Thursday, July 16, 2009

Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga

Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentukkeluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma' binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki" � (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya." � (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: "Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga."

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar."

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

Sepuluh pedoman, panduan layari alam perkahwinan

Sepuluh pedoman, panduan layari alam perkahwinan
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
salidasuhaila99@yahoo.com

RUMAH tangga yang bahagia dan aman tenteram menjadi impian suami isteri. Ikatan kasih sayang dua insan dipadukan dengan harapan semoga berkekalan sepanjang hayat. Namun, dalam kehidupan berumah tangga pasti tidak lekang daripada dugaan dan pancaroba yang boleh menggugat kesejahteraan.

Oleh itu, beberapa petua untuk renungan bersama supaya rumah tangga yang terbina kekal aman serta dilimpahi kasih sayang sepanjang masa. Ini perlu bagi mengelak berlaku perceraian yang semakin meningkat.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yamanm, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

Demikianlah 10 petua yang diperturunkan kepada anaknya dan sangat relevan buat kita pada zaman ini, iaitu panduan buat wanita yang akan mendirikan rumah tangga supaya bahtera dilayari bersama suami berada dalam landasan yang betul lagi diredai Allah.

Seperti yang diketahui, pelbagai masalah keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi dan tidak menampakkan susutnya. Jadi sewajarnya petua Umamah dijadikan sebagai teladan dan peringatan buat muslimah.

Rumah tangga aman bahagia akan membawa keberkatan hidup dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Apa yang mustahak, kedua-dua suami dan isteri mesti memiliki sikap saling hormati-menghormati dan nilai toleransi tinggi.

Tidak dinafikan wanita menjadi tunjang kepada terbentuknya suasana bahagia dan harmoni. Imam Hasan Al-Banna berkata: “Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia.

“Perempuan yang menggoyang hayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya. Ketenteraman, ketenangan dan perlindungan, itulah kata tepat untuk menggambarkan antara lelaki dan perempuan.

“Seorang perempuan, wahai saudaraku, berlindung pada suaminya untuk memperoleh kekuatan dan kehidupan, sedangkan lelaki berlindung kepada isterinya untuk memperoleh kecintaan dan kehidupan.”

Andainya sikap saling memahami dan bertolak ansur diterap antara suami isteri, fenomena cemburu buta yang berakhir dengan perceraian dapat ditangani. Ini tidak, hal remeh temeh mencetuskan polemik, sehingga membesar menjadi punca keretakan hingga meruntuhkan rumah tangga.

Kehidupan berumah tangga yang sentiasa berpayung pada cahaya keimanan kukuh tidak akan mudah digoncang, malah sentiasa mendapat berkat Allah. Ingatlah, keluarga yang aman bahagia akan melahirkan anak cemerlang.

Anak yang dilahirkan dalam ruang lingkup keluarga harmoni akan memacu landasan hidup sempurna. Wujudlah rumahku, syurgaku, yang menjadi impian semua pasangan. Semua inginkan kebahagiaan melalui gerbang perkahwinan dan Islam menggalakkan perkahwinan untuk mencari ketenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumahmu sebagai tempat tinggal (untuk ketenangan).” - (Surah An-Nahl, ayat 80)

Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga

Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga
Oleh Mohd Zamri Shafie

'Kedayusan' pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.

Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan.

Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." � (Surah An-Nisa', ayat 34)

Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.

Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.

Sejarah penciptaan Adam sebagai manusia pertama yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah adalah ketentuan sudah ditetapkan. Allah sebagai Khaliq membentangkan amanah kepada manusia pertama diciptakan seterusnya generasi lelaki yang dilahirkan selepas itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." � (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya menyatakan, Islam mengajarkan umatnya khususnya lelaki menjadi manusia bertanggungjawab dengan amanah yang dibebankan ke atas dirinya. Amanah itu meliputi seluruh hidup dan orang berada di sekelilingnya.

Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada kecil atau besar. Semua tanggungjawab itu akan ditanya di akhirat kelak dan disebabkan itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah serta ikhlas.

Daripada Ibn Umar, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya." � (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kegagalan dalam kepemimpinan akan mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat diciptakannya.

Kepincangan dilihat bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang di sebalik 'kedayusan' tertanam dalam dirinya.

Perbaikilah diri dan fahamilah matlamat hidup di dunia sementara ini demi perjalanan yang tidak pasti nasib sama ada beroleh keuntungan atau kerugian di akhirat sana. Manusia akan terlalai dengan dunia, rugi nasibnya di dunia, pasti di akhirat akan lebih merana.

Jadilah manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah, ayat 71)

Hak Muslim: Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka

Hak Muslim: Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka

Soalan:
BAPA saya sudah meninggal dunia beberapa bulan lalu dan meninggalkan sebuah rumah serta sejumlah wang tunai. Bapa saya meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua perempuan. Arwah ayah menamakan ibu sebagai penama kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memiliki polisi insurans yang meletakkan ibu saya sebagai penama. Bagaimana cara untuk melantik pentadbir? Apakah kedudukan wang KWSP dan wang insuran arwah bapa termasuk sebagai harta pusaka?

Hisham,
Klang.

Jawapan:
Peruntukan berkaitan pembahagian harta pusaka dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat. Dan orang perempuan pula ada bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian ditetapkan (Allah).” - (Surah An-Nisa’, ayat 7)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Serahkan harta pusaka kepada pemiliknya. Jika ada baki, serahkan kepada kaum keluarga lelaki terdekat.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Harta peninggalan hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada yang berhak menurut hukum pewarisan dalam Islam selepas ditolak semua hutang termasuk kos penyelenggaraan jenazah dan kos pentadbiran harta pusaka.

Bagi mentadbir harta pusaka, satu Surat Kuasa Mentadbir hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta yang lebih daripada RM600,000 atau melalui Pejabat Tanah di Bahagian Harta Pusaka Kecil bagi harta peninggalan bernilai kurang daripada RM600,000 dengan syarat salah satu daripada harta peninggalan arwah adalah harta tak alih sama ada rumah, tanah kebun atau lain-lain harta seumpama dengannya.

Urusan mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka akan menjadi mudah apabila semua waris mempunyai kata sepakat melantik seorang ahli waris sebagai pentadbir kepada harta pusaka si mati .

Kebanyakan kes harta pusaka tertangguh di mahkamah berpunca daripada tiada persetujuan antara waris untuk melantik pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka adalah pemegang amanah atau wasi yang bertanggungjawab mentadbir harta pusaka di mana antara tugasnya ialah memaklumkan kematian kepada pihak berwajib.

Ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak bank di mana arwah mempunyai akaun simpanan, pihak insurans jika ada dan lain-lain pihak berkenaan bagi memastikan kematian si mati dimaklumi untuk diambil tindakan sewajarnya.

Pentadbir juga bertanggungjawab melunaskan hutang si mati dan urusan itu dapat dilakukan selepas waris mendapat kuasa sebagai pentadbir kerana seorang pentadbir berhak mengeluarkan wang simpanan atau mencairkan harta bagi membayar hutang sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak.

Perlu diingat, kuasa pentadbir adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Jika berlaku penyelewengan terhadap harta pusaka si mati, pihak tidak berpuas hati boleh memfailkan bantahan bagi melantik pentadbir baru.

Mahkamah Syariah adalah berbidang kuasa seperti diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri bagi menentukan orang yang berhak menurut hukum syarak untuk mendapatkan bahagian daripada harta pusaka si mati dan seterusnya mengeluarkan Sijil Faraid bagi membolehkan pentadbir harta pusaka menjalankan tugas pembahagian harta pusaka.

Memandangkan isteri arwah masih hidup dan mempunyai anak, maka bahagian isteri arwah adalah satu perlapan bahagian tidak termasuk hak harta sepencarian yang wajar ditolak terlebih dulu sebelum harta arwah difaraidkan.

Anak lelaki memperoleh dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Walaupun arwah menamakan isteri sebagai penama KWSP, penamaan itu tidaklah bermaksud isteri berhak ke atas keseluruhan wang KWSP, sebaliknya penamaan hanyalah sebagai pentadbir bertanggungjawab untuk membahagikan wang berkenaan kepada waris yang berhak.

Ini seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1973, wang KWSP, bank simpanan pejabat pos, bank dan insurans perlu dibahagikan mengikut faraid dan penama adalah orang melaksanakan pembahagian wang mengikut faraid.

Oleh demikian sewajarnya waris berlapang dada dan bersepakat dalam melantik pentadbir bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah

INFO

# TILAWAH al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-52 diadakan pada 14 hingga 18 Julai ini di Universiti Teknologi Petronas, Bandar Seri Iskandar, Tronoh, Perak.

# JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menganjurkan Pertandingan Menulis Esei sempena ulang tahun ke-35 tahun penubuhannya. Terbuka kepada semua warga Malaysia kecuali pegawai dan kakitangan Jawi/MAIWP, tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2009. Maklumat lanjut, layari laman web www.jawi.gov.my.

# RUANGAN Agama Berita Harian membuka ruang kepada badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai program atau aktiviti kemasyarakatan yang mereka jalankan. Hantarkan maklumat lengkap ke alamat emel bhagama@bharian.com.my atau faks di nombor 03-22822425/03-22824340 atau hubungi talian 03-22822323 sambungan 4400.