Wednesday, August 5, 2009

Bulan Zakat Kebangsaan 2009

Bulan Zakat Kebangsaan 2009

Oleh AB. RAHIM ZAKARIA

ZAKAT sebagai rukun Islam yang ketiga perlu dimartabatkan untuk menjana ekonomi umat Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda telah menggunakan hasil zakat bagi memerdekakan hamba-hamba dan membasmi kemiskinan.

Saidina Abu Bakar r.a sendiri pernah mengisytiharkan perang ke atas mereka yang enggan membayar zakat.

Berdasarkan dua contoh di atas, jelas bahawa zakat amat diberi perhatian kerana merupakan komponen ekonomi terpenting umat Islam yang wajib dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Di Malaysia, zakat ditadbir oleh Kerajaan Negeri kerana hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah kuasa negeri. Walau bagaimanapun tugas memartabatkan zakat turut didokong bersama Kerajaan Pusat.

Dengan kerjasama erat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) akan sentiasa berusaha ke arah meletakkan zakat sebagai salah satu elemen terpenting dalam pembasmian kemiskinan di kalangan umat Islam.

Bagi maksud di atas, sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) telah diadakan bermula tahun 2008 dan diteruskan sepanjang bulan Syaaban 1430H tahun ini.

Sambutan ini adalah bercorak pendidikan dan pendedahan dengan motonya Zakat 1 Kewajipan, 1 Juta Harapan.

Konsep pendidikan dan pendedahan ini dipilih kerana adalah diyakini bahawa pendidikan merupakan proses terpenting kepada masyarakat, memandangkan masih ramai yang belum memahami tanggungjawab berzakat dengan jelas dan menyeluruh.

Pendidikan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu diberikan pendedahan tentang pentingnya amalan yang ditunaikan secara serius dan aktif. Dengan cara ini diharapkan akan membawa impak yang besar kepada masyarakat untuk bangkit sama-sama memartabatkan zakat.

Pendedahan tidak hanya disasarkan kepada individu dan mereka yang berpotensi membayar zakat sahaja. Sebaliknya kepada masyarakat umum dengan meuar-uarkan program yang telah dijalankan dengan hasil pungutan zakat dan menerangkan bentuk-bentuk program pembangunan asnaf yang telah dan akan dilaksanakan.

Objektif utama sambutan BZK 2009 adalah menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berzakat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap pengurusan zakat di negara ini.

Sebahagian masyarakat Islam umumnya masih beranggapan zakat yang wajib hanyalah zakat fitrah, sedangkan pada hakikatnya zakat harta merupakan komponen yang lebih besar.

Melalui kefahaman ini, diharapkan agar masyarakat akan lebih meyakini fungsi dan peranan institusi-institusi zakat dan seterusnya menggalakkan masyarakat untuk menjadi pembayar zakat yang aktif.

Pelancaran sambutan BZK 2009 akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang juga akan menyampaikan ucaptama perasmian iaitu pada 11 Ogos 2009 bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Serentak dengan perasmian pelancaran BZK 2009, Konvensyen Zakat Kebangsaan 2009 turut diadakan.

Konvensyen itu tidak hanya menumpukan kepada pungutan zakat semata-mata. Sebaliknya menyentuh semua aspek zakat lain yang wajar dihebahkan bagi membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan peranan zakat dalam memantapkan sosio-ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Sepanjang konvensyen, sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan dan satu sesi dialog akan diadakan bagi membincang, merumus dan menghasilkan gagasan resolusi yang akan dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk dikaji dan diambil tindakan sewajarnya dalam memperkasakan institusi zakat di Malaysia.

Para pembentang dipilih daripada kalangan ahli-ahli akademik, wakil-wakil pengurusan zakat negeri-negeri, agensi korporat dan pakar-pakar perundangan.

Konvensyen ini dijangka dihadiri oleh 400 orang peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada ahli akademik IPTA/IPTS, pegawai-pegawai dari agensi korporat, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Syarikat Mengurus Zakat (SMZ), Pejabat Mufti dan ahli-ahli Persatuan Percukaian Malaysia.

Sepanjang tempoh sambutan BZK 2009 ini, berbagai aktiviti telah dirangka oleh MAIN dan SMZ untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing bagi memastikan hasrat dan objektif program ini tercapai.

Di peringkat kebangsaan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di samping majlis perasmian dan Konvensyen Cukai dan Zakat Kebangsaan 2009 adalah:-

a) Pameran - Seperti mana tahun lalu, perasmian pada tahun ini akan diserikan dengan penglibatan MAIN, SMZ dan lain-lain agensi yang berminat merai dan memeriah majlis perasmian BZK 2009.

Pameran sehari yang akan diadakan di ruang legar PWTC diharap dapat memaparkan kepada masyarakat umum tentang fungsi dan peranan MAIN dan SMZ tentang pengurusan zakat. Terutamanya dari aspek kutipan dan agihan di negeri masing-masing di samping memapar komitmen Kerajaan Persekutuan dalam pengurusan zakat.

Gerai pameran juga akan dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin memasarkan produk mereka, khususnya dari kalangan asnaf.

b) Kempen Promosi Zakat - Aspek utama yang akan diberi tumpuan sepanjang tempoh sambutan BZK 2009 ialah bidang promosi zakat. Kempen sebegini seharusnya merupakan aktiviti berterusan berjalan tanpa henti sepanjang tahun, tetapi diperhebatkan dalam tempoh sambutan BZK 2009.

Khutbah Jumaat yang menjadi saluran perdana media umat Islam akan dipergunakan bagi menyampaikan mesej, di samping iklan zakat melalui radio dan televisyen.

Risalah-risalah promosi zakat akan diperbanyakkan dan diperluaskan edarannya bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran orang ramai.

Sepanjang bulan Februari 2009 telah dilangsungkan sambutan Bulan Dakwah Kebangsaan 2009, manakala sepanjang bulan Syaaban 1430H (Julai/Ogos 2009) dilangsungkan pula sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2009.

Kedua-dua sambutan ini bertujuan tidak lain meningkatkan kefahaman dan kesedaran umat Islam seterusnya meningkatkan komitmen dan istiqarah mereka terhadap ajaran Islam dan ibadah yang dilalukan demi untuk kebaikan mereka dan umat Islam seluruhnya dunia dan akhirat.