Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts
Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts

Sunday, August 23, 2009

Ulul Albab: Takwa matlamat pengurusan puasa Ramadan

Ulul Albab: Takwa matlamat pengurusan puasa Ramadan

Abdurahman Haqqi

BIDANG pengurusan antara kegiatan kemanusiaan yang sangat penting sejak dulu. Tanpa pengurusan berkesan semua matlamat hidup dan kehidupan manusia gagal kerana ia proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti di sekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dengan keluarga, komuniti atau organisasi hingga negara. Kata kerja mengurus (management) berasal daripada bahasa Itali maneggiare iaitu menangani dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin - manus (tangan). Perkataan Perancis mesnagement banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan bahasa Inggeris management pada abad ke-17 dan 18.

Mohammad Fauzi dalam Pengurusan: Definisi, Sejarah, dan Konsep, secara umum menulis pengurusan boleh ditakrifkan sebagai seni melaksanakan proses kerja yang terancang, dilaksanakan bersistematik, teratur dan mempunyai panduan. Konsep pengurusan mencakupi tiga elemen utama iaitu pengurus, organisasi dan tatacara atau panduan pengurusan.

Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubung kait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan pengurus yang adakala bertindak sebagai mastermind dan pada keadaan yang lain sebagai pelaksana.

Sebagai mastermind, pengurus memimpin kelompok subordinat yang bertindak melaksanakan visi, misi dan objektif mengikut perancangan. Usaha mengarah dan memantau perkembangan pelaksanaan dikendalikan pengurus dengan pendekatan subjektif berdasarkan kepemimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi. Sebagai pelaksana, pengurus membimbing dan bergerak seiring subordinat melaksanakan visi, misi dan objektif.

Sama ada sebagai mastermind atau pelaksana, pengurus bertindak berdasarkan tatacara dan panduan. Pengurus ada kuasa bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawab mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsi mengetuai orang bawahan. Kuasa diperoleh sama ada sumber perundangan seperti ditetapkan Perlembagaan yang digubal pada masa organisasi ditubuhkan atau diberikan dengan persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi.

Kuasa pengurus secara ideal dibayangi etika yang jika dikendalikan dengan baik dan menghormati the spirit of ethic membolehkan pengurus mengemudi organisasinya dengan adil, penuh hormat dan berwibawa.

Secara teori, pengurusan ditakrif Mary Parker Follet (1868-1933) ‘sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Di pihak lain, Free-Content Encyclopedia Wikipedia, menyatakan pengurusan boleh ditakrif menurut fungsinya sebagai tindakan mengukur kuantiti pada tempoh tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubah suai rancangan asal atau tindakan mencapai maklumat yang dirancang. James A F Stoner dan Charles Wienkel pula menyatakan, pengurusan ialah proses merancang, menyusun, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat.

Secara praktikal, berdasarkan takrifan pengurusan di atas, kita dapati lima komponen fungsi pengurusan iaitu perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian. Bagaimanapun, Unesco mempunyai proses sendiri yang disebut Planning, Organising, Directing and Controlling (PODC).

Fungsi perancangan ialah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat dengan menggunakan strategi mencari jalan mencapai tujuan serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat. Fungsi penyusunan membabitkan kerja penstrukturan dengan cara pembahagian kerja mengikut kegiatan dan tingkat autoriti.

Fungsi pengarahan penting bagi menjamin aktiviti organisasi berjalan teratur, lancar serta harmoni. Ia merangkumi faktor motivasi, kepimpinan dan sistem komunikasi. Fungsi pengawalan bertujuan memastikan prestasi organisasi dicapai mengikut perancangan dan fungsi penilaian untuk mengetahui kejayaan yang dicapai.

Ibadat puasa pada Ramadan ialah projek besar tahunan yang mempunyai matlamat agung dan mulia yakni ketakwaan seperti difirmankan Ilahi bermaksud: “Hai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah al- Baqarah: 183) Projek agung dan mulia ini tanda kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia mukmin agar mereka meraih banyak manfaat puasa Ramadan. Al-Quran menyebutkan maksudnya: “Dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang beriman (di dunia dan akhirat)” (Surah al-Ahzab: 43).

Bagi fungsi perancangan puasa Ramadan, seorang mukmin sudah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat iaitu takwa dengan menggunakan strategi mencapainya serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat.

Fungsi penyusunan pula membabitkan kerja penstrukturan sepanjang Ramadan dengan cara pembahagian kerja mengikut aktiviti dan tingkat autoriti yang kita miliki dalam mengamalkan ibadat.

Fungsi pengarahan anggota badan selama Ramadan penting bagi menjamin aktiviti itu berlangsung dengan teratur, lancar serta dalam suasana harmoni. Ia membabitkan faktor motivasi, kepemimpinan dan sistem komunikasi menerusi kedalaman ilmu puasa atau fiqh al-siyam. Fungsi pengarahan tidak berhasil dengan sempurna tanpa pengawalan bertujuan memastikan prestasi Ramadan dicapai mengikut perancangan. Selepas itu, fungsi penilaian diperlukan bagi menilai tahap kejayaan puasa Ramadan dicapai atau gagal.

Jika puasa Ramadan sebagai projek agung dan mulia ini tidak diurus dengan berkesan, kita akan menghadapi kegagalan yang merugikan. Bagi pengurusan Ramadan berkesan, setidak-tidaknya kita memperhatikan komponen fungsi pengurusan seperti dihasilkan pakar daripada fungsi perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian atau PODC + E (evaluation). Dengan mengamalkan proses pengurusan PODC + E, insya-Allah kita mencapai matlamat puasa iaitu takwa yang berkesan seperti dibuktikan pendahulu kita sehingga digelar sebaik-baik umat manusia.

Oleh kerana takwalah yang bersemarak dalam hati ketika mereka mengerjakan puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa juga yang mengawal hati daripada kerosakan ibadat dengan maksiat walaupun yang berbisik di hati. Orang yang dihadapkan ayat suci al-Quran sedar tingginya takwa di sisi Allah SWT dan berat timbangannya di dalam neraca Allah. Takwa ialah matlamat yang ditujukan jiwa mereka dan ibadat puasa hanya alat mencapainya. Selamat menunaikan puasa Ramadan. Taqabballahu salih al-a’mal!

Sunday, August 16, 2009

Ulul Albab: Mabims mampu realisasi idea politik al-Mawardi

Ulul Albab: Mabims mampu realisasi idea politik al-Mawardi

Oleh Abdurrahman Haqqi


ANGGOTA Mabims (dari kiri) Raja Datuk Seri Utama Dr Awang Mohd Zain Serudin mewakili Brunei, Datuk Jamil Khir Baharom (Malaysia), Muhammad Maftuh Basyuni (Indonesia) dan Dr Yacob Ibrahim (Singapura) pada mesyuarat Mabims di Kuala, Lumpur baru-baru ini.

Tokoh terkemuka tinggalkan kitab jadi panduan khalifah jaga kesucian Islam sebagai al-din

AGAMA atau al-din dalam bahasa Arab, disebut ratusan kali dalam al-Quran. Al-din disebut sama ada bersendiri atau digandingkan dengan perkataan seperti dini (agamaku), dinuh (agamanya), dinukum (agamamu) dan dinihim (agama mereka), diucap 128 kali. Bagaimanapun, perkataan al-din saja disebut 102 kali itu mempunyai erti selain agama iaitu hari pembalasan seperti dalam surah al-Fatihah ayat 4.

Agama berasal daripada bahasa Sanskrit, kesusasteraan Hindu kuno terdiri daripada dua kata yakni 'a' dan 'gama'. Pertama disebut bererti tidak dan kedua disebut bererti kacau. Jadi agama dari segi bahasa Sanskrit bermaksud 'tidak kacau.' Ia juga bermakna tradisi dan tidak bergerak.


Dari segi istilah asalnya yang diambil daripada ajaran Hindu dan Buddha ia mempunyai pengertian 'peraturan menurut konsep Veda,' seperti dipertuturkan oleh Dr Muhammad Ghalib.

Dalam bahasa al-Quran, agama ialah al-din. Mengenai kesinambungan agama diperakui Allah SWT hanya Islam sejak zaman berzaman al-Quran menegaskan maksudnya: "Allah sudah menerangkan kepada kamu antara perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya � apa yang sudah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang sudah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Nabi Musa serta Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama dan jangan kamu berpecah-belah atau berselisih pada dasarnya." (Surah al-Syura: 13)

Siapakah yang diperintah Allah untuk menegakkan agama? Siapakah yang dilarang Allah untuk menjaga umat tidak berpecah-belah atau berselisih pada dasarnya? Dalam konteks ketiadaan nabi, yang diperintahkan untuk melakukan perkara ini ialah khalifah.

Pandangan ini dengan jelas boleh kita dapati daripada tulisan bapa ilmu politik Islam, Imam Abu Hassan al-Mawardi yang wafat hampir 1,000 tahun lalu (450 Hijrah).

Dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diniyyah menyenaraikan 10 tugas khalifah yang pertama ialah: "Memelihara al-Din mengenai asas (usul) yang tetap dan juga mengenai perkara sudah dipersetujui (ijmak) oleh salaf al-Ummah (umat Islam terawal).

"Jika muncul seorang yang mengadakan bidah dalam agama, atau penyeleweng yang meragukan, menjadi tugasnya untuk menjelaskan keterangan serta menerangkan perkara sebenar di samping menjalankan segala hak dan hukumannya agar terpelihara daripada kerosakan dan orang ramai terhindar daripada penyelewengan."

Al-Mawardi disebut sebagai bapa ilmu politik Islam kerana kitabnya memperkaya lagi khazanah keilmuan Islam. Sebagai seorang yang digelar al-qadiyan (dua hakim) dalam salasilah teras keilmuan mazhab Syafie (seorang lagi ialah Imam al-Ruwiyani wafat 502H), al-Mawardi juga menulis kitab fenomena, al-Hawi al-Kabir syarah daripada kitab Mukhtashar al-Muzani, tulisan Imam Muzani.

Buku ini adalah syarah al-Mukhtashar yang sangat panjang. Di dalamnya dikemukakan pendapat Imam Syafie dan ashshab beliau mengenai dalilnya serta dibandingkan dengan mazhab fiqah lain seperti Hanafiah, Malikiah, Hanabilah, Zahiriah.

Jika merujuk kitab ini, kita dapati kehebatan penulis al-Mawardi.

Itulah idea al-Mawardi yang termasuk segelintir ulama Islam silam yang berjaya memperkukuh kewujudan agama Islam menerusi tulisannya ketika mereka memegang jawatan rasmi kerajaan.

Imam Mawardi ialah menteri dalam kerajaan Abbasiah seperti Imam Ibn Hazm yang juga menteri kerajaan Islam di Andalusia. Kitab kedua-dua menteri ini menjadi rujukan pengkaji ilmu keislaman sesudah mereka wafat.

Dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah, al-Mawardi membincangkan masalah siasah Syariah. Buku ini mengandungi 20 bab antaranya menjelaskan hukum khilafah atau khalifah (kepemimpinan tertinggi), wizarah (kementerian), qada (kehakiman), hukum berkaitan dengan fai, jizyah dan kharaj.

Dalam konteks semasa di rantau ini, tugas dan tanggungjawab khalifah seperti ditulis al-Mawardi ialah memelihara agama, secara tidak rasmi sudah dipertanggungjawabkan kepada Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Re Singapura (Mabims) pada pertemuan tahunan tidak rasminya.

Mabims yang ditubuhkan pada 7 Ogos 1989 ialah kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi memelihara dan menjaga kebajikan masyarakat Islam dengan tidak mencampuri politik negara masing-masing.

Kewujudannya diperkukuhkan lagi selepas tiga menteri anggota pada awal penubuhannya memikirkan perlu mengadakan kerjasama lebih rapat sebagai susulan bagi mencapai matlamat pada Persidangan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Ke-4 pada 1989 di Jeddah, iaitu cara meningkatkan dakwah, aliran yang mengancam dunia Islam dan penyelarasan antara media yang terbabit dalam dakwah.

Matlamat penubuhan Mabims ialah untuk mewujud dan mengukuhkan semangat persaudaraan sedia umat Islam di Asia Tenggara; sebagai wadah bermuzakarah, bertukar maklumat, pengetahuan, bahan kajian dan berkongsi pengalaman serta kepakaran di kalangan ummah serantau dalam menangani perkara yang menyangkut kepentingan bersama ketika mempertingkat dan memantapkan akidah dan syariah.

Selain itu untuk mengangkat kedaulatan umat Islam Asia Tenggara dalam pengembangan ekonomi, sosial dan kebudayaan Islam; menjadi model kepada umat Islam sejagat mengenai budaya kerjasama serantau yang berjaya mentadbir, mengatur dan mengurus hal ehwal Islam; dan untuk memahami sistem perundangan dasar serta peraturan pentadbir hal ehwal Islam di kalangan negara anggota.

Mabims semakin dewasa hari ini kerana mencapai dua dekad perjuangannya dalam mengawal perkembangan syiar Islam yang tidak mudah di rantau ini. Walaupun tidak terlalu gencar dalam kegiatannya, hasil usaha pertubuhan ini dirasakan penduduk rantau ini secara senyap juga.

Bagi masa depan, mudah-mudahan Mabims lebih perkasa dan berwibawa seperti Majmak al-Buhuth al-Islamiyyah, al-Azhar suatu ketika dulu.

Perkara inilah yang kita dapat tangkap daripada syarahan diraja Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertajuk 'Umat Islam dan Cabaran Bagi Negara Islam' sempena 20 tahun penubuhan Mabims.

Dalam titahnya, baginda menegaskan umara perlu memperlihatkan sifat murni Islam seperti ikhlas, amanah, jujur dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab. Mereka adalah golongan pendakwah iaitu sebagai pelengkap peranan yang selama ini dipikul ulama.

Kejayaan umat Islam melaksanakan kerja amal makruf dan mencegah kemungkaran juga antara pendekatan dakwah yang boleh meyakinkan masyarakat.

Kegiatan ini tidak terbatas tanggungjawabnya kepada kumpulan ulama yang selama ini berdiri di mimbar masjid dengan tajuk yang berkisar kepada syariah semata-mata. Umara juga harus turut sama memperlengkapkan aktiviti dakwah kerana mereka mempunyai pentas lebih luas. Selamat ulang tahun Mabims!

Sunday, August 9, 2009

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ayat dimulakan dengan hamdalah iktibar ummah capai kejayaan dunia, akhirat

ADA sesuatu yang menarik daripada lima surah al-Quran dimulakan dengan lafaz hamdalah dengan catatan bahawa basmalah tidak termasuk awal ayat surah al-Fatihah. Kelima-lima surah ini ialah al-Fatihah, al-An'am, al-Kahf, Saba, dan Fatir.

Jika membuka mushaf dan membaca kelima-lima surah ini, anda dapati permulaannya dengan ayat berikut mafhumnya:

# "Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi yang menjadikan malaikat utusan bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang dicipta-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Semua surah di atas dimulakan dengan lafaz hamdalah, Alhamdulillah yang maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah."

Bagi ulul albab yang mempunyai sifat selalu berzikir dan bertafakur tentu mencari rahsia kenapa kelima-lima ayat ini dimulakan dengan hamdalah. Apakah hubung kait antaranya?

Apakah hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya? Bagaimanakah penyatuan makna kelima-lima surah itu boleh dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi?

Siapakah yang boleh dan mesti mengambil peranan untuk menjayakannya? Banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan dalam menyingkap rahsia hubungan kelima-lima surah di atas.

Urutan surah al-Quran seperti pada mushaf hari ini � bermula dengan al-Fatihah dan berakhir dengan al-Nas adalah tauqifi yakni sudah ditetapkan Allah SWT, tidak ada ijtihad daripada siapa pun dalam menentukannya dan tidak ada kena mengena dengan apa pun.

Urutan itu seperti yang ada di Luh Mahfuz sebelum diturunkan hampir 23 tahun masa kenabian junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Al-Fatihah (pembuka atau mula) surah nombor satu, al-An'am (binatang ternak) keenam, al-Kahfi (gua) ke-18, Saba (negeri Saba) ke-34, dan Fatir (pencipta) ke-35.

Dalam Tafsir Pimpinan Arrahman dinyatakan pada nota dua: "Pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna kepada yang dipuji seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan.

Oleh kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan hanya ada pada zat Allah Yang Maha Kuasa; maka hanya Allah SWT berhak menerima pujian seperti Allah juga berhak memuji zat-Nya sendiri."

Daripada kelima-lima surah di atas kita boleh mengambil iktibar demi kejayaan pelaksanaan kehidupan bermasyarakat dan negara berpandukan ajaran dan petunjuk al-Quran. Iktibar ini dilihat sama ada daripada nama surah dan inti sari permulaan ayat dan surah dengan mengambil contoh dilakukan pengarang kitab Asrar Tartib al-Quran (Rahsia urutan surah al-Quran), al-Imam Jalaluddin al-Suyuti.

Iktibar daripada nama surah agar bermasyarakat dan negara boleh berjaya berpandukan al-Quran mesti mempunyai visi (al-Fatihah); kenderaan atau alat (al-An'am); tempat (al-Kahfi); masyarakat/kelompok (Saba) dan pemimpin/pentadbir (Fatir).

Iktibar daripada sudut inti sari awal ayat dalam surah yang dikhaskan untuk matlamat ialah matlamat global atau makro ada dalam hamdalah surah al-Fatihah kerana disebutkan sesudahnya: "Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." Matlamat mikro ada dalam hamdalah surah al-An'am kerana disebutkan sesudah 'yang menciptakan langit dan bumi.'

Penciptaan langit dan bumi hanya sebahagian daripada sekalian alam. Kedua-dua matlamat ini yakni makro dan mikro memerlukan buku panduan dan ia ada pada hamdalah surah al-Kahfi yang menyebut sesudahnya: "yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab Suci al-Quran."

Buku panduan ini mesti dirasa milikan dan dikuasai tuntutannya agar matlamat bermasyarakat dan negara boleh dicapai. Iktibar ini boleh kita ambil daripada hamdalah surah Saba yang menyebut sesudahnya: "yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi."

Agar matlamat berkenaan berhasil, diperlukan jentera pelaksana yang dapat kita peroleh daripada hamdalah surah Fatir yang menyebut sesudahnya: "yang menjadikan malaikat utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya."

Seperti kita akui, malaikat ialah makhluk Allah SWT maksudnya: "Mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala yang diperintah-Nya dan mereka tetap melakukan segala yang diperintah." (Surah al-Tahrim: 6)

Memuji dan mengagungkan Allah SWT ialah kewajipan manusia kerana Dialah yang menciptakan mereka dan menjadikan semua di bumi untuk kepentingan dan keperluan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah SWT sudah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi." (Surah Luqman: 20)

Hassan al-Banna dalam Usul Ishrin menggariskan: "Islam ialah sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah seperti ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah."

Dalam perkara kedua dinyatakan juga: "al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW ialah sumber rujukan bagi setiap Muslim dalam memahami hukum Islam.

"Al-Quran perlu difahami mengikut kaedah bahasa Arab tanpa memberatkan dan tidak pula membabi buta. Sunah pula difahami melalui periwayat hadis yang thiqah."

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara Islam perlu mempunyai falsafah negara merangkumi asas ideal mengenai pandangan dan cara hidup dalam negara dan berbangsa yang dapat mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ketahanan nasional dan mengekalkan kelangsungan bangsa.

Daripada mencari dan meniru falsafah yang tidak sesuai dengan corak hidup masyarakat Islam, sepatutnya digali falsafah kenegaraan daripada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan sunah serta amalan generasi ulung Islam terdahulu dengan mengambil iktibar daripada kelima-lima surah al-Quran yang disorot dalam tulisan ini.

Pengambilan iktibar ini ialah sebagai cara untuk menzahirkan memuji Allah dengan melafazkan Alhamdulillah. Wallahu a'lam.

Sunday, July 19, 2009

Ulul Albab: Israk Mikraj pedoman umat pertahan hak

Ulul Albab: Israk Mikraj pedoman umat pertahan hak

Oleh Abdurrahman Haqqi

Berpegang teguh dengan Islam walaupun ditindas kerana segala kesukaran pasti berakhir

TAHLIL adalah pengucapan kalimah 'La ilaha illallah', tahmid pula mengucap kalimah 'Alhamdulillah' dan tasbih ialah mengucap 'Subhanallah'.

Pengucapan kalimah terakhir itu bertujuan menunjukkan rasa takjub terhadap sesuatu, manakala Alhamdulillah pula bagi menunjukkan syukur. Kalimah pertama 'La ilaha illallah' dilafazkan bagi menunjukkan ketauhidan atau keesaan Allah SWT. Subhanallah yang bererti Maha Suci Allah pula lafaz doa dan zikir yang mempunyai banyak manfaat antaranya berat timbangan kebaikan walaupun ia hanya satu lafaz mudah seperti dinyatakan dalam hadis.

Dalam ajaran Islam, lafaz ini menunjukkan kesucian Allah SWT dari segala kekurangan dan ucapan menunjukkan kesempurnaan-Nya.

Di samping huruf potong (muqatta'at) seperti alif lam mim, surah al-Quran juga banyak dimulai dengan perkataan 'sabbaha' (3 surah: al-Hadid, al-Hasyr dan al-Saff), 'yusabbihu' (2 surah: al-Jumu'ah dan al-Taghabun) dan 'subhana' (1 surah: al-Isra') yang mempunyai pengertian mengucap tasbih.

Sebagai contoh, permulaan surah al-Hadid (besi) maksudnya: "Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Permulaan surah al-Jumu'ah (Jumaat), contoh lain yang bermaksud: "Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci lagi Maha Bijaksana."

Ketika mengkisahkan perjalanan Israk Mikraj junjungan besar kita, al-Quran memulakan ceritanya menggunakan kata dasar 'subhana' tidak seperti kedua-dua surah di atas yang menggunakan kata kerja. Mengapa? Wallahu a'lam.

Pada awal surah al-Israk (perjalanan ketika malam) Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israk: 1)

Jika dalam permulaan lima surah lain difokuskan edisi bahasanya pada 'tetap mengucap tasbih' dan 'sentiasa mengucap tasbih,' maka dalam surah al-Israk yang ditekankan ialah 'Maha Suci Allah.'

Bagi kelima-lima surah berkenaan, fokus pembicaraan ialah makhluk yang mengucap tasbih kerana sifat Allah SWT, manakala surah al-Israk fokusnya pada kudrat Allah SWT yang sudah menggerakkan hamba-Nya melakukan perjalanan pada malam yang sangat dahsyat sehingga menjadi mukjizat di samping mukjizat abadi al-Quran al-Karim, kerasulan Muhammad SAW.

Peristiwa Israk Mikraj ialah mukjizat. Oleh itu, tiada alasan menolak hakikatnya dengan roh dan jasadnya kerana peristiwa Israk Mikraj agung bukan atas usaha ikhtiar Nabi SAW, sebaliknya Baginda menghebahkan kepada orang ramai sudah 'diisrak dan dimikrajkan' oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama buraq yang dicipta daripada cahaya.

Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW dalam peristiwa bersejarah 'diisrak dan dimikrajkan' ke langit. Ini bermakna Israk Mikraj ialah peristiwa di luar kemampuan Nabi SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki Allah SWT berlaku ke atas Nabi SAW dengan dibantu malaikat Jibril. Antara sebab berlaku peristiwa Israk Mikraj pada tahun ke-11 kenabian Baginda SAW ialah penolakan penduduk Makkah dan Taif terhadap ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Seperti kita ketahui, dalam 11 perjalanan dakwah itu, Baginda mengalami pelbagai cabaran dan rintangan daripada kaumnya sehingga memutuskan pergi ke kota Taif untuk berdakwah dan mencari bantuan.

Malangnya, di Taif Baginda menerima cabaran dan rintangan lebih dahsyat daripada di Makkah. Baginda dilontar batu, pelepah kurma, selipar bahkan kotoran oleh penduduk Taif sehingga malaikat bukit memohon kebenaran Baginda untuk menghancurkan penduduk Taif dengan membenam mereka ke dalam bumi.

Dengan sifat kasih sayangnya, Baginda tidak rela berbuat demikian, malah mengucapkan doa masyhur 'Allahummahdi qaumi fainnahum la ya'lamun' (Wahai Allah, berikanlah petunjuk kepada umatku kerana mereka adalah kaum yang belum mengetahui apa-apa).

Baginda akhirnya kembali ke Makkah dan menerima hakikat manusia tidak boleh diharapkan untuk diminta pertolongan kecuali meminta kepada Allah SWT.

Selepas itu berlaku pemulauan yang tidak perikemanusiaan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik terhadap Baginda dan pengikut, khasnya keluarga bani Hashim oleh puak Quraisy sehingga seolah-olah mereka tidak wujud di muka bumi ini walaupun mereka sebenarnya pemimpin terkemuka di kalangan bangsa Arab.

Tidak lama selepas itu, dua tonggak utama kehidupan Baginda selama ini iaitu Siti Khadijah, (isteri) dan Abu Talib, (bapa saudara) meninggal dunia. Tahun itu dikenali sebagai tahun dukacita, 'Am al-huzn.

Sesuai dengan janji Allah SWT kepada Baginda SAW pada permulaan dakwah dalam al-Quran bermaksud: "(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkan kamu dan Dia tidak benci (kepadamu, seperti yang dituduh oleh kaum musyrik)," (Surah al-Duha: 3), maka tiba masanya menunjukkan kepada manusia walaupun Baginda tidak diterima penduduk dunia, maka penduduk langit menerimanya.

Terjadi peristiwa Israk Mikraj sebagai bukti kesulitan yang selama ini melekat pada diri Baginda ketika berdakwah, ada masa untuk berakhir di samping ada pula kemudahan.

Pada hari ini, umat Islam sebagai pembawa agama Islam masih bergelumang kehinaan. Ke mana mereka pergi dan di mana mereka berada, masih dianggap menggugat keselamatan.

Mereka dibunuh walaupun masih dalam perbicaraan mahkamah dan pembunuhnya turut dicadangkan untuk menerima anugerah pingat kebesaran The Cross of Honor oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap Marwa al-Sharbiny di Jerman, awal bulan ini.

Begitu juga saudara kita di Xinjiang, China, yang wilayahnya satu per enam China dan kota minyak kedua terbesar masih dibayangi ketidakadilan pihak berkuasa negara mereka sehinggakan ada yang berasa tertindas di tanah asal mereka yang membawa kepada rusuhan minggu lalu.

Banyak lagi kejadian yang membuat hati kita sebagai pengikut Nabi SAW berasakan seperti dirasai Baginda dan sahabat. Bahkan seolah-olah ia baru berlaku semalam walaupun kejadiannya sudah berlaku lebih 1430 tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai orang beriman kita jangan berasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti berubah. Sebaik-baik ibadat ialah menanti kemudahan dengan sabar biarpun hari terus berganti. Pasti yang ghaib tetap tersembunyi dan Allah SWT tetap pada keadaan dan sifat-Nya.

Allah SWT mungkin menciptakan sesuatu yang baru selepas itu. Selepas lenyap kesukaran, tetap muncul kesenangan. Insya Allah.

Sunday, July 12, 2009

Ulul Albab: Fikiran, hati tenang suburkan sikap optimis

Ulul Albab: Fikiran, hati tenang suburkan sikap optimis

Bersama Abdurrahman Haqqi

IBNU Abbas RA ialah sahabat Nabi SAW yang digelar sebagai hibr al-ummah atau tinta umat kerana kehebatan ilmu, khasnya dalam memahami al-Quran seperti doa yang dimohon Baginda untuknya. Ibnu Abbas mempunyai pendirian unik dan patut kita miliki agar kita hidup tenang, tenteram dan bersahaja seperti beliau.

Ibnu Abbas berkata: "Dalam diriku ada tiga keistimewaan; tidaklah hujan turun ke muka bumi, melainkan aku pasti memuji Allah dan bergembira dengannya, meskipun aku tidak mempunyai kambing dan unta; tidaklah aku mendengar seorang hakim yang berlaku adil kecuali aku sentiasa mendoakan kebaikan untuknya walaupun aku tidak mempunyai perkara apa pun yang mesti dia putuskan; dan tidaklah aku memahami maksud suatu ayat dalam kitab suci Allah, melainkan aku selalu ingin orang lain juga mengetahui isi ayat itu seperti aku mengetahuinya."

Demikian antara kecintaannya untuk melakukan kebaikan terhadap sesama manusia, penyebaran nilai keutamaan di antara mereka, usaha untuk menyelamatkan hati mereka nasihat untuk semua makhluk. Ia datang dari lubuk hati yang suci dan ikhlas yang menganggap semua insan sebagai saudara dan bukan insan sebagai sesama makhluk Allah.

Ini berlainan dengan apa yang dikatakan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat era Bush, Al-Gore Khamis lalu di Oxford University, England seperti dikutip Fox News, Jumaat lalu. Dalam ucapannya, dia berkata: "Perlu diketahui oleh anda semua, melawan perubahan iklim yang semakin parah, harus sama kuatnya ketika dunia melawan Hitler dengan ideologi Nazi." Sebelumnya, dia berkata: "Kita mengenal Winston Churchill sebagai wira dalam Perang Dunia II".

Dalam melawan pemanasan global, kita memang memerlukan kebijakan politik. Namun itu saja tidak cukup, ia perlu sesuatu yang lebih untuk melawan itu semua. Menyamakan Hitler dengan pemanasan global ialah persamaan tidak masuk akal bagi fikiran yang lurus dan tenang, namun bagi fikiran yang kusut, ia mungkin sesuatu yang masuk akal. Hitler ialah manusia manakala pemanasan global adalah bencana alam. Kedua-duanya berbeza kecuali dari sudut natijah berdasarkan orang yang memandangnya.

Ketika fikiran manusia terganggu oleh sesuatu, maka perkara luas menjadi sempit dan yang bagus menjadi buruk serta sesuatu yang menggembirakan berubah sedih.

Dalam hadis sahih disebutkan seorang Arab Badwi solat berjemaah bersama Rasulullah SAW. Pada saat tasyahhud, dia membaca doa: "Ya Allah, berikan rahmat-Mu kepadaku dan kepada Nabi Muhammad dan janganlah Engkau berikan rahmat-Mu kepada selain kami."

Selesai solat, Rasulullah berkata kepada orang Badwi itu: "Engkau membuat sesuatu yang luas menjadi sempit." Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu firman Allah maksudnya: "...dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman." (Surah al-Ahzab: 43)

Ketika fikiran tenang segala sesuatu di depan mata nampak jernih dan semua berjalan lancar serta mudah. Sebaliknya, ketika fikiran kusut segala di depan kita nampak buntu dan semua terhenti atau tertutup kerana dalam fikiran tenang ada tafa'ul, optimistik dan dalam fikiran kusut ada tasya'um, pesimistik. Tafa'ul adalah natijah daripada tauhid, manakala tasya'um adalah natijah daripada syairik.

Kita diperintah Allah dan selalu membaca doa diajar-Nya bermaksud: "(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat di sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jua Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya." (Surah Ali Imran: 8)

Fikiran tenang ialah buah keimanan yang membimbing kita untuk melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dikenali sebagai takwa.

Orang beriman dan memiliki fikiran tenang sentiasa beramal salih. Ketika beramal dia teringat janji Tuhan bermaksud: "Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa daripada amal yang salih, sedang dia beriman, maka tidaklah (seharusnya) dia berasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikit pun daripada pahalanya." (Surah Taha: 112) Padahal dalam ayat sebelumnya, Allah menegaskan bermaksud: "Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah yang maha hidup, lagi yang kekal mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman." (Surah Taha: 111)

Seorang yang berfikiran tenang tidak tergopoh-gopoh ketika melakukan kesilapan atau kesalahan kerana dalam dirinya tertanam pengajaran yang diperoleh daripada hadis bahawa Rasulullah SAW sedang solat berjemaah. Selesai solat ada seseorang berdiri dan berkata kepada Rasulullah: "Aku melakukan suatu dosa dan harus dikenakan hukuman, maka jatuhkanlah hukuman itu padaku."

Rasulullah SAW bertanya: "Apakah tadi engkau solat berjemaah bersama kami?" "Ya," jawab orang itu. Rasulullah pun bersabda: "Pergilah, Allah sudah mengampuni dosamu." (Hadis riwayat Muslim)

Bukankah Allah berfirman maksudnya: "Dan sesiapa yang berbuat dosa atau berbuat zalim terhadap dirinya sendiri, kemudian memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Nisa: 110)

Dengan ketenangan fikiran, empat perkara boleh kita sedari. Pertama, jika kita tidak hidup dalam batasan hari ini, tentu fikiran kita melayang ke mana-mana. Seterusnya, urusan menjadi kacau-bilau dan kedukaan kita lebih banyak. Inilah makna hadis yang bermaksud: "Apabila engkau berada pada waktu pagi, jangan menunggu datangnya petang dan apabila engkau berada pada petang, jangan menunggu datangnya pagi".

Kedua, melupakan masa lalu dan semua yang terjadi. Tumpukan diri pada masa kini kerana memikirkan masa lalu dan sesuatu yang sudah selesai adalah kebodohan dan menyebabkan kegilaan.

Ketiga, tidak menyibukkan diri dengan masa depan, sebab ia masih berada di alam ghaib. Jangan fikirkan sehingga ia datang.

Keempat, jangan mudah tergoncang oleh kritikan. Teguhkan pendirian menghadapinya dan sedarlah kritikan itu mengangkat harga diri setara dengan kritikan itu.

Di samping doa Nabi Musa AS untuk menenangkan fikiran ada juga doa yang dibaca oleh belia beriman yang menyelamatkan diri daripada kezaliman penguasa ketika itu. Ia juga doa untuk penjernihan fikiran kita. Doa itu bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan beri kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami." (Surah al-Kahfi: 10)

Sunday, June 28, 2009

Ulul Albab: Ta 3 panduan umat kukuh persaudaraan

Ulul Albab: Ta 3 panduan umat kukuh persaudaraan

Oleh Abdurrahman Haqqi

GOTONG-ROYONG tanda masyarakat muafakat jadi amalan sepanjang masa.

Ta'aruf, ta'awun dan tawasau tingkat takwa agar peroleh kehidupan mulia dunia, akhirat

JIKA dalam bahasa Melayu kita mengenal konsep 3 Ta yang boleh mengelirukan kehidupan seorang lelaki sehingga dia boleh berjaya mahupun binasa dengannya, dalam bahasa Arab - setidak-tidaknya untuk penyesuaian dengan bahasa Melayu, boleh diperkenalkan konsep Ta 3 yang akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Konsep 3 Ta dalam bahasa Melayu merujuk kepada 'harta, takhta dan wanita' manakala Ta 3 yang dalam bahasa Arab adalah ta'aruf (saling mengenal), tawasau (menasihati) dan ta'awun (tolong-menolong).

Ta 3 ialah asas perhubungan umat manusia sejagat yang digariskan al-Quran secara nyata. Ia panduan Ilahi yang kekal, tidak putus walau apa pun terjadi. Konsep Ta 3 ialah manusia dicipta untuk saling mengenal (ta'aruf). Apabila saling mengenal, mereka diperintahkan untuk tolong-menolong (ta'awun). Selepas itu mereka perlu mekanisme yang boleh meneruskannya yakni saling menasihati (tawasau).

Bagi ta'aruf, Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami sudah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan (beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujarat: 13).

Bagi ta'awun, al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." (Surah al-Maidah: 2)

Bagi tawasau, Allah SWT berfirman maksudnya: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran." (Surah al-'Ashr: 1-3).

Cuba kita bayangkan jika manusia dicipta, kemudian tidak saling mengenal, apa yang akan terjadi? Begitu pula jika sudah kenal, tapi tidak wujud tolong-menolong. Walaupun sudah terjalin hubungan tolong menolong, tapi saling nasihat menasihati tidak menjelma, apa yang akan diperoleh? Hanya hampa dan kepincangan yang bakal dikecapi.

Ibadat yang dengannya tujuan manusia diciptakan seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku" (Surah al-Dzariat: 5) menjelma dalam 'Ta 3'. Ta'aruf, tawasau dan ta'awun juga ialah ibadat.

Seperti kita perhatikan dalam ketiga-tiga ayat di atas, Ta 3 dikaitkan dengan ketakwaan.

Ta'aruf dengan "sesungguhnya semulia-mulia kamu pada sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu." Ta'awun dikaitkan dengan "dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." Tawasau pula dikaitkan dengan manusia yang tidak merugikan dan manusia yang sedemikian ialah orang yang bertakwa.

Sifat tolong-menolong adalah jambatan saling mengenal dan menasihati. Pengertian saling menolong sangat luas, bahkan sampai ke tahap manusia tidak memahaminya.

Ketika Rasulullah SAW bersabda di depan sahabat yang bermaksud:

"Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi," mereka hairan lantas berkata: "Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kamu yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?" Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: "Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya."

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita, akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi maksudnya: "Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya." (Hadis riwayat Ahmad)." Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah bersabda maksudnya: "Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia).

Jika saling menolong diamalkan meluas di kalangan umat, ia tanda keberkatan hidup. Dalam hadis Baginda bersabda maksudnya: "Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum, maka dijadikan pemimpin mereka kalangan orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum dan mahkamah. Allah SWT juga jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan. Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi satu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang dungu yang menangani hukum dan mahkamah manakala harta berada di tangan orang kikir." (Hadis riwayat al-Dailami).

Ketiga-tiga aspek kehidupan masyarakat yang disentuh hadis di atas berhubungan erat dengan tolong-menolong untuk mewujudkan pemimpin dan ulama ulung serta dermawan yang ikhlas.

Jika sifat tolong-menolong juga tidak boleh direalisasikan, tiga perkara yang akan memporak-perandakan sendi kehidupan bermasyarakat seperti sabda Baginda maksudnya: "Ada tiga perkara tergolong musibah yang membinasakan iaitu seorang penguasa apabila kamu berbuat baik kepadanya, dia tidak mensyukuri kamu, apabila kamu berbuat kesalahan dia tidak mengampuni; seorang jiran, apabila melihat kebaikan kamu dia pendam (diamkan saja) tapi apabila melihat keburukan kamu dia sebarkan; seorang isteri apabila berkumpul dia mengganggu kamu (dengan ucapan dan perbuatan yang menyakiti) dan apabila kamu pergi, dia akan mengkhianati kamu." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Dalam sejarah awal Islam, contoh saling menolong di kalangan umat Islam banyak kita temui. Ketika putus hubungan kerabat antara Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya Abu Lahab, dan saudaranya Amru Hisyam (Abu Jahal), iaitu ketika orang Muhajirin sanggup bertempur di medan perang, menentang sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat handai mereka sendiri di medan Perang Badar, ketika itu juga jalinan kekeluargaan terikat begitu erat antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka menjadi saudara dan kaum keluarga yang saling menolong dan membantu. Pada masa sama juga tercantum rasa kasih sayang dan tali kekeluargaan antara orang Muslim Arab dengan Muslim berbangsa lain terjalin hubungan kasih mesra dan setia antara mereka. Semua ini berkat ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Tujuan akhir berjemaah daripada ajaran tolong-menolong adalah penyebaran secara berleluasa amar makruf nahi mungkar yang menjadi mercu tanda kebaikan umat Islam seperti firman Allah SWT maksudnya:

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah SWT." (Surah Ali Imran: 110). Jika tidak ada ta'aruf, ta'awun dan tawasau, bolehkah ayat ini dapat direalisasikan?

Sunday, May 24, 2009

Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara

Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara

Oleh Abdurrahman Haqqi


SUAMI isteri suku Minangkabau turut mengamalkan pemberian harta sepencarian dikenali sebagai harta suarang. - Gambar hiasan

Negara Islam boleh contohi kanun diguna pakai masyarakat Melayu bahagi harta suami isteri

DALAM ruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulis belum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan dengan penawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negara Islam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?" Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.

Pada hari itu ketika membaca akhbar harian Emiriah Arab Bersatu (UAE), al-Ittihad, penulis dapati berita seorang pelajar warga negara berkenaan yang berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafahnya daripada sebuah universiti Tunisia dengan membuat kajian tesisnya bertajuk harta sepencarian dalam undang-undang perkahwinan Islam dan pentingnya UAE mengamalkannya di mahkamah syariah.

Penulis berada di Abu Dhabi dari Selasa hingga Khamis lalu menghadiri seminar ilmiah tahunan ke-17 Fakulti Undang-Undang Universiti UAE. Tajuk seminar tahun ini adalah Electronic Transactions: E-Government and E-Commerce. Penulis membentangkan kertas kerja berkaitan masukan fikah dalam kesahihan kontrak transaksi elektronik dalam Perintah Transaksi Elektronik Brunei Darussalam 2000. Pembentang dari Malaysia diwakili Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Abu Bakar Munir dan Prof Madya Siti Hajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dalam berita al-Ittihad itu, dilaporkan pelajar terbabit yang juga polis berpangkat Leftenan Kolonel sudah menyerahkan hasil kajiannya kepada Menteri Dalam Negeri UAE, Syeikh Saif Zaid al-Nahyan untuk diberi perhatian.

Laporan itu menyebutkan kajian harta bersama suami isteri berdasarkan konsep syarikah mudharabah dan ia semesti diterapkan dalam masyarakat UAE yang semakin maju serta bertamadun dengan perempuannya mendapat hak dan kewajipan sejajar termasuk dalam soal perkahwinan.

Di Nusantara, harta sepencarian sudah dikenali sejak lama. Oleh itu, kita mendapati ia wujud di kalangan beberapa masyarakat terkemuka di Nusantara.

Sebagai contoh ia disebut harta carian laki bini oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan; harta pencarian menurut masyarakat Melayu Sarawak; harta pencarian di kalangan masyarakat Islam Melanau Sarawak; harta gono gini dalam masyarakat Jawa; hareuta sihareukat masyarakat Aceh; harta suarang menurut masyarakat Minang; harta guna kaya dalam masyarakat Sunda; harta druwe bagro dalam masyarakat Bali; harta barang perpatangan menurut masyarakat Kalimantan dan harta usaha sama masyarakat Terengganu.

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh ketika perkahwinan antara suami dan isterinya, hasil sumber atau usaha mereka bersama dan ia mesti mengikut syarat ditentukan hukum syarak.

Ada beberapa pendekatan untuk mengaitkan harta sepencarian dengan undang-undang Islam. Ada yang mengatakan ia adalah sharikah al-abdan; ada yang mengatakan diakui atas dasar siyasah shar'iyyah; ada yang mengatakan atas dasar upah (ujrah), dan ada yang mengatakan atas dasar adat yang baik.

Dengan cara ini penyelesaian terhadap tuntutan kes harta sepencarian dapat dibuat menurut kaedah harta mush, kaedah upah, kaedah pembahagian saham dan kaedah adat.

Kita tidak mempertikaikan pendekatan ini kerana walaupun ulama di rantau ini dalam mencari dasar hukum harta sepencarian berbeza pendapat, dalam kenyataannya ialah harta sepencarian sudah menjadi undang-undang rasmi di rantau ini.

Dari segi undang-undang, di Brunei Darussalam harta sepencarian ditakrif oleh Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 bab 2 (1), Tafsiran sebagai: "Harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Di Malaysia harta sepencarian ditakrif dalam peruntukan atau seksyen 2 (1) mengenai penafsiran setiap akta atau enakmen negeri. Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan No 303, Tahun 1984, mentakrifkannya: "Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Namun dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan No 1, 1983 ada kelainan kerana mentakrif harta sepencarian dengan hanya mengatakan:

"Mempunyai erti yang sama dengan apa yang sudah diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982" yang pada intinya menyamai peruntukan Akta Wilayah Persekutuan. Di Indonesia, harta sepencarian atau harta bersama ditakrifkan oleh Undang-Undang Perkahwinan No 1, 1974 pasal 35 sebagai harta benda yang diperoleh selama perkahwinan."

Jelas kepada kita harta sepencarian di ketiga-tiga negara di atas mempunyai pengertian yang sama iaitu aset yang diperoleh bersama oleh suami isteri secara perseorangan atau bersama sepanjang hubungan perkahwinan mereka wujud selagi tidak ada perjanjian lain yang mengubahnya.

Dalam undang-undang di atas disebutkan mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah aset yang diperoleh oleh pihak itu ketika perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi antara pihak terbabit.

Ketika menjalankan kuasa ini mahkamah perlu mengambil perhatian beberapa perkara termasuk takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset dan hutang oleh satu pihak bagi manfaat bersama serta keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Harta sepencarian tidak merangkumi harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka. Pemiliknya berhak secara keseluruhan ke atas harta itu.

Bagaimanapun, jika harta itu dikerjakan bersama suami isteri ketika perkahwinan dan hasilnya meningkatkan nilai harta berkenaan, pihak yang satu lagi boleh menuntut upah jika terjadi perceraian.

Jika isteri menolong mengusahakan tanah, dia berhak kepada setengah daripada harta itu tetapi jika hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dia berhak mendapat satu pertiga.

Umpamanya, tanah suami atau isteri sebelum perkahwinan (harta bawaan) kemudian mereka bercucuk tanam di tanah itu. Harta ini tidak dikira sebagai harta sepencarian, tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah.

Sebaliknya mengenai harta yang dimiliki secara warisan dengan suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan melainkan mengusahakan tanah itu bersama isteri dan kemudian daripada hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang diperoleh ini dikira sebagai harta sepencarian.

Jika saudara kita di Asia Barat mahu mengambil kira pandangan Nusantara dalam hal ini, kemungkinan besar mereka akan sependapat dengan hasil kajian warga UAE itu, seperti UAE juga sudah menerima penggubalan undang-undang perniagaan nombor dua awal dekad ini yang digubal warga negara Malaysia, Prof Abu Bakar, Dekan Fakulti Undang-Undang UM. Wallahualam.

Sunday, May 10, 2009

Ulul Albab: Kitab al-Umm penyerlah ilmu agama sejagat

Ulul Albab: Kitab al-Umm penyerlah ilmu agama sejagat
Oleh Abdurrahman Haqqi

Imam al-Shafie lahirkan kitab induk menjadi pegangan umat Islam sejak zaman berzaman

MASYARAKAT antarabangsa sedang meraikan perayaan tahunan Hari Ibu sekarang. Ibu dalam bahasa Arab disebut 'al-umm' ialah sumber inspirasi hidup anak manusia keturunan Adam dan Hawa as. Sempena Hari Ibu ini, kita juga ingin membincangkannya tetapi bukan ibu yang mengandungkan kita tetapi ibu yang melahirkan kitab penyerlah ilmu agama sejagat yakni kitab al-Umm karangan Imam Agung al-Shafie.

Untuk mendakwa bahawa seseorang itu bermazhab satu-satu mazhab, dia mestilah memiliki syarat yang tidak boleh diketepikan begitu saja. Ia sama seperti seseorang mendakwa dia graduan satu universiti, maka dia memerlukan persyaratan yang ditetapkan pihak universiti terbabit bermula daripada syarat kemasukan, pengambilan program belajar dan proses pembelajaran serta kelulusan program.

Adalah janggal jika seseorang mendakwa dia bermazhab Mazhab Shafie, sebagai contoh, tetapi dia tidak tahu siapa Imam Shafie, apa kitab karangannya, bagaimana metodologi pengambilan hukumnya, siapa ulama yang menjadi tonggak utama mazhabnya, apa kitab teras mazhabnya dan sebagainya.

Jika dibandingkan dengan mazhab lain daripada sudut khazanah keilmuan mazhab, maka mazhab Shafie mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan inilah yang menjadikan mazhab Shafie sebagai mazhab yang hidup seolah-olah Imam Shafie itu sendiri berada bersama pengikutnya. Dengan perkataan lain, mazhab Shafie adalah mazhab yang mendepankan 'keturunan' atau 'nasab' dalam pengeluaran satu-satu hukum syarak yang mana jika tidak jelas nasab (baca: sanad) maka hukum itu tidak akan diterima ashab, istilah untuk lingkaran ulama mazhab yang dipromosi kegunaannya oleh Imam Nawawi.

Perkara ini penting, kerana kebelakangan ini sering kali pengkaji mengkaji dan menulis fikah Shafie tetapi bukan daripada sumber asalnya. Jika demikian, hasil daripada pengajian berkenaan tidak dapat diterima dan tidak dapat dipandang sah secara ilmiah. Bagaimana mengatakan itu adalah pendapat Imam Shafie apabila yang dijadikan rujukan, sebagai contoh, kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib Syarbini, atau bagaimana dipandang sah apabila mengatakan bahawa pendapat ashab Shafie begini atau begitu, sementara buku yang dijadikan pegangannya adalah kitab Safinah al-Najah.

Dibandingkan dengan mazhab fikah lainnya, mazhab Shafie adalah mazhab yang paling banyak kitab fikahnya, kata Aep Saepulloh dalam "Studi Literatur Fiqh: Pengantar Studi Fiqh Madzhab Syafi'i" yang ditulis di depan kuburan Imam Shafie di Masjid Imam Shafie, Kaherah pada 2005.

Nasab hukum mazhab Shafie berasal daripada kitab pertamanya yakni al-Umm yang ditulis Imam Shafie di Mesir selama lebih daripada empat tahun. Kemudian kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Muzani dalam kitab bertajuk Mukhtashar al-Muzani. Dua abad kemudian kitab Mukhtashar al-Muzani ini disyarahkan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab yang diberi nama Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Madzhab.

Murid Imam al-Juwaini yakni Imam Ghazali meringkaskan kitab gurunya itu dalam kitab bertajuk al-Basith. Tidak puas dengan al-Basith, Imam Ghazali meringkasnya menjadi al-Wasith, kemudian al-Wasith diringkas pula menjadi kitab al-Wajiz dan terakhir, kitab al-Wajiz ini diringkas lagi menjadi kitab al-Khulashah.

Di samping al-Khulashah, kitab al-Wajiz juga diringkas semula oleh Imam al-Rafie dalam kitab al-Muharrar. Selang beberapa lama, datang Imam Nawawi meringkas al-Muharrar menjadi kitab fenomenal yang bertajuk Minhaj al-Thalibin yang mana kemudian menjadi pegangan utama ulama Syafi'iyyah dalam berijtihad dan berfatwa. Kitab ini diringkas oleh Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari dalam kitab al-Manhaj dan kitab al-Manhaj pula diringkas oleh Imam al-Jauhari menjadi al-Nahj.

Mengapa kita menganggap kitab Minhaj al-Thalibin sebagai kitab fenomenal? Ia kerana daripadanyalah mazhab Shafie zaman terakhir berhulu seperti yang kita lihat dalam kitab syarahan ke atasnya.

Imam al-Rafie kemudian mensyarah kitab al-Wajiz tulisan Imam Ghazali dalam dua kitabnya yakni al-Syarh al-Shaghir dan al-Syarh al-Kabir yang terkenal dengan kitab al-'Aziz. Kemudian Imam Nawawi meringkas al-Aziz menjadi Raudhah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, lalu Ibnu Maqarra meringkas al-Raudah menjadi al-Raud dan Imam Zakaria al-Anshari kemudian mensyarah al-Raud ini dalam kitabnya bertajuk al-Asna.

Selepas itu, datang Ibnu Hajar al-Haitami meringkas kitab al-Raud ini dalam kitabnya bertajuk al-Na'im. Kitab al-Raudhah juga diringkas oleh Ahmad bin Umar al-Muzjid al-Zabidi dalam kitabnya bertajuk al-'Ibab, kemudian Ibn Hajar al-Haitami mensyarahnya menjadi al-Ii'ab walaupun tidak sampai selesai mensyarahkannya. Imam Suyuthi juga meringkas kitab al-Raudhah ini dalam kitabnya berjudul al-Gunyah, dan mengumpulkannya menjadi kumpulan pantun dalam karyanya bertajuk al-Khulashah, akan tetapi tidak selesai. Imam al-Qazuwaini kemudian meringkas buku al-Aziz karya Imam Rafie dalam karyanya berjudul al-Hawi al-Shaghir, kemudian dikumpulkan dalam nadham oleh Ibn al-Wardi dalam karyanya berjudul al-Buhjah. Lalu kitab al-Buhjah ini disyarah oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Anshari dengan dua syarah (hanya tidak disebutkan nama syarah ini). Kemudian datang Ibnu al-Maqarri meringkas buku al-Hawi al-Shaghir menjadi al-Irsyad, kemudian al-Irsyad ini disyarah oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam dua syarah. Selepas masa Ibnu Hajar al-Haitami ini baru munculnya kitab berupa hasyiyah daripada kitab sebelumnya.

Daripada penjelasan di atas, nampak jelas bagaimana kaitan dan kesinambungan kitab fikah mazhab Shafie ini antara satu dengan lainnya. Ia kemudian menyebabkan kitab fikah mazhab Shafie ini lebih banyak apabila dibandingkan dengan mazhab fikah lainnya. Dengan saling berkaitan antara satu kitab dengan yang lainnya juga menyebabkan cara penempatan bab fikah dalam kitab fikah Shafie menjadi sangat berdekatan dan hampir sama. Cuba anda perhatikan bagaimana bab yang disusun dalam kitab al-Umm hampir sama penempatannya dengan buku Minhaj al-Thalibin atau syarahnya.

Kitab Minhaj al-Thalibin ini dinilai buku yang sangat penting, bahkan terpenting antara buku periode pertama mazhab Shafie. Umumnya, kitab ini menjadi rujukan utama ulama Syafi'iyyah dalam menetapkan sebuah permasalahan. Oleh itu, kitab ini mempunyai syarah dan hawasyi yang sangat banyak. Antara syarah terhadap buku ini ialah Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini, al-Manhaj wa Syarhuh oleh Sheikh al-Islam Zakaria al-Anshari, Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj oleh Imam al-Ramli yang terkenal dengan jolokan al-Shafie al-Shaghir, dan yang terakhir ialah Zad al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Sheikh Abdullah bin Hasan Ali Hasan al-Kuhaji. Demikianlah sekadar pengertian dari sudut lain mengenai ibu sempena Hari Ibu tahun ini. Ibu yang melahirkan salasilah zuriat ilmu mazhab Shafie pegangan umat Islam rantau ini sejak zaman berzaman. Selamat menyambut Hari Ibu dan selamat mengkaji kitab al-Umm yang bererti ibu atau induk. Wallahu alam.