Monday, August 17, 2009
AGAMA : ISNIN 17 OGOS 2009
Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!
TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yangpenuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamubersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
Kufur tinggal solat Jumaat tiga kali
SOALAN 1: Apakah hukum jika tidak pergi tunaikan solat Jumaat dengan sengaja tiga kali berturut-turut.
Dakwah secara rahsia
SAFIYYU Al Rahman Al Mubarakfuri yang bukunya Sirah Nabawiyyah SAW yangmenjadi rujukan utama penulis bagi mengisi ruang rencana ini mungkinmempunyai kisah yang tersendiri bagi menentukan pemuda mana yangpertama memeluk Islam selepas Siti Khadijah, isteri Rasulullah.
Jihad ekonomi, bisnes perlu diperhebat
JIHADekonomi dan bisnes perlu digerakkan secara besar-besaran bagimembangunkan ekonomi orang Melayu dan umat Islam di negara ini sertamengangkat martabat umatnya kembali gemilang seperti pada zamanRasulullah yang juga seorang ahli perniagaan.
Imarah: Masjid At-Taqwa TTDI anjur program untuk remaja
SELAINusaha, tawakal dengan memanjatkan doa kepada Allah menjadi satutuntutan yang seharusnya diamalkan terutama bagi pelajar yang bersediauntuk menghadapi peperiksaan pada peringkat sekolah rendah, menengahmahupun pengajian tinggi.
Undang-undang Islam sering diperlekeh
NEGARAkita mengamalkan dwisistem perundangan iaitu sistem undang-undang sivildan sistem undang-undang syariah. Kedua-dua sistem ini hendaklahmenjadi pelengkap antara satu sama lain dalam menyusun atur masyarakatpelbagai kaum dan agama. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsinyatersendiri dan perlu dihormati.
Rasulullah tidak menetapkan jumlah rakaat solat tarawih
SUASANAdi dalam masjid hiruk-pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al-Banayang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid.Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua-duakumpulan ini melihat Hassan al-Bana memasuki masjid, mereka semua diam.
Sampaikan mesej Islam secara berhemah
TUGASberdakwah kepada masyarakat Islam adalah antara kewajipan yang dituntutdalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Imarah masjid dengan aktiviti agama pada Ramadan
KERAJAANmahu melihat semua masjid dapat dicerna dan dipenuhi dengan empatkategori amalan utama iaitu sebagai tempat menyebar dakwah, melaksanaaktiviti keilmuan, ibadah dan agama serta program khidmat masjid dankemasyarakatan.
Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!
|
|
TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.
Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)
Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)
Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."
Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.
Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".
Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.
Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.
Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".
Kerana Allah
Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :
Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.
Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.
Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.
Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.
Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".
Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".
Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.
Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.
Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).
Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!
Kufur tinggal solat Jumaat tiga kali
|
|
SOALAN 1:
Apakah hukum jika tidak pergi tunaikan solat Jumaat dengan sengaja tiga kali berturut-turut.
Jawapan:
Menunaikan solat Jumaat adalah fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf. Sekiranya tidak menunaikan Solat Jumaat tanpa sebarang alasan adalah berdosa besar.
Jika dia meninggalkannya selama tiga kali berturut-turut dia dikategorikan sebagai seorang yang kufur sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Barang siapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali dengan sengaja maka kufurlah ia".
Melalui hadis ini jelaslah kepada kita tentang betapa pentingnya solat Jumaat dan betapa besarnya dosa jika meninggalkannya dengan sengaja.
Soalan 2:
Adakah emas yang dijadikan perhiasan seseorang wanita perlu ditunaikan zakatnya. Kalau perlu berapakah nilai berat emas dan berapakah zakat yang perlu dikeluarkan.
Jawapan:
Barangan kemas (emas dan perak) yang dipakai oleh seseorang wanita tidak dikenakan zakat sekiranya tidak melebihi uruf (kebiasaan setempat) pemakaian barang kemas tersebut bagi seseorang wanita.
Jika melebihi uruf kebiasaan, ia dikenakan zakat. Walaubagaimanapun untuk mengetahui berapakah kiraan zakat yang perlu dikeluarkan dari barang kemas tersebut serta sukatan uruf bagi sesuatu tempat, anda boleh menghubungi kaunter pungutan zakat yang berhampiran dengan tempat anda.
Soalan 3:
Apakah hukum bagi seseorang muslimah sekiranya di luar memakai tudung tapi bila berada di tempat kerja memakai skirt, uniform yang sudah ditetapkan?
Jawapan:
Aurat wanita semasa berada di hadapan lelaki yang bukan mahramnya atau ketika berada di luar ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan.
Tidak ada keringanan di dalam persoalan menutup aurat. Para majikan juga hendaklah mempertimbangkan rekaan uniform pekerja yang sesuai bagi memenuhi ciri-ciri menutup aurat bagi pekerja muslimah.
Oleh itu sekiranya majikan tetap tidak membenarkan pakaian menutup aurat dipakai maka wanita muslimah dinasihatkan agar mencari pekerjaan yang sesuai dan memenuhi tuntutan syarak.
Soalan 4:
Bagaimana hendak membezakan air mazi , air mani dan air wadi untuk wanita?
Jawapan:
Air mani ialah cecair yang keluar ketika mencapai kemuncak syahwat ketika berjimak atau bermimpi hingga mengeluarkan mani. Hukum air mani adalah suci.
Walau bagaimanapun apabila keluar air mani, maka seseorang itu wajib mengangkat hadas besar iaitu mandi wajib.
Air mazi ialah air yang keluar ketika ghairah. Jika diyakini air yang keluar itu adalah air mazi, maka seseorang itu tidak wajib mandi hadas, memadai dia membasuh sahaja kemaluannya dan tempat yang terkena air mazi tersebut. Ini kerana air mazi adalah najis mutawassitah (pertengahan).
Air wadi pula ialah air putih pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita selepas membuang air kecil, atau mengangkat sesuatu barang yang berat atau kepenatan. Hukumnya adalah najis mutawassitah iaitu sama dengan air mazi dan tidak perlu mandi wajib memadai dengan membasuhnya sahaja.
Sekiranya air mazi dan wadi terkena pada pakaian ketika solat, solat tidak sah kerana kedua-duanya adalah najis mutawassitah.
Air mani tidak najis, jika terkena pakaian ketika solat, solat tidak batal.
Dakwah secara rahsia
|
|
SAFIYYU Al Rahman Al Mubarakfuri yang bukunya Sirah Nabawiyyah SAW yang menjadi rujukan utama penulis bagi mengisi ruang rencana ini mungkin mempunyai kisah yang tersendiri bagi menentukan pemuda mana yang pertama memeluk Islam selepas Siti Khadijah, isteri Rasulullah.
Menurutnya, di hari pertama, tidak sahaja isteri baginda malah sepupu Nabi, Ali bin Abi Thalib bersama-sama anak angkat, Zaid bin Harithah dan sahabat baik baginda sendiri, Abu Bakar Al Siddiq, sekali gus memeluk Islam ketika baginda mula melancarkan dakwah.
Jika Abu Bakar turut termasuk dalam senarai paling awal ini, perkara ini bukan sesuatu yang menghairankan. Ini kerana baginda dan Abu Bakar seperti yang kita ketahui, mereka adalah sahabat karib!
Maka seorang sahabat akan menuruti jejak langkah sahabat karibnya terutama dalam perkara-perkara kebaikan dan tentunya risalah nabi dapat diterima baik oleh Abu Bakar.
Bagi menjayakan misi sahabat baiknya itu, Abu Bakar kemudiannya membantu Rasulullah menyebarkan Islam. Beliau dapat menjalankan tugas itu dengan baik kerana tidak sahaja beliau lahir daripada kalangan bangsawan Arab.
Namun yang ketara, beliau juga mempunyai akhlak yang mulia dan disenangi oleh semua orang.
Dalam hal membuat kebajikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan beliau juga orangnya yang paling terkehadapan. Kesemua ini menyebabkan ramai yang menyukai Abu Bakar atau nama sebenarnya Abdullah bin Abi Qahafah itu.
Seorang ahli perniagaan yang berjaya, Abu Bakar yang juga sering digelar dengan panggilan Atiq telah berjaya membawa beberapa orang sahabat menganut Islam. Ini termasuklah Uthman bin Affan Al Umawi, Al Zubair bin Al Awwam Al Asadi, Abdul Rahman bin Auf@Awf Al Zuhri, Saad bin Abi Waqas al Zuhri dan Talhah bin Ubaidullah al Taymi.
Pengikut terawal
Menurut al Mubarakfuri, mereka berlapan ini mendahului orang lain dalam menerima Islam dan merekalah kumpulan pengikut terawal dan terkehadapan dalam perkembangan syiar dan dakwah Islam.
Di kalangan golongan terawal memeluk Islam ini termasuklan Bilal bin Rabbah al Habshiy. Diikuti Ubaydah Amir bin al Jarrah, Abu Salamah bin Abdul Al Asad Al Makhzumi, Al Arqam bin Abi Al Arqam Al Makhzumi, Uthman bin Mazun dan dua adik-beradiknya Qudamah dan Abdullah, Ubaydah bin Al Harith bin al Al Muttalib bin Abdul Manaf, Said bin Zayd Al Adawi dan isterinya Fatimah al Khattab Al Adawiyyah (adik perempuan Umar bin al Khattab), Khabbah bin Al Aratt, Abdullah bin Masud al Hudhaliy dan ramai lagi.
Kesemua mereka tergolong dalam kalangan Al Sabiqun Al Awwalun yang rata-rata daripada kabilah Quraish yang sebenarnya dikatakan bilangannya melebihi 40 orang.
Ibnu Ishaq dalam riwayatnya menyebut, beberapa orang lelaki dan wanita kemudiannya berturut-turut memeluk Islam sehingga tersebar berita mengenai perkembangan agama itu di Mekah dan mula menjadi bualan orang ramai.
Namun kesemua mereka ini memeluk Islam secara rahsia atau bersembunyi. Ini bukan sahaja kerana atas permintaan baginda, tetapi rata-rata mahu menyembunyikan anutan agama baru itu kerana bimbang akan ditentang oleh kaum keluarga dan pembesar-pembesar Quraish yang kebanyakannya begitu kuat menyembah berhala.
Dakwah secara bersembunyi itu menyaksikan tidak sahaja baginda mengajarkan mengenai Islam itu secara tertutup malah termasuk untuk melakukan ibadat solat itu sendiri, ibadat itu juga terpaksa dilakukan jauh daripada pandangan orang ramai.
Ini kerana solat jemaah itu menjanjikan fadilat dan pahala yang tinggi, lalu baginda terpaksa mengajak para pengikutnya melakukan ibadat itu secara rahsia dengan berselindung di sebalik celah-celah bukit atau di tengah-tengah padang pasir.
Pergerakan dakwah Islam yang senyap namun semakin tersebar luas ini sebenarnya masih tidak dianggap sebagai satu ancaman kepada kalangan kafir Quraisy. Mereka mengambil sikap tidak peduli malah terus tenggelam dengan amalan tradisi menyembah berhala itu.
Sebagaimana Al Mubarakfuri memetik kata-kata Muhammad al Ghazali dalam Fiqh Al Sirah. "Berita-berita Nabi Muhammad menyebarkan Islam akhirnya sampai juga ke pengetahuan golongan Quraish.
"Tetapi mereka tidak ambil peduli. Boleh jadi mereka menyangka Muhammad (Rasulullah) adalah sama seperti golongan pengkaji agama yang sering berbicara mengenai ketuhanan dan hak-hak ketuhanan seperti yang dilakukan oleh beberapa individu lain di Kota Mekah itu.
"Ini termasuklah Umayyah bin Abi al Sult, Qiss bin Saadah, Amru bin Nufayl.
"Dalam pada begitu, secara diam-diam mereka tetap memerhatikan berita yang tersebar ini dan melihat sejauh mana kebenaran dan kesannya terhadap kepercayaan daripada nenek moyang yang mesti dipertahankan.
"Lalu mereka tidak sahaja mengintip malah sentiasa mencuri-curi telinga untuk mengetahui hasil dan dakwah baginda itu".
Begitulah suasananya ketika itu. Di saat penyembahan terhadap patung-patung berhala masih rancak diamalkan yang turut bererti kuatnya iktikad yang dimiliki oleh penyembah berhala.
Namun semua itu tidak lagi menjadi penghalang kepada baginda.
Baginda tahu, berhala-berhala tersebut tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi mempunyai sebarang kuasa dan sumpahan yang menyebabkan baginda menjadi lemah, takut dan menarik balik niat dan usaha untuk menyebarkan Islam.
Namun kita menyedari apa yang dilakukan oleh baginda umpama satu kejayaan kepada misi yang mustahil (untuk berjaya).
Ini apabila Islam dapat disebarkan di luar lingkungan keluarga Rasulullah walaupun secara rahsia. Ia adalah kejayaan yang cukup bermakna buat baginda. Ini kerana berdakwah terhadap ahli keluarga mungkin mudah. Ini berikutan kewibawaan baginda sebagai ketua keluarga.
Tetapi kepada para jiran, sahabat dan masyarakat sekitar, ia umpama usaha untuk menembusi tembok-tembok yang tebal kerana tebalnya iman mereka terhadap ratusan patung berhala pelbagai bentuk.
Namun inilah era yang ditempuhi oleh baginda setelah bimbang mengenai kemampuannya sendiri untuk menembusi tembok tersebut. Namun dengan bantuan ayat-ayat al-Quran yang menitahkan baginda supaya mula memberikan peringatan supaya baginda keluar daripada lingkungan keluarga dan sahabat yang rapat, ini memberikan kekuatan kepada baginda.
Dakwah secara rahsia dan senyap-senyap ini berlangsung selama tiga tahun. Satu waktu, yang tumpuannya supaya manusia percaya wujudnya tuhan yang sebenar. Yang tidak perlu dicipta melalui tangan untuk tujuan penyembahan tetapi tuhan yang benar-benar wujud dan menganugerahkan Islam sebagai nikmat mempercayai-Nya
Dalam hal ini, Rasulullah mengungkapkan tugas dalam satu perumpamaan yang sangat menarik. Dari Jabir sabda Rasulullah yang bermaksud: Perumpamaan aku dan para Nabi seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, maka dia sempurnakan dan mencantikkannya, kecuali sebuah bata. Maka sesiapa yang memasukinya dan melihatnya akan berkata: Alangkah cantiknya rumah ini kecuali sebuah bata itu! (riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara lain Rasulullah bermaksud jika hanya terdapat bata sahaja tetapi tidak dijadikan asas kepada pembinaan sebuah rumah, maka ia umpama Islam itu hanya ada pada nama sahaja!
Jihad ekonomi, bisnes perlu diperhebat
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
Kesepakatan pemimpin, ulama dan ummah mampu angkat martabat Islam
JIHAD ekonomi dan bisnes perlu digerakkan secara besar-besaran bagi membangunkan ekonomi orang Melayu dan umat Islam di negara ini serta mengangkat martabat umatnya kembali gemilang seperti pada zaman Rasulullah yang juga seorang ahli perniagaan.
Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Dr Abd Malek Awang Kechil turut mencadangkan supaya kurikulum pengajian agama di semua peringkat pendidikan memasukkan sejarah Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya serta perkembangan dan ketamadunan Islam berhubung keusahawanan dari perspektif Islam.
Katanya, kekuatan ekonomi ummah sama ada secara individu atau kolektif akan memberi impak besar kepada umat Islam.
"Atas dasar inilah, gerakan besar-besaran harus dilakukan dengan melancarkan jihad ekonomi dan jihad bisnes untuk melahirkan kebangkitan umat Islam bersaing dan maju dalam ekonomi.
"Walaupun pencapaian ekonomi umat Islam di negara ini masih pada tahap rendah, kesedaran semakin ketara yang menuntut satu transformasi ekonomi ummah dilakukan segera. Oleh itu, bagi menjayakan hasrat murni ini, kesepakatan pemimpin, ulama dan seluruh umat Islam amat penting untuk menentukan kejayaan yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk 'Transformasi Ekonomi Ummah: Pengalaman dan Peranan Semasa Negara MABIMS' � (Perspektif Malaysia) pada Seminar Muzakarah Ulama MABIMS di sini, baru-baru ini.
Seminar itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dan ulang tahun ke-20 penubuhan MABIMS.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Awang Metussin Baki ketika membentangkan kertas kerjanya dengan tajuk sama, berkata apabila menyentuh soal ekonomi Islam, ada sebahagiannya tidak berminat memberi reaksi dan tidak kurang juga yang berpandangan negatif.
Katanya, sepatutnya umat Islam sudah lama berjaya menguasai ekonomi setanding ekonomi bangsa lain kerana asasnya sudah diletakkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sejak Islam mula bertapak di Madinah lebih 1,400 tahun lalu.
"Rasulullah sudah merancang ekonomi untuk umat Islam ketika mula bertapak di Madinah bersama sahabat baginda, Abdul Rahman Auf menerusi penubuhan pasar untuk aktiviti perniagaan.
"Jadi, seperti yang dianjurkan Islam dan dibuktikan Nabi Muhammad, adalah wajar seluruh umatnya menggerakkan ekonomi untuk mengangkat wadah umat menerusi bidang perniagaan.
"Dalam hal ini negara anggota MABIMS perlu melancarkan dan menggerakkan jihad bisnes untuk memperkasakan ekonomi umat Islam, baik pada peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa," katanya.
Imarah: Masjid At-Taqwa TTDI anjur program untuk remaja
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
SELAIN usaha, tawakal dengan memanjatkan doa kepada Allah menjadi satu tuntutan yang seharusnya diamalkan terutama bagi pelajar yang bersedia untuk menghadapi peperiksaan pada peringkat sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi.
Lebih afdal jika amalan itu dibuat secara berjemaah bagi menghidupkan rasa kecintaan terhadap kebesaran Ilahi, apatah lagi dilakukan dalam suasana penuh ukhuwah sambil disulami rasa keinsafan, diselit pula pengajaran mengenai kesungguhan Rasulullah SAW menghadapi perjuangan.
Itulah yang dilakukan jawatankuasa Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Petaling Jaya baru-baru ini menganjurkan Program Solat Hajat Perdana menghadapi peperiksaan kepada 250 pelajar dari tiga sekolah rendah dan menengah yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Aktiviti yang julung kali diadakan itu dimulakan dengan bacaan surah Yasin serta tahlil sebelum disambung dengan ceramah motivasi yang disampaikan pensyarah dari Universiti Malaya, Ahmad Faizal Abdul Hamid selepas solat Maghrib.
Ahmad Faizal menekankan aspek perjuangan dalam menghadapi peperangan oleh Rasulullah SAW bagi menunjukkan betapa sifat tekun dan sabar menjadi kunci kejayaan Baginda untuk menghadapi apa saja situasi selain memberi kaedah khusus membuat persiapan awal menghadapi peperiksaan.
Program itu bukan saja disertai pelajar, malah ramai ibu bapa bersama-sama mendoakan kejayaan anak mereka. Solat Hajat dipimpin Mohd Solleh Abdul Razak turut mendoakan kesejahteraan rakyat yang kini menghadapi wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).
Pegawai Pentadbir masjid Masjid At-Taqwa, Abdul Salam Mohd Jerais, berkata melihat kepada sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 800 peserta, jawatankuasa akan menjadikan majlis sebegitu sebagai aktiviti tahunan.
"Banyak lagi program sebegini akan diadakan bagi menggalakkan lebih ramai remaja mendekatkan diri mereka dengan masjid," katanya.
Undang-undang Islam sering diperlekeh
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Perintah mahkamah syariah tidak dipatuhi, ditohmah tanpa penyelidikan
NEGARA kita mengamalkan dwisistem perundangan iaitu sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang syariah. Kedua-dua sistem ini hendaklah menjadi pelengkap antara satu sama lain dalam menyusun atur masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsinya tersendiri dan perlu dihormati.
Sistem undang-undang sivil sudah diterima pakai masyarakat namun kesedaran mematuhi undang-undang syariah masih pada tahap rendah sama ada di kalangan orang Islam apatah lagi bukan Islam. Undang-undang Islam masih lagi dianggap seolah-olah 'undang-undang kelas kedua' yang tidak memberi kesan apabila tidak mematuhinya. Institusi perundangan syariah sering kali ditohmah tanpa siasatan yang wajar malah tidak keterlaluan jika dikatakan kejayaan institusi agama langsung tidak dapat membuka mata golongan ini.
Malah kebanyakan tindakan institusi agama menjadi daya kritikan pihak tertentu. Umpamanya perintah sah yang dikeluarkan mahkamah syariah tidak dipatuhi malah diperlekehkan atas pelbagai alasan. Sering kali juga bidang kuasa mahkamah syariah dipersoalkan walaupun sudah jelas ia terletak di dalam bidangnya melalui keputusan yang dibuat mahkamah sivil.
Penulis mengambil perbandingan satu isu yang hangat diperkatakan di mahkamah syariah baru-baru ini iaitu isu sebatan. Apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Ada yang mengatakan hukuman itu salah, ada pula yang mengherdik mahkamah syariah kerana tidak berperikemanusiaan dan tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.
Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Kenapa perbezaan sebegini berlaku? Mungkin persepsi yang diambil ialah apa saja yang dikeluarkan dari sebuah institusi Islam, ia pasti tidak baik. Persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.
Kesedaran mematuhi undang-undang syariah ini amat rendah kerana masih ada pihak berkuasa sendiri yang tidak menyedari ada undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana kewujudan enakmen ini hanya 'disedari' baru-baru ini saja. Namun pelaksanaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya!
Begitu juga kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah syariah. Atas apa juga alasan, kesalahan ini amat kurang didakwa di mahkamah syariah yang menyebabkan suami atau bapa umpamanya mengambil kesempatan untuk tidak membayar nafkah isteri atau anak. Begitu juga isteri atau ibu yang tidak mematuhi terma perintah hadhanah anak.
Sebenarnya memang ada golongan yang tidak berapa takut mengingkari perintah mahkamah syariah kerana tidak merasai akibat keingkarannya. Tambahan pula kesalahan di mahkamah syariah hanya membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan gagal memberi pengajaran kepada orang Islam.
Sudah sampai masanya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) itu dipinda bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang bagi kesalahan syariah lain supaya hukuman kesalahan dikenakan hukuman lebih berat. Tindakan ini boleh menyuntik keinsafan ke arah penghayatan dan pematuhan undang-undang syariah di dalam negara.
Mahkamah syariah sebagaimana mahkamah sivil tidak mengaplikasikan logik akal semata-mata. Tatkala mahkamah sivil terikat dengan prosedur dan undang-undang, mahkamah syariah pula dipandu nas dari hukum syarak. Hakim mahkamah syariah tidak teruja dengan kemampuan akal semata-mata, tetapi memberi penekanan berat kepada nas yang diterima pakai. Umat Islam tidak mempunyai pilihan selain menerima hukum yang ditetapkan secara qatie. Inilah keunikan mahkamah syariah yang perlu diinsafi masyarakat tanpa mengira sama ada mereka itu Islam atau sebaliknya.
Rasulullah tidak menetapkan jumlah rakaat solat tarawih
Oleh Yussamir Yusof
SUASANA di dalam masjid hiruk-pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al-Bana yang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid. Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua-dua kumpulan ini melihat Hassan al-Bana memasuki masjid, mereka semua diam.
"Kenapa bergaduh?" Soal Hassan al-Bana dengan lembut.
"Kami mahu solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Tetapi mereka katakan tidak sunnah. Yang sunnah kata mereka 9 rakaat." Seorang lelaki dari kumpulan itu menjawab pertanyaan Hassan al-Banna.
Dengan lembut dan bersahaja Hassan al-Bana bersuara, "Adakah solat yang sunat ini lebih penting daripada kewajipan untuk bersaudara di kalangan kita sesama Muslim?"
Di atas adalah secebis peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Hassan al-Bana masih hidup. Isunya kecil tetapi disebabkan tiada kefahaman yang mendalam terhadap hukum Islam, ia menjadi besar. Lebih-lebih lagi apabila emosi mengatasi wahyu dan rasional, maka itulah yang akan terjadi.
Saban tahun perkara ini sering berlaku. Satu pihak menuduh mengadakan perkara baru dan satu pihak menuduh terlalu memudah-mudahkan agama. Namun yang sebenarnya, kedua-dua dakwaan ini sama sekali tidak berasas. Dalam Islam, sesuatu hukum atau penetapan dalam agama haruslah bersandarkan dalil. Dalil atau bukti dalam Islam ialah al-Quran dan Hadis sahih. Oleh itu, untuk membicarakan mengenai hukum, emosi harus dijauhkan. Terutama dalam hal yang terdapat di dalamnya perbezaan pandangan di kalangan ulama muktabar.
Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, "Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup".
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, "Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Berdasarkan hujah di atas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir. Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam Sahihnya. Saiditina Aisyah berkata, "Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat."
Dalam menyelesaikan perbalahan mengenai jumlah rakaat ini. Imam Ibn Taimiyah berkata, "(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan."
Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)
Muhasabahlah diri kita. Adakah Ramadan yang bakal menjelma ini akan menghasilkan bibit perpecahan hanya kerana bertegas soal jumlah rakaat. Atau kita sama-sama meraikan perbezaan yang menjadi satu rahmat kepada manusia. Ramadan bukanlah bulan untuk berdebat siapa salah siapa betul. Tetapi Ramadan adalah bulan keberkatan yang di dalamnya penuh dengan kebaikan.
Sampaikan mesej Islam secara berhemah
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Gunakan pendekatan lemah lembut, beradab ketika berdakwah
TUGAS berdakwah kepada masyarakat Islam adalah antara kewajipan yang dituntut dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Perintah kewajipan berdakwah ini sememangnya banyak terdapat di dalam rentetan ayat al-Quran dan juga hadis Rasulullah. Di antaranya, firman Allah maksudnya: Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik. (surah al-Nahl, ayat 125)
Dalam surah yang lain, Allah berfirman lagi maksudnya: Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata 'sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman. (Surah Fussilat, ayat 33)
Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi di dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan bahawa ayat-ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah dan ia adalah satu kewajipan yang amat besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.
Yang lebih menariknya, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan agar hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapatnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya. (Hadis riwayat Muslim)
Oleh kerana itu, Allah memerintahkan umat Islam supaya menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah salah satu pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping ia juga mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah. Ini kerana jika seorang pendakwah berdakwah dengan tidak mengambil kira pendekatan hikmah, sudah pasti akan menatijahkan kelompok sasaran semakin jauh darinya.
Sheikh al-Sabuni ketika mentafsirkan ayat di atas, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah dengan maksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci dengan cara yang penuh bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan kepada mereka dan seterusnya dapat menerimanya dengan penuh kerelaan tanpa kekerasan dan kekasaran.
Sehubungan itu, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dan tidak bersikap kasar dalam tindak tanduknya. Ini kerana dengan bersikap kasar, orang bukan Islam bukan saja tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam, malah mereka juga akan terus membenci dan mencerca Islam, bahkan sampai ke tahap menghina Allah.
Oleh kerana itu, Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan setiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan. (Surah al-An'am, ayat 108)
Jelas di sini bahawa Islam melarang umatnya mencerca orang bukan Islam dalam perkara ibadat mereka, apatah lagi mencerca sesama Muslim yang hanya sebab berlainan mazhab atau fahaman politik. Oleh sebab itulah berdakwah kepada kebaikan dengan tidak bersikap santun dan penuh hikmah hanya akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan di kalangan umat.
Berdakwah adalah satu kewajipan yang amat mulia di sisi Islam dengan tujuan untuk mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran. Sekiranya golongan yang didakwahkan itu tidak tertarik dan terbuka pintu hatinya, maka itu adalah kehendak dan ketentuan Ilahi semata-mata. Oleh sebab itu, seorang pendakwah hendaklah bersabar dan berusaha dengan lebih giat lagi untuk mempamerkan keindahan Islam.
Imarah masjid dengan aktiviti agama pada Ramadan
KERAJAAN mahu melihat semua masjid dapat dicerna dan dipenuhi dengan empat kategori amalan utama iaitu sebagai tempat menyebar dakwah, melaksana aktiviti keilmuan, ibadah dan agama serta program khidmat masjid dan kemasyarakatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pengisian dan program dan aktiviti masjid perlu digembleng agar memenuhi empat kategori amalan itu.
Katanya, maju mundurnya amalan dan tahap penghayatan terhadap agama Islam boleh diukur sejauh mana masjid di sesuatu tempat itu berjaya diimarahkan oleh seluruh umatnya.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan urusan, saya ingin melihat masjid dapat dicernakan dengan aktiviti agama dan mengimarahkannya setiap masa.
"Jadi, dengan kedatangan Ramadan ini, ia boleh dilaksanakan sebagai permulaan mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti agama," katanya pada majlis penyampaian bantuan Ihya Ramadan kepada Masjid dan Surau dalam Wilayah Persekutuan di Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong di sini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.
Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, sempena menyambut Ramadan tahun ini, MAIWP meluluskan peruntukan bantuan Ihya Ramadan, program keceriaan dan kebersihan masjid dan surau termasuk bantuan kepada golongan asnaf membabitkan orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM2.6 juta.
Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan juga memberi sumbangan RM177,000 untuk membiayai program yang sama dengan kerjasama MAIWP dan Jawi untuk disalurkan kepada 66 masjid, 69 surau Jumaat dan 432 surau biasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Diharapkan dengan bantuan ini akan menjadikan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dapat diimarahkan dan melaksanakan program Ihya Ramadan dengan semangat penuh keimanan," katanya.