Sunday, November 11, 2007

Bahasa Inggeris dikuasai bukan didaulatkan

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Gesaan wakil Perhubungan UMNO Johor agar pengajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung UMNO Khamis lalu wajar diambil perhatian serius. Penulis berkongsi pendapat dengan Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu tahun lalu dan membangkitkannya sekali lagi tahun ini.

Sememangnya peranan bahasa sebagai alat komunikasi terpenting tidak perlu dibahaskan lagi. Bahasa turut memainkan peranan penting sebagai alat untuk mencari dan menimba ilmu pengetahuan. Malah peranan bahasa dalam mempertahankan jati diri dan alat pemerkasaan perpaduan masyarakat tidak boleh dipandang enteng.

Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai sebahagian bahasa kebangsaan memakan pengorbanan besar. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kedudukan bahasa Melayu mula terjamin dan menjadi wahana memperbaiki dan memantapkan perpaduan di antara kaum.

Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi itu menggagaskan beberapa resolusi penting termasuk penegasan semula pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Penyata Razak dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib maka terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Bermula dari situlah sekolah aliran Inggeris yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran semua mata pelajarannya ditukar menjadi aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.

Usaha yang dijalankan melalui pendaulatan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat kepelbagaian aliran pendidikan. Malah pelbagai aliran pendidikan yang diasaskan penjajah inilah yang menjadi antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum.

Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting agar dalam semangat yang bergelodak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sesekali merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.

Malah dalam mengorak langkah untuk mengangkasakan tamadun bangsa yang gemilang, keyakinan terhadap bahasa sendiri tidak harus luntur sehingga sanggup melakukan tindakan tidak bijaksana.

Banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing tetapi akhirnya tersungkur bahkan tidak mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa yang diciplaknya. Sebagai contoh, negara-negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak dianggap negara maju. Sebaliknya negara yang mendaulatkan bahasa sendiri seperti Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman tetap maju dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

Namun, semangat mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak pula bermakna kita harus taksub dan beremosi hingga menafikan kepentingan menguasai bahasa asing. Islam turut menekankan keperluan mempelajari bahasa asing dalam meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan.

Di zaman Khalifah Al-Makmun, didirikan pusat pengembangan ilmu, Bait al-Hikmah yang giat menterjemahkan karya-karya besar dalam pelbagai cabang ilmu daripada tamadun Yunani ke dalam bahasa Arab. Cendekiawan-cendekiawan besar seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd menguasai bahasa dan falsafah Yunani tetapi tidak pula timbul polemik pendewaan berlebihan kepada bahasa dan tamadun asing sehingga meminggir dan meremehkan bahasa dan budaya sendiri.

Justeru amat wajarlah jika dikaji secara teliti keberkesanan dasar sebelum ini yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran Sains dan Matematik. Apa yang lebih mustahak ialah untuk merumuskan formula lebih berkesan terhadap cara dan teknik pengajaran bahasa Inggeris. Adalah aneh bagi seorang pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun dari sekolah rendah hingga menengah masih gagal menguasai bahasa itu. Ini pastilah berkait rapat dengan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sekarang yang kurang berkesan.

Apa yang lebih membimbangkan, dalam upaya menguasai bahasa Inggeris, kita seolah-

olah menganaktirikan bahasa sendiri hingga tercetus reaksi melampau meremehkan bahasa kebangsaan yang menjadi asas pembinaan jatidiri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Usah fanatik mazhab

Bersama: MOHD YUSOF ABAS
Soalan: sebagaimana yang saya ketahui kebanyakan umat islam di malaysia adalah bermazhab syafii. tetapi kenapa mereka jadi fanatik apabila berbeza pendapat dalam perkara ibadat sunat. adakah mereka bersikap asabbiah atau fanatik kepada mana-mana mazhab tertentu? sedangkan kita tahu di utara india ramai yang bermazhab hanafi dan di afrika khususnya aljeria dan lain -lain bermazhab maliki, apakah sebab dan puncanya?

– Muhammad Kudus,

Sungai Siput, Perak.

JAWAPAN: Antara sebab dan puncanya ialah sejarah pengajian orang tua kita dahulu. Ramai di kalangan mereka ketika itu yang ingin melanjutkan pelajaran merantau ke Pattani, Mekah, Mesir dan lainnya dan kebetulan saluran ilmu dan kitab-kitab yang sampai (dipelajari) adalah kitab karangan menurut sukatan ilmu mazhab Syafii. Bila mereka kembali ke tanah air, itulah ilmu yang dibawa dan di ajarkan kepada masyarakat sehingga hari ini.

Justeru itu buku-buku yang terdapat di pasaran kita hari ini juga adalah kitab ilmu fikah seperti Manhaj Tullab, Fathul Wahhab, Mukgnil Muhtaj, Mahalli Tuhfah. Manakala dalam bidang hadis pula seperti Sahihain, Sunan Sittah dan lain-lain Begitu juga disebelah utara India ramai yang bermazhab Hanafi kerana kitab pembacaan dan kajian mereka adalah kitab dari karangan ulama Hanafi seperti hadis Misykat bidayatul hidayah.

Sedangkan di Saudi kebanyakannya bermazhab Hanbali. Begitu juga di Tunisia di mana kitab aliran mazhab Maliki yang mereka pelajari. Sebab itu kata ulama, umat Islam perlu beramal dengan ilmu yang mereka pelajari menurut kemampuan masing-masing. Kita di Malaysia perlu beramal mengikut pengajian mereka menurut mazhab Syafii dan tidak harus beramal dengan mazhab lain yang tidak pernah dipelajari dan begitu asing dari apa yang pernah diketahuinya.

Kerana setiap orang itu wajib beramal dengan ilmunya sendiri. Bagaimana pula ada orang menyuruh kita beramal dengan ilmu yang tidak pernah kita pelajarinya. Ini semua terjadi dengan ketentuan dari Allah s.w.t. Jadi umat Islam tidak perlu bergaduh dalam membela mazhab masing-masing. Mereka semua berada atas kebenaran petunjuk dari Tuhan mereka. Ingatlah fitnah perpecahan umat lebih dahsyat dari pembunuhan. Tidak ada dosa kesalahan yang lebih besar dari fitnah tersebut. Alasan sejarah di atas itulah antara punca berlainan fahaman di antara kita, bukan kerana taksub mazhab atau fanatik mana-mana imam atau pemimpin dan sebagainya. Wallahualam.

Rumah seperti kubur

Soalan: Saya terbaca hadis yang bermaksud: Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Hadis riwayat Muslim, Tarmizi, Ahmad). Apakah maksud sebenar hadis tersebut?

– Osman Jailani, Sungai Nibong,

Pulau Pinang.

Jawapan: Meskipun hadis tersebut sahih dan boleh diterima, tetapi ianya kurang tepat untuk dijadikan hujah atau dalil menunjukkan amalan membaca al-Quran di tanah perkuburan itu bidaah dan sesat sebagaimana tuduhan yang dilemparkan kerana dalam hadis lain riwayat Ahmad melarang hanya perkataan palsu sebagai mana sabdanya bermaksud: pergilah ziarah kubur dan jangan ucapkan kata yang hajra (tidak disukai agama).

Ini kerana tidak ada di dalamnya sebarang larangan membaca al-Quran di mana-mana, sedangkan hadis yang menyatakan fadilat membaca al-Quran itu sangat banyak.

Kita percaya bahawa bacaan al-Quran adalah sebesar-besar amalan untuk mendapat syafaatnya. Apa yang dapat difahami bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mahu kita hidup menjadi seperti orang yang sudah mati dan berada di perkuburan kerana kita masih boleh membaca al-Quran tetapi mereka di perkuburan tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Oleh yang demikian janganlah kita yang masih hidup menjadi seperti mereka yang sudah meninggal di perkuburan, sunyi sepi sahaja sesuai dengan sabdanya bermaksud: cahayakan (sinari) rumah kamu dengan al- Quran. Adapun mereka yang masih hidup bebas, untuk membaca al-Quran di mana-mana terutama dalam rumahnya supaya al-Quran dapat menyinari hidupnya.

Begitu juga matinya, bila al-Quran dibacakan atas perkuburannya dan dihadiahkan pahala kepadanya. Sedangkan amalan lain seperti sedekah haji istighfar jelas sampai pahalanya, inikan pula bacaan kalam-Nya Yang Maha Tinggi tentu akan dapat membantu dan memberi syafaat kepadanya. Allah selalu umpamakan orang yang mati hati dengan mereka yang sudah mati dalam kubur, juga dengan mereka yang berada di bawah panas terik matahari atau orang buta dan sebagainya.

Begitu juga dalam masalah ini kerana bila kita tidak menghiaskan rumah dengan al-Quran maka Nabi samakan kita dengan orang yang berada di tanah perkuburan sunyi dan sepi sahaja. Oleh itu jangan kamu jadikan rumah kamu (sunyi sepi) seperti tanah perkuburan, bukan ertinya kita dilarang membaca al-Quran di tanah perkuburan. Yang ada dalam hadis tersebut arahan membaca al- Quran. Kita bimbang bagaimana perkara yang digalakkan agama boleh dilarang.

Ada juga yang akan berdalil dengan ayat 28-29 dari surah an-Najmi. Kita katakan bahawa ayat tersebut menyatakan tentang dosa kesalahan seseorang tidak akan dipikul oleh orang lain sesuai dengan firman-Nya seseorang pemikul (bebanan ) itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, sekiranya orang yang berat tanggungannya meminta orang lain untuk membantunya, tidak dapat dipikulnya sedikitpun sekalipun kaum keluarganya, Fatir ayat 18.

Tetapi dalam soal pahala dan rahmat Allah tidak boleh disamakan dengan kemurkaan dan azab-Nya. Firman-Nya bermaksud: siapa yang membawa amalan kebaikan maka diganda 10 kebajikan lagi dan siapa yang mendatangkan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sama dengan kejahatan tersebut (sahaja). (al-Ana‘am 160) dan rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.

Lantaran itulah Imam Bukhari pernah menceritakan bagaimana seorang yang telah membunuh 100 orang mendapat keampunan dari Allah s.w.t. kerana tindakannya untuk bertaubat. Demikian juga wanita jahat yang diampuni-Nya kerana masih tersemat di lubuk hatinya perasaan kasihan belas, sekalipun kepada anjing yang haus di padang pasir lalu diberinya minum air dengan menggunakan kasutnya.

Dan bagaimana pula dengan seorang wanita yang dimasukkan ke neraka kerana menahan kucing mati kelaparan tanpa perasaan belas kasihan dan tidak memberinya sebarang makanan? Allah mengampuni mereka yang dikehendak-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

Sakit gangguan spiritual

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Teman saya mengajar sama sekolah, duduk di meja sebelah saya, mengalami sakit hampir dua tahun, sakit yang begitu terganggu. Beliau selalu bercuti dan tidak dapat menumpukan pengajaran sepenuhnya. Ada kalanya dia ketawa dan senyum bersendirian, seumpama ada kawan dilayan bercakap di sebelahnya. Dalam waktu lain, ia kelihatan termenung berpanjangan, yang berakhir dengan juraian air mata.

Saya memang tidak percaya tentang sakit yang dikaitkan dengan sihir, tetapi apabila teman ini tidak pulih dalam jangka masa yang begitu lama, padahal hospital menyatakan dia tidak sakit, tidak mengalami masalah tekanan, stres, depres dan sebagainya, pemikiran saya beralih kepada punca lain, yang sukar untuk dianalisis. Adakah sakit seperti ini pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.?

– Taruna

Jawapan: Penyakit terbahagi kepada dua, iaitu fizikal dan spiritual. Bagi sistem perubatan moden, masyarakat Barat yang bersifat biology orientation menganggap bahawa penyakit, sama ada berbentuk fizikal atau spiritual merupakan satu tahap nyata atau tersembunyi pada spiritual dan jiwa yang merosakkan kesejahteraan diri seseorang.

Sakit demam juga dikatakan sebagai berpunca daripada faktor-faktor ketegangan, ketidakseimbangan, kecederaan ataupun kerosakan yang dialami oleh pesakit.

Sakit boleh berlaku akibat agen parasit kuman dan sebagainya seperti yang dikemukakan oleh model fisiologik, manakala histeria pula dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor, sebagai adaptasi tekanan emosi dalam bentuk fizikal dan didefinisikan sebagai satu reaksi terhadap tekanan yang dialami. Histeria ataupun gangguan mental juga dikatakan sebagai salah satu jalan yang dipilih bagi melegakan tekanan mental dan jiwa yang ditanggung.

Ia juga boleh terjadi akibat adanya masalah-masalah lama yang mengganggu kesejahteraan jiwa dan mental. Segala-galanya terus terpendam dalam jiwa, minda dan mental, lalu akhirnya mencetuskan tingkah laku histerikal.

Walaupun demikian, biarpun punca-punca histeria yang dijelaskan itu benar dan boleh berlaku, namun terdapat banyak mangsa histeria yang tidak mempunyai latar belakang yang berkaitan dengan faktor-faktor atau punca-punca yang dikemukakan. Hal demikian membuktikan tentang adanya satu faktor lain, selain faktor-faktor yang dijelaskan menyebabkan tercetusnya kelakuan histerikal.

Gangguan seperti ini juga sering berlaku pada waktu-waktu tertentu, ketika peperiksaan hampir tiba, ketika diadakan pendidikan jasmani, selepas latihan sukan dan sebagainya seperti yang berlaku di sekolah-sekolah.

Manakala mereka yang terlibat pula kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita, sama ada pelajar ataupun pekerja kilang. Ini membuktikan bahawa histeria mudah berlaku di kalangan mereka yang lemah semangat ataupun tidak mempunyai kekuatan roh, yang mengalami depresi emosi dan mental. Kaum wanita adalah golongan yang dianggap mempunyai lemah semangat berbanding dengan kaum lelaki.

Histeria ataupun gangguan mental juga boleh tercetus hasil gabungan faktor-faktor fizikal dan ghaib, faktor fizikal dan mental atau gabungan ketiga-tiganya.

Dalam surah al-Baqarah: 275 terdapat firman Allah yang bermaksud: Orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit gila.

Menurut al-Qurtubi, ayat ini merupakan salah satu dalil tentang kesilapan mereka yang mengingkari adanya rasukan jin-jin. Mereka beranggapan rasukan itu hanya tindak balas semula jadi, manakala syaitan tidak berupaya merasuk tubuh manusia.

Al-Hafiz Ibn Kathir pula mentafsirkan bahawa mereka yang melibatkan diri dengan sistem riba tidak berasa tenang. Keadaan mereka seperti orang yang kena rasuk dan selalu meracau. Satu keadaan yang keji lagi buruk. Menurut Al-Alusi pula, perkataan “al- masa” yang terdapat dalam surah al-Baqarah: 275 bermaksud “gila”.

Dinamakan demikian kerana syaitan itu apabila merasuk dan menguasai tubuh manusia itu akan bertindak atau mengganggu yang boleh menyebabkan mangsanya sasau (gila) atau mencetus perilaku histerikal.

Ibn Mas’ud ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya yang bermaksud: Apabila Rasulullah bersembahyang, baginda membaca: Wahai Tuhanku aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan syaitan yang direjam, juga daripada rasukan, daripada godaan dan disihirkan.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahkan sahih serta dipersetujui oleh Adz- Dzahabiy. Turut diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tarmiziy dan An-Nasaiy daripada hadis Abi Said Al-Khudriy.

Rasukan adalah salah satu jenis penyakit gila yang boleh menjejaskan kehidupan seseorang insan. Namun begitu apabila si mangsa pulih, keadaannya akan pulih seperti sediakala sama seperti orang yang bangkit daripada tidur atau sedar daripada mabuk.

Hadis ini boleh dijadikan dalil ataupun hujah wujudnya penyakit akibat rasukan jin terhadap manusia. Rasulullah membaca doa perlindungan (yang bermaksud di atas) untuk mengelakkan daripada terkena penyakit tersebut.

Abi Al-Yasar meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berdoa dengan doa yang bermaksud: Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kerana tua, daripada ditimpa keburukan, kecelakaan, kedukaan, kebakaran serta lemas. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada dirasuk syaitan di saat- saat menghadapi kematian. Lindungilah akan daku daripada ditikam curi (dibunuh), ketika berjihad di jalan-Mu. Dan aku berlindung dengan- Mu daripada mati dipatuk binatang bisa – maksud hadis riwayat Abu Daud dan Am-Nasaiy.

Safiyyah binti Huyyai berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu mampu bergerak dalam tubuh anak adam melalui saluran-saluran darah Muttafaq alayh.

Ubai Ibnu Ka’ab pernah berkata: Ketika aku sedang bersama-sama Rasulullah seorang Badui telah datang menemui baginda lalu berkata:

“Wahai Nabi Allah, aku mempunyai seorang saudara yang sedang dihidapi penyakit.” Rasulullah bertanya apa sakitnya. Lelaki tadi menyatakan:

“Dia terkena sakit sasau.” Lalu baginda menyuruhnya agar membawakan saudaranya itu menemui baginda.

Pesakit dibawa menghadap dan duduk di hadapan nabi. Baginda telah berdoa memohon kesembuhan bagi pesakit tadi, lalu dengan izin Allah, sembuh.

Peristiwa-peristiwa seperti ini banyak tercatat dalam hadis-hadis, membuktikan bahawa sakit seperti ini sememangnya wujud dan pernah berlaku di zaman Rasulullah juga pada zaman sahabat.

Pemahaman atau keyakinan seseorang terhadap punca penyakit itu bergantung kepada ilmu yang dimiliki dan pengalaman yang diharungi. Jelasnya, penyakit sama ada berpunca daripada gangguan fizikal atau spiritual, ia tetap mengganggu kesejahteraan seseorang.

Kemudahan teknologi moden berupaya mengatasi masalah yang berkaitan gangguan fizikal, iaitu dengan adanya hospital, klinik- klinik dan sebagainya yang dikaitkan dengan kepakaran bidang masing-masing. Sakit gangguan spiritul pula dikaitkan dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional, juga mereka yang arif tentang agama.

Sering berlaku sakit yang berkaitan fizikal, dibawa bertemu dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional dikatakan berpunca daripada gangguan, sihir, saka, penunggu dan sebagainya, yang menyebabkan kecelaruan di mana dalam keadaan tertentu usaha-usaha penyembuhan itu melalui laluan yang begitu panjang menyebabkan penyakit menjadi lebih serius dan sukar untuk diselamatkan.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Tidak akan sesat
DARIPADA Abu Umamah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan sesat sesuatu kaum itu selepas mereka berada di atas petunjuk melainkan mereka diberi jadal

(kedegilan) suka berbantah-bantah.

(Riwayat Tarmizi)

Huraiannya:

Dalam hadis ini ,Rasulullah mengingatkan bahawa satu kaum itu setelah mendapat petunjuk tidak akan sesat atau disesatkan lagi sesudah itu melainkan melalui sifat degil dan suka bertengkar sesama sendiri. Masing-masing tidak mahu mengalah dan ingin menegak benang basah.

Kesimpulannya:

Jauhilah sifat keji ini, suka bertengkar dan berbantah-bantah, tidak bertasamuh, toleransi, bersikap degil dan keras kepala. Dalam pergaulan sesama sendiri itulah cara untuk menyelamatkan dari bahaya kesesatan.


Takrifan ahl al'halli wa al-'aqdi menurut ulama

Oleh Abdurrahman Haqqi

Pemilihan pemimpin mesti secara musyawarah, berasaskan kebijaksanaan kendali urusan agama dan dunia

AHL AL-HALLI WA AL'AQDI adalah satu istilah perbendaharaan kata bidang politik dalam kajian fikah Islam yang jarang disentuh perbahasannya. Yang banyak kajiannya dalam fikah Islam adalah istilah khalifah dan khilafah, imam dan imamah, amir dan imarah, ra'i (pemimpin) dan ra'iyyah (rakyat). Satu lagi istilah yang senasib dengan ahl al'halli wa al-�aqdi ialah bai'ah (janji taat setia).

Oleh kerana kurang kajian mengenainya, maka sebagai contoh, dalam Kamus Dewan pun kita tidak mendapat maklumatnya. Yang kita temui ialah "ahli II, ahlil, ahlu, ahlul kaum; ... bait; ... kitab; ... kubur; ... nujum; ... suluk; dan ... sunnah (waljamaah)."

Ini berlainan dengan perkataan khalifah, khilafah, imam, amir dan ra'iyyah (raiat) yang dengan mudah kita temui maklumatnya kerana ia sudah menjadi kata-kata yang digunakan sehari-hari. Perwakilan dalam tulisan ini adalah seperti yang ditakrifkan Kamus Dewan dalam maklumat 'perwakilan' nombor 3 yakni "wakil, majlis wakil-wakil, tempat wakil-wakil: dewan (majlis) perwakilan rakyat," termasuk di dalamnya perwakilan parti politik yang menghadiri mana-mana mesyuarat agungnya.

Dalam sejarah pemerintahan Islam klasik sejak zaman Nabi Muhammad SAW hingga jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah, kita tidak memerhatikan dengan saksama dan teliti peranan ahl al'halli wa al-'aqdi dalam perjalanan roda pemerintahan masing-masing. Dalam pemerintahan Islam moden dan pascamoden kita tidak menyedari peranan ahl al'halli wa al-'aqdi dalam perjalanan roda pemerintahannya.

Kerajaan Islam dengan pelbagai sistem pemerintahannya boleh kita lihat dalam sketsa sejarah berikut: pemerintahan Nabi di Madinah (1-10 Hijrah); pemerintahan Khulafa Rashidin (11-39 Hijrah) di Madinah dan Kufah dengan empat orang khalifah; pemerintahan Khilafah Umayyah (40-132 H/661-750M) di Damsyik dengan 14 orang khalifah dan pemerintahan Khilafah Umayyah di Sepanyol (750-1492M) dengan 57 orang khalifah; pemerintahan Khilafah Abbasiyyah (132-656H/750-1258M) di Baghdad dengan 37 orang khalifah; pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah (1299-1922M) di Istanbul dengan 37 orang khalifah. (TP Hughes, Dictionary of Islam, 266-9)

Dari segi bahasa, ahl al'halli wa al-'aqdi mempunyai pengertian 'orang yang mempunyai kuasa untuk melonggarkan dan mengikat.' Menurut Dr Al-Rayis, istilah ini dirumuskan ulama fikah untuk panggilan bagi orang yang bertindak sebagai wakil umat untuk menyuarakan hati nurani mereka. Tugasnya antara lain memilih khalifah, imam, ketua negara secara langsung. Oleh itu, ahl al'halli wa al-'aqdi juga disebut oleh al-Mawardi sebagai ahl al-ikhtiyar (golongan yang berhak memilih).

Paradigma pemikiran ulama fikah merumuskan istilah ahl al'halli wa al-'aqdi didasarkan pada sistem pemilihan empat khalifah pertama yang dilaksanakan oleh tokoh sahabat yang mewakili dua golongan, Ansar dan Muhajirin. Mereka ini oleh ulama fikah dianggap sebagai ahl al�halli wa al-'aqdi yang bertindak sebagai wakil umat.

Walaupun sesungguhnya pemilihan itu, khususnya pemilihan Abu Bakar dan Ali bersifat spontan atas dasar tanggungjawab umum terhadap kelangsungan perpaduan umat dan agama. Namun, kedua-dua tokoh itu mendapat pengakuan umat. Dalam hubungan ini adalah tepat definisi yang dikemukakan Dr Abdul Karim Zaidan. "Ahl al'halli wa al-'aqdi ialah orang yang berkecimpung secara langsung dengan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada mereka. Mereka menyetujui pendapat wakil itu kerana ikhlas, konsekuen, takwa, adil dan kecemerlangan fikiran serta kegigihan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyatnya." (Rujuk JS Pulungan, Fiqh Siyasah�, 66-67)

Berdasarkan daripada huraian di atas dapat disimpulkan ahl al'halli wa al-'aqdi adalah suatu institusi pemilih. Ahli-ahlinya berkedudukan sebagai wakil rakyat, dan satu daripada tugasnya memilih khalifah atau pemimpin negara.

Bagaimanapun, kesimpulan di atas masih abstrak. Oleh itu, masih perlu kajian yang lebih konkrit (nyata) lagi mengenai kelompok masyarakat yang mana saja boleh dikategorikan sebagai ahl al'halli wa al-'aqdi. Apa syaratnya, bagaimana hubungannya dengan rakyat dan mekanisme apa digunakan untuk menjadi seorang ahl al�halli wa al-�aqdi.

Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyebut bahawa ahl al�halli wa al-'aqdi adalah ulama, ketua dan tokoh masyarakat sebagai unsur masyarakat yang berusaha mewujudkan kemaslahatan rakyat. Menurut Muhammad Abduh ulul amri dan ahl al�halli wa al-'aqdi adalah sama. Ketika mentafsirkan ayat 59 Surah al-Nisa beliau berkata: "Golongan ahl al'halli wa al-'aqdi daripada kalangan orang Muslim. Mereka itu adalah amir, hakim, ulama, pemimpin tentera, dan semua penguasa dan pemimpin yang dijadikan rujukan oleh umat dalam masalah keperluan dan kemaslahatan awam." (Dalam Tafsir al-Manar, 81)

Justeru, ahl al'halli wa al-'aqdi terdiri daripada pelbagai kelompok sosial yang memiliki kemahiran dan kepakaran yang berbeza sama ada kalangan pegawai kerajaan mahupun bukan yang biasa disebut sebagai pemimpin formal dan pemimpin informal.

Ahl al'halli wa al-'aqdi disyaratkan oleh al-Mawardi mesti berlaku adil dalam segala sikap dan tindakan, berilmu pengetahuan, memiliki wawasan, kearifan dan kebijaksanaan.

Walaupun hubungan ahl al'halli wa al-'aqdi dengan rakyat adalah hubungan perwakilan di mana mereka mewakili rakyat dalam melaksanakan haknya untuk memilih pemimpin negara, tetapi dalam kajian fikah tidak dibahas bagaimana perwakilan itu terjadi. Apakah mereka dipilih rakyat atau ditunjuk oleh khalifah?

Pada zaman nabi, ahl al'halli wa al-'aqdi adalah sahabat yang diserahkan tugas keamanan, pertahanan serta tugas-tugas lain yang berkaitan dengan kemaslahatan awam; tokoh sahabat yang sering diminta nasihatnya, mereka yang pertama memeluk Islam; mereka yang memiliki kecerdasan dan pandangan luas serta menunjukkan pengorbanan dan kesetiaan yang tinggi terhadap Islam; dan mereka yang berjaya dalam melaksanakan tugasnya sama ada daripada kaum Ansar mahupun Muhajirin.

Dalam kisah Ratu Balqis yang menyerahkan diri kepada Nabi Sulaiman AS kita mengetahui bagaimana ahl al'halli wa al-'aqdi mempunyai peranan penting dalam mempertahankan negara dan keutuhan rakyat. Al-Quran mengisahkan maksudnya: "Raja perempuan itu berkata: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya." Mereka menjawab: "Kita adalah orang yang kuat gagah, dan amat berani menghadapi peperangan; dan perkara itu (bagaimanapun) terserah kepadamu; oleh itu, fikirkan apa yang engkau hendak perintahkan.� (Surah al-Naml: 32-33)

Nabi Sulaiman kemudian merujuk ahl al'halli wa al-'aqdi ketika Baginda ingin membawa singgahsana Ratu Balqis. Al-Quran menyatakan maksudnya: "Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsana sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam." (Surah al-Naml: 38)

Bahkan Allah SWT, Yang Maha Pencipta pun memberikan pengajaran kepada kita mengenai golongan ahl al'halli wa al-'aqdi ini di langit. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata: "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah: 30)

Dalam konteks pemerintahan Islam moden, institusi ahl al'halli wa al-'aqdi dengan pelbagai corak ragamnya sememangnya wujud dalam semua peringkat kepemimpinan dan organisasi demi melaksanakan prinsip musyawarah yang diperintahkan al-Quran dan dianjurkan Rasulullah SAW. Sistem ini berjalan dengan baik dan terbukti mewujudkan kestabilan dalam negara. Dalam hal ini Islam tidak menentukan metod atau cara tertentu bagi memilih pemimpin. Yang menjadi dasar ialah adanya unsur pemilihan dan musyawarah dan seorang pemimpin itu bukan saja perlu dipilih, tetapi juga dipertimbang dari segi kualiti dan kelayakan kepemimpinannya. Menurut ajaran Islam seorang pemimpin mempunyai dua fungsi utama iaitu bagi memelihara agama Islam dan mengurus dengan bijak urusan keduniaan.

Pada hakikatnya dalam sistem ahl al'halli wa al-'aqdi pemimpin dan perwakilan mempunyai persamaan, pemimpin adalah wakil dan wakil adalah pemimpin. Kehebatan pemimpin boleh dilihat daripada kehebatan kedua-duanya. Dengan kehebatan kedua-duanya maka akan hebat pula bangsa, negara dan umat.

Ada kisah menarik mengenai perkara ini yang berlaku pada zaman Saidina Ali Karramallahu wajhah. Ketika itu beliau dipersalahkan di atas keadaan huru-hara pada zaman pemerintahannya sehingga beliau dikritik sesetengah ahl al-halli wa al-'aqdi: "Mengapa pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar tidak pernah ada kekacauan seperti ini?" Beliau membela diri: "Kerana pada masa itu yang menjadi pemimpin adalah Abu Bakar dan Umar, manakala yang menjadi umatnya adalah saya. Sedangkan sekarang menjadi kacau seperti ini, saya pemimpinnya dan umatnya seperti kamu. Maka, kita memperbetulkan kesilapan diri, umat atau pemimpinnya? Saya sudah berbuat begini, tetapi jangan-jangan umatnya tidak seperti dulu ketika saya menjadi umat. Kita harus memperbetulkan kesilapan diri." Wallahu a'lam.