Friday, July 10, 2009
AGAMA : JUMAAT 10 JULAI 2009
Solat duha sebagai roh rezeki
REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiaporang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yangbermanfaat.
Kamus Bergambar Pintar Soleh tampil berbeza
BAHASAmencerminkan ketinggian suatu bangsa. Apabila bahasa sendiridiperlekehkan, tempiasnya juga terkena pada kemuliaan bangsa.
Kekufuran bawa kerugian dunia dan akhirat
SYEIKHSya'rawi berkata : "Sesungguhnya risalah yang dibawa Rasulullah SAWamat jelas. Inilah yang termaktub dalam kitab Samawi. Maka apakah yangmenjadikan kamu hai ahli Kitab, tidak beriltizam jalan kebenaransedangkan kamu menjadi saksi? Sudah pasti telah disentuh kepada merekasyubhah. Sesungguhnya Allah tidak lupa apa yang mereka lakukan."
Kisah cinta Halimatul Saadiah
ADALAHmenjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantaranak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak merekadapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anakini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.
Gaji adalah hak individu
Soalan: ADAKAH gaji isteri adalah hak mutlak suami, bermakna setiapperbelanjaan isteri terhadap gajinya sendiri perlu meminta izin suamiterlebih dahulu dan isteri tidak boleh berbelanja tanpa pengetahuansuami?
Gejala sosial 'penjajahan' resap dalam kehidupan Muslim
KENIKMATAN masa muda hanya datang sekali dalam hidup manusia. Kenikmatan itu tidakharus dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang boleh merencatkanhidup seperti perlakuan negatif yang menyelubungi remaja muda pada eramoden hari ini.
Tiada alasan elak laksanakan perpaduan di kalangan umat Islam
DEKAT di mata jauh di hati, apa lagi bila jauh di mata bertambah jauh dihati. Agaknya begitulah lebih tepat gambaran kedudukan masyarakat hariini. Perhubungan serta pertalian semakin renggang dan lerai,perhubungan kekeluargaan, jiran tetangga bukan saja retak, malah adayang sudah terbelah.
Sahabat sejati beri manfaat dunia, akhirat
PERUMPAMAANMelayu menyatakan 'sahabat baik umpama pohon rendang' membawa maksudrakan karib sanggup bersama ketika susah dan memberi bantuan tanpamengira masa atau keadaan.
Umat Islam perlu serius pastikan generasi Muslim bersih dadah
STATISTIKAgensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 merekodkan 12,352 penagih.Secara umumnya 75 peratus penagih ialah Melayu dan setiap harikira-kira 17 penagih baru dikesan.
Solat duha sebagai roh rezeki
|
|
REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.
Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati.
Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.
Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (asy-Syura: 27)
Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?
Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata.
Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha.
Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.
Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan.
Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)
Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah.
Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah.
Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan
di akhirat kelak.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW banyak menganjurkan amalan solat duha ini. Bertepatan dengan seruan itu, PTS Millennia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Magnet Rezeki dengan Solat Duha yang telah diterjemahkan daripada buku Menyingkap Mukjizat Shalat Dhuha karya Muhammad Mokhtar.
Buku ini memotivasikan kita agar tidak sahaja kaya wang tetapi pada masa sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di sana.
Ia juga membongkar rahsia memperoleh rezeki yang melimpah-ruah melalui wahana solat duha. Ia membuka perspektif baru mengenai rezeki dan kekayaan bagi seorang Muslim.
Disokong dengan bukti-bukti yang menjelaskan bahawa melalui solat duha yang istiqamah, sesiapa sahaja mampu memperoleh rezeki yang berganda dan diberkati.
Kamus Bergambar Pintar Soleh tampil berbeza
|
|
BAHASA mencerminkan ketinggian suatu bangsa. Apabila bahasa sendiri diperlekehkan, tempiasnya juga terkena pada kemuliaan bangsa.
Bahasa-bahasa dunia seperti bahasa Inggeris, Perancis, Mandarin, Sepanyol dan Arab, memberikan ruang yang tidak terbatas, sama ada untuk mengukuhkan hubungan dua hala, urusan ekonomi, bertukar-tukar kepakaran dan kemahiran, serta meredakan krisis antara negara.
Malah penguasaan lebih daripada satu bahasa juga meningkatkan nilai seorang individu, sama ada dia adalah seorang pelajar, pekerja mahupun pemimpin.
Bahasa Arab adalah bahasa kelima paling meluas penggunaannya di dunia selepas bahasa Inggeris. Menurut kajian Encyclopedia Encarta, dianggarkan kira-kira 422,000,000 orang penduduk bumi di 42 buah negara, bertutur dalam bahasa Arab.
Ini bererti bahan-bahan bacaan dalam bahasa ini juga banyak, sama ada dalam bentuk bercetak seperti buku, majalah, akhbar dan jurnal. Lebih-lebih lagi material dalam bentuk elektronik seperti radio dan televisyen dan media baru seperti Internet.
Ini secara tidak langsung membuka ruang sepenuhnya kepada mereka yang menguasai bahasa Arab untuk meneroka pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat yang tidak terbatas.
Terkini dari Telaga Biru Sdn. Bhd, Kamus Bergambar Pintar Soleh. Ia sebuah kamus bergambar yang dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi yang warna-warni.
Ia menggabungkan Bahasa Arab, Bahasa Melayu (jawi), Bahasa Melayu (rumi) dan Bahasa Inggeris. Walaupun terdapat banyak kamus bergambar lain di pasaran tetapi Kamus Bergambar Pintar Soleh membawa pendekatan berbeza dan lebih menyeluruh.
Keunikan kamus ini ialah ia dimuatkan dengan doa, zikir dan selawat pada hampir setiap muka suratnya. Ini memberikan nilai tambah yang tinggi, kerana di samping menghafaz perkataan, pembaca juga boleh menghafaz doa, selawat dan zikir ini.
Manakala kamus ini juga menyediakan setiap kata nama Arabnya disertakan dengan perkataan jamak. Mencari jamak bagai setiap perkataan mufrad dalam bahasa Arab adalah sesuatu yang sangat sukar. Justeru pujian harus diberikan kepada penyusun kamus ini iaitu Rohidzir Rais.
Bagi memudahkan pelajar, perkataan-perkataan dalam kamus ini pula disusun mengikut suasana dan tempat tertentu, seperti di sekolah, restoran, masjid, kampung, taman bunga, pasar dan lain-lain.
Kamus ini menyediakan 17 tema utama di samping sub tema yang relevan dengan penggunaan harian. Ia juga sangat sesuai untuk para pelancong yang hendak ke negara-negara Arab seperti jemaah haji dan umrah atau pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke sana.
Selain perkataan kata nama, kamus ini juga memuatkan 150 kata kerja yang sering digunakan seharian dengan contoh ayat yang standard sebagai panduan kepada pelajar.
Pecahan kata kerja masa kini, masa silam dan masa hadapan disenaraikan dengan lengkap, juga berserta contoh ayat. Paling menarik dalam bab ini ialah penggunaan tapak tangan sebagai medium mudah menghafaz semua pecahan ini.
Kamus ini menyediakan senarai 163 negara dunia berserta bendera, 14 negeri di Malaysia berserta peta, bendera dan jata, 20 institusi pengajian tinggi tempatan berserta logo, dan senarai 27 Kementerian Malaysia berserta logo. Senarai nama-nama khas ini jarang terdapat di dalam kamus-kamus lain dan menyukarkan pencarian pelajar.
Kesimpulannya, Kamus Bergambar Pintar Soleh ini adalah hasil cemerlang dalam bidang perkamusan negara.
Untuk maklumat lanjut layari www.telagabiru.net.my atau menghubungi 03-6275 4070.
Kekufuran bawa kerugian dunia dan akhirat
|
|
SYEIKH Sya'rawi berkata : "Sesungguhnya risalah yang dibawa Rasulullah SAW amat jelas. Inilah yang termaktub dalam kitab Samawi. Maka apakah yang menjadikan kamu hai ahli Kitab, tidak beriltizam jalan kebenaran sedangkan kamu menjadi saksi? Sudah pasti telah disentuh kepada mereka syubhah. Sesungguhnya Allah tidak lupa apa yang mereka lakukan."
Ayat 100
Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Sebab Nuzul
Mengikut riwayat Zaid bin Aslam kerana adanya peristiwa kegemparan besar di antara orang-orang Ansar. Iaitu orang-orang Yahudi (seperti Syas bin Qis) cuba memecahbelahkan persatuan dan kerukunan antara orang-orang Ansar Madinah. Mereka itu telah mengungkit sejarah permusuhan dan peperangan kedua-dua suku orang-orang Ansar yang terdiri dari suku al-Aus dan al-Khazraj yang terjadi kira-kira 120 tahun sebelum kebangkitan Nabi SAW yang lalu. Kejadian membangkitkan permusuhan antara suku-suku tersebut telah menjadikan kegemparan besar hampir mengakibatkan pertumpahan darah di antara orang-orang Ansar.
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibnu Kathir berkata : "Allah memberi ancaman dan amaran kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya jangan mentaati golongan ahli Kitab yang berhasad dengki terhadap orang yang beriman."
ii. Ibnu Jauzi berkata : "Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat ini ditujukan kepada Aus dan Khazraj. Zaid bin Aslam berkata dikehendaki kumpulan ialah Syas bin Qis al-Yahudi dan sahabat-sahabatnya."
iii. Syeikh Sya'rawi berkata : "Orang kafir sentiasa tidak tenang dengan ayat-ayat Allah melainkan cuba menggugat orang beriman pada agama mereka."
iv. Al-Maraghi berkata : "Wahai orang yang beriman, jika kamu mendengar sesuatu perbicaraan yang menimbulkan fitnah daripada golongan Yahudi, lalu kamu berbicara lemah lembut dengan mereka dan bersetuju dengan apa yang diserukan kepadamu nescaya kamu akan kembali menjadi kafir semula padahal sebelum ini kamu sudah beriman. Kekufuran menyebabkan kerugian di dunia dan akhirat. Di dunia ialah timbulnya permusuhan dan kebencian serta berkobarnya fitnah, sehingga menimbulkan peperangan. Di Akhirat tidak perlu diberi penjelasan lagi."
Ayat 101
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibnu Kathir berkata : "Berpegang dengan Allah, bertawakal kepada-Nya adalah pokok serta asas dalam hidayah, di samping itu ia menjadi bekalan untuk menjauhkan kesesatan dan wasilah kepada petunjuk."
ii. Ibnu Qutaibah berkata : "Siapa yang enggan atau menegah iaitu yang benar-benar berpegang dengan Allah sudah pasti mendapat petunjuk ke jalan yang lurus."
iii. Al-Maraghi berkata : "Barang siapa berpegang teguh dengan agama Allah SWT, kitab-Nya, dan Rasul-Nya nescaya dia akan memperoleh petunjuk ke jalan yang lurus. Ibaratnya kamu berkata kepada temanmu: "Jika aku mendatangi si fulan, tentulah aku akan gembira kerana ketika itu dia sedang berada di ambang kebinasaan dan perasaan kebimbangan tidak mempengaruhinya lagi."
iv. Qatadah berkata : "Pada ayat ini disebutkannya dua perkara yang dapat mencegah seseorang daripada terjerumus ke lembah kekafiran. Pertama, dengan cara membaca kitab Allah yang benar. Kedua, perutusan rasul kepada mereka. Meskipun Rasulullah SAW telah pergi menghadap Allah SWT, namun al-Quran tetap kekal sampai tibanya Hari Kiamat."
v. Al-Sonhadji berkata : "Pertanyaan yang dikemukakan oleh Allah dalam ayat ini merupakan "Istifham Ta'ajub dan Taubikh" ertinya pertanyaan yang mengandungi rasa kehairanan dan celaan ditujukan kepada sahabat-sahabat Nabi kaum Ansar daripada suku kaum al-Aus dan al-Khazraj yang disebutkan kisahnya dalam huraian ayat yang lalu."
vi. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Penutup ayat ini memberi isyarat bahawa Rasulullah SAW akan meninggalkan mereka. Namun kesesatan tidak akan menyentuh mereka selama berpegang teguh dengan kitab suci al-Quran dan sunah Rasulullah SAW walaupun baginda telah pergi meninggalkan sekalian manusia."
Marilah kita berpegang teguh dengan ajaran Islam iaitu mengikut al-Quran dan sunnah Nabawiyah yang menjadi sumber utama bagi mencapai hidayat Allah. Inilah sebesar-besar nikmat. Semoga kita mencapainya. Amin.
Kisah cinta Halimatul Saadiah
ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.
Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya. Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.
Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu, keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.
Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati sebelum sampai ke Mekah.
Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya lagi.
Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia yatim dan miskin pula.
Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar. Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.
Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.
Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang sebelumnya.
Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.
Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah diberkati oleh Yang Maha Esa.
Gaji adalah hak individu
Soalan:
ADAKAH gaji isteri adalah hak mutlak suami, bermakna setiap perbelanjaan isteri terhadap gajinya sendiri perlu meminta izin suami terlebih dahulu dan isteri tidak boleh berbelanja tanpa pengetahuan suami?
Jawapan:
Gaji isteri bukan hak mutlak suami, begitu juga gaji suami bukan hak mutlak isteri. Gaji yang diperoleh oleh setiap individu melalui pekerjaan yang dilakukan adalah hak individu.
Ini adalah kerana gaji adalah hasil titik peluh masing-masing dan tidak boleh dianggap gaji isteri sebagai gaji suami dan gaji suami sebagai gaji isteri.
Dalam urusan rumah tangga maka suamilah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyedia makan minum, tempat tinggal dan keperluan-keperluan asas bagi sebuah keluarga.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.(al-Nisa':34)
Namun hari ini, kita lihat kebanyakan suami isteri berkerja. Adakalanya selepas perkahwinan suami meminta isteri berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan kepada urusan rumah, lebih-lebih lagi sekiranya sudah mempunyai zuriat.
Ada pula suami yang meminta isterinya kerja supaya dapat meringankan tanggungannya memandangkan pendapatannya yang sangat terhad.
Biarpun kaum lelaki sepatutnya bertanggungjawab dalam semua hal urusan rumah tangga lebih-lebih lagi dalam urusan mencari rezeki, namun tidak salah kalau dibantu oleh isteri bagi meringankan bebanan suami.
Kadang-kadang lahir pandangan bahawa duit gaji masing-masing punya, gaji suami untuk keperluan suami manakala gaji isteri bagi keperluan isteri, maksudnya suami jangan campur pendapatan isteri dan isteri tidak akan mencampuri pendapatan suami.
Sebenarnya pandangan sebegini boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, ini kerana suami isteri mula hidup berkiblatkan material dan hidup untuk kepentingan peribadi.
Dari awal lagi, sebagai seorang suami kena faham bahawa isteri berkerja untuk meringankan suami bukan untuk melepaskan tanggungjawab suami. Adalah salah sekiranya suami menggangap bahawa gaji isteri adalah hak mutlaknya.
Antara yang perlu difahami ialah suami berpendapatan tinggi dan isterinya juga berkerja tidak melepaskan si suami daripada menanggung keperluan isteri, anak-anak dan rumah.
Soalan 2:
Sekiranya gaji isteri adalah hak mutlak suami, bolehkah disamakan gaji isteri sebagai nafkah? Bermaksud sudah memadai sekiranya isteri menggunakan gaji sendiri untuk keperluan diri dan anak-anak, maka suami tidak perlu lagi memberi nafkah?
Jawapan:
Pendapatan isteri tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak suami ini kerana pendapatan itu hak isteri secara mutlak. Hak mentadbir kewangan isteri akan berpindah sekiranya isteri gagal mentadbir kewangan secara betul. Selain dari itu adalah hak isteri mengurus kewangannya.
Pendapatan isteri atau gaji isteri adalah untuk membantu suami dalam meringankan bebanan itupun jika suami tidak mampu menanggung kesemua kos pengurusan keluarga.
Namun, sekiranya ada suami yang beranggapan gaji isteri untuk menanggung segala kos keluarga dan suami lepas tangan adalah tidak betul dan sikap sebegini sikap yang tidak bertanggungjawab.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.(al-Talaq: 6-7).
Di dalam kedua-dua ayat ini Allah SWT memperincikan tanggungjawab seorang suami ke atas isteri dan keluarganya. Apa yang penting dalam mengemudi bahtera rumah tangga, ialah memahami peranan masing-masing, suami memahami peranannya dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri juga perlu faham dan memahami tanggungjawabnya dalam membantu dan meringankan bebanan suami. Inilah di antara kunci keharmonian rumah tangga.
Gejala sosial 'penjajahan' resap dalam kehidupan Muslim
Oleh Mohd Zamri Shafie
Ibu bapa perlu suburkan ilmu agama untuk didik remaja supaya hidup berlandaskan syariat
KENIKMATAN masa muda hanya datang sekali dalam hidup manusia. Kenikmatan itu tidak harus dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang boleh merencatkan hidup seperti perlakuan negatif yang menyelubungi remaja muda pada era moden hari ini.
Perlakuan seks bebas, merempit, lari dari rumah, pembuangan bayi, pengedaran dan ketagihan dadah, alkohol, ponteng sekolah, samseng, adalah 'serangan' bentuk baru yang menjajah dan menyelinap dalam kehidupan umat Islam hari ini.
Hakikatnya, budaya itu berlaku di kalangan anak umat Islam berlatarbelakangkan agama, akademik, profesional, golongan pertengahan, petani, buruh dan sebagainya. Budaya itu tidak mengenal siapa mangsanya.
Kebimbangan ibu bapa terhadap permasalahan remaja masa kini tidak dapat diperkatakan lagi. Anak adalah ujian Allah kepada hamba-Nya. Inilah hakikat yang perlu ditelan oleh insan yang mempunyai anak.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar." (Surah al-Anfaal, ayat 28)
Daripada Aisyah, katanya: "Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya dariku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya.
Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah Nabi SAW datang, aku ceritakan hal itu kepada Baginda SAW.
Sabda Baginda SAW: Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Keutamaan mendidik anak ialah menyuburkan ilmu agama yang mampu mendasari hidup mereka dengan landasan syariat Islam dan mengajarkan mereka adab serta keelokan akhlak budi pekerti. Ia mampu melestarikan impian setiap ibu bapa supaya anak mereka menjadi remaja berdikari dan mempunyai personaliti baik pada pandangan masyarakat umumnya dan Khaliq (Allah) khasnya.
Pakej lengkap seorang remaja kamil (sempurna) ialah mempunyai personaliti menarik, sifat positif yang tertanam dalam jiwanya seperti suka membantu orang lain, bersungguh-sungguh, menyayangi diri, ibu bapa dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri serta prihatin.
Namun, realiti yang berlaku, tidak ramai remaja mempunyai personaliti yang baik bagi menggalas harapan agama, bangsa dan negara. Mereka inilah yang perlu diberi perhatian mendepani permasalahan dan menghurai punca segala kekalutan.
Penyakit melanda remaja masa kini sebenarnya sudah lama bertapak disebabkan banyak faktor antaranya suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutama dengan pengaruh media massa dan elektronik.
Zaman ini perempuan Melayu Islam memakai pakaian serba singkat dan ketat yang menjolok mata tetapi tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah pelopor kepada melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.
Ramai anak remaja terbabit dunia cinta dan seks bebas tidak dapat dikawal atau dibendung lagi. Budaya itu resapan paling halus dan kian bertapak kukuh dalam urat salur darah mereka. Akibatnya nanti, orang timur tidak dapat dibezakan dengan orang barat, malah lebih teruk lagi.
Minda anak muda dicemar dengan konsep kehidupan bebas yang membawa kepada kecelaruan perlu kepada pembersihan bersifat berterusan, pembenihan dan penyuburan rohani yang mampu disegarkan dengan iman dan Islam yang padu.
Pembajaan roh perlu digerakkan dengan lebih progresif dan penuh hikmah. Di samping itu, aspek pendidikan mengenai konsep menjauhi perbuatan mendatangkan bahaya perlu disemat dalam diri anak supaya godaan syaitan dan pengaruh buruk dapat dihindarkan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakan seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan malaikat pula ialah galakan supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah daripada angkara syaitan." (Hadis riwayat Ibn Mas'ud)
Kehidupan negatif melanda anak remaja perlu kepada asas penting iaitu kembali kepada akal budi Islam. Ia harus bermula pada peringkat -anak mencapai umur mumayyiz, di mana kewajipan menunaikan solat menjadi wajib.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka ketika 10 tahun jika mereka enggan, dan pisahkan tempat tidur mereka." (Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Pengabaian terhadap pelaksanaan solat dalam keluarga akan merumitkan keadaan dan mengusutkan lagi suasana. Kegagalan ibu bapa dan anak menghayati ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara hidup akan mengundang malapetaka dalam keluarga serta masyarakat.
Marilah bersama berusaha secara berterusan supaya masa muda dapat dimanfaat dan tidak dipersiakan. Berdoa serta bertawakal kepada Allah SWT untuk melihat anak muda tidak terus hanyut dibawa oleh kelalaian melekakan.
Buangkan jauh-jauh perasaan putus asa melihat perkembangan negatif berlaku depan mata sebaliknya tanamkan semangat untuk membantu mengubah suasana mendukacitakan kepada suasana menggembirakan.
Anak muda yang leka perlu disedarkan daripada mimpi indah hanya sementara untuk mereka dapat berpijak di bumi nyata. Semoga usaha umat Islam memperbaiki kerosakan memberi sinar untuk melihat anak remaja menjadi kumpulan yang akan membina tamadun masa depan yang cemerlang.
Tiada alasan elak laksanakan perpaduan di kalangan umat Islam
Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
DEKAT di mata jauh di hati, apa lagi bila jauh di mata bertambah jauh di hati. Agaknya begitulah lebih tepat gambaran kedudukan masyarakat hari ini. Perhubungan serta pertalian semakin renggang dan lerai, perhubungan kekeluargaan, jiran tetangga bukan saja retak, malah ada yang sudah terbelah.
Sedangkan Allah SWT sudah mengingatkan supaya mengelak daripada perpecahan dalam firman yang bermaksud: "Jangan kamu bercerai-berai, sebab kamu akan lemah dan lenyaplah kekuatan." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Sedikit masalah diperbesar dan dikusutkan. Hidup seperti suatu perlumbaan, siapa cepat dia ke depan. Harta sekelumit direbutkan, serendah jawatan dan kedudukan jadi rebutan gelora nafsu membara sedangkan semua itu hanya sementara pinjaman dari Tuhan pencipta segala-galanya.
Apabila masalah meruncing, jalan penyelesaian bagaikan tiada lagi, musyawarah dan perbincangan diketepi walau ada segelintir mengharap suatu masa nanti biduk akan berlalu dan kiambang pasti bertaut. Namun, biduk sudah lama berlalu tetapi kiambang masih juga tidak bertaut.
Manusia hidup sendiri, kau dan aku berbeza kerana kubur masing-masing dan terasing. Pelbagai cadangan disuarakan untuk menyatu kembali antara mereka bertelagah tetapi semua hanya tinggal cadangan.
Umat semakin mengecil lantaran perbalahan dan perpecahan. Hidup tiada penyatuan, umat menjadi rapuh serapuh iman meskipun ilmu melimpah ruah. Al-Quran sudah menjelaskan manusia itu makhluk terbaik untuk menyeru kepada kebaikan bukan kepada perbalahan dan kehancuran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahawa kamu semua adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia bagi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah."
Menjadi kewajipan setiap manusia untuk hidup tolong menolong, tidak bermasam muka apa lagi mencetus permusuhan dan perbalahan kerana Islam itu sendiri terbina atas tanggungjawab iaitu tolong-menolong dan kasih sayang serta melarang umatnya daripada berpecah belah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jangan kamu semua termasuk golongan kaum Musyrikin yakni daripada golongan orang yang memecahbelahkan agamanya dan mereka golongan yang berlainan. Setiap segolongan itu senang (condong sekali) dengan pendirian yang ada pada pihak mereka itu sendiri." (Surah ar-Rum, ayat 32)
Apabila terjadi perselisihan atau perbezaan pendapat, seharusnya segera mencari jalan penyelesaiannya supaya persaudaraan kembali kukuh, bukan dibiarkan perselisihan berterusan sehingga menyebabkan perpisahan yang akhirnya melemahkan kalangan umat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sukakah kami saya beritahu sesuatu yang pahalanya lebih utama daripada puasa, solat dan bersedekah? Iaitu mendamaikan antara dua pihak yang sedang berselisih, sebab rosaknya perdamaian itulah yang akan menghancurkan."
Walaupun perselisihan pendapat tidak dapat dielakkan, ia bukan alasan untuk kita menghancurkan persaudaraan. Kita tentu menginginkan masyarakat yang harmoni dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan erat.
Bayangkan betapa cantiknya Islam. Alangkah indah apabila umat Islam saling sayang-menyayangi, nasihat-menasihati bukan saling tuduh dan membenci.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seharusnya kaum Muslimin itu nasihat-menasihati di antara mereka bagaikan satu anggota badan jika menderita sebahagiannya maka menjalar ke anggota yang lain dan tidur pun terganggu sehingga hilang sakit anggota itu."
Atas kesedaran itulah kita harus insaf perselisihan dan pertelagahan tidak memberi sebarang keuntungan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak beriman seseorang kami sehingga ia menyintai saudaranya seperti mana ia menyintai dirinya sendiri."
Sarjana Barat, Sir Hamilton A R Gibb pernah berkata: "Tidak pernah ada satu badan atau lembaga pun yang berhasil dengan gemilang menyusun unsur bangsa manusia yang berselerak berada dalam satu ikatan berasaskan persamaan kecuali Islam."
Islam menghendaki Muslimin itu berada pada satu susunan dengan satu ikatan kukuh. Ini kerana Islam itu sendiri menghimpun seluruh kaum muslimin dalam satu keyakinan, iktikad, syariat dan persaudaraan.
Pengukuhan persaudaraan dan perpaduan perlu dikembalikan, perselisihan serta pertelagahan dihentikan kerana pengukuhan umat dan perpaduan dituntut supaya umat dapat berdiri tegak sebagai satu ummah serta menjalankan amanah Allah SWT serta memelihara kesejahteraan negara.
Sahabat sejati beri manfaat dunia, akhirat
Oleh Masmawi Abdullah
Islam sedia panduan pilih rakan, elak mereka yang bawa kemungkaran
PERUMPAMAAN Melayu menyatakan 'sahabat baik umpama pohon rendang' membawa maksud rakan karib sanggup bersama ketika susah dan memberi bantuan tanpa mengira masa atau keadaan.
Justeru, Islam sentiasa menasihatkan umatnya berhati-hati memilih sahabat bagi mengelak berkawan dengan mereka yang membawa kemungkaran.
Firman Allah yang bermaksud: "Janganlah engkau mengikut orang yang sudah Kami lupakan hatinya untuk mengingati (berzikir) pada Kami dan ia suka mengikut hawa nafsunya." (Surah Kahf, ayat 29)
Jika kita memilih sahabat yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsunya, ia merugikan terutama apabila kita turut terpengaruh dengan sikapnya. Oleh itu, pilih sahabat yang membimbing ke arah hidup lebih baik mengikut syariat agama.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang menurut agama (aturan) kekasihnya, oleh sebab itu baiklah seseorang daripada kamu semua itu meneliti orang yang dikasihinya."
Sifat perlu ada pada seseorang yang ingin kita jadikan sahabat bolehlah dicontohi daripada wasiat al-Qamah kepada anaknya.
Katanya: "Hai anakku, jika engkau perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka pilih yang mempunyai sifat jika engkau melayaninya ia suka melindungi, jika engkau bersahabat dengannya, ia akan menjadi hiasan bagi dirimu dan jika engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia suka mencukupi keperluanmu.
"Pilih sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jika ia mengetahui keburukan dirimu lalu ia suka menutupinya.
"Pilih sahabat yang jika engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jika engkau diam, ia mulai menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan menimpa dirimu, ia suka membantu dan meringankan, ia suka membantu dan meringan kamu serta menghiburmu.
"Pilihlah sahabat yang jika engkau berkata, ia sukar membenarkan ucapanmu dan bukan selalu mempercayainya saja, jika engkau mengemukakan sesuatu persoalan berat, ia suka mengusahakannya, sedang jika engkau berselisih dengannya, ia suka sekali engkau berselisih dengannya, ia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu."
Saidina Ali menyatakan: "Sahabat yang sebenar-benarnya ialah orang yang di sampingmu. Ia suka membabitkan dirinya dalam bahaya demi untuk kesejahteraanmu."
Saidina Ali membuktikan katanya dengan mengambil alih tempat tidur Rasulullah SAW ketika Baginda dan Saidina Abu Bakar merancang untuk berhijrah ke Madinah.
Walaupun Saidina Ali tahu risiko bakal dihadapinya kerana pemuda Quraisy bercadang menyerbu rumah Rasulullah SAW dan membunuh Baginda, Saidina Ali sanggup menghadapi bahaya itu semata-mata atas dasar kepentingan keselamatan sahabatnya.
Contoh persahabatan lain yang boleh diteladani ialah antara Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiyakan apa yang Rasulullah SAW katakan.
Ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanan Israk dan Mikraj kepada orang Makkah, mereka tidak mempercayai cerita Rasulullah SAW, malah menuduh Baginda pembohong. Mereka berjumpa Saidina Abu Bakar untuk bertanya jika cerita itu benar atau sebaliknya.
Apabila Saidina Abu Bakar mendengar pertanyaan mereka, dengan tenang beliau bertanya: "Apakah benar Rasulullah SAW bercerita begitu". Mereka menjawab 'ya'. Maka tanpa ragu-ragu Saidina Abu Bakar menyatakan apa yang Rasulullah SAW katakan benar.
Sepanjang perjalanan dari Makkah ke Madinah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada di depan dan di belakang Baginda SAW. Apabila Baginda bertanya hal ini, Saidina Abu Bakar menjawab:
"Aku berjalan di depanmu untuk memilih jalan yang baik selamat sementara aku berjalan di belakangmu untuk menjaga keselamatan daripada serangan musuh yang mengejarmu."
Perhatikan nasihat Abu Sulaiman mengenai pentingnya memilih sahabat seperti yang dianjurkan Islam. Katanya: "Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada dua orang ini. Pertama, orang yang dapat engkau ajar bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang yang dijadikan sahabat itu dapat menambahkan kemanfaatan dirimu untuk akhiratmu.
Jika engkau suka bersahabat dengan orang yang selain dua orang ini, maka pastilah engkau memiliki kebodohan yang luar biasa besarnya."
Umat Islam perlu serius pastikan generasi Muslim bersih dadah
STATISTIK Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 merekodkan 12,352 penagih. Secara umumnya 75 peratus penagih ialah Melayu dan setiap hari kira-kira 17 penagih baru dikesan. Kini ada 29 pusat serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan. Menurut sumber agensi, antara 20 hingga 25 peratus penagih di pusat serenti berjaya dipulihkan.
Sementara yang lain gagal dipulihkan, hidup terumbang ambing, menghidap HIV dan Aids. Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terbabit dalam dadah adalah belia.
Mereka pewaris kepemimpinan keluarga, masyarakat dan negara. Sebilangan umat Islam yang hidup bergelumang dadah, HIV dan Aids akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.
Firman Allah bermaksud: "Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Rum, ayat 41)
Pembabitan umat Islam dengan dadah, HIV/Aids dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam jangka panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina dan merempat di negara sendiri.
Bagi mengelak ancaman ini, umat Islam perlu insaf dan renungi peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangan (kuasanya). Jika ia tiada mampu, hendaklah mengubahnya dengan lidah (nasihat). Jika tiada mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati (tidak meredai perbuatan itu) dan itu selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Umat Islam perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggerakkan ahli jawatankuasa masjid/surau, ahli jawatankuasa kemajuan kampung dan pemimpin masyarakat akar umbi turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini.
Sedarlah perbuatan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan penderitaan.
Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti memastikan diri serta keluarga melaksanakan perintah Allah dengan sempurna dan istiqamah. Beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak daripada ancaman dadah dan gejala sosial.
Semua anggota masyarakat bertanggungjawab memburu pengedar dadah. Amat menyedihkan kerana segelintir mereka yang mengaku beriman menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.
Justeru, mari kita menginsafi pembabitan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah. Antara wabak yang kini sangat mencemaskan dunia ialah selesema babi atau wabak H1N1.
Kita perlu berganding bahu memastikan kebersihan diri dan alam serta makan makanan halal dan berkhasiat.
Lakukan senaman untuk kekuatan sistem pertahanan badan, segera mendapatkan rawatan perubatan jika demam, selesema atau batuk, mendapatkan bantuan keluarga, jiran, dan rakan sekerja untuk tugas tertentu, dan menunaikan solat hajat berterusan sebagai doa dan ikhtiar menolak bala bencana serta ujian Allah yang menimpa umat Islam dan manusia sejagat.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala diperintahkan." (Surah at-Tahrim, ayat 6) - Khutbah Jakim online