Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts
Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts

Monday, August 31, 2009

Nur Ramadan: Keberkatan sahur

Nur Ramadan: Keberkatan sahur

KEBERKATAN sahur namun tidak diwajibkan, kerana Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya ada yang menyambung puasa (yakni tidak berbuka pada waktu malam) dan tidak disebut mengenai wajib sahur.

Dari Abdullah, Nabi SAW menyambung puasa (tidak berbuka puasa) dan meneruskan puasa keesokan harinya, menjadikan dua hari berpuasa terus, ini diikuti oleh sahabatnya (yang berpuasa cara Nabi). Berpuasa cara ini sukar bagi mereka. Oleh sebab itu, Nabi SAW melarang mereka berbuat demikian. Sahabat berkata: “Tetapi anda suka menyambung puasa anda”. Nabi menjawab, “Aku ini tidak seperti keadaan kamu semua. Sesungguhnya aku sentiasa diberi makan dan minum oleh Tuhan”. 1825 Sahih Bukhari.

Manfaat keamanan imarah Ramadan

Manfaat keamanan imarah Ramadan

Oleh Abdul Razak Idris

RAMADAN disambut dalam suasana negara terpelihara dan aman hasil usaha Ulil Amri. Dalam riak menyambut ulang tahun ke-52 kemerdekaan, muncul cahaya Ramadan menerangi kehidupan setiap umat Islam yang amat rindu akan bulan dikenali sebagai bulan umat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW beribadat.

Keamanan yang ada bukan datang bergolek, dengan terpelihara keamanan membolehkan kita menunaikan ibadat puasa dan amalan sunat dengan lebih selesa dan meriah di bumi sendiri.

Ramai menganggap kedatangan puasa menyebabkan mereka hilang kebebasan untuk makan, minum dan mengumpat dan mengeji orang lain. Sedangkan pada bulan lain kita juga digalakkan berpuasa sunat dan dilarang mengumpat dan fitnah. Puasa menjadi landasan untuk mendisiplin diri daripada melakukan perkara seperti bercakap perkara yang mendatangkan kerosakan kepada diri dan masyarakat.

Menahan diri daripada lapar dan dahaga juga satu proses berhikmah agar kita lebih prihatin dengan nasib orang yang tidak mendapat nikmat makan dan minum seperti kita di Malaysia yang bertuah ini.

Bulan puasa sering dikaitkan dengan amalan umrah dan ziarah ke Makkah yang dianggap sudah menjadi satu budaya. Kemakmuran ekonomi individu hasil keamanan negara memungkinkan fenomena ini berlaku dan sesungguhnya dalam penularan wabak selesema babi (H1N1) ini kesungguhan jemaah umrah dan ziarah beribadat di Tanah Haram perlu disokong dan bukan dikritik sebagai membazir dan menunjuk-nunjuk.

Pemergian ke Makkah demi mencari keberkatan dan keredaan menunjukkan bahawa rakyat Islam di Malaysia mempunyai ekonomi yang baik dan tahu memanfaatkan sumber kewangan ke arah kebaikan dan bukan melancong ke negara Barat.

Pemergian jemaah menunaikan umrah pada Ramadan menunjukkan inilah bulan untuk umat Islam beribadat walau harus mengeluarkan banyak kos. Bagi kita yang tidak mempunyai peluang sedemikian, keamanan di dalam negara menjanjikan ibadat dapat dilakukan serba sempurna tanpa ada rasa cuak dan ancaman seperti dialami oleh saudara seagama di beberapa negara lain akibat sengketa politik dalaman tiada kesudahan.

Kita tidak perlu beribadah di surau dan masjid yang beribu-ribu jumlahnya di negara ini dengan mendapat kawalan sama ada askar atau polis. Kita mampu bertadarus hingga ke awal pagi tanpa rasa takut diancam oleh anasir jahat dalam perjalanan pergi dan pulang ke masjid atau surau.

Apa yang menyedihkan ada sebilangan umat tidak pernah belajar bahawa keamanan dipelihara oleh Ulil Amri hari ini adalah hasil usaha berterusan berasaskan konsep Islam itu sendiri, iaitu konsep perpaduan dalam masyarakat majmuk yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walau ada pihak yang cuba mengganggu gugat undang-undang tubuh negara kita ini. Usaha kerajaan menjaga keamanan untuk rakyat hidup dengan sempurna, terutama ketika bulan beribadah seperti Ramadan yang lazimnya akan meriah dengan aktiviti keagamaan pada waktu malam membawa ke Subuh.

Polis akan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan mulai Ramadan hingga ke Syawal demi memastikan amalan kita akan lebih dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Umat Islam di negara ini perlu lebih mensyukuri nikmat keamanan yang ada untuk mereka melakukan setiap ibadat wajib dan sunat yang pahalanya berganda-ganda.

Lupakan sengketa dan polemik syurga untuk kelompok tertentu kerana tanpa keamanan yang juga nikmat Allah SWT paling bernilai sukar bagi kita untuk beribadah dengan tenang dan sempurna. Ramadan perlu menjadi bulan keamanan dan bukannya bulan menyemai benih pertikaian yang akan lebih memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia. Bukankah Islam makna tersiratnya aman dan sejahtera.

Saturday, August 29, 2009

Wanita Islam perlu rebut ganjaran pahala Ramadan

Wanita Islam perlu rebut ganjaran pahala Ramadan

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

DALAM menyambut Ramadan, dianjurkan kita sama-sama ingat mengingat mengenai kebesaran bulan ini. Selalu berdoa semoga Allah memberi kekuatan untuk mengisi bulan ini dengan ibadah yang sebaiknya. Bersyukur pada Allah kerana masih diizinkan hidup untuk bertemu bulan ini sedangkan ramai di kalangan kita yang pergi menghadap Ilahi. Kita juga digalakkan untuk merancang masa supaya dalam kesibukan yang ada, kita mampu memperuntukkan sebahagiannya untuk bacaan al-Quran, menghadiri majlis ilmu untuk menyuburkan ingatan kita kepada kebesaran dan pengisian Ramadan serta melaksanakan solat Tarawih dari awal hingga akhir Ramadan.

Sepanjang Ramadan, kita juga selalu didedahkan dengan berita penangkapan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Begitu juga ada pula kedai makanan menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara terang-terangan. Ini adalah suatu perlakuan yang sangat dikesali.

Walaupun kita tidak terbabit secara langsung dengan penguatkuasaan undang-undang, sebenarnya orang awam bertanggungjawab untuk membantu penguat kuasa undang-undang membanteras kesalahan itu. Ini boleh dilihat dalam peruntukan undang-undang contohnya Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS 2003) memperuntukkan bahawa: “ Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta- merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguat kuasa Agama (PKA) atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu”. Justeru, orang awam mesti sama-sama membantu ke arah usaha mempertahankan kebesaran bulan Ramadan daripada dicemari.

Dalam pada itu, wanita Islam juga dianjurkan agar tidak tertinggal dalam mengisi bulan hebat ini. Dalam kesibukan menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga, wanita Islam perlu mengambil langkah bersesuaian agar tidak terlepas daripada mendapat ganjaran melakukan ibadah khusus yang besar pahalanya ini.

Antara cadangan untuk wanita Islam adalah:

l Turut sama ke masjid bersama suami dan anak untuk berbuka dan melaksanakan sembahyang tarawih berjemaah di masjid. Namun begitu, sekiranya masih mempunyai masalah seperti anak masih kecil dan boleh mengganggu jemaah dengan tangisan dan lari ke sana sini, maka sembahyang Tarawih di rumah adalah lebih afdal untuk mereka.

l Bagi yang mempunyai anak kecil dan sentiasa sibuk dengan urusan rumah tangga, usahakan juga untuk solat Tarawih ketika anak tidur agar kita tidak tertinggal merebut pahala.

l Apabila bangun menyediakan juadah bersahur, mungkin dapat diusahakan terus mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum mengejutkan anak supaya tidak terlepas peluang solat sunat sebelum fajar yang sangat besar pahalanya.

l Mengadakan majlis tadarus al-Quran bersama anak sebelum masuk waktu berbuka. Di samping dapat membetulkan bacaan al-Quran anak, kita juga secara tidak langsung menunjukkan teladan yang baik untuk sama-sama bertadarus dengan anak.

l Sentiasa mengingatkan diri serta anak mengenai kebesaran Ramadan, menyuburkan kekuatan dalaman anak dengan membawa mereka menghadiri majlis ilmu bersama-sama.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam dan sekarang sedang melanjutkan PhD Undang-undang di Melbourne Australia.

Friday, August 28, 2009

Ramadan rahmat kepada anak yatim

Ramadan rahmat kepada anak yatim


SOLAT berjemaah memupuk silaturahim sesama penghuni Darul Kifayah serta membina peribadi unggul Muslim.


MUNGKIN ramai yang bersetuju, walaupun apa pun kejayaan dan kenangan yang kita kecapi selama hidup ini, ia tidak semanis zaman kanak-kanak atau lebih tepat lagi setiap kali detik-detik menyambut lebaran!

Terlalu indah dan menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika desa yang melatari suasana!

Walaupun siangnya letih lesu dek puasa, namun ibadat itu tidak pernah menghalang untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti. Ligat tetap ligat. Mencari tin-tin diikuti meredah hutan belukar untuk mencari batang-batang buluh atau kayu. Semua itu kerana semangat yang tinggi untuk membuat pelita-pelita panjut.

Hasilnya pada waktu malam maka bergemerlapanlah cahaya pelita-pelita itu di sekeliling rumah yang menerangi jalan masuk dan halaman rumah!

Pemandangan yang terhasil itu sungguh indah, malah kita sanggup sekeliling kampung hatta di tengah-tengah malam bagi menikmati suasana yang cukup mengasyikkan itu.

Suasana bertambah meriah apabila sedari siang sehingga ke malam malah sehingga ke titisan embun pagi yang terakhir, kedengaran dentuman dari meriam buluh di sana sini.

Walaupun sangat bingit tetapi tiada siapa yang dapat menghalang kanak-kanak dan remaja malah seorang dua, orang tua yang sama-sama melakukan aktiviti 'pengeboman' itu dari serata ceruk kampung.

Begitu juga bermain mercun dan bunga api, satu lagi aktiviti wajib bagi 'mewarnai' malam-malam Ramadan!

Namun keindahan Ramadan dan Hari Raya bagi seorang kanak-kanak itu turut bermakna, meraikannya bersama ahli keluarga terutama ayah dan ibu tercinta.

Telah menjadi tradisi sehingga kini, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anaknya menyambut Hari Raya tanpa sepatu baru, baju baru segala-galanya baru.

Segala-galanya akan mereka sediakan demi si anak. Apabila di pagi raya, pemandangan yang cukup mengasyikkan apabila si anak-anak yang begitu segak dan comel yang serba serbi baru tadi mengucup kedua-dua tangan dan pipi ayah dan ibu untuk pelbagai pengucapan yang ditujukan khas buat orang tua yang melahirkan.

"Selamat Hari Raya ayah, ibu! Minta ampun maaf dan halalkan makan minum!" merupakan ayat-ayat yang sering kita dengar, dilafazkan oleh si anak.

Suasana yang asalnya hening dan sayu, serta merta bertukar kepada sangat ceria apabila si anak melonjak kegembiraan apabila menerima habuan duit raya dari orang tua.

Sedikit catatan dari pelbagai 1,001 memori Aidilfitri ini mungkin tidak pernah tercatat pada diari si anak yatim. Catatan mereka adalah tersendiri dan menuntut seribu pengertian dan keinsafan dari semua pihak.

Namun pada hakikatnya, Ramadan dan Syawal tidak pernah membeza-bezakan umatnya. Semua individu muslim layak untuk meraikannya.

Malah golongan yang tidak bernasib baik inilah yang patut lebih mendapat keutamaan dan perhatian agar kemeriahan Ramadan dan kegembiraan Syawal itu sama-sama dapat dirasai.

Jika kita selami hidup sebatang kara, tiada ayah dan ibu, seolah-olah kehadiran Ramadan dan Syawal seperti tiada erti. Bagaimana kita dapat meraikan bulan-bulan kebesaran ini sedangkan orang yang kita sayangi dan kasihi tiada di sisi?

Kita tidak nafikan, golongan anak yatim piatu pastinya mempunyai psikologi mereka yang tersendiri. Jiwa mereka menjadi lebih halus dan mudah terusik, lebih-lebih lagi di saat orang lain begitu gembira terutama menyambut Syawal bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga dan saudara mara.

Justeru kita selami isi hati anak-anak yang menghuni asrama anak yatim dan miskin Darul Kifayah kelolaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketika ditemui di asrama mereka di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Kuala Lumpur, seolah-olah berlaku pertembungan dua dunia yang berbeza.

Suasana mereka menyambut Ramadan dan Syawal tidak ada titik persamaan seperti yang dilalui rakan-rakan yang seusia mereka di luar sana.

Malah kadang kala termalu sendiri apabila bercakap soal kualiti berpuasa. Penulis akui, penghuni Darul Kifayah ini tidak memerlukan mercun, bunga api, pelita panjut sehinggalah bersengkang mata untuk membuat biskut Raya bagi sebagai pengisian bulan Ramadan.

Ini kerana mereka begitu mengejarkan pelbagai kelebihan bulan Ramadan, iaitu satu bulan yang menjanjikan rahmat pada 10 hari pertama, berkat pada 10 hari kedua dan maghfirah atau keampunan dari Allah pada 10 hari yang terakhir.

Wan Muhd. Zubair Wan Mohd. Noor, 14, berkata, suasana Ramadan di situ amat berbeza berbanding bulan-bulan lain.

Katanya, apabila tiba Ramadan, mereka diraikan oleh pelbagai pihak dengan jemputan berbuka puasa dan tidak kurang yang menyediakan juadah-juadah yang istimewa di asrama.

"Tidak cukup itu, kami juga dilimpahkan rezeki dengan sumbangan-sumbangan duit raya dan pelbagai hadiah berupa kelengkapan-kelengkapan termasuk baju baru, kasut dan sebagainya bagi membolehkan kami ceria dan gembira menyambut Syawal.

"Sebagaimana rakan-rakan sebaya di luar yang lebih bernasib baik, kami di sini tidak pernah kekurangan malah bersyukur kerana semakin ramai yang prihatin dengan nasib kami," katanya yang telah menetap dua tahun di situ.

Namun semua itu berbeza ketika Zubair mula-mula menghuni di situ. Perasaan sedih, rendah diri, takut, bimbang bercampur baur walaupun dia tinggal bersama seorang abang dan adiknya di situ.

"Saya tidak dapat membiasakan diri dan masa diperlukan apatah lagi tahun lalu adalah kali pertama saya berpuasa jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara.

"Sekarang Alhamdulillah, tiada sebab lagi untuk saya menangisi nasib diri, malah yang penting saya bersama-sama penghuni lain, kami gembira dengan cara kami sendiri bagi menyambut Ramadan dan Syawal," katanya yang berasal dari Terengganu.

Mohd. Iskandar Mohd., 14, pula berkata, rezeki yang melimpah ruah dengan pelbagai pemberian dan sumbangan membuktikan bahawa pelbagai pihak juga mahu anak-anak yatim bergembira menyambut Ramadan dan Syawal.

"Mungkin ini tidak dirasai oleh anak-anak di luar sana tetapi kami begitu bersyukur kerana dikurniakan 'durian runtuh.'

"Walaupun setahun sekali tetapi semua sumbangan itu begitu bermakna bagi kami menampung perbelanjaan diri, sekolah dan dapat digunakan di waktu-waktu kecemasan," katanya.

Menurut Iskandar, setiap penghuni mempunyai akaun peribadi bagi menyimpan semua sumbangan duit raya yang diterima. Mereka tidak boleh menggunakan wang berkenaan sesuka hati ini apabila untuk tujuan wang poket, ia telah menjadi tanggungjawab kepada pihak pengurusan untuk memberi wang itu setiap hari.

Remaja perempuan, Nurfatin Pazin, 13, berkata, berpuasa di Darul Kifayah memberi banyak kenangan manis.

"Ini terutama apabila para penghuni di situ mendapat layanan istimewa dari syarikat-syarikat dan individu korporat yang menaja majlis berbuka puasa dan bersahur.

"Suasananya memang menyeronokkan apatah lagi mereka selalu memberikan banyak kata-kata nasihat dan perangsang supaya kami juga boleh berjaya seperti orang lain," katanya.

Tambah seronok apabila para penghuni Darul Kifayah kata Nurfatin, mereka secara dapat berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus al-Quran sehingga khatam beramai-ramai.

"Berbanding orang lain, alhamdulillah kami dapat memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan dan melakukan ibadat. Walaupun penat tetapi seronok," katanya.

Teh Maizatul Idayu Mohd. Nazri, 13, yang sebelum ini tinggal bersama ibu saudaranya pula sedih kerana ini kali pertama dia berpuasa di Darul Kifayah.

"Tetapi semakin lama di sini, saya makin serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya belajar hidup bertolak ansur dan berkerjasama.

"Hasilnya, bukan sahaja dapat mengenali ramai kawan tetapi semua penghuni di sini seperti keluarga sendiri, saling bantu-membantu dan berkongsi suka duka," katanya.

Menggembirakan anak-anak yatim antara menjadi tanggungjawab umat Islam yang berkemampuan.

Bercakap soal fadilat dan ganjaran, hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini (Ramadan) Allah akan memuliakannya pada bertemu-Nya di hari akhirat kelak. (riwayat Bukhari)

Pengurusan Ramadan Nabi SAW

Pengurusan Ramadan Nabi SAW


Kita disuruh menyegerakan berbuka apabila sudah tiba waktunya. - Gambar hiasan


AHLAN Wasahlan Ya Ramadan (Selamat Datang Ya Ramadan). Begitulah ucapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya bila menjelang bulan al-mubarak sebagai menghormati dan menyambut bulan mulia tersebut.

Sebelum menjalankan ibadat Ramadan, ada beberapa perkara yang perlu difahami, di antaranya ialah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang keempat.

Hukumnya adalah fardu (wajib) yang langsung dari perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Dalam hadis dijelaskan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Islam itu dibangun di atas lima (dasar). Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya, menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan haji. (riwayat Muslim).

Dari ayat dan hadis di atas berpuasa Ramadan hukumnya wajib atas setiap Muslim dan Muslimat yang sihat akalnya, dan telah mukalaf, tidak dalam keadaan musafir dan sakit. Khususnya bagi wanita, tidak dalam keadaan haid dan nifas.

Allah SWT mensyariatkan berpuasa dan pelbagai ibadat Ramadan sebagai salah satu program yang harus dilalui setiap muslim dan mukmin dalam pembentukan karakter takwa mereka.

Sebaliknya ancaman keras bagi orang-orang beriman yang tidak melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Ia sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ikatan dan penegak agama Islam itu ada tiga. Siapa yang meninggalkan salah satu darinya, maka ia telah kafir, halal darahnya iaitu: syahadat, solat fardu, puasa Ramadan. (riwayat Abu Ya'la dan Dailami). Yang dimaksudkan kafir ialah hukumnya seperti murtad.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (faktor yang membolehkan berbuka) dari Allah, maka tidak akan tergantikan walaupun ia melaksanakan puasa sepanjang masa. (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Jenis-jenis puasa itu terbahagi dua, pertama puasa fardu (wajib), dan kedua puasa tathowwu' (puasa sunat).

Adapun puasa wajib terbahagi tiga, pertama puasa Ramadan, iaitu puasa yang dilaksanakan selama bulan Ramadan seperti dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 183.

Kedua, puasa kaffarat (puasa denda), iaitu puasa yang wajib dilakukan sebagai denda dari pelanggaran hukum seperti pelanggaran dalam ibadat haji, membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah dan sebagainya.

Ketiga, adalah puasa nazar, iaitu jika seseorang bernazar dengan berpuasa bagi perkara yang dinazarkannya seperti jika ia sembuh dari penyakit dan sebagainya maka ia bernazar untuk berpuasa. Puasa seperti ini disebut dengan puasa nazar dan wajib hukumnya.

Puasa tathowwu' (puasa sunat), adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia teruskan dengan enam hari di bulan Syawal, seakan dia berpuasa sepanjang masa (tahun). (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i)

Isnin dan Khamis

Puasa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji. Dalam hadis dijelaskan: Berpuasa hari Arafah (9 Zulhijah) menghapuskan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepasnya. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i).

Puasa hari Asyura (10 Muharam). Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) menghapus dosa dua tahun yang lalu dan yang akan datang. Dan puasa Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Tirmizi).

Berkaitan puasa Asyura, Rasulullah SAW menyarankan agar ditambah sehari sebelumnya agar tidak sama dengan Yahudi, kerana mereka juga berpuasa pada hari Asyura.

Puasa diperbanyak di bulan Syaaban. Dari Aisyah r.a dia berkata: Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya kecuali di bulan Ramadan sahaja, dan aku tidak melihat banyak berpuasa di bulan selain Ramadan kecuali di bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Baginda ditanya kenapa? Baginda menjawab : Sesungguhnya semua amal diangkat (ke langit) setiap hari Isnin dan Khamis. Maka Allah akan mengampunkan setiap Muslim atau setiap Mukmin kecuali dua orang yang sedang berbantah, maka Allah berkata : Tangguhkan keduanya." (riwayat Imam Ahmad).

Puasa tathowwu' (sunat) dibolehkan berbuka, khususnya jika ada penyebabnya seperti dijemput makan. Dari Abu Said al-Khudri r.a dia berkata: "Saya menyiapkan makanan untuk Rasulullah SAW, maka Baginda datang dengan beberapa sahabatnya. Ketika makanan dihidangkan salah seorang di antara mereka berkata: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Lalu Rasulullah berkata: Saudaramu telah menjemputmu dan telah bersusah payah untukmu. Kemudian Baginda bersabda: Berbukalah dan berpuasalah di hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu". (riwayat Baihaqi).

Setiap ibadat dalam Islam ada rukunnya agar ibadat itu dapat tegak dan berjalan dengan benar. Demikian juga dengan puasa Ramadan ada dua rukun.

Pertama, niat yang menentukan sah atau tidaknya ibadat seseorang seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW: Sesungguhnya (sahnya) setiap amalan itu bergantung adanya niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan memperoleh) sesuai apa yang diniatkannya. Siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia yang akan dia peroleh atau wanita yang akan dinikahinya, maka dia akan memperoleh apa yang diniatkannya. (riwayat Muslim).

Setiap amal ibadat, baik wajib mahupun yang sunat akan bernilai di mata Allah jika didasarkan dengan niat.

Niat kerana Allah

Niatnya harus hanya kerana Allah, tidak menyeleweng sedikitpun. Kemudian itu niat letaknya dalam hati yang diucapkan dengan lisan, termasuk niat berpuasa Ramadan mesti dilakukan dalam hati. Waktunya sebelum terbit fajar.

Juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sampai matahari tenggelam sebagaimana maksud dalam surah al-Baqarah: 187.

Yang berniat membatalkan puasanya di siang hari, dengan demikian membatalkan puasanya walaupun dia tidak makan atau minum.

Adapun yang membatalkan puasa dan mesti diqada dan kaffarat menurut jumhur ulama adalah berhubungan suami dan isteri dengan sengaja.

Kaffarat bagi yang berhubungan suami isteri ialah memerdekakan hamba. Jika tidak sanggup, berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu memberi makan fakir miskin sebanyak 60 orang, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Kempen membaca di bulan Ramadan

Kempen membaca di bulan Ramadan


AINON MOHD. dan Abdul Latip Talib bersama sebahagian buku-buku terbitan PTS Publications.


PENJUALAN aneka kurma, telekung, kopiah, tasbih dan telekung adalah senario yang cukup sinonim acap kali tibanya bulan Ramadan. Bahkan, bahang kemuliaan bulan penuh barakah ini semakin dirasai di masjid serta surau serata negara, waima di negara yang mempunyai minoriti Muslim.

Apa yang pastinya, kelas-kelas pengajian ilmu, tadarus dan banyak lagi majlis ilmu adalah antara aktiviti yang mendahului senarai teratas carta aktiviti di masjid mahupun surau.

Sayangnya, seperkara yang sering terlepas pandang setiap kali tibanya penghulu segala bulan ini ialah hilangnya budaya membaca masyarakat Muslim di negara ini. Apa yang lebih 'dibudayakan' adalah tidur sepanjang hari.

Sementara, di toko-toko buku pula, tumpuan mereka adalah kepada penjualan kurma serta kelengkapan beribadat. Yang mana, koleksi buku-buku bermanfaat sering diletakkan ke bahagian belakang.

Sedangkan hakikatnya, pada bulan Ramadan inilah, salah satu peristiwa besar lagi bersejarah berlaku iaitu bulan di mana turunnya al-Quran atau lebih dikenali sebagai Nuzul Quran.

Sudah pastilah, pencarian ilmu itu serta penghayatan roh Ramadan tidak sekadar dititikberatkan kepada pembacaan al-Quran menerusi aktiviti tadarus dan tilawah sahaja.

Malah, pemahaman al-Quran juga perlu digarap dengan majlis-majlis ilmu dan bacaan-bacaan tambahan bagi menguatkan pemahaman berkenaan Islam, sekali gus membina jati diri Muslim sejati.

Kelebihan Ramadan

Menyedari kelebihan amalan-amalan baik sepanjang bulan Ramadan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS) mengajak umat Islam menjadikan bulan ini sebagai bulan membaca dengan mengutarakan tema 'Ramadan tetamu yang dirindui, bulan perjuangan, bulan Nuzul Quran, mencerdaskan minda, mencari Lailatul Qadr dan menunaikan haji'.

Pengerusi PTS, Ainon Mohd. berkata, PTS melihat bulan Ramadan perlu diisi dengan aktiviti membaca kerana secara umumnya, umat Islam mempunyai lebih banyak masa rehat yang daripada 'diisi' dengan tidur sepanjang hari.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik menjadikan membaca sebagai satu amalan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, suasana di Malaysia berbeza dengan jiran Indonesia, di mana sebelum tibanya bulan Ramadan, buku-buku memang menjadi rebutan dan penjualan buka pada bulan Ramadan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

"Justeru, budaya sebegini perlu dibudayakan di kalangan masyarakat kita terutamanya yang beragama Islam. Tidak kisahlah jika bacaan itu sekadar sehari selembar halaman sahaja.

"Apa lagi, ia adalah bulan muhasabah diri. Jadi cara terbaik ialah dengan mengukuhkan ilmu dan antara cara yang termudah ialah dengan membaca," katanya.

Ainon berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan 27 buku terbitan PTS sempena mempromosikan kempen membaca sepanjang bulan Ramadan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Ainon lagi, buku-buku di atas merangkumi novel sejarah Islam iaitu sebanyak 12 hasil pengarangnya, Abdul Latip Talib. Di samping itu penulis hebat, Dr. Danial Zainal Abidin turut membariskan lima buah buku antaranya; Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains, Minda Muslim Super dan Tip-tip Cemerlang daripada Quran. Turut diketengahkan ialah buku-buku berbentuk motivasi dan haji seperti; Haji Muda, 99Q: Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna dan 3T: Taubat Tasbih Tahajud.

"Yang pastinya, PTS sedang giat mempromosikan kempen membaca sepanjang Ramadan ini dengan menyediakan lebih 27 judul buku dengan potongan harga istimewa.

"Kami turut berharap pihak masjid dan surau dapat menyarankan menerusi kelas-kelas agama, ceramah dan di dalam khutbah perihal kelebihan membaca, seterusnya memupuk minat membaca para jemaah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti," kata Ainon.

Thursday, August 27, 2009

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin anjur kegiatan hidupkan Ramadan

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin anjur kegiatan hidupkan Ramadan

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya yang baru dibuka untuk kegunaan jemaah minggu lalu menyediakan pelbagai pengisian untuk masyarakat Islam sepanjang Ramadan ini bagi mengimarahkan pada bulan mulia itu.

Selain solat Tarawih yang diadakan setiap malam, pengurusan masjid mengadakan majlis tadarus al-Quran bagi orang dewasa yang bermula selepas solat Tarawih.

Majlis tadarus al-Quran bagi kanak-kanak pula diadakan di masjid itu setiap hari bermula jam 5 petang. Setiap kumpulan tadarus dibimbing imam atau guru agama yang berkemahiran dalam bidang tajwid dan bacaan al-Quran.

Majlis khatam al-Quran pula diadakan pada 27 Ramadan iaitu pada 17 September. Selain majlis tadarus dan khatam al-Quran, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut menyajikan kuliah subuh setiap hari selama 15 minit selepas solat Subuh dan tazkirah 20 minit sebelum masuknya waktu Zuhur setiap hari.

Larangan boros, membazir ketika berbuka puasa

Larangan boros, membazir ketika berbuka puasa

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Ramadan mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja

WAKTU iftar atau berbuka puasa adalah satu daripada dua masa yang menggembirakan setiap umat Islam yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika berbuka dan kedua, kegembiraan ketika menemui Tuhannya."

Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan untuk berbuka puasa, mereka tidak seharusnya lalai sehingga melanggari etika berbelanja sebagaimana yang dianjurkan Islam. Oleh kerana terlalu gembira kadangkala menyebabkan umat Islam tidak menyedari mereka melanggari etika murni yang ditetapkan Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.

Pemborosan bererti mengeluarkan wang ringgit atau menggunakan barang secara berlebih-lebihan dengan cara yang membazir. Amalan membazir ini amat dilarang Allah yang menganggap orang yang membazir itu adalah saudara mara syaitan.

Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya" � (Surah Al-Isra, 27). Ini suatu gambaran yang amat keras kerana syaitan itu makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah.

Berhubung larangan pembaziran ini juga, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadisnya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi sedekah miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." � (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.

Pemborosan yang sering kali kita lakukan ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa adalah dari aspek makanan dan minuman. Maksudnya membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan sehinggakan ia tidak mampu habis dimakan. Kadangkala dilihat waktu berbuka puasa itu bagaikan pesta makanan dengan pelbagai juadah.

Meskipun berbelanja itu hak golongan berada, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

Keinginan untuk membeli pelbagai jenis kuih, lauk dan minuman kadangkala agak keterlaluan. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman yang dibeli itu sekali gus. Maka baki atau lebihan makanan dan minuman yang dibuang sebab tidak terdaya dimakan itulah yang dikatakan pembaziran.

Secara jelas, Nabi Muhammad hanya menggalakkan kita menyegerakan berbuka puasa tepat pada waktunya dan disunatkan berbuka dengan kurma atau buah-buahan yang lain. Jika tiada buah-buahan itu, berbukalah dengan meminum air. Kemudian hendaklah didahului solat Maghrib sebelum memakan makanan yang lain seperti nasi dan sebagainya. � (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda amat melarang perbuatan boros ketika berbuka puasa sehinggakan membawa kepada pembaziran. Perkara ini ada dijelaskan Rasulullah yang bermaksud, "Ketika Mu'awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin 'Amr bercerita mengenai Rasulullah, katanya Rasulullah SAW tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji (seperti pemborosan). Beliau juga berkata: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya." � (Riwayat al-Bukhari). Sikap Rasulullah itu sepatutnya dijadikan ikutan dan teladan semua umat Islam.

Tuntutan puasa yang sebenarnya bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Puasa adalah suatu bentuk latihan praktikal bagi mendidik roh, minda, jasad dan nafsu manusia ke arah pengabdian dan kepatuhan kepada Allah.

Justeru, kita perlu sedar bahawa Ramadan yang sedang dilalui ini banyak mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan praktikal yang kita terima dalam bulan Ramadan ini, kita akan manfaatkan untuk mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang berikutnya.

Ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa dalam keadaan serba kedaifan dan kekurangan. Mereka juga inginkan menjamah makanan yang lazat seperti orang lain. Namun, dengan kedaifan, membuatkan mereka berbuka dengan makan makanan yang mampu dibeli saja.

Oleh itu alangkah baiknya jika kita membanteras amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah.

Tuesday, August 25, 2009

Puasa Ramadan bantu tingkat ketahanan badan

Puasa Ramadan bantu tingkat ketahanan badan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Kajian menunjukkan amalan menahan makan dan bertadarus memberikan ketenangan

PUASA Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang tersimpan selama ini.

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.

Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

"Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

"Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Ramadan dan Sains pada Seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Seminar bertemakan Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan membabitkan kira-kira 150 pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan merangkumi aspek ibadah serta panduan perubatan kepada pesakit di bulan Ramadan.

Pada pembentangan itu, Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.

Antara diketengahkan ialah laporan CNN.com mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan boleh merosakkan otak.

Buku Dr Jack Goldstein mengenai puasa memberitahu amalan itu dapat membina kekuatan tubuh badan, sementara Dr Shahid Athar dalam laporan mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di Casablanca pada 1994 turut memperakukan puasa Ramadan dari sudut sains dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Justeru, menurut Dr Danial, masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan puasa kepada tubuh dan sistem imunisasi kerana terbukti amalan menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari waktu imsak hingga berbuka memberi lebih banyak manfaat daripada kemudaratan.

"Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.

"Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk sistem penghadaman selain memberi tenaga," katanya.

Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.

Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam, Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta berzikir lebih tenang.

Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan kepada otot.

"Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun, ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam, Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan reda," katanya.

Monday, August 24, 2009

Hak dan adab Ramadan

Hak dan adab Ramadan


Kita disunatkan berbuka dengan buah kurma sebelum menikmati juadah yang lain. - Gambar hiasan


ALLAHU akbar wa lillahil hamd! Dengan kuasa dan kurnia Yang Maha Berkuasa, yang mana segala puji-pujian kembali hadrat-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan. Haniian lakum!

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua umat Islam yang bersama-sama memasuki gerbang Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

Selain daripada amal ibadah khusus, sudah menjadi suatu adat kita menyambut kedatangan Ramadan dengan mengisi ruang-ruang majlis ta'lim, kuliah dan ceramah dengan peringatan tentang kepentingan hakikat dan kelebihan Ramadan.

Walaupun kita mendengar nas-nas yang sama diulang-ulang oleh para ulama dan pendakwah, sebenarnya proses tazkirah Ramadan atau peringatan-peringatan sempena Ramadan adalah persiapan mental-spiritual yang sangat penting serta menjadi kunci yang menentukan mutu dan kualiti penghayatan Ramadan kita.

Ini kerana memang menjadi prinsip dalam agama kita bahawa bagi setiap amal ibadah kita sebagai hamba, sudut dalaman dan maknawi ibadah itulah yang merupakan maksudnya dan penentu nilainya yang utama.

Inilah yang dapat kita fahami di sebalik pelbagai nas dan kaedah seperti hadis, Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada niatnya dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya… (riwayat Bukhari dan Muslim) serta hadis yang bermaksud "Niat seorang Mukmin itu lebih baik daripada amalannya".

Falsafah yang sama juga dapat diselami di sebalik sepotong hadis Qudsi yang bermaksud, Allah berfirman, "Aku menurut sangkaan (dzan) seseorang hambaKu padaKu".

Oleh itu, walaupun kita sudah saban tahun berpuasa Ramadan, kita tidak harus memandang rendah kepentingan mengingatkan diri kita tentang segala fadilat, kaifiyat dan rahsia Ramadan.

Ia agar kita dapat menghayatinya dengan sebaik-baik niat, azam, pengharapan dan husnu dzan (bersangka baik) yang dengannya, insya-Allah, akan mengangkat tinggi mutu Ramadan kita.

Kita dibekalkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya SAW sekian banyak nas-nas yang mengingatkan kita tentang keistimewaan Ramadan yang sebahagiannya telah kita himbau pada minggu lepas.

Namun, rasanya antara yang paling istimewa dan jelas adalah sepotong hadis yang kaedah penyampaiannya juga menarik. Abu Hurairah r.a meriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban, "Bahawa Nabi SAW telah menaiki mimbar lalu bersabda, "Amin. Amin. Amin". Baginda pun ditanya, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya engkau telah menaiki mimbar lalu mengucapkan Amin. Amin. Amin?"

Sabda Baginda SAW, "Sesungguhnya Jibril a.s telah datang kepadaku dan berkata, "Sesiapa yang berkesempatan bertemu Ramadan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmatNya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

Sesiapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya tetapi tidak melakukan kebajikan kepada keduanya kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'. Sesiapa yang disebut di sisinya namamu tetapi tidak mengucapkan selawat ke atasmu kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk Neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

keampunan

Hadis ini mengingatkan kita bahawa peluang mendapatkan keampunan dan Tuhan di Ramadan begitu istimewa. Sehingga sesiapa yang gagal memanfaatkan peluang tersebut cukuplah kelalaiannya itu untuk memasukkan dirinya ke neraka dan menjauhkannya daripada rahmat Allah.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada tergolong dalam golongan itu.

Walaupun kita menegaskan niat dan adab hati dalam menghayati Ramadan itu lebih utama, sudah tentu kaifiyat dan cara amalinya juga harus benar dan betul, rukun dan syaratnya, wajib dan sunatnya.

Cuma janganlah pula aspek ini yang menjadi sumber pertikaian dan pertengkaran. Samalah seperti amal ibadat dan hukum-hakam kita yang lain, segalanya sudahpun dihuraikan oleh para ulama umat ini yang adil lagi amanah.

Ilmu berkaitannya tersusun rapi dalam kerangka syariat dan fiqh mengikut mazhab-mazhab yang muktabar.

Telah jelas dinyatakan persoalan-persoalan mana yang muktamad dan mengikat serta isu-isu mana yang masih nisbi (relatif) dan khilafiah yang memberi ada ruang untuk kita berbeza pandangan dan cara amalan.

Bila kita boleh dan bagaimana caranya kita berbeza pandangan dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan ukhuwah juga telah jelas digariskan oleh para ulama.

Mengikut pandangan-pandangan yang muktamad dalam mazhab-mazhab yang muktabar termasuklah Mazhab Shafie yang telah dipilih oleh ulama, umarak dan umat rantau ini sejak sekian lama adalah bererti kita bersungguh-sungguh cuba menghayati Ramadan mengikut cara Nabi SAW.

Pandangan muktamad dalam mazhab-mazhab muktabar adalah pandangan-pandangan terpilih oleh generasi demi generasi para ulama terpilih dan terbaik umat ini.

Mempertikaikan kerangka tasawwur Islam bermazhab atas nama dan slogan 'Berpuasa mengikut al-Quran dan sunnah' atau 'Berpuasa mengikut cara Nabi SAW' adalah suatu kecenderungan dan pendekatan yang berbahaya dan boleh menimbulkan perpecahan dalaman Umat yang dibenci oleh Allah SWT.

Jika kita tidak berhati-hati, hari-hari Ramadan kita akan terbazir pada perselisihan pendapat dan pertengkaran yang sepatutnya dapat dielakkan.

Sebaiknya marilah kita menghitung-hitung dan menumpukan kepada sebanyak mungkin hak dan adab Ramadan yang patut kita tunaikan dengan sesempurna mungkin.

Sekadar sebagai tazkirah atau peringatan, berikut disenaraikan secara am dan ringkas, perkara-perkara wajib, sunat dan penyempurnaan puasa bulan Ramadan sebagai amalan khusus bulan ini.

Perkara wajib puasa:

i. Mengetahui permulaan Ramadan.

ii. Berniat pada setiap malam Ramadan

iii. Menahan diri daripada makan dan minum, jimak, mengeluarkan mani atau muntah dengan sengaja pada siang hari.

Perkara sunat puasa:

i. Bersahur.

ii. Melambat-lambatkan sahur.

iii. Menyegerakan berbuka.

iv. Meninggalkan bersugi setelah tergelincir matahari.

v. Membanyakkan sedekah dan meluaskan belanja bagi keluarga serta menggandakan amalan kebajikan yang lain.

vi. Membanyakkan tadarus al-Quran.

vii. Memperbanyakkan iktikaf di dalam masjid.

Selain perkara-perkara asas di atas, kita juga diajar melalui perantaraan para ulama untuk menjaga perkara-perkara yang menyempurnakan puasa kita, moga-moga kita beroleh puasa ahli Khawas iaitu puasa mereka yang soleh dan bertakwa. Antara perkara itu adalah:

i. Menunduk dan memejamkan mata dari perkara yang tidak sepatutnya.

ii. Memelihara lidah daripada perkataan yang haram dan sia-sia.

iii. Memelihara telinga daripada benda-benda yang haram, makruh dan sia-sia.

iv. Menjaga tangan, kaki dan anggotanya yang lain daripada perkara yang haram, makruh dan sia-sia.

v. Menjaga perutnya ketika berbuka daripada benda-benda yang haram atau syubhat.

vi. Tidak terlalu memenuhkan perutnya dengan makanan yang halal apabila berbuka.

vii. Sentiasa merasa khauf (takut) kiranya puasanya tidak diterima Allah SWT dan raja' (harap) agar-agar Allah SWT menerima puasanya.

Begitulah tujuh perkara yang boleh menyempurnakan lagi puasa kita walaupun ada lagi diriwayatkan pelbagai amalan mereka yang lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan seperti menahan diri daripada apa-apa keinginan dan keasyikan duniawi serta mengosongkan diri dari memikirkan selain daripada Allah SWT dan Akhirat sebagai sebahagian daripada puasa Ramadan.

Marilah kita bersama-sama berusaha bersungguh-sungguh memburu rahmat dan keampunan Allah di bulan Ramadan ini dengan memelihara segala hak dan adab-adabnya, semoga Allah SWT memperkenankan dan mengizinkan. Amin Ya Rabbal 'alamin, Ramadan Karim! Kullu 'aam wa antum bi khayr.

(Rujukan utama: buku Tazkirah Ramadan oleh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Sofa Productions, Kuala Lumpur: 2002)

Ramadan dan masa

Ramadan dan masa


umat islam disaran memanfaatkan masa senggang pada bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan termasuk membaca al-Quran.


DIRAFA'KAN kesyukuran kepada Allah SWT ramadhan menggamit lagi. Bulan yang penuh keberkatan dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat, maghfirah (keampunan) dan gandaan pahala.

Oleh kerana masa begitu pantas berlalu dan kita sentiasa terkejar-kejar dengan masa, di samping banyak membazirnya maka di sini suka diterangkan berkenaan dengan masa mengikut neraca Islam.

Daripada Ibn Abbas r.a berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) alam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Imam Ahmad dalam musnadnya 1/344, al-Tirmizi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam a-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 3/370.

Sheikh Abdullah Ba'lawi berkata: Saudara-saudaraku sesama Muslim sekelian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh walau sesaat pun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singkat berbanding kehidupan di akhirat nanti.

Setiap hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya itu mustahil berlaku tanpa izin Allah SWT. Bahkan pada hembusan nafas anda yang terakhir, pada denyut nadi yang terakhir dan pada degup jantung anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah SWT, sama ada ketika jaga ataupun tidur.

Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan berlalu seminit pun dengan sia-sia. Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.

Setelah meninggalkan dunia fana ini, barulah anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda akan meyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.

Sheikh Abdullah Ba'lawi menambah: Akan diperhatikan kepada setiap manusia di akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan malam terdapat dua puluh empat almari sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu.

Manusia itu akan melihat sendiri setiap jam yang digunakan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, nampaklah almari itu penuh cahaya, sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah SWT nampaklah almari itu dalam keadaan gelap gelita.

Seterusnya jikalau ia mendapati almarinya sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat, maka sekiranya ia dibenarkan memilih untuk mati. Nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya. Namun tiada kematian lagi di alam akhirat.

Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali menjadi manusia gembira, malahan terus bertambah kegembiraan dan sukacitanya itu sepanjang masa (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambahkan amal solehnya).

Sebaliknya manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah SWT, maka itulah manusia yang benar-benar berdukaita serta merasa takut, malahan kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama sekali.

Katanya lagi: Saudaraku sesama muslim yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi anugerah dan rahmat-Nya kepadamu.

Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi anda masih berada di alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan tersesat.

Pilihan yang baik dalam mengamalkan segala sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat selagi masih hidup di dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang sudah anda lalui itu tidak akan kembali lagi.

Ini kerana jika sudah berlalu tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi amal yang soleh bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat.

Oleh itu bersegeralah, jangan menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah SWT kerana ia suatu keburukan tersendiri. Padahal kita semua tahu manusia itu terlalu terganggu oleh bermacam-macam keadaan berbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia tanpa ada manfaat sedikitpun.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramadan dengan melakukan ibadat sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Semoga dengan amalan tersebut melayakkan kita mendapat ketakwaan. Amin.

Sunday, August 23, 2009

Ulul Albab: Takwa matlamat pengurusan puasa Ramadan

Ulul Albab: Takwa matlamat pengurusan puasa Ramadan

Abdurahman Haqqi

BIDANG pengurusan antara kegiatan kemanusiaan yang sangat penting sejak dulu. Tanpa pengurusan berkesan semua matlamat hidup dan kehidupan manusia gagal kerana ia proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti di sekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dengan keluarga, komuniti atau organisasi hingga negara. Kata kerja mengurus (management) berasal daripada bahasa Itali maneggiare iaitu menangani dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin - manus (tangan). Perkataan Perancis mesnagement banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan bahasa Inggeris management pada abad ke-17 dan 18.

Mohammad Fauzi dalam Pengurusan: Definisi, Sejarah, dan Konsep, secara umum menulis pengurusan boleh ditakrifkan sebagai seni melaksanakan proses kerja yang terancang, dilaksanakan bersistematik, teratur dan mempunyai panduan. Konsep pengurusan mencakupi tiga elemen utama iaitu pengurus, organisasi dan tatacara atau panduan pengurusan.

Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubung kait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan pengurus yang adakala bertindak sebagai mastermind dan pada keadaan yang lain sebagai pelaksana.

Sebagai mastermind, pengurus memimpin kelompok subordinat yang bertindak melaksanakan visi, misi dan objektif mengikut perancangan. Usaha mengarah dan memantau perkembangan pelaksanaan dikendalikan pengurus dengan pendekatan subjektif berdasarkan kepemimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi. Sebagai pelaksana, pengurus membimbing dan bergerak seiring subordinat melaksanakan visi, misi dan objektif.

Sama ada sebagai mastermind atau pelaksana, pengurus bertindak berdasarkan tatacara dan panduan. Pengurus ada kuasa bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawab mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsi mengetuai orang bawahan. Kuasa diperoleh sama ada sumber perundangan seperti ditetapkan Perlembagaan yang digubal pada masa organisasi ditubuhkan atau diberikan dengan persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi.

Kuasa pengurus secara ideal dibayangi etika yang jika dikendalikan dengan baik dan menghormati the spirit of ethic membolehkan pengurus mengemudi organisasinya dengan adil, penuh hormat dan berwibawa.

Secara teori, pengurusan ditakrif Mary Parker Follet (1868-1933) ‘sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Di pihak lain, Free-Content Encyclopedia Wikipedia, menyatakan pengurusan boleh ditakrif menurut fungsinya sebagai tindakan mengukur kuantiti pada tempoh tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubah suai rancangan asal atau tindakan mencapai maklumat yang dirancang. James A F Stoner dan Charles Wienkel pula menyatakan, pengurusan ialah proses merancang, menyusun, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat.

Secara praktikal, berdasarkan takrifan pengurusan di atas, kita dapati lima komponen fungsi pengurusan iaitu perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian. Bagaimanapun, Unesco mempunyai proses sendiri yang disebut Planning, Organising, Directing and Controlling (PODC).

Fungsi perancangan ialah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat dengan menggunakan strategi mencari jalan mencapai tujuan serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat. Fungsi penyusunan membabitkan kerja penstrukturan dengan cara pembahagian kerja mengikut kegiatan dan tingkat autoriti.

Fungsi pengarahan penting bagi menjamin aktiviti organisasi berjalan teratur, lancar serta harmoni. Ia merangkumi faktor motivasi, kepimpinan dan sistem komunikasi. Fungsi pengawalan bertujuan memastikan prestasi organisasi dicapai mengikut perancangan dan fungsi penilaian untuk mengetahui kejayaan yang dicapai.

Ibadat puasa pada Ramadan ialah projek besar tahunan yang mempunyai matlamat agung dan mulia yakni ketakwaan seperti difirmankan Ilahi bermaksud: “Hai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah al- Baqarah: 183) Projek agung dan mulia ini tanda kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia mukmin agar mereka meraih banyak manfaat puasa Ramadan. Al-Quran menyebutkan maksudnya: “Dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang beriman (di dunia dan akhirat)” (Surah al-Ahzab: 43).

Bagi fungsi perancangan puasa Ramadan, seorang mukmin sudah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat iaitu takwa dengan menggunakan strategi mencapainya serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat.

Fungsi penyusunan pula membabitkan kerja penstrukturan sepanjang Ramadan dengan cara pembahagian kerja mengikut aktiviti dan tingkat autoriti yang kita miliki dalam mengamalkan ibadat.

Fungsi pengarahan anggota badan selama Ramadan penting bagi menjamin aktiviti itu berlangsung dengan teratur, lancar serta dalam suasana harmoni. Ia membabitkan faktor motivasi, kepemimpinan dan sistem komunikasi menerusi kedalaman ilmu puasa atau fiqh al-siyam. Fungsi pengarahan tidak berhasil dengan sempurna tanpa pengawalan bertujuan memastikan prestasi Ramadan dicapai mengikut perancangan. Selepas itu, fungsi penilaian diperlukan bagi menilai tahap kejayaan puasa Ramadan dicapai atau gagal.

Jika puasa Ramadan sebagai projek agung dan mulia ini tidak diurus dengan berkesan, kita akan menghadapi kegagalan yang merugikan. Bagi pengurusan Ramadan berkesan, setidak-tidaknya kita memperhatikan komponen fungsi pengurusan seperti dihasilkan pakar daripada fungsi perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian atau PODC + E (evaluation). Dengan mengamalkan proses pengurusan PODC + E, insya-Allah kita mencapai matlamat puasa iaitu takwa yang berkesan seperti dibuktikan pendahulu kita sehingga digelar sebaik-baik umat manusia.

Oleh kerana takwalah yang bersemarak dalam hati ketika mereka mengerjakan puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa juga yang mengawal hati daripada kerosakan ibadat dengan maksiat walaupun yang berbisik di hati. Orang yang dihadapkan ayat suci al-Quran sedar tingginya takwa di sisi Allah SWT dan berat timbangannya di dalam neraca Allah. Takwa ialah matlamat yang ditujukan jiwa mereka dan ibadat puasa hanya alat mencapainya. Selamat menunaikan puasa Ramadan. Taqabballahu salih al-a’mal!

Saturday, August 22, 2009

Ramadan tuntut ummah bermuhasabah, beramal

Ramadan tuntut ummah bermuhasabah, beramal

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


SETIAP Muslim perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat. sebelum ditakdirkan bertemu Allah bila-bila masa saja. - Gambar hiasan

Tingkat ibadat rebut keberkatan bulan yang mulia

KEHADIRAN Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah persediaan serta amalan sebelum, ketika dan selepas Ramadan.

Muhasabah penting kerana Ramadan hanya setahun sekali, tambahan pula apakah kita yakin terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah Ramadan kali ini kita melaksanakan yang terbaik sebelum ditakdirkan bertemu Allah pada bila-bila masa saja. Muslim yang bijaksana juga memanfaatkan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa dan beribadat sunat.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan ialah terhadap jasmani dan rohani kerana ibadat sepanjang Ramadan berkait dengan amalan zahir dan batin. Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.

Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan Mukmin bertakwa tidak melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini untuk melipatgandakan amalan termasuk puasa sunat sebagai persediaan menghadapi penghulu segala bulan, Ramadan. Rasulullah berdoa setiap datang Rejab bermaksud: "Ya Allah! Berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan."

Begitulah amalan orang Mukmin bertakwa dan beristiqamah mempersiapkan diri sama ada fizikal dan rohani. Mereka membersihkan diri dan hati sebelum menyambut Ramadan yang agung agar ia bersedia menerima cahaya, rahmat dan kurnia Allah yang tidak terhingga pada bulan penuh rahmat.

Ahli hikmat berkata: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun segala dosa dan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar untuk mendekatkan diri kepada Allah."

Muslim juga dituntut mengulang kaji persoalan mengenai puasa seperti rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmahnya. Kesempurnaan puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung pada cara pelaksanaan ibadat berdasarkan sunah atau tidak. Mengetahui cara melakukan puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

# Muslim diwajibkan mengekang diri daripada kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama ibadah ini ialah menahan diri daripada nafsu duniawi kecil atau besar dan nikmat jasmani (makan, minum dan seks) atau penyakit rohani (mengumpat, dengki dan sombong).

# Muslim harus memperbanyakkan amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf. Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Tawaran istimewa Allah sediakan pada Ramadan wajar menjadi perangsang Muslim merebut ganjaran yang tiada pada bulan lain.

# Ibadat puasa tidak patut menjadi penghalang melakukan kerja seharian ikhlas kerana Allah yang dianggap sebagai ibadat.

# Ibadat diberikan Allah ganjaran berganda. Mengapa perlu disia-siakan detik berharga sepanjang Ramadan dengan tidur dan bermalas. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah janjikan sepanjang Ramadan.

Manfaat Ramadan tingkat ketakwaan

Manfaat Ramadan tingkat ketakwaan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Alangkah indahnya jika ummah berebut-rebut untuk meraih janji Allah

PUASA Ramadan sepatutnya dapat melahirkan insan bertakwa sejajar kefarduannya yang datang daripada Allah kepada umat-Nya terdahulu hingga sekarang bukan untuk membebankan tetapi sebagai proses pentarbiahan.

Namun, kata pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd Farid Ravi Abdullah, adalah malang bagi masyarakat Islam jika tidak memanfaatkan kedatangan Ramadan untuk meningkatkan ketakwaan mereka.

Justeru katanya, umat Islam di negara ini wajar mencontohi sikap saudara mereka di negara Arab yang meraikan kehadiran Ramadan dengan meneruskan budaya yang diamalkan sahabat daripada sunnah Rasulullah SAW.

"Selama lima tahu saya di Jordan, setiap kali tiba pengumuman tarikh mula Ramadan, masyarakat di sana akan berkumpul di masjid dan sebaik pengumuman dibuat, semua akan bersorak sambil berpelukan gembira menyambut tibanya bulan mulia itu.

"Peliknya orang kita apabila tiba Ramadan tidak pula begitu suasananya. Menyambut awal Ramadan tidak ada beza dengan hari lain. Akhirnya Ramadan berlalu begitu saja," katanya pada seminar penghayatan Ramadan bertema 'Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan'.

Seminar sehari diadakan di Auditorium As-Syafie Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Bangi, Selangor anjuran ILIM dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Seminar dihadiri kira-kira 150 peserta di kalangan pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan itu dirasmikan Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya. Hadir sama, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman.

Mohd Farid yang menyampaikan ceramah bertajuk Puasa Membentuk Insan Beriman dan Bertakwa berkata, Saidina Ali menjelaskan takwa itu mengandungi empat perkara iaitu takut kepada Allah, rasa cukup dengan yang sedikit, beramal dengan al-Quran dan bersiap sedia berjumpa Allah.

Beliau berkata, rasa takut kepada Allah akan mendorong seseorang itu melaksanakan ibadat puasa dengan ikhlas serta mengharap balasan setimpal daripada Allah sementara sifat cukup dengan yang sedikit melahirkan insan bersyukur.

Ramadan juga dinamakan bulan al-Quran kerana kitab suci Allah itu diturunkan pada 17 Ramadan dan seharusnya kitab itu ditadaruskan sepanjang bulan puasa. Persiapan bertemu Allah yang turut meningkatkan ketakwaan ada kaitan dengan pencarian malam lailatul qadar.

"Banyak yang boleh kita pelajari pada Ramadan untuk menjadikan diri insan lebih bertakwa. Bulan puasa patutnya kita lebih berjimat kerana lapar dan dahaga yang dirasai mendidik menjadi insan sentiasa bersyukur.

"Sudah berapa lama kita berpuasa dan takkan selama itu tidak pernah bertemu dengan lailatul qadar. Rasa tidak rugi ke? Oleh itu, perbanyakkan ibadat malam terutama pada 10 terakhir Ramadan supaya kita dapat bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan," katanya.

Katanya lagi, umat Islam negara ini perlu mengimarahkan sambutan Ramadan dengan menunjukkan semangat yang tinggi untuk meningkatkan amalan serta mengubah budaya menyambut kedatangan bulan puasa hanya sebagai saat melaksanakan ibadat puasa yang datang setahun sekali.

Begitu juga keghairahan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan yang menjadi sebahagian budaya pada Ramadan hingga menyebabkan berlaku pembaziran apabila terlalu mengikut nafsu.

Menurutnya, hanya Malaysia mempunyai Bazar Ramadan yang menjadi medan kepada peniaga serta pembeli untuk menjual dan membeli makanan berbuka puasa.

Budaya itu tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dimanfaatkan sewajarnya supaya tidak berlaku perkara melanggar batasan agama di mana peniaga mengambil kesempatan menjual pada harga mahal dan pembeli membeli mengikut nafsu bukan keperluan.

Mohd Farid berkata, umat Islam juga perlu menghargai nikmat pemberian Allah kepada hambanya dengan memberi pelbagai nikmat pada bulan istimewa ini antaranya pahala amalan digandakan serta didatangkan satu malam menjanjikan seribu kebaikan.

Beliau berkata, alangkah indahnya jika sepanjang Ramadan ini semua masjid dan surau dipenuhi umat Islam yang berebut-rebut untuk meraih janji Allah kerana bulan puasa adalah antara ruang disediakan untuk menghapus dosa lalu.

"Jika selalunya sepuluh malam pertama masjid dan surau penuh, sepuluh malam pertengahan susut dan sepuluh malam terakhir lebih banyak tiang dari jemaah, saya harap tahun ini biarlah jemaah penuh sentiasa sepanjang Ramadan.

"Rebutlah pahala amalan fardu sebanyak 70 kali ganda dan amalan sunat mendapat pahala fardu. Ini tawaran Allah supaya umat Islam apabila berakhir Ramadan nanti seperti kain putih yang bersih. Kita tidak mahu puasa kita nanti hanya dapat lapar dan dahaga saja," katanya.

Nur Ramadan

Nur Ramadan

DARI Zaid bin Abu Habib yang sanadnya sehingga Urwah yang memberitahu kepadanya daripada Aisyah, katanya: "Kaum Quraisy dulu sama berpuasa pada Hari Asyura, iaitu pada zaman jahiliah, kemudian Rasulullah SAW memerintah sahabatnya berpuasa. Ia berjalan sehingga datangnya kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan. Sejak itu Rasulullah SAW bersabda," Sesiapa yang suka hendaklah berpuasa pada Hari Assyura dan sesiapa yang suka boleh juga berbuka (tidak berpuasa sunat) pada hari itu - (Riwayat Bukhari).

Friday, August 21, 2009

Persiapan mendapat berkat Ramadan

Persiapan mendapat berkat Ramadan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

l Tahap terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

l Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

l Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

l Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

l Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

l Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

l Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

l Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

l Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

Thursday, August 20, 2009

Menghayati Ramadan

Menghayati Ramadan


umat islam dianjur membanyakkan membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.


RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.

Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati Rasulullah SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?

Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada Allah dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayat-Nya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Puasa 'madrasah' membentuk peribadi Muslim sejati

Matlamat puasa tidak lain adalah untuk merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.

Puasa mendidik dan membentuk muslim bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Seseorang yang berpuasa yang meneladani dan memahami anjuran Rasulullah ketika mendengar kata-kata keji dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, "sesungguhnya aku berpuasa".

Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana Allah SWT. Allah menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana puasa dinisbahkan kepada-Nya dalam erti kata lain Allah SWT yang memberikan ganjaran pahalanya.

Puasa mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi Allah baginya berpuasa dari makan dan minum. (riwayat al-Imam al-Bukhari)

Hadis ini adalah peringatan kepada setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda baginda tidak ada ertinya di sisi Allah merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa yang bercampur dengan perkataan dusta.

Seorang muslim yang berpuasa sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalani ibadah puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis panduan yang di ajar oleh baginda SAW.

Memelihara ikhlas adalah dengan cara mengarahkan hati hanya kepada Allah SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredaan dari-Nya. Manakala ittiba' (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.

Bagaimana mungkin seorang muslim dapat merealisasikan ittiba' iaitu meneladani Rasulullah SAW dalam puasa, sementara dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.

Puasa bukan hanya semata-semata menahan diri dari makan dan minum. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka Allah SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau perkara keji.

Menyingkap Ramadan Rasulullah SAW

Ramadan merupakan nikmat kesempatan sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya Allah SWT membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni neraka.

Pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.

Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat Islam meneladani peribadi Rasulullah dalam menyambut Ramadan berkata, "Renungilah bagaimana Rasulullah SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran menyambut tamu agung ini".

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).

Alangkah beruntung siapa yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad dan meneladani beliau dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.

Apabila Rasulullah SAW melihat hilal (anak bulan) petanda bahawa Ramadhan telah tiba, baginda SAW berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah".

Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal , "Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat besar sekiranya ada insan yang menyembahmu".

Rasulullah tatkala menjelang bulan Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al-Quran, bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat.

Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap Baginda SAW.

Memperbanyak Tilawah

Puasa dan al-Quran mempunyai kaitan yang sangat dalam. Rasulullah SAW memperbanyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.

Rasulullah mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al-Quran. Rasulullah lebih dermawan dan pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.

Baginda SAW gemar mendengarkan al-Quran dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al-Quran.

Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa, suatu hari Rasulullah memintaku membaca al-Quran untuk baginda, "Ibnu Mas'ud bacalah sesuatu dari al-Quran untukku", lalu aku membaca surah al-Nisa' hingga ayat 41, yang bermaksud, "Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka atas mereka itu sebagai umatmu". Aku melihat kedua mata baginda basah menitiskan air mata. (riwayat al-Bukhari).

Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Berapa kali aku harus menghatamkan al-Quran?" Rasulullah menjawab, "khatamkanlah al-Quran dalam satu bulan". Abdullah bin Amr berkata, "aku mampu lebih cepat dari itu". Jawab Rasulullah, "jika begitu lakukanlah setiap 20 hari". Tambah Abdullah bin Amr, "Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu". "Kalau begitu dalam 15 hari" lalu "10 hari". Abdullah bin Amr berkata, "aku masih lebih cepat dari itu", Rasulullah menjawab, "kalau begitu lima hari", lalu Rasulullah tidak melanjutkan lagi. (riwayat al-Tirmidzi).

Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.

Mudarasah atau tadarus antara Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak terganggu oleh pekerjaan seharian.

Di malam hari, hati seseorang juga lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan

Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com

Amalan ditunjukkan ibu bapa menjadi pendakwah terdekat kepada anak

RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

Wednesday, August 19, 2009

Persiapan mental, fizikal rebut keberkatan Ramadan

Persiapan mental, fizikal rebut keberkatan Ramadan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

RAMADAN yang bakal tiba hujung minggu ini mula dirasai dengan pusat agama termasuk masjid menganjurkan ceramah untuk menyedarkan ummah perlunya penghayatan rohaniah bagi mengisi bulan mulia itu dengan amal ibadat. Terbaru, Masjid Negara dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid menganjurkan Ceramah Perdana 15 Ogos lalu dengan mengundang pendakwah terkenal, Syaikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makkiy bagi membincangkan topik 'Persiapan Mukmin Menyambut Ramadan'.

Program itu turut dihadiri wakil Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno serta Pengarah Eksekutif Dewan Pemuda masjid, Ustaz Taqiuddin Abdullah serta hampir 700 umat Islam dari Lembah Klang bertujuan memperingatkan umat Islam mengenai persiapan menghadapi tarbiyah rabbaniah sepanjang bulan ibadah ini.

Beliau menyentuh bagaimana pentingnya umat Islam menjadikan Ramadan titik tolak menjadi Muslim sejati dan taat mengerjakan perintah Allah SWT.

Untuk menjadikan bulan keberkatan lebih bermakna, segala hikmah daripada Ramadan harus dihayati sepenuhnya.

Walaupun syaitan yang sentiasa menghasut manusia membuat kejahatan dibelenggu sepanjang Ramadan, syaitan di kalangan manusia sentiasa berusaha memesongkan akidah umat. Dalam al-Quran tidak menyebut Muharam tetapi kita membuat sambutan meriah Maal Hijrah. Al-Quran juga tidak menyebut Rabiulawal, tetapi umat Islam menyambut Maulidur Rasul penuh kehebatan.

Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran Ramadan yang menunjukkan ia amat istimewa kepada umat Islam kerana malam dan siangnya menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadan bulan mulia yang sewajarnya ditunggu dengan penuh kegembiraan. Mulai sekarang kita perlu membuat persediaan mental dan rohani untuk menghadapi Ramadan yang secara intensif melatih umat mendekati Allah dan membentuk akhlak mulia.

PROGRAM

Masjid Wilayah Persekutuan
# Diskusi Pemantapan Ilmu Hadis Melalui Kitab Subulus Salam.
Tarikh: 20 Ogos 2009
Masa: 2.30 - 4.30 petang Penceramah: Prof Dr Habeeb Rahman Ibrasma (Pensyarah UIAM)

# Diskusi Pemantapan Ilmu Fekah Melalui Kitab Kifayatul Akhyar
Tarikh: 23 Ogos 2009
Masa: 10 pagi - 12 tengah hari
Penceramah: Nik Ismah Nik Abd Rahman. Untuk maklumat hubungi Azizah Mat Isa, talian 03-62018767

Masjid Putrajaya
# Kem Ibadat siri 3/2009
Tarikh: Sabtu 7 November 2009
Masa: Dua hari satu malam.

# Kem Tahfiz al-Quran Cuti Sekolah
Tarikh: 1 - 31 Disember 2009 Terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan rendah

Tuesday, August 18, 2009

Usahakan Ramadan yang terbaik

Usahakan Ramadan yang terbaik


Ahmad Mustafa Mohd. Sidin


MEGA: Bagaimana puasa menjadikan kita bertakwa?
MUSTAFA: Dalam surah al-Baqarah ayat 183 itu telah dijelaskan bahawa puasa itu bukan hanya diperintahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Sebaliknya, perintah berpuasa yang menjadi ibadat asas itu sudah ada kepada umat-umat nabi terdahulu.

Tujuan puasa itu adalah menjadikan kita bertakwa. Tetapi bagi mencapai tahap takwa itu Allah telah gariskan bahawa ia memerlukan kepada iman dan amal soleh.

Maknanya, apabila seseorang itu beriman pasti dia akan beramal soleh dan barulah dia akan mencapai kejayaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (al-Baqarah: 5)

Sebab itu, dalam berpuasa misalnya, untuk menjadikan kita bertakwa, hendaklah kita mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, menjauhi segala perkara yang bukan sahaja membatalkan puasa tetapi juga yang mengurangkan pahala berpuasa.

Jika kita mahu memartabatkan agama, kita perlu cemerlang di dunia dan akhirat. Kalau kita tidak cemerlang, Islam pun tidak hebat.

Sebabnya di dalam Islam, konsep cemerlang bagi orang beriman itu merangkumi di dunia dan akhirat. Kita tidak mahu umat Islam hanya hebat dan cemerlang di dunia sahaja.

Ada yang suka sambut Ramadan tetapi ramai juga yang 'tidak suka'. Apakah sikap yang sepatutnya bagi umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan?

MUSTAFA: Kita yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah meyakini kepada konsep usaha dan tawakal. Maknanya, kita perlu berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu perkara yang baik itu.

Kalau nak sihat, kita kena usaha dengan menjaga kesihatan. Kalau nak maju dalam kerjaya, kita kena usaha seperti melakukan tugas dengan efisien, menepati batas waktu yang ditetapkan dan sebagainya.

Demikian juga dengan rohani. Jika kita nak rohani atau jiwa kita itu baik, tidak boleh tidak kita mesti memulakan usaha ke arah itu. Indahnya Islam ini, Allah telah menolong kita mencapainya dengan menetapkan perintah solat dan puasa. Apa yang perlu kita buat adalah laksanakan sahaja perintah itu.

Puasa itu memang ada kesusahan dan rintangannya tetapi kejayaan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas itu adalah dijamin oleh Allah. Bukannya manusia yang jamin.

Dari segi fizikal pun, para doktor akui bahawa puasa itu baik untuk kesihatan. Ia sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat".

Buat apa banyak duit kalau tidak sihat. Ibadat puasa ini sebenarnya memberi kekuatan bagi kecapi untuk kecapi nikmat hidup di dunia.

Ada umat Islam yang puasa tetapi masih tidak solat, tidak tutup aurat atau masih terus melakukan maksiat. Apa status puasa golongan begini?

MUSTAFA: Seperti yang disebutkan tadi, puasa itu adalah ibadat yang digandingkan di dalamnya iman dan amal soleh.

Ada juga agama lain yang puasa seperti Yahudi, India dan kristian tetapi puasa mereka tidak seperti puasa orang yang beriman. Kita bukan puasa tetapi pada masa yang sama syirik kepada Allah.

Orang beriman, sedar bahawa puasa itu adalah perintah Allah. Justeru akan dilaksanakan dengan penuh taat di samping merasai status diri sebagai hamba Allah.

Ini mungkin juga akibat kekeliruan umat Islam dari sudut status amalan antara ibadat dan adat. Apabila keliru, mungkin ada sebahagian umat Islam yang beranggapan bahawa puasa itu hanyalah adat.

Bagi mereka yang tahu bahawa puasa itu ibadat, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki prestasi. Sebabnya, Allah akan menilai puasa hamba-Nya.

Rasulullah SAW mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah bagi Allah berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya. (riwayat Bukhari)

Ada juga sebahagian kita yang tersilap dalam meletakkan aulawiyat (keutamaan). Puasa adalah fardu ain maka sudah sewajarnya ia diberi keutamaan berbanding amalan sunat yang lain.

Bagaimana mencapai tahap puasa khawasil khawas (puasa paling khas)?

MUSTAFA: Puasa itu pun ada tahap-tahapnya. Yang paling rendah ialah puasa orang awam. Puasa begini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.

Tingkatan kedua adalah puasa orang khas. Puasa di sini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.

Tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.

Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim.

Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap dengan perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. (riwayat Bukhari)

Kita perlu mengambil perhatian dalam hal ini supaya puasa kita benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Jangan nanti kita di akhirat kelak menyesal kerana puasa kita hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan.

Inilah amaran kepada golongan yang leka dan lalai dalam puasa mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (riwayat Bukhari)

Pada bulan puasa, ramai yang datang masjid awal pada Jumaat. Sayangnya, ada di kalangan mereka bukan beribadat tetapi memenuhi masa dengan tidur. Bagaimana seharusnya kita memanfaatkan masa yang berharga ini?

MUSTAFA: Dalam hal ini, elok kita hayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Keadaan mereka yang datang awal ke masjid tetapi tidak dimanfaatkan dengan ibadat sunat termasuk baca al-Quran bolehlah kita kategorikan sebagai golongan yang lalai.

Apabila kita menganggap bahawa kehidupan kita masih lagi panjang, kita tidak merasai perlunya menjadikan Ramadan yang kita temui itu sebagai yang terbaik.

Persoalannya, tahukah kita bila kita akan mati. Sebab itu, kita perlu ada semangat dan tanamkan azam bahawa Ramadan kali ini adalah yang terakhir. Lalu, peluang ini perlu direbut dan diisi dengan segala ibadat yang termampu.

Jika kita sampai awal di masjid, sepatutnya kita ambil kesempatan untuk solat sunat kemudian membaca al-Quran dan berzikir. Jangan pula datang awal lebih-lebih lagi di masjid yang ada penghawa dingin kemudian terus tidur.

Sepatutnya, setelah sekian lama kita berpuasa iaitu sejak akil baligh, semakin baik dan berkualiti puasa dan amalan kita di bulan Ramadan.

Malah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Siapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, selepas kita mencapai tahap ini barulah bertepatan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah (diampunkan dosa).

Maka, ketika itu kita ibarat kain putih bersih dan perlu membuka lembaran baru hidup dengan penuh ketakwaan.

Untuk merancakkan sambutan puasa, elok juga kita budayakan amalan mengucap 'Selamat Menyambut Ramadan' kepada rakan-rakan kita. Sebabnya, Ramadan itu penuh dengan keberkatan yang perlu kita ambil peluang memanfaatkannya melalui pelbagai perlakuan ibadat yang disyariatkan. Lagipun, belum tentu kita diberi kesempatan bertemu dengannya pada tahun hadapan.