Saturday, August 29, 2009

Penggunaan ubat, peralatan ketika puasa

Penggunaan ubat, peralatan ketika puasa

BAGI pesakit yang menggunakan ubat dan alat perubatan ke atas anggota badan yang berongga seperti mulut, lubang hidung, telinga, dubur dan faraj, huraian masalah berkaitan adalah seperti berikut:

Perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah:

l Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);

l Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;

l Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan ketika prosedur rawatan itu;

l Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;

l Pendermaan atau pemindahan darah;

l Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;

l Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;

l Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;

l Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;

l Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;

l Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ lain untuk tujuan analisis makmal;

l Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;

l Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;

l Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat; dan

l Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa membabitkan kawasan rongga yang dalam.

Perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang membatalkan puasa:

l Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau penyakit paru-paru kronik;

l Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

l Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (uretroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan `urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing);

l Penggunaan alat seperti enema, tiub suppository, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan;

l Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman; dan

l Penggunaan bius menyeluruh yang membabitkan penggunaan gas.



Sumber: Buku Panduan Berpuasa Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Wanita Islam perlu rebut ganjaran pahala Ramadan

Wanita Islam perlu rebut ganjaran pahala Ramadan

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

DALAM menyambut Ramadan, dianjurkan kita sama-sama ingat mengingat mengenai kebesaran bulan ini. Selalu berdoa semoga Allah memberi kekuatan untuk mengisi bulan ini dengan ibadah yang sebaiknya. Bersyukur pada Allah kerana masih diizinkan hidup untuk bertemu bulan ini sedangkan ramai di kalangan kita yang pergi menghadap Ilahi. Kita juga digalakkan untuk merancang masa supaya dalam kesibukan yang ada, kita mampu memperuntukkan sebahagiannya untuk bacaan al-Quran, menghadiri majlis ilmu untuk menyuburkan ingatan kita kepada kebesaran dan pengisian Ramadan serta melaksanakan solat Tarawih dari awal hingga akhir Ramadan.

Sepanjang Ramadan, kita juga selalu didedahkan dengan berita penangkapan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Begitu juga ada pula kedai makanan menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara terang-terangan. Ini adalah suatu perlakuan yang sangat dikesali.

Walaupun kita tidak terbabit secara langsung dengan penguatkuasaan undang-undang, sebenarnya orang awam bertanggungjawab untuk membantu penguat kuasa undang-undang membanteras kesalahan itu. Ini boleh dilihat dalam peruntukan undang-undang contohnya Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS 2003) memperuntukkan bahawa: “ Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta- merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguat kuasa Agama (PKA) atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu”. Justeru, orang awam mesti sama-sama membantu ke arah usaha mempertahankan kebesaran bulan Ramadan daripada dicemari.

Dalam pada itu, wanita Islam juga dianjurkan agar tidak tertinggal dalam mengisi bulan hebat ini. Dalam kesibukan menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga, wanita Islam perlu mengambil langkah bersesuaian agar tidak terlepas daripada mendapat ganjaran melakukan ibadah khusus yang besar pahalanya ini.

Antara cadangan untuk wanita Islam adalah:

l Turut sama ke masjid bersama suami dan anak untuk berbuka dan melaksanakan sembahyang tarawih berjemaah di masjid. Namun begitu, sekiranya masih mempunyai masalah seperti anak masih kecil dan boleh mengganggu jemaah dengan tangisan dan lari ke sana sini, maka sembahyang Tarawih di rumah adalah lebih afdal untuk mereka.

l Bagi yang mempunyai anak kecil dan sentiasa sibuk dengan urusan rumah tangga, usahakan juga untuk solat Tarawih ketika anak tidur agar kita tidak tertinggal merebut pahala.

l Apabila bangun menyediakan juadah bersahur, mungkin dapat diusahakan terus mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum mengejutkan anak supaya tidak terlepas peluang solat sunat sebelum fajar yang sangat besar pahalanya.

l Mengadakan majlis tadarus al-Quran bersama anak sebelum masuk waktu berbuka. Di samping dapat membetulkan bacaan al-Quran anak, kita juga secara tidak langsung menunjukkan teladan yang baik untuk sama-sama bertadarus dengan anak.

l Sentiasa mengingatkan diri serta anak mengenai kebesaran Ramadan, menyuburkan kekuatan dalaman anak dengan membawa mereka menghadiri majlis ilmu bersama-sama.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam dan sekarang sedang melanjutkan PhD Undang-undang di Melbourne Australia.

Mutiara Kata: Perkara, perbuatan paling berat dipikul ummah di dunia

Mutiara Kata: Perkara, perbuatan paling berat dipikul ummah di dunia

IMAM Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya: “ Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Masing-masing muridnya, menjawab: guru; teman, kaum kerabat, isteri atau suami. Imam Ghazali, berkata: ‘Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah mati. Sebab itu janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Masing-masing menjawab, bulan, bintang dan matahari. Imam Ghazali membenar semua jawapan itu lalu berkata: yang paling tepat ialah masa lalu. Dengan apapun kemudahan kita, manusia tidak boleh kembali kepada masa lalu. Sebab itu kita perlu menjaga dengan teliti hari ini, esok dan akan datang dengan perbuatan yang dituntut agama Islam.”

Menyoal lagi Imam Ghazali : “Apa yang paling besar di dunia ini?” Pelbagai jawapan yang munasabah diterima daripada anak muridnya dan ia membenarkannya, namun berkata, jawapan paling tepat ialah hawa nafsu (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Anak muridnya menjawab dan Imam Ghazali mengiyakan, namun berkata: “Perkara yang paling berat di dunia ialah memegang amanah (Surah Al-Azab : 72). Tumbuh-tumbuhan, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali bertanya: “Apakah perkara yang paling ringan di dunia ini?” Beliau menerima jawapan dan berkata: “Semua jawapan kamu itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.”

Imam Ghazali bertanya, “Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?” Murid-Murid dengan serentak menjawab: “Pedang”. Imam Ghazali membenarkan jawapan itu, namun berkata: “Paling tajam ialah lidah manusia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukakan perasaan orang lain.”

Mencintai negara kerana Allah, Rasul satu tuntutan

Mencintai negara kerana Allah, Rasul satu tuntutan

Oleh Amran Zakaria

ISNIN depan negara akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan. Hari kebesaran negara selepas bebas daripada belenggu penjajahan. Menandakan kebebasan untuk mentadbir negara sendiri dan menentukan hala tuju dan matlamat sebenar negara.

Secara bandingan ternyata bukan mudah untuk memerdekakan negara daripada dikuasai penjajah. Sama ada menggunakan kebijaksanaan atau kekerasan. Dua kaedah yang menjadi pilihan bagi menuntut sesuatu kemerdekaan. Laluan berliku untuk mencapai kemerdekaan negara banyak menyentuh hati dan perasaan kita. Pengorbanan darah dan air mata menuntut semua itu. Melihat susur galur perjuangan pemimpin negara sebelum merdeka maka tepatlah seruan agar kita menyayangi dan mencintai negara secara berkekalan.

Istilah Arab berkaitan dengan semangat seperti ini disebut sebagai hubb al-watan yang mengaitkan kecintaan seseorang itu kepada negara. Maksudnya, hubb al-watan kalau dihayati akan menjadikan seseorang berjiwa dan bersemangat rela berkorban untuk mempertahankan maruah negara. Rela mempertahankan negara bangsa daripada anasir perosak yang menjahanamkan negara. Kata orang kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah.

Kecintaan seseorang kepada negaranya sendiri adalah satu fitrah yang tertanam kukuh dalam diri manusia. Ia satu perasaan yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan. Islam pula sebagai agama yang menepati fitrah manusia sentiasa menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang kepada negara. Ini adalah kerana kewujudan sebuah negara Islam adalah satu jaminan untuk melaksanakan secara amalinya negara Baldatun Toibatun Warabulghaffur. Kehilangan sebuah negara pula adalah satu kekalahan yang sangat hina bagi umat Islam kerana ia saat bermulanya berlakunya penindasan dan pelbagai kezaliman terhadap agama Allah. Lihatlah nasib umat Islam di negara Islam yang dijajah semula.

Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya di dalam kitab Ihya' Ulumuddin dengan katanya "Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang".

Di dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita, betapa Baginda seorang negarawan yang sangat sayang kepada tanah air. Hinggakan ketika hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah berhijrah ke Madinah pun baginda sempat melahirkan perasaan dengan sabdanya yang bermaksud: "Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau". Manakala selepas sampai ke Madinah al-Munauwarah (ke negeri barunya) , baginda pun berdoa: "Wahai Tuhan, baikkanlah rasa cinta kami pada negara Madinah ini seperti mana cintanya kami pada Makkah atau lebih dari itu".( Riwayat Al-Bahaqi)

Sewajarnya kita perlu kepada daya upaya yang kental dan bersemangat tinggi dalam mempertahankan negara daripada sebarang anasir sama ada nyata atau tidak nyata. Setiap orang hanya cenderung memikirkan kepentingannya sendiri. Setiap individu berfikir dan bertindak berdasarkan apa yang bakal diperoleh saja. Individu yang bijak adalah kalangan mereka yang memikirkan masa depan negara dan bersedia untuk mempertahankannya.

Justeru itu, dalam membangunkan kemerdekaan negara aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara dibangunkan secara berterusan sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi. Dengan kata lain, bukan hanya aspek pendidikan dan keintelektualan berserta keterampilan yang perlu dibangunkan, bahkan dibangun juga aspek daya budi dan program cinta kasih pada negara yang membabitkan kesedaran bernegara dan membela negara bangsa.

Akibatnya, rasa cinta kepada negara semakin hari semakin menipis di jiwa warga negara. Apa lagi melihat betapa derasnya pengaruh globalisasi yang menyerang warga kita sehingga menipiskan rasa kecintaan kepada negara yang menjadi tanah air yang menyediakan tempat untuk kita berlindung dan meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika perjuangan pemimpin negara menuntut kemerdekaan sebelum 1957, semangat yang berkobar-kobar terus menyala dalam diri mereka. Pemimpin rela mengorbankan jiwa dan raganya kerana memiliki kebanggaan dan kecintaan demi memerdekakan negara ketika itu.

Persoalan sekarang apakah idealisme perjuangan mereka boleh dihidupkan dalam suasana dan dimensi masa yang berbeza. Apakah akan ada pertanyaan seperti ‘Mengapa saya harus mencintai negara ini? dan ‘Mengapa saya mesti berkorban untuk negara ini? yang menggambarkan tahap sebenar yang menjadi garis piawaian bagi mengukur idealisme kebangsaan melalui pengucapan lisan dan pancaran pengisian ruangan kemerdekaan untuk diisi. Sukar untuk kita menjawab apa yang difikirkan oleh generasi baru di dalam ruang legar pemikiran mereka.

Mencintai negara hasil imbasan daripada cinta kepada Allah dan Rasulnya adalah sesuatu yang dituntut. Sebaliknya, mencintai negara kerana cintakan dunia menjadi punca segala kesalahan dan kesilapan. Bagi orang mukmin cinta negara ialah satu pengorbanan dalam hidup atau satu perjuangan yang tidak dapat diukir dalam perkataan.

Demi kesetiaan kita kepada negara yang tercinta, marilah sama-sama kita mengusahakan program yang dapat menyuburkan nilai cinta dan kasih sayang kita kepada negara. Leka dan cuai seminit boleh menghancurkan negara dalam masa sesaat. Tingkatkan iman sebagai prasyarat utama kejayaan umat di dunia dan di akhirat dalam kehidupan dalam sebuah masyarakat yang bernegara.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (Damai).