Saturday, November 17, 2007

Niat ikhlas, ilmu tentukan jemaah raih haji mabrur

MENDAPAT haji mabrur adalah cita-cita semua jemaah haji yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada ganjaran bagi haji mabrur, kecuali syurga.”

Namun, bukan mudah untuk mencapai haji mabrur memandangkan usaha ke arah itu memerlukan perjuangan, cabaran, dugaan dan syarat yang mesti dipenuhi setiap peribadi jemaah haji termasuk niat.

Justeru, setiap jemaah haji hendaklah membetulkan niatnya dan dengan tekad kuat yang tertanam dalam lubuk hati sanubari, maka kemantapan ibadat akan terjamin baik.

Membetulkan niat ditentukan oleh kebersihan hati kerana hati yang bersih menentukan setiap langkah akan terfokus kepada hal yang baik dan telus. Kebersihan itu adalah dengan memohon doa kepada sanak saudara, keluarga, jiran tetangga dan sahabat taulan. Kita tidak tahu daripada mulut yang mana dan daripada siapa, doa itu akan dimakbulkan Allah.

Darjat haji mabrur sangat ditentukan oleh hati (niat yang ikhlas). Banyak orang melaksanakan ibadat haji, tetapi tidak mendapatkan nilai haji mabrur. Antara sebabnya, kerana ibadat haji tidak didasarkan atas niat ikhlas dan tulus.

Oleh itu, sejak awal lagi setiap jemaah haji hendaklah segera memantapkan niat suci untuk menunaikan ibadat haji semata-mata kerana Allah. Luruskan niat, bersihkan hati dan memohon ampunan daripada Allah. Pergunakan kesempatan menunaikan ibadat haji dengan sebaiknya.

Di samping itu, fahami tatacara mengerjakan haji supaya dapat melaksanakan ibadat itu dengan baik dan sempurna kerana keadaan di tanah suci yang dipenuhi berjuta umat Islam dari seluruh negara boleh memberi cabaran kepada jemaah haji.

Selain niat haji, bekalan tauhid juga penting untuk membina kekuatan diri menjadi insan bertakwa kerana sesiapa yang bertakwa, dialah orang yang hampir dengan Tuhannya dan memperoleh kejayaan.

Imam Bukhari mengatakan, ilmu itu adalah pimpinan amalan dan amalan itu mengikuti ilmu. Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah hingga Ihya Ulumuddin selalu menekankan supaya mendahulukan ilmu sebelum melakukan kegiatan (amalan). Ia menjelaskan jemaah haji mestilah membekalkan dirinya dengan ilmu sebelum menunaikan ibadat haji.

Oleh itu, jemaah perlu memantapkan niat dan keilmuannya sebelum melaksanakan ibadat haji supaya nanti hajinya tidak menjadi sia-sia.

Budaya demonstrasi jalanan tak selari tuntutan syarak

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

ISLAM mengajar penganutnya untuk sentiasa melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh hikmah tanpa menjurus kepada suasana yang boleh merosakkan ketenteraman awam dan membuka ruang untuk menimbulkan kejadian tidak diingini.

Slogan bagi pendakwah Islam dalam melaksanakan tugas mereka adalah seperti firman Allah bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Nabi SAW melaksanakan segala urusan dakwahnya dengan penuh hikmah serta memerintahkan sahabat untuk berdakwah menggunakan kebijaksanaan sesuai dengan perintah Allah supaya hambanya berpesan ke arah kebenaran dengan kesabaran.

Oleh itu, sewajarnya bagi mereka yang terbabit dalam demonstrasi jalanan baru-baru ini menilai semula adakah tindakan mereka itu selari dengan perintah Allah dalam melaksanakan kerja dakwah mereka.

Tidakkah mereka terfikir betapa tindakan itu menimbulkan kesusahan serta keresahan kepada pihak yang tidak terbabit dalam demonstrasi berkenaan. Mungkin mereka menyatakan niat mereka baik, tetapi Islam adalah agama yang berpegang kepada konsep ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.

Adakah di Malaysia ini sudah ketandusan cara untuk berbincang dalam apa juga masalah hingga memerlukan cara demonstrasi jalanan yang bukan saja menyalahi undang-undang, malah bercanggah dengan syarak?

Berkaitan dengan demonstrasi, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz berkata: “Demonstrasi yang dilakukan bukanlah jalan keluar. Bahkan saya beranggapan bahawa hal itu termasuk daripada sebab musibah, kejelekan, kebencian manusia dan terjadinya permusuhan di antara manusia yang tidak sesuai dengan kebenaran. Adapun cara yang disyariatkan yakni: menulis surat, memberikan nasihat serta berdakwah kepada kebaikan dengan jalan ditetapkan syariat yang tentunya dijelaskan caranya oleh ahli ilmu, sahabat Rasulullah dan orang yang mengikuti Baginda dalam kebaikan yakni dengan menulis surat dan berhadapan langsung dengan pemimpin untuk memberikan nasihat tanpa menyebarkan perbuatan mereka lakukan di atas mimbar sehingga menimbulkan sesuatu tidak diinginkan, hanyalah Allah yang menjadi penolong.”

Rasulullah SAW dan sahabat juga melalui pelbagai ujian dan fitnah yang begitu hebat, namun tidak ada seorang pun daripada mereka menggunakan cara demonstrasi untuk meluahkan ketidakpuasan hati. Ia menunjukkan budaya demonstrasi bukan sebahagian tuntutan syarak.

Budaya berdemonstrasi ini juga boleh mengarahkan kepada pergaulan di antara lelaki dan wanita yang tidak selari dengan syarak.

Lebih mendukacitakan, demonstrasi sebenarnya menunjukkan sikap penentangan secara terbuka kepada kerajaan yang dipimpin pemimpin beragama Islam dan hal ini menunjukkan ciri golongan Khawarij.

Daripada Ummu Salamah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu. Baginda ditanya: Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang? Jawab Baginda: Tidak, selagi mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, dia hendaklah membenci maksiat tersebut, namun jangan mencabut tangan daripada ketaatan.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak dapat disangkal lagi demonstrasi jalanan lebih banyak menimbulkan mudarat dan menyusahkan pihak lain seperti peniaga di kawasan berdekatan, selain menyebabkan kesesakan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.

Jika perhimpunan orang ramai itu menjadi tidak terkawal, ia boleh membawa kepada berlakunya rusuhan hingga berlaku kerosakan harta benda serta pergaduhan dengan pihak berkuasa di mana ada yang tercedera.

Apabila diajukan bahawa demonstrasi lebih membawa keburukan kepada umat, pasti mereka akan menyangkal dengan mengatakan niat hanyalah untuk menuntut keadilan bagi rakyat.

Wajar bagi seluruh rakyat Malaysia untuk memahami jika budaya demonstrasi diteruskan, ia boleh membawa kepada sebuah negara yang huru-hara, menimbulkan pertumpahan darah, musnahnya harta benda serta tersebarnya kerosakan.

Galakan baca al-Quran di kubur

Oleh Hasliza Hassan

AMALAN membaca al-Quran di atas kubur adalah permasalahan ranting agama yang bersifat elektif untuk seseorang mukmin, bukan permasalahan tunjang yang mendasari iman dan Islam. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan, manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan.

Perkara itu dijelaskan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain al-Ghari, supaya masyarakat tidak memberi tafsiran songsang hanya kerana mereka gagal menemui nas bahawa perbuatan itu dilakukan Rasulullah SAW.

Justeru, katanya, permasalahan furu’ atau cabang perlu difahami secara menyeluruh berserta dalil dan kaedah syariah yang jelas supaya sesuatu isu dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, selain mengelak daripada sikap fanatik serta melampau.

“Hukum syarak amat fleksibel dalam apa juga permasalahan. Maknanya, jika tidak ada hadis yang menunjukkan amalan itu dilakukan Rasulullah SAW, itu tidak bermakna ia menyalahi hukum kerana kita ada dalil lain.

“Tinjauan kita kepada isu membaca al-Quran di atas kubur menemukan beberapa dalil berkaitan yang dapat difahami serta dihayati dengan baik,” katanya.

Dalam masalah membaca al-Quran di atas kubur, katanya, ada banyak ayat al-Quran yang bersifat umum, tetapi boleh dijadikan panduan bagi menjawab persoalan apabila mafhum ayat itu dibincangkan serta diberi tafsiran lebih mendalam.

Contohnya, firman Allah bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur, ayat 21)

Zamihan berkata, ayat itu bersifat umum, tetapi menjelaskan bahawa amalan mereka yang masih hidup dapat memberi manfaat kepada yang sudah mati seperti amalan puasa, wakaf, haji dan membaca al-Quran yang termasuk dalam sedekah.

Katanya, jika pahala amalan puasa dan haji yang dilaksanakan untuk orang meninggal dunia sampai, begitu juga pahala membaca al-Quran yang disedekahkan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia juga akan sampai kepada mereka.

“Ia bermakna diharuskan kita membaca al-Quran tidak kira di mana sama ada di rumah, pejabat, dalam kapal terbang atau di atas kubur sekalipun. Membaca di atas kubur suasananya lain sikit kerana ini akan membuatkan kita insaf, ingat kepada mati dan mensyukuri nikmat Allah,” katanya.

Katanya, amalan membaca al-Quran di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai, ada kalanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif.

Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu duha.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”

Sementara Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah berdasar syarak.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya, berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid: “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.”

Imam al-Haitsami dalam Majma al-Zawaid mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri daripada kalangan perawi yang siqah (dipercayai), manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini dalam kitabnya al-Mustadrak.

Zamihan berkata, membaca al-Quran di atas kubur ternyata bukan bid’ah yang sesat kerana ada nas yang membuktikan bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan daripada Nabi SAW supaya dibacakan ayat suci al-Quran di tanah perkuburan.

Beliau berkata, sebenarnya hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Quran di atas kubur masih banyak dan perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa terutama dalam permasalahan cabang agama.

Oleh itu, katanya, apabila Rasulullah SAW tidak melakukan sesuatu perkara itu tidak bermakna ia salah dan tidak wajar ada pihak yang memberi hukuman melampau kerana Baginda juga tidak melakukan semua amalan yang diharuskan syarak.

“Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan keadaan ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak dan merapatkan kita kepada takwa.

“Ia sekali gus mengelakkan kita daripada bersikap keras kepala terhadap amalan yang sudah sebati dalam masyarakat dan diperakui pihak yang mempunyai kuasa dalam bidang berkenaan. Sebenarnya isu klasik ini sudah ditangani ulama, tetapi masih ada pihak sengaja membangkitkannya,” katanya.

Katanya, perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan generasi salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.