Saturday, June 27, 2009

Tiga bentuk Sekolah Pondok Selatan Thai

Tiga bentuk Sekolah Pondok Selatan Thai

Oleh MOHD. KAMIL YUSUFF

Mohd. Sabri Abdul Rahman mengajar muridnya di Sekolah Menengah Agama Sasanuptam Muang, Pattani, Selatan Thailand.

SELATAN Thai sinonim dengan sistem pengajian sekolah pondok sejak berabad-abad lamanya. Sistem sekolah pondok ini juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama terkenal nusantara.

Sekolah pondok adalah sistem pendidikan tradisional yang juga banyak diamalkan di Malaysia dan Indonesia yang memberi fokus kepada pengajian Islam. Di Indonesia sekolah pondok juga di kenali sebagai Pesantren.

Di Selatan Thai, sistem pondok yang diamalkan tidak ada had usia bagi mereka yang ingin belajar tanpa mengira latar belakang mereka. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat.

Di sekolah pondok juga menekankan asas-asas ibadah (fardu ain) seperti sembahyang, bersuci, anak soleh, suami isteri dan juga bab syurga neraka.

Sebelum 2004, sesiapa sahaja boleh mendirikan sekolah pondok di Thailand. Tetapi apabila berlaku krisis di selatan negara itu, pihak berkuasa mula mewajibkan pengusaha sekolah pondok mengambil permit untuk mendirikan sekolah berkenaan.

Ini bertujuan memantau perkembangan sekolah pondok, selain mengawalnya daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Sehingga Mei 2004, terdapat 214 buah pondok berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Thailand.

Sistem pengajian pondok menjadi pilihan utama bagi penduduk-penduduk di lima wilayah yang dihuni oleh majoriti orang Islam di Selatan Thai untuk menghantar anak mereka mendapat pelajaran.

Penduduk-penduduk di wilayah berkenaan iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Songkhla lebih berminat mendaftar anak-anak mereka di sekolah agama seperti pondok dan madrasah berbanding sekolah bantuan penuh kerajaan.

Pada masa ini, lebih 70 peratus pelajar Islam di Selatan Thai menuntut di 6,000 sekolah agama, manakala kira-kira 30 peratus lagi belajar di sekolah kerajaan.

Kesan daripada itu, bilangan anak orang Melayu Islam yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti sama ada dalam negara atau luar negara amat rendah berbanding dengan orang Thai Buddha dan lain-lain kaum.

Mengapa keadaan ini berlaku dan masih berlanjutan sehingga kini? Ini sebenarnya berpunca daripada tanggapan lama bahawa belajar di sekolah kerajaan akan menyebabkan anak-anak 'dithaikan' atau mereka akan menjadi kafir.

Lagipun anak-anak orang Islam dinafikan mendapat pendidikan Islam di sekolah. Ibu bapa bimbang jika anak-anak dihantar ke sekolah kerajaan, mereka mungkin lupa asal-usul mereka sebagai orang Islam.

Inilah kebimbangan-kebimbangan yang menghantui masyarakat Islam Selatan Thai sejak sekian lama. Namun tiada langkah yang diambil oleh pemerintah sekurang-kurangnya untuk meyakinkan masyarakat Islam menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan.

Seorang tokoh agama di Pattani, Drs. Ahmadkamae Waemusor ketika ditemui di Pattani, baru-baru ini memberitahu, terdapat tiga bentuk pengajian pondok di Selatan Thai yang diamalkan sehingga hari ini:

1. Sekolah Tradisional

Lebih dikenali dengan sistem pengajian pondok lama, cara pembelajaran ini tidak mempunyai sistem tertentu. Para pelajar cuma menadah kitab sahaja.

Tidak ada peperiksaan dan tidak berpusat. Melalui sistem ini, para pelajar hanya mendengar apa sahaja yang diajar oleh tok guru.

Sistem pengajian ini menguasai lebih 90 peratus pengajian agama di Selatan Thai. Para pelajarnya tidak dihadkan umur belajar. Mereka boleh belajar sampai bila-bila. Mereka akan tinggal di asrama yang berbentuk pondok kecil di kawasan pusat pengajian tersebut.

Pelajaran yang diajar lebih fokus kepada pengajian kitab-kitab lama dan amalan asas dalam Islam seperti fardu ain, fardu kifayah, nikah kahwin dan lain-lain lagi sebagai memenuhi keperluan kehidupan umat Islam.

Biasanya, di pondok tradisional ini, para pelajarnya terdiri daripada pelajar lelaki. Terdapat juga pondok-pondok yang menerima pelajar perempuan dan wanita warga emas sebagai pelajar.

Dengan dikenakan sedikit bayaran semasa mendaftar, mereka kemudiannya akan belajar secara percuma selagi mereka mahu.

Bagaimanapun, makan minum dan perbelanjaan adalah atas urusan sendiri.

Bagi wanita warga emas yang kebanyakannya ibu tunggal, pondok tradisional ini merupakan tempat mereka menuntut ilmu akhirat sementara menghabiskan sisa-sisa usia.

Di beberapa pondok tradisional, para pelajar juga diajar dengan mata pelajaran kemahiran hidup, pertukangan tangan dan sebagainya sebagai persediaan untuk mereka memulakan kehidupan apabila berhenti belajar.

Biasanya sekolah pondok ini mempunyai asrama bagi menempatkan para pelajarnya. Asrama ini adalah dalam bentuk pondok-pondok kecil yang boleh memuatkan dua hingga lima orang dan dibina secara tersusun.

Kebanyakan pondok ini dibina seragam menggunakan dinding kayu atau buluh, berlantaikan buluh, kayu atau batang nibung, sementara atapnya daripada daun rumbia atau zink.

Tidak ada bekalan elektrik di pondok-pondok ini. Para pelajarnya menggunakan pelita minyak tanah pada waktu malam. Ruang di dalamnya hanya cukup menempatkan dua hingga empat pelajar dan tidak ada kerusi meja atau almari.

Sebuah surau atau masjid dibina yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat tetapi juga kelas pengajian dan pusat aktiviti harian bagi penghuni-penghuni sekolah pondok.

Bekalan elektrik di surau dan bangunan pentadbiran yang juga menempatkan dewan diperoleh melalui janakuasa kecil.

2. Madrasah

Mengajar pelajaran agama sahaja dan tidak ada pelajaran akademik lain. Para pelajarnya terdiri dari pelajar kelas satu sehingga kelas 10 berdasarkan senioriti. Biasanya pelajar di madrasah berumur antara 13 dan 21 tahun.

Kerajaan Thai mensyaratkan semua kanak-kanak mendapat pendidikan wajib di sekolah kerajaan dari usia 7 tahun sehingga 13 tahun (kini dilanjutkan kepada 15 tahun).

3. Sekolah Agama Swasta atau Sekolah Agama Rakyat

Melalui sistem pengajian ini, pembelajarannya merangkumi dua bidang iaitu agama dan akademik. Pelajaran agama diajar pada sebelah pagi, manakala pelajaran akademik di sebelah petang.

Pelajaran agama ialah untuk murid tahun Satu hingga 10. Pelajaran akademik pula untuk tingkatan 1 hingga enam.

Tenaga pengajarnya kebanyakannya terdiri daripada guru-guru lepasan pusat pengajian agama atau universiti luar negara seperti Jordan, Syria, Mesir, Indonesia dan Malaysia. Sekolah ini biasanya mendapat bantuan penuh kerajaan.

Menurut Drs. Ahmadkamae lagi, sekolah agama rakyat yang belum dijadikan yayasan akan mendapat 60 peratus bantuan kerajaan.

Wang bantuan daripada kerajaan dan yuran 6,000 baht (RM60) sebulan daripada para pelajar ini digunakan untuk membayar gaji guru-guru dan menampung kos operasi sekolah berkenaan.

Para pelajar sekolah ini mempunyai peluang belajar yang luas setelah menamatkan pengajian. Mereka boleh menyambung pelajaran ke universiti luar negara seperti al-Azhar di Mesir, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) atau Kolej Insaniah di Kedah.

Para pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran di universiti-universiti luar negara ini akan pulang menjadi guru di sekolah-sekolah berkenaan.

Drs. Ahmadkamae memberitahu, fokus utama pelajaran akademik di sekolah agama swasta ini ialah bagi membolehkan para pelajarnya menguasai bahasa Thai, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik.

Berdasarkan sistem pengajian agama yang ditawarkan, masyarakat Islam di Selatan Thai mempunyai tiga pilihan, selain sekolah kerajaan untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

No comments: