Sunday, August 9, 2009

AGAMA : AHAD 09 OGOS 2009

Tanggungjawab didik anak
BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anakbukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklahbersandarnya harapan ibu bapa.


Prestij tilawah antarabangsa
KATA orang mempertahankan suatu pencapaian yang tinggi lebih sukardaripada memperolehinya pada kali pertama. Namun, Malaysia telahmembuktikan bahawa sehingga hari ini, negara bukan sahaja mampumempertahankan bilad al-Quran (negara yang menghormati al-Quran) tetapisentiasa memperbaiki mutu tilawah al-Quran yang dianjurkan.


Maryam dihantar ke Baitul Maqdis
PADA suatu malam yang sunyi, Maryam dibawa ke Baitul Maqdis olehibunya, Hannah."Aku serahkan anakku ini kepada tuannya. Sebelum ini akusudah bernazar untuk menyerahkan anakku menjadi hamba abdi di rumahsuci ini," kata Hannah kepada pendeta-pendeta di situ.

Zakat kepada orang kafir
SOALAN 1: Adakah zakat diharamkan sama sekali kepada orang-orang kafir untuk menerimanya?

Pokok Khuldi ganti hubungan seks?
SEBAGAIMANAternyata, tidak ada keterangan secara langsung sama ada dari al-Quranatau al-Sunah tentang 'pokok khuldi' itu. Kerana itu ia terdedah kepadatafsiran ijtihad.


Suruhan buat baik dan cegah mungkar
SHEIKHMuhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaanYahudi dalam sejarah mereka dan bagaimana mereka disesatkan oleh hawanafsu serta Abbasiah keturunan hingga ditegah mereka daripada sampaikepada cahaya kebenaran lantas Allah menyebut pula berkenaan denganayat-ayat-Nya untuk diambil iktibar dan manfaat.

Hukum menikahi wanita yang hamil
SOALAN: Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah).Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahuluhukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang dikandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).


Perkasa kemahiran insaniah
SENARIO di sebelah sering terjadi kepada graduan masa kini. Limpahangraduan yang tidak bekerja menjadi tanda tanya kepada semua pihak.Adakah graduan yang terhasil daripada sistem pendidikan kita tidakcukup bermutu dan berkualiti? Adakah wajar kita menyalahkan pihakpengajian tinggi di dalam hal ini?

Keperibadian ahli hadis
KELAHIRAN dan kebangkitan para ulama hadis sepanjang zaman merupakansatu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilaimereka berupa penyusunan pelbagai kaedah dan metod dalam ilmu hadistelah berjaya dijadikan garis panduan dan digunakan secara ilmiah untukmeneliti kesahihan sesebuah hadis.

Bulan Zakat Kebangsaan 2009
ZAKAT sebagai rukun Islam yang ketiga perlu dimartabatkan untuk menjanaekonomi umat Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda telahmenggunakan hasil zakat bagi memerdekakan hamba-hamba dan membasmikemiskinan.






Puasa sunat Syaaban digalak ikut kemampuan
Rakan saya menyatakan kita digalak berpuasa pada awal, pertengahan dan akhir Syaaban. Apakah ini benar.Amila Hakim,Ipoh, Perak.

Lima surah sedia panduan bernegara
ADAsesuatu yang menarik daripada lima surah al-Quran dimulakan denganlafaz hamdalah dengan catatan bahawa basmalah tidak termasuk awal ayatsurah al-Fatihah. Kelima-lima surah ini ialah al-Fatihah, al-An’am,al-Kahf, Saba, dan Fatir.

Lebih lajak dari laju

Lebih lajak dari laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadangkala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi. Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi saw: Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang. Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus.

Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa pahala

Hanya Allah dan rasul-Nya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli neraka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu. Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah.

Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa. Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain. Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me'neraka' seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me'neraka'kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan.

Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah. Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah saw mengajar kita hakikat ini. "Seorang lelaki bernama 'Abdullah, digelar himar (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah saw ketawa. Juga pernah Nabi saw. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: "Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap". Lantas Nabi saw pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. (Riwayat al-Bukhari).

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan Rasul-Nya? Tidakkah Rasulullah saw sendiri bersabda: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya.

Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya. Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasul-Nya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum Muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah saw melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan 'terlebih lajak daripada laju'.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seseorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian. Nabi saw pernah bertanya para sahabat baginda : "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta". Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim). Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Rahsia

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya. Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang- orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan neraka oleh Allah dan rasul-Nya seperti Iblis, syaitan, Fir'aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasul-Nya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya. Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat reda, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Tanggungjawab didik anak

Tanggungjawab didik anak

BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.

Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.

Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.

Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.

Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".

Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.

Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.

Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.

Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).

Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)

Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.

Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.

Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.

Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.

Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"

Mengeluh

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.

Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."

Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.

Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.

Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.

Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.

Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)

Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)

Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.

"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.

Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."

Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:

Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Persoalan Agama: Puasa sunat Syaaban digalak ikut kemampuan

Persoalan Agama: Puasa sunat Syaaban digalak ikut kemampuan

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

RAKAN saya menyatakan kita digalak berpuasa pada awal, pertengahan dan akhir Syaaban. Apakah ini benar.

Amila Hakim,
Ipoh, Perak.

DALAM hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Aisyah menjelaskan: "Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa dalam satu bulan lebih banyak daripada puasanya ketika Syaaban, ada kalanya sebulan penuh dan ada kalanya hampir penuh melainkan beberapa hari yang Baginda tidak berpuasa padanya."

Hadis ini ternyata memberikan keterangan yang tidak dapat disangkal mengenai keutamaan puasa pada Syaaban.

Namun, bagi yang kurang berkemampuan panduan yang dijelaskan dalam hadis lain mungkin boleh memberikan idea kadar paling sedikit yang boleh dilakukan untuk mendapat kemuliaan Syaaban. Ia turut berpandukan hadis sahih lain contohnya:

# Abu Hurairah berkata: "Junjunganku SAW pernah berpesan kepadaku supaya puasa tiga hari sebulan, solat dua rakaat dhuha dan solat witir sebelum tidur." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abu Zarr berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Jika kau berpuasa tiga hari sebulan, puasalah pada 13, 14 dan 15 bulan berkenaan." (Riwayat al-Tirmizi).

Dalam hadis yang mengandungi penjelasan sama mengenai 13, 14 dan 15 ini, Qatadah Miljan menamakan hari berkenaan sebagai hari putih ( Ayyam al-Bid).

# Ibn Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan puasa pada hari putih sama ada ketika Baginda tinggal tetap atau bermusafir." ( Riwayat al-Nasaeiy).

# Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Amalan diperiksa setiap Isnin dan Khamis, maka aku suka diperiksa amalku dalam keadaan sedang berpuasa." (Riwayat al-Tirmizi).

# Dalam hadis yang menerangkan kaifiat puasa bagi sahabat yang inginkan lebih ganjaran kerana kemampuannya, al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Abdullah Amru yang berkata: "Saya sentiasa berpuasa pada siang dan berqiamulail sepanjang malam wahai Nabi SAW selama hayat saya. Nabi memberitahu saya, kau tidak akan mampu melakukannya ! Hendaklah engkau berpuasa dan berbuka. Qiyam dan berehat, memadailah bagimu berpuasa tiga hari sebulan. Sesungguhnya kebaikan di sisi Allah SWT diganda 10 kali dan dengan cara itu sudah dikira puasa setahun.

"Saya menjawab, mampu melakukan lebih daripada itu wahai Nabi! Jawab Nabi, berpuasa sehari dan berbuka dua hari.

"Saya menjawab, mampu lebih daripada itu! Nabi SAW berkata, berpuasalah olehmu sehari dan berbukalah sehari, maka itulah puasa Daud AS dan itulah keutamaan jenis puasa."

Ada variasi membabitkan amalan dan perintah Baginda berpuasa sunat sebulan seperti digambarkan hadis sahih di atas, sampai kepada kita secara mutawatir memberikan anjuran pelaksanaan bagi meraikan manusia yang mempunyai pelbagai tahap dan batasan kemampuan.

Bagi yang mampu memperbanyakkan puasa pada Syaaban bakal mendapat pahala amat besar. Bagi golongan bekerja berat atau wanita yang tidak mahu terlepas peluang, boleh memilih puasa Isnin dengan Khamis atau tiga hari sebulan atau pertengahan bulan Islam yang dikenali sebagai hari putih.

Kepada mereka yang melakukan kerja berat dan ibu menyusukan anak atau golongan tidak berupaya berpuasa kerana bermusafir, peluang mendapat pahala puasa ini masih terbuka iaitu dengan menaja atau menyediakan jamuan berbuka.

Hal ini jelas disebut dalam hadis sahih seperti hadis diriwayatkan Imam al-Tirmizi, bermaksud: "Nabi SAW bersabda, sesiapa yang memberi makanan untuk membolehkan seseorang berpuasa berbuka dengannya, maka dia memperoleh pahala orang yang berbuka dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun."

Semoga Allah SWT merahmati Imam Nawawi ulama murabbi yang unggul itu, apabila menyusun kitabnya Riyadhus salihin, beliau meletakkan bab itu berangkaian antara satu dengan lain supaya pembaca berupaya melihat keluasan spektrum laluan menjadi insan mulia bahkan lebih daripada itu, darjat kesalihan. Jika kita sukar beramal kerana masalah kewangan atau kesihatan, sentiasalah melihat kepada kepelbagaian wadah penerimaan di sisi-Nya.

Info
Bagi anda yang mempunyai kemusykilan mengenai agama, sila hantarkan soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ayat dimulakan dengan hamdalah iktibar ummah capai kejayaan dunia, akhirat

ADA sesuatu yang menarik daripada lima surah al-Quran dimulakan dengan lafaz hamdalah dengan catatan bahawa basmalah tidak termasuk awal ayat surah al-Fatihah. Kelima-lima surah ini ialah al-Fatihah, al-An'am, al-Kahf, Saba, dan Fatir.

Jika membuka mushaf dan membaca kelima-lima surah ini, anda dapati permulaannya dengan ayat berikut mafhumnya:

# "Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi yang menjadikan malaikat utusan bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang dicipta-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Semua surah di atas dimulakan dengan lafaz hamdalah, Alhamdulillah yang maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah."

Bagi ulul albab yang mempunyai sifat selalu berzikir dan bertafakur tentu mencari rahsia kenapa kelima-lima ayat ini dimulakan dengan hamdalah. Apakah hubung kait antaranya?

Apakah hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya? Bagaimanakah penyatuan makna kelima-lima surah itu boleh dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi?

Siapakah yang boleh dan mesti mengambil peranan untuk menjayakannya? Banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan dalam menyingkap rahsia hubungan kelima-lima surah di atas.

Urutan surah al-Quran seperti pada mushaf hari ini � bermula dengan al-Fatihah dan berakhir dengan al-Nas adalah tauqifi yakni sudah ditetapkan Allah SWT, tidak ada ijtihad daripada siapa pun dalam menentukannya dan tidak ada kena mengena dengan apa pun.

Urutan itu seperti yang ada di Luh Mahfuz sebelum diturunkan hampir 23 tahun masa kenabian junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Al-Fatihah (pembuka atau mula) surah nombor satu, al-An'am (binatang ternak) keenam, al-Kahfi (gua) ke-18, Saba (negeri Saba) ke-34, dan Fatir (pencipta) ke-35.

Dalam Tafsir Pimpinan Arrahman dinyatakan pada nota dua: "Pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna kepada yang dipuji seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan.

Oleh kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan hanya ada pada zat Allah Yang Maha Kuasa; maka hanya Allah SWT berhak menerima pujian seperti Allah juga berhak memuji zat-Nya sendiri."

Daripada kelima-lima surah di atas kita boleh mengambil iktibar demi kejayaan pelaksanaan kehidupan bermasyarakat dan negara berpandukan ajaran dan petunjuk al-Quran. Iktibar ini dilihat sama ada daripada nama surah dan inti sari permulaan ayat dan surah dengan mengambil contoh dilakukan pengarang kitab Asrar Tartib al-Quran (Rahsia urutan surah al-Quran), al-Imam Jalaluddin al-Suyuti.

Iktibar daripada nama surah agar bermasyarakat dan negara boleh berjaya berpandukan al-Quran mesti mempunyai visi (al-Fatihah); kenderaan atau alat (al-An'am); tempat (al-Kahfi); masyarakat/kelompok (Saba) dan pemimpin/pentadbir (Fatir).

Iktibar daripada sudut inti sari awal ayat dalam surah yang dikhaskan untuk matlamat ialah matlamat global atau makro ada dalam hamdalah surah al-Fatihah kerana disebutkan sesudahnya: "Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." Matlamat mikro ada dalam hamdalah surah al-An'am kerana disebutkan sesudah 'yang menciptakan langit dan bumi.'

Penciptaan langit dan bumi hanya sebahagian daripada sekalian alam. Kedua-dua matlamat ini yakni makro dan mikro memerlukan buku panduan dan ia ada pada hamdalah surah al-Kahfi yang menyebut sesudahnya: "yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab Suci al-Quran."

Buku panduan ini mesti dirasa milikan dan dikuasai tuntutannya agar matlamat bermasyarakat dan negara boleh dicapai. Iktibar ini boleh kita ambil daripada hamdalah surah Saba yang menyebut sesudahnya: "yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi."

Agar matlamat berkenaan berhasil, diperlukan jentera pelaksana yang dapat kita peroleh daripada hamdalah surah Fatir yang menyebut sesudahnya: "yang menjadikan malaikat utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya."

Seperti kita akui, malaikat ialah makhluk Allah SWT maksudnya: "Mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala yang diperintah-Nya dan mereka tetap melakukan segala yang diperintah." (Surah al-Tahrim: 6)

Memuji dan mengagungkan Allah SWT ialah kewajipan manusia kerana Dialah yang menciptakan mereka dan menjadikan semua di bumi untuk kepentingan dan keperluan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah SWT sudah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi." (Surah Luqman: 20)

Hassan al-Banna dalam Usul Ishrin menggariskan: "Islam ialah sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah seperti ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah."

Dalam perkara kedua dinyatakan juga: "al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW ialah sumber rujukan bagi setiap Muslim dalam memahami hukum Islam.

"Al-Quran perlu difahami mengikut kaedah bahasa Arab tanpa memberatkan dan tidak pula membabi buta. Sunah pula difahami melalui periwayat hadis yang thiqah."

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara Islam perlu mempunyai falsafah negara merangkumi asas ideal mengenai pandangan dan cara hidup dalam negara dan berbangsa yang dapat mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ketahanan nasional dan mengekalkan kelangsungan bangsa.

Daripada mencari dan meniru falsafah yang tidak sesuai dengan corak hidup masyarakat Islam, sepatutnya digali falsafah kenegaraan daripada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan sunah serta amalan generasi ulung Islam terdahulu dengan mengambil iktibar daripada kelima-lima surah al-Quran yang disorot dalam tulisan ini.

Pengambilan iktibar ini ialah sebagai cara untuk menzahirkan memuji Allah dengan melafazkan Alhamdulillah. Wallahu a'lam.