Saturday, May 9, 2009

AGAMA : SABTU 09 MEI 2009

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik
GANDINGANdan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anakmereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungipelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat
MANUSIAtidak terlepas melakukan kesalahan kerana itu sudah menjadi sifat tabiimanusia biasa kecuali Rasulullah SAW yang bersifat maksum. Namun, bagiseorang Muslim apabila sudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa,perlu segera bertaubat kepada Allah SWT.

Ekspedisi Kasih yakinkan Orang Asli mengenai Islam
CAWANGANDakwah Bukan Islam dan Orang Asli (DBIOA), Bahagian Dakwah JabatanKemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program �Ekspedisi Kasih�ke Perkampungan Orang Asli di Pos Raya Simpang Pulai, Perak serta PosHendrop dan Tuel di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

Oleh Mohd Shukri Hanapi


PERHATIAN dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding
wang ringgit. - Gambar hiasan




Islam anjur hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israk, ayat 23-24)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15)

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat
Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kematian datang tiba-tiba, sentiasa dalam kemaksiatan boleh menghancurkan peribadi Muslim

MANUSIA tidak terlepas melakukan kesalahan kerana itu sudah menjadi sifat tabii manusia biasa kecuali Rasulullah SAW yang bersifat maksum. Namun, bagi seorang Muslim apabila sudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa, perlu segera bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat penuh keinsafan dan penyesalan gambaran sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan baik berupa dosa kecil mahu pun dosa besar seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maksud dosa besar ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti mencuri, berzina dan lain-lain, yang memang termaktub dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW.

Apabila menyedari sudah melakukan dosa, haruslah segera membersihkan diri. Rasulullah SAW sendiri walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Namun, sebilangan besar masyarakat Islam hari ini begitu leka melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah bahkan menjadi kebanggaan pula apabila melakukannya. Benarlah seperti diungkapkan Asy-Syekh Husen Yusuf Ghazzal: "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Berlakunya hal demikian lantaran masyarakat Islam memiliki iman yang lemah. Mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu dangkal. Sedangkan apabila sentiasa berada dalam kemaksiatan boleh menghancurkan keperibadian seorang Muslim.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita yang ingin merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti.

Mereka sebenarnya memberi jawapan mengelirukan, seolah-olah mereka berpegang pada dahan yang rapuh kerana seseorang itu belum tentu hidupnya sampai usia lanjut. Oleh itu, bertaubat segera adalah perbuatan bijak dan terpuji.

Nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Oleh itu, taubat perlu dilaksanakan segera tanpa tangguh-tangguh. Apa lagi taubat itu wajib hukumnya. Lalu bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut;

l Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

l Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Oleh itu, marilah kita mencari keredaan Allah dengan membersihkan diri daripada segala dosa dengan bertaubat sepanjang masa. Jangan tunggu hingga esok kerana matlamat hidup kita sebenarnya ialah mendapatkan kebahagiaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang dikasihi Allah SWT.

Ekspedisi Kasih yakinkan Orang Asli mengenai Islam

Ekspedisi Kasih yakinkan Orang Asli mengenai Islam

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

CAWANGAN Dakwah Bukan Islam dan Orang Asli (DBIOA), Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program 'Ekspedisi Kasih' ke Perkampungan Orang Asli di Pos Raya Simpang Pulai, Perak serta Pos Hendrop dan Tuel di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, yang merasmikan program berkenaan, berkata jabatan dan agensi berkaitan perlu memperluaskan kegiatan bagi merapatkan hubungan masyarakat luar dengan Orang Asli.

Katanya, hubungan yang rapat perlu bagi memastikan Orang Asli mendapat bimbingan secara berterusan seterusnya memberi keyakinan untuk mereka mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

"Pelbagai program yang dianjurkan termasuk Ekspedisi Kasih ini diharap memberi kesan lebih baik kepada Orang Asli dan pada masa sama, membolehkan kita memperkenalkan kemuliaan Islam sebagai agama fitrah," katanya.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Pos Raya, Simpang, Pulai Perak.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim yang juga ketua Ekspedisi Kasih, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Mohd Noor Abd Hamid.

DBIOA adalah salah satu daripada empat cawangan dakwah di bawah Bahagian Dakwah Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997 bertujuan melaksanakan kegiatan dakwah memperkenalkan Islam dan memberi kefahaman serta penjelasan mengenai Islam kepada bukan Islam.

Cawangan yang menjadikan bukan Islam dan Orang Asli sebagai kumpulan sasaran memastikan program ziarah serta pengenalan Islam dapat dilaksanakan melalui program pemantapan serta susulan yang dirancang.

Objektif DBIOA selain menarik lebih ramai Orang Asli dan bukan Islam memeluk Islam, cawangan itu juga membuat penyelidikan dan gerak saraf terhadap Orang Asli serta melaksanakan pengurusan penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Antara pendekatan DBIOA ialah mengadakan sambutan sempena hari-hari kebesaran Islam dan program khidmat masyarakat di perkampungan Orang Asli, mengendalikan bengkel, muzakarah, mesyuarat dan majlis mesra dengan saudara baru dan saudara yang belum Islam.

Konvoi Ekspedisi Kasih membabitkan 69 peserta menaiki 20 kenderaan pacuan empat roda bermula dari Putrajaya itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Perak dan Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Terbabit sama ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Polis Diraja Malaysia, Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hospital Pusrawi dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela).

Seramai 45 Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, menyatakan keislaman mereka disaksikan Wan Mohamad yang kemudian menyempurnakan majlis syahadah itu. Sebelum itu, seramai tujuh Orang Asli memeluk Islam iaitu empat di Pos Raya, Simpang Pulai dan tiga di Pos Tuel, Gua Musang.

Pengislaman 76 Orang Asli sempena Ekspedisi Kasih dan sambutan baik daripada masyarakat Orang Asli membuktikan Islam mampu dikembangkan melalui program yang dilaksanakan secara terancang.

Program susulan adalah penting kerana sebagai saudara baru, banyak yang ingin dipelajari untuk mendalami ajaran Islam seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan harian mereka sebagai umat Islam.