Monday, July 20, 2009

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari


OPS Tautan Kasih adalah program khidmat bakti dalam bentuk bantuan kemanusiaan. Program yang diperkenalkan beberapa tahun lalu ini melibatkan semua golongan masyarakat tanpa mengira usia.


ISLAM telah menggariskan bahawa tugas mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan maksiat, adalah seruan dan saranan kepada setiap individu Muslim.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka yang demikian itu adalah orang yang berjaya. (ali-Imran: 104)

Meskipun, tidak dinafikan bahawa kerja-kerja dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, iaitu tidak setakat menghulurkan sumbangan atau derma. Pun begitu, berkeperibadian unggul, menuntut ilmu dan berusaha kuat juga adalah bentuk dakwah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menyedarinya, apabila kita sebut keberkesanan berdakwah, tidak dapat tidak, kita perlu menggunakan kaedah yang sistematik dan teratur.

Ini kerana, ia juga mampu melahirkan pendakwah dan sukarelawan Islam yang benar-benar komited, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan umat secara menyeluruh.

Lantaran itu, kewujudan Sukarelawan Al-Falah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang kini telah memasuki fasa kedua penubuhan, dikira satu usaha ke arah memartabatkan dan mempertingkatkan tahap profesionalisme sukarelawan dari badan dakwah Islam agar sentiasa berada di barisan hadapan.

Istilah sukarela bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu Islam kerana kita lebih terdedah dengan konsep gotong-royong. Ia telah menjadi amalan biasa untuk kita menggerakkan sesuatu program atau kerja-kerja khidmat masyarakat.

"Cumanya kini di dalam Sukarelawan Al-Falah konsep gotong-royong itu memang digunakan tetapi ia lebih terancang dan sistematik. Kita menggubal satu kurikulum yang kemas bagi memastikan latihan yang teratur, praktikal dan bersesuaian dijalankan.

"Sejak tempoh penubuhan iaitu pada 2000 hingga kini, pelbagai aktiviti dijalankan di seluruh negeri terutamanya, latihan asas, latihan kepimpinan, program khidmat bakti, kursus pengurusan jenazah, klinik solat, kursus imam muda, ekspedisi.

"Ini tidak termasuk bantuan selepas berlaku bencana alam seperti banjir yang melanda beberapa negeri di sini," jelas Komander Sukarelawan Al-Falah, Mohammad Noor Abdul Rahman dalam pertemuan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohammad Noor lagi, jumlah keanggotaan terkini adalah 40,000 orang meliputi Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sesuatu yang membanggakan, ujarnya, apabila menyaksikan Sukarelawan Al-Falah bergerak sebagai satu pasukan dengan ikatan persaudaraan sejati serta semangat berjuang dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Namun paling menyentuh akui beliau, apabila melihat silaturahim, kemesraan yang terpancar menerusi dua generasi iaitu muda dan tua. Ini dibuktikan menerusi keanggotaan semuda usia 15 tahun hingga kepada 75 tahun.

"Melihat ukhuwah yang terbina bagaikan anak-beranak umpama seperti satu keluarga besar yang penuh dengan nilai-nilai kasih sayang, kerjasama dan keceriaan, di situ nampak kekuatan Sukarelawan Al-Falah berbanding pasukan beruniform yang lain.

"Malah kami turut menerima keanggotaan daripada ahli bukan Islam, sungguhpun peratus mereka masih agak kecil," katanya.

Menurut Mohammad Noor, ini bertepatan kehendak Islam yang tidak mahu melihat kebaikan itu dari satu sudut yang kecil. Bagi mereka, setiap orang itu ada potensi masing-masing adalah menjadi pegangan pasukan.

"Malah program Kembara Dakwah Kebangsaan yang dilaksanakan awal tahun ini boleh dikatakan majoritinya disertai golongan remaja.

"Hasilnya, sedikit sebanyak membuka mata masyarakat luar bahawa golongan sebegini sebenarnya perlu dan harus didekati.

" Sebenarnya, di sebalik kenakalan dan penampilan bebas mereka itu, ada terselit nilai yang positif," kata beliau.

Menurut Mohammad Noor, Sukarelawan Al-Falah telah diasingkan daripada pentadbiran Yadim bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah pasukan sukarela. Kini, ia diletakkan di bawah Majlis Suruhanjaya Sukarelawan Al-Falah.

Sejajar dengan perubahan tersebut, Mohammad Noor berkata, pejabat pentadbiran berpindah ke Jalan Rahmat melalui Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Kalau sebelum ini, dana diperoleh daripada Yadim tetapi sekarang Sukarelawan Al-Falah perlu mencari dana mereka sendiri," jelasnya.

Langkah pertama yang sedang giat dilakukan adalah mengemaskini pangkalan data, mewujudkan pasukan bantuan kecemasan dan seterusnya, mendapatkan tanah atau bangunan pejabat sendiri.

"Pun begitu fokus kami masih kepada pemantapan pasukan ini iaitu dengan tumpuan kepada pengukuhan anggota dan pasukan, penglibatan golongan remaja, penyatuan anggota lama dan baru, penglibatan golongan profesional, menyusun pasukan di setiap negeri dan memantapkan jaringan pasukan," ujar Mohammad Noor yang sedang merancang satu program pertemuan semula (reunion) kesemua anggota pasukan Sukarelawan Al-Falah.

Jelas beliau lagi, langkah sedemikian perlu memandangkan ada di kalangan anggota ini yang telah menerima latihan, tetapi terputus hubungan atas sebab-sebab seperti menyambung pengajian ke peringkat menara gading atau setelah berkahwin.

Oleh itu, mereka inilah yang perlu dicari agar kembali aktif supaya melahirkan sebuah pasukan yang mempunyai kesinambungan golongan belia kepada golongan dewasa.

Akui Mohammad Noor lagi, pihaknya tidak menghadapi masalah komitmen daripada golongan dewasa yang majoriti mereka adalah pesara.

Sayangnya, golongan belia dan beliawanis yang kaya tenaga dan kebolehan inilah yang turut diperlukan bagi memperkasakan Sukarelawan Al-Falah.

Malah tidak dinafikan, 60 peratus keanggotaannya adalah golongan remaja namun penggerak pasukan ini masih diterajui oleh golongan dewasa. Oleh itu, satu usaha bagi mencari pelapis muda sebagai penggerak sedang dicari mekanismenya demi melahirkan sukarelawan Al-Falah yang terlatih, berwibawa dan disegani.

"Sekiranya perkara seperti ini serta pencarian dana tidak ditangani segera secara berhikmah, dibimbangi saranan agar Sukarelawan Al-Falah maju atas tiket sukarelawan Islam serta demi mengisi kelompangan penglibatan di peringkat antarabangsa tidak dapat direalisasikan serta terlaksana.

"Kita tidak mahu peristiwa di mana sukarelawan dari badan-badan dakwah Islam sentiasa terkebelakang dalam segala usaha gerakan dakwah jika dibandingkan dengan badan bukan Islam berlaku lagi.

"Lihat sahaja apa yang berlaku ketika dunia dikejutkan dengan peristiwa ombak besar tsunami di Aceh.

"Kita boleh melihat betapa gerakan dakwah bukan Islam begitu aktif membantu mangsa ombak besar ini. Hendaknya kita mencontohi sikap mereka," jelas beliau.

Kata Mohammad Noor, setakat ini, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa pendakwah Islam ketinggalan berbanding pendakwah dari pertubuhan sukarelawan agama lain yang berada di barisan hadapan apabila bantuan mereka diperlukan untuk kepentingan umat Islam

"Gerakan dakwah yang bersifat profesional akan juga berupaya membawa lambang Islam secara khusus untuk menandingi pertubuhan-pertubuhan sukarelawan agama lain," tambahnya.

Marilah bersama Sukarelawan Al-Falah berbakti dan memperkasa ummah dengan bergelar anggotanya yang berdisiplin dan terlatih dalam pelbagai bidang ilmu.

Gambaran tentang malaikat

Gambaran tentang malaikat

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

GAMBARAN fizikal mengenai Malaikat Jibrail? Dikatakan malaikat itu mempunyai enam ratus sayap, yang luas dan lebar sayapnya itu mampu menjangkau dari kedudukan masyrik sehingga ke maghrib (Barat ke Timur) dan mengenakan busana kebesaran rona putih laksana mutiara yang dilarutkan dengan rupa yang elok dan menawan. Apabila bercakap mengenai kekuatan, Malaikat Jibrail mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dahsyat dan penuh mukjizat!

Maklumat gambaran itu diambil dari laman Wikipedia sebagai cuba memenuhi permintaan pembaca ruangan ini yang mahukan Malaikat Jibrail, yang tugasnya menyampaikan wahyu kepada nabi-nabi, dapat diberi gambaran dengan lebih jelas.

Namun begitu tanpa ada dukungan daripada mana-mana nas atau dalil, gambaran seperti yang diceritakan itu tentunya jauh daripada kesahihan.

Begitupun dalam sebuah hadis ada disebutkan sedikit mengenai gambaran fizikal malaikat itu, iaitu malaikat Jibrail. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku pernah berpeluang bertemu dengan salah seorang malaikat yang membawakan risalah wahyu untukku. Dan aku dapati jarak antara cuping telinga dan bahunya sahaja adalah bersamaan dengan jarak perjalanan yang sejauh 700 tahun lamanya". (riwayat Abu Daud)

Maka, terpulang bagaimana kesemua gambaran fizikal ini dapat kita terima. Apa yang pasti malaikat berbeza ciptaannya dan ciptaannya pasti penuh dengan kehebatan yang sukar digambarkan oleh kata-kata mahupun lakaran lukisan.

Bagi sesetengah kita, gambaran fizikal mengenai malaikat ini penting untuk dikaji dan diketahui. Ini apabila tiada ilmu mengenai itu, maka kita terutama di kalangan anak-anak mungkin mudah terpengaruh dengan pelbagai gambaran mengenai rupa bentuk malaikat, mengikut sesetengah pandangan, walaupun kita tahu semua itu adalah tidak benar.

Ini termasuk yang terpengaruh akibat membaca kisah-kisah penglipurlara misalnya, malaikat digambarkan sebagai kuasa baik (kerana adanya kuasa-kuasa jahat), mempunyai imej seperti hologram dan pelbagai gambaran ilusi yang lain. Malah ada yang dapat 'menerima' apabila malaikat digambarkan sebagai bayi yang comel, gebu dan sihat serta bersayap dan juga lelaki atau perempuan muda berjubah putih dan terdapat lingkaran putih (Halo) di atas kepala dan juga bersayap di belakang mereka.

Namun sebagai umat Islam mempercayai mengenai kewujudan para malaikat adalah menjadi satu kemestian. Ini sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Iman yang lima walaupun kita tidak dapat melihatnya.

Namun kita tahu malaikat itu wujud sebagaimana ada tugas-tugas mereka menanti masa dan waktu sahaja untuk dilaksanakan hatta sehingga pada Hari Kiamat sekalipun.

Begitupun mempercayai secara kosong sahaja mampu menjejaskan keimanan seseorang itu kelak. Ini kerana dipercayai kepercayaan yang ada, tidak lebih hanya di peringkat asas sahaja iaitu sebagaimana yang diajar semasa kecil atau pendidikan di peringkat rendah dalam ruang lingkup yang sempit atau tidak meluas.

Oleh itu, kepercayaan berlandaskan ilmu atau daripada ilmu yang sentiasa digali pasti dapat meningkatkan lagi makam keimanan setiap individu Muslim itu.

Persoalan tentang malaikat

Ini kerana yang penting, kita mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai malaikat. Ini termasuklah apabila dalam agama-agama lain, penganutnya juga percaya agama mereka turut dikuatkan dengan unsur malaikat.

Jadi bagaimana anda dapat menjawab persoalan mengenai malaikat dari perbezaan sudut agama yang berbeza dan seterusnya mengangkat kedudukan malaikat dalam Islam itu melebihi daripada segala-gala kepercayaan kepada unsur yang sama ini.

Perkataan Malaikat merupakan perkataan Arab (yang dibaca: malaa-ikah) iaitu jamak daripada perkataan asalnya iaitu Malak bererti kekuatan.

Maka dari aspek lughah itu dapatlah kita kaitkan bahawa barisan para malaikat merupakan kekuatan-kekuatan yang sangat patuh kepada perintah dan suruhan Allah.

Adakah kekuatan itu berpunca daripada unsur penciptaan malaikat itu sendiri? Wallahu 'alam, Allah jua lebih tahu termasuk jumlah sebenar malaikat yang dikatakan beratus ribu bilangannya diciptakan oleh Allah.

Namun, yang jelas kesemua barisan malaikat ini diciptakan oleh Allah dari cahaya (nur). Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang menyebut; Malaikat telah diciptakan daripada cahaya. (riwayat Muslim).

Begitupun, jangan sama sekali kita mengambil kesimpulan bahawa malaikat itu adalah sejenis makhluk halus pula. Iaitu sebaris dengan makhluk-makhluk halus ciptaan Allah yang lain termasuk syaitan, jin dan sebagainya.

Malaikat bukan sejenis makhluk halus kerana tidak sahaja kerana kemuliaan kejadiannya tetapi yang penting malaikat merupakan satu-satunya makhluk yang tugasnya hanya menyembah Allah, taat kepada segala tugas dan perintah-Nya dan mereka tidak pernah berdosa (tidak ada malaikat baik atau malaikat yang jahat - yang sering kali dikatakan malaikat jahat itu adalah iblis). Lalu bandingkan mereka dengan makhluk halus yang lain, adakah wajar bagi malaikat mempunyai kedudukan yang sama seperti syaitan, jin, hantu dan sebagainya itu?

"Ingatlah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua. Malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri untuk beribadat kepada Allah dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka selalu bertasbih siang dan malam dengan tidak berhenti-henti." (al-Anbiya': 19-20)

Tetapi bolehkah kita katakan malaikat itu sebagai makhluk ghaib? Hanya, jika kita maksudkan malaikat itu ghaib kerana kita tidak dapat melihat, mendengar, meraba dan menciumnya (bau) dengan lain perkataan, kita tidak dapat menghampiri malaikat itu melalui pancaindera yang lima.

Ciptaan Allah

Tetapi apabila memahami bahawa malaikat itu ciptaan Allah yang begitu hebat, dalam jumlah yang tidak diketahui itu, dengan pelbagai tugas dan keupayaan mereka yang tersendiri tidak bermakna ada kelemahan di sisi tuhan sehingga menyebabkan adanya pembantu seperti yang dilakukan oleh para malaikat.

Allah sebenarnya tidak perlukan apa pun ciptaan termasuk malaikat ini tetapi dengan mempunyai pengetahuan dan kepercayaan terhadap apa juga yang menjadi ciptaan tuhan tidakkah itu semua bagi menggambarkan kekuasaan Dia Yang Maha Agung? Untuk menciptakan apa sahaja yang disukaiNya. Malah dengan kehebatan ciptaan-ciptaannya itu adalah menjadi satu bukti yang jelas kepada kebesaran dan keagungan Maha Kuasa itu.

Walaupun disebutkan manusia tidak dapat melihat malaikat namun ada hakikat yang jelas yang kita tidak mampu untuk menafikannya, malaikat pernah ditemui oleh para nabi.

Ini termasuk Nabi Muhammad iaitu dalam bentuk manusia lelaki walaupun kita tahu bahawa malaikat itu tidak mempunyai jantina tertentu sama ada lelaki atau perempuan.

Namun jangan lupa juga malaikat boleh menjelmakan dirinya di hadapan manusia itu sendiri. Ini sebagaimana yang dialami oleh ibu Nabi Isa a.s, Siti Maryam bagi memberitahu bahawa beliau bakal mengandung atau hamil seorang anak lelaki suci (bakal menjadi nabi).

"Maka dia (Siti Maryam) membuat tabir untuk melindungi dirinya daripada mereka. Lalu Kami menghantarkan kepadanya roh Kami (Malaikat Jibrail) yang dijelmakan sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (Maryam: 17).

Malaikat yang dimaksudkan menerusi ayat itu merupakan malaikat Jibrail itu sendiri, iaitu antara 10 malaikat yang wajib diketahui dan dipercayai oleh umat Islam.

Bercerita lanjut mengenai malaikat Jibrail ini, malaikat ini ada disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Baqarah (ayat 97-98) dan surah at-Tahrim (ayat 4).

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya khususnya malaikat Jibrail dan Mikail maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang yang kafir. (al-Baqarah: 98)

Sebagaimana yang dikisahkan sebelum ini pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat itu di Gua Hira' bagi bermulanya lembaran baru untuk baginda memulakan penyebaran dan dakwah Islamiah kepada penduduk Arab yang telah sekian lama tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan.

Namun bagi Nabi Muhammad dan isterinya, Siti Khadijah masih dalam keraguan benarkah yang 'menyapa' baginda di Gua Hira itu benar-benar malaikat Jibrail? Benarkah melalui Jibrail itu ada perintah yang mesti diterima oleh baginda?

"Demi Maha Kudus Dia, Demi Maha Kudus Dia. Itulah Namus Besar yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya jika aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.

"Kalaulah aku masih ada hari engkau mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan bersungguh-sungguh,"

Kata-kata itu adalah dari bapa saudara Siti Khadijah, Warakah bin Naufal sebagai seorang penganut agama Nasrani yang sangat mengetahui mengenai isi kandungan Kitab Injil.

Kata-katanya itu sebagai mengesahkan mengenai kehadiran malaikat Jibrail dan kebenaran 'berita' yang dibawa oleh Namus itu.

Namus Besar (an-Namus'l-akbar) itu tidak diberikan pengertian tertentu oleh Haekal. Namun beliau menyebut mengikut Orientalis, Montgomery Watt, Namus diambil dari perkataan Yunani, iaitu "Nomos" bererti undang-undang atau kitab Suci yang diwahyukan. Namun bukan dimaksudkan sebagai al-Quran.

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.

Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.

Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.

Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.

Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.

Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.

Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.

Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.

Kewajaran Gelaran Sayyiduna

Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud 'Penghuluku' atau 'Penghulu Kami'.

Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz 'Sayyiduna' atau 'Tuan' atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.

Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: "Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.

"Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.

"Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa' al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)

Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: "Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.

"Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: "Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat".

Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis." (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)

Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.

Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:

Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)

Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).

Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa'i dan Ahmad)

Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab

Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafaz Sayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.

Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.

Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:

Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.

Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.

Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.

Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: "Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini".

Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.

Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.

Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.

Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: "Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan."

Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.

Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin.

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MOHD HAMDAN dan Nurhazwani peserta terbaik Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jakim.

Program Kembara Dakwah dedahkan belia strategi terbaik sebar syiar Islam

INGINKAN keputusan cepat, kadangkala terlalu ekstrem dan hendakkan nama menyebabkan gerakan dakwah tidak dapat berkembang dengan berkesan. Suka menuding jari tanpa melakukan apa-apa juga satu ancaman kepada gerakan dakwah.

Justeru, peserta terbaik Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Hamdan Mohd Sharif, 23, mengajak pelbagai persatuan menggembleng tenaga melakukan dakwah ikut kemampuan.

"Semua pihak sama ada individu, persatuan atau organisasi saling melengkapi. Apa juga aliran dakwah, kita boleh menyumbang mengikut kemampuan supaya gerakan ini dilaksanakan dengan berkesan. Islam dan ajarannya tidak boleh dikembangkan kerana sifat nafsi dan suka menunjuk 'akulah yang terbaik' selain tidak mahu memahami orang lain," katanya.

Ahli Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (Pembina) itu berkata, Kembara Dakwah selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu memberi banyak maklumat kepada peserta untuk melihat kaedah dakwah dijalankan Jakim.

Pada masa sama, peserta mengalami serta menghayati pengalaman berdakwah yang dilaksanakan Rasulullah SAW iaitu berjumpa orang di luar sana untuk mengajak kepada kebenaran serta kebaikan.
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz bermesra dengan peserta Kembara Dakwah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kami bukan saja berpeluang bertemu masyarakat Islam, tetapi juga bermesra dengan bukan Islam dan menjalankan dakwah bil hal iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain, berkongsi cerita dan pengalaman dengan saudara baru," katanya.

Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 dikendalikan Bahagian Dakwah Jakim bertujuan memberi pendedahan kepada kepemimpinan belia mengenai pelaksanaan program dakwah di negara ini.

Pengisian program ialah melatih belia, memantapkan sahsiah meliputi akidah, syariah dan akhlak serta meningkatkan jalinan dua hala antara kepemimpinan belia dalam bidang dakwah bagi meningkatkan syiar Islam.

Seramai 50 peserta menyertai program ini terdiri daripada pemimpin persatuan beliau dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLiUC), Darul Quran Jakim, Kolej Darul Hikmah (KDH), Pembina dan Persatuan Belia Masjid Selangor.

Antara lokasi kembara ialah Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Perkampungan Orang Asli Sungai Melut Sepang, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Pusba) Sungai Petani dan Masjid Al-Bukhary.

Bagi peserta terbaik wanita pula, Nurhazwani Abd Rani, 23, penyertaan wanita dalam program itu bakal melahirkan lebih ramai pendakwah untuk mendekati kaum sejenis. Mengakui cabaran dihadapi pendakwah wanita, pelajar jurusan Pendidikan itu berkata, ia bukan halangan untuk wanita asal menjaga syariat dan batasan agama.

"Untuk bawa diri di kalangan pendakwah lelaki yang mendominasi bidang ini bukan senang, tetapi Islam tidak mengharamkan pergaulan lelaki dan wanita. Kita juga perlu menjaga batasan supaya niat yang baik tidak bertentangan dengan syariah," katanya.

Beliau berkata, hakikat pendakwah wanita tidak ramai juga menjadikan penyertaan mereka dalam Kembara Dakwah itu penting kerana wanita mudah memahami serta mendampingi belia wanita yang menjadi kumpulan sasaran. Mereka juga menggunakan pendekatan kita mungkin lebih berhikmah.

Nurhazwani berharap persepsi pendakwah milik orang tertentu dan wanita perlu berjubah serta bertudung labuh dapat diperbetulkan kerana setiap yang mengucap syahadah adalah pendakwah.

Katanya, semua mampu menyampaikan dan mengajak kepada kebaikan. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak supaya syiar Islam terus disebar dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.

"Apabila lihat saudara baru saya dapat rasakan mereka ikhlas berpegang kepada Islam dan kisah mereka mendapat hidayah Allah membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim," katanya menceritakan pengalaman manis bermesra dengan saudara baru di Pusba.

Pengarah Dakwah Jakim, Abd Halid Sintol, berkata maklum balas diberikan peserta menampakkan usaha menggerakkan belia kepada suasana kemasyarakatan mencapai matlamat. Modul kepemimpinan yang menekankan semangat silaturahim dan ukhuwah berjaya meningkatkan kepemimpinan peserta sebagai pelapis dalam gerakan dakwah masa akan datang.

"Pengisian program juga sesuai dengan mereka termasuk acara serta aktiviti bersifat ilmiah, tazkirah dan bersifat sahsiah seperti gotong-royong dan sukaneka," katanya.

Tanpa menafikan pendekatan dakwah perlu fleksibel, Abd Halid berkata, Jakim sentiasa menganalisis pengisian dan strategi sesuai bagi belia terbabit dakwah.

Katanya, memahami jiwa remaja yang sukakan keseronokan, Bahagian Dakwah Jakim mendedahkan dakwah bukan saja dengan perkataan, malah melalui tindakan yang boleh mempengaruhi sasaran untuk menerima dakwah mereka.

"Belia adalah zaman penuh cabaran dan perlu pendekatan berbeza. Kita guna pendekatan menyeronokkan. Jika jumpa kumpulan remaja, senyum dan beri salam seperti dianjur Islam," katanya.

Beliau berkata, Jakim berhasrat meneruskan Kembara Dakwah dengan pengisian lebih menarik dan penyertaan lebih ramai sebagai pendekatan mengembangkan sayap dakwah kepada kumpulan sasaran remaja dan belia.

Lima pengajaran utama peristiwa Israk Mikraj

Lima pengajaran utama peristiwa Israk Mikraj
Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Kembara Rasulullah ke alam lain perkuat lagi akidah mengenai kepercayaan ghaib, perintah solat

KINI selepas 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak diketahui akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai pancaindera. Justeru, wahyu dan pertolongan Allah SWT saja yang boleh merungkai segala rahsia alam.

Contohnya peristiwa kembara agung Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang beriman betapa Allah Maha berkuasa menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Makkah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia.

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud;

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui . (Surah al-Isra':1)

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan saja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian itu. Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah;

# Wajib beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar. Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sebenarnya.

# Perintah wajib mengerjakan sembahyang � Ibadah sembahyang yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan.

# Wajib percaya dengan hari Kiamat

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

# Wajib percaya dengan azab Tuhan

Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa.

Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan.

# Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Aminah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Ada pelbagai lagi iktibar yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.