Sunday, May 24, 2009
AGAMA : AHAD 24 MEI 2009
SOALAN:ANAK saya yang kedua ini memang pintar. Keputusannya tidakpernah lebih daripada nombor lima di kelas, tetapi malas belajar,lebih-lebih lagi membaca mukadam juga al-Quran.
Jenayah ambil tempat makruf
Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyatbegitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini.Pembunuhan, rogol, rompakan, meragut dan berbagai lagi jenayah yangperit untuk membayangkannya. Seseorang dalam negara kita sentiasa dalamkerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawabarangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg dibahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamatsemasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.
Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara
DALAMruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulisbelum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan denganpenawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negaraIslam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?"Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.
Bukan salah tabligh
SOALAN:ANAK saya yang kedua ini memang pintar. Keputusannya tidak pernah lebih daripada nombor lima di kelas, tetapi malas belajar, lebih-lebih lagi membaca mukadam juga al-Quran.
Pelajaran yang disukainya ialah melukis. Tidak jelas kegiatannya di sekolah, tetapi selepas menghadiri motivasi waktu cuti sekolah, akhirnya dia masuk kumpulan tabligh iaitu lepas PMR. Dia tidak peduli pelajarannya langsung, waktu cuti terus ikut tabligh, akhirnya periksa SPM, hanya lulus sahaja.
Saya perhatikan dia seolah-olah dipaksa ikut tabligh, tetapi akhirnya menjadi seronok, pakai pakaian ala Pakistan labuh bawah lutut. Pernah saya nasihatkan agar terus belajar, dia berjanji, tetapi banyak janji-janjinya tidak ditepati dan selalu tidak ada kepastian cakapnya. Saya seolah-olah tidak ada upaya untuk menasihatinya lagi. Masa depannya suram dan tidak menentu. Belajarnya tidak sampai ke mana, ilmu agamanya juga tidak pasti.
n Shamrina, Kuala Lumpur.
Jawapan:
PUAN tidak boleh menyalahkan tabligh dalam masalah ini. Anak puan mengambil jalan keluar iaitu sikap malas belajar itu kepada kegiatan bertabligh.Kerana itu dalam masalah ini, kelihatan bertabligh itu satu kesalahan menyebabkan anak puan terlibat dengan tabligh seperti itu. Ramai pelajar yang malas belajar, tidak ada kesedaran lalu ponteng sekolah, menghabiskan masa di rumah-rumah kosong, di bawah pokok, hisap rokok, main video dan sebagainya malah ramai yang terlibat dengan ganja, tetapi ibu bapa kurang menyalahkan kegiatan tersebut yang menyebabkan si anak itu terus mengabaikan pelajarannya.
Saya masih ingat pada satu hari ketika musim sejuk, pukul 11 pagi, Abdul Rahman, seorang pelajar PhD, mengkaji kulat kayu datang ke bilik mengajak saya ke masjid di Spital Road. Saya katakan padanya, I have to finish my work. Come on brother, join us!. Hatinya memang solid, mengajak saya ke masjid di hawa sejuk -5.
How long possibly you can finish? Desaknya terus. About one hour!. Sebenarnya kerja memang banyak, baru datang ke Aberdeen, tetapi kalau hendak pergi memang boleh. Saya katakan satu jam, dengan harapan supaya dia give up!
Rupa-rupanya selepas satu jam, dia datang semula dengan ditemani oleh seorang teman dari Malaysia, belajar di Robert Gorden, untuk mengajak ke masjid.
It is very cool brother Rahman!. Saya berdalih lagi. Never mind brother. It is my pleasure! Tangan kanannya menghulurkan baju sejuk yang baru ditanggalkan dari badannya. Yang tinggal di badannya ialah baju jubah Bangla dan seluar putih, juga songkok kain berwarna kelabu tahi kucing di atas kepalanya.
Thanks a lot! Saya menyambut kot baju sejuknya. Tetapi saya yakin tidak boleh menggunakannya kerana badannya kecil. Saya memerlukan baju saiz XL. Kami berjalan ke stesen bas di Hill Head dalam kesejukan winter -5. Hati tetap membuku, biarpun kerja bertabligh bukan kerja asing bagi saya. Saya datang ke Aberdeen untuk belajar. Tidak sampai 30 minit kami tiba ke masjid. Tidak ada seorang manusia pun ketika itu. Hati saya terus berbuku. Ketika di bilik, brother Abdul Rhaman meyakinkan saya, ramai kawan-kawan dari Pakistan, Iran dan Iraq juga Bangla telah menunggu di masjid. Alih-alih, pada pukul 4 petang tidak ada seorangpun yang kelihatan. Berdakwah itu bagus. Nabi pun berdakwah, tetapi dalam berdakwah, jangan membohong. Berbohong untuk berdakwah.
Di Aberdeen, ketika itu iaitu dalam tahun 1980 hingga 1983 terdapat tidak lebih dari 30 pelajar Melayu. Orang Pakistan yang paling ramai berniaga. Orang Iran dan Iraq lebih kurang lima keluarga, tetapi yang datang ke masjid, iaitu yang sembahyang Jumaat selalunya dua orang Iran seorang Iraq. Biasanya seorang Iran, seorang Iraq, tetapi saya perhatikan setiap kali lepas sembahyang, mereka berdua mesti bergaduh. Bergaduh kerana benda-benda kecil. yang seorang sembahyang, ketika qiyam meletakkan tangan di atas perut, dan yang seorang lagi melepaskan tangannya ke bawah bebas. Dua-dua cakap Arab berabuk, faham ayat-ayat yang dibaca oleh imam, iaitu brother Abdul Rahman, tetapi lepas sembahyang Jumaat boleh dikatakan mesti bertengkar.
Satu hari, ketika hendak sembahyang Isya, brother Abdul Rahman meminta saya menjadi imam. Tetapi gerak hati saya berat untuk menolaknya. Akhirnya dia mengimami jemaah pada malam itu. Itulah kali pertama saya perhatikan orang Bangla begitu ramai memenuhi ruang masjid Spital Road. Biasanya jemaah Bangla yang datang ke masjid hanya dua atau tiga orang sahaja, tetapi kali ini kehadirannya begitu menghairankan.
Bersyarah
Selepas tamat sembahyang, imam bersyarah sekejap, menggunakan bahasa Urdu, kemudian membaca doa yang begitu panjang dan akhirnya mereka ramai-ramai menangis. Baru saya sedar, hari itu ialah hari memperingati kematian cucu Nabi. Di Malaysia, masjid-masjid menyambut hari Asyura dengan mengadakan ceramah dan sebagainya termasuk masak bubur lambuk.
Persoalan utama yang berlegar dalam kepala ialah telah dua tahun saya berada di Aberdeen, orang seperti brother Abdul Rahman, datang ke masjid tidak sampai lima orang, tetapi malam itu mereka datang berpakaian seragam, pakai baju panjang tabligh, padahal sebelum ini mereka, yang kebanyakannya bekerja di restoran-restoran tidak pernah muncul di masjid. Keadaan ini berbeza dengan penuntut dari Malaysia. Waktu sembahyang Jumaat sebahagian besar daripada mereka datang ramai-ramai, di bulan Ramadan, tetapi mereka ke masjid tanpa ada orang yang memaksa. Mereka telah sedia ke masjid ketika berada di Malaysia.
Mungkin kerana adanya orang yang seperti inilah menyebabkan brother Abdul Rahman beria-ia benar memaksa saya untuk datang ke masjid. Terlalu besar pengorbanan brother ini untuk bertabligh. Walaupun demikian, ditakdirkan saya begitu terpesona dengan kegiatan tabligh hasil daripada rangsangan atau gesaannya tadi, lalu saya mengabaikan tugas utama saya iaitu belajar ada kemungkinan saya gagal kerana langkah brother Rahman ini begitu jauh sampai ke Manchester, St. Andrew juga London.
Ada pelajar yang ikut sama berdakwah, dua minggu sebelum peperiksaan baru balik akhirnya kena ulang. Apabila ini berlaku, kecenderungan pemerhati akan menyalahkan kegiatan bertabligh itu sebagai satu penyebab kegagalan tadi. Pada hal kegagalan itu lahir dari sikap pelajar itu sendiri yang tidak dapat membezakan di antara dua keutamaan.
Terfikir dalam kepala, mungkin brother ini lebih sesuai kalau memaksa mereka yang tidak pernah datang ke masjid, berbanding dengan diri saya yang memang kerjanya bertabligh, biarpun cara tablighnya berbeza dengan apa yang dilakukan olehnya.
Tidak semua orang berupaya melakukan tabligh seperti yang dilakukan oleh teman saya ini, biarpun dalam keadaan tertentu kaedah-kaedah bertabligh iaitu lebih perlu diperbaiki, agar impak daripadanya diperolehi secara maksimum.
Saya masih ingat pada tahun 1984, kami satu van menuju ke Dusbery, England. Perjalanan mengambil masa lebih daripada setengah hari. Bertolak pukul 4 pagi. Tiba subuh, kami membentang tikar di tepi jalan raya, berhampiran sebuah pusat membeli belah. Saya begitu kagum dengan kehadiran peserta yang begitu ramai, yang dimonopoli dari orang Islam Pakistan, Bangla, India sedikit orang Arab dan orang Melayu.
makan ramai-ramai dalam dulang. Tidur pun ramai-ramai seperti di atas padang menyebabkan saya tidak boleh tidur. Terlelap mata pun hanya sejenak sehingga pagi kerana lampu terang benderang.
Di waktu pagi, kuliah-kuliah di adakan. Begitu juga di waktu petang dan malam. Jemaah dikumpulkan dalam kumpulan-kumpulan tertentu dan diberi kuliah. Saya perhatikan sebahagian daripada kuliah itu diberi oleh pelajar-pelajar, juga oleh ulama yang sedia ada di England.
Kuliah yang diberi banyak berdasarkan kepada hadis-hadis. Membicarakan tentang fadilat berdakwah, sembahyang, puasa, menuntut ilmu dan sebagainya. Sayangnya latar belakang ilmu fekahnya terlalu kurang. Saya kagum melihat pelajar Melayu memberi kuliah dalam bahasa Inggeris, biarpun mereka bukan daripada jurusan pengajian Islam.
Badan-badan tabligh perlu mempunyai sukatan agar mereka yang terlibat dengan tabligh mempunyai ilmu yang mantap untuk diri sendiri juga kelancaran tabligh untuk orang ramai bukan hanya tertumpu kepada fadilat-fadilat amalan sahaja.
Hampir 5 hari saya dan teman-teman di masjid Duesbery , satu kawasan di negara Barat yang banyak mempunyai surau. Tidak ada masalah ketika berada berkampung, cuma yang menjadi masalah, sebahagian daripada jemaah tidak mandi beberapa hari, memakai jubah yang sama ketika tidur juga ketika menghadapi kuliah. Jubah tidak dibasuh beberapa hari, badan tidak dimandikan, tetapi pakai minyak atar yang kuat.
Bagi jemaah seperti ini mungkin ia menganggap perkara biasa, tetapi kita sebenarnya perlu memelihara keselesaan orang lain. Sesungguhnya Allah SWT itu bersih, suci dan cintakan sesuatu yang bersih lagi suci.
Tidak semua orang berupaya melakukan tabligh. Penyebar Islam di Malaysia, di Tenggara Asia adalah terdiri daripada golongan mubaligh, ahli suci yang memainkan peranan penting dalam usaha menyebarkan Islam.
Jenayah ambil tempat makruf
Oleh DR.MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, meragut dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya. Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.
Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang 'kehausan kuasa' juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.
Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamanan-Nya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma'ruf Dan al-Nahy 'An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan). Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya) Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Taubah ayat 71). Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang 'sama spesis' dengan itu sahaja.
Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang 'dirasakan' menunaikan tanggungjawab agama. Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama. Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita.
Bercanggah
Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam. Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat 'operasi mengintip khalwat', dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara kerja pihak polis atau 'rukun tetangga' mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata-mata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya. Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi Islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.
Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini. Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa.
Kita tidak tegur atau bantah perbuatan 'rempit', akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa. Ibn 'Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya berkata: (maksudnya) Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya. (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam) Baginda Nabi saw pernah bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda Nabi SAW juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).
Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya): Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasul-Nya kehendaki.
Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam. Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.
Terhakis
Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak. Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah 'orang-orang politik' itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselamatan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.
Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas.
Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan. Islam apabila menetapkan 'hudud' ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam erti kata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya. Ya, kaedah hukuman dan cara pelaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab 'menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar' yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.
Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara
Oleh Abdurrahman Haqqi
SUAMI isteri suku Minangkabau turut mengamalkan pemberian harta sepencarian dikenali sebagai harta suarang. - Gambar hiasan |
Negara Islam boleh contohi kanun diguna pakai masyarakat Melayu bahagi harta suami isteri
DALAM ruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulis belum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan dengan penawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negara Islam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?" Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.
Pada hari itu ketika membaca akhbar harian Emiriah Arab Bersatu (UAE), al-Ittihad, penulis dapati berita seorang pelajar warga negara berkenaan yang berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafahnya daripada sebuah universiti Tunisia dengan membuat kajian tesisnya bertajuk harta sepencarian dalam undang-undang perkahwinan Islam dan pentingnya UAE mengamalkannya di mahkamah syariah.
Penulis berada di Abu Dhabi dari Selasa hingga Khamis lalu menghadiri seminar ilmiah tahunan ke-17 Fakulti Undang-Undang Universiti UAE. Tajuk seminar tahun ini adalah Electronic Transactions: E-Government and E-Commerce. Penulis membentangkan kertas kerja berkaitan masukan fikah dalam kesahihan kontrak transaksi elektronik dalam Perintah Transaksi Elektronik Brunei Darussalam 2000. Pembentang dari Malaysia diwakili Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Abu Bakar Munir dan Prof Madya Siti Hajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam berita al-Ittihad itu, dilaporkan pelajar terbabit yang juga polis berpangkat Leftenan Kolonel sudah menyerahkan hasil kajiannya kepada Menteri Dalam Negeri UAE, Syeikh Saif Zaid al-Nahyan untuk diberi perhatian.
Laporan itu menyebutkan kajian harta bersama suami isteri berdasarkan konsep syarikah mudharabah dan ia semesti diterapkan dalam masyarakat UAE yang semakin maju serta bertamadun dengan perempuannya mendapat hak dan kewajipan sejajar termasuk dalam soal perkahwinan.
Di Nusantara, harta sepencarian sudah dikenali sejak lama. Oleh itu, kita mendapati ia wujud di kalangan beberapa masyarakat terkemuka di Nusantara.
Sebagai contoh ia disebut harta carian laki bini oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan; harta pencarian menurut masyarakat Melayu Sarawak; harta pencarian di kalangan masyarakat Islam Melanau Sarawak; harta gono gini dalam masyarakat Jawa; hareuta sihareukat masyarakat Aceh; harta suarang menurut masyarakat Minang; harta guna kaya dalam masyarakat Sunda; harta druwe bagro dalam masyarakat Bali; harta barang perpatangan menurut masyarakat Kalimantan dan harta usaha sama masyarakat Terengganu.
Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh ketika perkahwinan antara suami dan isterinya, hasil sumber atau usaha mereka bersama dan ia mesti mengikut syarat ditentukan hukum syarak.
Ada beberapa pendekatan untuk mengaitkan harta sepencarian dengan undang-undang Islam. Ada yang mengatakan ia adalah sharikah al-abdan; ada yang mengatakan diakui atas dasar siyasah shar'iyyah; ada yang mengatakan atas dasar upah (ujrah), dan ada yang mengatakan atas dasar adat yang baik.
Dengan cara ini penyelesaian terhadap tuntutan kes harta sepencarian dapat dibuat menurut kaedah harta mush, kaedah upah, kaedah pembahagian saham dan kaedah adat.
Kita tidak mempertikaikan pendekatan ini kerana walaupun ulama di rantau ini dalam mencari dasar hukum harta sepencarian berbeza pendapat, dalam kenyataannya ialah harta sepencarian sudah menjadi undang-undang rasmi di rantau ini.
Dari segi undang-undang, di Brunei Darussalam harta sepencarian ditakrif oleh Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 bab 2 (1), Tafsiran sebagai: "Harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".
Di Malaysia harta sepencarian ditakrif dalam peruntukan atau seksyen 2 (1) mengenai penafsiran setiap akta atau enakmen negeri. Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan No 303, Tahun 1984, mentakrifkannya: "Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".
Namun dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan No 1, 1983 ada kelainan kerana mentakrif harta sepencarian dengan hanya mengatakan:
"Mempunyai erti yang sama dengan apa yang sudah diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982" yang pada intinya menyamai peruntukan Akta Wilayah Persekutuan. Di Indonesia, harta sepencarian atau harta bersama ditakrifkan oleh Undang-Undang Perkahwinan No 1, 1974 pasal 35 sebagai harta benda yang diperoleh selama perkahwinan."
Jelas kepada kita harta sepencarian di ketiga-tiga negara di atas mempunyai pengertian yang sama iaitu aset yang diperoleh bersama oleh suami isteri secara perseorangan atau bersama sepanjang hubungan perkahwinan mereka wujud selagi tidak ada perjanjian lain yang mengubahnya.
Dalam undang-undang di atas disebutkan mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah aset yang diperoleh oleh pihak itu ketika perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi antara pihak terbabit.
Ketika menjalankan kuasa ini mahkamah perlu mengambil perhatian beberapa perkara termasuk takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset dan hutang oleh satu pihak bagi manfaat bersama serta keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.
Harta sepencarian tidak merangkumi harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka. Pemiliknya berhak secara keseluruhan ke atas harta itu.
Bagaimanapun, jika harta itu dikerjakan bersama suami isteri ketika perkahwinan dan hasilnya meningkatkan nilai harta berkenaan, pihak yang satu lagi boleh menuntut upah jika terjadi perceraian.
Jika isteri menolong mengusahakan tanah, dia berhak kepada setengah daripada harta itu tetapi jika hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dia berhak mendapat satu pertiga.
Umpamanya, tanah suami atau isteri sebelum perkahwinan (harta bawaan) kemudian mereka bercucuk tanam di tanah itu. Harta ini tidak dikira sebagai harta sepencarian, tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah.
Sebaliknya mengenai harta yang dimiliki secara warisan dengan suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan melainkan mengusahakan tanah itu bersama isteri dan kemudian daripada hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang diperoleh ini dikira sebagai harta sepencarian.
Jika saudara kita di Asia Barat mahu mengambil kira pandangan Nusantara dalam hal ini, kemungkinan besar mereka akan sependapat dengan hasil kajian warga UAE itu, seperti UAE juga sudah menerima penggubalan undang-undang perniagaan nombor dua awal dekad ini yang digubal warga negara Malaysia, Prof Abu Bakar, Dekan Fakulti Undang-Undang UM. Wallahualam.