas pelbagai bentuk penyimpangan politik selain menanamkan nilai ulama dalam diri.

Ulama bukan sebagai simbol, tetapi nilai ulamanya yang tertanam sehingga menjadi benteng terhadap pelbagai bentuk penyimpangan politik.

Pengertian ulama secara etimologi bererti orang yang berpengetahuan. Secara terminologi, ulama adalah orang yang mampu menghasilkan ilmunya kepada rasa takut dan kagum kepada Allah untuk mengamalkan ilmunya serta memanfaatkan demi kepentingan makhluk Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut dan kagum kepada Allah daripada hamba-Nya hanyalah ulama." (Surah Fatir, ayat 27-28)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ulama adalah pewaris Nabi." Hadis itu menjelaskan pentingnya ulama meneruskan misi kenabian di muka bumi ini. Ulama berperanan menegakkan hukum Allah, memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta mementingkan kesejahteraan umat Islam.

Oleh itu dapat difahami ulama ada yang baik serta benar dan sebaliknya. Ulama yang baik dapat membina dan membangun bangsa serta negara menjadi lebih baik. Inilah politik ulama yang mengubah keadaan demi kebaikan semua.

Ulama politik menggunakan ilmu untuk kepentingan peribadi atau kelompoknya saja. Karakter ulama ini dapat dilihat melalui amalan tidak sesuai dengan ilmunya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Aku akan memalingkan orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan benar daripada tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat-Ku, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah mereka mendustakan ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya." (Surah al-A'raf, ayat 146)

Menurut az-Zahabi, ulama yang tidak benar adalah yang mempercantik kezaliman dan ketidakadilan dilakukan penguasa. Ulama yang memutarbelitkan kebatilan menjadi kebenaran untuk penguasa atau ulama yang diam saja di hadapan penguasa pada hal dia mampu menjelaskan kebenaran.

Khalifah Umar al-Khattab bertanya kepada Ka'ab: "Apa yang mengeluarkan ilmu dari hati ulama?" Ka'ab menjawab: Ketamakan." Keluarnya ilmu daripada hati ertinya ilmu itu sudah tidak berpengaruh dan tidak lagi dijadikan tuntutan.

Ulama yang tidak benar juga tidak melakukan apa yang dikata. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Sungguh besar kemurkaan Allah bagi orang yang pandai berkata-kata tapi tidak mengamalkannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Adapun politik ulama adalah ulama sebenarnya. Ulama yang benar beramal sesuai dengan ilmunya, berani mengatakan kebenaran di hadapan penguasa dan menegakkan keadilan di hadapan penguasa yang zalim. Ulama yang meluruskan dan mengarahkan penguasa selalu berada di jalan benar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jihad utama adalah menegakkan kebenaran pada penguasa yang zalim."

Sa'adi berkata, seorang raja yang zalim berkenan memanggil seorang ulama ke istananya untuk memberi nasihat. Ketika ulama itu datang, raja berkata: "Berikan aku nasihat, amalan apa yang paling utama aku lakukan sebagai bekalku kelak di akhirat? Ulama menjawab: Amalan terbaik untuk baginda adalah tidur. Raja itu kehairanan: Mengapa? Jawab ulama: Kerana ketika raja tidur, rakyat dapat beristirahat daripada kezaliman."

Ulama benar juga tidak tamak terhadap kehidupan dunia, tidak sombong dengan ilmu dimilikinya dan sesuai antara perkataan dengan perbuatannya.

Karakter seperti inilah yang disebut politik ulama yang dapat memainkan peranannya membangun dan membina bangsa serta bernegara. Sekurang-kurangnya tanggungjawab ulama dapat dioptimumkan.

Ganjaran rezeki berganda jika perkukuh silaturahim

Ganjaran rezeki berganda jika perkukuh silaturahim

Oleh Nawawi Subandi

Hubungan baik bolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, raih kekuatan kesatuan keluarga

IMAM Ibnul Atsir berkata: "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya."

Kaum kerabat yang dimaksudkan dalam persoalan ini adalah kedua ibu dan bapa, adik beradik, pakcik, makcik, sepupu, nenek, datuk, anak dan memiliki hubungan kekeluargaan yang dekat.

Adapun hubungan yang dinisbahkan kepada selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam).

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (di masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang yang bersaudara." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Perkara yang ditekankan dalam menjalinkan silaturahim ialah menyambungkan hubungan dua pihak sudah terputus atau mengalami masalah (krisis).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang terputus." (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

Jalinan silaturahim paling utama dan dituntut adalah menjalinkan hubungan baik dengan kedua ibu bapa. Malah, ia adalah suatu yang wajib berdasarkan dalil jelas.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak ada yang disesatkan oleh Allah kecuali orang yang fasik, (iaitu) orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah, ayat 27)

Al-Imam ath-Thabari berkata: "Pada ayat ini, Allah menganjurkan hamba-Nya supaya menjalinkan hubungan kekeluargaan dan dengan orang yang memiliki hubungan rahim, serta tidak memutuskannya."

Rasulullah SAW menyatakan bahawa menjalinkan hubungan silaturahim memiliki hubung kait dengan keimanan terhadap Allah dan hari kemudian seperti sabda Baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silaturahim." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Malah, dengan menjalinkan hubungan silaturahim, Allah akan melapangkan rezeki dan memanjangkan umur kita. Sementara orang yang memutuskan silaturahim, Allah akan menyukarkan rezekinya atau tidak memberikan keberkatan kepada harta dimiliki.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalinkan hubungan tali silaturahim." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silaturahim." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjalin hubungan silaturahim dengan ahli keluarga dapat dilaksanakan melalui pelbagai cara antaranya mengunjungi ahli keluarga yang dimaksudkan, tidak lupa bertanyakan khabar, bantu membantu, saling sayang menyayangi serta meraikan kegembiraan mereka.

Perhubungan yang baik terhadap ahli keluarga ini perlulah sentiasa dilakukan bertepatan dengan petunjuk Allah dan sunnah Rasul-Nya. Kepada mereka yang memiliki ahli keluarga yang kafir atau fasik, jalinan kekeluargaan dapat dilakukan dengan nasihat yang baik serta memberi tunjuk ajar selain berusaha mengajak mereka ke jalan yang benar dengan hikmah.

Menjalinkan silaturahim memiliki begitu banyak manfaat antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, diberi keluasan rezeki oleh Allah, merapatkan hubungan dan peluang dakwah yang lebih baik.

Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan yang akhirnya diberi jaminan syurga oleh Allah.

Daripada Abu Ayyub al-Anshari, katanya: "Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka. Maka Nabi SAW bersabda: Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menjalinkan silaturahim." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah an-Nisaa', ayat 1)

Sheikh Abdur Rahman Nashir as-Sa' berkata: "Allah menggandingkan antara saranan supaya bertakwa kepada-Nya dengan perintah untuk berbuat kebaikan kepada kaum keluarga dan melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim yang dengannya dapat menegaskan akan maksud betapa wajibnya menunaikan hak Allah, maka adalah wajib juga untuk menegakkan hak makhluk, khususnya yang termasuk persoalan hubungan kekeluargaan antara mereka, bahkan menunaikan hak mereka adalah di antara hak Allah yang sudah diperintahkan oleh-Nya."

Perspektif Ikim: Kemajuan umat Islam bergantung kepada kewibawaan pemimpin

Perspektif Ikim: Kemajuan umat Islam bergantung kepada kewibawaan pemimpin

Oleh Datuk Nik Mustapha Nik Hassan

SEJARAH membuktikan kemajuan yang dicapai negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan dan kemampuan kepemimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara.

Kemuncak kecapaian kegemilangan umat Islam ialah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, pada zaman itu umat manusia berada di kemuncak kejayaan. Nilai kemanusiaan yang utuh dihayati dengan sempurna seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun itu mampu diteruskan oleh kepemimpinan Khalifah ar-Rashidin.

Kemampuan pemimpin melaksanakan nilai itu boleh menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia. Kegagalan menghayati nilai itu, kepincangan dan kemelut hidup manusia akan wujud.

Dalam suasana semasa dan masa depan, kepemimpinan negara perlu memiliki ciri untuk membawa umat Islam maju ke hadapan.

Antara ciri itu ialah pemimpin negara perlu mendukung idealisme luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat serta negara. Tanpa sifat itu negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela.

Keadaan semasa jelas menyokong pandangan itu bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinannya.

Kedua, kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman didukung oleh arahan Ilahi.

Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya bercanggah fitrah manusia..

Sesebuah negara maju tidak dapat kekal kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai nilai kemanusiaan.

Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya adalah fakta yang melemah dan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.

Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik pintar. Kebolehan itu penting kepada pemimpin politik akan diamanahkan menerajui negeri dan negara. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidun adalah bukti nyata. Dalam kajian oleh Profesor P Kotter dari Harvard Business School, 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan.

Seseorang pemimpin perlu memahami suasana negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat serta sumber negara.

Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan negara pada peringkat tertinggi. Semua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang tertinggi dalam usaha pembangunan itu.

Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa. Pada era globalisasi, sama ada kita mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa. Justeru, kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri dengan ajaran Islam.

Untuk maju dan berjaya pada peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah.

Kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam menyusun dan membangunkan negara menepati fitrah manusia. Mana-mana pendekatan menyusun dan memajukan masyarakat dan negara bertentangan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif di akhirat.

Islam merangkumi segala aspek pengendalian hidup untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia berasaskan falsafah tauhid, di mana tauhid mencorak cara hidup dan menjadi inti tamadun umat Islam. Ia juga asas falsafah sistem pengendalian negara.

Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan semua ciri keperluan manusia berada dalam satu kesatuan. Kesempurnaan keperibadian manusia akan tercapai jika semua ciri dalam dirinya diberi tumpuan sepenuhnya.

Keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi secara bersepadu. Begitu juga kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Semua aspek keperluan diberi tumpuan saksama.

Dalam rangka ke arah pembentukan peribadi individu bersepadu, Islam menyarankan perlunya pelaksanaan sistem pengendalian negara dapat mendukung falsafah tauhid. Justeru, sistem pendidikan negara perlu melahirkan individu memiliki pandangan hidup sempurna, akhlak baik dan menguasai kemahiran hidup sesuai kemampuan masing-masing.

Pembentukan peribadi individu memerlukan suasana menyokong segala kegiatan dijalankan setiap individu. Polisi dan dasar pentadbiran negara hendaklah mengarahkan kepada kewujudan suasana keadilan dan muafakat di kalangan masyarakat.

Suasana itu akan membawa kepada keharmonian yang dapat menghasilkan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Berpandukan kepada pendekatan hidup berasaskan tauhid ini, pendekatan Islam dalam semua kegiatan aktiviti manusia, hendaklah menepati fitrah dan cita rasa manusia semula jadi. Islam tidak membebankan sesuatu tuntutan yang mustahil dapat dikendalikan oleh manusia.

Oleh itu, Islam adalah amali untuk semua masa, tempat dan individu sama ada beragama Islam ataupun tidak. Islam berpandangan mengingkari petunjuk Allah adalah amalan zalim terhadap diri sendiri, kefahamannya dan kebijaksanaannya.

Bahkan, keangkuhan kepada penolakan terhadap kebenaran wujudnya petunjuk Allah menyebabkan lahirnya pandangan hidup kebendaan dalam diri manusia dan masyarakat seperti dalam sistem ekonomi Kapitalisme dan Marxisme.

Oleh itu kepemimpinan negara umat Islam, wajib yakin kepada pendekatan Islam dan berjiwa ikhlas untuk membangun negara semoga kesemua lapisan rakyat memperoleh kemuliaan hidup serta dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia