Sunday, November 18, 2007

Islam bukan sekadar penjenamaan

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Kita sering kali dimomokkan dengan label-label dan jenama-jenama Islam dalam pelbagai produk dan situasi. Seolah-olah Islam hanya mampu diterjemahkan apabila sesuatu itu mempunyai jenama atau label ‘Islam’. Awal minggu ini media massa tempatan dan antarabangsa termasuk CNN dan BBC melaporkan bahawa syarikat automotif negara mengisytiharkan cadangannya untuk mereka cipta dan memasarkan kereta pertama yang bercirikan Islam.

Penulis pada mulanya begitu teruja untuk membaca laporan tersebut sambil pelbagai idea tercetus dan bermain-main di pemikiran mengenai ciri-ciri kereta Islam. Apakah ‘kereta Islam’ mempunyai keupayaan enjin yang lebih hebat daripada biasa lantaran Islam itu agama yang hebat dan perkasa? Atau mungkin kualiti dan reka bentuknya adalah lebih mantap daripada kereta yang sedia ada sebagaimana kemantapan kualiti Islam itu sendiri. Atau mempunyai karakteristik yang mesra alam sebagaimana sifat ‘rahmatan lil alamin’ yang ada pada Islam.

Namun, idea-idea ini meleset setelah membaca laporan media yang menyebut bahawa ciri-ciri utama ‘kereta Islam’ tersebut ialah kereta yang dilengkapi kompas sebagai petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung. Mendengar penjelasan yang diberikan mengenai ciri-ciri ‘kereta Islam’ tersebut, terdetik pelbagai persoalan yang menyerabutkan pemikiran.

Apakah kereta yang dianggap Islamik itu hanya pada kompas dan ruang penyimpanan al-Quran dan tudung? Apakah ruang kereta ‘konvensional’ sekarang tidak mencukupi untuk menyimpan al-Quran mahupun tudung? Ada sahabat penulis menukilkan secara sinis, jika kereta sahaja boleh menyimpan tudung tetapi pemandu Islamnya tidak bertudung, maka kereta sahajalah yang Islam tetapi bukan pemandunya. Atau jika kereta sahaja berkompas kiblat tetapi pemandunya tidak pun menunaikan solat, hanya kereta sahajalah yang Islam bukan pemandunya.

Lebih malang sekiranya kereta berjenama Islam ini dipandu pula oleh pemandu yang langsung tidak bercirikan Islam seperti memandu secara rakus dan berbahaya hingga ramai menjadi mangsa korban jalan raya. Akhirnya, terpalit pula wajah hodoh dan negatif pada ‘kereta Islam’ dan agama Islam.

Penulis tidak bermaksud hendak mengkritik pihak pengeluar kenderaan berjenama Islam tersebut. Mungkin mereka telah mengkaji dan menganalisis pasaran yang ingin diterokai secara teliti dan mendalam hingga tercetus idea penjenamaan ‘kereta Islam’ tersebut. Atau mungkin juga ini merupakan strategi pasaran yang dikira berkesan untuk menembusi pasaran umat Islam yang sudah menjangkau lebih 2 bilion di seantero dunia.

Jika benarlah analisis pasaran menunjukkan umat lebih teruja pada nama dan label berbanding isi dan kualitinya, ia merupakan suatu petanda yang cukup menyedihkan. Senario ini bagaikan mengesahkan tanggapan umum yang melihat umat Islam hari ini adalah umat yang celaru kerana lebih mengutamakan bentuk (form) daripada isi (substance).

Sememangnya jika diperhatikan dengan realiti, fenomena mengutamakan label dan jenama Islam bagaikan suatu yang lumrah dalam kerangka umat Islam kini. Sehinggakan sesuatu itu payah untuk dianggap Islam atau kurang nilai Islamnya jika tidak ditempelkan dengan jenama Islam. Natijahnya, kita dapati Islam kini ditampilkan dalam bentuk yang pelbagai mengikut cita rasa dan kepentingan mereka yang berkepentingan. Seolah-olah hanya apabila ada label Islam maka sifatnya lebih Islamik berbanding entiti yang tidak berjenama Islam.

Walhal Islam itu bukan terletak pada label mahupun sekadar penjenamaan. Jika dikaji sejarah Islam, tidak pernah berlaku kegilaan untuk berlumba-lumba melabelkan sesuatu dengan nama Islam seperti yang berlaku ketika ini. Sebaliknya umat Islam melalui pendekatan Nubuwwah lebih menumpukan isi dan penggarapan kualiti berbanding label dan jenama.

Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. sering kali menegaskan: “Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan sekadar perhiasan, tetapi iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal.” (Riwayat Ad-Dailami).

Memahami falsafah dan prinsip inilah maka umat sejak zaman-berzaman berjaya membina tamadun yang hebat dengan mengeluarkan produk-produk berkualiti bercirikan Islam. Umpamanya, dalam pelbagai cabang ilmu, para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizimi mengeluarkan produk-produk perubatan dan matematik berkualiti. Jauh sekali untuk dilabelkan perubatan Islam ataupun matematik Islam kerana yang lebih dititikberatkan ialah soal isi dan kualiti.

Justeru sudah tiba masanya umat melakukan penjernihan pemikiran agar kita tidak terus ditertawakan lantaran tindak-tanduk kita yang kurang bijaksana. Apa yang lebih penting ialah nilai dan inti pati Islamlah yang harus dihayati dan dimartabatkan, bukannya sekadar mendabik-dada dengan pelbagai slogan dan jenama murahan yang isinya kosong melompong.

Faktor membawa murtad

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya seorang saudara baru dari Sabah, berkahwin dengan orang Melayu. Masalah saya ialah kesukaran untuk mempelajari hal-hal berkaitan Islam, lebih-lebih lagi kerana saya tidak mahir berbahasa Malaysia.

Pada permulaan perkahwinan, suami menunaikan sembahyang, tetapi setelah setahun, saya lihat dia langsung tidak sembahyang. Di tempat kerja saya pula iaitu di kilang, sebahagian besar teman-teman Melayu juga tidak sembahyang, malah tidak mengerjakan sembahyang Jumaat.

Saya serba salah. Keluarga seumpama meminggirkan saya. Suami pula, biarpun baik, tetapi tidak dapat membimbing saya menjadi Islam yang baik. Biarpun pada mulanya saya memeluk Islam untuk berkahwin, tetapi setelah berkahwin saya memahami apa yang sebenarnya itu Islam. Sayangnya tidak dapat memahami gambaran yang sebenarnya, apatah lagi dengan kesibukan bekerja di kilang. Adakah saya tetap Islam?

– Rakan baru, Kulai

JAWAPAN: Orang yang meninggalkan agama Islam dinamakan “murtad”. Hal demikian boleh terjadi sama ada dengan niat, kata-

kata yang boleh menyebabkan seseorang itu kufur atau perbuatan yang dilakukan sama ada dengan bergurau ataupun ‘Inad (ingkar). Menurut Abu Bakar Jabir Al-Jazairi, termasuk dalam golongan murtad ialah orang Islam pengikut ateis dan komunis.

Murtad terjadi hanya pada mereka yang waras iaitu yang baligh, berakal dan dengan ikhtiar iaitu tidak dipaksa. Kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipaksa tidak sah riddahnya biarpun ia melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad.

Dengan keterangan ini, ternyata bahawa orang yang enggan mengerjakan rukun-rukun Islam seperti sembahyang, mengerjakan haji, puasa dan sebagainya boleh menjadi murtad ataupun dikira sebagai murtad dengan syarat bahawa ia ingkar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Orang yang tidak berpuasa atau sembahyang kerana malas, padahal ia tetap akur bahawa kedua-dua ibadah tersebut adalah wajib, tidak dihukum sebagai murtad.

Peristiwa murtad yang ulung dalam sejarah Islam terjadi dengan kematian Rasulullah s.a.w. Golongan yang ramai murtad terdiri daripada mereka yang baru memeluk Islam. Murtad juga berlaku di kalangan mereka yang telah lama memeluk Islam, tetapi tidak mempelajari Islam, terutamanya orang Badwi, yang tinggal jauh dari Madinah.

Mereka yang terbiar seperti ini mudah menjadi murtad seperti yang dijelaskan dalam surah al-Hujurat: 14 yang bermaksud: Orang- orang Arab Badwi itu berkata, kami telah beriman. Katakanlah (kepada mereka): Kamu belum beriman, tetapi katakanlah kami telah tunduk. Kerana iman itu belum masuk dalam hati kamu dan jikalau kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya. Dia tidak mengurangi sedikitpun amalanmu. Sesungguhnya Allah amat pengampun lagi penyayang.

Ternyata bahawa murtad itu boleh terjadi kerana salah satu daripada tiga perkara:

1. Niat: Iaitu berniat atau bercita-cita ingin keluar Islam, seperti berniat hendak jadi Kristian, biarpun niat keluar itu (niat murtad) dikaitkan dengan masa tertentu, esok hari, sebulan lagi atau sebagainya.

Begitu juga hukumnya orang yang niat murtad dengan bersandarkan kepada sesuatu, seperti mengancam hendak keluar Islam kalau tuntutannya tidak dipenuhi, ataupun orang yang memohon menukar nama kepada nama Kristian di pejabat pendaftaran atau di pejabat agama, kerana ketika itu ia mempunyai niat menukar agama.

Termasuk dalam hukuman murtad juga mereka yang menemui pegawai-pegawai tertentu untuk meminta nasihat dengan menyatakan niatnya hendak keluar daripada Islam. Dihukumkan demikian kerana pada hati mereka ada niat keluar dari Islam.

Termasuk dalam kategori orang yang murtad apabila seseorang itu beriktikad atau berkeyakinan bahawa agama lain seperti Kristian yang diubah suai, itu betul dan benar di sisi Allah, biarpun dia masih tetap mengakui yang agama Islam itu agama yang sebenar.

2. Perkataan. Yang dimaksudkan dengan “perkataan” yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad ialah menyebut dengan sengaja perkataan ataupun perkataan-perkataan yang bertentangan dengan hukum Islam, sama ada perkataan tersebut berkaitan hukum ibadah, tauhid dan lain-lainnya.

Perkataan tersebut hendaklah jelas ataupun boleh ditafsirkan sebagai perkataan yang boleh menjadikan seseorang itu murtad, seperti mengatakan Allah itu berjasad.

Murtad boleh terjadi apabila seseorang itu menafikan adanya Allah. Menafikan Allah itu Pencipta alam atau menafikan kerasulan 25 orang Rasul yang wajib diketahui juga mendustakan risalah Rasul-Rasul tersebut.

Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Islam, seperti arak, zina dan lain-lain atau sebaliknya iaitu mengharamkan sesuatu yang halal seperti berjual beli yang nyata, kahwin dan lain-lain lagi.

3. Perbuatan. Seseorang yang sujud kepada berhala, matahari, bulan dan sebagainya dihukumkan murtad. Begitu juga sekiranya seseorang itu rukuk kepada yang lain daripada Allah dengan niat membesarkan objek tersebut, sama seperti membesarkan Allah. Andainya perbuatan tersebut dilakukan tanpa niat membesarkan objek itu, sama seperti membesarkan Allah, maka perbuatan tersebut dihukumkan haram.

Di Malaysia, mempelajari agama bagi orang dewasa tidak dapat dilakukan seperti anak-anak di sekolah. Adalah mengelirukan untuk menyokong pendapat puan menyatakan tentang kesukaran mempelajari agama. Puan boleh belajar di masjid atau surau.

Buku-buku yang boleh dibeli di kedai atau dipinjam di kutub khanah, melalui radio, televisyen dan sebagainya. Puan silap sekiranya mengharapkan pejabat-pejabat agama atau institusi lain yang berkaitan, menyediakan kelas khas untuk saudara baru.

Orang yang telah memeluk agama Islam, kemudian kembali kepada cara hidupnya yang asal, melakukan perbuatan-perbuatan yang menyebabkan seseorang itu murtad maka ia termasuk dalam golongan orang murtad, kerana murtad itu boleh berlaku dengan salah satu daripada tiga faktor yang dijelaskan, bukan semestinya melibatkan ketiga-tiga faktor tadi.

Keberkatan dan fadilat sembahyang tidak boleh dibandingkan dengan orang yang menjual buah di warung-warung, yang memperoleh wang apabila barangan bertukar tangan. Allah memberi jaminan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Sembahyang itu tiang agama. Mereka yang tidak sembahyang bererti meruntuhkan tiang agama. Kerana itu anggapan bahawa orang yang sembahyang dan tidak sembahyang itu sama adalah silap. Pendapat ini hanya lahir daripada mereka yang tidak memahami hakikat sembahyang.

Orang Melayu, yang lazimnya beragama Islam, yang tidak sembahyang tidak boleh dijadikan alasan memperkuat hujah puan, menyatakan sembahyang dan tidak sembahyang itu tidak ada bezanya. Orang Melayu beragama Islam, yang menjadi pengedar dadah tidak mewakili gambaran ajaran Islam. Tidak membuktikan bahawa Islam itu menyuruh penganutnya mengedar dadah.

Hakikatnya, puan perlukan kekuatan atau azam untuk menjadi seorang Islam yang baik. Setelah tersingkir atau dibiarkan keluarga, secara langsung atau tidak langsung, puan terlalu mengharapkan bimbingan daripada suami, malangnya suami sendiri tidak dapat membimbing padahal ia adalah tanggungjawab yang sewajarnya diberi perhatian.

Puan adalah di antara manusia yang mendapat hidayah Allah membolehkan puan memeluk Islam. Agama yang diiktiraf oleh Allah. Biarpun seseorang itu memeluk Islam kerana faktor luaran, seperti kerana perkahwinan atau lain-lain sebab, tetapi sekiranya orang yang berkenaan dapat mempelajari hakikat Islam dan berupaya menghayatinya, kebenaran itu akan dapat dirasai.

Telah dijelaskan murtad boleh berlaku dengan salah satu punca yang dijelaskan. Selagi tingkah laku seseorang itu tidak melibatkan faktor yang dijelaskan, dia tetap Islam.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Bidaah terbahagi dua

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: apakah dasar atau garis panduan untuk mengenali mereka yang benar-benar mengikut mazhab Syafii atau tidak? Apakah harus seseorang mengaku pengikut mazhab Syafii,sedangkan dia banyak menyanggah pendapat tersebut secara terang-terangan?

– Sayuti Sulaiman,Selama,Perak

Jawapan: Kita dapat membezakan mereka dan mengenali mereka dengan panduan tanda dan dasar ini. Antara lain dalam mazhab Syafii dan ahli sunah selain panduan al-Quran dan hadis terdapat beberapa garis panduan atau dasar yang akan menentukan sama ada dia benar-benar pengikut Syafii atau pengikut siapa.

Al-Syafiah tidak menuduh seseorang dengan sewenang-wenang dari ahlil qiblah sebagai kufur, syirik dan bidaah kerana perkara kecil dari isu (khilafiah) dan perkara sunat yang dikira baik, berfaedah dan makruf. Al-Syafiah mengatakan perkara bidaah itu terbahagi dua, ada yang dhalalah dan ada juga yang hasanah dan diberi pahala dalam agama seperti membangunkan kemudahan awam, mendirikan sekolah, menyediakan berbagai-bagai kemudahan untuk kebaikan masyarakat, solat tarawih 20 rakaat, azan dua kali pada hari Jumaat, tathwib pada azan subuh dan lain-lain.

Al-Syafiah mengatakan jumhur (majoriti) umat Islam di dunia sehingga hari ini masih tetap berada atas petunjuk kebenaran dari Tuhan mereka. Manakala mereka pula menghukum kebanyakan umat Islam di seluruh dunia hari ini berada dalam khurafat bidaah dan sesat, kerana hanya semata-mata tidak mengikut fahaman mereka yang menyimpang itu.

Al-Syafiah melihat perayaan Maulidur Rasul itu adalah baik dan disanjung tinggi sejak kebelakangan ini oleh kebanyakan masyarakat dunia apa lagi pada pandangan agama. Sedangkan mereka itu langsung tidak menghormati hari kelahiran junjungan besar tersebut dan mengatakannya amalan menyambut dan merayakannya adalah bidaah dan sesat.

Al-Syafiah menghormati sekalian ulama, salaf dan khalaf dan menerima pendapat mereka semua dengan baik dan terbuka, tidak menyalahkan sesiapa. Sedangkan mereka itu terang-terang mengejek dan menghina ulama khalaf terutama dari kalangan ulama mutaakhirin dengan menuduh mereka syirik dan sebagainya.

Al-Syafiah melihat harus bertawassul dengan mereka yang diizinkan Allah s.w.t. seperti para Nabi Rasul para ulama dan salihin. Kumpulan tadi mengatakan amalan mohon wasilah itu syirik. Al-Syafiah mengatakan amalan ziarah kubur itu sunat sedangkan mereka mengatakan amalan itu bidaah malah syirik kerana menyembah kubur.

Ini jelas menandakan mereka itu belum faham makna ibadah atau penyembahan yang sebenar. dan banyak lagi perbezaan yang lain, akan anda dapati dari kitab mereka. Adapun amalan atau pendapat mereka yang kebetulan sama dengan kita dalam satu dua isu itu tidak akan menyatukan atau menemukan dua kumpulan yang jauh berbeza sekalipun ada mereka yang mendakwanya sebagaimana kita pengikut Syafiah.Wallahualam.

Jangan sakiti jiran
SOALAN: Saya mempunnyai seorang jiran berbangsa asing yang tinggal bersebelahan rumah saya. Namun sebaliknya jiran saya ini suka membuat bising dengan muzik yang boleh mengganggu ketenteraman saya dan lain-lain jiran di sekitarnya. Bagaimana harus saya lakukan?

– Salih Othman,

Batu Kurau, Perak.

JAWAPAN: Anda harus membuat teguran dengan cara yang baik dan sopan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang kesat dan kasar. Umat Islam itu adalah manusia yang bermoral dan berakhlak. Islam mengakui haknya sebagai jiran yang perlu diberi hak dan penghormatan kepadanya. Jangan sekali-kali ia disakiti dan dizalimi. Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyukai orang yang bermulut kotor dan kesat.

Sikap yang tidak bermoral adalah tidak selaras dan sesuai dengan diri muslim yang benar-benar mengikut akhlak Rasulullah s.a.w. Baginda tidak pernah memaki sekalipun orang bukan Islam. Malah Rasululah pernah melarang para sahabatnya yang mengutuk orang yang melakukan kesalahan dosa (minum arak). Justeru itu bila baginda diminta supaya berdoa melaknat mereka yang menentang Islam, jawabnya “Aku tidak diutuskan untuk melaknatkan (mengutuk ) tetapi aku diutuskan untuk membawa rahmat dan kasih sayang untuk semua.”

Buktikanlah keindahan, kemesraan dan keharmonian Islam. Dalam suatu hadisnya Rasulllah bersabda bermaksud: aku jamin untuk kamu syurga sekiranya kamu dapat jamin untuk menjaga lidah dan kemaluanmu.

Amat memalukan sekiranya sikap umat Islam sendiri yang memburukkan rupa keindahan agamanya sendiri. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Haji untuk bapa
DARIPADA Ummu al Fadhl menceritakan ada seorang wanita dari suku khath‘am memberitahu Rasulullah s.a.w. bahawa ayahnya bersangatan tua dan uzur, masih belum mengerjakan haji kerana tidak mampu menunggangi untanya lagi. Adakah wajib atasnya mengerjakan haji? Sabdanya: engkau boleh tolong mengerjakan haji untuknya.

(Riwayat Muslim)

Huraiannya:

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa amalan seseorang anak dan umat Islam lain boleh menolong (kerjakan) ibadat untuk orang lain (setelah selesai ibadatnya sendiri), terutama untuk mereka yang tidak berkemampuan.Kebenaran ini adalah meliputi semua ibadat seperti haji, puasa, hutang dan lain-lain, sesuai dengan rahmat Allah yang meliputi segala sesuatu.

Kesimpulannya:

Amalan ibadat orang lain seperti anak dan lainnya boleh menolong dan mengganti ibu bapa melainkan dalam perkara yang dijelaskan dan dilarang khusus, oleh Rasulullah s.a.w.

Ulul Albab: Individu ulul albab pakar rujuk masyarakat

Oleh Abdurrahman Haqqi

PERKATAAN "ulu" (sama dengan 'zawu', jamak 'zu') dalam bahasa Arab mempunyai beberapa pengertian termasuk konotasi pemilikan atau kepunyaan yang dimanfaatkan atau banyak disebut dalam al-Quran. Yang menarik perhatian penulis adalah penggunaan al-Quran perkataan itu yang digandingkan dengan perkataan saling mempunyai hubung kait satu sama lain, antaranya kedekatan, tali persaudaraan, berakal, berilmu, kuat, kekayaan, kekuasaan dan kelebihan akal.

Setidaknya kita mendapati dalam al-Quran kata-kata 'ulu' dan 'uli' diikuti 'al-qurba' (Surah al-Nisa: 8), 'al-amr' (Surah al-Nisa: 59), 'baqiyyah' (Surah Hud: 116), 'al-arham' (Surah al-Anfal: 75), 'al-nuha' (Surah Taha: 54, 128), 'al-'ilm' (Ali 'Imran: 18), 'al-ba's; ba's' (Surah al-Isra: 5; Surah al-Naml: 33), 'al-quwwah; quwwah' (Surah al-Qasas: 76; Surah al-Naml: 33), 'al-tawl' (Surah al-Taubah: 86); dan 'al-albab' yang disebut sebanyak 16 kali.

Ulul albab dengan dammah atau 'di depan' disebut tujuh kali iaitu dalam surah al-Baqarah: 269, Ali 'Imran: 7, al-Ra'du: 19, Ibrahim: 52, al-Zumar: 9, 18, Sad: 29, manakala Ulil Albab dengan fathah atau 'di atas' disebut sebanyak empat kali iaitu dalam surah al-Baqarah 179, 192, al-Maidah: 100; al-Talaq: 10; dan dengan kasrah atau 'di bawah' disebut lima kali iaitu dalam surah Ali 'Imran: 190, Yusuf: 111, Sad: 43, al-Zumar: 21, al-Mukmin: 54.

Ulul albab sebagai kelompok manusia yang dekat dengan Allah mempunyai dua karakter penting seperti disebutkan al-Quran iaitu karakter al-zikr (selalu ingat dan mengingati Allah) dan karakter al-tafakkur (selalu berfikir). Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah Ali 'Imran: 190-91)

Kelompok ulul albab dalam masyarakat akan menjadi pemimpin dan petunjuk mereka untuk mencapai kejayaan dan keselamatan hidup seperti ditegaskan al-Quran dengan menggunakan lafaz 'ulu baqiyyah' maksudnya: "Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dulu daripada kamu itu, orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan jahat di muka bumi; tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit saja iaitu orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri." (Surah Hud: 116-17)

Ia kerana ulul albab adalah kelompok yang berilmu dan melaksanakan hukum Allah. Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 179) Di dalam ayat lain maksudnya: "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya." (Surah al-Baqarah: 269)

Orang yang melaksanakan hukum Allah dan memperoleh hikmat kebijaksanaan adalah yang berilmu di mana kesaksian mereka disejajarkan dengan kesaksian Allah dan malaikat seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali 'Imran: 18)

Ulul albab adalah orang yang perkasa dalam segala bidang termasuk bidang pertahanan seperti yang ditunjukkan oleh ketua kaum Ratu Bilqis. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang kuat gagah, dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walaubagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan." (Surah al-Naml: 33)

Ulul albab adalah orang pilihan yang selalu melihat masa hadapan dan mempersiapkan diri masa kini untuk mencapai kejayaan hakiki. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "... dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya." (Surah al-Baqarah: 197)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang boleh mempertimbangkan segala sesuatunya dengan menggunakan akal sihat dan waras mereka. Mereka boleh membezakan mana yang patut dibuat dan mana yang patut ditinggalkan. Mereka boleh memilih yang terbaik dari yang terbaik. Allah berfirman maksudnya: "... oleh itu gembirakanlah hamba-Ku yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (dari segi hukum agama); mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 17-8)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang sudah ditetapkan Allah sebagai orang yang bertakwa. Al-Quran menegaskan maksudnya: "Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maidah: 100) Dan juga maksudnya: "Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal sempurna dari kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu peringatan." (Surah al-Talaq: 10)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang menjadikan kisah silam sebagai pengajaran dan iktibar untuk memperbaiki diri dan meningkatkan taraf kehidupan supaya mereka mencapai kejayaan dengan petunjuk Ilahi. Allah berfirman maksudnya: �Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman." (Surah Yusuf: 111)

Ulul albab adalah sekumpulan manusia menjadi pakar rujuk masyarakat demi memperoleh petunjuk dan hidayah dari Allah. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah al-Ra'd: 19) Dalam ayat lain disebutkan: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 9)

Ulul albab juga tidak terlepas daripada keperluan terhadap sains dan teknologi kerana mereka dituntut untuk berfikir secara saintifik. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 21)

Ulul albab bukan hanya milik umat Islam. Ia adalah fenomena semula jadi masyarakat dunia supaya mereka kembali kepada kehendak Allah, agar mereka sentiasa sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah yang memerlukan petunjuk dan hidayah-Nya. Allah berfirman maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Nabi Musa hidayah petunjuk, dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang yang berakal sempurna." (Surah al-Mukmin: 54) Di tempat yang lain disebutkan maksudnya: "(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf." (Surah Ibrahim: 52).

Dengan pelbagai karakter dan kelebihan ulul albab, mereka juga diingatkan supaya memiliki kesabaran supaya semua langkah mereka membuahkan hasil yang lebih. Dalam menceritakan kisah Nabi Ayub, Allah berfirman maksudnya: "Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya - keluar-ganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang)." (Surah Sad: 43).

Kelompok ulul albab diinginkan al-Quran dalam ayat- yang disebutkan di atas diterjemahkan oleh Kerajaan Terengganu dengan program Generasi Ulul Albab: Quranik, Ensiklopeadik, Ijtihadik seperti dijelaskan Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini. Ia sebagai kesinambungan pemikiran ulul albab Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi. Semoga berjaya dan menjadi contoh. Wallahul Musta'an.