Wednesday, May 20, 2009

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah
Oleh Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.

Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan.

Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru.

Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

No comments: