Wednesday, May 20, 2009

Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam

Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam


tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) melihat demonstrasi kraf sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan turut mendapat perhatian Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri.


BUDAYA atau disebut dalam Islam sebagai tsaqofah turut dititik beratkan dalam agama. Ini kerana Islam bukan agama yang menafikan segala kehendak naluri manusia, cuma ia perlu disalurkan dengan cara dan jalan yang betul dan mendapat keredaan Allah SWT.

Namun bayangkan jika Islam tidak diturunkan di Kota Mekah. Dapatkah segala budaya jahiliah yang menjadi amalan oleh penduduk Arab di situ sebelum ini dapat dibanteras?

Ini termasuklah budaya membunuh anak perempuan, membenarkan isteri berkahwin dengan lelaki yang lebih bangsawan sehinggalah amalan meminum arak yang memabukkan itu?

Kota Mekah itu sendiri menjadi Kota Budaya Islam pertama di dunia, yang antara lain bersih dari amalan budaya menyembah berhala!

Pada 5 Mei lalu, giliran Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia oleh Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO).

Perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam upacara gilang gemilang di Muzium Kesenian Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Pemilihan Kuala Lumpur adalah pengiktirafan tinggi dunia terhadap negara ini. Bukan sahaja kerana Islam itu merupakan agama rasmi negara, malah sejarah pembangunan fizikal dan mental ibu kota itu sendiri dalam serba serbi keislaman.

Ini ditunjukkan sama ada dari bangunan Pusat Islam yang tersergam di tengah-tengahnya sehinggalah rata-rata muslimah yang menghuni di ibu kota ini menampilkan diri mereka dalam keadaan berbusana Muslim!

Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri dalam ucapannya di majlis perasmian itu.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara Islam contoh yang berjaya memaparkan tahap ketamadunan serta kebudayaan yang tinggi.

"Kuala Lumpur sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada dunia bahawa Islam kaya dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian di samping kemodenan yang dikecapi," katanya.

Sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009, Kuala Lumpur sebenarnya telah berjaya melepasi pelbagai syarat yang ketat bagi membolehkannya terpilih.

Dalam hal ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, Kuala Lumpur berupaya mendepani kota-kota di dunia dalam penonjolan budaya Islam.

"Ini setelah syarat-syarat utama pemilihan telah berjaya dipenuhi. Ia termasuklah sesebuah bandar raya itu mesti mempunyai status sejarah yang unik serta budaya yang kukuh.

"Mempunyai keupayaan universal dan keislaman yang nyata, mempunyai kemudahan penyelidikan saintifik, berkaitan arkeologi dan manuskrip yang boleh dirujuk penyelidik di samping mempunyai kegiatan budaya, kesenian dan warisan yang aktif," katanya.

Status sejarah yang unik apabila Malaysia atau dikenali dahulunya sebagai Tanah Melayu, menjadi destinasi pertama sebagai pusat penyebaran Islam seawal abad ke-11 Masihi bagi rantau Asia Tenggara.

Pada hari ini, Malaysia merupakan negara yang menterjemahkan Islam itu dalam banyak wajah, sehinggakan di celah-celah bangunan moden pencakar langit akan kedengaran azan dilaungkan memenuhi ruang udara dari menara Masjid Jamek Kuala Lumpur, iaitu masjid tertua di bandar raya ini yang dibina pada tahun 1909.

Walaupun ia masjid tertua, namun paling cantik dan paling indah yang boleh ditemui di sini!

Terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia bererti sepanjang tahun ini Kuala Lumpur akan menjadi daya tarikan dunia untuk melihat sendiri wajah-wajah budaya Islam untuk mereka mempelajari banyak perkara.

Justeru itu sebanyak 215 program yang telah dan akan berlangsung disediakan oleh pelbagai pihak bagi menjayakan pemilihan yang sangat berprestij ini.

Sebelum itu, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ISESCO adalah pertubuhan yang fungsinya hampir menyamai seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO-PBB).

Ditubuhkan sejak Mei tahun 1979 oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) iaitu pertubuhan Islam yang paling besar untuk bidang pendidikan, sains dan kebudayaan yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi.

Pemilihan ibu negara Malaysia sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi rantau Asia ini sebenarnya adalah bersama dengan Baku di Republik Azerbaijan telah diputuskan dalam Persidangan Kelima ISESCO di Tripoli Libya pada 21 hingga 23 November lalu.

Pada tahun ini juga, Kairouan di Republik Tunisia turut dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi mewakili rantau Arab manakala rantau atau benua Afrika diwakili N'Djamena di Republik Chad.

No comments: