Tuesday, July 7, 2009
Ulama tulen tak tamak kehidupan dunia, tidak sombong ilmu
Oleh Ibrahim Abdullah
POLITIK dengan ulama tidak dapat dipisahkan. Sejarah sosial politik ummah membuktikan kalangan ulama sentiasa aktif dalam dinamik berbangsa dan bernegara.
Namun, tidak dinafikan adanya ulama politik iaitu ulama yang mengikut kehendak parti politik dan pentadbiran. Akibatnya, ulama kerap terjebak stigma politik bercorak negatif dan akhirnya mengurangi kredibiliti ulama itu sendiri.
Ada mendakwa ulama jika sudah terjun ke dunia politik sama halnya dengan pentadbir atau pemerintah. Ini adalah karakter ulama politik mengikut arus politik. Namun, yang harus dibangun dan dibina adalah politik ulama.
Maksudnya, parti politik harus mengikut bimbingan dan arahan ulama yang luas ilmu serta tinggi moral. Ulama juga perlu bersikap aktif dalam merentas pelbagai bentuk penyimpangan politik selain menanamkan nilai ulama dalam diri.
Ulama bukan sebagai simbol, tetapi nilai ulamanya yang tertanam sehingga menjadi benteng terhadap pelbagai bentuk penyimpangan politik.
Pengertian ulama secara etimologi bererti orang yang berpengetahuan. Secara terminologi, ulama adalah orang yang mampu menghasilkan ilmunya kepada rasa takut dan kagum kepada Allah untuk mengamalkan ilmunya serta memanfaatkan demi kepentingan makhluk Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut dan kagum kepada Allah daripada hamba-Nya hanyalah ulama." (Surah Fatir, ayat 27-28)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ulama adalah pewaris Nabi." Hadis itu menjelaskan pentingnya ulama meneruskan misi kenabian di muka bumi ini. Ulama berperanan menegakkan hukum Allah, memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta mementingkan kesejahteraan umat Islam.
Oleh itu dapat difahami ulama ada yang baik serta benar dan sebaliknya. Ulama yang baik dapat membina dan membangun bangsa serta negara menjadi lebih baik. Inilah politik ulama yang mengubah keadaan demi kebaikan semua.
Ulama politik menggunakan ilmu untuk kepentingan peribadi atau kelompoknya saja. Karakter ulama ini dapat dilihat melalui amalan tidak sesuai dengan ilmunya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Aku akan memalingkan orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan benar daripada tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat-Ku, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah mereka mendustakan ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya." (Surah al-A'raf, ayat 146)
Menurut az-Zahabi, ulama yang tidak benar adalah yang mempercantik kezaliman dan ketidakadilan dilakukan penguasa. Ulama yang memutarbelitkan kebatilan menjadi kebenaran untuk penguasa atau ulama yang diam saja di hadapan penguasa pada hal dia mampu menjelaskan kebenaran.
Khalifah Umar al-Khattab bertanya kepada Ka'ab: "Apa yang mengeluarkan ilmu dari hati ulama?" Ka'ab menjawab: Ketamakan." Keluarnya ilmu daripada hati ertinya ilmu itu sudah tidak berpengaruh dan tidak lagi dijadikan tuntutan.
Ulama yang tidak benar juga tidak melakukan apa yang dikata. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Sungguh besar kemurkaan Allah bagi orang yang pandai berkata-kata tapi tidak mengamalkannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)
Adapun politik ulama adalah ulama sebenarnya. Ulama yang benar beramal sesuai dengan ilmunya, berani mengatakan kebenaran di hadapan penguasa dan menegakkan keadilan di hadapan penguasa yang zalim. Ulama yang meluruskan dan mengarahkan penguasa selalu berada di jalan benar.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jihad utama adalah menegakkan kebenaran pada penguasa yang zalim."
Sa'adi berkata, seorang raja yang zalim berkenan memanggil seorang ulama ke istananya untuk memberi nasihat. Ketika ulama itu datang, raja berkata: "Berikan aku nasihat, amalan apa yang paling utama aku lakukan sebagai bekalku kelak di akhirat? Ulama menjawab: Amalan terbaik untuk baginda adalah tidur. Raja itu kehairanan: Mengapa? Jawab ulama: Kerana ketika raja tidur, rakyat dapat beristirahat daripada kezaliman."
Ulama benar juga tidak tamak terhadap kehidupan dunia, tidak sombong dengan ilmu dimilikinya dan sesuai antara perkataan dengan perbuatannya.
Karakter seperti inilah yang disebut politik ulama yang dapat memainkan peranannya membangun dan membina bangsa serta bernegara. Sekurang-kurangnya tanggungjawab ulama dapat dioptimumkan.
Saturday, June 27, 2009
Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu
![]() |
| SHeikh Nuruddin Ar-Raniri antara ulama yang terawal mengarang ilmu akidah di alam Melayu pada abad ke-16. |
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH
ILMU Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah sangat luas jika dibicarakan dari sumber-sumber asalnya yang meliputi berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan ribuan kitab.
Sebahagian kecil sejarah ringkas Ilmu Tauhid di Dunia Melayu dalam beberapa judul penting yang telah ditulis oleh para ulama Dunia Melayu, telah penulis perkenalkan dalam ruangan-ruangan sebelum ini dan dimuatkan juga dalam buku Faridatul Faraid, Sheikh Ahmad al-Fathani.
Maka dirasakan tidak perlu ia diulang perkara yang sama. Oleh itu, untuk perbicaraan ini, penulis hanya mengehadkan kepada sumber-sumber tradisional karya ulama dunia Melayu sahaja.
Senarai kitab akidah ulama dunia Melayu
Sebelum memasuki sejarah penulisan akidah Islami yang berhaluan Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu, terlebih dahulu ada baiknya penulis senaraikan pelbagai judul kitab yang dikarang oleh ulama-ulama silam kita.
Karya-karya akidah itu dapat dibahagi kepada empat corak iaitu:
lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Arab.
lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu.
lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.
Daripada keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu berkebolehan mengarang kitab-kitab dalam bentuk bahasa Arab yang setaraf dengan orang-orang Arab sendiri.
Bahawa demikian pentingnya ilmu tauhid (akidah) sehingga dalam perbicaraan mengenai fiqh atau tasauf pun masih juga membicarakan perkara akidah.
Disimpulkan bahawa ulama silam Dunia Melayu sependapat bahawa “Mengenal Allah dan Rasul-Nya melalui akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah wajib, mendapat tempat yang pertama dan utama dari ilmu-ilmu lainnya”.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani dalam karyanya Jumanatut Tauhid dalam bentuk syair menulis, maksudnya: “Dan sesudah itu maka Ilmu Tauhid itu pada pelbagai ilmu, seumpama matahari di antara sekelian bintang”.
Adapun senarai kitab akidah yang disenaraikan tersebut dapat dijelaskan sebagai yang berikut:
i. Karya Ilmu Tauhid Dalam Bahasa Melayu
Antara karya-karya yang berkaitan untuk bahagian ini telah ditemui agak banyak. Antaranya ialah:
lIlmu Tauhid karya Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) yang ditulis dalam tahun 1032 H (kira-kira 1622 M),
lDurarul Faraid bisyarhil ‘Aqaid karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, tahun penulisan 1045 H (kira-kira bersamaan 1635 M).
lBidayatul Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, tahun penulisan 1170 H (kira-kira 1757 M).
lZahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1178 H (kira-kira 1764 M).
lTuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu’minin wa Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tahun penulisan 1188 H (kira-kira 1774 M).
lKifayatul Mubtadi fi Ushuli I’tiqadil Mursyidin, atau dengan judul lain iaitu Irsyadu Athfalil Mubtadi-in fi ‘Aqaidid Din wa Ad’iyah an Nafi’ah ad Din karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).
lRisalatu Ta’alluqi bi Kalimatil Iman karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
lDhiyaul Murid fi Ma’rifati Kalimatit Tauhid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).
lAd Durruth Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1232 H (kira-kira 1817 M).
l‘Iqdatul Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M).
lWarduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan kesemuanya.
ii. Karya Ilmu Tauhid Yang Khas Yang Membicarakan Tentang Itu Yang Ditulis Dalam Bahasa Arab
Kitab-kitab Ilmu Tauhid yang ditulis oleh ulama silam Dunia Melayu dalam bentuk bahasa Arab tidaklah sebanyak seperti yang ditulis dalam bahasa Melayu. Di antara yang dapat dicatat disenaraikan seperti berikut:
lJumanatut Tauhid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).
lMunjiatul ‘Awam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).
lSabilus Salam atau dengan judul yang lain Minhajus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1306 H (kira-kira 1888 M).
lFat-hul Majid fi Syarhid Durril Farid fi ‘Ilmit Tauhid karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1294 H (kira-kira 1877 M).
lNuruzh Zhalam ‘alal Manzhumati al-Musammah bi ‘Aqidatil ‘Awam karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).
lSyarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tanpa menyebut tahun penulisan.
Perlu penulis sebutkan bahawa selain Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Nawawi al-Bantani, terdapat beberapa ulama Dunia Melayu yang menjalankan aktivitinya di Mekah yang juga meninggalkan beberapa karya dalam bahasa Arab termasuk karangan perkara akidah.
Mereka ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor, Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau (pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah), Sheikh Abdul Hamid Kudus (juga pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah menggantikan Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau).
iii. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Melayu)
Sebagai petanda bahawa perkara akidah tradisional menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpunca dari Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sangat penting, maka ulama-ulama Dunia Melayu dalam kitab-kitab fikah yang dikarang terlebih dahulu menulis tentang akidah tersebut di bahagian awal karya fikah berkenaan.
Demikian juga dilakukan terhadap kitab-kitab tasauf. Di antara kitab-kitab fikah ataupun tasauf yang didahului dengan ilmu akidah di antaranya:
lPada bahagian awal Hidayatus Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1192 H (kira-kira 1778 M).
lSiyarus Salikin (jilid 1) karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1194 H (kira-kira 1780 M).
lHidayatul Muta’allim wa ‘Umdatul Mu’allim karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1244 H (kira-kira 1828 M).
lFathul Mannan li Shafwatiz Zubad karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1249 H (kira-kira 1833 M).
lAl-Jawahirus Saniyah fi Syarhil ‘Aqaidid Diniyah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).
lSullamul Mubtadi fi Ma’rifatil Muhtadi karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).
lFuru’ul Masail wa Wushulul Washail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1254 -1257 H (kira-kira 1838-1841 M).
lMathla’ul Badrain wa Majma’ul Bahrain karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1303 H (kira-kira 1885 M).
lWusyahul Afrah wa Ashbahul Falah karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1313 H (kira-kira 1895 H).
lBahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtahidin karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1310 H (kira-kira 1892 M).
l‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanus Shalah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1319 H (kira-kira 1902 M) dan
lDi bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1323 H (kira-kira 1905 M).
iv. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Arab)
Di bahagian ini hanya dapat disenaraikan beberapa karya Sheikh Nawawi al-Bantani sebagai contoh. Hal ini disebabkan kurang mendapat maklumat dan sedikit sekali ulama silam Dunia Melayu melakukannya.
Di antara kitab-kitab karya Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut ialah:
l Di bahagian awal Syarah Sullamul Munajah, Mirqatu Shu’udit Tashdiq fi Syarhi Sullamit Taufiq, dan Ats Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, yang kesemuanya kitab tersebut tiada dinyatakan tahun penulisan.
Sebuah lagi adalah di bahagian awal kitab Syarah Kasyifatis Saja ‘ala Safinatin Naja fi Ushuliddin wal Fiqh, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).
Demikianlah senarai ringkas karya-karya ulama silam Dunia Melayu yang membahas perkara akidah Islamiah yang sekali gus dari tahun-tahun penulisan. Dengan ini dapat kita ketahui bahawa ilmu tersebut telah ditulis bersama-bersama dengan ilmu-ilmu keislaman di bidang lainnya, yang dapat kita kaji sejak abad ke-16 Masihi lagi.
Kita berkeyakinan bahawa ilmu-ilmu yang membahas perkara akidah telah sampai di rantau ini dibawa serentak dengan kedatangan agama Islam itu sendiri.
SUKATAN PELAJARAN ILMU TAUHID TRADISIONAL DI DUNIA MELAYU
Dalam dunia pendidikan moden, kita mengenal istilah sukatan pelajaran atau kurikulum. Walaupun istilah tersebut dalam pendidikan tradisional tidak diperkenalkan secara meluas, namun dari karya-karya peninggalan mereka dapat kita mengerti bahawa hal itu telah berlaku sejak lama di Dunia Melayu.
Kurikulum pelajaran tauhid secara tradisional dapat dibahagi kepada berikut, iaitu: Peringkat Awal/Permulaan, Peringkat Menengah dan Atas dan Peringkat Pembahasan dan Penyelidikan. Peringkat-peringkat tersebut dapat dibicarakan satu persatu bahagiannya sebagai berikut:
I. Peringkat Awal/Permulaan
Dimaksudkan dengan Peringkat Awal / Permulaan ialah orang-orang yang baru memasuki pelajaran Ilmu Tauhid dan tidak terikat dengan umur.
Adakalanya seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun atau seorang yang telah tua hingga melebihi 40 tahun mereka wajib diberi pengertian asas tauhid dengan cara menghafal.
Bezanya hanyalah cara menyampaikannya sahaja, tentu saja tidak sama menerapkannya antara seorang kanak-kanak dengan seorang yang telah berumur.
Untuk peringkat ini Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sekurang-kurangnya telah menyusun dua kitab Ilmu Tauhid iaitu Irsyadul Ithfal dan ‘Iqdatul Jawahir.
‘Iqdatul Jawahir tersebut selain merupakan asas akidah, dapat juga digunakan sebagai penolong ke arah sastera klasik kerana ia ditulis dalam bentuk syair dua bait, dua bait tak ubahnya seperti ‘Gurindam Dua Belas’ gubahan Raja Ali Haji dari Riau.
Barangkali gaya bahasa sastera Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti tersebut telah mempengaruhi sasterawan yang berasal dari Riau itu. Ini kerana tidak dapat dinafikan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang guru kepada Raja Ali Haji sewaktu dia ke Mekah dalam tahun 1245 H (kira-kira 1831 M), iaitu tahun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan karya beliau ‘Iqdatul Jawahir.
Selain mengarang dua kitab dalam bahasa Melayu untuk peringkat ini, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menekankan supaya kanak-kanak digalakkan menghafal akidah berbentuk dalam bahasa Arab.
Hal ini disedari beliau kerana untuk pengiktirafan menjadi seorang ulama peringkat antarabangsa adalah dimestikan menguasai bahasa Arab dalam pelbagai bentuk keilmuannya.
Ada empat karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk peringkat ini, iaitu dua dalam bahasa Arab dan dua dalam bahasa Melayu.
Judul kitab dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid dan Munjiatul ‘Awam. Kedua-duanya ditulis di Mesir dan telah diuji oleh pengarangnya mengajar kedua-dua kitab itu di Masjid Jamek Azhar, Mesir kepada orang-orang yang bukan berasal dari Dunia Melayu.
Dua karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk Peringkat Awal dalam bahasa Melayu pula ialah An Nurul Mubin dan ‘Aqidah Ushuluddin Pendek.
Dalam kedua-dua kitab kecil tersebut, beliau menyimpulkan seluruh akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk kanak-kanak dan orang awam adalah meliputi beberapa perkara berikut, antaranya: tentang rukun Islam, rukun iman, Sifat Kamalat yang wajib bagi Allah ada 13 sifat, demikian juga lawannya, kemudian ditambah lagi tujuh sifat yang dinamakan Sifat Ma’nawiyah dan sebagainya yang banyak tidak dapat dimuatkan keseluruhannya di sini.
Dua karya yang beliau tulis dalam bahasa Arab yang berbentuk syair pula. Kandungannya jauh lebih lengkap daripada yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini dapat dimaklumi kerana kedua-dua kitab bahasa Arab itu adalah untuk diajar di pondok-pondok yang bercorak pengkaderan bukan untuk orang awam.
Dari segi akidah jelas mencerminkan suatu ajaran yang dapat dipertanggungjawabkan. Ditinjau dari segi bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani nampaknya berusaha supaya dari peringkat kanak-kanak lagi perlu diajar bahasa Arab yang begitu tinggi hingga sampai kepada gaya bahasa sasteranya.
Ditinjau dari segi kelengkapan kandungan, sebagai contoh seperti tertulis dalam Jumanatut Tauhid pada bait pertama (tidak dapat dipaparkan contoh dalam bahasa Arab) iaitu, maksudnya, “bahawa wajib memelihara kulliyat lima atau enam perkara, iaitu: agama Islam, diri, harta, nasab, kehormatan, dan akal”.
Pada bait yang lain antaranya ditinjau dari sudut politik, bahawa untuk memelihara yang tersebut itu adalah “menghendaki kepada pentadbiran yang baik pula”.
Politik yang baik dan pentadbiran yang baik menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang lain ialah menurut yang telah diperintahkan Allah kepada para RasulNya. Diakui atau tidak ketokohan ulama kita ini mengkaderkan tokoh-tokoh politik di Dunia Melayu melalui akidah Islamiah yang berkesinambungan memerlukan analisis, pengkajian dan pandangan secara jujur secara saksama dan mendalam.
Sebagai bukti, sehingga tertulis dalam buku Kurikulum Bersepadu Seolah Menengah Sejarah Tingkatan 2 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1989, halaman 182 sebagai yang berikut: “Di Tanah Melayu pada masa itu, telah ada tokoh yang menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani membentuk sebuah negara Islam. Tokoh tersebut ialah seorang ulama terkenal di Mekah. Beliau ialah Sheikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Zain yang berasal dari Patani. Beliau menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani bersatu untuk menentang Siam dan membentuk sebuah kerajaan Islam yang akan dilindungi oleh Empayar Turki”.
Di bahagian akhir kitab Jumanatut Tauhid diperlengkapkan dengan beberapa bait pengertian akidah yang bersangkut paut dengan tasauf. Untuk melengkapi akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di peringkat awal sebagai pengkaderan di pengajian pondok tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis di dalam Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam dengan beberapa bait tentang tanda-tanda kiamat.
Penutup
Seterusnya untuk dua peringkat yang tidak dibicarakan lagi iaitu peringkat Menengah/atas dan peringkat perbahasan/ penyelidikan dalam sukatan ilmu tauhid tradisonal di Alam Melayu ini akan disambung perbicaraannya pada ruangan yang sama pada minggu hadapan.
Untuk bahagian pertama ini, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu yang dapat dipercayai dan dipertanggungjawabkan ilmunya di bidang akidah Islamiah telah berhasil mengarang ilmu tersebut dalam banyak judul kitab, sama ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Arab.
Malahan terdapat beberapa judul kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dapat diajarkan di luar Dunia Melayu, termasuk orang-orang Arab sendiri menggunakan karya ulama Melayu tersebut.
Tuesday, May 26, 2009
Karya ulama Patani rujukan nusantara
![]() |
| Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani |
Pendahuluan
Ulama silam nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama adalah al-Quran dan Hadis. Namun, mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan dengan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran akal semata-mata.
Sebagaimana telah maklum bahawa jumlah karangan yang dihasilkan oleh ulama Patani adalah cukup banyak, tetapi yang dibicarakan ini hanya karya-karya yang menjadi rujukan sahaja.
Demikian juga dalam karangan yang demikian banyak telah membicarakan kepelbagaian disiplin ilmu. Untuk perbicaraan tersebut, penulis dahulukan tiga disiplin ilmu iaitu fiqh, usuluddin dan tasauf.
Setelah ketiga-tiga ilmu tersebut dibahas, disentuh pula ilmu-ilmu lain yang dianggap relevan sebagai pelengkap. Bagi karya-karya dalam ilmu fiqh, penulis bicarakan dengan membuat pembahagian berdasarkan ulama-ulama Patani yang terkenal karya-karya fiqhnya. Bahkan terdapat sesetengah kitab-kitab mereka masih diajarkan sehingga kini, di serata Alam Melayu.
Karya Fiqh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani
Bagi tidak mengulang penulisan dalam beberapa perbicaraan yang sama, di sini penulis ringkaskan beberapa kesimpulan iaitu:
1. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara.
2. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Nusantara yang pertama dalam penulisan fiqh Mazhab Syafie di nusantara yang lengkap seluruh judul kitab, rubu', bab dan fasal dengan kitabnya berjudul Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M.
Adapun kitab fiqh yang pertama oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri berjudul as-Siratul Mustaqim hanya membicarakan kitab ibadah sahaja.
Mengenai ibadat, Sheikh Daud al-Fathani menyusun kitab berjudul Bughyatuth Thullab untuk memperluas kandungan as-Siratul Mustaqim dan Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
3. Karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang dimulai penulisan tahun 1254 H/1838 M, diselesaikan tahun 1257 H/1841 M. Ini adalah kitab besar yang membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.
4. Kitab Melayu/Jawi yang pertama ditulis dalam bentuk syarah juga dimulai dengan karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M). Disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Mekah pada zamannya.
Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi, dimulai penulisan di Mekah dan diselesaikan di Madinah, hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.
5. Kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang dapat diklasifikasikan kitab lengkap kitab, rubu', bab dan fasal termasuk kitab tebal karya Sheikh Daud al-Fathani selain Furu'ul Masail ialah Fathul Mannan li Safwatiz Zubad (1249 H/1832 M) dan al-Jawahirus Saniyah (1252 H/1836 M).
Adapun Kitab Fathul Mannan tersebut pernah digunakan sebagai rujukan di kerajaan Sambas dan kerajaan Mempawah (Indonesia). Bahkan kitab tersebut juga pernah dihadiahkan oleh Sheikh Abdur Rahman al-Fathani kepada Raden Anom Kesuma Negara Mempawah.
Jauh sebelum penghadiahan itu, Sheikh Daud al-Fathani juga pernah datang ke Sambas dan sempat menghadiahkan beberapa kitab kepada beberapa orang muridnya di Sambas, di antaranya Mufti Sheikh Abdus Samad Sambas dan juga kepada Sultan Sambas sendiri.
Karya fiqh Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani @ Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani (Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani)
Cucu saudara Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani atau Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani atau gelaran yang terkenal dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani muncul dengan karya fiqhnya yang sangat popular iaitu, Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain.
Kitab tersebut sangat terkenal di seluruh pelosok Nusantara, bahkan sehingga kini masih banyak orang mengajarnya. Hanya kitab Mathla'ul Badrain sahaja satu-satunya kitab yang telah dikarang sebuah kamus untuknya.
Kamus tersebut diberi judul Suluh Mathla'ul Badrain (cetakan 1941) karya Haji Abdul Ghani bin Yahya yang berasal dari Johor. Dalam tahun 1413H/1993 M diterbitkan Mathla'ul Badrain yang dirumi/dilatinkan dengan perubahan bahasa dari bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang berkembang sekarang, diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada akhir usianya, Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani juga menyusun kitab fiqh mengenai ibadat yang tebal berjudul al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi (1331 H/1912 M.
Karya beliau ini merupakan sebuah karya paling lengkap dalam membicarakan perkara ibadat, terutama pada bab Haji dan Umrah. Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia.
Pengedaran kitab ini masih terus menerus ada permintaannya sehingga kini, di mana syarikat penerbitan penulis sendiri iaitu Khazanah Fathaniyah, merupakan satu-satunya penerbit dan pengedar tunggal bagi kitab tersebut di seluruh Malaysia.
Berdasarkan perkembangan ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengaruh karya-karya ulama silam masih relevan untuk digunapakai sehingga zaman moden ini. Walaupun tidak dinafikan begitu bahasa-bahasanya memerlukan pemahaman yang tinggi.
Karya Fiqh Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani
Kandungannya juga membicarakan furuk-furuk Fiqhiyyah. Karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani tentang fiqh yang lain, adalah Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad, tanpa dinyatakan tahun selesai. Ia membicarakan bab jenazah dan cara-cara mengerjakan fidyah yang berasal dari Mazhab Hanafi, boleh dikerjakan dalam Mazhab Syafie Manfaat Bagi 'Awam' Muslimin, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.
Beliau membicarakan tentang makruh rokok menurut yang disepakati jumhur ulama asy-Syafieyah, merupakan ulasan karangan Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein al-'Aiderus Terengganu yang mengharamkan rokok.
Karya Fiqh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani
Kitab-kitab tersebut ialah al-Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin (1310 H/1893 H), 'Unwanul Falah wa 'Unfuwanul Shalah (1319 H/1902 M) dan al-Fatawal Fathaniyah.
Mengenai al-Fatawal al-Fathaniyah telah penulis transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi ke Latin/Rumi dan telah diterbitkan tiga jilid.
Selain kitab-kitab fiqh susunan beliau sendiri, Sheikh ahmad al-Fathani turut terlibat dalam fiqh nusantara, sebagai pentashhih pertama dan penyebar kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara yang terdahulu daripada beliau.
Kitab-kitab fiqh yang ditashih oleh beliau adalah:
nAs-Siratul Mustaqim
nSabilul Muhtadin
nFuru'ul Masail
nMir'atuth Thullab
nSullamul Mubtadi
nFathul Mannan
nAl-Jawahirus Saniyah
nMathla'ul Badrain dan
nKasyful Litsam
Sebuah kitab fiqh bahasa Arab yang terkenal di kalangan Mazhab syafie, yang diajarkan banyak tempat di seluruh dunia Islam berjudul I'anatuth Thalibin oleh Saiyid Abu Bakri Syatha juga ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.
Menurut riwayat, bahawa 35 orang ulama Mazhab Syafie di Makkah, termasuk Saiyid Abu Bakri Syatha (1266 H/1849 M-1310 M/1892 M) dan Saiyid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M-1335 H/1918 M), memberi kepercayaan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani untuk mentashih, menyemak dan membetulkan kandungan dan bahasa kitab tersebut jika terdapat kekeliruan.
Pada cetakan-cetakan awal I'anatuth Thalibin turut dilampirkan syair Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Syair beliau mendapat kepujian pertama ketika diadakan pertandingan khusus untuk menilai kitab itu.
Karya Fiqh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif (Tok Kelaba)
Beliau menyusun beberapa kitab dalam bahasa Arab dan bahasa melayu. Kitab fiqhnya yang terbesar ialah Hadaiqus Shalawat fil Khalawat wal Jalawat. Manuskrip kitab ini ada dalam simpanan penulis, dan merupakan kitab yang terbesar karya Tok Kelaba, yang melebihi 2,000 halaman.
Halaman sebenar tidak diketahui kerana sekian banyak halaman pada bahagian akhir rosak dan ada yang hilang. Perbicaraan khusus kitab ini adalah mengenai sembahyang yang dilengkapi dengan berbagai-bagai sembahyang sunat, perbahasan secara teliti berbagai-bagai wirid, doa, hizib, zikir, selawat dan lain-lain.
Karya Fiqh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani
Karya fiqhnya yang mempertahankan pegangan tradisional bermazhab ialah Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (1339 H/1920 M), yang membicarakan kandungan kitab ini adalah menolak beberapa pemikiran kaum muda.
Di antara ulama yang membenarkan kandungan kitab ini ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Sheikh Ismail/Pak De 'El bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Muhammad Nashir al-Fathani. Selain ulama Patani pula ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid Bogor, Sheikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili dan Sheikh Abdul Haq.
Tengku Mahmud Zuhdi juga membela pendapat fidyah sembahyang dan puasa, menurut Mazhab Hanafi dalam risalah beliau 'Pemudahan Yang Disayang Pada Menggugurkan Barang Yang Di Atas Mayat Daripada Huquq Dan Puasa Dan Sembahyang'.
Pada bahagian akhir risalah sekali gus mengemukakan hujah-hujah mengenai tahlil termasuk membaca surah al-Ikhlas yang ditujukan pahalanya kepada orang mati.
PENUTUP
Untuk perbicaraan karya-karya ulama Patani dalam disiplin ilmu yang lain akan dilanjutkan pada ruangan seterusnya. Antara yang akan diketengahkan adalah menyentuh karya-karya dalam bidang usuluddin, tasauf, tafsir al-Quran, tajwid, hadis, ilmu nahu dan saraf, Ilmu Balaghah, ilmu Hisab dan Falak dan ilmu Thib.
Monday, May 25, 2009
Ulama pewaris nabi kena berani bongkar, tentang penyelewengan
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
PERTEMBUNGAN antara golongan yang hak dan batil adalah episod yang sentiasa berlaku pada setiap generasi umat Islam. Musuh Islam berusaha untuk menjauhkan umat Islam daripada jalan yang lurus dan diredai Allah.
Namun, pada setiap generasi pasti wujud ulama adil yang tampil membela Islam daripada dicemari pemikiran serta ajaran sesat yang cuba diterapkan dalam minda umat Islam.
Sabda Rasulullah SAW: "Ilmu ini akan dibawa oleh mereka yang adil dari setiap generasi. Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan dusta golongan yang batil (sesat) dan takwilan golongan jahil." (Hadis Hasan)
Hadis ini memperjelaskan tugas utama ulama yang bertanggungjawab sebagai penyimpan amanah warisan Rasulullah SAW untuk mengekalkan ketulenan ajaran Islam daripada apa juga bentuk pencemaran atau penambahan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama ialah pewaris nabi. Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang sudah mengambilnya (ilmu itu), bererti sudah mengambil bahagian yang sempurna." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Ilmu menjurus daripada al-Quran dan al-Sunnah atau dalam erti kata lain, ilmu berkaitan agama Islam. Muhammad Sirin berkata: "Sesungguhnya ilmu ialah agama. Maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian."
Ilmu akan dibawa oleh mereka yang adil setiap generasi bermaksud setiap generasi umat Islam ada golongan adil (boleh dipercayai dalam ajaran agama) dan bersungguh-sungguh membawa ajaran Islam seperti yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.
Ulama adil ini berusaha melindungi umat Islam daripada penyelewengan dalam agama, amalan syirik, bidaah, khurafat, tahyul dan maksiat. Mereka sentiasa tegar membongkar penyimpangan atau anasir asing yang cuba disebarkan kepada umat Islam.
Adakalanya, ulama ini dihambur dengan pelbagai tohmahan dan cercaan disebabkan ketegasan menjaga ketulenan agama terutama ketika mereka mengkritik amalan yang bukan daripada ajaran Rasulullah tetapi sudah sebati dalam kehidupan masyarakat.
Namun mereka sentiasa bersabar menghadapi segala rintangan sebagai penyambung warisan Nabi SAW dan segala cercaan tidak sedikitpun memudaratkan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sentiasa ada sekelompok di kalangan umatku yang berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tiba urusan Allah (hari Kiamat)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Rasulullah SAW memperjelaskan ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan ajaran Baginda serta mempertahankan ketulenan Islam iaitu:
l Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas. Segala penyelewengan yang cuba dilakukan kelompok yang melampaui batas dalam urusan agama akan diperangi. Golongan yang menyimpang daripada ajaran Islam sentiasa berusaha menyelewengkan ajaran terkandung dalam al-Quran supaya menyokong doktrin sesat mereka.
l Mereka menafikan (menentang) dakwaan dusta golongan yang sesat. Ulama perlu sentiasa memantau dakwaan dusta golongan sesat yang tersebar di tengah masyarakat bertujuan menjauhkan manusia daripada ajaran Islam sebenarnya yang disampaikan Rasulullah SAW.
Contohnya, dakwaan dusta golongan liberal yang menyatakan ada perkara yang termaktub dalam hukum syarak hanya sesuai untuk dilaksanakan pada zaman silam, bukan untuk zaman moden. Ulama harus bingkas bangun memperjelaskan hikmah di sebalik segala pelaksanaan hukum ditetapkan syarak yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Masyarakat harus disedarkan segala hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah itu wajib dilaksanakan seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat." (Surah al-Nisa', ayat 105)
l Mereka menafikan (menentang) tafsiran golongan jahil. Golongan ini sering melakukan tafsiran ayat al-Quran mahupun hadis Nabi SAW tanpa dasar atau kaedah ilmu yang jelas lalu mereka memalingkan daripada tafsiran sebenar seperti disampaikan Rasulullah SAW dan generasi salaf.
Contohnya, firman Allah bermaksud: "Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-Yakin." (Surah al-Hijr, ayat 99)
Menerusi ayat itu, kelompok batiniah yang jahil meyakini bahawa apabila seseorang sudah mencapai kedudukan dipanggil al-yakin, mereka terlepas daripada bebanan hukum.
Bagi syeikh tarikat, mereka yang diyakini susah mencapai makam itu tidak perlu melakukan ibadah seperti solat, puasa dan zakat serta dibenar melakukan maksiat.
Sedangkan bagi kelompok ahli sunnah wal jamaah, mereka mentafsirkan al-yakin dengan makna kematian. Oleh itu, firman Allah di atas sebenarnya bermaksud kita perlu tetap beribadah kepada Allah sehingga ajal menjemput kita.
Monday, May 18, 2009
Peranan ulama Patani di dunia perantauan
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA
Salah seorang ulama Patani yang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh Abdur Rahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan juga sama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.
Nama beliau bukan saja terkenal di Mekah, tetapi juga termasuk di Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam satu catatan yang diperoleh di Siak Seri Inderapura, dicatatkan beliau pernah tinggal di Kerajaan Siak Seri Inderapura mengajar agama Islam, terutama ilmu Falakiyah kepada masyarakat dan kerabat Diraja Siak.
Bagaimana riwayat kedatangannya ke Siak tidak begitu jelas, yang diketahui jelas seorang anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datok Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Indrapura. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh keturunan yang ramai.
Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani ini bukan lahir di Siak, tetapi di atas kapal di Sabang. Bagaimana riwayat beliau mendapat jodoh dengan anak pembesar Siak juga tidak diketahui. Pengaruh beliau dalam Kerajaan Siak Seri Inderapura sangat besar, kerana beliau memang seorang ulama besar yang menguasai banyak bidang ilmu.
Setelah Indonesia merdeka, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departmen Agama Republik Indonesia. Pernah bertugas di beberapa tempat di Riau dan selanjutnya di Palembang, Sumatera Selatan sehingga beliau meninggal dunia di sana.
Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani sempat menghasilkan beberapa karya di antaranya Risalah Sullamit Tarsyid fi Ahkamit Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura tahun 1932, Hisab dan Falak Yang Dapat Digunakan Selama-lamanya, sebuah Ensiklopedia dan lain-lain.
PERANAN ULAMA PATANI DI JAMBI
Ketika terjadi pertikaian khilafiah di Mekah, kemenangan berada di tangan golongan Wahhabiyah. Ia menyebabkan beberapa ulama tidak aman tinggal di Mekah. Di antara mereka termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.
Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mengambil Jambi sebagai tempat persinggahan pertamanya.
Di Jambi secara tidak langsung beliau mendapat tempat dan ramai orang datang mengunjungi beliau kerana ingin menuntut ilmu. Dalam tempoh yang relatif tidak memakan masa yang lama beliau dan kawan-kawan berhasil mendirikan tempat pendidikan di Tahtul Yaman.
Oleh kerana Sultan Sulaiman Selangor mengajaknya pindah ke Selangor, lalu beliau meninggalkan Jambi, tetapi tempatnya di Jambi diganti oleh anaknya, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.
Pengaruh dan peranan Tengku Muhammad al-Fathani di Jambi sangat besar, sangat ramai muridnya. Di Jambi beliau dikenali dengan nama 'Ulama Jubah Hitam' kerana setiap kali mengajar beliau memakai jubah hitam dan berserban dengan kemas.
Penulis telah dua kali datang ke Jambi (1985 dan 1986) menginap di rumah anaknya bernama Zakaria. Daripada wawancara yang diperoleh, hampir seluruh pendapat masyarakat, bahawa setelah Tengku Muhammad al-Fathani tiada, memang tidak ditemui lagi ulama yang setaraf dengan beliau baik dari segi keilmuan ataupun besar pengaruhnya kepada masyarakat.
Sewaktu berada di Jambi, penulis sempat menyalin kandungan Harian Ampera yang ada dalam simpanan penduduk.
Harian Ampera hari Selasa, 28 Disember 1976, halaman 6 mencatatkan, "Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Tuan Guru Zuhdy, hari Minggu, 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kelmarin tiba di lapangan Pal Merah dengan pesawat terbang milik National Air Charter.
"Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pejabat pemerintah di sini menyambutnya di lapangan terbang. Dari Pal Merah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan dan hari Senin petang kelmarin dikebumikan di seberang Kota Jambi".
PERANAN ULAMA PATANI DI ACEH
Hubungan antara Patani dan Aceh sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara berjalan sudah demikian lama. Barangkali sejak diperkenalkan agama Islam di Asia Tenggara, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua tempat tersebut sudah terjalin dengan eratnya.
Dapat dicatat di antara ulama Aceh yang datang menyebar Islam ke Patani ialah Sheikh Muhammad Sa'id dan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).
Penulis difahamkan bahawa ulama dan tokoh Aceh yang sangat terkenal iaitu Teungku Daud Beureueh (1896-10 Juni 1987) termasuk salah seorang keturunan ulama Patani yang berhijrah dari Patani ke Aceh pada zaman dulu. Sampai di mana kebenaran cerita ini masih dalam tahap penelitian.
Mengenai Teungku Daud Beureueh di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah cukup banyak diketahui oleh orang, juga pernah dimuatkan dalam ruangan ini.
Jika kita kaji watak peribadi Teungku Daud Beureueh dan keseluruhan watak masyarakat Aceh dengan watak ulama-ulama Patani dan keseluruhan watak masyarakat Patani, sangat banyak persamaan terutama sekali sikap cenderung kepada pemerintahan bercorak Islam dan anti kafir. Maka sangat boleh diterima bahawa orang-orang Patani memang terjalin pertalian kekeluargaan dengan orang-orang Aceh.
Oleh itu, kisah mengenai Teungku Daud Beureueh adalah berasal dari keturunan Patani masih dapat diterima.
PERANAN ULAMA PATANI DI BRUNEI DARUSSALAM
Tersebut di dalam buku Tokoh-tokoh Agama Brunei Darussalam Pengenalan Ringkas tertulis, "Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah hidup sezaman dengan seorang pengembang Islam di Leren Geresik Jawa, Indonesia iaitu Maulana Malik bin Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 822 Hijrah. Dipercayai bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah mempunyai hubungan keluarga dengan Sultan Syarif Ali...".
Jika benar Sultan Syarif Ali itu adalah keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim, bererti jelas bahawa para penyebar Islam yang datang ke Brunei Daussalam ada hubungan kekeluargaan pula dengan penyebar-penyebar Islam yang menjadi datuk nenek para ulama Fathani Darus Salam.
Ini kerana Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Ibrahim al-Hadhrami al-Fathani. Maulana Malik Ibrahim itu sebelum ke Jawa pernah dibesarkan di Kerisik, Patani, menurut versi Patani.
Dalam Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Dan lagi Raja Brunei itu jadi dua beradik dengan bapa Tok Nyang Sheikh Abdur Rahman itu". Dimaksudkan dengan "... bapa Tok Nyang Sheikh ..." pada kalimat tersebut ialah Sheikh Abdul Mubin al-Fathani.
Walau bagaimanapun perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik beradik sebelah laki-laki ataupun dari adik beradik perempuan, yang dimaksudkan sehingga terjadi "dua beradik..." seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.
Namun, yang sempat penulis catat selain manuskrip Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu bahawa adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra ada 11 orang. Beberapa orang di antaranya dilahirkan di Kerisik Fathani Darus Salam.
Dua orang terakhir di antara mereka ialah Wan Muhammad Arifin Syah digelar Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani, beliau ini adalah datuk nenek Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Adik Wan Muhammad Arifin Syah al-Fathani yang bongsu namanya sewaktu di Pauh Bok Fathani Darus Salam ialah Wan Nik (nama timang-timangan, nama sebenar tidak diketahui).
Wan Nik al-Fathani inilah yang pergi ke Brunei menyebarkan Islam. Sewaktu di Brunei tidak diketahui beliau memakai nama apa. Namun yang jelas beliau sezaman dengan Syarif Ali yang juga menyebarkan Islam di Brunei, kemudian menjadi Sultan Brunei (sultan ke-3).
Ada kemungkinan beliaulah yang dimaksudkan dengan Syarif Ali, jika dihubungkaitkan dengan kalimat "... Raja Brunei itu dua beradik ..." dengan ulama Patani seperti tersebut pada kalimat. Bererti Wan Nik al-Fathani itu jauh ke atas, hingga ke bawahnya masih ada hubungan terus menerus, kerana satu silsilah keturunan ini pernah ditulis oleh salah seorang keturunan Sheikh Abdul Mubin al-Fathani yang berada di Brunei yang bernama Haji Sulaiman.
Haji Sulaiman ini pernah datang ke Pauh Bok, Patani menyerahkan sepotong salasilah kepada waris di Pauh Bok, Patani. Salah seorang anak beliau yang menjadi pembesar di Brunei ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awang Syihabuddin.
Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani juga pernah datang ke Brunei dan dikenali di Brunei dengan gelaran 'Tok Lubuk'. Selain mengajar beliau berkahwin di sana, meninggalkan keturunan yang ramai. Hubungan Patani - Brunei ini masih merupakan maklumat awal, justeru ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.
PERANAN ULAMA PATANI DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU
Penulis gunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu untuk wilayah yang bersempadan dengan Patani iaitu bahagian Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah dan Kelantan hingga ke Johor.
Sangat ramai orang yang berasal dari Patani atau keturunan mereka yang berperanan di Semenanjung Tanah Melayu, baik peranan sebagai ulama atau pun dalam bidang-bidang lainnya.
Dalam bidang agama Islam terutama pengajian-pengajian pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal hingga ke zaman hampir mencapai kemerdekaan adalah diasaskan oleh orang-orang yang berasal dari Patani.
Demikian dalam hal menjadi Mufti, Kadi dan lain-lain. Sebagai contoh: Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Tok Bukit Bayas, Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung kesemua mereka adalah berasal dari ataupun keturunan dari Patani yang sangat terkenal sebagai ulama Terengganu.
Apabila kita membicarakan ulama-ulama Kelantan sangat sukar memisahkan apakah seseorang itu berasal dari Patani ataupun dari Kelantan. Memang pertalian kekeluargaan antara Kelantan dengan Patani adalah tidak dapat dipisah-pisahkan, yang memisahkan hanyalah geografi dalam pemetaan politik atau pemerintahan saja.
Sekarang Patani dalam kekuasaan penjajahan, sedang Kelantan dalam pemerintahan Malaysia. Sebagai contoh; ulama dan tokoh Kelantan yang erat hubungannya dengan Patani seumpama: Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1235 H/1820 M-1331 H/1913 M), Sheikh Abdus Samad atau Tuan Tabal, Nik Mahmud bin Ismail lebih dikenal dengan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain.
Tok Kenali pula datuk neneknya berasal dari Cahaya (sekarang Chaiya) iaitu satu negeri yang terletak di Utara Patani. Demikian halnya dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang/Seberang Perai dan Perak.
Penutup
Ada pun peranan orang-orang Patani di tempat-tempat lainnya iaitu di Mekah, Mesir, dan Turki tidak dibicarakan lagi kerana sudah cukup banyak penulis perkenalkan dalam beberapa tulisan yang melibatkan ulama-ulama Patani. Kesimpulan dari peranan di Mekah bermula dengan penonjolan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala di Mesir dan Turki bermula dari aktiviti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Monday, May 11, 2009
Peranan ulama Patani di perantauan
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Pendahuluan
APABILA kita bercakap ataupun menulis apa saja mengenai Patani, rasanya tidak akan kekeringan bahan kerana cukup banyak perkara yang boleh ditonjolkan. Patani adalah suatu negeri yang telah bertamadun sejak lama, Langkasuka, Tamberalinga, Fathani Darus Salam dan lain-lain. Kerajaan yang pernah berpusat di negeri itu sudah cukup dikenal dalam sejarah serantau. Apabila kita terjemah dan tafsirkan sepotong tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, barangkali boleh dijadikan sebuah buku yang agak tebal juga.
Tulisan tersebut adalah, "... Patani adalah suatu negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang agung/besar".
Ramai yang menyangka bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab. Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.
Mengenai ulama-ulama Patani sudah cukup banyak ditulis dan telah banyak pula dipetik orang; baik dijadikan tesis, buku dan lain-lain mahupun kertas kerja.
Ulama-ulama yang sudah cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.
Di sini penulis menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.
Kadang-kadang dikenal nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari Fathani Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara mereka.
Mengenai mereka ini penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.
Peranan ulama Patani di Betawi
Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani ataupun setelah mereka dari Campa memang telah lama. Jika benar Sunan Gunung Jati/Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan 'Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam Sultan di Campa, menurut salah satu versi, bahawa Sunan Gunung Jati berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.
Sejak itu, beliau dan orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati ramai yang hijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.
Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin. Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliau membuka Kampung Melayu di Betawi dalam tahun 1656 M.
Pemerintah Kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi Ketua Orang-orang Melayu atau digelar dengan Capitain Malleyer. Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.
Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan oleh anaknya Wan Abdullah. Gabenor Jenderal Belanda, bernama Frederik Durven (1729-1732) tidak menyukai Wan Abdullah. Lalu Belanda mencabut haknya dengan merampas kekayaan dan melucutkan jawatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibuang.
Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahupun kepemimpinan menuju ukhrawi. Selain itu ada jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi.
Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Batawi yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.
Kiai Syeikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M. Riwayat lengkap mengenai ulama ini telah penulis muatkan sebelum ini, juga dalam buku Thabaqat Ulama Asia Tenggara jilid ke-3.
Peranan ulama Patani di Sulawesi Selatan
Dalam tahun 1602-1632 M, berlaku pelarian beramai-ramai orang Patani kerana peperangan yang begitu panjang antara Fathani Darus Salam yang beragama Islam dengan kekuasaan besar Siam dari utara yang beragama Buddha.
Datuk Maharajalela, yang nama sebenarnya ialah Faqih Ali bersama dua anak saudaranya, Paduka Raja dan Puteri Senapati hijrah dari Fathani Darus Salam ke Kerajaan Gowa membawa bendera Fathani Darus Salam yang disebut Bendera Buluh Perindu, serta khazanah pusaka kebesaran kerajaan itu.
Di Gowa, beliau dan rombongan disambut oleh Raja Gowa, yang pada zaman itu diperintah oleh I Mangarangi Daeng Marabbia (Raja Gowa XIV). Di Kerajaan Gowa itu Faqih Ali/Datuk Maharajalela dilantik sebagai Ketua Orang-orang Melayu. Pada zaman itu di Sulawesi Selatan telah ramai orang Melayu di antaranya yang datang dari Johor, Riau, Pahang, Minangkabau, Aceh dan lain-lain.
Menurut riwayat, keturunan beliau terlibat dalam perang melawan penjajah Belanda. Mereka menyokong perjuangan Sultan Hasanuddin ketika berperang melawan Admiral Spelman. Adapun keturunan Puteri Senapati diriwayatkan adalah sebagai asal keturunan orang-orang Melayu di Ujungpandang dan menyebar di seluruh Sulawesi Selatan.
Barangkali kerana mereka kenal jati diri datuk neneknya yang anti kepada penjajah Siam, demikianlah jua keturunan tersebut yang berada di Sulawesi Selatan adalah orang-orang yang anti kepada pemerintah Belanda.
Peranan ulama Patani Di Kalimantan Barat
Dalam lingkungan tahun 1180-an H/1760-an M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya terkejut kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama, Sheikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Sheikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon, iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu itu datang dari negeri Fathani Darus Salam.
Kedua-dua ulama itu mendapat kedudukan dan dihormati oleh masyarakat kerana pengetahuan luas mereka dalam keislaman.
Sheikh Abdul Jalil al-Fathani meneruskan penyebaran Islam ke Sambas, setelah meninggal dunia digelar oleh penduduk dengan Keramat Lumbang kerana makamnya terletak di Lumbang, Sambas.
Adapun Sheikh Ali tinggal di Kampung Tanjung, Mempawah. Pada mulanya sebagai seorang guru mengajar kitab kepada masyarakat, tetapi sewaktu Habib Husein al-Qadri (Tuan Besar Mempawah), iaitu Mufti Mempawah yang pertama dan guru bagi Upu Daeng Menambon hampir meninggal dunia (1184 H/1770 M), maka ulama yang berasal dari Arab itu berwasiat.
Wasiat itu ialah bahawa tiada yang layak menjadi Mufti Mempawah sebagai pengganti beliau melainkan Sheikh Ali yang tinggal di Kampung Tanjung itu. Wasiat Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu dilaksanakan oleh pihak istana Raja Mempawah.
Sheikh Ali dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelaran Maharaja Imam Mempawah. Beliaulah yang pertama bergelar demikian itu. Dengan demikian, Sheikh Ali adalah Mufti Mempawah yang kedua.
Beliau memperoleh zuriat yang ramai di Kalimantan Barat. Beberapa orang di antaranya berperanan sebagai tokoh terkemuka. Salah seorang anak beliau bernama Abdur Rahman atau lebih terkenal dengan nama gelar Wak Tapak. Beliau ini adalah seorang pahlawan Mempawah.
Sewaktu perkelahian antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya termasuk Wak Tapak yang berasal dari Patani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau beliau berhasil mengalahkan orang-orang Cina.
Dimulai dengan kedatangan Sheikh Ali ke Mempawah itu secara berantai, orang-orang dari Patani, Kelantan dan Kedah terutamanya yang ada hubungan pertalian keturunan dan keilmuan dengannya terus menerus datang ke Kalimantan Barat, kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya.
Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Patani sesudah itu ialah: Wan Nik al-Fathani iaitu seorang ulama sufi guru masyarakat. Menantunya Haji Hasan al-Fathani adalah Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fathani sahabat Sheikh Basiyuni Imran yang lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.
Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Sheikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak. Manakala Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani adalah Mufti Mempawah yang terakhir.
Walaupun ketiga-tiga ulama tersebut itu bukan berasal dari Patani, tetapi tetap ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Sheikh Ali kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Sheikh Ali.
Yang terakhir ialah penulis sendiri yang berasal keturunan Patani di Riau. Datang ke Sambas 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988, dan sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Sheikh Ali hingga Haji Abdur Rahman al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri, kerana beberapa tahun penulis tinggal di rumah beliau.
Selain itu, semua peristiwa pula dicatat dari keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.
Peranan ulama Patani di Kepulauan Riau
Kepulauan Natuna, Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu. Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.
Pulau yang terbesar di Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang berkemungkinan dari Semela, Patani.
Keseluruhan Pulau Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama. Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.
Sebelum menceritakan asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.
Di tempat perahu itu terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah seorang keturunannya bernama Wan Taksim.
Wan Taksim inilah mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan keluarga dan tinggal serumah di Mekah.
Setelah menjadi ulama, Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut.
Perintis sebar agama
Boleh dianggap beliau adalah perintis menyebarkan agama Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut itu.
Di Kepulauan Siantan beliau menjadikan Air Bini sebagai pusatnya. Anak beliau bernama Haji Wan Abdur Rahman juga belajar di Mekah, setelah menjadi ulama selain mengembara di kepulauan-kepulauan tersebut beliau juga pernah menyebar Islam di Sarawak.
Beliau menjadikan Pulau Midai sebagai pusat penyebarannya untuk persekitaran Laut Cina Selatan. Beliau adalah imam yang pertama Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai yang dibina bersama murid-muridnya yang berasal dari Terengganu.
Adapun Datuk Kaya yang pertama Pulau Bunguran bernama Wan Muhammad Perdana Mahkota. Dari mana beliau berasal menjadi pertikaian pendapat, ada riwayat bahawa beliau berasal dari Johor, riwayat lain berasal dari Patani.
Namun penulis lebih cenderung menyetujui pendapat beliau berasal dari Patani. Mengenai ini sangat jelas bahawa ketika beliau meninggal dunia, anak beliau yang bernama Wan Qamaruddin (Wan Rama) selaku yang berhak menggantinya tidak berada di tempat tetapi sedang tinggal di Campa, maka diutus orang pergi mengambilnya.
Wan Qamaruddin/Wan Rama adalah Datuk Kaya Pulau Bunguran yang kedua. Beliau diganti oleh anaknya, Wan Teras. Wan Teras memperoleh tiga anak dan yang menggantikan beliau sebagai Datuk Kaya ialah Wan Husein. Beliau ini seorang alim meninggalkan sebuah karya tentang ilmu tasauf yang diselesaikan tahun 1289 H/1872 M.
Manuskrip asli karya tersebut pernah menjadi milik penulis, dan telah diserahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor kelas MS 1091.
Anak Datuk Kaya selanjutnya adalah Wan Muhammad Benteng (pemerintahannya tahun 1926-1941) yang dikenali dengan Datuk Kaya Bunguran Timur. Datuk Kaya yang terakhir ialah anak beliau bernama Wan Muhammad Rasyid.
Selain itu, salah satu kebudayaan sejenis Menora, di Pulau Bunguran/Natuna dan di Mempawah, Kalimantan Barat disebut Mendu dipercayai bermula dari kebudayaan Patani.
Salah satu di antara lagu yang didindangkan ada menyebut Kerisik, iaitu: "Dari lah Kerisik, dari lah Kerisik ke pantai lah lalang
Nasib tiada baik, nasib tiada baik hai dirundunglah malang".
Penutup
l Peranan ulama-ulama Patani hanya dapat dibicarakan untuk beberapa buah tempat sahaja, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, dan Kepulauan Riau sahaja.
Untuk peranan ulama Patani di tempat lain iaitu di Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Makkah, Mesir dan Turki akan dilanjutkan perbicaraan minggu berikutnya.
Monday, May 4, 2009
Kehebatan ulama Melayu Ahli Sunnah wal Jamaah
Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya, "Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.
Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."
Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.
Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini, "Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."
Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.
Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan. Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.
Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).
Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).
Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah
Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.
Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.
Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.
l Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.
l Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.
l Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.
l Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.
l Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.
Perhatian raja-raja Melayu
Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.
Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan, "Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."
Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.
Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).
Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".
Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU
Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.
Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".
Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.
Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.
Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.
Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.
Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.
Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.
Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.
Isu Jihad
Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.
Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.
Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".
Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.
Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.
Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.
Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).
Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.
Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.
Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.






