Keganasan tidak mengenal agamaOleh SITI AINIZA KAMSARI
"AGAMA telah kembali, memberikan tindak balas, berlawanan dengan semua jangkaan. Di banyak bahagian dunia agama kembali berkuasa sehinggalah membentuk satu gerakan bersifat ketenteraan!," kata Ketua Rabbi United Hebrew Congregation of British Commonwealth, Profesor Jonathan Sacks.
Petikan di atas antara banyak petikan yang dijadikan pemula bicara syarahan oleh mantan Menteri Luar Indonesia (1991-2001), Dr. Alwi Abdurrahman Shihab pada forum awam anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Berdasarkan tajuk 'Cabaran Dunia Terhadap Ekstremis Agama (dengan rujukan khas kepada yang berlaku di Asia Tenggara)', Dr. Alwi berhujah bagi mempertahankan fakta bahawa agama apa pun di dunia ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keganasan.
"Ini kerana seperkara yang mesti kita tahu bahawa keganasan itu sendiri yang tidak mengenal sebarang batas dan norma agama, bangsa, negara dan sehinggalah sempadan geografi.
"Sepanjang sejarah kita telah berkonfrontasi dengan tindakan keganasan yang secara komited dilakukan oleh kumpulan daripada pelbagai latar belakang dan tujuan atau motif," katanya.
Menurut Dr. Alwi, pada hari ini terdapat kumpulan-kumpulan yang menyebabkan keganasan terus menjalar di serata dunia.
Ini termasuklah Kumpulan Harimau Tamil di Sri Lanka, Kumpulan Takfir wal-Hijrah di Mesir, Kumpulan Baader-Meinhof di Jerman, Kumpulan Red Brigade di Itali, Kumpulan Action Directe di Perancis, Tentera Republikan Irish di England, Tupak Amaru di Peru, Aum Shinri Kyo di Jepun, Kumpulan Abu Nidal di Palestin, Kumpulan Abu Sayyaf di Filipina dan tentu sekali Rangkaian Al Qaeda yang diketuai oleh Osama Ben Laden.
"Ramai yang setuju kebanyakan motivasi kumpulan ini didominasikan tindakan ganas semata-mata untuk membalas dendam dan reaksi kepada ketidakadilan yang menekan hidup mereka," kata Dr. Alwi.
Namun beliau tidak menafikan sebahagian besar nama-nama kumpulan itu berasal daripada sesetengah fahaman agama atau mempergunakan agama sebagai pendorong motivasi sehingga menjadi asas ajaran yang dipegang untuk mereka bertindak ganas.
"Tetapi menjadikan agama sebagai sasaran untuk membenci dan mengkritik orang lain adalah satu kesalahan. Tidak ada agama, terutamanya agama sehebat Islam yang sanggup bersekongkol atau menyokong sebarang tindakan sehingga menyebabkan ramai mereka yang tidak berdosa terbunuh.
"Al-Quran sendiri mengutuk sebarang tindakan yang menyebabkan kehilangan nyawa manusia. Ini sebagaimana dalam surah al Maidah, ayat 32 yang antara lain ditegaskan, seseorang yang membunuh orang lain seolah-olah dia membunuh seluruh manusia yang lain," katanya.
Tragedi 11 September, serangan terhadap bangunan-bangunan utama di Amerika Syarikat (AS) memberi banyak perubahan terutamanya kehidupan di negara itu dan negara-negara Barat, amnya. Tidak ada tindakan ganas sebelum ini yang memberikan impak yang begitu besar berbanding tragedi ini.
mengejutkanMenurut Dr. Alwi, mitos selama ini yang mengatakan AS satu-satunya negara kuasa besar dan bebas daripada serangan oleh mana-mana pihak, benar-benar mengejutkan masyarakat dunia apabila negara itu sebenarnya tidak sekuat mana apabila diserang oleh pengganas dalam peristiwa itu.
"Malah rakyat AS sendiri sebenarnya tidak menyalahkan tindakan ganas itu tetapi lebih menyalahkan pentadbiran Amerika dan dasar luar negara mereka terhadap isu Palestin sebagai alasan di sebalik tindakan ganas itu," katanya.
Sejak itu, ramai yang menulis mengenai Islam dan mengaitkan agama itu dengan keganasan dengan menyalahkan al-Quran, kitab suci umat Islam yang kononnya membenarkan dan mengandungi ajaran supaya umat Islam boleh bertindak ganas.
Tegas Dr. Alwi, Islam diturunkan untuk jaminan keselamatan dan keamanan untuk semua komuniti yang mengandungi berbilion umat manusia hari ini yang diterjemahkan dalam bentuk undang-undang dan kata-kata nasihat.
"Bukan Islam namanya jika agama itu tidak menekankan soal kesejahteraan, keadilan dan kedamaian
"Al-Quran sendiri diturunkan dalam satu masyarakat yang suasananya didominasikan tindakan membalas dendam dan perang antara puak.
"Sehinggalah hari ini di mana keadaan di seluruh dunia masih diselubungi peperangan sehinggalah diancam oleh kemusnahan yang bakal diletuskan oleh bom-bom nuklear," katanya.
Ajaran al-Quran tegas Dr. Alwi lagi, dengan jelas menentang keganasan, sama ada yang dicetuskan oleh orang perseorangan mahupun kumpulan tertentu.
Malah Islam melalui undang-undangnya menawarkan perlindungan kepada yang bukan Islam daripada menjadi mangsa kekejaman yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin-pemimpin dan pemerintah Islam.
"Jadi kita benar-benar bingung dengan tragik yang berlaku pada 11 September itu dan negara saya sendiri, Indonesia juga ditimpa dengan peristiwa pengeboman di Bali pada tahun 2002 oleh mereka yang mendakwa sebagai seorang Muslim sejati yang dikatakan mempunyai pengetahuan luas dalam ilmu dan ajaran Islam," katanya.
Beliau yang kini merupakan Perutusan Khas Presiden Indonesia ke Timur Tengah mengakui ramai yang mendakwa rasa permusuhan yang tercetus merupakan ekspresi akibat berlaku pertentangan dalam budaya dan peradaban antara Islam dan Barat.
"Ia telah lama menjalar dan berakar umbi dalam satu sejarah perlumbaan dan konflik yang sangat panjang. Ini sebagaimana yang diutarakan sendiri oleh Samuel Huntington dalam tulisannya Clash of Civilization antara Timur (Muslim) dan Barat (Kristian)," katanya.
Namun tidak sahaja soal pertembungan antara dua budaya tetapi beliau tegaskan, terdapat faktor luar dan dalaman yang memburukkan lagi permusuhan.
"Tragedi 11 September misalnya merupakan contoh faktor luar yang dimaksudkan. Iaitu dasar luar negara-negara Barat terhadap dunia Islam, terhadap umat Islam terutamanya dasar luar Amerika terhadap konflik Arab Israel yang perlu disemak semula.
"Ini kerana dasar mereka itu dilihat oleh dunia Islam sebagai terlalu berat sebelah dengan menyebelahi Israel secara melampau. Ini mencetuskan tindakan agresif dan keganasan, di tambah lagi dengan pelbagai perbezaan budaya dan peradaban yang ada sebelum ini," katanya.
Pada hari ini juga kata Dr. Alwi, kebanyakan golongan radikal Islam merupakan mereka yang anti-nasional, iaitu satu cara bagi merealisasikan impian untuk menyatukan seluruh umat Islam.
Dasar AS dilihat sebagai batu penghalang yang besar kepada mereka untuk membentuk kerajaan yang sehaluan untuk era perubahan yang lebih Islamik.
"Mereka melihat Amerika sentiasa mempertahankan rejim yang sepatutnya dapat ditumbangkan bagi memenuhi hasrat mereka itu. Ini menjelaskan mengapa Osama bin Laden mempunyai hubungan dan kaitan dengan Kumpulan Jemaah Islamiah dan Kumpulan Jihad Islam Mesir yang merancang untuk menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak yang sebelum ini berjaya membunuh Presiden Anwar Sadat," katanya.
Sementara faktor dalaman (dalam Islam itu sendiri) pula merupakan manifestasi gerakan reformasi Islam dalam dunia Arab moden. Iaitu selepas kejatuhan Empayar Othmaniah, gerakan pembaharuan Islam mula tumbuh di kebanyakan negara-negara Arab.
Dr. Alwi membahagikan kepada dua bentuk gerakan, iaitu Gerakan Salafi dari kumpulan Wahhabi yang mahu Islam dikembalikan sepenuhnya kepada ajaran yang sebenar dan menolak untuk dipengaruhi oleh budaya barat.
gerakan Islam"Sementara kumpulan kedua, merupakan satu gerakan Islam yang mahu menggabungkan antara peradaban barat dari Eropah dengan dunia Islam itu sendiri.
"Dengan lain perkataan, bertujuan untuk berkompromi antara dunia Islam dan dunia Eropah yang moden dengan tidak sama sekali menolak barat. Tokoh yang begitu menggerakkan gerakan ini termasuklah Jamaluddin Al Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh dari Mesir," katanya.
Bagi kedua-dua jenis gerakan ini mereka berkongsi matlamat untuk membersihkan Islam dari sebarang kelemahan dan perkara yang boleh merosakkan agama itu.
"Namun gerakan Wahhabi menggunakan kaedah yang lebih lebih tegas untuk semua visi dan misi mereka. Mereka menolak segala amalan agama yang menjadi ajaran selepas era Islam abad ke-3 termasuk sebarang falsafah Islam, Sufi, Syiah dan segala budaya tempatan .
"Bagi mereka segala perbuatan bidaah dan pembaharuan dalam agama adalah bertentangan dan lari dari landasan Islam yang sebenar.
"Mereka yang kafir mesti ditangani dengan kekerasan, semua adat tempatan, undang-undang, acara keagamaan yang tidak ditemui secara literal daripada Al Quran adalah terbatal dan semua itu satu bentuk penyembahan dan syirik.
"Kemusnahan kepada patung Buddha terbesar di dunia di bumi Bamiyan Afghanistan yang dilakukan oleh rejim Taliban jelas merupakan satu manifestasi dari sebahagian ajaran Wahhabi," katanya.
Namun persoalannya, bagaimana mereka yang mengaku Islam sanggup melakukan serangan dalam pelbagai siri keganasan di seluruh dunia sehingga menyebabkan kematian terhadap mereka yang tidak berdosa?
"Jawapannya, mereka mengaku dirinya seorang Muslim sedangkan pada hakikatnya mereka sebenarnya tidak cukup mengenali agamanya sendiri dengan menganggap bahawa mereka membawa amanat dari Allah dan di sisi undang-undang Islam, tindakan ganas sehingga membunuh mereka tidak berdosa dianggap bukan satu jenayah," katanya.
Namun tegas Dr. Alwi, keadaan ini tidak bezanya seperti apa yang berlaku dalam agama lain. Sebagaimana Kristian dan segala yang berkaitan dengan ajaran Nabi Isa itu, termasuk Teology Paul, Neo-platonism of Augustine, Peralihan Konstantin, Perang Salib, Taksub Pemimpin Suci, Ku Klux Klan dan sebagainya lagi, mereka juga bertindak ganas atas nama agama.
"Kononnya agama membenarkan untuk menyerang dan bertindak ganas kerana dengan berbuat demikian akan mendapat pelbagai ganjaran besar di kemudian hari.
"Namun adalah tidak adil, agama dituduh menjadi dalang atau yang menghalalkan semua tindakan ganas itu tetapi akibat pemahaman yang sempit menyebabkan agama itu bertukar ganas," katanya.
Jelas Dr. Alwi, agama apa pun, termasuk Islam membenarkan tindakan serangan tetapi tidak lebih bertujuan untuk mempertahankan diri.
"Maka menjadi tanggungjawab kepada para pemimpin agama dan negara untuk menggunakan ayat-ayat itu secara bijak supaya kesannya keamanan dan kedamaian tetap terpelihara dan bukannya untuk membangkitkan kemarahan dan dendam antara satu sama lain.
"Dengan berlakunya tragedi 11 September walaupun telah berlalu selama hampir 10 tahun tetapi masih lagi merupakan masa dan peluang yang terbaik untuk kita menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang cintakan kedamaian, menghormati segala perbezaan dan bukan membenci arah aliran yang berbeza yang menjadi amalan sebilangan kaum yang lain," katanya.
Lebih-lebih lagi, kata Dr. Alwi dalam era globalisasi ini yang menyaksikan semakin tersebarnya gerakan-gerakan yang radikal. "Yang jelas menunjukkan era itu menyebabkan dunia semakin saling bergantungan namun bukan untuk tujuan integrasi," katanya.
Katanya, Norman Daniel dalam bukunya Islam and West, sehingga kini, kalangan penganut Kristian masih kuat beranggapan dalam pemikiran mereka bahawa Islam merupakan ancaman dan musuh yang mesti diperangi.