Wednesday, July 8, 2009

AGAMA : RABU 08 JULAI 2009

Peguam Syarie Menulis: Pinda peruntukan tertentu benar orang bukan Islam hadir mahkamah syariah
PERSATUANPeguam Syarie Malaysia (PGSM) membincangkan kedudukan Islam dalamPerlembagaan Persekutuan berkaitan pertikaian perkahwinan membabitkanpasangan bukan Islam yang berkahwin melalui Undang-undang sivil dansalah seorang daripada pasangan itu memeluk agama Islam.

Iqra: Guna minda untuk jadi insan terhebat
INGINtahu rahsia minda hebat? Dapatkan buku tulisan penceramah terkenal,Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan pakar motivasi, Muhammad Zakariadalam buku bertajuk Rahsia Minda Hebat.

Pemarkahan majlis tilawah berkomputer
JIKAsebelum ini hakim tilawah al-Quran menggunakan kertas untuk menulismarkah dan mencatatkan kesalahan peserta, tetapi kini tugas itu bolehdilakukan menggunakan komputer, apabila wujudnya program pemarkahanberasaskan platform web.

Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya
ETOS keusahawanan berkait dengan nilai ekonomi oleh itu, umat harusdisedarkan mengenai hakikat setinggi mana Islam membuat gambaran danmenempatkan harta kekayaan, seterusnya sejauh mana Islam menghargaikegiatan perekonomian.

Peguam Syarie Menulis: Pinda peruntukan tertentu benar orang bukan Islam hadir mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Pinda peruntukan tertentu benar orang bukan Islam hadir mahkamah syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Institusi sivil kena iktiraf perintah pihak syarie agar tiada unsur melampau

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membincangkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pertikaian perkahwinan membabitkan pasangan bukan Islam yang berkahwin melalui Undang-undang sivil dan salah seorang daripada pasangan itu memeluk agama Islam.

Justeru, PGSM mencadangkan pendekatan menyelesaikan pertelingkahan menggunakan prinsip syariah menerusi sistem mahkamah syariah, berbanding undang-undang sivil serta mengesyorkan pendekatan itu adalah ruang lingkup niat secara literal dan spiritual Perlembagaan Persekutuan.

Cendekiawan Islam sudah menyediakan panduan cukup berhubung prinsip Islam (hukum syarak) dalam masalah ini dan sebahagian prinsip itu ialah dalam keadaan membabitkan perkahwinan bukan Islam, apabila seorang pasangan memeluk Islam, selepas tamat edah, perkahwinan mereka secara automatik dibubarkan, jika pasangannya tidak masuk Islam.

Dalam keadaan seorang isteri tidak mahu menganut agama Islam mengikut suaminya, apabila tamat edah, isteri akan hilang haknya untuk menuntut tanggungan daripada suami yang masuk Islam, kecuali jika dia mengandung, tanggungan patut diberi oleh suami sehingga melahirkan anak.

Bagaimanapun, apabila salah seorang memeluk agama Islam, suami masih mempunyai tanggungjawab menanggung perbelanjaan anak sehingga mereka mencapai umur baligh.

Begitu juga perkara berhubung kait dengan anutan Islam salah seorang pasangan, agama anak bawah umur baligh automatik dikira sebagai Muslim apabila anutan seorang daripada pasangannya.

Ia berpandukan kepada artikel Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman yang dilaporkan di Berita Harian (15 Mei 2009) berhubung dalil penting mengenai isu ini iaitu merujuk firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan." (Surah al-Thur, ayat 21)

Mazhab Syafie mengambil dalil di atas sebagai dalil yang kuat berkenaan anutan Islam anak bawah umur apabila salah seorang pasangannya memeluk agama Islam.

Dengan demikian, hak Muslim boleh mendesak kerajaan supaya mereka ditadbir oleh prinsip Islam tidak boleh dipersoalkan, kerana masalah ini akan membabitkan orang bukan Islam.

Hakikatnya, semua prinsip Islam yang dinyatakan di atas jelas merangkumi keadaan orang yang asalnya bukan Islam dan berkahwin menerusi undang-undang perkahwinan sivil kemudian memeluk Islam.

Keadaan yang akan dinyatakan adalah seorang Muslim boleh menuntut kepada Persekutuan untuk membenarkan dirinya ditadbir oleh prinsip Islam meskipun pihak yang satu lagi bukan Islam.

Berpandukan panduan dibuat cendekiawan Islam, sekali lagi tidak dapat dinafikan orang bukan Islam mempunyai pelbagai cara memulihkan keadaan walaupun diambil daripada prinsip Islam dalam menyelesaikan masalah ini.

Ada dalil kukuh menyatakan seorang daripada pasangan bukan Islam sama ada suami atau isteri masih boleh menuntut hak penjagaan anaknya walaupun anaknya menjadi Muslim apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam.

Sudah tentu ibu bapa yang bukan beragama Islam mahupun ibu bapa beragama Islam perlu membuktikan kesnya bagi menyokong tuntutannya. Hakim perlu memutuskan berdasarkan fakta serta bukti dan hakim boleh memberikan hak penjagaan anak orang Islam kepada bukan Islam jika mereka layak.

Pandangan ini menolak pandangan mengatakan tiada kaedah pemulihan yang boleh didapatkan oleh bukan Islam mengikut undang-undang Islam (hukum syarak).

Malah, kandungan dalam Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1 Perlembagaan Persekutuan dilihat bertentangan dengan perkara 3 (1) yang memberikan mahkamah syariah bidang kuasa hanya ke atas orang Islam saja.

Sedangkan PGSM berpendapat menjadi tanggungjawab mahkamah syariah untuk menentukan masalah membabitkan pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam, terutama dalam pertikaian perkahwinan.

Kita ada penyelesaian melalui perundangan Islam. Oleh itu, ia akan memperlihatkan kepatuhan kepada Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya untuk orang Islam.

Perkara ini jelas bertentangan dengan hukum syarak dan oleh kerana itu `ultra vires` kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Orang bukan Islam mengikut hukum syarak boleh dan dibenarkan dan tanpa halangan untuk memberi keterangan di mahkamah syariah tetapi bukan Islam rasa terhalang kerana peruntukan di atas.

Masalah isi kandungan Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, diterjemahkan sebagai syarat awal dalam pelbagai enakmen negeri yang mengawal bidang kuasa mahkamah syariah. Adakah untuk menerangkan kebenaran orang Islam ditadbir oleh prinsip Islam dalam masalah ini seterusnya menutup pintu kepada orang bukan Islam untuk datang ke mahkamah syariah?

Perlembagaan mesti dipinda untuk membuang keterbatasan Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1, khasnya dalam permasalahan berhubung pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Pertikaian perkahwinan berkenaan anutan Islam seorang pasangan diselesaikan melalui pindaan peruntukan Akta Undang-undang Pembaharuan (LRA) termasuk Seksyen 51 dengan memaksa pasangan beragama Islam menuntut haknya mengikut undang-undang sivil di mahkamah sivil.

Jika kita terpaksa meminda LRA untuk memaksa orang Islam membawa masalah ini ke mahkamah sivil, cadangan itu jelas akan menjadi ultra vires Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan ini tidak termasuk Perkara 121 1 A mengenai bidang kuasa mahkamah syariah.

Ia juga menjadi satu yang ganjil untuk melakukan sedemikian kerana kedudukan Islam ketika zaman penjajahan dan ketika permulaan Persekutuan sudah diiktiraf dan penggunaan undang-undang Islam kepada orang Islam dikekalkan.

Adalah penting diambil perhatian penggunaan sebenar hukum syarak boleh dilihat dalam pelbagai enakmen Islam lama. Contohnya, enakmen lama Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No 3 1952 menyediakan untuk pengesahan bahawa kanak-kanak yang lahir hasil perkahwinan bukan Islam akan secara automatik disahkan Islam apabila seorang pasangan memeluk agama Islam.

Ia adalah misteri bagaimana peruntukan itu yang selari dengan undang-undang Islam sebenar sudah terhakis ditelan zaman sehingga enakmen terkini menetapkan kepada ibu bapa yang masuk Islam untuk mengislamkan anak mereka.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak tidak secara automatik masuk Islam. Jika amalan ini tidak dihentikan, ditakuti kemudian kita akan mendapati kedudukan Islam mengikut Perkara 3 (1) hanya menjadi ilusi.

Saranan PGSM, bagi kerajaan untuk menasihat haruslah dengan pendekatan konsisten dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan orang Islam mengamalkan apa dituntut ke atas mereka, adanya hukum syarak jelas disahkan oleh cendekiawan Islam.

Meminta kerajaan meminda peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang bukan Islam hadir ke mahkamah syariah menentukan masalah membabitkan pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Jika pindaan seksyen 51 dibuat, ia haruslah dibenarkan hanya untuk setakat tujuan pentadbiran. mahkamah sivil mesti mengiktiraf perintah yang dibuat oleh mahkamah Syariah, mahkamah sivil tiada bidang kuasa melampaui, melangkau atau meminda perintah mahkamah syariah.

Ia adalah satu-satunya cara membenarkan pasangan bukan Islam dilepaskan dan mendapat dekri yang mutlak (Perintah Pembubaran) supaya dapat membenarkan pasangan bukan Islam meneruskan kehidupan mereka.

Semua `relief` sampingan hendaklah dimohon di mahkamah syariah bahawa orang bukan Islam mendapat kaedah penyelesaian dan keadilan melalui perundangan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Iqra: Guna minda untuk jadi insan terhebat

Iqra: Guna minda untuk jadi insan terhebat

Judul: Rahsia Minda Hebat
Penulis: Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan Muhammad Zakaria.
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd.
Pengulas: Hasliza Hassan.
Harga: RM26 (Semenanjung) RM28 (Sabah dan Sarawak).

INGIN tahu rahsia minda hebat? Dapatkan buku tulisan penceramah terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan pakar motivasi, Muhammad Zakaria dalam buku bertajuk Rahsia Minda Hebat.

Buku setebal 167 halaman itu mengajak pembaca menggunakan otak dan minda secara optimum untuk menjadi insan terhebat untuk perubahan kepada diri, keluarga, masyarakat, malah manusia sejagat.

Perbincangan merangkumi struktur dan fungsi otak, kejadian dan keistimewaan akal, hubungan akal dengan hati membolehkan pembaca menggunakan anugerah Allah secara bijaksana.

Walaupun nampak agak teknikal dan ilmiah, ia mampu merangsang minda dan nampaknya proses meneroka rahsia minda sudah bermula.

Antaranya, mencerdaskan minda melalui amalan menghafal al-Quran, meningkatkan kerohanian dengan membanyakkan selawat, wirid, doa serta mengambil makanan untuk menguatkan daya ingatan.

Turut didedahkan, pendekatan psikologi untuk menajamkan minda termasuk kemampuan berinteraksi dengan diri, ketuhanan, alam dan makhluk lain, orang yang hampir serta masyarakat.

Benarkah orang sekarang tidak lagi menilai harga otak hingga sanggup merosakkan kurniaan Allah itu, perbincangannya ada dalam buku Rahsia Minda Hebat.

Pemarkahan majlis tilawah berkomputer

Pemarkahan majlis tilawah berkomputer

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Program dibangunkan berpotensi tingkat keberkesanan penghakiman

JIKA sebelum ini hakim tilawah al-Quran menggunakan kertas untuk menulis markah dan mencatatkan kesalahan peserta, tetapi kini tugas itu boleh dilakukan menggunakan komputer, apabila wujudnya program pemarkahan berasaskan platform web.

Program dibangunkan Anwar Majdi Ramli, 43, membolehkan semua dokumentasi membabitkan penganjuran tilawah al-Quran daripada pendaftaran, maklumat lengkap peserta, pengundian giliran hingga kepada pemarkahan oleh hakim dilakukan menggunakan program berkenaan.

Jawatankuasa penganjur serta hakim hanya perlu mengisi kotak disediakan dan semua maklumat tersimpan dengan lengkap. Itulah kelebihan program dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan penganjuran majlis tilawah al-Quran.

"Pemarkahan tilawah al-Quran menggunakan sistem komputer masih belum diguna pakai dalam majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Saya yakin dengan program ini, tugas penganjur dan hakim akan jadi lebih mudah.

"Malah, perkiraan markah juga lebih cepat kerana selepas peserta membaca dan hakim menandakan setiap kesalahan, ketua hakim sudah boleh mendapat markah penuh yang terpampang di skrin komputer beliau," katanya.

Anwar yang juga seorang guru berkata, program berkenaan adalah tesis dibuat ketika melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan meningkatkan sistem pemarkahan majlis tilawah al-Quran.

Hasrat beliau itu mendapat sokongan penyelianya, Mohd Faizul Nasrudin, dan bekas qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dari Selangor yang membantu menyediakan maklumat mengenai sistem pemarkahan pada tilawah al-Quran.

Ia termasuk bahagian dihakimi iaitu tajwid, lagu, fasahah dan suara berserta markah bagi setiap bahagian. Turut disediakan ruang untuk hakim memotong markah bagi kesalahan dilakukan peserta ketika membacakan ayat al-Quran.

Apa yang perlu kini ialah mendedahkan hakim terhadap penggunaan program berkenaan dengan memberi latihan untuk membiasakan mereka dengan kaedah menggunakan tetikus yang bakal menggantikan pen biasa digunakan.

"Saya yakin hakim juga pasti teruja untuk mencuba program ini kerana ia akan memudahkan mereka memberi tumpuan kepada bacaan peserta. Jika dulu mereka perlu menulis alasan kesalahan yang dibuat, kini mereka hanya perlu klik di kotak di mana peserta melakukan kesalahan.

"Perkiraan juga dapat dilakukan dengan pantas dan setiap maklumat boleh dilihat semula dengan hanya klik pada nama peserta. Penghakiman lengkap juga boleh dicetak untuk diserahkan kepada peserta bagi semakan mereka," katanya.

Berbanding dengan kaedah manual sekarang, jika berlaku kekeliruan, jawatankuasa terpaksa melihat kembali semua kertas penghakiman dikumpulkan. Begitu juga untuk proses perkiraan secara manual akan memakan masa dan lebih penting, jawatankuasa tidak perlu pergi daripada seorang hakim kepada seorang hakim untuk mendapatkan keputusan mereka.

Anwar berkata, program pemarkahan menggunakan komputer membolehkan penganjur melakukan bedah siasat untuk mengetahui kelemahan daripada analisis markah seterusnya mengambil langkah perlu mengatasi perkara itu.

Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya

Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya

ETOS keusahawanan berkait dengan nilai ekonomi oleh itu, umat harus disedarkan mengenai hakikat setinggi mana Islam membuat gambaran dan menempatkan harta kekayaan, seterusnya sejauh mana Islam menghargai kegiatan perekonomian.

Yang jelas, harta (mal) termasuk dalam senarai lima keperluan asasi yang menjadi matlamat syariat atau maqasid al-shariah. Selain kata mal (harta), al-Quran juga menggunakan kata lain untuk harta iaitu khayr yang bermakna kebaikan.

Oleh itu, harta dianggap suatu yang perlu, mulia dan dilindungi sehingga pencerobohan terhadap harta orang lain adalah jenayah berat yang membawa hukuman potong tangan. Bekerja mencari harta halal adalah amal mulia di jalan Allah.

Ketika ditanya apa yang terbaik untuk dimakan, Rasulullah SAW menjawab, yang terbaik adalah hasil titik peluh sendiri dan perniagaan halal.

Sekembalinya dari perang Tabuk, Rasulullah SAW melihat tangan Sa’d ibn Musa al-Ansariy melepuh, sementara kulit tubuhnya tampak kehitam-hitaman akibat terpanggang oleh panas matahari, lalu Baginda SAW bertanya kenapa tangannya menjadi seperti itu.

Sa’d menjawab: “Kerana saya mengerjakan tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga tanggungan saya. Mendengar jawapan itu Baginda SAW segera menyambar tangan yang melepuh itu lalu menciumnya sambil berkata: Inilah tangan yang tidak akan disentuh api neraka.”

Peristiwa dan dialog itu berlaku begitu singkat, tetapi cukup untuk mengungkapkan hakikat ketinggian nilai ekonomi yang jika diletakkan dalam perspektif Islam adalah suatu bersifat murni. Kegiatan ekonomi adalah amal pengabdian dan wahana mendapatkan rahmat kasih sayang Tuhan.

Nilai ekonomi juga termasuk dalam komponen nilai utama kebudayaan Melayu. Harta kekayaan selalu dilambangkan dengan kata emas. Memang sudah sejak lama Melayu menyedari emas mempunyai nilai kewangan lebih kukuh.

Pemberian mas kahwin oleh suami kepada isteri dalam akad nikah walaupun dalam bentuk wang tunai tidak hanya sebagai keperluan sara hidup, lebih daripada itu ia adalah lambang maruah atau kehormatan diri.

Etos keusahawanan juga harus berteraskan nilai ilmu, tidak hanya kerana tuntutan k-ekonomi yang banyak dikaitkan dengan realiti perekonomian masa kini, tetapi memang Islam selamanya menjunjung tinggi nilai ilmu.

Sejarah Islam sendiri bermula dengan revolusi keilmuan dengan bukti nyata perkataan iqra’ (bacalah) sebagai kalimat pertama ditanzilkan. Betapa kritikalnya nilai ilmu dapat difahami daripada kenyataan bahawa dalam lima ayat pertama surah al-‘Alaq, iqra’ diulang dua kali.

Kata ilmu diulang tiga kali dan disebut perkataan al-kalam iaitu alat tulis terpenting sepanjang sejarah. Ilmu dalam pengertian Islam bukan sekadar maklumat, tetapi kebenaran. Selain itu, kata ilmu selalu terangkai dengan kata manfaat.

Sebutan ilmu bermanfaat terasa lebih kuat dan lebih tepat berbanding istilah ilmu yang produktif yang popular ketika ini. Ilmu bermanfaat tidak cuma harus produktif, tetapi relevan dan membawa kebaikan.

Revolusi keilmuan sudah tersebar luas menjadi bahagian daripada proses Islamisasi di mana-mana, termasuk alam Melayu. Gerakan pendakwahan di rantau ini, dari satu segi adalah gerakan revolusi celik huruf.

Dengan demikian kemahiran tulis baca dan seterusnya tradisi ilmu tidak lagi menjadi monopoli pujangga istana, tetapi sudah tersebar luas, merakyat dan membudaya. Demikianlah buat kali pertamanya proses pendemokrasian ilmu berlaku di bumi Melayu.

Gerakan itu berhasil mentransformasikan masyarakat setempat daripada masyarakat berbudaya mitos, tahyul dan dongeng kepada masyarakat bertradisi ilmu berasaskan kebenaran wahyu dan pemikiran ilmiah akliah.

Sejak itu kesedaran mengenai nilai ilmu tumbuh dan berkembang menjadi nilai kolektif seperti diabadikan dalam pantun tradisional, timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.

Baca kitab adalah kata-kata jelas mengungkapkan makna keilmuan. Pantun yang cukup merakyat itu juga membawa mesej bahawa usaha menguasai ilmu harus bermula seawal mungkin (belum tumbuh gigi). Selain itu, penguasaan ilmu dalam perspektif etos Melayu mencapai tahap setinggi mungkin.

Demikianlah mesej yang terkandung dalam pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.

Ungkapan berguru kepalang ajar adalah pernyataan menolak penguasaan ilmu yang alang-kepalang atau tidak mencapai tahap memadai. Dengan kata lain, sebenarnya sudah sejak lama Melayu menolak kualiti tidak berapa baik dalam bidang penguasaan ilmu.

Sebagai suatu idealisme bangsa, nilai ilmu turut mencorakkan perwatakan wira tradisional Melayu, Hang Tuah yang disebut menguasai 12 bahasa dunia. Demikianlah, Hang Tuah sebagai wira zaman tradisi adalah perwujudan citra manusia ideal yang mencerminkan nilai bangsa Melayu, termasuk nilai ilmu.

Andainya citra kecendekiawanan Hang Tuah hendak diungkapkan dalam bahasa masa kini, mungkin kita dapat mengatakannya sebagai ilmuwan global yang menguasai ilmu pelbagai budaya dan dengan demikian berkompetensi menjadi pemain global.

Manusia ideal dalam budaya Melayu juga diungkapkan dengan kata orang budiman. Yang menjadi kata kuncinya adalah budi, kata yang selalu terangkai dengan kata-kata lain seperti akal budi, budi bahasa dan budi pekerti.

Dengan demikian, orang budiman adalah ungkapan yang mengekspresikan keutuhan dan keseimbangan watak manusia unggul yang dicirikan oleh sejumlah kualiti: manusia berilmu, bijaksana, taat beragama, berakhlak mulia dan suka berbakti.

Sambungan kertas kerja Felo Utama Akademi Pengurusan YaPEIM, Datuk Dr Siddiq Fadzil, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)