Wednesday, September 19, 2007

Bersama YaPEIM: Menjiwai kandungan al-Quran


CARI KEBERKATAN: Ummah dituntut menjiwai kandungan al-Quran supaya dapat memanfaatkan pengajaran terkandung di dalamnya.

Pembaca dituntut manfaatkan pengajian isi kandungan kitab suci

AL-QURAN adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Membacanya dikira sebagai suatu ibadat. Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan adalah mukjizat besar Rasulullah yang masih dapat dilihat pada hari ini.

Al-Quran adalah satu-satunya wahyu yang terpelihara daripada sebarang penyelewengan seperti dijanjikan Allah menerusi firman-Nya, bermaksud "Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami (Allah) tetap memeliharanya" (surah al-Hijr: 9).


Sehubungan itu, umat Islam mesti mempastikan al-Quran tetap terpelihara kesucian dan martabatnya. Ia dapat direalisasikan apabila umat Islam ghairah membaca, menghafal, memahami dan mengambil pengajaran di sebalik ayat itu.

Dalam konteks pembacaan al-Quran, motivasi yang Rasulullah berikan kepada umat Islam ialah seperti yang dinyatakan dalam sabdanya daripada Ibn Mas'ud, yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca al-Quran satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan dan kebaikan itu ganjarannya sama dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, dan Lam satu huruf, dan Mim satu huruf" ( Sunan al-Tirmidhi, Bab Thawab al-Quran, Bab Ma Ja'a Fi Man Qara'a Harfa Min al-Qur'an Ma Lahu Min al-Ujr).

Lebih-lebih lagi pada Ramadan, umat Islam digalakkan membaca al-Quran secara bertadarus. Ia adalah antara amalan Rasulullah pada Ramadan adalah bertadarus al-Quran al-Karim.

Seperti yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Ibn 'Abbas ra katanya, bermaksud: "Nabi Muhammad adalah orang yang sangat pemurah dengan kebajikan dan kemuncak kemurahan adalah dalam bulan ini iaitu ketika Jibril ra menemuinya. Jibril ra menemuinya pada setiap malam Ramadan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan al-Quran kepadanya.

Ketika Jibril menemuinya, Rasulullah adalah lebih pemurah daripada angin berlepas". (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Ajwad Ma Kana al-Nabi Yakunu Fi Ramadan).

Bagaimanapun, al-Quran perlu dibaca dengan betul mengikut hukum tajwid, secara tartil dan tertib. Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil". (surah al-Muzammil: 4).

Malah, Rasulullah adalah seorang pembaca al-Quran yang paling bagus. Ia diakui sendiri oleh al-Barra' bin `Azib, beliau pernah mendengar Nabi membaca surah al-Tin ketika mengerjakan Isyak dan beliau tidak pernah mendengar suara yang begitu merdu dan elok melainkan suara Baginda (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhan, Bab al-Qira'ah Fi al-'Isya').

Kemahiran membaca al-Quran seharusnya digabungkan dengan kemahiran memahami apa yang dibaca. Inilah seperti yang disifatkan oleh al-Marhum al-Shaykh Muhammad al-Ghazzali sebagai teknik berinteraksi dengan al-Quran.

Sementara beliau menyesali sikap sesetengah umat Islam yang terlalu menumpukan soal pembacaan tanpa meneliti dan memahami apa yang dibaca, beliau turut menyesali sikap segelintir umat Islam yang membaca al-Quran semata-mata untuk meraih keberkatan daripadanya, walaupun ayat al-Quran yang diturunkan sarat dengan keberkatan.

Barangkali tindakan sesetengah umat Islam yang hanya menjadikan ayat al-Quran sebagai perhiasan khat yang menghiasi sudut tertentu di dalam rumah, membiarkan al-Quran berada di atas rak yang hanya dibuka dan dibaca dalam situasi tertentu seperti kematian, khatam al-Quran ketika majlis walimah, menjadikannya sebagai simbol penghalau unsur jahat boleh dikategorikan sebagai peminta dan pengharap kepada keberkatan itu.

Firman Allah bermaksud: "Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan padamu dengan berkat supaya memikirkan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran" (Surah Sad: 29)

Di samping itu, beliau turut menyesali dengan sesetengah umat Islam yang tidak berasa apa-apa ketika membaca ayat al-Quran. Secara mudah, beliau membuat perbandingan keadaan individu yang membaca al-Quran dengan orang yang membaca buku diminati.

Orang yang membaca buku selalunya mengalami suasana kejiwaan dengan dirinya menjiwai kandungan buku dibaca seolah-olah dia terbabit secara langsung dengan fakta dibaca. Jika ini boleh berlaku ketika membaca buku, apatah lagi ia harus, malah lebih afdal, berlaku ketika membaca al-Quran. Lebih malang lagi, apabila seseorang yang membaca al-Quran meletakkan kitab suci itu pada tahap yang rendah martabatnya setaraf dengan pembacanya.

Barangkali, fenomena ini berlaku apabila kita dapati ada sesetengah kita yang membaca al-Quran untuk mempastikan orang lain mendapat bencana atau kecelakaan. Contohnya, apabila seseorang kehilangan barang yang berharga, dia lantas membaca ayat al-Quran, selalunya surah Yasin, supaya orang yang mengambil barangnya itu menjadi sakit dan sebagainya.

Keadaan ini memaksa kita bertanya apakah al-Quran diturunkan untuk menjadikan orang lain sakit akibat perbuatannya sedangkan Allah berfirman maksudnya: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa" (surah al-Baqarah:2).

Apabila seseorang yang mahir membaca al-Quran dan memahami ayat yang dibaca harus memastikan dirinya terlebih dulu memanfaatkan ayat itu. Dengan kata lain, pengajaran isi kandungan al-Quran harus dimanfaatkan pembacanya terlebih dulu.

Jika ayat yang dibaca berkenaan dengan nikmat pemberian Ilahi yang wajib di syukuri, pembaca harus bertanya kepada dirinya adakah dia benar-benar termasuk orang mensyukuri nikmat itu. Begitu juga jika ayat dibaca mengenai seksaan api neraka, pembaca harus melakukan muhasabah dalam dirinya perkara itu.

Marilah kita renungkan kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ketika beliau membaca ayat 22-24 daripada surah al-Saffat yang maksudnya: "(Kepada malaikat diperintahkan): kumpulkanlah orang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan yang selalu mereka sembah, selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya; kenapa kamu tidak tolong menolong?", beliau begitu terpegun dengan ayat itu sehingga membawa ke waktu subuh.

Walaupun ayat itu menggambarkan pemandangan hari kiamat iaitu keadaan orang yang zalim lantaran kerana musyrik yang mereka lakukan, beliau berasakan ayat itu ada kena mengena dengan diri beliau.

Marilah kita berdoa dan berazam supaya tidak termasuk ke dalam golongan yang al-Quran kategorikan sebagai golongan yang 'mahjur' terhadap al-Quran.

Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

'Usah bangkit isu perbezaan mazhab'

Oleh Abdul Halim Yusoff

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu umat Islam di Malaysia terus berpegang teguh kepada agama Allah dan tidak membiarkan musuh dan anasir luar mengeruhkan keharmonian yang dinikmati semua rakyat dengan membangkitkan isu perbezaan mazhab.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, berkata Perdana Menteri yang mengadakan pertemuan dengan sekumpulan 40 ulama dan cendekiawan agama semalam menjelaskan bahawa kemurnian Islam di Malaysia akan terus terpelihara jika semua pihak mengekalkan status quo semasa berdasarkan mazhab yang sedia ada.

"Struktur pegangan (mazhab) kita di sini ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita tidak harus membiarkannya diganggu gugat oleh mana-mana unsur dan pemikiran baru hingga boleh merosakkan suasana keharmonian dalam negara.

"(Ini kerana) keadaan dan undang-undang serta pengurusan agama yang sedia kita amalkan menerusi negeri-negeri membolehkan kita kekal stabil dan unsur (negatif) luaran sukar untuk melemahkan kekuatan itu," katanya selepas majlis pertemuan itu di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Muhamad Sheikh Abdul Aziz dan mufti serta ahli persatuan ulama.

Abdullah kemudian menghadiri majlis berbuka puasa dan sembahyang sunat tarawih bersama ulama dan warga agama.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, dalam pertemuan itu ulama turut berkongsi pandangan dengan Abdullah dan meminta kerajaan memainkan peranan bagi memastikan mazhab yang sedia ada terus dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia.

Banyak negara Islam di seluruh dunia yang berpecah-belah dengan fahaman (mazhab) berbeza.

"(Islam) sepatutnya memperkuatkan ikatan mereka, tapi sebaliknya ia (mazhab) memecahkan mereka. Musuh agama sentiasa mencari jalan untuk memecah-belahkan umat Islam dengan menggunakan isu yang ada pada umat Islam, iaitu (perbezaan) mazhab," katanya.

Katanya, isu perbezaan mazhab sedang merebak dan keadaan yang ada boleh menjadi kritikal kerana rakyat terdedah kepada pengaruh luaran terutama daripada keadaan yang terjadi di Asia Barat seperti di Lubnan dan Syria umpamanya.

Justeru, Abdul Hamid berkata, Abdullah menzahirkan iltizam kerajaan untuk menangani keadaan itu menerusi sistem pendidikan yang harmoni dan secara berperingkat-peringkat

Ulama jamin tiada fahaman luar gugat ummah

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Para ulama hari ini memberi jaminan tidak ada fahaman atau pemikiran baru dari luar yang mampu memecah belah umat Islam serta menimbulkan suasana kacau-bilau di negara ini.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, ulama memberi jaminan struktur pegangan agama Islam di negara ini berdasarkan akidah Ahli Sunah Waljamaah tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pemikiran baru yang boleh merosakkan suasana.

Katanya, undang-undang sedia ada serta pentadbiran berkaitan hal ehwal agama oleh jabatan agama negeri-negeri berupaya menghalang unsur-unsur tidak sihat itu daripada mempengaruhi umat Islam di negara ini.

‘‘Keadaan di Malaysia dengan undang-undang yang ada ditambah pengurusan agama mengikut negeri-negeri telah mewujudkan kestabilan sehingga unsur-unsur dari luar sukar untuk menembusi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis dialog di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan para ulama di sini, hari ini.

Dalam perjumpaan tersebut, Perdana Menteri berbincang lebih sejam dengan kira-kira 40 ulama, cendekiawan dan ahli akademik mengenai isu-isu semasa berkaitan agama Islam.

Abdullah kemudiannya berbuka puasa, diikuti solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah sebelum menunaikan solat tarawih.

Menurut Abdul Hamid, dalam pertemuan tersebut, para ulama turut mencadangkan supaya pendidikan secara harmoni dan berterusan dilaksanakan bagi membendung gejala tersebut.

Jelasnya, cara tersebut dilihat lebih berkesan kerana Malaysia mempunyai penduduk berbilang agama dan kaum serta pelbagai parti politik.

Beliau memberitahu, banyak negara Islam khususnya di Asia Barat telah berpecah belah ekoran fahaman agama yang berbeza-beza.

119 SAR sudah berdaftar

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Sebanyak 119 sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) di seluruh negara telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 57 buah ialah Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri (46), Sekolah Rendah Agama Negeri (11) dan lima Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Tambah beliau, ia membabitkan 35,722 orang murid iaitu 3,468 di peringkat sekolah rendah dan 32,254 di peringkat sekolah menengah.

‘‘Sebanyak 120 buah sekolah SAR dan SAN lagi dalam proses permohonan dan perundingan bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

‘‘SAR dan SAN yang dalam proses permohonan ialah 68 buah di Kelantan, Johor (27), Kedah (22), Perak (dua) dan Pulau Pinang pula sebuah sekolah,’’ katanya.

Beliau berucap pada Majlis Multaqa Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Hishammuddin memberitahu, dengan pendaftaran 15 SAR dan SAN Negeri Sembilan hari ini menjadikan hanya 127 sekolah agama di negeri itu belum mendaftar dengan kementerian.

Katanya, kementerian juga membelanjakan RM147 juta bagi menyediakan prasarana asas seperti bangunan bilik darjah serta asrama untuk SAR dan SAN yang telah mendaftar.

Ujar beliau, kementerian sedang menyediakan kemudahan dewan makan di asrama secara berperingkat-peringkat kerana tender makanan bermasak akan mula ditawarkan pada tahun depan.

Pendaftaran SAR dan SAN dengan kementerian, katanya, turut memberi manfaat kepada 1,498 orang guru sekolah berkenaan yang diserapkan ke dalam skim perkhidmatan pendidikan.

Jelas beliau, ia membabitkan 1,172 guru sekolah menengah dan 326 guru sekolah rendah.

Pendaftaran sekolah agama tingkat imej Islam – Abdullah

UTUSAN MALAYSIA

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rakyat tidak perlu risau dengan langkah kerajaan mendaftarkan sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) kerana ia akan membantu memartabatkan imej pengajian Islam.

Perdana Menteri berkata, langkah menyerapkan dua jenis sekolah itu ke dalam pendidikan nasional akan memberi peluang kepada pelajar agama untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan sehingga menjadi individu yang berfikiran terbuka, berjiwa besar dan tinggi sahsiah.

‘‘Kita tidak mahu pelajar sekolah agama masuk dalam golongan mereka yang berakal sempit yang tidak relevan dengan zaman sekarang dan berfikiran jumud yang tidak dapat menerima ilmu-ilmu lain,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Multaqa Guru-Guru SABK Peringkat Kebangsaan 2007 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada program itu, Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman pendaftaran 15 SAR dan SAN di Negeri Sembilan sebagai SABK.

Menurut beliau, pendaftaran yang dibuat secara sukarela sejak Januari 2005 adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengubah imej SAR dan SAN supaya menjadi lebih baik dengan sumber kewangan mencukupi di samping memiliki guru terlatih.

‘‘Saya yakin, latihan kepada guru yang diserap daripada SAR dan SAN boleh dilakukan dengan lebih berkesan seperti guru sekolah kebangsaan yang kini 80 peratus telah diberi latihan.

‘‘Bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan akan memastikan keadaan SAR sebelum ini yang bergerak sekadar mengikut kemampuan dengan mengharapkan bantuan zakat dan fitrah tidak lagi berterusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, langkah mendaftarkan SAR dan SAN juga akan membolehkan sekolah aliran agama mencapai prestasi cemerlang dan memberi peluang kepada pelajarnya merealisasikan potensi diri sehingga ke peringkat universiti.

‘‘Di peringkat universiti juga ada mata pelajaran yang berkaitan dengan agama yang boleh diambil sebagai pilihan atau secara khusus dan ia terbuka untuk dipelajari oleh semua orang termasuk bukan Islam,” jelasnya.