Sunday, August 30, 2009

Fungsi radio di Selatan Thai

Fungsi radio di Selatan Thai


SUASANA di konti Stesen Radio Pattani ketika juruhebah mengendalikan rancangan.


DALAM amalan demokrasi hak kaum-kaum tertentu tetap harus dipelihara biarpun mereka adalah kelompok penduduk minoriti.

Inilah senario yang dapat disaksikan jika kita melawat dua stesen radio milik kerajaan Thailand dan meninjau kehidupan masyarakat Islam di selatan negara itu menjelang Ramadan.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh penulis, ia jelas membuktikan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh kerajaan Thailand. Biarpun masyarakat Islam di negara itu adalah kaum minoriti namun mereka tetap diberi peluang yang sama rata dari segi penyebaran maklumat dan menjalankan aktiviti harian.

Stesen Radio Pattani dan Stesen Radio Narathiwat menjadi pengantara utama antara penduduk Islam dengan kerajaan Thailand.

Kedua-dua stesen radio itu memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat yang tepat dan betul mengenai situasi semasa. Langkah itu bertujuan bagi mengelakkan umat Islam terpengaruh dengan sebarang dakyah yang boleh memecah belahkan mereka.

Apa yang menarik kedua-dua stesen radio berkenaan turut menyediakan ruangan khas untuk umat Islam. Ia bersesuaian dengan fungsinya yang bukan sahaja bertindak sebagai penyebar maklumat tetapi juga saluran berdakwah bagi umat Islam.

Menurut Pengarah Stesen Radio Pattani, Abbas Abdullah, stesen itu yang bersiaran selama 16 jam sehari menyediakan slot tiga jam bagi ruangan agama.

Katanya, sempena menyambut Ramadan, siaran agama akan diadakan selama sejam pada sebelah pagi dan sejam ketika waktu berbuka.

''Selain itu kita juga menyediakan slot-slot seperti ucapan Ramadan, paparan hadis dan selingan,'' katanya ketika ditemui.

Dalam memastikan siaran radio itu mendapatkan sambutan, Abbas menegaskan, mereka sentiasa berusaha memenuhi kehendak tempatan.

''Rancangan-rancangan agama yang kita siarkan mendapat sokongan daripada pihak universiti, Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani dan pakar-pakar agama.

''Kita mahu umat Islam di ketiga-tiga wilayah di selatan iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala mendapat maklumat yang betul kerana itulah matlamat kita,'' katanya.

Turut disiarkan sepanjang Ramadan ialah rancangan khas yang dipancarkan secara langsung dari Bangkok.


SEBAHAGIAN daripada alim ulama yang mengendali rancangan agama sepanjang Ramadan di radio Pattani.


Pada masa ini, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, Radio Pattani mencatatkan 350,000 pendengar setiap hari berbanding jumlah keseluruhan penduduk wilayah tersebut iaitu seramai 850,000 penduduk.

Terpengaruh

Ditanya mengenai sumbangan radio itu dalam usaha mewujudkan keamanan di selatan, Abbas berkata, mereka bertanggungjawab menyiarkan maklumat yang betul.

''Apabila berlaku sesuatu kejadian yang mendapat perhatian masyarakat, kita akan memanggil pelbagai pihak untuk memberikan penjelasan.

''Melalui cara itu, ia akan mengelakkan masyarakat terutamanya umat Islam terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak tepat,'' katanya.

Di Stesen Radio Narathiwat pula, Pengarahnya, Abdullah Hassan memberitahu, sempena Ramadan, radio berkenaan menyiarkan secara langsung solat tarawih dari Mekah.

''Selain itu, kita juga mempunyai slot pada sebelah pagi dan menjelang waktu berbuka puasa,'' katanya.

Beliau berkata, radio berkenaan yang bersiaran 24 jam sehari, mempunyai ruangan soal jawab agama yang merupakan salah satu program yang mendapat sambutan hangat.

''Pendengar kita bukan sahaja terdiri daripada masyarakat setempat, malah di luar negara, ini terbukti kerana kita turut menerima panggilan daripada pendengar yang mengikuti siaran melalui laman web kami,'' katanya.

Dari segi kerjasama dengan Malaysia, kedua-dua stesen radio berkenaan amat mengharapkan kerjasama yang pernah wujud suatu ketika dahulu dijalinkan semula.

''Dulu kita ada kerjasama melalui program ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama dari Malaysia tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Kita berharap usaha ini disambung semula kerana ia mendapat sambutan ramai di sini,'' katanya.

Kewujudan kedua-dua radio ini dan diterajui oleh orang Islam telah membuktikan dakwaan berlakunya diskriminasi terhadap umat Islam di wilayah berkenaan adalah tidak benar.

1Malaysia terjemah idea bernegara Ibn Khaldun

1Malaysia terjemah idea bernegara Ibn Khaldun

Kejayaan bangsa ditentukan secara kolektif hasil perpaduan rakyat pelbagai agama, kaum

SUDAH ditakdirkan Ilahi artikel ini ditulis bertepatan bulan lahir dan wafatnya Bapa Sosiologi Islam bahkan dunia, Waliyuddin Abdurrahman bin Muhammad bin Muhammad bin Abi Bakar Muhammad bin al-Hasan yang kemudian masyhur sebagai Ibnu Khaldun. Tokoh ini lahir di Tunisia pada 1 Ramadan 732 Hijrah (27 Mei 1332) dan wafat di Kaherah, Mesir pada 25 Ramadan 808 Hijrah (19 Mac 1406).

Ditakdirkan juga penulis membuat refleksi Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang disambut esok kepada pemikiran teori bangsa Ibn Khaldun.

Seandainya tidak ada satu pernyataan pun, selain oleh ahli sejarah terkenal Barat, Arnold Toynbee (1962) dalam A Study of History: The Growths of Civilizations, maka kita cukup mengetahui siapa Ibnu Khaldun.

Toynbee menulis: ".....and yet in his Prolegomena (Muqaddimah) to his universal history he was conceived and formulated a philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has ever yet been created by any mind in any time and place."

Buku Muqaddimah ini mempunyai enam bab utama iaitu Tamadun manusia secara umum; Tamadun Badwi, bangsa dan kabilah luar; Dinasti, Raja, Khalifah, Pangkat dan Pemerintahan; Negara dan kota, serta semua bentuk tamadun; Aspek mencari penghidupan, keuntungan dan pertukangan; pelbagai ilmu pengetahuan dan kaedah pengajaran.

Buku ini ialah pendahuluan kepada kitab besar Tarjuman al-'Ibar wa Diwan al-Mubtada' wal Khabar fi Ayyam al-'Arab wal Barbar wa man 'asharahum min dzawi s-Sulthan al-Akbar dan ia menjadi ekstrak prinsip yang bekerja di sebalik aneka manifestasi ilmu pengetahuan, pencapaian dan pengalaman masyarakat manusia dari semasa ke semasa.

Seperti kitab masyhur lain yang ditulis pengarangnya dalam penjara termasuk al-Mabsut oleh al-Sarakhsi dan al-Fatawa oleh Ibn Taymiyah, Muqaddimah juga ditulis ketika Ibnu Khaldun dalam penjara dan yang terakhir disebut sudah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti Perancis oleh William de Sale, Prolégomene historiques d'Ibn Khaldoun; Jerman oleh Annemarie Schimmel, Ibn Chaldun: Ausgewaehlte Abschnitte aus der Muqaddima dan Inggeris oleh Franz Rosenthal (1958), The Muqaddimah: An Introduction to History by Ibn Khaldûn.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya, berkata masyarakat dan negara yang kuat memiliki tiga kriteria.

Pertama, perpaduan kebangsaan yang kukuh dengan sikap dan perilaku menganiaya, membenci dan menjatuhkan satu sama lain bertukar menjadi saling memberi, menghargai dan melindungi.

Kedua, kuantiti dan kualiti sumber manusianya. Rakyat yang setia kepada negara akan bertambah makna strategik mahupun tampak positifnya secara ekonomi dan sebagainya jika individu unggul dan cekap. Sebaliknya, keunggulan sumber manusia semata-mata tidak banyak maknanya jika negara dilanda krisis demografi yang membawanya kepada kemusnahan.

Ketiga, kebangkitan bangsa dan kejayaan negara hanya kekal apabila rakyatnya selalu optimis dan mahu terus bekerja keras. Kejayaan tidak dicapai sekelip mata tanpa melalui proses yang panjang.

Menurut Ibnu Khaldun, kejatuhan suatu imperium biasanya diawali dengan kezaliman kerajaan yang tidak lagi mempedulikan hak dan kesejahteraan rakyatnya serta sikap sewenang-wenang terhadap rakyat. Akibatnya timbul rasa ketidakpuasan, kebencian dan ketidakpedulian rakyat terhadap undang-undang dan aturan.

Keadaan ini semakin parah apabila kemudian terjadi perpecahan elit penguasa yang sering berpanjangan disintegrasi dan munculnya petty leaders.

Berbeza dengan penulis sejarah sebelumnya, Ibnu Khaldun dalam analisisnya berusaha objektif. Pendekatan yang dipakainya tidak normatif, akan tetapi empiris-positivistik.

Huraiannya berdasarkan pada das sein dan bukan das sollen, pada apa yang sesungguhnya terjadi, bukan apa yang seharusnya terjadi. Hematnya, kejayaan suatu bangsa lebih ditentukan oleh apakah dan sejauh mana mereka secara kolektif berhasil mengurus potensi yang ada padanya semaksimum dan optimal mungkin. (Lihat Dr Syamsudin Arif (2006): Pangkal Kejatuhan dan Kejayaan Bangsa)

Sejurus mengambil alih kepemimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa waktu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan konsep kenegaraan 1Malaysia.

Seperti dalam penjelasan mengenainya yang disediakan Bahagian Penerbitan Dasar Negara, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1Malaysia ialah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara. 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.

Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1Malaysia juga akan mewujudkan kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dengan slogan Perdana Menteri iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

1Malaysia memerlukan kepemimpinan dan rakyat yang integriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap mereka adalah bangsa Malaysia yang segalanya perlu dinikmati bersama. Malaysia adalah negara kita, tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Bagi ulul albab adalah jelas apa yang ditulis Ibnu Khaldun 600 tahun lalu dan apa yang sedang diterapkan Malaysia hari ini sempena Hari Kemerdekaan Ke-52. Bukankah begitu?

Persoalan Agama: Keistimewaan Ramadan tiada bandingan

Persoalan Agama: Keistimewaan Ramadan tiada bandingan

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

SAYA isteri kedua dan suami pula jarang berada di rumah. Persoalannya, apakah hukum jika isteri itu berpuasa sunat atau qada tanpa memberitahu suami? Persoalan kedua, adakah amalan sunat yang dilakukan pada hari puasa sunat atau qada akan mendapat ganjaran seperti pada Ramadan?

Ingin Tahu
Sungai Buloh, Selangor.

Berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim Nabi melarang seseorang wanita berpuasa sunat ketika suaminya ada di sisinya kecuali dengan izin. Sabda Nabi yang bermaksud: "Tidak dibolehkan seorang isteri berpuasa sunat ketika suaminya ada di rumah kecuali dengan izinnya."

Ini disebabkan antara ketetapan syarak, bahkan salah satu daripada objektif penting pernikahan ialah suami berhak mendapat layanan daripada seorang isteri, antaranya memenuhi keperluan seksualnya. Namun demikian, dapatlah difahami daripada hadis ini, sekiranya suami tidak ada di samping kerana menjalankan kewajipan kepada madunya atau berkursus di tempat lain dalam jarak yang dianggap bermusafir, diharuskan bagi wanita itu untuk berpuasa sunat.

Mengenai kemusykilan kedua, kelebihan yang diperuntukkan Allah pada Ramadan tidak akan berulang pada bulan lain berdasarkan dalil naqli dan aqli.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud: "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur."

Dalam ayat sebelumnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu.

Jelas al-Qurtubi dalam tafsirnya, ayat ke 184 dan 185 ini menandakan secara jelas kelebihan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Ternyata kelebihan Ramadan tidak akan berulang pada waktu lain.

Lebih tegas daripada ayat ini ialah sabda Nabi Muhammad SAW dalam khutbah yang disampaikan pada hujung bulan Syaaban seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: "Sesungguhnya datang kepadamu Ramadan yang penuh dengan keberkatan, Allah menetapkan ke atas kamu semua ibadat puasa sebagai kewajipan, dibukakan padanya pintu syurga, ditutupkan padanya pintu neraka, diikat syaitan dalam bulan ini. Dalam bulan ini, terdapat satu malam yang lebih utama daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kelebihan Ramadan akan terus terhalang daripada memperoleh kebaikannya."

Mengenai kelebihan Ramadan dan mengapa Allah SWT memilih bulan ini, ahli tafsir al-Quran Indonesia yang terkemuka Almarhum Prof Dr Hasbi Siddiqiy, berkata jawapannya terletak pada firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 68 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan)."

Ayat ini memberikan gambaran bahawa ketetapan Allah meletakkan Ramadan sebagai waktu yang dimuliakan dan penuh keberkatan adalah anugerah-Nya sebagai ihsan dan rahmat kepada manusia, agar mempertingkatkan usaha pada musim yang tertentu. Ini kerana resam manusia sememangnya amat lemah untuk melakukan ibadat secara istiqamah sepanjang tahun. Wallahu a'lam.

# Bagi anda yang mempunyai kemusykilan mengenai agama, sila hantarkan soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Persoalan Agama: Mencukur bulu ari-ari sunat, rambut boleh diinai

Persoalan Agama: Mencukur bulu ari-ari sunat, rambut boleh diinai

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

SAYA ingin tahu apakah hukum mencukur bulu dan mewarna rambut baik bagi wanita mahu pun lelaki?

Iela
Lenggong, Perak.

Hukum mencukur bulu bergantung kepada keadaan. Dalam Islam, membersihkan bulu ari-ari adalah suatu perkara sunat yang amat dituntut.

Demikian juga mencabut bulu ketiak. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Malik dalam al-Muwatta, al-Nasaei, Ibn Hibban, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang termasuk dalam fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menipiskan misai dan memotong kuku.

Perbuatan mencukur bulu pada anggota lain makruh atau haram sekiranya dilakukan dengan niat menyerupai jantina yang lain. Ini termasuk usaha lelaki yang mencukur bulu roma dengan tujuan menyerupai perempuan.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan lain-lain bahawa Nabi melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah seperti kesakitan atau alahan pada kulit, harus baginya mencukur bulu roma itu.

Mewarna rambut pula diharuskan malah Nabi pernah mengarahkan sahabat yang mempunyai banyak uban agar mewarnakan rambut agar hilang warna putih itu. Sebagai contohnya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya, Nabi menegur Abi Quhafah pada hari pembukaan Kota Makkah dengan kata baginda : "Ubahlah warna rambutmu ini, tetapi jauhilah warna hitam."

Berdasarkan arahan Nabi ini, kalangan ulama hadis contohnya al-Syaukani dalam Naiulul Awtar, menetapkan galakan memakai inai pada rambut dan janggut dengan warna kemerahan dan kekuningan. Tetapi bersandarkan hadis ini juga, jelas Nabi mengharamkan mewarnakan rambut dengan warna hitam.

# Bagi anda yang mempunyai kemusykilan mengenai agama, sila hantarkan soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.