Monday, July 13, 2009

Yayasan Restu giat salin Mushaf al-Quran

Yayasan Restu giat salin Mushaf al-Quran


Abdul Latiff Mirasa


SEPERTINYA saya berasa berada di atas puncak. Sangat tinggi dan begitu membanggakan. Kenapa saya mesti beralih arah, tujuh tahun bertugas sebagai penulis khat dan yang lebih penting penyalin mushaf al-Quran di sini, mana mungkin ada kerjaya lain sebaik ini," ujar Umi Faezah Mustain, 25, sambil tersenyum manis.

Demikian kata-kata seorang gadis pemalu yang ditemui di Kompleks Taman Kesenian Islam (KTKI), Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Umi Faezah benar-benar maksudkan apa yang beliau katakan. Ini kerana di KTKI, termasuk beliau hanya terdapat dua penyalin al-Quran wanita yang bertugas di situ bersama empat lagi penyalin lelaki.

Tidak dinafikan Umi Faezah benar-benar mempunyai bidang kerjaya yang unik dan mungkin satu-satunya seumpama itu di negara ini.

Beliau mempunyai kepakaran menulis kaligrafi khat dikenali sebagai khattah. Dengan menggunakan handam, iaitu batang pokok paku rasam yang diraut rencong hujungnya menari-nari atas lembaran kertas yang diimport khas dari Jerman bagi menghasilkan salinan semula al-Quran dalam pelbagai versi.

Semasa ditemui beliau tekun menyiapkan salinan al-Quran Mushaf Al Fatimah.

KTKI yang terletak berhampiran Masjid Negeri Selangor, Masjid Biru atau Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz ibu negeri Selangor, Shah Alam benar-benar menjanjikan keindahan!

Keindahan yang sukar diungkap melalui kata-kata tetapi biarlah disalin semula di sini dari salah sebuah brosur, KTKI merupakan Oasis of Beauty Haven of Creativity, Land of Novelty.

Selangkah kaki dijejakkan ke situ, maka pelbagai imej dan objek begitu menarik perhatian di situ. Kesemuanya merupakan karya agung (master piece) yang tidak ternilai harganya namun mampu menjanjikan satu inspirasi dan perspektif kepada setiap pengunjung.

Tidak perlu seseorang itu merupakan pencinta seni untuk menghargai kesemua itu tetapi mereka selama ini 'buta' atau tidak mengenal seni pastinya serta merta akan asyik dan jatuh cinta!

Yayasan Restu yang mentadbir dan 'menghidupkan' KTKI bermula dengan projek al-Quran Mushaf Malaysia pada tahun 1994. Ia adalah proses 'pembinaan' manuskrip al-Quran yang menggabungkan seni khat dan zukhruf (hiasan iluminasi) dengan gaya tempatan dan adaptasi motif-motif yang diambil dari khazanah seni tampak Melayu.

Di KTKI selain menjalankan usaha penyalinan mushaf al-Quran, turut dijalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Ini termasuklah kuliah-kuliah ilmu dan aktiviti kesenian Islam yang seperti seni bina, reka bentuk, landskap, grafik, fabrik, ukiran, kraf dan lain-lain.

Tanpa membataskan fungsi terhadap satu-satu bidang, kuliah-kuliah ilmu yang diadakan hampir setiap hari di KTKI (kecuali Khamis) sentiasa mendapat sambutan ramai.

Kuliah membicarakan pelbagai cabang ilmu khususnya berkait rapat dengan al-Quran iaitu tajwid, sejarah, tafsir di samping kelas-kelas penulisan khat itu sendiri.

"Alhamdulillah, hampir 300 peserta memenuhi ruang auditorium setiap kali kita mengadakan kelas-kelas itu," kata Eksekutif Kanan (Galeri), Zarina Mahusin.

Namun yang ketara, Yayasan Restu sejak tahun 2000 berjaya menerbitkan al-Quran Mushaf Malaysia Cetakan Awam dan Cetakan Koleksi, al-Quran dan Cetakan Koleksi, al-Quran terjemahan Bahasa Melayu (Rumi), al-Quran dan Terjemahan Bahasa Hausa (untuk kerajaan Bauchi, Nigeria), The Holy Quran: Text and Translation.

"Buat masa ini banyak lagi projek al-Quran yang sedang dilaksanakan termasuk al-Quran Mushaf Fatimah dan al-Quran Terjemahan Bahasa Melayu (Jawi) yang menjadikan KTKI ini benar-benar satu taman yang tidak sahaja indah dari aspek seni tetapi memenuhi pelbagai aspirasi dan kehendak agama itu sendiri," kata Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Latif Mirasa.

Jika kita pergi lebih mendalam mengenai Projek al-Quran Terjemahan Bahasa Melayu (Jawi) seperti yang dilihat sendiri pada salinan contoh, ia benar-benar satu pengiktirafan yang sangat tinggi terhadap tulisan Jawi.

Emosi diselubungi rasa terharu melihatkan gabungan ayat-ayat al-Quran yang ditulis menggunakan khat nasakh bergabung terjemahannya dalam tulisan Jawi. Dua bentuk tulisan yang sama tetapi dalam berlainan bahasa, tidakkah itu sesuatu yang sangat unik dan sangat indah.

Dapatkan kita rasakan betapa tinggi martabat warisan tulisan Jawi itu kini?

Mungkin telah sering ditemui malah Tafsir Al Azhar pun boleh ditemui dalam terjemahan Melayu bertulisan Jawi. Namun apa yang dihasilkan oleh Yayasan Restu, benar-benar menjadikan tulisan Jawi dan ayat-ayat al-Quran itu bersatu dalam taman yang berhias indah!

Apatah lagi seni zukhrufnya merupakan aplikasi motif dari ragam hiasan khazanah warisan dan identiti seni tampak Melayu Islam nusantara.

Menurut Latif, pihaknya telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencetak al-Quran tersebut.

"Tetapi bagi memastikan ia benar-benar boleh berada dalam simpanan umat Islam, kita perlukan dana khas untuk mencetaknya.

"Walaupun jualan adalah terbuka tetapi kita memerlukan dana permulaan termasuk tempahan khas bagi membolehkan al-Quran tersebut dapat kita semua miliki," kata beliau.

Begitu juga diharapkan bagi memastikan kejayaan dalam pembinaan al-Quran Mushaf Baiturrahman Aceh.

Menurut Abdul Latiff, seramai enam orang anak tempatan Aceh yang beroleh sijil dan diploma dari Kolej Restu kini sidang giat menyiapkan al-Quran Mushaf itu.

"Mereka yang dibayar pendapatan oleh Yayasan kini bertugas di Masjid Baitul Rahman, di Bandar Aceh juga mengharapkan sokongan dan dana bagi membolehkan Aceh yang dahulunya trauma akibat tragedi Tsunami pada 2004 semakin terubat dengan adanya al-Quran Mushaf mereka sendiri," katanya.

Yayasan Restu kata Abdul Latiff, adalah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan. Sekali gus bermakna ia memerlukan sumbangan dana bagi merealisasikan sesuatu projek itu.

"Namun yang sebenarnya kita lebih berobjektifkan agar setiap umat Islam mempunyai pelaburan saham akhirat yang disalurkan melalui KTKI ini.

"Moga amal jariah yang mereka hulurkan merupakan amalan yang berpanjangan dan mendapat ganjaran dari Allah," kata Abdul Latiff.

Begitupun mengunjungi KKI ini sememangnya satu kemestian kepada setiap umat Islam.

Anda tidak sahaja datang untuk merasa kagum dengan kehebatan anak-anak muda yang mampu menyalin al-Quran, iaitu menggunakan teknik gabungan moden dan tradisional.

Atau anda akan begitu terpukau melihatkan bagaimana di atas kanvas, khat telah melepasi zamannya untuk dilukis dengan begitu indah oleh jari jemari yang berbakat dan berdisiplin tinggi.

Mungkin sukar anda mengerti bagaimana sebanyak 14 lapisan warna diperlukan bagi menyudahkan motif-motif lakaran zukhruf!

Bayangkan yang perlu disiapkan membabitkan saiz yang besar dan perlu disiapkan mengikut perjanjian tempahan yang lazimnya memakan masa berminggu dan bulan.

Keindahan yang menepati sebagaimana hadis Nabi SAW yang sering kita dengar; "Allah itu indah dan sukakan keindahan!"

Detik Baginda terima wahyu pertama

Detik Baginda terima wahyu pertama

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Al-HARIS bin Hisyam telah bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah, bagaimana wahyu itu mendatangi kamu"? Maka berkata Rasulullah: "Kadangkala wahyu itu mendatangi saya seperti dengungan loceng, dan ia adalah yang paling berat ke atas saya, maka apabila wahyu itu putus daripada saya, dan saya telah ingat daripadanya apa yang dia katakan. Dan kadangkala malaikat hadir menyerupakan dirinya sebagai seorang lelaki, maka dia berkata-kata kepada saya, dan saya ingat apa yang dia katakan."

"Berkata Siti Aishah r.a: "Dan sesungguhnya saya telah melihat, turun ke atas Rasulullah akan wahyu, pada suatu hari yang sangat sejuk, maka ia pun putus daripadanya, dan sesungguhnya dahi baginda benar-benar mengalirkan peluh. (riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas adalah sebagaimana yang disebutkan pada keluaran lalu bagaimana Rasulullah SAW menerima wahyu. Wahyu, perkataan bahasa Arab yang berasal daripada perkataan awha bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang.

Sebagai umat Islam kita memahami dengan jelas bahawa wahyu itu merupakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan (Nuzul al-Quran), iaitu kata-kata perintah Allah kepada Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya.

Terkeliru

Tetapi kita jangan sama sekali terkeliru apabila dalam ajaran Nasrani yang kononnya hendak mengangkat martabat wahyu itu dengan hujah bahawa tidak dinamakan wahyu itu dengan Allah hanya berkata-kata atau dengan lain perkataan; that God must speaks for Himself!

Seperti yang diambil dari Laman Web; answering.islam. org. Mereka berhujah; "Kita mesti sedar bahawa Allah tidak boleh mewahyukan Dirimya hanya dengan perkataan-perkataan sahaja. Di sini Dia mewahyukan keterangan berkenaan Dirinya maka Dia mestilah mempunyai keperibadian dan kehendak. Mewahyukan Dirinya secara "terbuka" dan "pendedahan" dan ini hanya akan berlaku apabila tubuh disediakan untuk Dia".

Lantaran itu Nabi Isa kononnya dikatakan berkata; "Barang siapa telah melihat Aku, telah melihat Bapa" (Johanes 14:9) Ini menjadikan wahyu itu dikatakan sempurna kerana ia tidak sekadar kata-kata kecuali wahyu itu adalah secara terus menerus langsung daripada Tuhan.

Tidak mustahil hujah seperti ini dikatakan logik dan akan 'termakan' oleh kalangan umat Islam itu sendiri, tetapi kita perlu menyedari al-Quran bukannya seperti kitab Injil yang boleh didapati dalam versi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Namun, apa yang kita miliki hari ini merupakan al-Quran yang menempuh satu perjalanan yang sangat panjang dan ajaibnya, seluruh kandungan kitab itu tetap bersih daripada sebarang penyelewengan. Tidak ada tokok tambah, jauh sekali daripada kata-kata manusia di dalamnya!

Ini terjadi kerana Rasulullah sendiri tidak membenarkan hadis itu ditulis ketika baginda masih hidup kerana khuatir terkeliru atau bercampur gaul dengan ayat-ayat al-Quran yang masih diturunkan kepada baginda.

Wahyu merupakan satu sumber daripada pelbagai sumber bagi mendapatkan ilmu dan kedudukannya sebenarnya adalah paling teratas kerana ia sangat bersifat ketuhanan (divine). Lantas bagi seorang manusia biasa seperti Nabi Muhammad menerima wahyu itu, pada asalnya adalah tidak mudah.

Malah untuk berhadapan dengan malaikat Jibrail itu sendiri dan seluruh proses penurunan wahyu pertama ini telah menyebabkan baginda menganggap dirinya gila! Ini apabila kita tidak mempunyai jiwa yang besar dan kuat, tidak akan ada sanggup memikul beban kenabian itu dengan syarat pertamanya, diaturkan pertemuan dengan 'seorang' malaikat!

Terbangun dengan ketakutan

Penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal menulis selepas Jibrail menyampaikan surah pertama, al-Alaq itu baginda Nabi Muhammad terus terbangun dengan ketakutan dan kebingungan. Baginda dikatakan benar-benar tidak dapat menafsirkan apa yang telah berlaku kepada dirinya.

"Adakah ini semua khayalan sebagaimana kebanyakan penyair yang berkhayal dan bercakap seorang diri yang sering ku sifatkan sebagai orang gila?," ujar baginda.

Sebenarnya tidak wajar untuk baginda berasa takut kerana sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq bahawa wahyu pertama itu datangnya dalam keadaan baginda berjaga dan di waktu siang.

Walau dalam banyak kisah yang kita dengar sebelum ini Rasulullah dikatakan segera keluar dari Gua Hira' dan untuk terus pulang ke rumah.

Tetapi Haekal dan Al Mubarakfuri mencatatkan sebaik sahaja baginda keluar dari Gua Hira' itu, satu sinar terang menderang memancar di hadapan baginda. Ini diikuti satu suara memanggil baginda; "Hai Muhammad! hai Muhammad! Kamulah Rasulullah dan aku adalah Jibrail!," berulang kali.

Baginda yang mendongakkan kepala ke langit iaitu arah datangnya suara itu dan baginda dapat melihat dengan jelas malaikat Jibrail dalam rupa seorang lelaki dengan kedudukan kedua-dua kakinya berada di ufuk langit.

Jika pada gambaran pada mata kasarnya bagi menunjukkan betapa 'luar biasa' malaikat Jibrail yang merupakan hamba Allah yang paling setia pernah tercipta oleh-Nya.

Namun baginda yang masih ketakutan itu memalingkan mukanya ke arah lain bagi tidak mahu berhadapan dengan Jibrail namun demikianlah hebatnya ciptaan Allah ini, Jibrail tetap kelihatan di mana-mana arah yang cuba baginda berpaling darinya itu. Ke kiri atau ke kanan, Jibrail tetap dalam keadaan berdiri di hadapan baginda.

Haekal menyebut; "tetapi rupa malaikat yang sangat indah itu tidak juga lalu dari depannya".

Lalu baginda tidak dapat berundur atau maju ke hadapan kecuali terpaksa berhadapan dengan malaikat itu malah dikatakan baginda terdiam kaku dengan agak lama di luar Gua Hira' itu.

Sehinggalah malaikat Jibrail menghilang lalu Nabi Muhammad tersedar dan menyambung semula langkah untuk segera pulang ke rumah.

Jika kita berada dalam keadaan yang seperti dilalui oleh baginda, maka jawapannya tentu sama, jantung berdegup dengan kenyang dan seluruh badan menggeletar!

Sebaik sahaja tiba di rumah, baginda disambut oleh Siti Khadijah yang sebelum ini begitu bimbang dengan keselamatan suaminya itu sehingga menyebabkan beliau menghantar orang untuk mencari di Gua Hira'.

"Wahai Abu Qasim, ke mana engkau pergi? Demi Allah aku telah menghantar orang untuk mencari engkau sehinggalah mereka mencari mu ke Mekah dan pulang ke rumah dan memberitahu tidak menemui mu di mana-mana," kata Siti Khadijah.

Tetapi baginda terus mendakap paha isterinya dan meminta supaya dirinya diselimutkan. Siti Khadijah segera menyelimutkan baginda kerana mendapati tubuh suaminya itu menggigil seperti seseorang yang sedang demam kuat.

Setelah ketakutan baginda beransur reda lalu baginda menceritakan kepada Siti Khadijah apa yang telah dialami dan dilihatnya sebentar tadi. Namun baginda lebih menyatakan kebimbangannya, semua yang berlaku di Gua Hira' itu tidak lebih terpedaya oleh hatinya sendiri atau akan tidak lebih dianggap seperti ahli nujum pada pandangan orang lain.

Sebagai isteri, Siti Khadijah tidak sedikit pun curiga dengan kata-kata suaminya itu. Lalu beliau meminta supaya baginda berehat untuk melelapkan mata dan Siti Khadijah sendiri kemudiannya bangun meninggalkan Rasulullah menuju untuk menemui seseorang.

Ikuti kisah selanjutnya di keluaran akan datang.

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj


Solat adalah manifestasi pengabdian manusia kepada Allah dan wajib dilakukan walaupun di mana kita berada. - Gambar hiasan


PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.

Haram bagi wanita cukur alis, membentuk gigi sempurna

Haram bagi wanita cukur alis, membentuk gigi sempurna

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang sudah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

Mencabut bulu kening yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah. Lagipun jika yang dicabut itu yang berselerak, bukan termasuk bulu dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya.

Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya saja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir).

Memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau semburan) adalah harus tetapi tidak mengubahnya kerana ia adalah haram.

Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

Kekuatan iman umat Islam sering dicemburui

Kekuatan iman umat Islam sering dicemburui

Oleh Mohd Masri Mohd Ramli

WANITA yang memakai pakaian menutup aurat serta berhijab sering berhadapan masalah terutama persepsi negatif daripada orang bukan Islam dan mereka yang tidak memahami tuntutan agama. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah, antara perubahan dibawa bagi menghapuskan nilai hidup Islam di kalangan masyarakat Islam Turki ialah pengharaman tudung.

Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan, akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya.

Saidatina Aisyah berkata: “Semoga Allah merahmati wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (dalam surah an-Nur, ayat 31) yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada), maka mereka terus mengoyak kain mereka dan bertudung dengannya.” (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan penjelasan Saidatina Aisyah, kita dapati ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus sahabat menuruti arahan. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka.

Kekuatan iman inilah yang menjadi punca kejayaan sahabat. Mereka patuh dan taat kepada segala suruhan dan larangan Allah. Kekuatan inilah yang dicemburui musuh Islam. Mereka tahu kekuatan umat Islam ada pada keimanan mereka, lalu untuk memusnahkan umat Islam mestilah dimulai dengan memusnahkan keimanan mereka.

Umat Islam sering lupa bahawa segala aspek kehidupan mereka di dunia ini, tidak kira dalam ibadah khusus kepada Allah seperti solat, puasa, zikir mahupun kehidupan dunia seperti belajar, berniaga dan lainnya berpaksikan kepada dua kalimah syahadah dibaca, “Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah.”

Oleh itu, pemakaian menutup aurat juga tidak terlepas daripada kaitannya dengan syahadah kita kepada Allah. Pakaian menutup aurat adalah lambang ketaatan kita kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apa yang aku larang hendaklah kamu hindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan semampu kalian.” (Muttafaq ‘Alaih)

Arahan menutup aurat jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Memakainya adalah satu bentuk ketaatan, sementara menanggalkannya pula adalah satu bentuk maksiat kepada Allah dan derhaka kepada Rasul-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, oleh kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Allah secara jelas menerangkan antara objektif pensyariatan hukum menutup aurat adalah supaya orang beriman lebih mudah dikenali. Memakai pakaian menutup aurat, kita dapat membezakan antara individu beriman dengan yang tidak beriman. Membezakan diri daripada orang bukan Islam adalah salah satu tuntutan akidah Islam.

Ia termaktub dalam konsep al-Wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri). Konsep al-Bara’ menuntut supaya kita berlepas diri daripada segala bentuk kekufuran, membenci orang kufur serta menjauhi menyerupai identiti mereka.

Umat Islam seolah-olah melupai tuntutan ini. Pemakaian menutup aurat hanya dilihat sebagai satu hukum-hakam feqh yang kecil. Ia dilihat sebagai perkara cabang yang hanya dipandang enteng. Akan tetapi kita melihat sebaliknya berlaku di kalangan musuh Islam.

Mereka seolah-olah memahami betapa pentingnya konsep al-Wala’ dan al-Bara’ dalam Islam, lalu mereka cuba melemahkan benteng yang utuh ini. Mereka mahu umat Islam tidak lagi berbeza dengan mereka. Apabila berada di jalanan, kita tidak dapat membezakan siapakah Islam, dan siapakah bukan.

Satu perkara yang mereka serang bagi melemahkan al-Wala’ dan al-Bara’ ialah melalui pakaian. Serangan dilakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perundangan menyekat hak wanita Islam yang menutup aurat, mahupun melalui propaganda media massa.

Serangan kedua inilah yang paling berbahaya. Ia merebak di negara kita. Kempen kebebasan ditonjolkan di kaca televisyen sama ada melalui drama, telenovela mahupun iklan syampu yang menonjolkan keayuan perempuan tanpa tudung.

Menutup aurat digambarkan sebagai satu undang-undang kolot dan menyekat hak asasi manusia. Tindakan menghalang wanita Islam menutup aurat juga bertentangan dengan hak asasi manusia.

Musuh Islam tidak pernah berputus asa. Tidak semua umat Islam dapat mereka pengaruhi untuk membuka aurat dan membenci hukum menutup aurat. Bagi yang menutup aurat pula, mereka dikelirukan dalam isu purdah. Kekeliruan yang muncul ini hingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang wanita Islam yang memilih menutup wajah mereka daripada pandangan bukan mahram sebagai sekelompok manusia yang ekstrem dan melampau dalam mengamalkan ajaran Islam.

Umat Islam seolah-olah lupa itulah pakaian isteri Rasulullah SAW. Sarjana Islam berbeza pendapat dalam isu wajah aurat atau tidak. Ia dijelaskan secara terperinci oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kitab beliau Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah.

Beliau berpegang wajah bukan aurat. Sementara untuk membaca hujah sarjana yang mewajibkan pula, boleh dilihat dalam kitab Risalah Al-Hijab susunan Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin.

Tidak kiralah sama ada kita berpegang wajah aurat atau tidak, wajib atau tidak menutup wajah. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pemakaian purdah menutup wajah adalah antara satu perkara yang disyariatkan Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan: “Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya.

Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa dia faham dan yakin berpandukan perbahasan imam ahli sunnah wal jamaah.”

Umat Islam hendaklah sedar, serangan yang ditujukan kepada tudung dan purdah adalah salah satu cara menghancurkan identiti Islam. Adalah malang apabila segelintir wanita Islam masih degil daripada menutup aurat walaupun tiada siapa yang akan memandang serong pada mereka.

Mendukacitakan lagi, apabila pemakaian purdah di Malaysia dipandang sebagai taboo dan di sesetengah tempat, pemakai purdah dinafikan hak untuk bekerja dan belajar.

29 peserta meriahkan tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

29 peserta meriahkan tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MAJLIS Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 yang bermula esok hingga 18 Julai adalah acara dinantikan mereka yang mengikuti perkembangan qari dan qariah serta ternanti-nantikan kemunculan mereka memperdengarkan bacaan merdu ayat al-Quran.

Bertempat di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak, seramai 29 peserta mewakili 14 negeri bakal memeriahkan majlis yang mengajak umat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk mendalami ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu.

Malah, johan menunggu iaitu qari dan qariah yang kedua-duanya mewakili Perak turut mengambil bahagian kali ini. Mereka ialah johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-51, Shamsul Ariffin Saban @ Supian dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata majlis yang diadakan setiap tahun itu berjaya mencapai hasrat meningkatkan ilmu pembacaan al-Quran dengan tajwid dan secara berlagu.

Katanya, penerbitan program menjurus secara khusus kepada ilmu pembacaan al-Quran juga membantu usaha meningkatkan minat serta kesedaran pentingnya ilmu qiraat diserapkan pada semua peringkat umur.

“Jakim sendiri melalui Darul Quran Jakim menawarkan Kursus Sijil Tinggi Taranum al-Quran sejak tiga tahu lalu. Kursus tiga bulan itu mendapat sambutan baik masyarakat termasuk qari dan qariah yang terbabit dalam majlis tilawah al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan dilakukan pihak Jakim berjaya mengubah persepsi penghafaz al-Quran yang sebelum ini agak malu untuk menyertai majlis tilawah apabila ramai penghafaz al-Quran mula menunjukkan minat.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 yang berlangsung lima hari di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak, akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sementara majlis penutup disempurnakan Sultan Perak.

Tilawah kali ini bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ mengajak umat Islam memahami bahawa penyatuan adalah agenda penting dalam hidup demi kelangsungan serta membina kekuatan Islam sejagat.

Seramai 12 hakim akan menyemak bacaan qari dan qariah. Mereka ialah Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad, Tan Sri Hassan Azhari, Datuk Sheikh Sallehuddin Omar, Datuk Muhammad Hasri, Datuk Sha’ri Abdullah, Ahmad Termizi Mohamad, Nik Jaafar Nik Ismail, Ku Abdullah Ku Jusoh, Ismawi Duet, Syeikh Roslan Abdul Halim, Abdul Rahim Ahmad dan Mohd Farid Ravi Abdullah.

Johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil. Naib johan menerima wang tunai RM7,000, cenderamata dan sijil.

Tempat ketiga menerima wang tunai RM5,000, cenderamata dan sijil sementara penerima hadiah sagu hati membawa pulang wang tunai RM2,000, cenderamata dan sijil.

Sempena berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52, pelbagai program dirancang antaranya pameran oleh agensi kerajaan dan swasta yang akan mempromosikan produk barangan Islam serta perkhidmatan disediakan mereka.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 turut menampilkan kelainan dengan persembahan bacaan al-Quran secara berkumpulan orang cacat penglihatan menggunakan al-Quran tulisan braille.

Budaya berfikir tingkat kecemerlangan ummah

Budaya berfikir tingkat kecemerlangan ummah

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

UMUM mengetahui akal anugerah Allah membezakan antara kejadian manusia dengan makhluk-Nya yang lain. Malah, dengan akal fikiran jugalah manusia mendapat tempat istimewa di sisi Allah.

Hakikatnya, akal boleh membawa manusia ke arah kebaikan mahupun kejahatan. Hanya dengan panduan wahyu Ilahi, akal dapat terus terarah kepada kebaikan yang akan menjamin kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Shod, ayat 29)

Dalam al-Quran, banyak ayat yang mengajak manusia sentiasa berfikir. Hal ini sehinggakan seseorang dikira memiliki darjat iman yang tinggi jika mereka sentiasa berfikir kejadian alam ciptaan Ilahi. Tanpa penelitian dan pengamatan mendalam, mana mungkin manusia dapat membongkar khazanah kekayaan Allah buat faedah kehidupan mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.” (Surah Ali-Imraan, ayat 190)

Selain itu, bagi memberi gambaran jelas mengenai suruhan Allah supaya manusia sentiasa berfikir, Allah tidak menurunkan ayat-Nya dalam al-Quran secara mendatar. Penggunaan gaya bahasa berbentuk perumpamaan atau contoh mengajak kita berfikir mengenainya.

Bahkan melalui uslub seperti itu, manusia yang berfikir akan mendapat gambaran sesuatu mesej dengan lebih jelas. Contoh, apabila Allah menerangkan kelebihan menafkahkan sebahagian harta pada jalan Allah ataupun bersedekah, Allah membuat perumpamaan yang menarik dan jelas.

Firman-Nya yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Bukankah jelas ganjaran pahala yang bakal dianugerahkan kepada mereka yang menafkahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah melalui ayat itu? Namun, bagi mereka yang malas untuk berfikir dan mengkaji, akan menganggap ayat itu atau yang seumpamanya adalah satu ayat biasa dan hanya indah untuk didengar serta dilagukan saja.

Masalah umat Islam hari ini ialah sikap tunggu dan lihat kehebatan hasil ciptaan orang lain untuk faedah mereka. Kita lebih cenderung menerima apa saja yang dihasilkan orang lain tanpa semangat ingin tahu atau berfikir untuk menghasilkan ciptaan sendiri yang mungkin lebih hebat lagi.

Selain itu, sikap memandang sesuatu benda dengan pandangan biasa tanpa rasa teruja untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut juga antara faktor yang mendorong umat Islam malas berfikir.

Saban hari kita melihat pelbagai masalah dihadapi manusia, namun selagi masalah itu tidak dialami sendiri dalam kehidupan kita, maka usaha untuk memikirkan kaedah penyelesaian terbaik dan jalan keluar tidak langsung singgah di kotak minda kita.

Dalam al-Quran, secara jelas Allah mengingatkan supaya sentiasa berfikir dan mengambil iktibar akan kisah yang berlaku ketika zaman nabi terdahulu. Peringatan itu memberi mesej jelas bahawa hanya mereka yang berfikir dan sedar akan terselamat daripada terjerumus ke lembah kebinasaan seperti terjadi kepada generasi terdahulu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran.” (Surah Yusuf, ayat 111)

Bagaimanapun, dalam perintah dan galakan untuk sentiasa berfikir, janganlah tergolong dalam golongan yang melampaui batas. Seperti yang kita sedia maklum, tidak semua perkara boleh digapai oleh akal fikiran manusia yang amat terbatas ini. Ada beberapa menjadi urusan mutlak Allah dan hanya Dia sahajalah yang Maha Mengetahui.

Hal ini seperti yang berlaku apabila Rasulullah SAW ditanya oleh seorang Yahudi di Madinah mengenai roh, maka pada ketika itu turun wahyu daripada Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakanlah: Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Surah al-Israa’, ayat 85)

Jika umat Islam tidak memanfaatkan akal fikiran yang dianugerahkan Allah, dikhuatiri kita akan terjebak kepada satu masalah besar iaitu menyibukkan diri dengan angan-angan kosong. Inilah antara strategi penuh tipu daya yang dimainkan syaitan supaya manusia terus alpa dibuai mimpi dan keseronokan bersifat sementara.

Allah menjelaskan strategi syaitan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong.” (Surah an-Nisaa’, ayat 119)

Marilah kita menanam iltizam untuk terus mencerna minda dengan berfikir secara kritis dan kreatif mengenai sesuatu perkara yang membawa faedah kepada umat. Pemikiran yang baik ialah apabila berupaya menggunakan akal atau minda untuk menilai sesuatu perkara, membuat pertimbangan wajar serta menghasilkan satu ciptaan baru ataupun membuka jalan penyelesaian masalah secara inovatif.

Semoga dengan budaya berfikir seperti ini, kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang menyinari zaman Rasulullah SAW, sahabat dan tokoh ilmuwan terkemuka Islam seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Ibn Khaldun, Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali dan ramai lagi.