Showing posts with label Sijil halal. Show all posts
Showing posts with label Sijil halal. Show all posts

Tuesday, May 19, 2009

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa
Oleh Mohd Noor Omar

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan pelbagai rencam pedagang, pembeli serta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal. Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang juga pulang dengan perasaan hampa.

Ada juga syarikat yang tidak dapat memasuki negara kerana ancaman penyakit berjangkit. Paling menyedihkan, ada syarikat yang dapat masuk pameran tetapi merintih kerana menanggung kos penyewaan tapak pameran ditambah kos pengangkutan, penginapan dan penyimpanan.

Nampaknya, menjadi penyedia dan penyelenggara tapak pameran lebih menguntungkan, sama seperti memperdagangkan piawaian halal untuk tujuan niaga tanpa menghiraukan kewibawaan halal itu sendiri.

Kini menjadi budaya menaja pameran halal kemudian giat disambung agensi lain di seluruh negara. Mungkin sudah tiba masanya kita merencana kembali arah tuju industri halal yang makin condong ini.

MIHAS bukan tempat untuk menjual tetapi salah satu acara antarabangsa bagi memasarkan barangan dan perkhidmatan halal. Membina pasaran dan menjual adalah dua perkara berbeza. Memang mudah jika kita mengupah orang untuk melakukan sesuatu tetapi kita mestilah mengekalkan kawalan ke atasnya.

Penubuhan sekretariat bukannya bertujuan semata-mata untuk melantik penyedia pameran, sebaliknya mengurus keseluruhannya supaya selari dengan matlamat perusahaan halal dan pada masa sama tidak mengorbankan kewibawaannya.

Kepada peniaga, mengambil bahagian bukan untuk tujuan menjual barangan tetapi menjadikannya medan perantara yang bakal menemukan matlamat urus niaga antara sesama peniaga. Marilah kita cuba bezakan di antara pameran MIHAS dan pasar malam.

MIHAS adalah satu jenama Malaysia dan menjadi tempat untuk memperkenalkan jenama barangan Malaysia kepada seluruh dunia. Maklum balas diterima daripada peniaga terutama pengusaha tempatan ialah kadar sewa ruang pameran terlalu tinggi menyebabkan peniaga menumpukan kepada jumlah jualan untuk mengimbangi kerugian berbanding membentuk rangkaian pasaran.

Sementara itu, pengusaha luar yang datang mengeluh melihatkan betapa pendekatan Islam di Malaysia terlalu terbuka sehingga mengabaikan sudut aurat, hak milik pameran dan keagungan Islam apabila melihat pengendali pameran bukan daripada mereka yang selayaknya atau orang Islam sendiri.

Justeru, kenapa mereka perlu menghiraukan aurat atau menjaga penampilan lebih halal? Apa yang kita harapkan jika kita abaikan pengurusan pameran? Memang ‘halal’ memberi makna kepada mereka, tetapi tidak kepada tuntutan Islam lain kerana kefahaman berbeza. Yang menjadi dalang kepada kemusnahan imej inilah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Begitu juga persoalan dalam persijilan halal. Halal bukannya satu perniagaan tetapi piawaian. Pola fikrah pengurusan persijilan perlu dianjak daripada menghitung jumlah syarikat atau barangan yang diberi sijil halal kepada usaha mengangkat kewibawaan halal itu sendiri.

Mengangkat industri halal tidak dinafikan memanglah bagus tetapi mengangkat martabat kewibawaan halal tidak boleh dikesampingkan begitu saja. Sudah sampai masanya pengurusan halal dilembagakan supaya kawalan dan penguatkuasaan menjadi lebih telus dan meyakinkan.

Seiring dengan penstrukturan ekonomi, politik dan kemasyarakatan yang rancak diusahakan sekarang, adalah wajar kita melihat kembali di mana letaknya kewibawaan industri ini. Rombakan bukan saja ke atas struktur sedia ada tetapi meliputi wadah baru mengangkat kembali keyakinan kepada persijilan halal di Malaysia.

Kita tidak mahu kerana kurang prihatin, akhirnya tanpa disedari kita seolah-olah menjadi tali barut yang menyusahkan pengguna Islam sendiri. Tahap keyakinan persijilan makin hari makin luntur bukan saja di kalangan rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa.

Berapa banyak barangan halal di Malaysia yang jika diselidiki sebenarnya tidak halal. Itu belum dikira dari sudut ‘halalan thoyyiba’ yang menyentuh mengenai mutu. Tahap kewaspadaan pengguna yang mencari barangan halal perlu ditingkatkan.

Sebagai menyahut tanggungjawab ini, badan pemantau perlu disegerakan. Mereka boleh memasuki gedung beli-belah dan melihat sendiri satu persatu kesemua barangan yang sudah diiktiraf halal. Adakah kandungannya kekal seperti semasa permohonan dibuat atau sudah berlaku perubahan.

Melangkah masuk ke ruang pameran cukup untuk menceritakan bahawa Islam ditinggalkan sedang mercu tanda halal dinaikkan untuk menarik amalan urus niaga. Nampaknya, pihak terbabit perlu dulu dihalalkan barulah masyarakat akan yakin dengan pensijilan halal yang kita canang.

Jika masyarakat Islam sendiri sudah mengalpakan fahaman halal sehingga mampu dijadikan sebagai sasaran serangan kembali ke atas ummah, apa faedahnya industri ini kepada ummah?

Agama Islam bukan terhad kepada halal saja, tetapi mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Halal adalah ketetapan utama kepada kepenggunaan kini sudah diiktiraf dan dipiawaikan bagi tujuan persijilan di seluruh dunia.

Persijilan dijadikan satu peluang perniagaan menguntungkan. Ketegasan makin luntur ditambah keinginan mengaut keuntungan, menjadikan badan persijilan menjadi makin lemah dan tidak meyakinkan pengguna. Akibatnya, pengguna menjadi bingung dengan mutu dan tahap piawaian.

Pengguna bukannya menghadapi masalah kerana tiadanya logo halal tetapi kegusaran kepada sejauh mana barangan itu betul-betul mematuhi piawaian halal yang dikehendaki Islam.

Badan pelaksana amanah piawaian perlu memikul tanggungjawab menjamin kewibawaan piawaian itu supaya dapat mengangkat kembali Islam di tempat selayaknya dan bukan dijadikan kenderaan mengaut keuntungan.

Wednesday, May 6, 2009

Pemegang sijil halal mesti bertanggungjawab

Pemegang sijil halal mesti bertanggungjawab
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

RAMAI kita suka memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing tetapi tidak ramai mengutamakan apakah makanan itu halal serta bersih menurut syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang berjalan jauh dengan keadaan kusut-masai rambutnya dan berlumuran debu. Sementara kedua-dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bolehkah diperkenankan Allah doanya.



Makanan suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan akan kebersihan serta kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Seseorang insan mukmin yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanan lahir cahaya keimanan dalam dirinya serta terdorong memastikan kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian dan tempat tinggal.

Ibadat solat juga mengajar kepentingan menjaga kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina.

Keadaan ini sesuai maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersih kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjurus kepada banyak perkara kerana pemakanan memberi kesan langsung kepada pembinaan sahsiah serta keperibadian.

Namun, itu bukan bermakna kita dihalang menikmati makanan cuma disuruh menjaga apa yang dimakan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)

Makanan yang haram, sama ada dari bahan dicampur najis dan benda subahat atau daripada punca tidak halal, maka datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.

Pertama, makanan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia merasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, menyebabkan dia akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Apa juga bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya. Makanan seimbang umpamanya dapat menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah SAW menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara.

Daripada aspek adab pemilihan makanan, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka atau tin berkarat.

Selain adab makan dan memilih makanan, Islam turut melarang umatnya berlebih-lebihan dalam makanan dan minuman. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan halal.”

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah pemilihan makanan termasuk makan secara melampaui batasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Allah murka kepada hamba yang suka melampau batasan termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Balasannya, Allah akan menurunkan pelbagai penyakit, sama ada menyerang manusia secara keseluruhannya atau individu.

Kelalaian serta kealpaan mereka menguruskan nikmat kurniaan Allah seperti makanan yang menjadi sumber tenaga untuk manusia melakukan kegiatan harian termasuk beribadat kepada-Nya.

Pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai halal di pasaran negara dari semasa ke semasa membuktikan masalah itu belum dapat ditangani dengan berkesan.

Sebenarnya isu halal dan haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna beragama Islam terhadap makanan dibeli, kesedaran penjual dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penipuan sijil halal.

Walaupun di negara ini permohonan sijil halal adalah secara sukarela, pemantauan perlu diadakan sekerap mungkin bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menggunakan sijil halal yang diperoleh demi mengaut keuntungan daripada pengguna Muslim.

Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan tahap kebersihan dan kesucian makanan menepati maksud sebenar dengan melakukan pemeriksaan berkala supaya syarikat pengeluar menjaga mutu kebersihan mengikut syarat ditetapkan.

Jangan hanya sebelum dikeluarkan sijil pemeriksaan teliti dibuat tetapi selepas itu, senyap begitu saja hingga berlaku penipuan penggunaan sijil palsu serta sijil yang sudah tamat tempoh.

Sijil halal membolehkan umat Islam meyakini kebersihan serta kesucian makanan yang dijual di premis berkenaan.

Persoalannya sekarang siapakah yang akan dipertanggungjawab jika umat Islam termakan makanan tidak halal tetapi mempunyai label halal?