Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ISLAM adalah al-Din yang menitikberatkan aspek kekuatan lahiriah dan batiniah umatnya. Islam merangkumi ajaran yang menekankan keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Justeru, umat Islam dituntut mencari segala keperluan duniawi sebagai jalan untuk meraih kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia akhirat.
Dalam hal ini, Saidina Abu Bakar al-Sidik pernah berpesan dengan katanya, "Kuatnya umat bukan kerana ramainya, tetapi kerana kukuhnya ikatan dan satu matlamat."
Jelas kekuatan umat Islam yang sebenarnya bertitik tolak daripada keimanan dan pegangan teguh terhadap ajaran Islam. Ajaran Islam adalah sumber kekuatan yang mengangkat martabat umatnya sebagai umat terbaik dalam segala lapangan hidup.
Pernah suatu ketika, seorang tawanan Rom dapat meloloskan dirinya daripada tawanan tentera Islam. Akhirnya Raja Heraklius bertanya kepada bekas tawanan itu mengenai pasukan tentera Islam supaya seluruh kehidupan mereka tampak jelas di hadapannya. Tawanan perang tadi pun mendedahkan bahawa pasukan tentera Islam adalah ahli ibadat pada waktu malam dan ahli kesatria pada siang harinya.
Raja Heraklius memiliki jumlah tentera yang ramai berbanding tentera Islam yang terbatas. Ketua panglima tentera Islam, Amr bin al-'As memaklumkan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq mengenai kedudukan tentera Islam itu lantas, Khalifah Abu Bakar menyatakan dengan tegas, "Kalian orang Islam tidak akan dapat dikalahkan hanya kerana jumlah yang kecil. Tetapi kalian semua akan dapat dikalahkan walaupun mempunyai jumlah yang ramai melebihi jumlah musuh kamu jika kalian semua terbabit dalam maksiat dan dosa yang dilarang Allah."
Ketika Heraklius tiba di Antokia selepas pasukan tentera Rom teruk dikalahkan oleh tentera Islam, dia bertanya: "Sila beritahu kepadaku mengenai orang yang menjadi lawan kepada kalian dalam peperangan. Bukankah mereka juga adalah manusia seperti kita juga? Mereka menjawab: "Ya!" Raja bertanya lagi: "Apakah kalian yang lebih banyak jumlahnya ataupun mereka?" Jawab mereka: "Kamilah yang lebih banyak jumlahnya di mana-mana saja kami saling berhadapan." Raja berkata: "Kalau begitu, mengapa kalian pula yang dikalahkan?"
Seorang yang dianggap paling tua di kalangan mereka pun menjawab: "Mereka adalah ahli ibadat pada malam hari, rajin berpuasa pada siang hari, mereka menepati janji, menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran dan saling berbuat adil sesama mereka, sedangkan kami pula suka minum arak, berzina, melakukan hal terlarang, melanggar janji, suka marah, berbuat zalim, menyuruh kepada kebencian dan berbuat kerosakan di atas muka bumi."
Kisah di atas menyingkap pengajaran penting kepada umat Islam masa kini dan akan datang bahawa umat yang kuat bukanlah kerana kecanggihan senjata mahupun kerana bilangan tentera yang ramai. Tetapi kuatnya umat kerana ketaatan mereka melaksanakan ajaran Islam.
Umat akan menjadi kuat jika mereka benar-benar mentaati segala perintah Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW. Sebaliknya, umat Islam akan ketinggalan, mudah ditakluki musuh dan dihina oleh umat lain jika mereka mudah berbuat dosa, mengabaikan perintah dan larangan Ilahi serta Rasul-Nya.
Umat Islam akan mudah berpecah belah dan rapuh apabila mereka mengabaikan ajaran agama untuk bersatu padu, beristiqamah dan bersatu hati menjunjung satu perjuangan suci.
Catatan sejarah Islam membuktikan kejayaan penyebaran Islam dan syiarnya ke seluruh pelosok bumi ini adalah hasil perjuangan umat Islam terdahulu. Generasi gemilang terdahulu muncul sebagai umat terbaik, berwibawa, dihormati, bermaruah dan disegani kawan dan lawan sehingga tidak mudah dipermainkan serta dipengaruhi oleh musuhnya.
Jumlah mereka sedikit, namun mereka memiliki kualiti iman yang kental, amal yang konsisten sehingga Allah mengurniakan hidayah-Nya dan pertolongan-Nya memberikan kekuatan kepada mereka sesuai dengan janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad, ayat 7)
Jelas di sini bahawa kekuatan yang dimaksudkan bukan sekadar kekuatan material atau luaran seperti kekuatan senjata, ekonomi, sosial, pendidikan, malah kekuatan yang perlu ditekankan ialah kekuatan dalaman iaitu kekuatan akidah, ibadat, akhlak, ukhuwah Islam dan seumpamanya.
Hasil gabungan kedua-dua kekuatan iaitu kekuatan dalaman dan luaran inilah yang melahirkan generasi terbaik serta cemerlang pada suatu ketika dulu. Mereka memanfaatkan segala kekuatan hingga mampu mencipta satu tamadun Islam yang tiada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah Islam.
Lebih-lebih lagi era mutakhir ini iaitu era globalisasi yang menyaksikan pelbagai pertarungan sengit antara umat manusia di seluruh dunia kerana masing-masing berlumba-lumba untuk mencipta kemajuan demi kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.
Kehadiran globalisasi ini tidak sewajarnya dipandang ringan oleh umat Islam, bahkan mereka sepatutnya lebih bersedia menghadapinya dengan bijaksana serta rasional yang berpaksikan iman, akal dan ilmu.
Oleh itu, Islam daripada awal lagi mengingatkan umatnya supaya sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran mendatang berpandukan hidayah petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Globalisasi yang berlaku turut menyebarkan nilai kebatilan dan perilaku yang nyata bercanggah dengan nilai Islam dan juga budaya maksiat bejat hingga mewujudkan suatu krisis sosial meruncing di kalangan umat Islam.
Disebabkan pengaruhnya yang negatif itu, maka berlaku pelbagai kejadian dan krisis sosial yang serius mewarnai pentas kehidupan umat Islam, terutama di kalangan muda mudi.
Justeru, umat Islam perlu membangunkan kekuatan ummah. Mereka tidak sepatutnya lagi bersengketa, bermasam muka, berpecah-belah, menuding jari menyalahkan pihak lawan, mencetuskan huru hara dan mengeruhkan keharmonian masyarakat majmuk.
Sebaliknya, mereka perlu menjalinkan ikatan persaudaraan kukuh lagi akrab tanpa mengambil kira pandangan politik, darjat keturunan dan warna kulit supaya lahir sebagai umat cemerlang, lagi terbilang yang memantulkan nilai kebaikan serta keadilan Islam kepada seluruh warga alam.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago