Monday, June 29, 2009
AGAMA : ISNIN 29 JUN 2009
Ilmu akidah Islamiah karya ulama silam Melayu
PENDAHULUAN
Polemik Rasulullah seorang ummi
DARI kecil, iaitu sejak kita mula mengenal membaca dan menulis telahsering ditekan mengenai sebuah 'ajaran' bahawa junjungan besar NabiMuhammad SAW seorang yang buta huruf!
Bukti cinta kepada Nabi SAW
Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi NabiMuhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilahpula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaanseseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli denganpembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentukcinta sejati.
Dorongan ibu bapa bantu anak hadapi peperiksaan
LAZIMNYAapabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada UjianPenilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pencapaian Menengah Rendah (PMR),Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM), ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.
Islam mahu umat kahwin dapat pahala, elak lakukan maksiat
PERKAHWINANantara ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Seorang mukmin yangberkahwin dengan ikhlas untuk memelihara diri daripada maksiat mendapatpahala dan ganjaran Allah.Pergaulan bebas hari ini mudah menjerumuskan golongan belum berkahwinmelakukan perkara dilarang agama seperti bersekedudukan dan seks bebas.
Filem, drama seram dikhuatiri pesong akidah
PROMOSIpameran hantu secara besar-besaran di sebuah muzium tempatan pernahmendapat liputan luas media tahun lalu apabila ditegur secara lantangoleh tokoh agama, antaranya bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri ZainulAbidin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Islam saran kutip hutang cara baik, bayar bila mampu
FIRMANAllah bermaksud: “Jika dia (yang berhutang) dalam kesempitan, makatunggulah sehingga lapang dan dijadikan sedekah adalah lebih baik lagibagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)
Ilmu akidah Islamiah karya ulama silam Melayu
|
|
PENDAHULUAN
SETELAH kita mengetahui serba ringkas pengajian tradisional akidah di peringkat awal, maka penulis memperkenalkan pula pengajian akidah pada peringkat menengah untuk masyarakat pondok ataupun bukan pondok.
Perbicaraan dalam ruangan yang terbatas ini adalah pengenalan awal tentang karya-karya dan tokoh-tokoh yang bertanggungjawab dalam menyebarkan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu.
Bagi memaparkan keseluruhan kandungan kitab-kitab yang berkaitan seperti Warduz Zawahir dan lainnya adalah terlalu panjang untuk dibicarakan. Maka penulis memilih membahasnya sedikit sahaja sebagai pengenalan untuk maklumat umum.
PERINGKAT MENENGAH DAN ATAS
Pada peringkat kedua ini, dilihat bahawa kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Melayu juga mendapat tempat di kalangan pengajian pondok hingga ke Kemboja, Vietnam dan Burma.
Boleh diakui bahawa kitab-kitab Melayu/Jawi tentang akidah telah menemui sasaran dan keberkesanan di masyarakat Dunia Melayu zaman berzaman dari dahulu hingga kini. Ini ada perbezaan dengan kitab-kitab akidah yang ditulis oleh ulama Dunia Melayu yang mempergunakan bahasa Arab, dilihat hanya sedikit sekali dikenal oleh masyarakat luas.
Kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab hanya terhad di pengajian-pengajian pondok sahaja. Amat sedikit kitab dalam bentuk bahasa Arab diajarkan di surau-surau ataupun di masjid-masjid.
Jika ditinjau kandungan kitab-kitab Melayu/Jawi secara menyeluruh, adalah diperuntukkan kepada peringkat menengah dan atas, yang jumlahnya jauh lebih banyak dari peringkat-peringkat lainnya.
Beberapa contoh kitab paling popular di antaranya:
l Faridatul Faraid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani
l Sirajul Huda karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi (Sumbawa, Indonesia)
l 'Aqidatun Najin karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani
l Ad-Durrust Stamin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Yang ditulis dalam bahasa Arab untuk peringkat ini di antaranya:
l Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani
l Fat-hul Majid karya Sheikh Nawawi al-Bantani
l Nuruzh Zhalam juga karya Sheikh Nawawi al-Bantani.
Faridatul Faraid pernah diringkaskan dengan judul Pati Faridatul Faraid yang diusahakan oleh Tuan Guru Nik Abdullah al-Jambui al-Fathani.
Pernah disyarahkan dengan judul 'Umdatu Thalibil Mujtahid bi Syarhi Faridatil Faraid diusahakan oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Ibrahim bin Abdul Karim al-Fathani al-Jabi.
Pada Jun 1990 telah diterbitkan Faridatul Faraid dalam edisi Rumi/Latin yang diusahakan penulis sendiri.
Di dalam kitab Ad-Durrust Stamin fi 'Aqaidil Mu'minin dan 'Aqidatun Najin fi 'Ilmi Ushuliddin telah diperkenalkan pendapat Sheikh Ahmad bin Muhammad as-Suhaimi tentang Mabadil 'Asyarah pada mempelajari akidah.
Nama ilmu tersebut diberikan sebanyak lapan nama. Antaranya dinamakan Ilmu Kalam, Ilmu Usuluddin dan lain-lainnya.
Dalam Ad-Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani telah memperkenalkan serba ringkas riwayat orang yang pertama mendewankan/menulis ilmu ini berupa risalah atau kitab iaitu Imam Abul Hassan al Asy'ari.
Riwayat yang lebih lengkap beliau perkenalkan pula dalam kitab Warduz Zawahir. Kedua-dua kitab tersebut adalah merupakan maklumat terawal yang dibicarakan secara lengkap dalam kitab bahasa Melayu.
Walaupun 'Aqidatun Najin dikategorikan pada peringkat ini, namun dalam pengamatan penulis ia merupakan kitab akidah yang kedua lengkap dan besar dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir.
Sebuah kitab lain yang juga dikategorikan dalam peringkat ini ialah Al-Bahjatus Saniyah, karya Sheikh Daud al-Fathani. Ia merupakan terjemahan dan syarahan dari kitab Tahshilu Nailil Maram Syarhu 'Aqidatil 'Awam karya As-Saiyid asy- Syarif Ahmad al-Marzuqi, salah seorang guru beliau.
Kitab karangan ulama ini (Ahmad al-Marzuqi) dengan judul yang sama pernah disyarah oleh Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab.
Kitab tersebut ialah Nuruzh Zhalam 'alal Manzhumati al-Musammatu bi 'Aqidatil Iman. Syarahan Sheikh Nawawi al-Bantani bersama-sama dengan kitab Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani, yang sama-sama ditulis dalam bahasa Arab tersebut telah mewakili pengajian kitab-kitab akidah bahasa Arab sebagai lanjutan kitab-kitab bahasa Arab pada peringkat pertama yang telah disebutkan.
Kitab-kitab bahasa Arab karya kedua-dua ulama Dunia Melayu itu bukan saja diajar di Dunia Melayu, tetapi pernah berperanan di dunia Arab sendiri seperti di Mesir, Mekah dan lain-lain di Timur Tengah.
Sebagaimana maklum dan diakui bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Dunia Melayu yang paling banyak meninggalkan karangan dan terjemahan ilmu-ilmu keislaman termasuk akidah.
Dalam karya fikah beliau berjudul Hidayatul Muta'allim, selain memperkenalkan sifat-sifat Tuhan, turut diperkenalkan cabang-cabang iman (firqah) yang melebihi 70 banyaknya. Barangkali ini adalah merupakan yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.
Cabang-cabang iman di dalam Hidayatul Muta'allim itu kemudian dipetik oleh Sheikh Umar bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, lalu dicetak bersama-sama dengan Miftahul Murid karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani itu.
Tentang cabang-cabang iman yang melebihi 70 tersebut, Sheikh Nawawi al-Bantani pernah membuat sebuah syarahan dalam sebuah kitab berjudul Syarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah.
Terdapat sebuah kitab bercorak metod melaksanakan zikrullah dalam sektor Tarekat Syathariyah, iaitu hasil karya Sheikh Daud al-Fathani yang beliau tulis sewaktu berada di Sambas (Indonesia) dengan judul Dhiya'ul Murid fi Ma'rifati Kalimatit Tauhid.
Suatu konsep penegasan supaya kita tetap berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga diperkenalkan secara mantap penulisan yang bercorak demikian. Antaranya seperti ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani di bahagian awal kitab fikah berjudul Jawahirus Saniyah.
Sheikh Daud al-Fathani menulis: "Ketahui olehmu, bahawasanya thariq yang sebenarnya satu jua, iaitu thariqat Ahlus Sunnah dan Jamaah. Kerana bahawasanya aimmah yang Mujtahidun yang empat, iaitu Imam Syafiie dan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad ibnu Hanbal Radhiallahu anhum ajmain, dan jikalau bersalah-salahan mereka itu hanya pada furuk syari'at, maka bahawasanya mereka itu muafakat pada usuluddin, yakni pada 'aqaid addin. Maka hendaklah kita ikut salah seorang daripada mereka itu ..."
Pada kalimat yang lain, beliau menegaskan pandangannya tentang mengikut selain Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kata beliau: "Maka hendaklah kita jauhkan iktikad orang yang benci akan mereka itu (maksudnya para sahabat Nabi) atau akan setengah-setengah mereka itu.
"Maka tiada memberi faedah kasih akan setengah mereka itu, iaitu satu thaifah umpama nujum, kasih mereka itu akan Saidina Ali dan benci mereka itu akan Saidina Abu Bakar dan Umar, maka sekelian mereka itu ahlidh dhalal dan Rawafidh dan Mu'tazilah dan segala firqah yang menyalahi Ahlus Sunnah seperti Qadariah dan Jabariah, maka segala mereka itu thaifah yang sesat, jangan diikuti akan perkataan mereka itu dan kelakuannya.
"Hendak kita jauhkan perkataannya dan af'alnya dan ehwalnya. Maka orang yang benci akan setengah sahabat tiada berguna amal mereka itu ...".
Pada kalimat yang lain tertulis pula: "Maka tiap-tiap orang yang menyalahi akan Ahlus Sunnah, iaitu orang yang menolakkan barang yang kami sebut, iaitu Ahlus Sunnah, maka iaitu bidaah dan jangan engkau dengarkan pada baiknya pada perkataan mereka itu ...
"Dan tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu jikalau ada ia mendakwa akan mempunyai ilmu, bahawasanya meninggikan martabat, seperti tinggi bintang Zukhal di langit sekalipun, jangan didengar akan perkataannya. Kerana mereka itu adalah buta mata hatinya, tiada boleh nyata melihat rahsia ilmu, hanya ia duduk taraddud di dalam sesatnya ..."
Peringkat pembahasan dan penyelidikan
Tidak banyak kitab akidah dalam bahasa Melayu untuk peringkat yang tinggi ini.
Antara yang dapat ditonjolkan ialah kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud al-Fathani. Sebuah lagi ialah karya Sheikh Nuruddin ar Raniri yang menggabungkan antara Ilmu Tauhid dan Ilmu Tasauf berjudul Tibyan fi Ma'rifatil Adyan.
Sebelum penulis membicarakan Warduz Zawahir lebih lanjut, diperkenalkan dahulu secara ringkasnya kitab Tibyan dan sebuah kitab lain sesudahnya iaitu Tuhfatur Raghibin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
Kedua-dua kitab tersebut membicarakan secara mendalam firqah-firqah dalam Islam.
Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula dalam Sullamul Mustafidin dalam bentuk yang agak ringkas juga pernah membicarakan tentang firqah-firqah itu.
Dalam Tibyan, Sheikh Nuruddin ar-Raniri menyebut bahawa firqah yang 72 dalam Islam adalah berasal dari enam firqah.
Ini sama dengan yang dibicarakan oleh Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalam Tuhfatur Raghibin, tetapi berbeza dengan yang ditulis oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin, bukan enam tetapi adalah lapan firqah.
Firqah-firqah yang enam yang disebut dalam Tibyan dan Tuhfatur Raghibin itu adalah:
Rafidiah, Kharijiah, Jabariah, Qadariah, Jahmiah, dan Murjiah.
Adapun lapan firqah yang disebut oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin adalah: Muktazilah, Syiah, Khawarij, Murjiah, Najjariah, Jabariah, Musyabbihah dan Najiah.
Ternyata dua firqah dalam senarai Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri iaitu Murjiah dan Jabariah saja yang sama dengan senarai Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari tersebut.
Perkara yang sama dengan yang beliau tulis dalam Sullamul Mustafiddin. Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri juga pernah membicarakan hal itu di dalam karyanya berjudul Syarah Hadis Arba'in Imam Nawawi.
Dari enam firqah yang disenaraikan oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri di dalam Tibyan dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalam Tuhfatur Raghibin, terjadi 72 firqah.
Dalam Tibyan disenaraikan dengan lengkap hingga ke 72-nya, manakala di dalam Tauhfatur Raghibin hanya memberikan takrif dan contoh-contoh iktikad sesuatu firqah itu, tanpa menyebut nama-nama firqah yang cabang-cabang dari yang enam itu.
Kita kembali membicarakan kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah. Walaupun kitab ini penulis masukkan kategori golongan tertinggi dalam pemantapan dan pengkajian akidah tradisional Dunia Melayu, namun Sheikh Daud al-Fathani pada mukadimah kitab ini menyebut seperti berikut; "Supaya mengambil manfaat dengannya orang yang mubtadi".
Istilah mubtadi biasa diertikan "orang-orang yang baru belajar sesuatu pengetahuan di peringkat yang terendah". Tetapi pengertian di sini bukanlah itu yang dimaksudkan oleh pengarang.
Ini adalah suatu kalimat yang bersifat sindiran yang mencerminkan ketawadukan dan kewarakan ulama-ulama silam kita.
Walaupun ilmu mereka sangat melaut, kitab-kitab yang mereka karang sangat banyak dan tebal-tebal, kita tiada berkemampuan membaca dari awal hingga ke akhir sesuatu kitab. Namun mereka tetap merendahkan diri.
Maka itulah tercipta pepatah Melayu, "Ibarat padi, kian berisi kian tunduk".
Dalam penelitian penulis, memang belum ditemui kitab akidah bahasa Melayu yang lebih tebal dan lengkap selain Warduz Zawahir tersebut. Oleh itu, penulis tempatkan kitab itu sebagai kajian peringkat terakhir.
Kandungannya selain yang pernah dibicarakan dalam kitab-kitab akidah yang lain, sangat banyak perkara nadir yang tidak pernah terdapat dalam kitab-kitab selainnya. Bahkan perkara-perkara yang nadir yang tersebut dalam Warduz Zawahir hanya terdapat dalam kitab-kitab bahasa Arab yang besar-besar. Sesetengah kandungannya pula belum diketemukan sumber dari kitab bahasa Arabnya.
Ini adalah suatu bukti luasnya pengetahuan Sheikh Daud al-Fathani di samping sangat banyak kitab yang telah beliau pelajari.
Kesimpulan
Berdasarkan kandungan yang dipaparkan, dapat diambil kesimpulan seperti berikut:
1. Kitab-kitab yang disusun dan diterjemah oleh ulama silam Melayu dapat memenuhi kehendak masyarakat dari tahap yang paling rendah hingga ke tahap yang paling tinggi, sama ada untuk zaman silam mahupun zaman kita.
Bahkan akan berkesinambungan ke zaman-zaman berikut selagi ilmu pengetahuan dibicarakan orang.
2. Bahawa juga terdapat di antara kitab-kitab karya ulama silam telah diulang cetak ratusan kali. Bahkan ada yang ribuan kali sejak mulai dikarang hingga sekarang ini, dan diajarkan pula di sepanjang zaman.
3. Ditinjau dari segi penyebarannya pula, kitab-kitab akidah ulama silam kita telah dipelajari dan dikenal pasti termasuk di Kemboja, Vietnam dan Burma selain yang terbentang mulai Bangkok hingga ke Indonesia dan Filipina; sedangkan karya-karya yang dalam bentuk Rumi/Latin hanya dikenal dalam negara di mana buku-buku tersebut dikarang.
Tidak dinafikan karya-karya tokoh Indonesia memang terdapat di Malaysia, tetapi tidak terjual di kedai-kedai buku di Thailand.
Sebaliknya karya-karya tokoh-tokoh Malaysia tidak terjual di Indonesia.
Ini adalah contoh bagi membuktikan karya-karya ulama-ulama silam kita dalam bentuk aksara Melayu/ Jawi lebih luas penyebarannya.
4. Dalam karya-karya akidah tradisional, terdapat beberapa di antaranya menyentuh aspek pelbagai ilmu.
Antaranya termasuk: politik, sejarah, usul fiqh, tafsir al-Quran secara meluas termasuk pentafsiran secara yang tersiratnya, hadis dalam pelbagai aspek ilmunya, perbandingan mazhab dan lain-lain banyak lagi, seperti yang dijumpai dalam Warduz Zawahir.
Polemik Rasulullah seorang ummi
|
|
DARI kecil, iaitu sejak kita mula mengenal membaca dan menulis telah sering ditekan mengenai sebuah 'ajaran' bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf!
Malah kita sanggup mempertahankan ajaran itu apabila ada pihak cuba mengatakan yang sebaliknya, mustahil Nabi Muhammad seorang yang buta huruf!
Adakah ini kerana jika mengatakan baginda sebenarnya tahu membaca dan menulis maka itu tidak memberikan satu pengesahan bahawa baginda seorang Rasul, utusan Allah?
Benar, yang dimaksudkan dengan perkataan ummi' adalah seseorang yang tidak tahu, tidak mempunyai kepandaian dan kemahiran untuk membaca dan menulis, iaitu merujuk kepada perkataan umm bererti ibu.
Iaitu lazimnya keadaan di mana seperti janin atau bayi yang masih dalam kandungan rahim ibunya, bererti tidak tahu apa-apa, apatah lagi membaca dan menulis.
Malah ini sebagaimana telah disebutkan dalam surah al-A'raf ayat 157 bahawa: Nabi Muhammad seorang ummi; iaitu mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka".
Ini menyebabkan kita sering kali mengaitkan buta huruf itu dengan kebodohan (jahlun) tetapi Nabi sebenarnya seorang yang amat pintar. Jadi bagaimana kita dapat kaitkan seorang yang ummi itu sedangkan ketika usia mudanya pernah menjalankan perdagangan malah membawa balik keuntungan yang sangat besar.
Kejayaan baginda melakukan transaksi perniagaan ini menjadi satu petunjuk bahawa baginda seorang yang mampu membaca dan menulis.
Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bahawa Nabi pernah bersabda: "Jika kalian menulis kalimat Bismillahirrahim, maka perjelaskanlah huruf sin di situ".
Ini menunjukkan baginda seorang yang bukan sahaja mengenal huruf tetapi baginda tidak mempunyai masalah dalam aspek tulisan dan penulisan.
Ini seperti gambar yang dipaparkan di ruangan ini antara surat-surat yang ditulis oleh baginda bagi menjayakan misi dakwah terutama kepada pemerintah-pemerintah sesebuah kerajaan.
Jadi, mustahil seorang Rasul seperti baginda seorang yang bodoh. Apatah lagi mengingatkan kepada kita salah satu sifat wajib yang ada bagi seorang Rasul itu adalah fathonah, iaitu cerdas dan pandai.
'Ajaran' Nabi Muhammad seorang yang benar-benar buta huruf dijadikan alasan atau perisai yang menahan baginda dari dituduh, sebagai individu yang menulis al-Quran.
Andai kata baginda tahu menulis membaca, maka kita dikatakan tidak mempunyai sebarang perisai lain yang boleh digunakan bagi menangkis tuduhan tersebut.
Tidak dinafikan persoalan sama ada Nabi Muhammad seorang yang buta huruf ataupun tidak, telah menjadi polemik dan perbincangan oleh pelbagai pihak malah sehingga kini pun ia masih dibicarakan.
Salah satu pendapat bagi menafikan baginda seorang yang ummi iaitu faktor budaya masyarakat Arab Jahiliah itu sendiri.
Orang Arab ketika itu dikatakan tidak mempunyai budaya membaca dan menulis yang kuat kerana mereka mempunyai kelebihan dalam mengingat kalimat-kalimat dengan begitu sempurna. Tanpa ada sebaris ayat atau perkataan yang tertinggal.
Bagi mereka, menghafal 100 bait-bait puisi dan syair gurindam sudah cukup dengan sekali mendengar! Kalau mereka mempunyai kebolehan yang sehebat itu maka tidak perlulah lagi mereka menulis.
Malah dikatakan jika semua apa yang mereka semat dan hafal dalam ingatan itu ditulis, maka akan terdapat beribu-ribu lembaran buku dihasilkan bagi menampung semua yang dihafal itu.
Begitupun faktor ini tidak mempunyai kekuatan malah yang sebenarnya masyarakat Arab walaupun jahil tetapi mereka terkehadapan dalam aspek membaca dan menulis itu sendiri.
Setiap tahun mereka akan menganjurkan sayembara atau festival pembacaan natsar (prosa) dan syair (puisi) di pasar raya Ukaz.
Lalu, karya-karya yang memang dan dianggap terbaik akan mendapat penghormatan lalu akan ditulis dan ditampal di dinding-dinding Kaabah.
Fakta ini membuktikan masyarakat Arab zaman itu termasuk suku Quraisy, iaitu keturunan baginda mahir membaca dan menulis.
Namun seperti yang dijelaskan oleh tokoh Islam terkenal, Sheikh Al Maqdisi bahawa individu yang menafsir sejarah dan al-Quran itu sendiri yang keliru terhadap keupayaan dan kapasiti Rasulullah khususnya dalam soal membaca dan menulis ini.
Menurutnya, walaupun benar ummi itu bermaksud sebagai buta huruf tetapi apabila dikaitkan dengan Rasulullah, ummi di sini bermaksud baginda bukan di kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.
Ketika itu, kedua-dua kaum ini sering kali menggelarkan atau sebenarnya mengejek umat yang selain Yahudi dan Nasrani sebagai golongan ummi atau non-Yahudi dan non-Nasrani. Ini termasuklah Rasulullah dan orang Arab yang lainnya.
Malah dalam satu penjelasannya yang panjang, dapat kita ringkaskan apabila keturunan Arab melalui Nabi Ismail sebelum turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad, kaum ini tidak pernah diwahyukan dengan sebarang Kitab Allah.
Lantas kerana itu, kaum ini disebut sebagai kaum ummiyyuun atau ummiyyiin yang bererti "kaum yang belum pernah membaca atau menulis Kitab Allah".
Situasi ini yang menjadikan kaum Yahudi semasa zaman Jahiliah merendah-rendahkan kaum Arab sebagai kaum yang tidak mempunyai kitab.
Mereka begitu bermegah kerana dikurniakan kitab Taurat berbanding kalangan Arab yang tidak mempunyai apa-apa kitab itu.
Sindiran dan ejekan mereka itu mungkin dapat dilihat melalui surah ali-'Imran ayat 75: Tiada yang patut disalahkan bagi kami atas kaum ummiyyiin.
Ikuti penjelasan lanjut mengenai persoalan ummi di keluaran akan datang!
l Petikan daripada buku Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah
Bukti cinta kepada Nabi SAW
|
|
Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.
Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi'ah al Adawiyyah dalam syairnya: "Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya."
Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:
1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara 'kasih' dan 'taat' ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: "Katakanlah (wahai Muhammad), "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu." (ali 'Imran: 31)
Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.
Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.
2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.
Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.
Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra' Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.
Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.
Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy'ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.
Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: "Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!" Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)
4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.
Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.
Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!
Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.
Mengasihi Nabi SAW
5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.
Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.
Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.
Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).
Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.
6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.
Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)
"Mereka" yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.
Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.
7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, "Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri".
Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.
8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.
Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?
Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!
Dorongan ibu bapa bantu anak hadapi peperiksaan
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Pupuk budaya membaca, perbanyak amalan kerohanian bimbing pelajar capai kejayaan
LAZIMNYA apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pencapaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.
Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.
Ibu bapa juga perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang serta menguruskan masa dengan bijak.
Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.
Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.
Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.
Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.
Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.
Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.
Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.
Oleh itu, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak.
Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap memuaskan kerana anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang.
Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian.
Sebagai permulaan, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik.
Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan seperti menyusun perhiasan di ruang tamu supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa.
Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat pertama turun kepada Rasulullah SAW ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)
Ibu bapa memainkan peranan penting mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga seperti budaya solat, makan dan bercuti bersama.
Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah.
Diriwayatkan oleh Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi."
Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.
Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.
Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."
Islam mahu umat kahwin dapat pahala, elak lakukan maksiat
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
PERKAHWINAN antara ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Seorang mukmin yang berkahwin dengan ikhlas untuk memelihara diri daripada maksiat mendapat pahala dan ganjaran Allah.
Pergaulan bebas hari ini mudah menjerumuskan golongan belum berkahwin melakukan perkara dilarang agama seperti bersekedudukan dan seks bebas.
Justeru, untuk mengelak perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup bermasyarakat ini, Islam menganjurkan umatnya berkahwin serta membina keluarga bahagia berlandaskan syariat.
Pada masa sama, sebagai umat Islam, kita ingin mengikut serta memenuhi sunah Rasulullah SAW yang menjadi idola. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Nikah itu sunahku, siapa tidak suka sunahku, maka bukan ia daripada golonganku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Nabi SAW: “Kahwinlah kamu supaya kamu berkembang biak kerana sesungguhnya aku akan bermegah dengan banyaknya kamu di depan umat lain pada hari kiamat.”
Hadis itu menjelaskan kahwin perlu disempurnakan setiap umat Islam yang berasa dirinya mampu berbuat demikian. Walaupun Islam tidak mewajibkan kahwin, namun ia adalah suruhan dan anjuran yang tidak wajar diingkari.
Oleh itu, jika seseorang berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta ditakuti melakukan perbuatan nista seperti zina, maka wajib ia kahwin. Jika tidak ada hal ditakuti tadi, sedangkan ia mampu dan sanggup berkahwin, maka hukumnya sunat, tetapi tidak digalakkan dalam Islam. Makruh seseorang berkahwin jika dia tidak mampu atau sanggup memberi nafkah selepas berkahwin.
Namun, perkembangan hari ini memperlihatkan sesetengah pihak menganggap perkahwinan tidak perlu bukan disebabkan tidak mampu sebaliknya sengaja memilih hidup solo kerana inginkan kebebasan mutlak. Islam melarang orang yang sengaja hidup membujang.
Ada juga yang tidak mahu kahwin atas alasan tidak mahu memberi nafkah atau memikul tanggungjawab menjaga serta memenuhi keperluan ahli keluarga. Ini sikap orang malas dan berlawanan syariat Islam.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Satu dinar engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar engkau belanjakan buat memerdekakan budak, dan satu dinar engkau belanjakan buat anakmu. Yang paling utama daripada semua itu ialah satu dinar yang engkau belanjakan buat anakmu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bertanya Ukkaf Basir At Tamimi Al Hilali: “Wahai Ukkaf! Apakah engkau mempunyai isteri?
“Ukaff menjawab: Tidak.” Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau orang yang mampu dalam keadaan baik dirimu?” Jawab Ukaff: “Ya, aku orang yang mampu.” Mendengar jawapan itu, Nabi SAW pun bersabda seperti memberi keputusan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jika begitu engkau daripada saudara syaitan. Jika engkau daripada kaum Nasrani, nescaya engkau termasuk pasturnya. Sesungguhnya sunah kami ialah nikah (kahwin). Sejahat-jahat kamu ialah yang tidak kahwin. Serendah-rendah orang yang mati daripada kamu ialah yang tidak mahu kahwin. Apakah dengan syaitan kamu akan berhubungan? Tidak ada senjata bagi syaitan yang lebih ampuh buat menggoda orang salih, lebih daripada meninggalkan perempuan (tidak kahwin).”
Md Ali Alhamidy dalam bukunya Godaan Setan menulis: “Menahan diri tidak kahwin, pada hal kesanggupan dan kemampuannya masih ada, ditambah memang Allah dan Rasul-Nya menganjurkan kahwin, maka ia akan menanggung hidup yang sangat berat, apa lagi jika nafsu syahwatnya datang merangsang, maka kemungkinan ia terjerumus ke dalam perbuatan nista.”
Sebelum terjerumus seperti kata Md Ali Alhamidy itu, elok yang dewasa, berkemampuan dari segi kewangan, berkeupayaan dan sihat tubuh badan segera menyempurnakan sunah Nabi SAW. Jangan tangguh kerana kahwin melahirkan zuriat yang akan membanggakan Nabi SAW di depan umat lain pada hari kiamat.
Filem, drama seram dikhuatiri pesong akidah
Oleh Muhd Hilmi Ismail
Syarikat produksi, penerbit perlu sedar sensitiviti agama dalam ghairah kejar untung
PROMOSI pameran hantu secara besar-besaran di sebuah muzium tempatan pernah mendapat liputan luas media tahun lalu apabila ditegur secara lantang oleh tokoh agama, antaranya bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Khuatir menjejaskan akidah, teguran itu tepat pada masanya supaya masyarakat Islam tidak keliru atau terpengaruh dengan kepercayaan khurafat, tahyul dan syirik. Penganjur akhirnya akur dengan tekanan, lalu menukar sebahagian program asal yang diatur.
Namun, unsur khurafat, mistik dan tahyul masih berlanjutan sehingga kini. Doktrin tidak sihat itu masih giat dipertontonkan menerusi slot drama tempatan dan filem tanah air. Pelbagai watak dan jenis makhluk hantu diketengahkan dengan memiliki kuasa tertentu yang boleh memberi mudarat.
Genre sebegini tidak harus dibiarkan berleluasa tanpa pemantauan. Isu pencemaran akidah bukanlah perkara ringan dalam syarak. Ideologi bercampur aduk dengan mistik, boleh menyebabkan seseorang terpengaruh lalu mempercayai ada kuasa selain Allah.
Akidah ialah tunjang Islam yang membebaskan kepercayaan animisme karut kepada mempercayai kekuasaan mutlak milik Allah. Sebelum kedatangan Islam dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, masyarakat jahiliah Musyrikin Arab dipenuhi pelbagai kepercayaan bertentangan akidah tauhid diasaskan Nabi Ibrahim.
Dikisahkan dalam Sirah Nabawiyah Sahihah: "Hajar dan anaknya ialah dua penduduk awal bumi Makkah, kemudian datang Jurhum lalu mendiami bersebelahan telaga zamzam, selepas itu, Nabi Ibrahim membina Kaabah yang menjadi rumah ibadat pertama untuk beribadat kepada Allah.
"Nabi Ibrahim pula ialah rasul yang menyeru kepada akidah tauhid, maka Jurhum menuruti akidah yang dibawa Nabi Ibrahim dan menyempurnakan akidah generasi terawal yang menyaksikan pembinaan Kaabah.
"Kemudian, bermula penyelewengan akidah manusia selepas itu hingga berlaku penyembahan patung dan berhala. Menurut kitab periwayatan dan sejarah, Amru Luhai ialah orang pertama yang membawa patung dari Syam ke Makkah lalu menyeru menyembahnya.
Akibat longgar pegangan akidah dan lemah penjelasan terhadap ajaran akidah Nabi Ibrahim yang kurang memberi pengaruh kepada manusia pada zaman Amru, lalu menzahirkan persediaan manusia menerima syirik dan apa yang berkaitannya daripada kepercayaan batil."
Kisah itu penting kerana penyeru kepercayaan batil akan terpahat namanya dalam catatan sejarah sebagai watak jahat serta diingati kerana usaha negatifnya itu. Imam Ibn Kathir menyebut perihal sejarah buruk Amru bin Luhai.
Katanya: "Golongan terawal yang menyembah berhala di bumi Hijaz diketuai pemimpin mereka, Amru Luhai yang dilaknat Allah kerana dia orang pertama yang menyeru perbuatan itu, seorang yang berharta banyak."
Sedang Imam Dzahabi pula mengulas mengenai Amru: "dan dia ialah orang yang menukar agama Nabi Ismail."
Kita harus sedaya upaya mengelak sejarah berulang sehingga tercatat nama orang sebagai pencemar akidah. Sejarah tidak dapat diubah apabila dibaca generasi akan datang. Kisah tragis seperti Amru tidak mustahil boleh menimpa semula jika tiada peringatan diberikan kepada golongan tertentu. Alangkah ruginya mereka nanti.
Peranan label halal haram wajar diperhalusi semula supaya tidak hanya membabitkan bidang tertentu, bahkan diperluaskan merangkumi muamalah seharian. Klasifikasi perfileman boleh diubah dan ditambah bukan setakat 18 SG atau sebagainya, bahkan boleh jadi seperti label mengancam akidah atau mudarat pada pemikiran Muslim.
Peranan jabatan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), boleh diperluaskan dalam proses kelulusan kandungan cerita dalam drama atau filem seperti di Lembaga Penapisan Filem, penentuan dasar penyiaran serta lebih penting, tidak terhad dalam skop yang sudah digariskan sebelum ini.
Syarikat produksi dan penerbit drama Muslim harus sedar mengenai sensitiviti akidah. Proses semakan fakta agama dilihat mampu membendung penyebaran doktrin yang bercanggah dengan akidah dalam produk mereka.
Mungkin kita boleh tanya kepada produser seperti David Teo, bagaimana timbul idea beliau untuk menerbitkan filem Syukur 21 pada 2000. Filem bergenre Islam dengan elemen futuristik dihasilkan oleh beliau dan bukan diterbitkan produser Muslim.
Justeru, ini menjadi cabaran kepada produksi Muslim tempatan untuk berani menghasilkan lebih banyak karya Islam berkualiti.
Islam saran kutip hutang cara baik, bayar bila mampu
Oleh Masmawi Abdullah
FIRMAN Allah bermaksud: “Jika dia (yang berhutang) dalam kesempitan, maka tunggulah sehingga lapang dan dijadikan sedekah adalah lebih baik lagi bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)
Diriwayatkan, seorang lelaki ditimpa bencana. Hasil tanamannya tidak menjadi hingga hutangnya keliling pinggang. Rasulullah SAW bersabda: “Bersedekahlah kamu kepadanya.”
Syariat Islam menghendaki supaya berlemah lembut dengan orang berhutang. Oleh itu, kita dapati bahawa tuan punya Mursyid al-Hayran menetapkan pada 164 masihi bahawa: “Jika seorang pemilik mempunyai hutang yang sabit, syarak mengharuskan supaya mengambil dari miliknya yang lebih daripada kadar keperluan harian asasi seperti tempat tinggal.
Jika ia tidak mempunyai harta seumpama ia berhutang mengikut syarak itu, hendaklah dijual mengikut ketetapan undang-undang, jika dia tidak mahu menjualnya sendiri untuk membayar hutangnya menurut harga jualannya itu.
Malah, dalam Islam juga boleh sampai ke peringkat melucutkan hak milik daripada tuannya jika disalahgunakan haknya dan jika tidak ada jalan lain untuk menghalang perbuatan itu.
Rasulullah SAW mempraktikkan dasar ini kepada Samrah Ibn Jundub yang mempunyai sepohon kurma dalam kebun seorang lelaki Kristian. Samrah sering keluar masuk ke kebun orang Kristian itu bersama-sama keluarganya sehingga menyusahkan tuan kebun itu.
Lalu tuan kebun mengadu kepada Rasulullah SAW. Samrah dipanggil dan Rasulullah bersabda kepadanya: Juallah pokok kurma awak. Dia enggan menjualnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh supaya memotong pokok kurma itu.
Rasulullah SAW berkata: Berikanlah kepada orang (Kristian) itu, kamu akan mendapat pokok seumpama itu di syurga nanti. Dia juga menolak. Rasulullah SAW berkata: Awak telah membawa kemudaratan iaitu mencari kemudaratan orang lain. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada pemilik kebun itu: Pergilah kamu dan tebang pokok kurmanya.
Dhahhak Ibn Khalifah al-Ansari mempunyai sebidang tanah yang tidak boleh dimasuki air kecuali dengan mengalirkan air itu melalui kebun Muhammad Ibn Maslamah. Maslamah enggan membenarkan saliran air melalui kebunnya.
Dhahhak mengadu kepada Saidina Umar al Kattab yang menegur Maslamah dan berkata kepadanya: “Adakah timbul apa-apa mudarat jika dialirkan air melalui kebun engkau? Maslamah menjawab: Tidak. Saidina Umar menambah: Demi Allah jika tidak ada saluran untuk mengalirkan air kecuali perut engkau aku akan alirkannya juga.”
Islam juga tidak mengharuskan pemilik tanah mengosongkan tanahnya jika itu akan merosakkan kepentingan awam. Rasulullah SAW memberikan sebidang tanah Al-Aqiqi yang berhampiran dengan Madinah kepada Bilal Ibn al-Harith al-Muzani.
Kemudian dia tidak berupaya untuk membangunkan semua tanahnya. Selepas Umar dilantik menjadi Khalifah, beliau berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal, kamu sudah diberi sebidang tanah yang luas oleh Rasulullah SAW dan Baginda tidak menghalang untuk bertanya sesuatu dan engkau mengusahakan apa yang menjadi milikmu. Dia menjawab: Ya benar.
Umar berkata lagi: Lihat di kawasan mana yang kamu mampu mengusahakannya, kamu peganglah ia dan kawasan yang tidak kamu mampu untuk mengusahakannya, maka serahkanlah balik kepada kita dari dibahagi-bahagikan kepada orang Islam.
Bilal menjawab: Aku tidak akan melepaskannya! Demi Allah, Rasulullah sudah memperuntukkannya kepadaku. Umar menjawab: Kami akan jalankan usaha itu, iaitu aku akan mengambil bahagian yang kamu tidak mampu mengusahakannya dan akan kami mengagihkannya kepada orang Islam.
Umar meriwayatkan bahawa sesiapa yang memiliki tanah kemudian dibiarkan selama tiga tahun tanpa diusahakan kemudian datang orang lain menghidupkan tanah itu, maka orang itu lebih berhak daripadanya.
Justeru dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, eloklah si pemberi hutang mengutip hutang dengan cara baik dan tidak menyusahkan si penerima hutang. Si penerima hutang pula harus membayar hutang apabila berkemampuan menunaikannya.