Friday, July 3, 2009
AGAMA : JUMAAT 03 JULAI 2009
Allah cela ahli kitab yang engkar
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahaiahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahalAllah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan? Katakanlah: “Wahaiahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripadamenurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allahitu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?” Dan(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.(ali-‘Imran: 98-99)
Tuntut ganti rugi putus tunang
Soalan Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun ini.Baru-baru ini tunang saya minta memutuskan pertunangan kami atas alasandia mempunyai kekasih lain dan tidak mencintai saya lagi. Dah banyakyang saya dan keluarga telah belanjakan untuk majlis kami. Kebanyakanbarangan tersebut adalah sebagai persiapan majlis kenduri kesyukurandan juga persalinan saya dan dirinya juga. Ada juga barang yang dibelisebagai persiapan majlis perkahwinan kerana kami merancang untuk hanyabertunang selama dua bulan. Bolehkah saya menuntut semula perbelanjaanyang telah saya keluarkan semasa kenduri pertunangan dan persiapanuntuk majlis perkahwinan?
Mohd. Taha kembali dengan ayat Syifa' & Azab
DOA adalah senjata Mukmin. Allah telah memberi jaminan bahawa segalapermintaan ke atas-Nya, pasti akan diperkenankan. Jadi sebagaihamba-Nya, mengapa perlu kita berlaku sombong mahupun segan untukmemohon setiap sesuatu untuk daripada Allah yang Maha Mendengar lagiMaha Mengetahui
Firaun perintah Haman bina bangunan tinggi
DAN berkatalah Firaun, “Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunanyang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintulangit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya akumemandangnya seorang pendusta...” (al-Mu’min: 36-37)
Harus bagi wanita Muslim sembelih binatang
SOALAN: Sekiranya saya pergi ke kampung rakan lelaki dan tidak adalelaki Muslim yang boleh menyembelih ayam atau binatang yang sewaktudengannya, bolehkah saya seorang perempuan menyembelih binatangtersebut.
Insan pemaaf bebas sifat buruk sangka, dendam
SIFATpemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiapindividu Muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankankeutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampirdi sisi Allah.
Akhlak mulia penentu kecemerlangan tamadun sesuatu bangsa
MANUSIAdan kualiti tidak boleh dipisahkan kerana tanpa insan berkualiti, sudahtentu tidak akan wujud kelangsungan hidup masyarakat yang bertamadun.Oleh sebab itu, hari ini banyak program pembangunan modal insan diberikeutamaan pada peringkat institusi keluarga, sosial, pendidikan danperkhidmatan sama ada di sektor swasta mahu pun awam.
Tabung Haji giat teroka industri makanan halal
LEMBAGATabung Haji (Tabung Haji) yang mendapat pengiktirafan dunia keranapengurusan haji berkesan kini melangkah setapak lagi denganmenghasilkan produk makanan menerusi anak syarikatnya, TH GlobalServices Sdn Bhd (THGS).
Allah cela ahli kitab yang engkar
|
|
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, dalam ayat terdahulu Allah SWT menerangkan kemuliaan Baitullah yang menjadi rumah ibadat pertama dibina seterusnya ia menjadi tempat setiap orang beriman melakukan haji.
Oleh yang demikian bantahan terhadap Yahudi yang ingkar kelebihan Baitullah al-haram. Mereka mendakwa bahawa rumah Allah yang pertama ialah Baitu al-Maqdis.
Ayat ke-98
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?"
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata, apakah yang menyebabkan kamu mengingkari ayat-ayat Allah SWT, padahal Dia mengetahui segala perbuatan kamu? Tidak ada sesuatu pun luput daripada pengawasan-Nya. Kelak Allah SWT akan memberi balasan kepadamu, oleh sebab itu kamu sewajarnya tidak mengingkari ayat-ayat-Nya.
Isi ayat ini tidak asing lagi, merupakan satu celaan serta mengisyaratkan ketidakmampuan mereka untuk membuat dalih daripada perbuatan kufur mereka.
Seolah-olah dikatakan kepada mereka: "Cubalah kamu kemukakan alasannya jika kamu sanggup melakukannya".
ii. Al-Sonhadji berkata, Tuhan menyuruh Rasul-Nya menanyakan orang-orang Ahli Kitab itu apa sebabnya mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (al-Quran) yang membenarkan seruan Muhammad SAW tentang wajibnya haji dan lain-lain sedang Allah menjadi saksi atas apa yang mereka kerjakan dengan memberikan balasannya kelak kepada mereka.
Ayat ini merupakan pertanyaan tetapi mengandungi erti celaan di atas kekufuran mereka.
Ayat ke-99
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: "Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata, kata-kata berikut diulangi "Wahai Ahli Kitab" bermaksud mencela secara halus.
Ungkapan ini menunjukkan pernyataan halus yang mencegah mereka dari jalan sesat dan menyesatkan, serta lebih bersifat memberi nasihat kepada mereka dan menyatakan kasih sayang.
ii. Al-Sonhadji berkata, ketahuilah bahawa Allah tidak lalai daripada mengetahui pekerjaan kamu menghalangi mereka itu yang mana kamu bakal dibalas dengan seksaan kerana kesalahan kamu itu sudah nyata dan kamu saksikan pula.
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata, ajakan yang ditujukan kepada mereka dengan panggilan Ahl al-Kitab untuk memperlihatkan keburukan sifat mereka, yakni mereka memiliki kitab suci tetapi mereka berkeras menolak semua ajaran nabi dan rasul.
Nasihat Allah kepada golongan ahli Kitab supaya jangan mengkufuri ayat Allah sewajarnya diberi perhatian oleh umat Islam supaya tidak mendustakan ayat-ayat Allah juga.
Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan beramal dengan ayat-ayat Allah. Amin.
Tuntut ganti rugi putus tunang
Keluarga & Undang-Undang
www.sistersinislam.org.my
Soalan
Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun ini. Baru-baru ini tunang saya minta memutuskan pertunangan kami atas alasan dia mempunyai kekasih lain dan tidak mencintai saya lagi. Dah banyak yang saya dan keluarga telah belanjakan untuk majlis kami. Kebanyakan barangan tersebut adalah sebagai persiapan majlis kenduri kesyukuran dan juga persalinan saya dan dirinya juga. Ada juga barang yang dibeli sebagai persiapan majlis perkahwinan kerana kami merancang untuk hanya bertunang selama dua bulan. Bolehkah saya menuntut semula perbelanjaan yang telah saya keluarkan semasa kenduri pertunangan dan persiapan untuk majlis perkahwinan?
Soraya Jalal
Melaka
Jawapan
Pertunangan merupakan perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan. Apabila suatu perjanjian dipersetujui maka kedua belah pihak adalah terikat dengan syarat perjanjian. Jika memungkiri janji, ia mungkin akan mengakibatkan kerugian bagi pihak yang satu lagi dan sebagainya.
Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, jika seseorang itu telah mengikat tali pertunangan mengikut hukum syarak, tetapi kemudiannya enggan berkahwin tanpa apa-apa sebab yang sah maka pihak yang memutuskan pertunangan itu bertanggungjawab untuk memulangkan pemberian-pemberian pertunangan atau nilainya dan membayar apa-apa yang dibelanjakan untuk membuat persiapan bagi perkahwinan itu. Oleh yang demikian ia boleh dituntut di mahkamah.
Menurut peruntukan perundangan ini, terdapat dua perkara yang boleh dituntut sekiranya mana-mana pihak membatalkan pertunangan tanpa sebab yang dibenarkan syarak, iaitu :
a) Pemulangan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang memutuskan pertunangan atau perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
b) Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin (dalam situasi ini ialah saudari sebagai bakal isteri) di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.
Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perjanjian itu (tidak kira sama ada pihak lelaki atau pihak perempuan yang memutuskan pertunangan) dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh memfailkan saman dan penyata tuntutan di mahkamah syariah.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa saudari berhak menuntut apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membuat persiapan perkahwinan tersebut sebagai ganti rugi.
Diharap penjelasan ini dapat membantu menyelesaikan persoalan saudari.
Mohd. Taha kembali dengan ayat Syifa' & Azab
|
|
DOA adalah senjata Mukmin. Allah telah memberi jaminan bahawa segala permintaan ke atas-Nya, pasti akan diperkenankan. Jadi sebagai hamba-Nya, mengapa perlu kita berlaku sombong mahupun segan untuk memohon setiap sesuatu untuk daripada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Kalau tahun lalu, Inteam Records Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan album Ayat-ayat Ruqyah yang dibacakan oleh Mohd. Taha Hassan.
Namun pada Jun baru ini, sebuah lagi album berunsur pendinding di samping sebagai alat bantu untuk menghindarkan serta menyembuhkan daripada gangguan makhluk halus. Album ini yang diberi judul Ayat Syifa' dan Azab.
Dalam album pertama, Mohd. Taha yang merupakan putera kepada Tan Sri Hassan Azhari yang cukup terkenal dengan sumbangan dan perkembangan ilmu tajwid dan al-Quran di Malaysia iaitu telah menampilkan bacaan dengan cukup tartil. Maka tidak hairanlah album tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Sementara itu, pada album terbaru beliau ini, terdapat dua bahagian ayat iaitu ayat Syifa' dan ayat Azab. Ayat-ayat tersebut merupakan petikan daripada al-Quran.
Mohd. Taha akan membacakan beberapa potong ayat daripada al-Quran dan kemudian diterangkan fadilat ayat berkenaan.
Contohnya, penerangan tentang madu yang merupakan ubat dan penawar di dalam perubatan Islam.
Amalan memakan madu pada setiap pagi adalah baik untuk kesihatan rohani dan jasmani.
Ayat ini dimulai dengan ayat-ayat syifa'. Mukadimah adalah bacaan surah al-Fatihah, diikuti dengan surah Taubah ayat 14, surah Yunus ayat 57, surah Nahl ayat 68-69, surah Isra' ayat 82, surah Syu'ara 80 dan surah Fussilat ayat 40.
Diikuti pula ayat-ayat Azab antaranya dimulai dengan surah an-Nisa' ayat 167-173, surah al-Maidah 33-34, surah al-Anfal ayat 12 surah al-Hijr ayat 16-18 dan beberapa lagi potongan surah. Ayat-ayat berikut diakhiri dengan bacaan doa Ruqyah.
Salah satu contoh ayat Azab adalah firman Allah yang maksud-Nya: Sesungguhnya pembalasan terhadap orang orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka
dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan
bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya).
Yang demikian itu (sebagai) sesuatu penghinaan untuk mereka di dunia,
dan Akhirat. Mereka memperoleh siksaan besar.
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Mengasihani. (al-Maaidah: 33-34)
Semoga album ini bermanfaat kepada semua umat Islam sebagai satu alat bantuan bagi mengisi kekosongan jiwa dan lemah rohani.
Ia juga dapat menghindarkan kita daripada unsur dan niat yang tidak baik daripada musuh-musuh serta terhindar daripada dosa kecil mahupun besar.
Ia boleh diperoleh dalam bentuk cakera padat pada harga RM16.90.
Firaun perintah Haman bina bangunan tinggi
|
|
PADA suatu hati, Firaun memerintahkan para menteri serta para pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman, iaitu salah seorang menterinya, supaya mengetuai pertemuan tersebut.
Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firaun mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam itu.
Sebaik sahaja semua rakyatnya berkumpul, Firaun terus berkata, “Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?”
“Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku,” Kata Haman.
Firaun berkata dengan marah, “Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit.”
“Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong,” kata Haman lagi.
“Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta.”
Firaun menoleh ke arah Haman dan mengeluarkan perintah kepadanya. “Aku mahu kau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai ke pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?”
“Saya akan melaksanakan perintah tunku itu. Saya akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang batu dan tukang kayu untuk membinanya,” kata Haman, berjanji kepada Firaun.
Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya dibuatnya anak panah untuknya.
Anak panah itu dipanah ke arah langit. Dengan takdir Allah, anak panah itu kemudian terjatuh semula di hadapan Firaun. Anak panah itu berlumuran dengan darah. Padahal panah itu telah dicelupnya dengan darah sebelum dia memanah langit.
Dengan bangganya Firaun berkata, “Tengok, aku sudah pun membunuh Tuhan Musa, Tuhan Musa itu telah mati ditangan ku. Aku yakin Musa adalah pendusta kerana dia mendakwa ada Tuhan di langit yang dapat menolongnya dan melantiknya sebagai Rasul”.
- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
Harus bagi wanita Muslim sembelih binatang
Pengarah Institut Kajian Hadis,
Selangor, Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor.
|
|
SOALAN:
Sekiranya saya pergi ke kampung rakan lelaki dan tidak ada lelaki Muslim yang boleh menyembelih ayam atau binatang yang sewaktu dengannya, bolehkah saya seorang perempuan menyembelih binatang tersebut.
JAWAPAN:
Hukumnya harus bagi seorang wanita menyembelih binatang. Demikian kesepakatan jumhur seluruh ulama tanpa ada perbezaan pendapat. (M. Adib Kalkul, Ahkam Al-Udh-hiyah wa Al-'Aqiqah wa at-Tadzkiyah, hlm: 63, Nada Abu Ahmad, Al-Jami' li Ahkam Al-Udh-hiyah, hlm: 32).
Imam Ibnu al-Mundzir memuatkan pandangan jumhur ulama tersebut dalam kitabnya Al-Ijma': "Mereka (para ulama) bersepakat mengenai bolehnya penyembelihan oleh anak-anak dan wanita, dengan syarat keduanya mampu menyembelih dan melaksanakan apa-apa yang wajib ada dalam penyembelihan". (Ibnu al-Mundzir, Al-Ijma', hlm:18).
Dalil-dalil yang membolehkan wanita menyembelih adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
Bahawa seorang budak perempuan milik Ka'ab bin Malik pernah menggembalakan kambing-kambing di Sala' (nama tempat). Lalu seekor kambing di antaranya terkena sesuatu, lalu budak itu mendapatinya dan menyembelih kambing itu dengan batu. Kemudian Nabi SAW ditanya mengenai hal itu dan Nabi SAW berkata, "Makanlah kambing itu". (riwayat al-Bukhari, no: 5081; Al-Thahawi, Musykilul Atsar, jld:7, hlm:3).
Dalam riwayat Imam Ahmad, terdapat penjelasan bahawa kambing yang disembelih itu sebelumnya telah digigit serigala.
"Diriwayatkan dari Ka'ab bin Malik, bahawa seorang budak perempuan milik Ka'ab pernah menggembalakan kambingnya di Sala'. Lalu seekor kambing diserang serigala. Penggembala itu mendapatinya lalu menyembelihnya dengan sebuah batu api. Ka'ab bin Malik lalu bertanya kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW memerintahkan Ka'ab untuk memakan kambing itu". (riwayat Ahmad, no 15205; Imam Syaukani, Nailul Authar, 13/22).
Penyembelihan
Berdasarkan hadis tersebut, Imam Ibnu Qudamah berkata: Dalam hadis ini terdapat tujuh faedah. Yang pertama, bolehnya penyembelihan oleh wanita…. (Ibn al-Qudamah, Al-Mughni, 21/370).
Selain hadis di atas, terdapat pula hadis lain sebagaimana disebutkan dalam Shahih al- Bukhari: Abu Musa (Al-Asy'ari) pernah memerintahkan anak-anak perempuannya untuk menyembelih sendiri dengan tangan-tangan mereka. (riwayat al-Bukhari, no: 5132).
* Imam Ibnu Hajar Al-'Asqalani di dalam Fathu al-Bariy syarahannya bagi sahih al-Bukhari, menukilkan pendapat berkait hadis tersebut. Ibnu Al-Tin berkata: "Dalam hadis ini terdapat dalil bolehnya wanita menyembelih…" (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathu al-Bari ).
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, jelaslah bahawa harus hukumnya seorang wanita menyembelih binatang. Kebanyakan nas yang dijadikan dalil bagi mengharuskan seorang wanita melakukan sembelihan adalah dalam keadaan wujudnya orang lelaki di sisi mereka.
Jika sekiranya tiada orang lelaki yang beragama Islam di sesuatu tempat yang ada hanyalah orang yang tidak beragama Islam maka hukumnya wajib bagi wanita yang beragama Islam melakukan sembelihan bagi mendapatkan daging yang halal.
Insan pemaaf bebas sifat buruk sangka, dendam
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Kejahatan dibalas kebaikan mampu redakan api kemarahan, keharmonian dapat disemai
SIFAT pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran, ayat 134)
Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.
Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam.
Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggapnya sebagai satu rencah kehidupan.
Perlu difahami, walaupun setiap insan Muslim digalakkan menyuburkan diri dengan sifat pemaaf, namun diingatkan bahawa Allah juga menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri serta membalas kezaliman itu.
Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.
Sebaliknya, dituntut untuk menyemai sifat maaf dan bertolak ansur. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah as-Syuara', ayat 39-40)
Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah SAW.
Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya.
Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.
Saidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.
Tindakan Saidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah.
Lalu, turunlah wahyu yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi." (Surah An-Nur, ayat 22)
Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.
Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama.
Sebaliknya jika kejahatan itu di balas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.
Aisyah pernah menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim)
Anas menceritakan: "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu." (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)
Ulama menyifatkan pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang sudah ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan. Pertama, memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa.
Kedua, dihukum setimpal dengan kesalahannya. Hukumannya yang lebih berat mungkin boleh diambil termasuk qisas.
Hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua umat Muslimin secara keseluruhannya.
Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membuatkan pelaku merasa malu, seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini.
Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.
Akhlak mulia penentu kecemerlangan tamadun sesuatu bangsa
MANUSIA dan kualiti tidak boleh dipisahkan kerana tanpa insan berkualiti, sudah tentu tidak akan wujud kelangsungan hidup masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itu, hari ini banyak program pembangunan modal insan diberi keutamaan pada peringkat institusi keluarga, sosial, pendidikan dan perkhidmatan sama ada di sektor swasta mahu pun awam.
Perbincangan mengenai modal insan sudah bermula lebih awal. Perutusan Rasul dan Nabi Allah dan adalah untuk membentuk manusia berakhlak mulia atau membina kualiti modal insan. Ini difahami melalui ikrar dan aku janji manusia dengan Allah ketika di alam roh untuk menjadi manusia soleh berteraskan akidah tauhid yang satu.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai mengenai (hakikat tauhid) ini.” (Surah al-A’raf, ayat 172)
Hakikatnya, aku janji itu mengandungi kefahaman mengenai kualiti seseorang insan dan hubungan mereka dengan agama iaitu setiap insan dilahirkan dalam keadaan sudah mengikat janji dengan Tuhan.
Selain itu, ketika membaca doa iftitah pada permulaan solat, sebenarnya juga kita sentiasa bermuhasabah diri dengan berjanji untuk berakhlak mulia selari standard piawaian dikehendaki Allah. Pematuhan kepada aku janji itu menentukan integriti dan hala tuju pembinaan kualiti modal insan.
Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh mana kita menghayati tuntutan aku janji atau ikrar berakhlak mulia, menjadi insan salih dan mentaati perintah Allah? Perkara utama membina modal insan adalah penentuan matlamat yang tepat dan jelas selari fitrah kewujudan manusia.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)
Matlamat utama pembangunan modal insan adalah untuk membangun dan menjadikan manusia itu bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan fungsinya serta tekun beribadat kepada Allah. Dalam hubungan ini, segala gerak kerja manusia dihitung sebagai ibadat jika didahului dengan niat yang ikhlas kepada Allah bagi mendapat keredaan-Nya.
Selain tekun beribadat, ciri penting untuk mengukur kecemerlangan insan ialah melalui kemuliaan dan ketinggian akhlaknya. Dalam sejarah tamadun manusia, akhlak adalah faktor utama yang menentukan jatuh bangunnya tamadun sesuatu bangsa.
Contohnya umat Nabi Lut dihancurkan Allah kerana terbabit dalam gejala sosial seperti melakukan perbuatan homoseksual.
Kecemerlangan insan boleh dicontohi melalui keperibadian unggul Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Islam menjelaskan, manusia itu terdiri daripada dua unsur yang membentuk satu kesatuan iaitu rohani dan jasmani. Hakikat manusia itu bukanlah semata-mata diri jasmaninya yang sentiasa berubah tetapi adalah rohaninya yang kekal abadi dan perlu dipelihara supaya tidak tercemar.
Pendekatan utama dalam proses pembangunan modal insan adalah memenuhi tuntutan diri rohani manusia selari dengan aku janji antara manusia dengan tuhannya. Oleh demikian, apabila manusia dapat mematuhi aku janji itu, maka manusia akan menjadi insan yang sungguh mulia lagi berhikmah.
Usaha melahirkan insan salih dan modal insan berkualiti bukan perkara mudah, malah menghadapi cabaran besar seperti pengabaian pendidikan akhlak, menganggap kelemahan moral hak individu, mengamalkan prinsip ’matlamat menghalalkan cara’ untuk kepentingan peribadi dan mengagungkan nilai Barat yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.
Bagi mewujudkan insan salih dan modal insan berkualiti, hendaklah bersama:
# Berpegang teguh kepada aku janji dalam mentaati titah perintah Allah,
# Membudayakan membaca al-Quran supaya hati terdidik cenderung berakhlak mulia,
# Ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pembuat dasar, pendidik dan umat Islam hendaklah menjadi contoh berakhlak mulia yang tidak dipertikaikan masyarakat,
# Bermuhasabah dan membuat penilaian prestasi akhlak diri sendiri dari masa ke masa supaya kita kekal berakhlak sebagai seorang Muslim, dan
# Mereka yang mempersendakan dan melanggar aku janji Allah akan menerima azab seksa sama ada di dunia atau akhirat.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15) - Khutbah Jakim online
Tabung Haji giat teroka industri makanan halal
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
IZAM menunjukkan pek himpunan enam perencah TaHa. |
Perencah, air mineral TaHa tepati konsep halalan toyyiban, tambah pilihan pengguna
LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) yang mendapat pengiktirafan dunia kerana pengurusan haji berkesan kini melangkah setapak lagi dengan menghasilkan produk makanan menerusi anak syarikatnya, TH Global Services Sdn Bhd (THGS).
Syarikat itu meneroka industri makanan halalan toyyiban dengan memperkenalkan perencah dan air mineral jenama TaHa yang berada di pasaran sejak Mei lalu.
Ketua Pegawai Operasi THGS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, berkata pengeluaran jenama TaHa menjadi pelengkap serta memberi lebih pilihan kepada pengguna.
Katanya, langkah ini juga membantu masyarakat yang memerlukan produk mudah disediakan dan diyakini status serta sempurna penghasilannya.
"TGHS meneroka industri makanan halalan toyyiban selepas melakukan penyelidikan serta memahami keperluan masyarakat.
"Memang ini cubaan besar walaupun tidak dinafikan ada pihak bertanya kenapa sekarang sedangkan jenama lain sudah lama menyediakan produk rempah campuran.
"Kita melihat pasaran industri halal besar dan masih ada ruang untuk menyemarakkan lagi. Jadi, kenapa tidak," katanya.
Mohamed Izam berkata, THGS menjalankan kajian mengenai bentuk produk sejak Ogos tahun lalu dengan melihat kegiatan masyarakat di samping mengambil kira maklum balas yang diterima apabila ia berada di pasaran.
Berdasarkan kajian termasuk menyoal orang ramai, THGS akhirnya mengeluarkan perencah sebagai permulaan mendekati pengguna. Selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), THGS melalui usaha sama syarikat Bumiputera berjaya menghasilkan seterusnya mengeluarkan lima perencah jenama TaHa.
Landasan pertama digunakan untuk memperkenalkan produk baru itu ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2009 dan ternyata masyarakat memberi sambutan memberangsangkan.
"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan pengunjung Mihas dan ini memberi keyakinan kepada kami. Tidak dinafikan, sebagai anak syarikat Tabung Haji, ia menjadi kelebihan.
"Kita pastikan perencah TaHa menepati konsep halalan toyyiban iaitu bukan saja menggunakan sumber mentah halal, malah proses penyediaan juga bersih sempurna.
"Matlamat kita bukan hanya menghasilkan produk, tetapi memenuhi tanggungjawab memastikan pengguna mendapat produk terbaik serta sempurna.
"Oleh itu, kita pastikan produk TaHa tidak mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan," katanya.
Himpunan perencah TaHa mengandungi enam jenis iaitu rendang ayam, asam pedas, tom yam, sambal tumis, mi kari dan kari ikan dibungkus dalam pek kotak kecil untuk kemudahan pembeli.
Produk TaHa sangat praktikal dan mudah kerana pengguna hanya perlu menyediakan bahan mentah dan masak menggunakan perencah itu. Selain menjimatkan masa, rasanya seakan menggunakan ramuan segar.
Perencah berharga RM3.30 setiap pek atau RM16.50 bagi pek kombo menggabungkan semua perencah kini boleh diperoleh di kedai runcit serta pasar mini sekitar Lembah Klang.
Mohamed Izam berkata, pihaknya juga dalam usaha memastikan perencah TaHa mudah diperoleh di pasar raya dan pasar raya besar sebelum Ramadan.
Pada masa sama TGHS juga aktif mempromosikan produk berkenaan dengan mengadakan sesi pengenalan sampel supaya pengguna dapat rasa serta mengenali jenama TaHa.
THGS merancang menghasilkan lebih banyak produk makanan dan minuman TaHa. Syarikat turut mencari peluang kerjasama membina rangkaian di pasaran tempatan serta antarabangsa.
"Bagi umat Islam, kita percaya makanan memberi impak besar kepada perwatakan dan kerana itu agama mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan. THGS membantu menyediakan keperluan itu," katanya.