Friday, August 21, 2009

AGAMA : JUMAAT 21 OGOS 2009


Tentera Muslimin dalam Perang Uhud
SETELAH Nabi Muhammad SAW menerima surat daripada Abas bin Abu Mutalibyang mengatakan tentang persiapan kaum Quraisy untuk menentang kaumMuslimin, baginda segera kembali ke Quba' bertemu dengan sahabat dantentera-tenteranya.


Allah beri ganjaran bagi setiap kebajikan
SheikhSya'rawi berkata: Allah SWT telah menggariskan bagi kebenaran tanpamenyebut kesemuanya. Ada di kalangan mereka mempunyai fikrah imandengan rasul, fikrah iman dengan al-Quran dan ada yang beriman dengankesemuanya kerana itu daripada keadilan Allah, memisahkan antara merekayang ada iman dan mereka yang kekal dengan kekufuran.

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar
TANGGAL21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umatIslam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lahir keranainsiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Sabar hadapi karenah mertua
Soalan: APAKAH yang patut dibuat oleh seorang menantu lelaki yang tidakdisukai oleh bapa mertuanya apabila beliau telah dilarang dari pergi kerumah bapa mertuanya?







Persiapan mendapat berkat Ramadan
BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruhmukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAWdalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanyaRamadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkanketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilahkami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Soal jawab Agama: Tidak galak puasa selepas 15 Syaaban
BENARKAH mengerjakan puasa sunat selepas 15 Syaaban adalah diharamkan?

Kuiz Jejak Rasul 15 TV3 sedia hadiah menarik
DOKUMENTARI Jejak Rasul musim ke-15 terbitan TV3 yang kembali menemui penonton esokbukan saja tampil lebih menarik dan segar, malah

Teater jadi program dakwah di masjid
MASJID bukan saja tempat beribadat, tetapi selayaknya diangkat sebagai pusatkomuniti Islam menjalankan aktiviti merapatkan ukhuwah seterusnyamelahirkan umat bertamadun yang lebih terbuka.

Tentera Muslimin dalam Perang Uhud

Tentera Muslimin dalam Perang Uhud


Umat Islam yang menunaikan umrah tidak melepaskan peluang menziarahi Bukit Uhud untuk melihat kesan peninggalan sejarah.


SETELAH Nabi Muhammad SAW menerima surat daripada Abas bin Abu Mutalib yang mengatakan tentang persiapan kaum Quraisy untuk menentang kaum Muslimin, baginda segera kembali ke Quba' bertemu dengan sahabat dan tentera-tenteranya.

Baginda memerintahkan tenteranya supaya bersiap sedia untuk menghadapi lawan dan bertempur dengan kaum Quraisy.

Baginda menyarankan tenteranya supaya sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada kerana pihak musuh sudah memulakan perjalanan menuju ke Madinah.

Tentera-tentera baginda mendengar arahan dengan tenang sekali dan tidak sedikit pun menampakkan kegelisahan. Baginda mengirimkan dua orang utusan iaitu Anas bin Fathalah dan Mu'nis bin Fadha'ah untuk mengintip tentera Quraisy.

Setelah menyelidik segala pergerakan tentera Quraisy, kedua-dua utusan ini kembali ke Madinah dan mengkhabarkan kepada baginda.

Baginda menyuruh pula seorang sahabatnya yang bernama Hubab bin Mundzir supaya menyelidiki lebih jauh lagi tentang kedatangan tentera Quraisy yang telah hampir memasuki Madinah itu.

Penduduk-penduduk Madinah mula berasa takut dan tidak tenteram dengan berita kedatangan tentera Quraisy.

Kemudian untuk kali ketiganya, baginda mengupah Salamah bin Salamah untuk mengintip pergerakan tentera Quraisy. Ternyata tentera Quraisy sudah hampir memasuki Madinah. Setelah berita itu disampaikan kepada baginda, persiapan mula dilakukan dengan selengkap-lengkapnya.

Langkah pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengumpulkan seramai mungkin tentera-tenteranya. Seterusnya mereka diberi senjata yang lengkap dengan pakaian perang.

Sebahagian tentera Muslimin telah diarah oleh baginda supaya berjaga di tepi kota Madinah. Manakala sebahagian lagi mengawal di sekeliling masjid untuk menjaga dan mempertahankan baginda daripada segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama kemudian, baginda pun keluar dari rumah dengan berpakaian perang dan dilengkapi dengan senjata untuk berperang. Baginda keluar dari kota Madinah bersama 1,000 tentera Muslimin.

Hanya dua orang sahaja yang menunggang kuda, manakala 100 orang pula bersenjata lengkap, dan selebihnya mengikut dari belakang. Baginda dan tentera Muslimin pun memulakan perjalanan menuju ke Bukit Uhud, tempat berlakunya peperangan.

Allah beri ganjaran bagi setiap kebajikan

Allah beri ganjaran bagi setiap kebajikan


perbuatan baik seperti membantu mangsa kemalangan atau sekecil membuang paku di jalan raya akan diberi ganjaran oleh Allah.


Sheikh Sya'rawi berkata: Allah SWT telah menggariskan bagi kebenaran tanpa menyebut kesemuanya. Ada di kalangan mereka mempunyai fikrah iman dengan rasul, fikrah iman dengan al-Quran dan ada yang beriman dengan kesemuanya kerana itu daripada keadilan Allah, memisahkan antara mereka yang ada iman dan mereka yang kekal dengan kekufuran.

Ayat ke-113

Firman Allah SWT yang bermaksud: Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Sebab Nuzul

Ibn Abbas menyatakan sebab turun ayat ini kerana Abdullah bin Salam dan kumpulannya memeluk Islam lantas pendeta Yahudi berkata: "Tidaklah beriman dengan Muhammad kecuali orang-orang kita."

Iktibar dan fiqh ayat

i. Perkataan umat yang berdiri mempunyai tiga tafsiran:

l Adil. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Juraij.

l Mentaati Allah SWT. Inilah pendapat al-Sidiq.

l Tetap atas urusan dan perintah Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Qatadah dan al-Rabi'.

ii. Maksud membaca ayat-ayat al-Quran sepanjang malam ialah:

l Banyak masa di waktu malam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.

l Di tengah malam. Inilah pendapat al-Suddiq.

iii. Sheikh Mutawalli al-Sya'rawi menjadikan penutup ayat 113 di atas sebagai bukti bahawa yang dimaksud adalah orang-orang Yahudi yang telah memeluk agama Islam.

Ini kerana orang-orang Yahudi tidak mengenal solat malam. Dengan solat membuktikan mereka telah masuk Islam kerana hanya umat Islam yang mengenal solat malam.

iv. Hamka berkata: "Dan kita dapat menghargai pegangan mereka. Meskipun kita berpendapat kitab-kitab mereka telah bercampur aduk namun ayat yang asal dan tulen masih ada.

"Kita perhatikan dalam kitab Zabur dan Mazmur, ada ayat, doa dan munajat kepada Tuhan yang mendatangkan kekhusyukan bagi mereka apabila dibaca tengah malam dalam suasana sepi dan sunyi sehingga hati begitu dekat dengan Tuhan".

v. Al-Sonhadji berkata, setelah Allah SWT menerangkan sifat-sifat orang yang fasiq dan keburukan pekerti mereka maka Allah telah menyatakan pula sifat-sifat orang mukmin:

i. Ahli Kitab itu ada sekumpulan yang lurus (adil) tidak menganiaya seseorang atau menyalahi agama.

ii. Mereka membaca al-Quran dan solat tahajud.

iii. Dikhaskan sebutan sujud kerana di antara rukun-rukun sembahyang yang menandakan khusyuk dan tunduk terhadap Allah SWT.

Ayat ke-114

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: "Allah mengkhususkan dengan hari Akhirat untuk menzahirkan percanggahan dengan orang Yahudi sekalipun mereka mendakwa beriman tetapi mengkufurkan sebahagian kitab dan rasul".

ii. Al-Maraghi berkata: "Digunakan perkataan sur'ah dan bukan perkataan 'ajalah kerana perkataan yang pertama ini mendahulukan sesuatu yang wajar didahulukan lagi terpuji, dan perkataan yang berlawanan dengannya adalah menunda. Sedangkan perkataan 'ajalah bererti mendahulukan sesuatu yang tidak patut didahulukan (tergesa-gesa)".

iii. Hamka berkata: "Tuhan membuka mata kita untuk bersikap adil dan menghargai orang lain. Ini kerana masih terdapat orang-orang yang baik walaupun menganuti agama yang lain".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Allah SWT menyebutkan sifat mereka selanjutnya: Mereka percaya kepada Allah SWT dan hari kemudian dengan cara yang diredai Allah berbeza dengan kepercayaan orang Yahudi.

"Mereka menyuruh berbuat makruf dan melarang kepada perkara yang mungkar dengan melengkapkan diri dengan ilmu amal. Bersegera melakukan perkara-perkara kebaikan dengan tidak melambat-lambatkannya dan bermalas-malasan. "Hanya orang yang banyak alasan untuk mengerjakan kebaikan mempunyai hati yang sakit dalam diri mereka".

Ayat ke-115

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah sekali-kali tidak mengabaikan balasan tetapi membalas dengan secukupnya bahkan sebanyak-banyaknya kepada yang melakukan kebaikan".

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah membalas dengan adil tanpa sebarang kecuaian. Justeru, kebaikan yang dilakukan oleh manusia sekalipun tidak diketahui oleh manusia atau diingkari sedangkan Allah Maha Mengetahui terhadap orang yang bertakwa".

iii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT akan menurunkan ganjaran kepada mereka yang beramal, menurut keadaan mereka yang hanya diketahui Allah SWT, dan sesuai dengan niat yang terkandung di hati mereka.

"Barang siapa yang memiliki iman yang benar dan bertaqwa kepada Allah SWT sudah pasti akan berhasil memperoleh kebahagiaan.

"Ayat ini merupakan dalil seperti sebelumnya kerana tidak adanya pemberian pahala terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang baik. Kemungkinan besar kerana lupa atau kerana tidak tahu.

"Walau bagaimanapun, sifat ini tidak wajar terjadi pada Allah SWT sebab Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Atau boleh jadi Dia tidak memberikan pahala itu kerana Dia tidak mampu memberi, atau kikir, atau dia sendiri memang memerlukannya".

iv. Sheikh Muhammad Thair Ibn 'Asyur, majoiti ulama membaca ayat di atas dengan wa ma taf'alu, yakni apa sahaja yang kamu kerjakan. Berbeza dengan bacaan imam-imam qiraat Hamzah, al-Kisa'i dan Hafsh yang membacanya wa ma yaf'alu yang terjemahannya apa saja yang mereka kerjakan.

v. Hamka berkata: "Kalau iman dalam hati nescaya ayat ini mempengaruhi untuk berbuat amal dan kebajikan. Sedangkan ahli Kitab belum percaya kepada risalah dan nubuwah Muhammad SAW, belum mengenal al-Quran dan berdoa kepada Tuhan dengan isi kitab Mazmur".

Semoga kita menjadi orang yang beriman, melakukan amal makruf nahi munkar seterusnya berlumba dalam melakukan kebajikan. Amin.

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar

TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin).

Api marak dengan dahsyat sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan.

Namun, Allah SWT telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia diutus oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita dari Kitab Zakaria.

Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan 'gila', dengan kata lain, tidak waras.

Maka, atas sebab itu, Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.

Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.

Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia 'terbakar' hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu.

Begitulah nasib tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Berkait isu Palestin

Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam.

Sebab utamanya, kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah.

Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam.

Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.

Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam serta soal penindasan di Masjid Al-Aqsa.

Adalah diharap program ini akan menggerakkan masyarakat supaya sedar lalu terpanggil untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.

Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat dunia.

Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya cenderung untuk dirampas secara terus lagi haram oleh rejim Zionis.

Justeru, bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah amat wajar untuk kita sama-sama mengajak masyarakat sekeliling memperingatinya, apatah lagi merencana langkah strategik, efektif dan praktikal lagi kreatif demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin.

Sementara itu, antara aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini ialah ceramah umum, seminar, demonstrasi damai, penerbitan filem, buletin, cakera padat video (VCD), persembahan seni seperti teater, nasyid, dan festival seni dan pameran kesedaran di tempat awam yang strategik di masjid-masjid, sekolah-sekolah termasuk gedung membeli-belah dan sebagainya.

Sabar hadapi karenah mertua

Sabar hadapi karenah mertua

Soalan:
APAKAH yang patut dibuat oleh seorang menantu lelaki yang tidak disukai oleh bapa mertuanya apabila beliau telah dilarang dari pergi ke rumah bapa mertuanya?

Jawapan:

Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud: "Buatlah baik kepada manusia nescaya kamu dapat mengabdikan hati mereka." Saya ingin menyarankan kepada saudara agar terus berbuat baik kepada bapa mertua saudara. Batu yang keras pun kalau dititis air, lama kelamaan pasti akan ada kesannya. Saya kurang pasti sebab atau kenapa bapa mertua saudara begitu memarahi saudara.

Saudara bertanggungjawab mencari punca agar punca itu dapat diubati. Kalau salah di pihak saudara, saudara wajib meminta maaf terhadap kesalahan atau keterlanjuran yang menyebabkan bapa mertua terkilan sehingga ke hari ini.

Apa sahaja alasan yang saudara berikan kita sebagai anak tidak terlepas dari salah dan silap, jangan mencari kesalahan orang tua terhadap kita tapi carilah kesalahan kita terhadap mereka. Sebagai anak wajib mentaati kedua orang tua kita dan kedua-dua orang tua isteri kita.

Mentaati ibu bapa wajib selagi mana mereka tidak menyuruh kita perkara yang bertentangan dengan syariah Allah swt. Suatu perkara yang sudah hilang dari generasi hari ini ialah mencari jalan dan melakukan perkara yang disukai oleh orang tua.

Jangan berputus asa atas apa yang terjadi teruskan usaha tanpa jemu. Ada senjata yang paling mujarab dalam hal ini, iaitu saudara perbanyakkan doa, mohon Allah swt melembutkan hati dan perasaan bapa mertua saudara dan menerima saudara sebagai ahli keluarganya.

Saya juga yakin marah dia hanya di lisan sahaja bukan dari hati sanubarinya. Mesti di lubuk hati mertua saudara tetap menyayangi saudara.

Ziarah orang tua serta mengambil tahu keadaan mereka adalah sangat dituntut oleh Islam. Reda kedua orang tua menjadi penentu keredaan Allah swt. Lebih-lebih lagi di hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, walaupun kita tidak perlu tunggu hari-hari kebesaran Islam untuk meminta maaf atas kesalahan.

Allah swt menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, ini jelas dalam al-Quran firman Allah swt yang bermaksud:" Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya."(al-Baqarah: 83)

Dalam ayat yang lain: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa…" (al-Nisa':36)

Dalam ayat lain: " Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (al-An'am:151)

Di dalam surah al-Isra', firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (al-Isra':23)

Jika kita perhatikan kesemua ayat-ayat di atas kita akan dapati bahawa Allah swt memerintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka.

Berbuat baik kepada ibu bapa tiada batas hadnya. Buatlah sebanyak mana yang boleh asalkan hati dan perasaan ibu bapa tidak terkilan, malahan gembira kerana memiliki anak yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia.

Dalam meneliti selok-belok dan rentak ayat-ayat di atas, dapatlah difahami bahawa selepas perintah menyembah Allah swt dengan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu apa pun. Maka datang perintah seiring dengannya dari sudut kewajipan, itulah perintah mentaati kedua ibu bapa.

Boleh juga disimpulkan bahawa mentaati perintah Allah mesti seiring dengan mentaati kedua ibu bapa dan tiada ertinya mentaati Allah swt tanpa mentaati kedua ibu bapa.

Adapun orang yang mentaati Allah swt dalam masa yang sama tidak mentaati kedua ibu bapa pada hakikatnya dia sama sekali tidak mentaati Allah swt. Ini kerana Allah swt yang menyuruh manusia mentaati kedua ibu bapa dalam al-Quran beberapa kali supaya manusia mengambil iktibar dan pengajaran.

Di dalam masa yang sama, ibu bapa haruslah memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk memperbaiki kehidupan serta memperbetulkan kesalahan dan kesilapan.

Yang namanya manusia pasti tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan. Persoalannya kadang-kadang (tidak semua) ada ibu bapa yang berpatah arang atas kesilapan anak-anak mereka sehingga tidak dipedulikan langsung, atau lebih parah lagi disumpah dan mengharamkan menjejak kaki ke rumah orang tuanya atas alasan tidak dengar cakap atau melanggar cakap ibubapa.

Ibu bapa perlu sedar bahawa ujian yang paling besar yang sedang menanti mereka ialah ujian membesarkan dan mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Ibu bapa juga tidak boleh menetapkan bahawa anak-anak mesti mendengar cakap mereka.

Ini kerana bila anak-anak mempunyai keinginan masing-masing yang tidak difahami oleh ibu bapa. Adalah sangat wajar ibu bapa memahami keperluan anak-anak masa kini dan membantu mereka dalam perkara yang mereka rasa betul pada hakikatnya mereka salah.

Kalau ada di kalangan anak-anak yang meminta maaf dari kedua orang tuanya mahupun ibu mertua atau bapa mertua adalah menjadi sikap orang yang matang memaafkannya bukan berdendam.

Dalam hal keadaan seseorang anak sedar akan kesilapannya dan menginsafi kesalahannya lalu meminta maaf hendaklah dimaafkan kalau tidak pasti Allah swt memerhatikan sikap manusia dalam hal ini sedangkan Allah swt berjanji akan memaafkan segala kesalahan anak adam melainkan dosa syirik.

Persiapan mendapat berkat Ramadan

Persiapan mendapat berkat Ramadan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

l Tahap terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

l Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

l Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

l Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

l Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

l Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

l Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

l Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

l Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

Soal jawab Agama: Tidak galak puasa selepas 15 Syaaban

Soal jawab Agama: Tidak galak puasa selepas 15 Syaaban

Oleh Ustaz Zamanuddin

BENARKAH mengerjakan puasa sunat selepas 15 Syaaban adalah diharamkan?

Rasulullah SAW bersabda dari hadis Abu Hurairah bermaksud,: “Apabila sudah berlalu separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berkenaan, majoriti ulama berpendapat umat Islam tidak digalakkan melakukan puasa sunat selepas 15 Syaaban kecuali tiga perkara berikut iaitu: berpuasa kerana bernazar; puasa Kaf-farah (denda) dan berpuasa Qada (ganti). Ketiga-tiga sebab yang dimaksudkan itu mempunyai hujah kukuh untuk melakukan ibadat puasa bagi menyempurnakan puasa yang mereka tinggal, niatkan atau akibat kelalaian yang dilakukan.

Namun bagi, mereka yang sudah biasa melakukan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, disunatkan meneruskannya sehingga penghujung bulan Syaaban. Kesimpulannya, larangan Nabi SAW itu ditujukan kepada mereka yang hanya melakukan ibadat puasa sunat ini semata-mata untuk menyambut ketibaan Ramadan.


Adakah boleh bagi seseorang yang sakit tidak berpuasa Ramadan kerana pada tempoh berkenaan menjalani sesi rawatan dan perubatan?


Bagi mereka yang menjalani rawatan pada Ramadan, diharuskan berbuka puasa dan menggantikannya pada hari lain atau selepas sembuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang sakit atau bermusafir, maka bolehlah dia menggantikan pada hari yang lain (qada). Sesungguhnya Allah menginginkan kemudahan bagi kamu dengan tidak membebankan bagi kamu atas sesuatu perkara”. (Al-Baqarah: 185).

Sesungguhnya, Allah tidak pernah membebankan hambanya khususnya dalam melakukan ibadat. Ini dijelaskan Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 286, bermaksud : “Allah tidak memberatkan hambanya melainkan sekadar kemampuan yang ada pada mereka.”

Perlu diingatkan, walaupun tidak berpuasa kerana sakit dan menerima rawatan, pesakit perlu menghormati Ramadan termasuk tidak memakan di khalayak ramai kerana ia menyalahi adab pada bulan mulia.



Apakah hukum bagi orang yang bermusafir ke sesuatu negara pada awal Ramadan dan mendapati penduduknya masih belum berpuasa kerana anak bulan masih tidak kelihatan di tempat mereka, sedangkan di negara kita, puasa sudah bermula?

Hendaklah dia mengikut peraturan di negeri yang dikunjunginya itu iaitu berbuka puasa dan tidak wajib menggantikannya. Firman Allah SWT bermaksud: ”Barang siapa yang melihat anak bulan, hendaklah ia berpuasa”. (Al-Baqarah: 185). Dalam pada itu sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Berpuasalah kamu selepas melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu selepas melihat anak bulan (Syawal)”.

Begitu juga jika berlaku pada hari raya bagi negara itu sedangkan dia berpuasa (sebelum kunjungan). Maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka dan namun wajib menggantikan puasanya. Jika berlaku sebaliknya di mana mereka berpuasa sedangkan baginya sudah cukup puasa di negaranya sendiri (sebelum kunjungan) maka wajiblah dia berpuasa bersama-sama penduduknya kerana menghormati mereka selain untuk menjauhi fitnah.

Penulis ialah Pegawai Unit Agama, NSTP

Kuiz Jejak Rasul 15 TV3 sedia hadiah menarik

Kuiz Jejak Rasul 15 TV3 sedia hadiah menarik

DOKUMENTARI Jejak Rasul musim ke-15 terbitan TV3 yang kembali menemui penonton esok bukan saja tampil lebih menarik dan segar, malah memberi peluang kepada pembaca Berita Harian dan penonton TV3 untuk memenangi hadiah menarik menerusi Kuiz Jejak Rasul 15.

Hadiah utama pakej umrah bernilai RM6,000 serta beberapa hadiah iringan, hadiah kedua adalah televisyen LCD, penyaman udara dan hadiah iringan, manakala pemenang ketiga membawa pulang televisyen LCD, sistem home theatre dan hadiah iringan.

Penganjur turut menyediakan 17 hadiah sagu hati berupa telefon azan, pen Quran, al-Quran digital dan lampu Quran.

Penerbit Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Noor Sulaiman, berkata soalan kuiz berdasarkan program Jejak Rasul 15 bertemakan Sirah Anbiya yang disiarkan setengah jam bermula jam 6 petang setiap hari sehingga episod akhir pada 19 September.

Borang penyertaan boleh didapati di halaman agama Berita Harian dan Berita Minggu yang disiarkan setiap hari dan hanya borang asal diterima.

Dokumentari sejarah berkonsepkan travelogue itu mirip Jejak Rasul pertama, tetapi kali ini dijanjikan dengan segmen lebih menarik dan segar.

Jejak Rasul 15 mengupas sejarah nabi dan rasul, juga kisah penuh pengajaran seperti disebut al-Quran dengan paparan warna sari hidup masyarakat tempatan, merangkumi latar sejarah, budaya serta bahasa.

Siri 29 episod itu disokong fakta dan kajian ilmiah meliputi tujuh negara mengambil masa 100 hari penggambaran meliputi Jordan, Palestin, Syria, Turki, Arab Saudi, Mesir dan Yaman membabitkan enam krew diketuai penerbit program, Muhd Amin Yusof, manakala Ahmad Noor selaku pengacara.

Teater jadi program dakwah di masjid

Teater jadi program dakwah di masjid

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

MASJID bukan saja tempat beribadat, tetapi selayaknya diangkat sebagai pusat komuniti Islam menjalankan aktiviti merapatkan ukhuwah seterusnya melahirkan umat bertamadun yang lebih terbuka.

Dewasa ini, banyak kegiatan masyarakat dibawa ke masjid sekali gus membuka minda semua pihak bahawa pusat ibadat itu sebenarnya berupaya menjadi tarikan utama kepada semua peringkat usia untuk mengunjunginya.

Skop ibadat juga harus dikembangkan, bukan sekadar solat, tetapi menganjurkan kegiatan untuk merapatkan ukhuwah serta menyuntik nilai ilmu juga ibadat yang tidak wajar diketepikan.

Justeru, apabila jawatankuasa Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor menganjurkan persembahan teater, sambutannya sangat menggalakkan dan antara strategi paling berkesan mengajak lebih ramai mengimarah masjid.

Lebih unik, pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan karya Dinsman itu diadakan selepas solat Isyak di ruang solat dan pasti menjadi antara pendekatan paling berani serta terbuka jemaah masjid itu untuk menerima seni sebagai dakwah.

Pementasan secara monolog oleh pelakon komedi, Sabri Yunus dibantu suara latar oleh penyanyi lagu puisi, Sani Sudin itu menceritakan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, mengenai orang yang tidak berperang bersama Rasulullah. Sabri yang membawa watak Abdullah Ka’ab Malik, sahabat Nabi SAW menceritakan pengalaman tidak menyertai perang Tabuk dan menjadi antara hadis terpanjang.

Hadis itu diakui sangat unik dan istimewa. Ka’ab Malik, penyair dan sahabat Nabi SAW menceritakan kocakan perasaan sama ada berterus terang atau menipu Rasulullah SAW sekali gus menjadikan perwatakan yang dibawa Sabri sangat dramatik dan teaterikal.

Satu lagi pendekatan berani dibawa Dinsman ialah kemunculan Sani yang bermain rebana sambil menyampaikan cerita itu.

Jemaah pada semua peringkat usia termasuk kanak-kanak khusyuk menonton persembahan 45 minit itu dan secara tidak langsung mempelajari hadis yang membawa kesan sangat mendalam terhadap jiwa setiap muslimin.

Idea menyampaikan dakwah melalui seni harus dijadikan kaedah dakwah lebih banyak masjid kerana mampu mentarbiahkan lebih ramai sasaran terutama masyarakat Melayu yang mudah menerima elemen seni.

Dinsman dalam risalah pementasan itu berkata: “Saya melihat usaha ini seperti ustaz mengajar hadis, cuma cara mengajarnya saja berbeza. Namun, yang dipersembahkan itu tetap hadis dan daripada hadis yang panjang ini, pelbagai ilmu dan pengajaran boleh diambil penonton.”

Khalayak melihat lebih terperinci proses dialami seseorang yang bertaubat bersungguh-sungguh dengan penuh penyesalan dan berserah diri kepada Allah.

Terkesan juga di hati penonton betapa hubungan amat dekat Rasulullah dan Allah tatkala Baginda boleh menyerahkan hukuman ke atas sesuatu perkara secara langsung sehingga Allah menjawab kepada permasalahan Ka’ab melalui wahyu.

Pengarah program itu, Zulkifli Mohamad, berkata masyarakat sentiasa mencari hiburan alternatif untuk diterjemahkan sebagai mesej berguna dan dengan persembahan seperti ini, mereka lebih terbuka minda melihat seni sebagai wadah dakwah.

“Ia membuktikan Islam tidak mengongkong hiburan dengan membenarkan ia dilakukan di masjid. Ia anjakan paradigma bahawa seni antara cabang dakwah,” katanya.

Turut menjadikan majlis pada malam itu lebih meriah ialah kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said yang mendeklamasikan dua sajak, Orang Tua Dari Sejarah tulisannya pada 2002 dan karya pada 1999 berjudul Setinggan Ramadan.