Sunday, July 19, 2009

Mikraj ke Sidratul Muntaha

Mikraj ke Sidratul Muntaha

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian kerohanian Rasulullah pada masa lalu.

Ia sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Hanya dalam satu malam, Allah SWT mencipta perjalanan Rasulullah SAW untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya; mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkannya perintah solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasullullah SAW dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).

Perjalanan ini memiliki makna yang sangat khusus, terutama bagi diri Rasulullah.

Ia berlaku kerana Allah hendak menunjukkan kepada Muhammad tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya, seperti yang disebut dalam al-Quran: Agar Kami tunjukkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Kami (Surah Al-Isra ayat 1).

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling benar (Surah Najm ayat 18).

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sebagai contohnya tentang hakikat buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam perjalanan yang agung ini.

Dalam hal itu maka pendapat yang diyakini jumhur ulama adalah pendapat yang paling baik untuk diikuti. Kita harus menolak dalil-dalil yang sesat dan sebaliknya mengunakan dalil yang sahih sebagai dasar pegangan bagi menunjukkan nilai-nilai keislaman dan sikap keberagamaan.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ‘‘Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad SAW.

Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk memberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.

Muhammad

Begitu juga dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.

Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.

Ia menunjukkan secara jelas tentang adanya penambahan atau penceritaan versi baru yang lahir dari perawinya dan sama sekali tidak berkaitan dengan sabda Rasulullah atau dari dalil-dalil yang sahih.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H -151 M). Kitab ini adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil sahih atau dapat dipertanggungjawabkan bagi membicarakan perihal Israk dan Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi kesahihannya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah SAW, selebihnya dengan roh.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang bersungguh untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah SAW tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW? Dan apa yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini.

Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghiburkan Rasulullah SAW yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah SWT telah ‘mengisrak mikrajkan’ Rasulullah SAW. Allah SWT telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda- tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat sebahagian tanda- tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung.

Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar al-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah SAW.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah SWT, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Ia merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Mohd Shauki Abd Majid
Penulis adalah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Ulul Albab: Israk Mikraj pedoman umat pertahan hak

Ulul Albab: Israk Mikraj pedoman umat pertahan hak

Oleh Abdurrahman Haqqi

Berpegang teguh dengan Islam walaupun ditindas kerana segala kesukaran pasti berakhir

TAHLIL adalah pengucapan kalimah 'La ilaha illallah', tahmid pula mengucap kalimah 'Alhamdulillah' dan tasbih ialah mengucap 'Subhanallah'.

Pengucapan kalimah terakhir itu bertujuan menunjukkan rasa takjub terhadap sesuatu, manakala Alhamdulillah pula bagi menunjukkan syukur. Kalimah pertama 'La ilaha illallah' dilafazkan bagi menunjukkan ketauhidan atau keesaan Allah SWT. Subhanallah yang bererti Maha Suci Allah pula lafaz doa dan zikir yang mempunyai banyak manfaat antaranya berat timbangan kebaikan walaupun ia hanya satu lafaz mudah seperti dinyatakan dalam hadis.

Dalam ajaran Islam, lafaz ini menunjukkan kesucian Allah SWT dari segala kekurangan dan ucapan menunjukkan kesempurnaan-Nya.

Di samping huruf potong (muqatta'at) seperti alif lam mim, surah al-Quran juga banyak dimulai dengan perkataan 'sabbaha' (3 surah: al-Hadid, al-Hasyr dan al-Saff), 'yusabbihu' (2 surah: al-Jumu'ah dan al-Taghabun) dan 'subhana' (1 surah: al-Isra') yang mempunyai pengertian mengucap tasbih.

Sebagai contoh, permulaan surah al-Hadid (besi) maksudnya: "Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Permulaan surah al-Jumu'ah (Jumaat), contoh lain yang bermaksud: "Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci lagi Maha Bijaksana."

Ketika mengkisahkan perjalanan Israk Mikraj junjungan besar kita, al-Quran memulakan ceritanya menggunakan kata dasar 'subhana' tidak seperti kedua-dua surah di atas yang menggunakan kata kerja. Mengapa? Wallahu a'lam.

Pada awal surah al-Israk (perjalanan ketika malam) Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israk: 1)

Jika dalam permulaan lima surah lain difokuskan edisi bahasanya pada 'tetap mengucap tasbih' dan 'sentiasa mengucap tasbih,' maka dalam surah al-Israk yang ditekankan ialah 'Maha Suci Allah.'

Bagi kelima-lima surah berkenaan, fokus pembicaraan ialah makhluk yang mengucap tasbih kerana sifat Allah SWT, manakala surah al-Israk fokusnya pada kudrat Allah SWT yang sudah menggerakkan hamba-Nya melakukan perjalanan pada malam yang sangat dahsyat sehingga menjadi mukjizat di samping mukjizat abadi al-Quran al-Karim, kerasulan Muhammad SAW.

Peristiwa Israk Mikraj ialah mukjizat. Oleh itu, tiada alasan menolak hakikatnya dengan roh dan jasadnya kerana peristiwa Israk Mikraj agung bukan atas usaha ikhtiar Nabi SAW, sebaliknya Baginda menghebahkan kepada orang ramai sudah 'diisrak dan dimikrajkan' oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama buraq yang dicipta daripada cahaya.

Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW dalam peristiwa bersejarah 'diisrak dan dimikrajkan' ke langit. Ini bermakna Israk Mikraj ialah peristiwa di luar kemampuan Nabi SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki Allah SWT berlaku ke atas Nabi SAW dengan dibantu malaikat Jibril. Antara sebab berlaku peristiwa Israk Mikraj pada tahun ke-11 kenabian Baginda SAW ialah penolakan penduduk Makkah dan Taif terhadap ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Seperti kita ketahui, dalam 11 perjalanan dakwah itu, Baginda mengalami pelbagai cabaran dan rintangan daripada kaumnya sehingga memutuskan pergi ke kota Taif untuk berdakwah dan mencari bantuan.

Malangnya, di Taif Baginda menerima cabaran dan rintangan lebih dahsyat daripada di Makkah. Baginda dilontar batu, pelepah kurma, selipar bahkan kotoran oleh penduduk Taif sehingga malaikat bukit memohon kebenaran Baginda untuk menghancurkan penduduk Taif dengan membenam mereka ke dalam bumi.

Dengan sifat kasih sayangnya, Baginda tidak rela berbuat demikian, malah mengucapkan doa masyhur 'Allahummahdi qaumi fainnahum la ya'lamun' (Wahai Allah, berikanlah petunjuk kepada umatku kerana mereka adalah kaum yang belum mengetahui apa-apa).

Baginda akhirnya kembali ke Makkah dan menerima hakikat manusia tidak boleh diharapkan untuk diminta pertolongan kecuali meminta kepada Allah SWT.

Selepas itu berlaku pemulauan yang tidak perikemanusiaan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik terhadap Baginda dan pengikut, khasnya keluarga bani Hashim oleh puak Quraisy sehingga seolah-olah mereka tidak wujud di muka bumi ini walaupun mereka sebenarnya pemimpin terkemuka di kalangan bangsa Arab.

Tidak lama selepas itu, dua tonggak utama kehidupan Baginda selama ini iaitu Siti Khadijah, (isteri) dan Abu Talib, (bapa saudara) meninggal dunia. Tahun itu dikenali sebagai tahun dukacita, 'Am al-huzn.

Sesuai dengan janji Allah SWT kepada Baginda SAW pada permulaan dakwah dalam al-Quran bermaksud: "(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkan kamu dan Dia tidak benci (kepadamu, seperti yang dituduh oleh kaum musyrik)," (Surah al-Duha: 3), maka tiba masanya menunjukkan kepada manusia walaupun Baginda tidak diterima penduduk dunia, maka penduduk langit menerimanya.

Terjadi peristiwa Israk Mikraj sebagai bukti kesulitan yang selama ini melekat pada diri Baginda ketika berdakwah, ada masa untuk berakhir di samping ada pula kemudahan.

Pada hari ini, umat Islam sebagai pembawa agama Islam masih bergelumang kehinaan. Ke mana mereka pergi dan di mana mereka berada, masih dianggap menggugat keselamatan.

Mereka dibunuh walaupun masih dalam perbicaraan mahkamah dan pembunuhnya turut dicadangkan untuk menerima anugerah pingat kebesaran The Cross of Honor oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap Marwa al-Sharbiny di Jerman, awal bulan ini.

Begitu juga saudara kita di Xinjiang, China, yang wilayahnya satu per enam China dan kota minyak kedua terbesar masih dibayangi ketidakadilan pihak berkuasa negara mereka sehinggakan ada yang berasa tertindas di tanah asal mereka yang membawa kepada rusuhan minggu lalu.

Banyak lagi kejadian yang membuat hati kita sebagai pengikut Nabi SAW berasakan seperti dirasai Baginda dan sahabat. Bahkan seolah-olah ia baru berlaku semalam walaupun kejadiannya sudah berlaku lebih 1430 tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai orang beriman kita jangan berasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti berubah. Sebaik-baik ibadat ialah menanti kemudahan dengan sabar biarpun hari terus berganti. Pasti yang ghaib tetap tersembunyi dan Allah SWT tetap pada keadaan dan sifat-Nya.

Allah SWT mungkin menciptakan sesuatu yang baru selepas itu. Selepas lenyap kesukaran, tetap muncul kesenangan. Insya Allah.

Persoalan Agama: Lima kewajipan waris urus harta si mati

Persoalan Agama: Lima kewajipan waris urus harta si mati

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Tidak wajar guna wang pusaka bagi urusan kenduri, pengebumianSEORANG ibu meninggal dunia dengan meninggalkan sejumlah harta dan wang untuk anak-anaknya. Persoalannya:

# Harta dan wang itu adalah harta pusaka. Salah seorang anak menggunakan semua wang si ibu untuk segala urusan pengebumian dan membuat kenduri tahlil arwah ibu berkenaan. Adakah ini dibolehkan dalam Islam? Bukankah anak yang sepatutnya mengeluarkan perbelanjaan itu?

# Bilakah tempoh terbaik untuk membahagikan harta pusaka?

# Ramai sahabat dan orang kampung datang menziarah dan menghulurkan sedekah wang kepada salah seorang anak yang tinggal di rumah arwah ibu. Bagaimana kedudukan wang itu? Adakah ia dianggap pusaka juga? Bagaimana cara terbaik menggunakan wang sedekah berkenaan?

Insan Musykil,
Alor Setar, Kedah.

Bagi soalan pertama, sistem pusaka adalah suatu yang wajib dalam Islam berdasarkan kepada nas al-Quran, sunnah dan ijmak ulama. Ia tidak sepatutnya diubah atau diabaikan sama sekali.

Sebenarnya dalam Islam, ada lima kewajipan yang perlu dilakukan berkaitan harta si mati. Ia dilakukan mengikut tertib berikut :

# Hutang si mati yang berkaitan.

Contohnya gadaian. Perkara ini berlaku ketika hayatnya, kemudian dia meninggal dunia tanpa memiliki harta selain harta ini. Hutang pemegang gadai mestilah didahulukan daripada yang lain termasuk keperluan persiapan dan pengebumiannya.

# Persiapan jenazah.

Persiapan ini perlu didahulukan daripada semua jenis hutang selain dari yang dinyatakan di atas. Ini disebabkan persiapan pengebumian adalah hak jenazah sebagai seorang manusia yang perlu ditunaikan. Persiapan yang dimaksudkan adalah segala perbelanjaan yang membabitkan pengurusan jenazah dari saat kematiannya hingga dikebumikan.

# Hutang yang berada dalam tanggungan si mati.

Ia dikemudiankan daripada belanja pengurusan jenazah tetapi didahulukan berbanding wasiat dan hak pewaris.

# Wasiat ke atas satu pertiga baki harta.

Menurut ijmak ulama, wasiat mestilah dikemudiankan daripada hutang tetapi didahulukan berbanding hak pewaris. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 11 yang bermaksud: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang sudah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya.

# Pusaka.

Ini adalah hak terakhir yang berkaitan dengan harta peninggalan. Ia dibahagikan kepada pewaris mengikut bahagian masing-masing.

Mengikut penjelasan ini, ternyata urusan pengebumian adalah satu ketetapan yang wajib disempurnakan. Tetapi mengadakan kenduri arwah bukanlah termasuk dalam kewajipan. Memberi makan kepada orang lain termasuk dalam perkara sunat saja. Jika anak ingin melakukan kenduri, lebih baik ia diambil daripada harta yang mereka kumpulkan secara berkongsi.

Bagi yang sengaja mengeluarkan peruntukan wang pusaka untuk tujuan kenduri, ia dibimbangi termasuk dalam hukum mengambil hak orang lain secara batil yang diharamkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 188 bermaksud : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah..."

Bagi soalan kedua berhubung tempoh sesuai pembahagian harta pusaka, ia hendaklah disegerakan selepas menyelesaikan kewajipan yang sudah dijelaskan. Nabi bersabda dalam satu hadis sahih, bermaksud: "Serahkan harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, maka serahkan kepada kaum keluarga yang terdekat. - (Riwayat al-Bukhari no 6351, Muslim no 1615)

Bagi soalan ketiga, sebarang pemberian selepas kematian bukannya harta si mati lagi. Jadi ia bukanlah pusaka. Harta itu boleh dianggap sedekah ataupun hadiah. Ia boleh dibahagikan secara sama rata antara waris ataupun digunakan sebagai belanja untuk meraikan tetamu yang hadir.

Persoalan Agama: Qunut nazilat mohon keselamatan ummah ditindas

Persoalan Agama: Qunut nazilat mohon keselamatan ummah ditindas
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH kewajarannya membaca qunut al-nazilat secara berjemaah pada setiap solat Subuh dan Jumaat sejak pencerobohan terakhir tentera Israel secara besar-besaran di bumi Palestin hingga ke hari ini?

Jemaah,
Masjid Nurul Amin.

Qunut al-nazilat ialah doa yang dibacakan atas arahan pemerintah Muslim (hakim Muslim) kerana sesuatu musibah yang melanda umat Islam. Dalam sebuah hadis yang sahih, Nabi bersabda yang bermaksud : "Perumpamaan umat Islam dalam berkasih sayang dan kesatuannya adalah seumpama satu tubuh, apabila satu bahagian dari badan itu merasa sakit maka seluruh tubuh itu akan merasa sakit disebabkan demam ataupun berjaga malam. (Riwayat Ahmad no 18870, Muslim no 6751)

Jadi, antara tanda keprihatinan kita terhadap kesusahan umat islam ini seperti kes yang diutarakan itu, umat Islam sewajarnya mengamalkan pembacaan doa ini dalam solat-solat Subuh, Jumaat dan sunat witir yang mereka kerjakan sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Dalam kitab al-Majmuk oleh al-Nawawi, beliau menjelaskan bahawa Nabi SAW pernah mengamalkan doa qunut bagi keselamatan al-Walied bin al-Walied dan kecelakaan terhadap musuh Islam. Al-Nawawi juga menjelaskan bahawa kita digalakkan mengamalkan doa Qunut yang diajar oleh Nabi SAW bersama dengan doa Qunut Umar.

Pengarang kitab al-Hawi pula berpendapat doa qunut ini boleh diamalkan dengan berpandukan kepada hadis yang ma`thur ataupun lainnya. Selanjutnya, pengarang juga menjelaskan keharusan mengamalkan bacaan ayat yang tertentu seperti akhir surah al-Baqarah untuk dibacakan dalam doa-doa qunut itu.

Cuma bagi mazhab Syafie menetapkan pemimpin Islam tertinggi saja yang layak mengeluarkan perintah untuk melakukan qunut jika ia membabitkan solat Jumaat.

Persoalan Agama: Sah solat jamak selagi berada dalam keadaan musafir

Persoalan Agama: Sah solat jamak selagi berada dalam keadaan musafir

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SEORANG ahli keluarga saya akan melancong ke Bandung, Indonesia. Apa yang menjadi persoalan ialah ketika beliau ingin berjalan-jalan di sana, beliau ingin melaksanakan solat jamak sedangkan jarak destinasi yang akan dilawatinya tidaklah melebihi dua marhalah. Beliau berkata kepada saya bahawa situasi seperti itu telah membuatkan beliau seorang musafir. Maka, ibadat itu sah jika dilaksanakan. Adakah solat jamak yang akan beliau laksanakan akan menjadi satu ibadat yang sah?

Hamba Allah,
Petaling Jaya, Selangor.

Hukumnya adalah sah kerana beliau masih berada dalam keadaan musafir. Walaupun perjalanan yang beliau lalui antara satu dengan yang lain masih berada dalam jarak yang kurang daripada dua marhalah, tetapi beliau masih dianggap musafir kerana belum pulang ke tempat asal beliau iaitu di Malaysia.

Seseorang yang berada dalam perjalanan diharuskan melakukan solat secara musafir, asalkan menepati syarat yang diletakkan dalam Islam. Solat seperti ini adalah suatu kemudahan yang disifatkan sebagai sedekah seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim (no 686 ).

Mengerjakan solat dalam konteks musafir ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu melakukan jamak iaitu menghimpunkan dua solat dalam waktu yang berbeza kepada satu waktu saja. Menghimpunkan ini pula boleh dilakukan pada awal waktu umpamanya solat Zuhur dan Asar dikerjakan pada waktu Zuhur dan menghimpunkan kedua-dua solat itu kepada waktu kedua. Contohnya solat Zuhur dan Asar dihimpunkan pada waktu Asar. Dalilnya adalah hadis yang sahih dari Ibn Abbas beliau berkata yang bermaksud: "Rasulullah sudah menghimpunkan antara solat Zuhur dan Asar dan Maghrib dan Isyak ketika musafir." - (Riwayat al-Bukhari no 1056 )

Bentuk yang kedua pula adalah mengerjakan secara qasar iaitu meringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua. Solat yang dimaksudkan adalah solat Zuhur, Asar dan Isyak. Ini berlandaskan firman Allah dalam surah al-Nisak ayat ke 101, maksudnya: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."

Menurut Ibn Jarir dalam tafsirnya ayat ke 101 ini turun berikutan pertanyaan segolongan dari Bani al-Najjar yang bertanya kepada Nabi SAW berkaitan kemudahan solat dalam perjalanan. Allah SWT sudah menurunkan ayat ini untuk memberikan jawapan dan sekali gus memberi kemudahan kepada umat Islam yang berada dalam perjalanan. Ini disebabkan kaedah syarak ingin memberikan kemudahan kepada umat Islam.

Dalam kedua bentuk solat musafir ini, seseorang itu disyaratkan berada di tempat yang bukan kampung halamannya untuk melayakkan dia mendapat kemudahan itu. Dia juga mestilah tidak berniat untuk tinggal tetap di sesuatu tempat itu selama empat hari tidak termasuk hari masuk dan hari kembali. Ada beberapa syarat lain, berkaitan solat yang ditunaikan secara qasar ataupun jamak.

Jadi dalam kes saudara ini, beliau bukan saja layak melakukan jamak, malah beliau juga dibenarkan melakukan solat secara qasar iaitu diringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua.