Wednesday, July 1, 2009
AGAMA : RABU 01 JULAI 2009
Perginya tokoh Islam tersohor Dr. Fathy Yakan
PADA 13 Jun lalu, bukan hanya dunia Islam malah seluruh duniasebenarnya kehilangan sebutir bintang. Bintang yang sinarnya selama initidak sahaja sebagai penghias malam yang kelam malah memberikan banyakpanduan terutama dalam menjayakan gerakan dakwah Islamiah dan perpaduanumat Islam.
Integrasi sosial Perkim di pedalaman Sarawak
PERTUBUHANKebajikan Islam Malaysia (Perkim) terus melebarkan program dakwahnya.Kali ini melalui program kebajikan sosial di Perkampungan Ulu Simunjan,Perkampungan Sungai Buluh di Serian, Perkampungan Rayang dan Rodan diPedawan, Kuching, Sarawak.
Harus pelihara anjing dengan bersebab
SOALAN: Apakah hukum bagi orang Islam memelihara anjing?
Peguam Syarie Menulis: Rujuk majlis isu tukar agama tindakan bijaksana
KELMARIN,Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama dua setengah jam di Istana Negaramemutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam negeri diperolehterlebih dulu berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitanpenukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam(Wilayah Persekutuan).
Ilmuwan Islam wajar melestari teknologi canggih
BERKURUN lalu, ilmuwan Islam yang lahir selepas pemerintahan Khalifahyang empat, ketika pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiahmengangkat tamadun Islam sebagai yang terbaik di dunia hingga menjadiasas kepada perkembangan teknologi mutakhir.
Bersama YaPEIM: Ummah gagal terjemah nilai ajaran dalam kehidupan harian
UMAT Melayu/Islam seharusnya mampu 'menangkap' saat strategik dalamsejarah rantau ini dengan menjadi peserta kebangkitan Asia. Untuk ituagenda penciptaan semula budaya seperti disarankan Yoshihara Kunioadalah relevan.
Perginya tokoh Islam tersohor Dr. Fathy Yakan
|
|
PADA 13 Jun lalu, bukan hanya dunia Islam malah seluruh dunia sebenarnya kehilangan sebutir bintang. Bintang yang sinarnya selama ini tidak sahaja sebagai penghias malam yang kelam malah memberikan banyak panduan terutama dalam menjayakan gerakan dakwah Islamiah dan perpaduan umat Islam.
Bintang tersebut merupakan tokoh besar, Dr. Sheikh Fathy Yakan yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di sebuah hospital di Beirut, ibu negara Lebanon atas masalah kesihatan pada pagi Sabtu yang hening itu.
Seorang tokoh besar Islam yang tidak asing lagi, terutama hasil karya besarnya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam? Buku itu adalah salah satu daripada 35 penulisan besar Allahyarham yang menjadi rujukan penting kepada kepada dunia.
Dilahirkan di Tripoli, Libya pada tahun 1933, Allahyarham banyak memberikan corak baru perjuangan gerakan-gerakan dakwah dan politik Islam yang dapat diterima oleh pelbagai pihak di samping seorang ahli cendekiawan atau ahli akademik muslim yang ternama.
Sejak tahun 1959 lagi beliau mengasaskan gerakan politik di Lebanon sehingga beliau mendapat gelaran Bapa Gerakan Islam Lebanon. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, beliau masih menganggotai parlimen di negara asalnya itu.
Dr. Fathy banyak menghasilkan penulisan mengenai aliran politik dari yang moden sehinggalah yang berbentuk ekstremis. Judul yang mendapat sambutan dunia sehingga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa adalah Priorities of Islamic Movements after September 11.
Allahyarhamlah yang paling kerap terpanggil ke serata pelosok tempat untuk menjawab segala tuduhan terhadap Islam sebagai agama keganasan akibat tragedi yang menimpa Pusat Dagangan Dunia New York (WTC) pada tahun 2001 itu.
Dr. Fathy merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Gamaah (Jemaah) Islamiah pada tahun 1960-an dan komitednya beliau dalam pertubuhan itu sehingga pada tahun 1992, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.
Selepas bersara, beliau menumpukan tugas sebagai Anggota Parlimen berikutan kemenangan dalam pilihan raya.
Pemergian beliau benar-benar satu kehilangan besar kerana jarang kedapatan mana-mana tokoh yang sanggup menghabiskan seluruh hidupnya, fizikal, jiwa dan rohani dengan tertumpu kepada perjuangan Islam.
Allahyarham terkenal kerana menggesa kepada satu gerakan Islam yang moden dengan pemikiran dan aliran yang toleransi terutama kepada golongan yang muda.
Walau dalam keadaan yang uzur, beliau sering berasa bimbang dengan golongan muda yang baginya mudah terpengaruh kepada pelbagai unsur. Adalah penting baginya untuk membentuk golongan ini kepada yang lebih positif namun mencapai kejayaan dalam gerakan yang mereka sertai.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tinal dan dikebumikan di pusara milik keluarganya di Bab Al Raml. Upacara pengkebumian tokoh Islam ini dihadiri oleh beribu-ribu umat Islam dari seluruh pelosok tempat sejurus berita kematiannya tersebar. Sehingga kini ucapan takziah masih mencurah-curah diterima oleh keluarga arwah.
Penulisan terkenal arwah yang menambahkan lagi kekayaan khazanah dan gedung-gedung ilmu, antaranya:
*The Problems of Da'wah and Du'ah,
*How to Call for Islam?
*Towards a Unified International Call for Islam
*What Does My Commitment to Islam Mean?
*Movements and Doctrines in the Balance of Islam
*Comprehension in the Life of Da'wah and Du'ah
*Towards an Islamic Awakening of the Era
*Methods of Islamic Adaptation in the 20th Century
*Islam -Ideology, Movement and Rebellion
*Youth and Change
*Those Left behind on the Path of Da'wah
*The Preliminaries of the Activist Concept in Islamic Work
*Critical Issues in the Islamic Experience.
Mujur kepada umat Islam hari ini kita masih boleh menghayati dan mengambil manfaat hasil-hasil karya besar Dr. Fathy ini walaupun selepas pemergian Allahyarham.
Antara yang sempat diambil dengan kenyataan beliau semasa menjawab soalan para pengunjung laman web terkenal, Islam Online:
"Walau bagaimanapun, kesan dari tragedi serangan 9 September 2001, Islam menjadi tumpuan dan minat kalangan masyarakat Barat untuk mengenali agama itu dengan lebih dekat lagi.
"Statistik terkini menunjukkan minat terhadap Islam telah berkembang berlipat kali ganda dengan berjuta-juta naskhah al-Quran terpaksa dicetak dan begitu juga buku-buku mengenai Islam terjual dengan begitu laris di pasaran.
"Apa yang lebih menakjubkan dari peristiwa yang mengejutkan itu dan dari kempen-kempen anti Islam, lebih 10,000 penduduk United Kingdom memeluk Islam dan begitu juga 3,000 orang dari penduduk Mexico memeluk Islam dan beratus-ratus lagi dari kalangan Hindu dan Buddha juga meninggalkan agama mereka untuk memeluk Islam. Semua ini berlaku selepas kejadian 9/11, Subhanallah," kata Allahyarham.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke arah roh Allahyarham.
Integrasi sosial Perkim di pedalaman Sarawak
|
|
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) terus melebarkan program dakwahnya. Kali ini melalui program kebajikan sosial di Perkampungan Ulu Simunjan, Perkampungan Sungai Buluh di Serian, Perkampungan Rayang dan Rodan di Pedawan, Kuching, Sarawak.
Aktiviti yang diadakan dengan kerjasama Harakah Islamiah (Hikmah) dan Perkim Cawangan Damansara Utama itu berlangsung pada 4 hingga 22 Jun 2009.
Program yang dinamakan 'Integrasi Sosial Bersama Masyarakat Kampung Pedalaman Sarawak' ini berjalan lancar. Ia juga menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Bidayuh dan Iban di kampung berkenaan.
Melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kelab Perkim Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Foster Home Perkim dan juga dari Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Ulu Simunjan, Sungai Buluh, Rayang dan Rodan sendiri, banyak pengisian menarik berjaya diadakan sepanjang program.
Menurut Pengarah Program yang juga Ketua Unit Penyelarasan Perpaduan & Mubaligh Perkim, Nik Mohd. Nizam Mohd. Nasir, aktiviti itu pada dasarnya adalah untuk membawa imej Islam kepada masyarakat di pedalaman Sarawak melalui pendekatan perpaduan kaum dan keharmonian sosial.
"Melalui pelbagai bentuk kerja kemasyarakatan, pendidikan, amal kebajikan dan sosial yang boleh membawa kepada kesefahaman kemesraan, persahabatan dan persaudaraan bersama masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Ini supaya segala prejudis dan salah sangka terhadap Islam dapat terhapus dan kehadiran Islam dapat diterima secara baik," jelas beliau.
Aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat. Seramai 75 pelajar Kelab Perkim IDIP, UDM dan Foster Home dijadikan anak angkat penduduk kampung.
Ia bertujuan mewujud dan menjalin hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat mereka untuk jangka masa panjang.
Selain bantuan dari aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, peserta juga diminta mempraktikkan sifat prihatin kepada keluarga angkat mereka dalam semua aspek termasuk kebersihan, gotong-royong, keceriaan, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.
Sementara itu, Perkim menghadiahkan sebuah generator kepada penduduk kampung Rodan di Pedawan yang selama ini terpaksa bergelap ketika malam hari.
Ini kerana generator yang sedia ada telah rosak dan hanya menunggu sumbangan dari pihak-pihak tertentu.
Para peserta juga menimba pengalaman baru antaranya menikmati makanan tradisi masyarakat kampung seperti nasi buluh, paku-pakis dan rebung.
Majoriti penduduk di sini bekerja menanam padi bukit, mencari herba, kayu, berburu dan hasil kelapa sawit.
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan. Antaranya, motivasi kanak-kanak dan remaja, pertandingan penghayatan Islam merangkumi kuiz, mengaji al-Quran, pertandingan azan, membaca puisi dan juga karaoke nasyid.
Pertandingan sukaneka, bolasepak, boling kelapa, bola tampar, lari dalam guni, belon air dan mencari gula-gula dalam tepung turut diadakan.
Majlis penutup program selama 20 hari itu dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.
Harus pelihara anjing dengan bersebab
SOALAN:
Apakah hukum bagi orang Islam memelihara anjing?
JAWAPAN:
Memelihara anjing adalah harus dan pemelihara perlu menjaga kebajikannya untuk tujuan-tujuan yang berikut:
1. Anjing yang dilatih (anjing terlatih) untuk kerja-kerja memburu.
2. Anjing terlatih untuk kegunaan tugas-tugas polis.
3. Anjing terlatih untuk menjaga rumah, kebun atau ladang.
4. Anjing terlatih untuk digunakan oleh penternak atau peladang untuk kerja-kerja menggembala binatang ternakan
5. Membela anjing terlatih sebagai jurupandu. Ini mungkin diperlukan oleh orang buta untuk memberi khidmat yang diperlukannya. Tetapi masih perlu ditempatkan berasingan daripada kediaman tuannya .
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Darqutni dan Hakim dinyatakan pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.
Bila ditanya, baginda menjawab dalam rumah mereka ada anjing, sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Apabila ditanya, baginda menjawab "kucing itu tidak najis".
Sahabat mengambil faham daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang mengenai najis.
Menurut Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi, hukum membela anjing sebagai hobi adalah haram. Antara alasan fuqaha seperti Ibnu Hajar ialah:
i. Menakut-nakutkan jiran, orang lalu lalang dan tetamu.
ii. Berkurang pahala pemelihara. Nabi bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternakan, maka setiap pahalanya berkurangan satu qirath. (Bukhari dan Muslim)
iii. Malaikat enggan masuk ke rumah.
iv. Tabiat anjing suka menjilat dan kenajisan mughallazah pada jilatannya menyebab kesukaran pemeliharaannya. Cara menyucikan najis mughallazah ialah menyamaknya dengan tujuh kali air, dan salah satu air tersebut bercampur tanah.
*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Peguam Syarie Menulis: Rujuk majlis isu tukar agama tindakan bijaksana
Oleh Musa Awang
Keputusan selaras tugas penting mengurus, beri nasihat, perundangan berkaitan Islam
KELMARIN, Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama dua setengah jam di Istana Negara memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).
Mesyuarat yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing ketika berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.
Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau mendapatkan hak penjagaan anak. Jemaah Menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak tidak bersalah terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.
Majlis Raja-Raja mempunyai peranan besar dalam Sistem Raja Berperlembagaan di negara kita. Majlis Raja-Raja adalah suatu majlis unik kerana ia satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.
Menyorot sejarah penubuhan Majlis Raja-Raja pada 1948, ia sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang sebelum itu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).
Mesyuarat Durbar kali pertama diadakan di Kuala Kangsar pada 1897. Majlis itu dianggotai empat raja dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, yang dipengerusikan Pesuruhjaya Tinggi British.
Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud Istana Raja, dan juga bermaksud perjumpaan umum yang diadakan oleh Raja-Raja atau gabenor atau wizurai British di India pada masa dulu.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali pertama diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948, yang dihadiri semua sembilan Raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja dikanunkan mengikut Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan.
Fungsi dan tugas Majlis Raja-Raja adalah seperti dalam Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan:
# Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan jadual ketiga Perlembagaan Persekutuan;
# Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
# Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
# Melantik anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan;
# Memberi ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respit), atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Raja-Raja juga boleh menimbangkan soal mengenai dasar negara dan apa juga perkara lain yang difikirkannya patut. Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara mengenai dasar negara, ia hendaklah disertai Perdana Menteri, Raja, Yang Dipertua Negeri disertai Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja juga hendaklah diminta buah fikirannya sebelum dibuat sebarang perubahan dasar mengenai tindakan pentadbiran mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta hak kaum lain.
Majlis Raja-Raja juga mempunyai kuasa menurut budi bicara mereka dalam urusan berhubung:
# Memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;
# Memberi nasihat mengenai pelantikan ditetapkan Perlembagaan;
# Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja;
# Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
# Pelantikan anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182; atau
# Pemberian ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respite), atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melihat tindakan Majlis Raja-Raja untuk merujuk dan mendapatkan pandangan Majlis Agama Islam berhubung keputusan Kabinet membuat peraturan pertukaran agama adalah tindakan bijaksana.
Ia kerana keputusan yang bakal dibuat itu pasti akan membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, perkauman, termasuk institusi kekeluargaan seperti pembubaran perkahwinan, agama anak, hak penjagaan dan nafkah anak serta nafkah isteri.
Keputusan Majlis Raja-Raja juga bertepatan dengan seruan Allah yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nahl, ayat 43)
Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan mengikut peruntukan Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berfungsi dan bertanggungjawab menolong serta menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, dalam perkara berkaitan agama Islam.
Majlis Agama Islam juga bertanggungjawab memastikan pengurusan dan perjalanan hal ehwal Islam di negeri pada landasan yang betul, mempertingkatkan dan meneguhkan sosio-ekonomi umat Islam, memastikan harta Islam terpelihara, berkembang dan membangun sesuai menurut tuntutan syarak serta memastikan semua orang Islam mengeluarkan zakat.
Di samping Majlis Agama Islam Negeri, Majlis Raja-Raja juga boleh mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997, mengambil peranan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (Baheis) atau Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia, yang idea penubuhan asalnya adalah cetusan dari Majlis Raja-Raja pada 1968.
Dua tugas penting Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ialah membincang, menimbang dan menguruskan sebarang perkara dirujukkan kepada majlis oleh Majlis Raja-Raja, mana-mana kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran.
Kedua, memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri berkaitan perundangan atau pentadbiran agama Islam atau pelajaran agama Islam dengan tujuan membaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran.
Fungsi asal Jakim untuk memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam, kemudian berkembang sebagai badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara sebagai negara Islam yang makin kukuh serta mendapat perhatian dunia antarabangsa.
Nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam terbabit secara langsung dalam permasalahan itu tidak harus dipandang sepi. Barangkali segala kelemahan pada peringkat akar umbi mampu diketengahkan di samping mengutarakan syor baru lebih bernas demi kepentingan semua pihak.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://peguamsyarie.org.
Ilmuwan Islam wajar melestari teknologi canggih
Oleh Abdul Razak Idris
Blog pemikir harus diwujudkan untuk berdakwah kepada ummah dalam dunia siber
BERKURUN lalu, ilmuwan Islam yang lahir selepas pemerintahan Khalifah yang empat, ketika pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiah mengangkat tamadun Islam sebagai yang terbaik di dunia hingga menjadi asas kepada perkembangan teknologi mutakhir.
Pada zaman yang dikenali zaman keagungan Khalifah Ar-Rasyidun, teknologi Islam berkembang pesat di Andalusia, Sepanyol dan kesan ciptaan itu masih boleh dilihat sehingga kini. Selain itu, tamadun Islam turut berkembang maju di Turki sehingga sebesar-besar masjid tidak memerlukan kita untuk memasang sistem audio moden bagi melaungkan azan.
Zaman siber ini, umat Islam dilihat sebagai masyarakat pengguna nombor satu. Tidak kira di Asia Barat atau Asia Tenggara, umat Islamlah yang menjadi pengguna paling setia peralatan elektronik buatan barat, timur mahupun China.
Jika ada statistik dibuat, pengguna semua produk hasil teknologi barat adalah kalangan masyarakat Islam. Soalnya tidakkah kita tidak teruja untuk menjadi perintis teknologi era baru berasaskan agama Islam yang syumul.
Jika Al-Jabir dan Al Khawarizmi masih ada, pasti mereka berasa usaha untuk ummah tidak dihargai oleh umat Islam. Amat menyedihkan kerana walaupun kita memiliki prasarana dan hasil kajian diiktiraf dunia, ia masih tidak dikomersialkan dengan alasan teknologi luar lebih murah dan menguntungkan.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menjadi gergasi teknologi dan usaha ke arah itu sudah diadakan sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kita sudah ada pusat pentadbiran yang gah di Putrajaya begitu juga bandar teknologi Cyberjaya yang sedang dimajukan sejak hampir 15 tahun lalu. Pusat teknologi itu sepatutnya digembleng menjadi pusat teknologi Islam yang menempatkan sekolah pemikir ilmuwan Islam yang mewariskan umat Islam dengan cabang dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, kejuruteraan, matematik, sains dan pembinaan.
Teknologi Islam bukan bermakna hanya orang Islam yang wajib mengamalkannya, malah penganut agama lain boleh turut mengamalkannya. Dewasa ini, teknologi komunikasi canggih seperti telefon bimbit masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk orang Islam.
Contohnya, bagaimana telefon bimbit mampu menjadi tasbih sebagai alat pengira untuk zikir di sejadah dan di mana saja. Walaupun ada teknologi yang mampu merealisasikan fungsi sedemikian, ia dianggap teknologi yang perlu dipertingkatkan dan bukan fungsi asas.
Oleh itu, pengguna Islam perlu berkempen agar alat canggih seperti telefon dilengkapkan dengan butang mengira zikir yang mampu menggalakkan pengguna Islam beribadat sepanjang masa. Contohnya, untuk mengisi masa ketika tersekat dalam kesesakan atau sedang menunggu tren.
Alat Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) menjadi sistem berguna hari ini dan sudah dikomersialkan di pasaran dunia. Sesungguhnya teknologi ketenteraan seperti internet yang dibangunkan barat semasa perang dingin antara AS dan Russia kini menjadi teknologi untuk seluruh umat manusia.
Bagi masyarakat Islam, jika menghayati ajaran Islam itu sendiri kita akan menjadi umat yang kuat kepada pemantapan pelaksanaan ilmu dan bukan sekadar menjadi pencetus idea atau peniup wisel semata-mata.
Teknologi komunikasi seperti internet perlu digunakan oleh pihak yang mempunyai kuasa mentadbir umat Islam untuk menerangkan Islam secara lebih jelas tanpa selindung lagi demi memulihkan imej Islam pasca 9 September 2001.
Islam adalah cara hidup dan mementingkan perdamaian sesama seagama dan penganut agama berlainan. Islam hari ini dilihat sebagai alat untuk menjustifikasikan sesuatu perkara dengan dalil serta hujah politik yang asyik meletakkan kesalahan pada bahu orang lain tanpa mencermin diri sendiri.
Hanya dengan pendedahan di internet anak muda akan tahu yang mana intan dan kaca. Blog pemikir Islam harus diwujudkan segera dan kita perlu menjadi perintis usaha ini. Beribadat dan berdakwah di masjid sudah biasa, apa salahnya berdakwah kepada anak muda di dunia siber pula.
Walaupun angkasawan pertama negara kita sudah ke angkasa lepas, kita sebenarnya masih ketinggalan jauh dari segi prasarana seperti yang ada di Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) dan di Baikonur, Kazakhstan, yang menjadi tempat pelepasan angkasawan pertama Yuri Gagarin.
Satelit terbaru negara, RazakSat yang bakal ke angkasa tidak lama lagi ini selepas ditangguhkan akibat masalah teknikal juga boleh dibanggakan kerana teknologinya dibangunkan oleh syarikat ATSB di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang memiliki jurutera di kalangan umat Islam.
Ini amat membanggakan sebagai pencapaian teknologi negara Islam yang wajar dicatatkan dalam sejarah negara. Apatah lagi RazakSat bukan sekadar satelit biasa, ia adalah satelit dengan teknologi alat pengesan jauh sama seperti TiungSat-1 yang dilancarkan pada 26 September 2000.
Teknologi Islam perlu dilestarikan kerana zaman ini anak muda mudah leka dengan dunia teknologi tanpa ada inisiatif untuk mendekatkan diri dengan sumber Islam. Kita sedar teknologi canggih hari ini sudah diasaskan oleh orang Islam suatu ketika dulu dan kita jarang insaf dengan keadaan itu.
Malang sebenarnya kerana pakar dan profesional lebih berminat berpolitik tanpa mengambil inisiatif membudayakan teknologi Islam. Umat Islam dikatakan sebagai buih-buih di lautan pada akhir zaman kerana jumlah kita hampir separuh penduduk dunia.
Tetapi, mengapa masih lagi menjadi pengguna teknologi bukan Islam dan kurang memperkasakan teknologi Islam yang canggih. Mungkin kerana sesama umat Islam agak berat bekerjasama dan itulah sebabnya.
Bersama YaPEIM: Ummah gagal terjemah nilai ajaran dalam kehidupan harian
UMAT Melayu/Islam seharusnya mampu 'menangkap' saat strategik dalam sejarah rantau ini dengan menjadi peserta kebangkitan Asia. Untuk itu agenda penciptaan semula budaya seperti disarankan Yoshihara Kunio adalah relevan.
Perlu ditegaskan bahawa budaya pada hakikatnya adalah nilai dihayati dan dijelmakan dalam rupa amal nyata. Dalam konteks umat Melayu, nilai dasar budayanya tidak lain, dan tidak boleh lain daripada nilai bersumberkan agama Islam.
Wacana bernada meremehkan kekuatan nilai Islam seperti sering terungkap dalam tulisan orientalis seharusnya dianggap sebagai kekarutan masa lalu. Bryan S Turner dalam sanggahannya terhadap tulisan Weber (yang meremehkan nilai Islam) menyatakan bahawa Islam banyak berkembang di kota, bersifat komersial dan penganutnya pandai tulis baca.
Makkah terletak secara strategik pada jalur perdagangan antara Laut Tengah dengan Samudera India. Kaum Quraisy, suku Rasul sendiri mencapai kedudukan politik yang penting sekali, berkat kekuatan perdagangan mereka di daerah ini.
Rasul sendiri pernah bekerja dengan kafilah yang mengangkut barang dari Bizantium ke pasar di Makkah. Al-Quran sendiri penuh dengan istilah dagang.
Pembinaan ciri keusahawanan dalam konteks umat Melayu pada hakikatnya bukanlah suatu yang sama sekali baru. Kita tidak memulakannya daripada kosong kerana budaya keusahawanan sudah pun wujud sejak awal sejarah Islam di rantau ini.
Clifford Geertz yang melakukan penelitian lapangan di Mojokuto pada 1950-an mendapati kebanyakan pedagang berjaya adalah daripada pendatang Muslim yang taat, datang dari pesisir utara Pulau Jawa, di mana terletaknya pusat perdagangan dan pendidikan Islam.
Mereka yang hemat, tidak mudah putus asa dan taat mewarnai kota dengan suasana pasar yang meriah. Dan terlepas daripada kelebihan prestij kultural para priyayi, pedagang ini adalah unsur masyarakat yang paling dinamis waktu itu.
Sebagai umat beragama Islam, daya maju umat Melayu sangat ditentukan oleh keupayaannya menterjemahkan nilai ajaran agamanya menjadi kerja dan budaya keusahawanan. Dengan kata lain, Islam harus difahami dan dihayati kembali sebagai cara hidup.
Dalam kaitan inilah pentingnya memastikan Islam sebagai kekuatan yang mampu memberi bimbingan menuju matlamat kejayaan duniawi-ukhrawi, memberikan landasan moral, motivasi kerohanian, membina optimisme, membangun harapan, menyuntik semangat dan daya juang dalam kehidupan keusahawanan.
Islam adalah agama mendorong kejayaan dan kemenangan. Panggilan 'marilah menuju kejayaan' diulang-ulang saban hari berkali-kali. Setiap orang yang peka tentunya dapat merasakan betapa kuatnya orientasi kejayaan dalam Islam.
Ciri keusahawanan harus bertitik tolak daripada pandangan sarwa Islami bagaimana Islam sebagai cara hidup. Manusia sebagai khalifah Allah di bumi harus menginsafi ketinggian martabat dirinya dan misi kehadirannya di bumi.
Sebagai khalifah di bumi, manusia harus menginsafi misi kehadirannya adalah untuk bertugas dan bekerja membangun alam. Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan hingga ke akhir hayat manusia, hingga ke akhir usia bumi ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila tiba kiamat, sedang di tangan kamu ketika itu masih ada benih yang hendak ditanam, jika masih sempat menanamnya, tanamlah."� (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Justeru, untuk membangun dan mengimarahkan alam diperlukan daya kreatif yang berterusan. Andainya hakikat itu benar-benar disedari, lalu diikuti dengan usaha memupuk dan mengembangkan daya kreativiti yang relevan dengan bidang keusahawanan. Memang usahawan selamanya dituntut untuk menjadi kreatif.
Di samping akrab dengan Allah, manusia juga harus akrab dengan alam. Melayu adalah bangsa yang cukup akrab dengan alam. Daripada hubungan dengan alam, Melayu mendapat ilham yang terungkap dalam peribahasa.
Daripada alam jugalah Melayu mendapat petunjuk berharga sehingga tahu menghargai potensi segala sesuatu untuk dikembangkan menjadi kekayaan pada masa depan. Siapa tahu yang kini hanya setitik boleh dikembangkan menjadi luas melaut, dan yang sekarang hanya sekepal boleh dibangunkan menjadi besar menggunung.
Sesungguhnya pandangan sarwa lslami dan sistem nilai memang sangat mendukung pembinaan ciri keusahawanan yang kuat. Dalam kaitan itu, seorang tokoh pemikir bidang falsafah dan kebudayaan di rantau ini, Sutan Takdir Alisjahbana menyatakan optimisnya terhadap nilai budaya Islam sebagai wahana kebangkitan umat.
Tokoh yang selama berdekad-dekad mempromosikan nilai Barat, akhirnya kecewa dengan hasil eksperimen pembaratan budaya yang hanya melahirkan bangsa yang kepalang tanggung. Di hujung usia, beliau sempat menyedari dan mengakui kekuatan nilai Islam, keagamaan, ilmu dan ekonominya.
Pemerhatian Sutan Takdir itu memang benar, hanya yang menjadi masalah adalah kegagalan umat menterjemahkan nilai terkandung dalam ajaran Islam itu menjadi ciri kehidupan harian mereka.
(Sambungan kertas kerja Felo Utama Akademi Pengurusan YaPEIM, Datuk Dr Siddiq Fadzil, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))