Thursday, November 8, 2007

Kisah tiga bersaudara memeluk Islam

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI

“Sebelum Islam, saya adalah seorang yang amat menggemari montaku (sejenis arak buatan tempatan), pernah satu ketika selama seminggu berterusan saya mabuk.

“Namun selepas mendapat hidayah Islam, semua itu telah saya tinggalkan apatah lagi menyedari ia tidak baik untuk kesihatan,” kata Sabli Ambang, 40.

Sabli adalah penduduk Kampung Mosolog, Tandek dalam daerah Kota Marudu, Sabah yang terkenal dengan penduduk berketurunan Dusun.

Cerita Sabli, beliau bukan sahaja kuat minum arak tetapi juga merupakan pengedar minuman tersebut di kampungnya.

“Kalau sesiapa yang hendak mencari minuman keras, mereka akan mendapatkannya daripada saya,” katanya tersenyum.

Sikapnya suka kepada hiburan itu amat berlainan berbanding 10 adik-beradik yang terlebih dahulu memeluk Islam termasuk ibu bapanya.

Malah suatu ketika beliau pernah bertengkar dengan adik-beradiknya apabila mereka cuba membawanya memasuki agama Islam.

Baginya soal agama adalah hak peribadinya dan tiada sesiapa yang berhak masuk campur dan menentukan hal tersebut.

Namun, setelah berkahwin pada usia 25 tahun, beliau mula mencari-cari agama yang sesuai dengan naluri dirinya.

“Cakaplah apa sahaja agama dalam Kristian yang saya tidak pernah masuk, SDA, RC, True Jesus, SIB dan sebagainya termasuklah Buddha.

“Selama dua tahun itu saya mencari-cari agama yang sesuai tetapi tidak berjumpa,” ujarnya.

Sehinggalah suatu ketika ketika pulang ke rumah, semasa menaiki tangga beliau dipatuk oleh seekor ular.

Selepas dua minit seluruh bahagian badannya menjadi kebas dan terasa sakit sehingga terpaksa merangkak ke dalam rumah.

Isterinya yang menyedari perkara itu kemudian memanggil bomoh kampung bagi tujuan mengubatinya tetapi semuanya gagal.

“Sehinggalah abang saya yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) datang dan memberi minum segelas air yang dibaca surah al-Fatihah dan ayat Kursi.

“Ajaibnya, dalam tempoh lima minit sahaja badan saya kembali pulih dan tanda dipatuk ular juga hilang,” ceritanya yang kemudian mengambil keputusan memeluk Islam.

Bagi sepupunya pula, Mahathir Sulaiman, 50, beliau mendapat hidayah setelah mengalami mimpi pada suatu pagi di dalam bulan puasa.

Pada masa itu, beliau masih tercari-cari agama yang sesuai dengan dirinya ekoran penceraian ibu bapanya.

Berikutan itu, bapanya kembali kepada agama asalnya iaitu Kristian sementara ibunya kekal dengan Islam.

Mahathir kemudian berkahwin dengan seorang yang beragama Kristian dan memiliki lima cahaya mata.

Ceritanya, dalam mimpi itu, beliau didatangi oleh satu lembaga berbaju dan berserban putih dari arah sebuah bukit di satu kawasan lapang.

Semasa menghampiri dirinya, tiba-tiba kawasan itu bercahaya lantas beliau terdengar bunyi azan dari arah bukit.

“Saya terbangun dari tidur dan terus memikirkan perkara itu. Hati saya semakin kuat menerima Islam dan mengambil keputusan memeluknya,” katanya.

Namun keputusannya mendapat tentangan daripada isterinya yang enggan menurut jejak langkahnya sehinggalah setahun selepas itu, barulah isterinya mendapat hidayah.

Abd. Shukor Abdullah, 32, yang merupakan anak saudara kepada Sabli dan Mahathir pula mempunyai cerita tersendiri.

Beliau melalui pengalaman anak bongsunya yang baru lahir tetapi sentiasa menangis dan sakit-sakit sehinggalah dia mendapatkan bantuan kedua-dua pakciknya itu.

“Setelah mereka berdoa dan membaca surah-surah tertentu di rumah, anehnya anak saya tidak lagi menangis.

“Saya dan isteri kemudian perlahan-lahan mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam,” katanya yang baru sebulan menganut agama suci itu.

Dakwah di pedalaman Sabah perlu digiatkan


MOHD. NAZRI ABDULLAH.

KAMPUNG Mosolog, Tandek adalah sebuah kampung yang didiami oleh suku kaum Dusun di dalam daerah Kota Marudu, Sabah. Uniknya kerana sebahagian penduduk di kawasan ini beragama Islam yang diperoleh semasa proses pengislaman beramai-ramai sekitar tahun 1980-an.

Namun agak malang kerana meskipun telah lama menganut agama suci itu tetapi pengetahuan penduduk mengenai Islam masih cetek.

Malah terdapat di antara mereka yang tidak mengamalkan ajaran agama itu dan ada juga terus meninggalkannya.

Menurut pendakwah bebas, Mohd. Nazri Abdullah, ini berikutan tiadanya gerakan susulan untuk mendekati golongan itu setelah mereka memasuki Islam.

Akibat daripada itu, diakui masih terdapat orang-orang tua Islam yang masih minum air tapai ketika sambutan Pesta Menuai.

Beliau menarik perhatian terdapat kisah seorang tua Islam yang memakai songkok dan berseluar pendek keluar memburu.

Sekembalinya daripada memburu, lelaki tersebut didapati memikul seekor babi hutan yang haram di sisi agama.

“Inilah kesan kurangnya dakwah dan pengetahuan agama penduduk kampung di mana Islam itu hanya pada nama,” katanya yang merupakan anak kelahiran Kampung Mosolog.

Sehubungan itu, baginya, gerakan dakwah perlu ditingkatkan sehingga ke akar umbi agar ajaran agama tersebut dapat difahami dan diamalkan.

Beliau yang berpengalaman menganjurkan lebih 3,000 program di pedalaman Sabah, mengakui masih ramai orang Islam di kawasan itu memerlukan bimbingan.

Nazri dibantu oleh dua rakannya yang juga bekerja secara sukarela iaitu Rosnani Ontul dan Muslin Abdullah.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah menganjurkan pelbagai program berbentuk keagamaan seperti ceramah, kursus dan sebagainya di kampung-kampung.

“Kita akan memanggil penceramah bebas yang bertauliah untuk menyampaikan ilmu kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Namun program-program seperti itu menuntut banyak pengorbanan termasuklah keperluan kewangan yang tinggi.

Sehingga kini, beliau mendapat bantuan kewangan daripada individu tertentu termasuk wakil-wakil rakyat.

Beliau turut menyeru orang Islam agar menyumbang kepada program dakwah tersebut dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubunginya di talian 019-5399476.

Menangani disiplin remaja

Oleh: NURUL IZZAH SIDEK

MASALAH disiplin di kalangan pelajar sekali lagi menyentak perhatian seluruh rakyat Malaysia. Umumnya, guru-guru disiplin di sekolah barangkali terbiasa dengan kesalahan pelajar-pelajar seperti memonteng sekolah, melawan guru, menghisap rokok di sekolah dan sebagainya.

Namun, fenomena kini adalah amat membimbangkan kerana mengikut mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan disiplin moral di kalangan pelajar walaupun menurun iaitu 1.74 peratus daripada 5.5 juta pelajar pada 2005 berbanding 2 peratus pada 2004, ia mewakili 100,000 bilangan pelajar daripada 5.5 juta.

Bilangan yang kecil ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa. Sebabnya bilangan 100, 000 ini boleh mempengaruhi bilangan yang ramai itu. Banyak faktor yang mempengaruhi perlakuan remaja melakukan salah laku moral ini dan beberapa pihak harus sama-sama menangani permasalahan ini.

Faktor-faktor salah laku disiplin

Rata-rata remaja yang bermasalah datang daripada keluarga yang tidak bahagia dan kucar-kacir. Rumah bukan syurga untuk mereka meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman. Kurangnya perhatian daripada ibu bapa menjadikan anak-anak lepas bebas untuk membuat keputusan sendiri.

Lebih menyedihkan jika ada anak- anak yang membesar dengan asyik melihat pertengkaran dan pergaduhan di rumah mereka. Ketiadaan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan tidakpuas hati remaja mendorong remaja ini untuk meluahkannya bersama rakan sebaya di luar rumah, terutamanya di sekolah. Akibatnya kepincangan dari rumah dibawa ke sekolah dan masalah amat sukar diatasi melainkan akar masalah tersebut dapat diatasi.

Selain itu remaja juga mengalami fasa perubahan, di mana kadangkala remaja mengalami masalah konflik diri dan mencari-cari identiti diri. Keperluan diri mula bertambah dan remaja mula meminta pandangannya dihormati sedangkan sekelilingnya menolak. Kurangnya pengetahuan dalam mengawal emosi menyebabkan remaja memberontak dan kadangkala bertindak di luar batasan. Emosi remaja umumnya tidak stabil pada peringkat ini dan kefahaman yang tinggi daripada ibu bapanya amatlah perlu dalam menangani sebarang isu yang dikemukakan.

Remaja yang bermasalah juga seringkali berada di bawah pengaruh rakan yang memberi contoh tidak baik.

Ketiadaan sokongan, nasihat dan pemantauan yang berterusan menyebabkan kecenderungan remaja melakukan perkara-perkara yang tidak baik lebih kuat. Banyak masa dihabiskan di sekolah, justeru rakan-rakan adalah terdekat yang mereka ikuti. Guru-guru mempunyai keterbatasan waktu, dalam mengimbangi tugas menghabiskan subjek dan mendidik pelajar.

Fahaman bahawa rakan-rakan lebih memahami perasaan mereka menyebabkan remaja lebih mempercayai rakan-rakan dalam membuat suatu keputusan. Budaya berseronok dan suka mencuba sesuatu yang baru juga antara lain menjadi faktor penggalak kepada permasalahan ini.

Maka langkah-langkah yang proaktif dan kolektif harus diambil untuk menangani masalah ini. Kerajaan pada tahun lalu telah mencadangkan suatu jawatankuasa untuk membendung permasalahan ini iaitu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin untuk memerangi masalah disiplin pelajar melalui 10 kementerian. Kementerian itu ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Penerangan.

Langkah ini seharusnya disambut dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak untuk menjayakannya. Namun begitu, langkah-langkah untuk menangani masalah disiplin pelajar perlu dilakukan secara menyeluruh (holistik) dan memerlukan perhatian seluruh lapisan sosial dan masyarakat.

Peranan remaja

* Mencari kawan sebaya (peers) yang betul. Umumnya, remaja banyak menghabiskan masa di sekolah bersama rakan-rakan. Pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan daripada terpengaruh dengan unsur-unsur yang salah. Rakan yang baik adalah rakan yang mengingatkan kita semasa kita tersalah arah dan laku. Selalunya rakan-rakan terdiri daripada orang yang sebaya dan bersependapat dalam banyak hal. Maka remaja harus berhati-hati dalam memilih rakan.

* Mendapatkan bantuan jika ada masalah. Remaja perlu mendapatkan nasihat daripada orang lain selain rakan sebaya jika menghadapi masalah di rumah atau dengan rakan-rakan. Kebanyakan remaja lebih suka mendiamkan diri dengan masalah mereka ataupun hanya menceritakan kepada rakan sebaya. Akibatnya, kadangkala langkah yang diambil menjadi masalah kepada orang lain kerana tidak selari dengan tuntutan agama dan undang-undang. Berbincang dengan kaunselor atau guru dapat membantu sekiranya ibu bapa dan penjaga tidak memahami masalah remaja.

* Berusaha menjadi contoh yang baik. Sikap ini harus ada pada setiap remaja kerana ia dapat membantu remaja untuk mengawal diri. Sekurang-kurangnya jka tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada orang lain, jadilah contoh dalam ahli keluarga sendiri dan juga pada diri sendiri. Rasa bersalah sekiranya melakukan kesalahan harus dibayar dengan azam untuk tidak mengulanginya lagi dan tidak berharap orang yang terdekat melakukannya.

Peranan sekolah

* Subjek yang diajar harus ada nilai tambah, iaitu menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap kelas. Kelas boleh dijalankan dengan interaktif supaya pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah dan meneruskan kelas. Elemen subjek agama dan sivik seharusnya ada dalam setiap subjek supaya remaja akan terdidik dengan nilai-nilai murni dalam setiap apa yang dipelajarinya.

* Sentiasa berbincang dengan ibu bapa. Guru kelas boleh mengambil langkah yang proaktif dengan menyelidik latar belakang pelajar-pelajar kelasnya dan menghubungi ibu bapa untuk berbincang jika timbul apa-apa masalah yang boleh membawa kepada perlakuan disiplin. Melabel murid jahat bukanlah penyelesaiannya, tetapi guru seharusnya berusaha untuk memahami punca pelajar bertindak sedemikian. Guru kaunseling juga harus ditambah kerana pelajar boleh merujuk kepada mereka di atas apa-apa masalah yang mereka hadapi.

Peranan Keluarga

* Contoh yang baik. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani. Elakkan pertengkaran di hadapan anak-anak serta perlakuan yang menyebabkan anak-anak berdendam dan tidak berpuas hati. Setiap ibu bapa pastinya menginginkan anak-anak mereka menjadi baik, tetapi ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti. Selain itu ibubapa harus prihatin dengan pergerakan serta rakan anak-anak untuk mengelakkan kejadian yang tidak di ingini berlaku.

* Berusaha memahami keperluan emosi dan jasmani anak-anak. Boleh dikatakan masalah banyak berpunca daripada masalah dalaman iaitu masalah keperluan psikologi. Justeru itu adalah wajar bagi ibu bapa untuk mempelajari keperluan psikologi anak-anak dan cara-cara menangani setiap isu. Ibu bapa juga harus berperanan memperlengkapkan anak-anak dengan ilmu agama dan kekuatan spiritual supaya lebih kuat berdepan dengan cabaran-cabaran masa kini.

Peranan masyarakat dan media

* Masyarakat juga harus berperanan dalam hal ini. Membantu remaja-remaja yang bermasalah seharusnya bermula dengan memahami situasi keluarga remaja berkenaan. Jiran-jiran misalnya boleh membantu dalam mengenal pasti remaja yang bermasalah dan cuba membawa mereka ke jalan yang baik melalui teguran yang berhemah. Media massa juga dapat membantu dari segi pengisian rancangan di televisyen, radio dan juga di suratkhabar. Program-program yang disediakan seharusnya lebih berinformatif dan menjana pemikiran remaja.

Kesimpulan

Dalam hal ini, semua pihak harus menanganinya secara kolektif dan bijaksana. Aliran fahaman remaja berubah dari zaman ke zaman dan cara menanganinya akan turut berubah. Ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan media harus sentiasa menyumbang kepada penyelesaian masalah ini. Menghadapi cabaran globalisasi yang tiada sempadan ini memungkinkan semua maklumat sama ada baik atau benar disalurkan secara terus kepada remaja.

Remaja mungkin mempunyai akses melakukan apa yang mereka mahu, tetapi hanya dengan keimanan yang tinggi dan kesedaran sivik.

Wakaf al-Quran Damai dapat sambutan

Oleh: AZMI ABDUL MALEK

ISLAM sebagai agama sejahtera sentiasa memberi perhatian kepada hubungan sesama manusia selain hubungan dengan Allah.

Sesuai dengan ayat Allah bahawa umat Islam itu adalah bersaudara maka Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) bekerjasama dengan Yayasan Restu bagi mencetak dan mengedarkan 250,000 naskhah al-Quran dengan harga RM10 senaskah kepada umat Islam dalam dan luar negara.

Pengerusi Damai, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, al-Quran tersebut akan dihantar ke negara yang umat Islamnya minoriti.

Beliau berkata, sebagai langkah awal Damai sudah menyumbang 50,000 naskhah kitab suci itu kepada umat Islam di Kemboja melalui muftinya, Kamaruddin Yusof awal Ramadan lalu.

“Pada masa yang sama, Damai turut mewakafkan 10,000 al-Quran kepada umat Islam di China, Ukraine dan Rusia,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, baru-baru ini.

Melalui Program Wakaf al-Quran, Damai berjaya menggalakkan 51,000 umat Islam di negara ini menyumbang RM2.4 juta baru-baru ini.

Zahid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.9 juta itu adalah hasil kutipan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), manakala sebanyak RM414,000 lagi adalah sumbangan 47 syarikat.

Menurut beliau, melalui program tersebut Damai berjaya membangkitkan semangat umat Islam di negara ini supaya menghantar SMS bernilai RM100 sebagai pembayaran wakaf al-Quran.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa umat Islam di negara ini kesedaran yang jelas dan sentiasa membantu saudaranya di negara lain di dunia,” tambahnya.

Menurut Zahid lagi, Damai juga dalam usaha menterjemahkan al-Quran ke bahasa Mandarin dan Vietnam.

“Damai masih menerima sumbangan wakaf ini dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi urus setia kami,” jelasnya.