Peguam Syarie Menulis: 'Perosak' rumah tangga boleh didakwa
Dalang keretakan hubungan suami isteri rakan kepada Iblis Dasim
KEHADIRAN orang ketiga dalam rumah tangga mungkin daripada kalangan ahli keluarga sendiri, membabitkan campur tangan ibu bapa, mentua, adik beradik atau orang luar adalah sebahagian faktor penyebab keruntuhan rumah tangga.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam satu kenyataan mengakui kehadiran orang ketiga sering kali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.
Walaupun orang ketiga bukan punca utama perceraian, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat oleh LPPKN pada 2004, menunjukkan 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.
Perbuatan memecah-belah atau menjadi dalang punca berlakunya perceraian sebenarnya adalah perbuatan dosa dan maksiat serta boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah.
Perbuatan memutuskan silaturahim sesama Muslim adalah amalan masyarakat Arab jahiliah. Apabila Islam muncul, Baginda Nabi Muhammad SAW membawa perspektif baru, menyeru manusia supaya menjaga silaturahim.
Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang biak lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." � (Surah An-Nisa', ayat 1)
Allah menyeru seluruh umat manusia tanpa memandang agama, suku, ras, warna kulit, bangsa atau keturunan, supaya bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Allah menciptakan manusia dari ayahanda dan bonda yang satu, iaitu Nabi Adam dan Hawa, maka Allah menyeru manusia untuk menyambung silaturahim serta dilarang memutuskannya.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu, dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya." � (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Tindakan memutuskan silaturahim antara suami isteri diperuntukkan sebagai suatu kesalahan jenayah dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah setiap negeri.
Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 - Akta 559) memperuntukkan: "Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengannya apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh memerintahkan perempuan itu supaya kembali kepada suaminya."
Seksyen 37 akta yang sama memperuntukkan: "Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah."
Selanjutnya, Seksyen 38 akta yang sama memperuntukkan: "Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana lelaki atau perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."
Kesalahan itu tergolong dalam kategori kesalahan boleh tangkap menurut akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, iaitu kesalahan yang lazimnya boleh ditangkap Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) atau pegawai polis tanpa waran.
Memandangkan kesalahan itu adalah mengikut kesalahan jenayah syariah, maka maklumat mengenai kesalahan itu hendaklah dibuat kepada PPA. PPA kemudian akan menjalankan siasatan, bertujuan menentukan sejauh mana kebenaran sesuatu maklumat itu.
Ia bagi mengelakkan berlaku penganiayaan atau tohmah dan sebagainya. Sebanyak mana bukti atau keterangan diperlukan akan diambil, untuk menentukan seseorang itu melakukan kesalahan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil mengikut undang-undang.
Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes di Mahkamah Syariah, tidak pernah dilaporkan atau terdengar kesalahan Seksyen 36, 37 atau 38 ini didakwa di Mahkamah Syariah. Kemungkinan tidak ada aduan dibuat, kerana tindakan PPA adalah berdasarkan maklumat dan aduan.
Kemungkinan juga kes yang diadukan tidak kukuh dan tidak cukup bukti. Kemungkinan juga aduan hanya tinggal aduan. Kajian terperinci perlu dijalankan mengenainya, sebelum apa-apa rumusan dibuat. Walau apa pun, hukum syarak sudah jelas dan undang-undang termaktub.
Orang yang menjadi dalang permusuhan dalam rumah tangga ini sebenarnya adalah rakan kepada iblis yang digelar Iblis Dasim, tugasnya mempengaruhi, menggoda, mendorong suami isteri supaya melakukan penyelewengan, akhirnya berlaku perceraian.
Apabila berlaku perceraian, maka akan mudah bagi iblis Dasim mengajak suami isteri tadi melakukan kemaksiatan, seperti zina dan khalwat. Iblis Dasim sangat benci kepada rumah tangga yang rukun dan bahagia.
Sesungguhnya al-Quran sudah memberi amaran kepada kaum Muslimin supaya jangan mengikuti langkah Iblis menyesatkan melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." � (Surah al-An'am, ayat 142)
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago