Wednesday, May 20, 2009

Perkim lahirkan pendakwah mualaf berwibawa

Perkim lahirkan pendakwah mualaf berwibawa


ARIFFIN Suhaimi (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pengajian Islam dan Dakwah 2008 kepada Mohammad 'Izzudin Nujipan pada konvokesyen IDIP di Kelantan, baru-baru ini.


BERDAKWAH adalah tugas semua umat Islam. Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang antara lain bermaksud, "Sampaikan dariku walau satu ayat".

Justeru, adalah penting bagi kita melengkapkan para daie dengan ilmu yang mencukupi supaya dapat menyampaikan ilmu agama yang betul serta meningkatkan keyakinan masyarakat kepada ajaran Islam. Lebih-lebih lagi, pendakwah dari kalangan saudara baru atau mualaf.

Sehubungan itu, Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) baru-baru ini meraikan 32 graduan pada majlis penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik 2008.

Majlis dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu diadakan di Dewan Putra IDIP, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Ia turut menghimpunkan 200 orang terdiri daripada Majlis Senit IDIP, pensyarah, ibu-bapa dan mahasiswa IDIP yang terdiri kaum Cina, India, Asli Temiar, Asli Semai, Asli Temuan, Murut, Iban, Sino Kadazan, Dusun, Dusun Lukod, Melanau, Filipina dan Kemboja untuk menghargai kecemerlangan pelajar yang menerima Sijil dan Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Majlis IDIP merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Dalam ucapannya Ariffin berkata, Perkim ingin menjadikan institut itu sebagai pusat pengajian dakwah Islamiah yang bertaraf institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, IDIP juga mengendalikan kursus-kursus tambahan seperti diploma ijazah serta mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berdasarkan kecemerlangan pelajar saudara muslim dari seluruh negara.

"Selepas ini, para pendakwah diharap dapat mengajar dan menyebarkan dakwah Islamiah secara formal kepada saudara muslim dan anggota masyarakat," katanya.

Beliau turut menyampaikan sijil, sijil asas Pengajian Islam Dakwah dan Anugerah Cemerlang kepada mahasiswa IDIP.

Mohammad 'Izzudin Nujipin dari kaum Murut dan Mustaqim Al-Husairie Clair Abdullah dari kaum Melanau masing-masing menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslim.

Nur Atirah Mustafar dari kaum Asli Temuan pula mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslimah berdasarkan kecemerlangan pencapaian kursus Pengajian Islam dan Dakwah.

Pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah untuk saudara muslim ini mengambil masa dua tahun.

Pengajian kursus Sijil Pengajian Islam dan Dakwah pula mengambil masa tiga tahun iaitu enam semester.

Antara subjek dalam pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah adalah al-Quran, Fardu Ain, Akidah, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Perbandingan Agama, Metodologi Dakwah dan Kenegaraan Malaysia.

Majlis diserikan dengan nyanyian kumpulan nasyid Sowwatul Ummah dari IDIP.

Turut hadir ialah Pengarah Dakwah Perkim Abdul Hanif Harun dan Pengetua IDIP, Mohamed Nazir Che Ibrahim.

No comments: